Thursday, September 29, 2011

Gadis Mangsa dan Teruna Pemangsa

Tidak ada apa-apa yang dapat kita harapkan daripada seorang pemuda yang berusia 20 tahun dalam aspek melindungi anak-anak gadis semuda enam tahun apatah lagi yang sudah mencecah usia 12 atau 13 tahun pada tempoh aman ini. Tempoh aman, maksud saya, ialah tempoh kita berada sekarang ini — tiada bencana atau musibah besar dan tiada perang di dalam negara.

Dalam tempoh aman ini, kita dapati pemuda tidak seperti binatang. Binatang tidak bertindak memabukkan dan mengkhayalkan betina untuk memuaskan nafsunya, tetapi para pemuda melakukannya demikian. Anak gadis semuda 12 tahun tergamak diratah dan dikotorkan kesuciannya melalui cara yang demikian oleh pemuda yang sudah berusia 20 tahun.

Bukankah sepatutnya pemuda yang berusia matang itu melindungi gadis yang semuda itu? Bagaimanakah halnya kalau negara ini berada dalam keadaan huru-hara oleh bencana dan perang? Pemuda seperti ini, yang diharapkan agar dapat melindungi anak bangsa yang seagama dalam tempoh gawat itu, pasti menggunakan alasan DEMI KESELAMATAN untuk memuaskan nafsunya.

Berada dalam tempoh aman tidak bermakna ibu bapa harus membiarkan anak-anak lepas bebas ke sana ke mari. Kecurigaan harus mengiringi anak-anak kita, tidak kira anak kita itu seorang gadis ataupun teruna. Kalau anak kita itu gadis, mereka berpotensi untuk menjadi mangsa, kalau anak kita teruna, mereka berpotensi untuk menjadi pemangsa!

Tidak timbul soal susah untuk menjaga anak gadis seorang berbanding dengan kerbau sekandang. Menjaga anak teruna seorang lebih susah lagi kerana anak teruna itu berpotensi untuk mengharu-birukan kehidupan seorang anak gadis dan ahli keluarganya. Anak teruna kitalah yang sebenarnya berpotensi untuk merosakkan sistem kemasyarakatan.

Kembalilah kepada Islam — ambil semuanya, jangan ambil sebahagian sahaja. Berasa malulah kita kepada Allah SWT kerana kita hanya dekat dengan Islam dalam hal berkaitan khatan/masuk Jawi, nikah kahwin, doa arwah, dan pengebumian jenazah. Lain daripada itu, kita menyertai orang bukan Islam — dunia, dunia, dunia; kuasa-kuasa, kuasa; harta, harta, harta.

Sebagai hasilnya, anak-anak sudah berperangai di luar tabii kerana kita sendiri ikut melayan tabii nafsu dan iblis!

Berita songsang sana sini

Gadis 12 tahun dirogol beberapa kali oleh seorang pemuda berusia 20 tahun setelah gadis itu diberi rokok yang dipercayai berisi dadah.

Seorang gadis berusia 16 tahun dirogol bergilir-gilir oleh lapan lelaki selepas dibawa membonceng motosikal dan makan bersama pemuda yang tidak dikenali.

4 comments:

  1. "...setelah gadis diberi rokok..."
    "...bersama pemuda yang tidak dikenali..."

    Sememangnya si teruna adalah pemangsa, tetapi zaman sekarang ni kalau diberi makan tebu tanpa upah, siapa yang taknak, kan? Takkan si gadis tu tak tahu nak berfikir? Tak tahu ke dia berita semasa?

    ReplyDelete
  2. Salam, Anon,
    Itulah isunya. Pemuda tidak lagi dapat dijadikan sebagai pelindung ... melainkan menjadi orang yang makan tebu tanpa upah.

    ReplyDelete
  3. Zaman sekarang ni, kita dah tak boleh nak bergantung pada sesiapapun, Saudara Zul. Masing-masing kena jaga tepi kain sendiri. Dah takde lagi dah orang nak jaga tepi kain kita, melainkan untuk mengumpat and berdengki. Keselamatan diri di tangan (dan minda) masing-masing, bukan lagi di tangan teruna mahupun orang tercinta... maklumlah sekarang ni dah terlampau banyak kes pagar makan padi... anak-anak pun dah tak selamat bersama ahli keluarga sendiri (mampu menggeleng kepala je)

    ReplyDelete
  4. Salam, Sdr Dopey,
    Alangkah malangnya kita kalau corak hidup yang Sdr ketengahkan ini menjadi sebahagian besar kehidupan. Bagaimanakah agaknya kalau yang pagar makan padi mendominasi kehidupan dan yang bersikap melindungi berkurangan. Na'uzubillah.

    ReplyDelete