Tampaknya, “keberia-iaan” kumpulan tertentu untuk mempertahankan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran-pemelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) di sekolah-sekolah masih belum mereda. Kumpulan itu, yang khabarnya mewakili suara ibu bapa, masih ingin mempertahankan kaji selidik yang dilakukan mereka — bahawa 54% (daripada 15,000 responden yang ditemui mereka) menyokong pelaksanaan PPSMI.
Mereka, khabarnya, akan mengadakan sidang akhbar pada 25 Oktober 2011 ini untuk memohon kerajaan “mendengar suara ibu bapa” — bahawa anak mereka hendaklah diberi pilihan untuk mengikuti PPSMI di sekolah.
Tentang kaji selidik itu, sudah banyak pihak yang mempertikaikannya. Hal ini berlaku demikian kerana kaji selidik itu hanya menyasarkan 15,000 responden sahaja (walhal di negara kita ada 5.3 juta pelajar)! Sesetengah pihak mempersoalkan, apakah istimewanya yang 54% itu sehingga perlu pula mengesampingkan yang 48% lagi? 48% bukan jumlah yang sedikit!
Pada hemat saya, pihak yang paling layak untuk menilai sama ada PPSMI ini wajar diteruskan ataupun sebaliknya ialah guru kerana mereka inilah kumpulan atau kelompok yang berdepan dengan pelajar saban tahun. Mereka inilah yang tahu akan tahap daya serap, kebolehan, dan pencapaian para pelajar (malah tahap diri mereka sendiri) dalam hal pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik (PPSM)!
Semasa berlaku protes tentang PPSMI dahulu (sehingga ada yang dimandikan dengan gas pemedih mata dsb), antara rasional perjuangan mereka ialah perlunya bahasa Melayu didaulatkan dalam sistem pendidikan negara selain menyedari hakikat betapa pencapaian murid dalam subjek ini semakin menurun.
Dalam hal ini, kalaupun pihak yang beria-ia untuk mempertahankan PPSMI itu enggan melibatkan diri dalam isu pendaulatan bahasa Melayu (yang diperjuangkan oleh pejuang-pejuang bahasa itu) dan beranggapan bahawa isu ini sebagai sesuatu yang remeh, cuba-cubalah memikirkan hal ini daripada sudut keperluan pelajar pula (yang kebanyakan mereka langsung tidak mahir berbahasa Inggeris!)
Cubalah tuan-tuan fikirkan, adakah kejayaan kaum Cina di negara kita ini dalam bidang perniagaan bersebab daripada tindakan mereka mempelajari Matematik dalam bahasa Inggeris semasa mereka bersekolah rendah dahulu? Saya percaya bahawa kejayaan sebahagian besar daripada mereka adalah kerana mereka mempelajarinya dalam bahasa ibunda mereka di SJKC.
Oleh sebab itulah, memang sangat wajar kalau 412,042 guru yang mewakili 27 kesatuan dan persatuan di negara ini berdiri teguh di belakang Menteri Pelajaran yang menetapkan bahawa kedua-dua subjek ini akan diajarkan dalam bahasa Melayu semula. Guru lebih tahu akan hakikat bahawa sepanjang pelaksanaan PPSMI sejak 2003 dahulu, pencapaian sebilangan besar pelajar dalam kedua-dua subjek ini merudum.
Usaha YAB Menteri Pelajaran merangkap Timbalan PM dalam isu PPSM itu sangat murni. Jadi, mengapakah orang membawa jarum disambut dengan gunting?
Salam, Sdr. Zul,
ReplyDeleteSebagaimana yang dirumuskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, hanya 3% murid dan pelajar yang mendapat manfaat daripada PPSMI dan hanya 4% sahaja guru sains dan matematik yang mengajarkan mata-mata pelajaran itu sepenuh-penuhnya dalam bahasa Inggeris. Keputusan peperiksaan UPSR dan PMR pula merudum dengan jelas dalam mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris.
Maka itu, tiada sama sekali kebijakan untuk melayan tuntutan yang mewakili kepentingan 3%. Wang rakyat dan wang negara mesti diperhitungkkan manfaatnya untuk seluruh rakyat, apatah lagi yang peratusannya amat tinggi (97%).
Salam, Prof,
ReplyDeleteDaripada kecelaruan politik, gangguan terhadap institusi beraja, dan isu bahasa, orang yang menjadi pencetusnya masih dengan pendiriannya walaupun dalam hal PPSMI yang dicetuskannya telah dibuktikan oleh KPM tiada manfaatnya.
Dan sepatutnya dia dan pendukung-pendukung ideanya itu harus berdada lapang untuk menerima rumusan KMP itu. Tampaknya, Prof, mereka leboih mementingkan keegoan mereka daripada wang rakyat.
Projek dan program yang menafikan kepentingan sejumlah besar rakyat haram hukumnya. Sesiapa yang terlibat akan disoal tentang penggunaan wang negara (wang rakyat) tentang pertanggungjawabannya di akhirat kelak.
ReplyDeleteSalam, Prof,
ReplyDeleteNa'uzubillah. Sedarlah hendaknya orang-orang yang beria-ia hendak menyalahgunakan duit sejumlah besar rakyat itu.