Saya mengenali tokoh ini melalui sebatang pensel yang
menjadi isu penting kepada seorang pelajar yang bernama Zahid. Tokoh ini telah
berjaya mengangkat isu tentang sebatang pensel yang dibeli oleh Zahid daripada
upah memungut getah skrap “menjadi begitu besar” dalam kehidupan seorang
pelajar dan kerjaya perguruan. Pensel itu dicuri oleh Dolah Udin. Zahid
mempertahankan haknya lalu bergaduh dengan si pencuri, tetapi si pencuri,
kerana pandai berlakon, tidak didenda oleh Cikgu Jamal. Yang didenda ialah
Zahid sendiri sehingga menumbuhkan suatu perasaan lain dalam diri Zahid, khususnya
terhadap Cikgu Jamal (bacalah cerpen yang berjudul “Pensel Sebatang” karya
Mohd. Ali Majod itu, kalau kebetulan saudara-saudara belum pernah membacanya).
Bermula dengan sebatang pensel itu, saya mula meminati beliau (sama dengan saya
menyukai Datuk Abdullah Hussain dan Allahyarham Azizi Hj. Abdullah), lalu kemudiannya saya dapat
membaca cerpen beliau yang lain seperti “Lubang Udara”, “Ngayau”, “Songkokisme”,
“Burung Besar”, dan lain-lain.
Kerana terjun ke dalam bidang penerbitan dan menyukai susastera, ditakdirkan Allah SWT, saya berkesempatan untuk menangani cerpen-cerpen penulis yang bernamapenakan Ali Majod ini. Beberapa orang pengarang, antaranya Allahyarham Dr. Othman Puteh dan Dr. Ramli Isin, telah menghimpunkan cerpennya di dalam beberapa buah antologi. Lalu cerpen-cerpen Ali Majod seperti “Soal Klise” dan “Kehendak Zaman” telah dipertanggungjawabkan oleh ketua saya untuk disunting atau dibaca prufnya — hal ini lebih seronok daripada membacanya sahaja. Kemudian, saya sempat menghimpunkan beberapa buah cerpennya dalam antologi mini (diterbitkan pada tahun 1996). Hal ini membuka peluang saya untuk bertemu dengannya beberapa kali. Sesungguhnya, manusia yang saya kenal melalui sebatang pensel itu sangat sederhana dan sudi untuk bekerjasama.
Perkenalan singkat boleh menjadi kekal dalam ingatan atau
mungkin boleh menjadi sesingkat pertemuan itu — terpulang bagaimanakah kita
menghargainya. Saya senantiasa menghargainya dan akan menyapanya lebih dahulu apabila
kebetulan berpapasan dengan beliau kerana perkenalan yang singkat tidak memungkinkan
beliau ingat akan diri ini. Kali akhir saya berpapasan dengannya tidak dapat
saya ingat, tetapi lokasinya di DBP. Kami berbual-bual pendek dan saya takut
untuk membangkitkan soal antologi cerpen mini itu kerana saya tidak pasti sama ada beliau
ada menerima royaltinya.
Dan semalam, insan yang bernama Mohd. Ali Majod — yang karyanya
dibaca oleh pelajar sama ada yang berada di peringkat menengah rendah atau di
peringkat menengah tinggi; yang karyanya dibaca juga oleh penggiat-penggiat dan peminar sastera yang lain;
yang karyanya pernah memenangi Hadiah Karya Sastera 1971 dan 1972, Sayembara Esso-Gapena
1980 dan 1982, Hadiah Sastera Malaysia 1986/1987; serta pernah diangkat sebagai Tokoh
Cerpen Negeri Sembilan 2005; yang lewat karya-karyanya itu membuka mata dan
fikiran kita tentang pelbagai aspek kehidupan — telah pergi meninggalkan kita
untuk selama-lamanya.
Kepada anak-anak yang pernah membaca cerpen “Diari Seorang Pengawas” semasa berada di menengah rendah dahulu serta semua penggemar sastera, kita telah kehilangan sebutir lagi permata zamrud yang sejak sekian lama ikut mengangkat martabat susastera kita. Marilah kita membaca al-Fatihah untuk disedekahkan kepada roh Almarhum Mohd. Ali Majod, semoga pengajaran dalam karya-karyanya menjadi amal jariah kepadanya, dan rohnya ditempatkan oleh Allah Robbul Jalil bersama-sama dengan orang-orang yang beriman. Amin.
CATATAN
Almarhum menderitai penyakit kejang
urat saraf yang berpunca daripada kegagalan sistem imunisasi badannya untuk
berfungsi seperti normal. Kerana penyakit yang dideritainya sejak setahun lalu itu,
almarhum sudah tidak dapat berkata-kata/bertutur dan bergerak secara normal
lagi. Tenaganya sendiri diperoleh daripada makanan yang perlu dimasukkan
melalui tiub khusus yang disambung terus ke sistem usus di perutnya. Innalillahi wa inna ilaihi roji‘un.