Wednesday, October 19, 2011

Keinsanan dan Keihsanan yang Semakin Pudar: Saatnya Mendekat

Keinsanan dan keihsanan jelas telah semakin meluntur daripada makhluk yang bernama manusia. Semalam dan hari ini, handai taulan dan sanak saudara berbuih-buih mulut bercerita tentang sikap manusia (di negara luar) yang tidak berhati perut kerana melanggar anak kecil berulang-ulang dan yang memerhatikannya langsung tidak ambil parwah.

Pada hari yang lebih kurang sama, kita juga dapat mendengar perihal lunturnya keinsanan dan keihsanan manusia (di negara kita) sehingga ada yang tergamak untuk mengelar bayi yang baru sahaja dilahirkan. Sebelum itu, ada yang kering hati meletakkan bayinya di dalam tong pam tandas sehingga biru bayi itu di dalamnya.

Sebelum itu lagi, ada orang yang lebih celaka daripada iblis yang tergamak untuk menghumbankan bayinya dari kediamannya yang bertingkat-tingkat itu ke bawah. Sebelum itu dan sebelum itu, kita melihat pelbagai kekejaman lain yang menyerlahkan kemiskinan nilai keinsanan dan keihsanan dalam diri manusia.

(Saya pernah berkata bahawa sekarang inilah tempohnya (Ogos, September, Oktober, November, dan Disember) untuk kita melihat puluhan (mungkin ratusan dan ribuan bayi tidak sah taraf) yang dilahirkan daripada keseronokan pada awal cuti semester 2010, sambutan Tahun Baharu 2011, sambutan Hari Valentine’s, dsb itu).

Tetapi, kita (saya, khususnya) tidak sampai terfikir bahawa rupa-rupanya ada manusia yang tergamak untuk mengelar atau menghumbankan bayi mereka yang terhasil daripada perbuatan mereka berseronok-seronok dengan kemaksiatan pada sambutan-sambutan itu dahulu.

Kita (saya, khususnya) cuma terfikir bahawa mereka hanya akan meninggalkan bayi mereka di surau, membiarkannya di tepi jalan, dan membiarkan anjing atau semut “membunuh” bayi-bayi itu (kejam juga). Betul, saya langsung tidak menyangka bahawa ada antara mereka yang tergamak untuk mematikan bayi itu dengan tangan mereka sendiri!

Bayi-bayi itu — senipis tujuh belahan rambut pun dosanya tiada, lalu mengapakah mereka diperlakukan sedemikian zalim oleh para gadis dan wanita yang seharusnya tebal nilai keibuan mereka? Ke manakah lenyapnya kelembutan semula jadi seorang ibu sehingga mereka lebih jahat daripada iblis?

Atau, inikah ketikanya nilai ihsan terangkat dari dalam hati manusia sebagai menandakan semakin hampirnya akhir zaman? Banyak yang bersetuju bahawa memang inilah masa dan ketikanya. Dan, kita menjadi sebahagian daripada ketika dan masa itu! Alangkah celakanya kita kerana menjadi sebahagian daripada fitnah tersebut!

Lebih celaka lagi, kita punya hukum Allah paling ampuh untuk menangani kebejatan itu, tetapi sangat malang, hukum itu (yang sangat jelas dapat menakutkan manusia daripada melakukan kejahatan) telah menakutkan orang-orang yang barangkali memang memahukan kejahatan membarah dalam masyarakat kita. Dan sekali lagi, kita berada dalam lingkungan orang-orang yang memahukan barah kejahatan itu merebak.

2 comments:

  1. Allah swt memiliki 100 rahmat. Dia menurunkan satu rahmat ke dunia untuk para jin manusia, haiwan dan binatang melata. Dengan rahmat itu juga para makhluk dapat berkasih sayang, berlemah lembut, dan dengannya juga binatang buas menyayangi anak-anaknya. Allah swt mengakhirkan 99 rahmatNya yang akan diberikan kepada hamba-hambaNya pada hari kiamat.(Hadis muttafaqun ‘alaih rawahul Bukhari dan Muslim).

    Semoga Allah merahmati kita semua di dunia dan akhirat. Amin.

    ReplyDelete
  2. Salam, Cik Mistree,
    Amin, ya Allah....

    Terima kasih kerana mengetengahkan hadis itu kepada kami. Marilah kita berusaha untuk mendapatkan rahmat Allah yang satu itu di dunia dan yang 99 lagi di akhirat.

    ReplyDelete