Friday, September 16, 2011

Tauliah Malapetaka

Malapetaka ini Engkau turunkan
kepada kami mengapa, ya Allah?
Bencikah Engkau kepada kami
atau ini sekadar ujian-Mu
supaya kami terus sigap siaga?

Wahai Allah, ke manakah kami
pada kesudahan hayat kami kelak
dibawa oleh ulil amri yang
doa untuknya dan ahli keluarganya
kami aminkan setiap minggu?

Barangkali malapetaka ini
tanda Engkau murka akan kami
kerana kami terus mengaminkan doa itu
walhal ulil amri itu tidak pernah
sekalipun mendakwahi kami.

Barangkali juga malapetaka ini
tanda Engkau murka akan kami
kerana kami terus memuliakannya
walhal setiap ucapan ulil amri itu
lahir daripada mata pena orang lain.

Adakah aku juga perlu ditauliahi
untuk berkata-kata seperti ini?

Tuesday, September 13, 2011

Kisah Ibnu Sabu dan Ibnu Kling

LAPORAN

Mantan Ketua Polis Negara, Yang Berbahagia Tun Mohd. Haniff Omar, telah mengadakan pertemuan dengan Yang Berhormat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein baru-baru ini. Selepas pertemuan itu, mantan Ketua Polis Negara itu menyatakan pandangan (pendirian)nya tentang Ibnu Sabu (serta kenyataan yang dilafazkan oleh Timbalan Presiden PAS itu tentang Mat [Ahmad] Indera).

Menurut mantan KPN itu, Ibnu Sabu tidak perlu di“ISA”kan berikutan kenyataannya meng“hero”kan Ahmad Indera itu. Alasan mantan itu ialah kenyataan Ibnu Sabu itu tidak mengancam keselamatan negara. Walau bagaimanapun, oleh sebab kenyataan Ibnu Sabu itu telah menyebabkan banyak pihak terperanjat, cemas, dan marah, maka menurut mantan KPN itu, Seksyen 505 Kanun Keseksaan (kesalahan melibatkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam) boleh dikenakan terhadap Ibnu Sabu.

“Akta Hasutan juga boleh digunakan sebab dia (Ibnu Sabu) kata, kalau PAS berkuasa, dia akan ubah sejarah. Ada implikasinya kalau kita teliti perkara ini secara mendalam kerana di situ terdapat bibit-bibit hasutan,” kata mantan KPN itu lagi. Malah, beliau mendapati Ibnu Sabu tidak memperlihatkan penyesalan daripada kenyataan yang dilafazkannya itu.

“Dia sudah jauh tersilap daripada segi fakta dan daripada segi sentimen. Saya nyatakan perkara ini kerana saya tengok dia tidak menyesal, yang mana kalau dia menyesal, dia akan cakap dia terlanjur,” katanya.

Sementara itu, Datuk Seri Hishammuddin merasakan bahawa interaksi beliau dengan bekas-bekas pegawai kanan polis bagi mendapatkan pandangan mereka tentang perkara berkenaan sangat penting. Beliau tidak mahu kerana disebabkan politik, orang buta sejarah sehingga boleh memecahbelahkan masyarakat,” katanya.

Begitulah kisah yang diberitakan oleh BERNAMA.

PANDANGAN

Selain kenyataan Ibnu Sabu itu, adakah kenyataan Profesor Ibnu Kling bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah oleh British, sebaliknya hanya menjadi naungan dan lindungan negara penjajah itu, turut dibincangkan dalam pertemuan antara Menteri Dalam Negeri dengan mantan KPN itu? Kalau tidak dibincangkan, akan adakah perbincangan tentang hal itu sehari dua ini?

Hal itu perlu dibincangkan juga kerana tidakkah mantan KPN itu merasakan bahawa, seperti kenyataan Ibnu Sabu, kenyataan Profesor Ibnu Kling itu juga telah menyebabkan “banyak pihak terperanjat, cemas, dan marah” dan hingga demikian Seksyen 505 Kanun Keseksaan wajar dikenakan terhadap profesor itu?

Hakikatnya, kenyataan profesor itu lebih memeranjatkan dan mencemaskan kerana melalui kenyataan itu, rakyat merasakan bahawa apa-apa yang dipelajari oleh mereka dalam mata pelajaran Sejarah dahulu dan kini ialah suatu pembohongan dan pembodohan!

Melalui kenyataan Profesor Ibnu Kling itu juga, rakyat rupa-rupanya baru mengetahui bahawa sambutan kemerdekaan yang diadakan selama ini (53 kali) sia-sia dan membazirkan wang ringgit malah memalukan mereka (kita)! Sudah tentu kita berasa malu kerana mengada-ada menyambut hari kemerdekaan (dengan perarakan yang pelbagai dan tema yang beraneka) seperti negara lain walhal “negara kita tidak pernah dijajah”!

Kalau Akta Hasutan juga boleh dikenakan terhadap Ibnu Sabu kerana Ibnu Sabu ada berkata bahawa “kalau PAS berkuasa, dia akan ubah sejarah”, maka tidak bolehkah akta yang sama dikenakan terhadap Profesor Ibnu Kling kerana beliau secara terang-terangan telah mencuba untuk mengubah sejarah! Beliau juga tidak menunjukkan penyesalannya.

Kalau dengan kenyataan Ibnu Sabu itu menyebabkan mantan KPN itu mengkategorikan Ibnu Sabu “sudah jauh tersilap daripada segi fakta dan daripada segi sentimen”, tidakkah mantan itu merasakan bahawa profesor itu juga telah melakukan perkara yang sama? Lebih buruk lagi, kenyataan Profesor Ibnu Kling (Tanah Melayu tidak pernah dijajah oleh British) itu menggambarkan bahawa kita (rakyat), termasuk Menteri Dalam Negeri, rupa-rupanya buta sejarah!

Bercakap dan bertindaklah dengan saksama.

Monday, September 12, 2011

Tanah Melayu Tidak Pernah Dijajah

Banyak antara kita yang kenal akan tokoh yang baru-baru ini mengemukakan suatu “fakta” sejarah baharu hingga mengejutkan dan menggemparkan kita yang pernah mempelajari Sejarah – bahawa, kecuali Negeri-negeri Selat, Tanah Melayu tidak pernah dijajah sebaliknya hanya dinaungi atau dilindungi oleh pihak British.

Tokoh yang bercakap itu bukan sembarangan tokoh, tetapi Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN). Dia berkata bahawa sejak Perjanjian Pangkor ditandatangani pada tahun 1874, tidak pernah tercatat dalam perjanjian itu bahawa Tanah Melayu akan dijajah oleh pihak British.

Kenyataan beliau itu seolah-olah menggambarkan bahawa mana-mana pihak yang berhasrat hendak menjajah sesebuah negara, hasrat mereka itu mestilah dimeterai melalui suatu perjanjian, yang antara lain isinya mestilah berbunyi, “... bahawa dengan ini kami, orang Eropah (dsb), hendak menjajah negara kalian...”.

Sebaliknya, kalau perjanjian yang dimeterai itu berisi penyataan yang lebih kurang berbunyi begini, iaitu “... dengan ini, kalian hendaklah mengaku bahawa negeri ini berada di bawah naungan dan lindungan kami...”, maka pemimpin dan isi rakyat negeri yang bersetuju dengan perjanjian itu bukan dijajah tetapi dinaungi dan dilindungi.

Saya beranggapan bahawa demikianlah kefahaman Profesor itu tentang penjajahan. Jadi, janganlah kita memarahinya. Dia menghujahkannya mengikut apa-apa yang dikatakan oleh pihak yang menjajah itu dalam perjanjian (menurut beliau Perjanjian Pangkor). Dia mungkin tidak sedar akan hakikat bahawa bahasa penjajah ialah “bahasa mulut disuap pisang, buntut dikait onak” yang selalunya kalau berhajatkan sesuatu sangat pintar “bertanam tebu di bibir mulut”.

Atau benar juga kata YAB Menteri Besar Kelantan bahawa “... orang ini tidur dalam gua begitu lama lalu sedar dan berkata-kata dalam keadaan mengigau, barangkali akibat berada dalam usus penjajah begitu lama...”.

Tidak lama lagi bergelar Sirlah dia.

Friday, September 9, 2011

Pandak Endut dan Ahmad Indera

BUKAN sedikit daripada kita yang pernah menderitai susah payah dan jerih-perih semasa penjajah menguasai negara ini. Di pihak yang lain, bukan sedikit pula bilangannya yang hanya mengetahui dan “merasai” penderitaan rakyat zaman penjajah itu melalui pembacaan dan penceritaan oleh datuk nenek serta ibu ayah kita.

Oleh hal yang demikian, kita harus bersyukur kepada Ilahi kerana Dia telah menanamkan kesedaran dalam hati rakyat zaman itu bagi berjuang untuk mengusir penjajah yang telah merampok hasil mahsul negara kita dengan terang-terangan. Sebagai hasil kesedaran dan perjuangan mereka yang ikhlas itulah kita akhirnya bebas daripada penjajahan.

Bagi sesetengah pihak, termasuk saya sendiri, yang lebih penting daripada perjuangan rakyat pada zaman itu ialah, saya tidak berasa malu kerana bangsa saya tergolong sebagai bangsa yang berani, berpendirian, dan berkesedaran tinggi. Keberanian, pendirian, dan kesedaran mereka itu setara dengan keberanian, pendirian, dan kesedaran bangsa di negara lain yang pernah menjadi mangsa penjajah.

Maka, apabila ada orang yang mempertikaikan keberadaan dan ketuanan Melayu di bumi yang asalnya bernama Tanah Melayu ini, saya dengan mudah akan mengungkit hal ini kerana yang kita ketahui, hanya insan yang bernama seperti si Putum, Pandak Endut, Dato’ Maharajalela, To’ Sagor, To’ Bahaman, Mat Kilau, To’ Janggut, Mat Salleh, Abdul Rahman Limbong, Dol Said, dll sahajalah yang berjuang untuk mengusir penjajah sedang Ghee Hin dan Hai San hanya berebut kawasan yang menjanjikan kekayaan!

Apakah bezanya perjuangan insan-insan seperti si Putum dll ini dengan perjuangan orang yang menjadi komunis?

Sangat jelas bahawa insan seperti si Putum dan lain-lain berjuang untuk mengusir penjajah yang memandai-mandai mengatur hidup rakyat di negara ini. Orang yang menjadi komunis, selain berjuang untuk mengusir Jepun dan Inggeris, mereka berjuang untuk menguasai negara ini dan menyebarkan ideologi mereka – komunisme! Apakah komunisme? Salah satu daripadanya ialah hak kesamarataan dan yang paling berbahaya ialah mereka tidak bertuhan!

Ahmad Indera? Saya bersetuju dengan Haji Mat Sabu bahawa Mat Indera ialah salah seorang pejuang tanah air kerana dia terlibat untuk mengusir British dari negara ini dengan menyerang polis British. Yang saya tidak setuju ialah wadah yang dipilih oleh Ahmad Indera untuk mengusir British – PKM (Parti Komunis Malaya)!

Kalau kita berpatah balik pada tahun 1875 (tahun JWW Birch, si wakil penjajah British, dibunuh), kita akan mengetahui kewajaran tindakan Ahmad Indera menyerang polis British. Pada tahun itu (1875), beberapa waktu sebelum pembunuhan Birch, suatu perisytiharan telah dikeluarkan oleh pihak British dan ditampal di Pasir Salak.

Siapakah orang yang menampalnya? Mat Arshad! Apakah tanggapan orang-orang Melayu Perak terhadap Mat Arshad? Tali barut British! Apakah yang terjadi kepada Mat Arshad? Dibunuh oleh Pandak Endut! Apakah tanggapan orang Melayu Perak dan orang Melayu di Malaysia secara keseluruhannya pada masa ini terhadap Pandak Endut? Pejuang tanah air, pembela pertiwi!

Antara Pandak Endut dengan Mat Arshad, siapakah yang lebih kita hargai perjuangannya?

Inilah masalahnya. Di satu sisi, kita mengangkat dan mengiktiraf keberanian insan yang membunuh tali barut British itu sebagai pejuang tanah air, pembela pertiwi, tetapi di sisi yang satu lagi, kita mengangkat orang yang menjadi polis British sebagai pejuang tanah air, pembela pertiwi manakala yang mencuba untuk menghapuskan askar British itu sebagai petualang negara.

Semasa saya belajar di sekolah rendah dahulu, propaganda British yang meletakkan insan seperti To’ Sagor, Dato’ Maharajalela, dll sebagai penderhaka masih disebarluaskan. Dalam buku Sejarah pada tempoh itu, mereka masih dicop sebagai penderhaka! Saya mula mempelajari Sejarah pada tahun 1972! Buku-buku teks pada waktu itu dikeluarkan oleh kerajaan yang sama dengan kerajaan sekarang.

Kesilapan itu ditukar beberapa tahun kemudian dan terus kekal hingga kini.

Adakah label yang diletakkan pada nama Ahmad Indera oleh kerajaan sekarang juga suatu kesilapan?

Sebenarnya, pembicaraan tentang sejarah bukanlah sesuatu yang menyeronokkan kalau ada yang disembunyikan.

Thursday, September 8, 2011

Bukan Leteran, tetapi Peringatan

Puasa Ramadhan yang baru kita tinggalkan 10 hari lalu akan mendatangi kita semula (jika Allah SWT masih menghidupkan kita dan tidak “mengkiamatkan” alam ini) dalam tempoh 312 hari lagi, yakni tidak sampai setahun dari sekarang.

Puasa Ramadhan tetap bermula pada 1 Ramadhan, tetapi mengikut tahun Masihi, awal Ramadhan 1433 dijangkakan jatuh pada 21 Julai 2012. Semua orang sedar bahawa tempoh 312 hari sangat cepat berlalunya.

Dari Jumaat ke Jumaat pada zaman kita hidup ini terasa seperti dari jam 1:15 petang hingga jam 2:15 petang sekejap tadi. Malah, bau daging kambing yang dimakan sebelum solat Jumaat minggu lalu masih lagi terbau-bau sampai saat ini. Begitulah pantasnya masa berlalu.

Usahlah kita risaukan sama ada kita sempat bertemu dengan Ramadhan 1433 akan datang. Sebaliknya, marilah kita kejapkan semangat dan azam kita untuk menjadikan amal kebajikan yang kita praktikkan sepanjang Ramadhan lalu sebagai budaya kita.

Marilah kita mengenyahkan sikap hipokrit kita — meramaikan surau dan masjid hanya pada Ramadhan sahaja sedang bulan-bulan selepasnya, kita seperti “membebaskan diri daripada kongkongan” Ramadhan. Astaghfirullah....

Kegembiraan kita melawan bujukan nafsu sepanjang Ramadhan janganlah dirayakan hingga sebulan penuh Syawal. Kegembiraan itu harus dipada-padakan. Cukup-cukuplah kerana kegembiraan itu sepatutnya kita rayakan di akhirat nanti.

Jangan jadi orang bersuluk (seperti di kampung saya semasa zaman kanak-kanak saya dahulu). Apabila berasa berdosa, mereka bersuluk hingga berminggu-minggu. Keluar daripada bersuluk, mereka melakukan dosa lagi. Kemudian mereka bersuluk lagi.

Najis jangan kita ulang-ulang memijaknya!

Tuesday, September 6, 2011

Tukar, Tukar, dan Tukar!

Tahun-tahun akhir 1980-an mendekatkan saya dengan Hentian Puduraya. Pada tempoh itu, hentian itu menjadi destinasi (transit) penting saya untuk ke pejabat atau untuk pulang ke kediaman saya di Semenyih. Hentian Puduraya pada waktu itu, seperti sebelum dan beberapa waktu selepasnya, bukanlah hentian yang selesa kepada pengguna seperti KL Sentral sekarang atau seperti Lapangan Terbang Subang suatu waktu dahulu apatah lagi seperti KLIA yang mula beroperasi pada Jun 1998 itu. Pengguna bukan sahaja terpaksa berebut-rebut untuk menaiki bas Foh Hup, misalnya, malah terdedah kepada ancaman penyeluk saku dan kaki “pau”. Malahan, pengalaman menunggu di tempat menunggu di ruang legar seperti berada di atas salai — panas dan merimaskan.

Kini, hentian yang telah “memberikan khidmat baktinya” sejak Oktober 1976 itu telah berubah wajah. Tidak seperti semasa saya akrab dengannya dahulu, hentian itu kini lebih selamat, selesa, dan efisien. Hentian itu kini dilengkapi dengan 296 kamera litar tertutup (CCTV) serta pendingin hawa dan eskalator selain sistem pengumuman awam untuk mengumumkan ketibaan dan pelepasan bas. Khabarnya, CCTV yang ditempatkan di lokasi strategik itu dipantau oleh 48 orang kakitangan keselamatan demi memastikan keselamatan dan keselesaan pengunjung dan penumpang.

Walau bagaimanapun, berada di hentian itu pada penghujung tahun-tahun 1980-an (atau semasa pertama kali menjejakkan kaki di hentian itu pada tahun 1979 dahulu) lebih membanggakan saya daripada hari ini, khususnya selepas 27 Ogos 2011 lalu. Berada di situ pada waktu itu sama seperti berada di Stadium Merdeka, Stadium Negara, Masjid Negara, Muzium Negara, dan lain-lain kerana saya benar-benar merasakan Malaysia dan Melayunya. Sayang, hanya kerana telah dimodenkan dan dicanggihkan sehingga menyamai dan setaraf dengan sebuah lapangan terbang, namanya terpaksa ditukar kepada yang lebih antarabangsa (agaknya) — Pudu Sentral.

Apakah yang tidak kena pada Puduraya yang lebih lokal (Melayu dan Malaysia) itu tidak glokal, tidak antarabangsa, tidak komersial? Puduraya — “antarabangsat”kah namanya hingga perlu diPuduSentralkan? Kalau namanya tetap Puduraya, orang akan berasa malukah? Kalau namanya masih Puduraya, pengunjung akan berkurangkah? Kalau namanya terus Puduraya, akan diletupkan pengganaskah hentian itu?

Inilah salah satu sifat sebahagian daripada kita — kurang yakin pada sesuatu yang melambangkan diri dan jati diri. Ada orang yang namanya Bakar berasa bangga dipanggil Burn, Fatimah dipanggil Fetty, Khairul dipanggil Carol, Muhammad dipanggil Mike, dan pelbagai panggilan lain kerana Bakar, Fatimah, Khairul, Muhammad, dan lain-lain itu tidak glokal, kekampungan, dan kolot! Mereka tidak sedar bahawa perbuatan menukar nama itu telah melukakan hati ibu bapa yang telah memberi mereka nama yang sedemikian kerana nama-nama sedemikian sangat dekat dengan Melayu, Nabi, dan Islam.

Sama seperti Stadium Merdeka, nama Puduraya ada nilai sejarahnya. Sama seperti Stadium Merdeka, nama Puduraya sangat akrab dengan bangsanya. Nama Puduraya ada kaitannya dengan Almarhum Perdana Menteri kita yang ketiga — Tun Hussein Onn — yang merasmikannya pada 2 Oktober 1976 dahulu. Menukarkan namanya telah mengubah sebahagian daripada sejarah yang membabitkan almarhum itu! Rasanya lebih elok kalau nama Puduraya itu ditukar kepada nama yang ada kaitan dengan almarhum itu — Hentian Tun Hussein — misalnya.

Bagaimanakah agaknya perasaan kita kalau Stadium Merdeka pada suatu hari nanti ditukar namanya kepada Stadium Sentral, misalnya?

Teringat saya akan lagu jenaka yang berjudul “Raya” dendangan Jalil Hamid:

Kalau banyak harta benda, orang itu kaya raya
Kalau tempat lalu kereta, itulah jalan raya
Hentian bas ibu kota, itu di Puduraya, di tengah bandar raya

Puduraya sudah tidak Raya lagi, Lil!

[Tulisan ini didraf pada pagi 28 Ogos 2011, selepas mendengar berita radio tentang penukaran nama Puduraya kepada Pudu Sentral oleh YAB Perdana Menteri.]

Monday, September 5, 2011

Ops-Ops Sikap dan Peningkatan Jumlah Kenderaan

Kita sudah mengusahakan pelbagai cara untuk mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya, namun hingga kini kadar itu masih belum dapat dikurangkan. Pihak yang bertanggunggungjawab tentang hal ini (JKJR, JPJ, PDRM, dll) seperti bersetuju bahawa peningkatan ini berpunca daripada peningkatan jumlah kenderaan yang berada di jalan raya! Kita juga mungkin bersetuju dengan hakikat ini.

Peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya bermaksud bahawa jumlah orang yang layak memandu dan jumlah orang yang memiliki kenderaan telah meningkat. Peningkatan yang menjadi penyumbang kepada peningkatan bilangan kenderaan di jalan raya ini sebenarnya menjadi idaman pihak yang mengejar wang — pembiaya pinjaman kenderaan, penjual kenderaan, pengusaha stesen minyak, dan pengendali lebuh raya bertol!

Di satu pihak yang lain, peningkatan jumlah kemalangan di jalan raya menjadi idaman pengusaha bengkel kenderaan pula!

Hal ini bermaksud bahawa hal yang menjadi malapetaka kepada kita rupa-rupanya ada manfaatnya kepada pihak yang lain! Lantas, apakah yang harus kita lakukan?

Soal keselamatan di jalan raya berkait dengan soal imej negara dan bangsanya. Oleh itu, hal ini perlu kita atasi. Kalau benar peningkatan jumlah kenderaan telah menjadi penyumbang kepada peningkatan kadar kemalangan di jalan raya, kita harus berasa malu kerana hal ini menggambarkan bahawa kita telah gagal melahirkan pemandu yang berhemah. Pemandu yang lama gagal dihemahkan, pemandu yang baharu pun gagal dihemahkan!

Tidak ada cara lain untuk menghemahkan pemandu selain melalui penguatkuasaan undang-undang. Lancarkanlah beratus-ratus siri Ops Sikap sekalipun, kita tidak akan dapat membetulkan sikap pemandu kalau penguatkuasaan undang-undang masih lemah. Menghemahkan manusia harus dilakukan oleh manusia, bukan kamera statik atau perangkap laju! Sejak bilakah alat dapat membentuk akhlak dan disiplin manusia?

Saya ambil diri saya sebagai contoh (mungkin saudara/saudari pun seperti saya juga). Saya memandu atau menunggang motosikal pada setiap hari. Kesalahan yang dapat saya saksikan pada setiap hari (yang dilakukan oleh penunggang atau pemandu kenderaan) ialah melanggar isyarat lampu merah. Benar, setiap hari saya dapat melihat hal ini, baik di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya yang menjadi laluan kerja saya atau di Kajang yang menjadi tempat tinggal saya! (Perlu diingat, kesalahan ini dapat mengundang padah.)

Mengapakah mereka berani melakukan demikian? Hal ini tidak lain kerana mereka senantiasa terlepas daripada penguatkuasaan. Kamera statik tidak menakutkan mereka, sungguh! Bukankah baik kalau setiap kali mereka melakukan kesalahan, mereka dihambat oleh motosikal peronda (seperti yang dilakukan oleh Starsky & Hutch). Kalau seorang dua penguasa berada di lokasi dan menghambat pesalah dan hal ini dilihat pada setiap hari oleh pengguna, pasti pengguna takut untuk melanggar isyarat lampu merah!

Penguatkuasaan yang dilakukan secara bermusim terbukti tidak berjaya untuk mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya. Statistik yang dikeluarkan oleh Cawangan Trafik Bukit Aman membuktikan hal ini. Daripada hanya 279 711 kes kemalangan yang berlaku setahun (2002), kes kemalangan di jalan raya di negara ini telah meningkat kepada 414 421 setahun (2010) — hampir menyamai kes kemalangan (tahunan) yang berlaku di Negara China yang berpenduduk lebih daripada 1.3 bilion itu!

Pelaksanaan Ops Sikap janganlah bermatlamat untuk membetulkan sikap pengguna jalan raya sahaja. Ops Sikap haruslah bermatlamat untuk membetulkan sikap penguasa juga.