Monday, September 17, 2012

Jadual Puasa Sunat: Tampung dan Tokok


Jadual puasa ini saya ambil dengan izin Cik Mistree (http://cik-misstree-macam2-ada.blogspot.com.) untuk faedah semua umat Islam dalam menyambung amalan ibadah puasa Ramadan yang lalu. Berbahagialah Mukminin dan Mukminat yang dengan sabar dan tabah hati mendepani dugaan nafsu sepanjang Ramadan lalu, kemudian dengan sabar dan tenang pula menyudahkan puasa (sunat) enam hari dalam bulan Syawal pula. Alhamdulillah.

Kini, Syawal sudah pun meninggalkan kita. Masih ada puasa yang disunatkan oleh agama kita supaya kita mengamalkannya (selain puasa hari Isnin dan Khamis). Seandainya kita tabah hati dan ikhlas, puasa bukanlah sukar untuk dilaksanakan, percayalah.

Seperti yang dinyatakan oleh Cik Mistree lewat Blognya, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

Berpuasalah kamu, nescaya kamu akan sihat.
Perut besar itu sarang penyakit dan banyak makan itu punca segala penyakit.

Menurut Cik Mistree lagi, Luqman al-Hakim telah turut menasihati anaknya, katanya: 

“Wahai anakku, apabila perut dipenuhi oleh makanan, maka gelaplah fikiran, bisulah lidah daripada menuturkan hikmah (kebijaksanaan), dan malaslah segala anggota badan untuk beribadah.”

Yang berikut ini ialah Jadual Puasa Sunat (1 Syawal 1433H-30 Syaaban 1434 Hijrah) yang dimaksudkan itu.

Manfaatkanlahnya untuk menampung dan menokok amalan-amalan baik kita selama ini dan berdoalah agar amalan kita mendapat rahmat Allah SWT.

                                   Puasa Sunat                                  
Tarikh
Puasa Enam
(Puasa enam hari dalam bulan Syawal kecuali pada 1 Syawal)
20 Ogos 2012-16 Sept 2012
Puasa 1-8 Zulhijah
17 Okt-24 Okt 2012
Puasa Hari Wuquf (bagi yang tidak menunaikan ibadat Haji)
25 Okt 2012
Puasa 1-9 Muharam
15 Nov-23 Nov 2012
Puasa Hari Asyura
(Pada 10 Muharam berserta sehari sebelumnya)
atau (Pada 10 Muharam berserta sehari selepasnya)
23-24 Nov 2012
atau
24-25 Nov 2012
Puasa Hari Isnin dan Khamis
Kecuali Hari Tasyrik (13 Zulhijah/29 Okt 2012 bersamaan hari Isnin)
Hari Syak 30 Syaaban (7 Jul 2013 bersamaan hari Isnin)
Puasa Hari Putih
(Pada 13, 14, dan 15 haribulan setiap bulan dalam kalendar Hijrah)
·     Syawal (31 Ogos-2 Sept 2012)
·     Zulkaedah (29 Sept-1 Okt 2012)
·     Zulhijah (29 Okt-31 Okt 2012)
·     Muharam (9 Dis-11 Dis 2012)
·     Safar (8 Jan-10 Jan 2013)
·     Rabiulawal (6 Feb-8 Feb 2013)
·     Rabiulakhir (7 Mac-9 Mac 2013)
·     Jamadilawal (5 Apr-7 Apr 2013)
·     Jamadilakhir (5 Mei-7 Mei 2013)
·     Rejab (3 Jun-5 Jun 2013)
·     Syaaban (3 Jul-5 Jul 2013)
Puasa Sunat Rejab
10 Mei-7 Jun 2013
Puasa Sunat Syaaban
8 Jun-6 Jul 2013


Tuesday, September 4, 2012

Syabas, Hasihin...!


Alhamdulillah dan syabas diucapkan kepada pemanah elit paralimpik negara, Hasihin Sanawi, yang berjaya memenangi pingat perak dalam acara recurve individu lelaki W1/W2 di Lapang Sasar Memanah Royal Artillery Barrack, London. Beliau tewas dalam acara akhir kepada pemanah dari Itali, Oscar de Pellegrin.

Pencapaian Hasihin itu menyamai pencapaian Lee Chong Wei yang turut memungut pingat perak dalam Sukan Olimpik yang baru lalu. Kita yakin bahawa akan ada ganjaran yang bakal diberikan oleh pihak kerajaan kepada Hasihin. Seelok-eloknya, ganjaran yang itu haruslah sama dengan yang diperoleh oleh Lee Chong Wei.

Jika tidak diberi ganjaran yang sama dengan apa-apa yang diperoleh oleh Lee Chong Wei, ganjaran itu kelak janganlah lebih rendah daripada apa-apa yang diperoleh oleh Pandalela Rinong yang memungut pingat gangsa pada Sukan Olimpik lalu. Pingat perak tentulah lebih tinggi nilainya daripada pingat gangsa.

Hasihin akan meneruskan cabaran negara dalam acara memanah berpasukan bersama Zulkifli Mat Zain dan Mohd. Zafi Rahman Mat Salleh. Marilah kita berdoa agar beliau dan dua orang rakannya beroleh pingat emas pula dalam acara yang akan disertai mereka.

Monday, August 27, 2012

Antara Meyakini Syaitan yang Dikenali dengan Malaikat yang Tidak Dikenali

Soal lebih baik meyakini syaitan yang dikenali daripada meyakini malaikat yang tidak dikenali bukan soal kecil, tetapi bukanlah juga soal yang sangat besar. Soal ini menjadi sangat besar, pada pandangan saya, kalau terucap dua/tiga puluh tahun lalu. 

Kalau dua/tiga puluh tahun lalu, sesiapa atau apa-apa pun yang dikiaskannya sebagai syaitan dan malaikat bukanlah penting sangat. Yang penting adalah apabila “malaikat” dikatakannya “bukanlah golongan yang suci kerana kadang-kadang malaikat juga boleh buat banyak perkara salah”. 

Kalau hal ini dikatakannya dua/tiga puluh tahun lalu, saya akan membayangkan perihal Izrail telah tersilap mencabut nyawa makhluk Allah. Yang sepatutnya dicabut ialah nyawa Megat, tetapi kerana “kadang-kadang malaikat juga boleh buat banyak perkara salah”, Izrail telah tercabut akan nyawa  Meor. 

Atau saya pun hendak membayangkan Jibrail telah tersalah hantar wahyu; sepatutnya semua wahyu itu dihantar kepada Ali ibn Abi Talib, tetapi kerana “kadang-kadang malaikat juga boleh buat banyak perkara salah”, wahyu itu tersalah hantar kepada Muhammad ibn Abdullah pula.  

Atau sepatutnya Israfil meniup sangkakalanya selepas kewafatan Muhammad Rasulullah, tetapi kerana “kadang-kadang malaikat juga boleh buat banyak perkara salah”, malaikat itu terlupa hingga kini untuk meniup sangkakala itu kerana menanti Muhammad ibni Abdullah yang lain pula. 

Saya akan berasa resah dan ambil peduli akan hal yang dikatakannya itu kalau hal ini diungkapkannya dua/tiga puluh tahun dahulu. Sekarang, biarkanlah ... disuruh diam pun dia tak akan diam-diam.

Thursday, August 23, 2012

Sambutan Aidilfitri Lebih Utama daripada Qadak dan Qadar Allah?

Hujan lebat pada 21 Ogos 2012 lalu telah menyebabkan berlakunya banjir kilat di beberapa kawasan di sekitar kota raya Kuala Lumpur. Oleh sebab musibah itu berlaku semasa orang Islam sedang menyambut perayaan Aidlfitri, maka ada pihak yang menyorot berita itu sebagai “Banjir Kilat Jejaskan Sambutan Aidilfitri”.
 
Tajuk berita itu seperti suatu rungutan dan gambaran tidak puas hati terhadap hujan yang diturunkan oleh Allah SWT sehingga mengakibatkan berlakunya banjir kilat. Saya tidak pasti akan orang lain, tetapi saya merasakan begitu — hujan yang diturunkan oleh Allah SWT telah menjejaskan sambutan Aidilfitri sebahagian orang di KL. 

Perkataan “menjejaskan” yang digunakan oleh sesetengah pihak itu, pada hemat saya, meletakkan perayaan Aidilfitri lebih utama dan lebih tinggi hingga tidak boleh dikacau-bilaukan oleh apa-apa pun juga, termasuklah qadak dan qadar Allah seperti hujan dan banjir kilat yang ditetapkan berlaku pada 3 Syawal 1433! 

AstaghfirullahalAzim.... 

Kuala Lumpur telah beberapa lama tidak ditimpa hujan sehingga makhluk selain manusia kepanasan dan kekeringan lantas semuanya berdoa dan doa mereka diperkenankan oleh Allah SWT. Hujan yang diturunkan dua tiga jam itu barangkali memadai untuk makhluk itu, dan sepatutnya tidak sampai berlaku banjir kilat!

Malangnya, alam ini telah dirosakkan oleh tangan-tangan manusia hingga menyebabkan hujan yang hanya turun dua tiga jam itu telah mengaramkan kawasan yang dahulunya sukar dikaramkan oleh air hujan. Sulaiman Al-Rajhi, pengasas Bank Al-Rajhi (bank Islam terbesar di dunia), melafazkan kalimat Alhamdulillah apabila kilang perusahaannya terbakar! 

Kita yang di sini berkata sebaliknya. AstaghfirullahalAzim....

Thursday, August 9, 2012

Antara Berbuka di Hotel dengan Mengerjakan Umrah secara Pakej

Menurut kata penceramah yang baru beberapa hari berkesempatan pergi ke Makkah untuk menunaikan umrah pada Ramadan tahun ini, jumlah manusia yang berumrah di sana sama banyaknya dengan jumlah orang yang mengerjakan haji pada musim haji — sesak dan menyesakkan. Hingga demikian, kata beliau, harga sewa bilik hotel yang pada waktu biasa hanya berkadar 400 riyal meningkat kepada 800 riyal! Ibadah sudah menjadi perniagaan, sudah menjadi sumber pendapatan yang besar. Ibadah sudah menjadi matlamat duniawi.

Anda terpaksa mencampakkan RM800 riyal semalam hanya untuk mandi, tidur, kencing berak di hotel bagi membolehkan anda berumrah. Kadar itu merupakan kadar yang dikenakan kepada orang yang mengambil pakej yang sederhana. Yang mengambil pakej VIP/VVIP berapakah pula kadarnya? Haruslah ribuan riyal semalaman. Wajarkah wang ribuan ringgit dicampakkan untuk aktiviti tidur, mandi, kencing berak sahaja?

Suatu ketika dahulu, ada kalangan agamawan yang menegur sikap umat Islam yang cenderung untuk berbuka puasa di hotel pada bulan Ramadan. Perbuatan itu berunsur riyak (walaupun sebenarnya riyak ialah soal hati — kita tidak tahu seseorang itu riyak ataupun sebaliknya), kata mereka, dan menggalakkan pembaziran (kerana bayaran yang dikenakan oleh pihak hotel untuk majlis berbuka puasa sangat tinggi berbanding dengan restoran atau kedai biasa).

Anehnya, mengapakah hal tentang kecenderungan orang mengambil pakej haji atau umrah yang bernilai puluhan dan ratusan ribu ringgit tidak disentuh oleh para agamawan? Tidak tergolong sebagai riyak dan membazirkah hal yang demikian itu? Mengapakah hal tentang makan sahaja yang disentuh oleh mereka sedang hal ini disenyapkan?

Sesetengah orang yang mengambil pakej haji/umrah yang mahal itu pula bukanlah pergi ke sana buat kali pertama melainkan pergi untuk kali kedua malah ada yang pergi untuk kali yang kesepuluh dan puluh-puluh yang lain. Dalam erti kata yang lain, mengerjakan haji/umrah sudah menjadi rutin mereka walaupun haji hanya wajib dilaksanakan sekali!

Hal ini menimbulkan tanda tanya dalam hati kita kerana Allah SWT ada berfirman dalam al-Quran (Surah at-Taubah, ayat 19-20) yang bermaksud:

“Adakah (orang-orang) yang memberikan minuman kepada orang-orang yang mengerjakan haji dan memakmurkan Masjidil Haram kamu samakan dengan orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian serta berjihad di jalan Allah? Mereka tidak sama di sisi Allah; dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim. (Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.

Ayat tersebut dengan jelas menyatakan bahawa berjihad di jalan Allah lebih afdhal (lebih tinggi prioritinya) daripada menjadi pelayan jemaah haji dan menjadi jemaah haji sendiri (orang yang memakmurkan Masjidil Haram). Mungkin ada antara kita yang berfikir, mengapakah Allah meletakkan jihad lebih afdhal daripada mengerjakan haji walhal haji salah satu rukun Islam?

Hal ini berlaku demikian kerana manfaat ibadah haji atau umrah hanya diperoleh oleh diri kita sendiri dan hanya untuk tempoh waktu itu sahaja (sempurna haji atau umrah kita, maka insya-Allah kita akan beroleh pahala-Nya). Hal ini berbeda dengan orang yang beriman yang berjihad di jalan Allah; manfaatnya diperoleh oleh kelompok masyarakat yang lebih luas hingga membolehkan pahala-Nya diperoleh terus-menerus walaupun jasad mereka lumat dimamah bumi dan segala isinya.

Sebagai contohnya, membina sekolah untuk manfaat anak-anak Islam yang miskin merupakan suatu bentuk jihad. Kita beroleh pahala kerana mendirikan sekolah untuk mereka, kita beroleh pahala kerana membolehkan mereka bersekolah, kita beroleh pahala kerana dengan bantuan kita, mereka beroleh ilmu (yang baik), kita beroleh pahala apabila ilmu itu disampaikan mereka kepada orang lain dan dimanfaatkan dari zaman ke zaman! Pahala itu kita peroleh tanpa mengurangi pahala yang diperoleh oleh anak-anak itu.

Jadi, apakah perlunya kita berbelanja besar untuk menunaikan haji/umrah (berkali-kali pula) kalau jihad kita hanya sekadar bijan di celah gigi. Tidak nampak dan tidak sedarkah kita betapa saudara se-Islam kita di Palestin, di Somalia, di Kemboja, di Myanmar (orang Rohingya), di selatan Thai, di selatan Filipina, dll serta saudara se-Islam kita di negara kita sendiri sangat menginginkan bantuan kita?

Kalau kita prihatin dan berhati perut, kita tidak akan tergamak untuk berbuka di hotel-hotel serta hendak membeli-belah di bazar-bazar Ramadan kerana saudara se-Islam kita di Somalia langsung tidak berkesempatan untuk menjamah apa-apa sama ada pada waktu sahur mereka ataupun pada waktu berbuka mereka! Mereka tidak berpeluang untuk membeli-belah di bazar Ramadan kerana bukan mereka tidak berwang tetapi kerana mereka tidak ada makanan.

Kalau kita prihatin dan tahu akan tuntutan agama, kita tidak akan tergamak untuk mengerjakan haji atau umrah berkali-kali apatah lagi hendak bermewah-mewah kerana masih banyak saudara se-Islam kita yang hidup tanpa ilmu dan tertindas. Mereka mendahagai bantuan kita!

Wallahualam....

Tuesday, August 7, 2012

Tidur Sekatil, Makan Semeja tetapi Banyak yang Tidak Diketahui


Anda tinggal sebumbung, makan semeja, tidur sekatil. Selain hubungan kelamin, anda tidak membicarakan hal-hal penting dengan pasangan anda semasa anda sekatil dengannya. Selepas berhubungan kelamin, anda basuh apa-apa yang patut, kemudian anda pun melelapkan mata. Kalau kebetulan nafsu anda dirodok-rodok dan berkehendakkan sasaran, anda membuat hubungan kelamin lagi. Itu sahaja atur cara tidur anda.

Tatkala makan dan sebagainya, hal-hal yang membabitkan masa depan keluarga, peluang-peluang untuk membina kekayaan bersama tidak anda kongsikan dengan pasangan anda. Tidak kira apa-apa pun yang hendak dilakukan oleh pasangan anda demi kesenangan keluarga, anda tidak berminat untuk ambil tahu. Apabila kemudiannya kebetulan pasangan anda beroleh kekayaan, tidak pula anda soal dari mana datangnya kekayaan itu.

Anda bukan suami atau isteri sepenuh masa, tetapi katakanlah bahawa anda salah seorang pengurus negara. Seperti pengurus negara lain, anda diketahui bahawa begitu mengambil berat hal ehwal rakyat; malangnya banyak yang tidak tahu bahawa rupa-rupanya anda tidak tahu akan hal ehwal keluarga anda. Anda tidak tahu bagaimana anak anda menjadi kaya, anda tidak tahu bagaimana pasangan anda boleh menumpukkan kekayaan.

Katakanlah anda ikut menghadiri mesyuarat dalam kalangan pengurus negara. Pelbagai dasar dan perancangan dibicarakan, dimusyawarahkan, dan kemudiannya diputuskan. Malangnya anda tidak tahu apa-apa tentang keputusan musyawarah, mungkin kerana anda sibuk ber-SMS dengan seseorang atau mungkin juga anda tertidur semasa musyawarah itu. Hah, orang yang buat kerja lain semasa musyawarah tidak layak menjadi pengurus negara!

Ah, hari baik, bulan pun barokah, eloklah saya bersangka baik! Saya wajar menerima hakikat bahawa anda memang benar-benar tidak tahu kerana anda tidak diberitahu dan anda sendiri tidak berminat untuk mengambil tahu. Saya wajar menerima hakikat bahawa anda memang tidak sedar bahawa pasangan anda sedang berurusan dengan kerajaan untuk beroleh suatu projek walaupun anda sendiri berada dalam kerajaan yang bakal berkata ya atau tidak terhadap urusan itu.

Tidak kiralah betapa perahsia sekalipun pasangan anda, kalau anda pengurus negara, anda perlu mengorek rahsianya. Tidak cukup sekadar mengetahui rahsia kehebatannya semasa anda melakukan hubungan kelamin dengannya.

Friday, August 3, 2012

Bermain untuk Kalah Bukan Idealisme Sukan

Mata alamat (Matlamat) sesuatu kejohanan sukan sangat murni, iaitu untuk melahirkan perpaduan, persahabatan, semangat setia kawan, dan sebagainya dalam suatu perhimpunan besar yang melibatkan manusia (peserta/atlet/pegawai) dari semua bangsa yang menghuni sesebuah negara. Hingga demikian, lahirlah istilah “sporting spirit” atau dalam bahasa Melayunya disebut sebagai “semangat kesukanan” bagi menggambarkan suatu bentuk semangat yang menjurus ke arah perpaduan dan kesetiakawanan yang dapat dilahirkan daripada perhimpunan sukan.

Walau bagaimanapun, adakah idealisme itu benar-benar terealisasi melalui mana-mana kejohanan sukan, sama ada yang berskala kecil atau yang berskala besar? Adakah para peserta/atlet yang terlibat dalam mana-mana upacara sukan bersaing secara sihat dalam merealisasikan keinginan untuk beroleh kejayaan? Adakah pegawai-pegawai yang diberi autoriti oleh negara masing-masing untuk mengendalikan para peserta/atlet mereka benar-benar menjunjung matlamat murni itu? Berapa banyak peserta/atlet/pegawaikah yang mementingkan persaingan daripada kemenangan?

Sebenarnya, matlamat/idealisme itu sudah semakin menipis kerana kebanyakan negara dan peserta/atlet yang terlibat dalam mana-mana kejohanan sukan besar kecil tidak lagi menekankan aspek persaingan yang sihat, sebaliknya lebih menekankan aspek ganjaran/kemenangan – emas perak gangsa, piala serta wang ringgit. Idealisme Pierre de Coubertin (Bapa Sukan Olimpik Moden) – The important thing in life is not the triumph but the struggle, the essential thing is not to have conquered but to have fought well” – sudah kelihatan janggal!

Pierre de Coubertin
Hal mengesampingkan semangat dan mendahulukan keputusan bukan perkara baharu. Pada Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 1982, misalnya, pasukan Jerman dan Austria telah mengatur perlawanan dalam perlawanan peringkat kumpulan. Austria (4 mata) telah merelakan “dirinya” kalah 0-1 di tangan Jerman (2 mata) bagi membolehkan Jerman mengutip 4 mata sekali gus menyekat peluang Algeria (4 mata juga) untuk bermain pada pusingan seterusnya. Algeria tersingkir melalui perbedaan jaringan gol. Kebetulan Jerman kalah di tangan Algeria sebelum itu.

Walau bagaimanapun, keakuran terhadap idealisme de Coubertin itu pernah kita saksikan pada Sukan Olimpik XIX di Mexico (1968). John Stephen Akhwari, atlet maraton dari Tanzania telah terjatuh semasa berlari. Kakinya tercedera. Dalam keadaan kaki yang berdarah dan berbalut (lututnya terkehel), beliau terus berlari untuk menamatkan perlumbaan tatkala stadium hampir kosong dan hari menjengah malam. Beliau menjelaskan sebab-musabab beliau meneruskan lariannya walaupun tercedera: “My country did not send me 5,000 miles to start a race, they sent me to finish it”.

Keakuran terhadap idealisme de Coubertin terlihat juga pada Sukan Olimpik XXIII di LA (1984). Gabrielle Andersen-Scheiss, pelari maraton wanita dari Switzerland mengalami masalah dahaga dan kepanasan semasa berlari. Masalah itu memburuk apabila beliau melepasi sebuah terowong, namun masalah itu dihadapinya dengan semangat jitu. Dia terus berlari (berjalan sebenarnya) dalam kepayahan, terhuyung-hayang semasa masuk ke dalam Los Angeles Memorial Coliseum untuk menamatkan saingannya di tempat ke-37. Penonton memberikan tepukan gemuruh kepada beliau!

Tetapi, pada Sukan Olimpik XXX yang sedang berlangsung di London sekarang, idealisme de Coubertin telah dipersendakan oleh atlet badminton (wanita) hingga memaksa pihak BWF membatalkan/menyingkirkan penyertaan mereka. Tindakan ini diambil terhadap pasangan regu dari Korea Selatan (2), China (1) dan Indonesia (1) kerana mereka (atelt-atlet itu) bermain untuk kalah bagi mengelakkan bertemu dengan seteru yang sukar pada pusingan seterusnya. Tentulah yang memainkan peranan di balik tindakan atlet-atlet itu pegawai-pegawai pasukan mereka!

Setiap atlet perlu sedar bahawa para penonton mengeluarkan modal untuk menyaksikan mereka bermain. Sama ada para penonton menyokong mereka ataupun sebaliknya, atlet wajib memperlihatkan sesuatu yang istimewa yang ada dalam diri mereka hingga penonton sanggup berbelanja untuk menyaksikan mereka bermain. Persaingan dalam sukan merupakan suatu cara penonton hendak meredakan dan melupakan tekanan yang dihadapi oleh mereka dalam kehidupan harian mereka. Penonton ingin bergembira, penonton ingin berhibur.

Malangnya, sesuatu yang hebat yang diharap-harapkan oleh penonton daripada para atlet bertukar sebaliknya. Penonton telah ditipu dan dipersendakan oleh atlet-atlet badminton itu. Atlet-atlet itu bermain dengan sambalewa (seperti berlatih), sengaja memukul bola ke jaring, memukul bola keluar gelanggang, membiarkan bulu tangkis yang biasanya tiada masalah untuk dibalas, dan sebagainya. Orang-orang seperti ini telah menghancurkan idealisme sukan. Tidak kira siapa yang bakal ditentang, mereka sepatutnya bermain dengan sungguh-sungguh!

Kalau takut kalah, jangan bersaing di Olimpik! Lamun takut dilanggar batang, jangan berumah di kepala pulau, kata peribahasa Melayu. Pada hemat saya, para pegawai yang mengatur perancangan/strategi buruk yang demikian itu serta atlet-atlet yang menjadi mak turut kepada pegawai terbabit telah mengaibkan negara mereka. Mereka wajar dikenakan hukuman oleh pihak tertinggi di negara mereka. Mereka ini, pada hemat saya, sama jahatnya dengan orang yang bermain untuk kalah setelah dirasuahi oleh pihak tertentu, atau mungkin lebih jahat lagi.