Friday, September 16, 2011

Tauliah Malapetaka

Malapetaka ini Engkau turunkan
kepada kami mengapa, ya Allah?
Bencikah Engkau kepada kami
atau ini sekadar ujian-Mu
supaya kami terus sigap siaga?

Wahai Allah, ke manakah kami
pada kesudahan hayat kami kelak
dibawa oleh ulil amri yang
doa untuknya dan ahli keluarganya
kami aminkan setiap minggu?

Barangkali malapetaka ini
tanda Engkau murka akan kami
kerana kami terus mengaminkan doa itu
walhal ulil amri itu tidak pernah
sekalipun mendakwahi kami.

Barangkali juga malapetaka ini
tanda Engkau murka akan kami
kerana kami terus memuliakannya
walhal setiap ucapan ulil amri itu
lahir daripada mata pena orang lain.

Adakah aku juga perlu ditauliahi
untuk berkata-kata seperti ini?

2 comments:

  1. Sdr. Zul,

    Saya perhatikan doa kepada YDP Agung lebih ringkas dan menepati doa kepada ulil amri.

    Lazimnya ketika doa yang panjang lebar untuk sultan dan kaum kerabatnya dibaca ketika khutbah Jumaat, saya berdoa dalam hati agar Allah melembutkan hati kesemuanya menjadi pemimpin dan penaung rakyat yang adil, takwa dan terlepas daripada segala sifat mazmumah. Maka kita bukan sekadar mengaminkan doa keselamatan dan kesihatannya sahaja, tetapi mendoakan sikap, pendirian dan amalan mereka supaya selaras dengan tuntutan Allah.

    ReplyDelete
  2. Salam, Prof,
    Ada kalangan kenalan saya yang enggan mengaminkan doa yang dibaca khatib khusus untuk ulil amri ini.

    Seperti Prof, di dalam hati, saya akan meminta doa yang lain untuk ulil amri ini - mengurniai mereka petunjuk dan hidayah.

    Di negeri tempat saya bernaung sekarang, mengapakah para khatib tidak mendoakan hal ini khusus untuk mereka?

    ReplyDelete