Hal tentang ketahayulan filem dan drama seram/hantu serta kesan buruknya kepada masyarakat bukanlah perkara baharu. Hal ini sudah mendapat teguran daripada para agamawan (sebilangannya bertaraf mufti), para budayawan dan ilmuwan, serta masyarakat dan ibu bapa sendiri. Malangnya, semua teguran itu hanya didengar dan dibaca sekali lalu dan dianggap sebagai hal-hal remeh oleh masyarakat dan penggiat seni, khususnya.
Tetapi, apabila hal seperti ini ditegur oleh negarawan dan pemimpin negara, barulah isu ini dibicarakan, dibahasakan, dan dipolemikkan orang. Itulah yang berlaku sekarang. Apabila hal tentang keburukan filem dan drama seram/hantu ini mendapat teguran Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas PM kita, barulah masalah ini segera diangkat menjadi isu lalu pihak lain meminta pihak yang berkenaan mengambil tindakan segera.
Kita tidak faham akan sikap masyarakat kita, khususnya para pemimpin negara kita, mengapakah teguran pihak agamawan dalam hal-hal yang bersangkut paut dengan aqidah umat Islam sering tidak diambil pusing oleh mereka? Mengapakah hal seperti ini hanya akan diberi perhatian sekiranya yang menegur itu negarawan atau PM/TPM walhal hal yang dibangkitkan itu sama dengan yang dibangkitkan oleh golongan agamawan itu?
Secara peribadi, saya bersetuju dengan pandangan umum bahawa cerita-cerita seram/hantu yang didramakan dan difilemkan itu tidak mendatangkan manfaat yang benar-benar bermakna kepada masyarakat. Bolehkah kita mengatakan bahawa cerita seperti itu dapat menghiburkan penonton kalau pada masa yang sama cerita-cerita itu telah menyebabkan penonton menjadi penakut dan mempercayai tahayul?
Saya sendiri berasa pelik dan hairan apabila filem seperti “Ngangkung”, misalnya, turut ditayangkan di televisyen pada Hari Raya Aidilfitri yang lalu, walhal Aidilfitri merupakan hari untuk kita meraikan kemenangan melawan nafsu! Hari Raya Aidilfitri berkait dengan agama kita! Lalu, mengapakah perkara tahayul seperti yang ada dalam “Ngangkung” itu dipertontonkan kepada kita pada hari yang mulia itu? Perkara tahayul bukan hiburan!
Kita faham akan prinsip pihak penerbit/pengeluar drama dan filem — mereka akan menghasilkan karya yang hanya mendapat sambutan penonton, yang menjanjikan keuntungan kepada mereka. Kebetulan dua tiga tahun belakangan ini filem dan drama seram/hantulah yang mendapat sambutan, maka karya yang demikianlah yang dihasilkan mereka. Malah, ada penerbit yang sama terus menerbitkan filem dan drama demikian dengan pelbagai judul yang berbeda.
Di pihak pengendali televisyen, demi memastikan rating mereka terus kekal atau meningkat, mereka juga bertindak seperti penerbit/pengeluar flem — menghasilkan karya yang hanya mendapat sambutan penonton. Oleh sebab yang demikianlah kita dapat menonton pelbagai rancangan yang berunsur hantu/seram secara mingguan (seperti “Terowong”) lewat televisyen swasta ataupun berbayar.
Walau bagaimanapun, hal-hal yang dapat memesongkan aqidah tidak harus dijadikan sebagai hiburan apatah lagi dijadikan sebagai bahan untuk mengaut keuntungan. Pihak penerbit/pengeluar filem dan drama seperti pengendali televisyen harus sedar akan hakikat ini. Tidakkah kalian (wahai pengendali televisyen, khususnya) berasa pelik, pada waktu lain kalian mengajar kami tentang agama, tetapi pada waktu yang lain kalian mengajar kami hal yang berlawanan dengan agama.
Teguran mantan PM itu tentang kesan negatif filem dan drama hantu/seram itu memang benar. Teguran agamawan tentang hal yang sama itu berlebih-lebih lagi benarnya kerana mereka bercakap dalam kerangka agama. Tetapi, mengapakah kita memilih-milih dalam hal ini? Bukankah sepatutnya kita jangan melihat siapakah yang bercakap sebaliknya melihat apakah yang dicakapkannya!
No comments:
Post a Comment