Thursday, August 25, 2011

Pecutan Akhir

Memang sudah lazimnya manusia, apabila perjalanan yang ditempuh semakin lama dan jauh jaraknya, semakin longlai dan gontailah gerak mereka. Keletihan dan kurangnya daya tahan mental dan fizikal menyebabkan mereka akur terhadap keletihan yang melonglaikan dan menggontaikan mereka.

Walhal, mereka sudah mengetahui takat dan sempadan untuk mereka kemudiannya berehat seketika bagi menarik nafas dan menyedut oksigen supaya diri kembali segar, mata fikir kembali hidup. Tidak ada sebab yang lain yang menjadikan mereka beralah terhadap kelesuan itu selain lemahnya mental mereka.

Oleh sebab itulah Salahuddin al-Ayubi menjadikan qiamulail dan solat tahajud sebagai amalan penting kepada tenteranya. Hal ini dilakukannya demikian kerana beliau tahu bahawa kaedah itu dapat memperkuat mental tenteranya — ya, melawan nikmat tidur dapat mempertajam dan memantapkan mental manusia.

Tetapi di sini, kita saban tahun dapat melihat betapa manusia terus melayan kelesuan mereka kerana tahap kekuatan mental mereka serapuh dan selemau keropok ikan atau keropok udang. Keadaan padat di mana-mana musolla pada minggu awal Ramadhan akan segera bertukar menjadi lompang dan jarang sebelum masuk fasa kedua lagi.

Berbuih-buih mulut para pentazkirah menyebut hal ini saban tahun, berkali-kali sudah muka jemaah putih-merah-hitam disindir pentazkirah, namun peringatan dan sindiran itu tidak lebih seperti melembing langit (kerana langsung tidak berbekas di hati sebilangan jemaah). Kehadiran mereka semakin langka!

Padahal, fasa ketiga dan terakhir menjanjikan kehadiran lailatul qodr. Fasa ketiga dan terakhir juga menjanjikan pembebasan daripada api neraka (walaupun hal ini mungkin palsu, namun kita tidak boleh mengesampingkan kemungkinan kebenarannya. Jangan menjadikannya sebagai wajib memadailah kepada kita.)

Kita sudah mengetahui titik akhirnya — 29 atau 30 Ramadhan. Jadi, mengapakah tidak kita tingkatkan pecutan kita seperti kita menyuruh anak-anak kita meningkatkan pecutan (usaha) mereka dengan mengulang kaji pelajaran bagi menghadapi UPSR, PMR, dan SPM serta STPM pada September, Oktober, November ini?

Amal pada malam lailatul qodr bersamaan dengan 1000 bulan (83 tahun 4 bulan). Hal ini bermaksud bahawa kalau kita dapat menemuinya, kita beroleh kebaikan amalan yang solid untuk 1000 bulan/83 tahun 4 bulan itu. Tetapi hairan, mengapakah kita memilih untuk melayan kelesuan kita?

Kalaupun Idulfitrilah yang menjadi keutamaan, mengapakah tidak dipilih hari-hari sebelum Ramadhan untuk membeli pakaian, langsir, kerusi meja, dan pelbagai kelengkapan lain (bagi memenuhi keutamaan itu). Bersiap lebih awal (kerana Idulfitri sangat penting) akan memberi kita kesempatan untuk beramal bersungguh-sungguh sepanjang Ramadhan.

Bayang-bayangkanlah bahawa Ramadhan ini Ramadhan kita yang terakhir. Mungkin cara ini akan menyedarkan kita, kalau kita tahu hakikat Ramadhan.

Tuesday, August 23, 2011

Kisah Khatib dan Teropong Dada

Tidak seperti kelaziman yang berlaku di kampung, solat Jumaat di bandar akan kita rasai bezanya. Di kampung, kelaziman yang kita lihat ialah sebahagian besar jemaahnya adalah daripada kalangan orang Melayu serta sebilangan kecil jemaah daripada peniaga India yang selalu kita panggil “mamak” itu. Kesemua mereka, termasuk saya sendiri dan tuan-tuan sendiri, sangat arif dalam bahasa Melayu, tetapi lazimnya kita hanya melongo apabila bahasa Arab (ayat-ayat al-Quran dan hadis) dibaca oleh khatib yang bertugas.

Sebaliknya, kelaziman yang dilalui di kampung tidak berlaku di bandar. Di bandar, kini, jemaahnya terdiri daripada pelbagai bangsa – selain orang Melayu, ada jemaah yang berasal dari Semenanjung Arab, Afrika, Pakistan, Iran, dan sebagainya. Kebanyakan mereka berada di negara ini sama ada untuk belajar, berniaga, ataupun menjadi kakitangan institusi pengajian tinggi swasta. Kalau kita rajin meneliti, kebanyakan jemaah asing ini hanya melongo pada sebahagian besar tempoh khatib berkhutbah.

Walau bagaimanapun, jangan terkejut kalau selepas usai bersolat Jumaat, ada antara jemaah dari Arab, Afrika, dan lain-lain itu memberikan teguran serta melahirkan rasa tidak puas hati mereka kepada kita terhadap khatib yang bertugas. Senario yang memang benar-benar berlaku ini sebenarnya bukan sahaja mengaibkan khatib yang bertugas, malah turut mengaibkan pihak pentadbir masjid dan Melayu-Islam sendiri. Yang ditegur oleh mereka sudah tentulah bukan isi khutbah yang disampaikan dalam bahasa Melayu itu, tetapi bacaan ayat al-Quran dan hadis oleh khatib.

Ruang yang membolehkan jemaah asing itu memberikan teguran dan melahirkan rasa tidak puas hati mereka terhadap khatib adalah kerana sesetengah khatib yang bertugas bukan daripada kalangan orang atau tokoh yang berlatarbelakangkan pendidikan agama. (Hal ini sebenarnya banyak berlaku di kampung, tetapi khatib kampung “terselamat” daripada teguran seperti ini kerana kebanyakan jemaahnya “mengiakan” sahaja apa-apa yang disampaikan/dibaca oleh khatib kerana mereka tidak arif dan tidak faham akan bahasa Arab.)

Dalam suatu peristiwa, isi khutbah (dalam bahasa Melayu) dilengkapi dengan potongan ayat al-Quran daripada surah al-Kahfi, ayat 10. Khatib yang berkhutbah pada waktu itu membacanya begini (elok kiranya tuan-tuan merujuk kepada ayat al-Quran yang sebenarnya):

iz awal fitnatu ilalkahfi...


Walhal, ayat itu sepatutnya dibaca begini:

iz awal fityatu ilalkahfi...


Dalam hal ini, khatib itu telah mengungkapkan kalimat fityatu sebagai fitnatu yang menyebabkan ayat yang sepatutnya bermaksud “Ketika serombongan pemuda pergi ke gua...” berubah menjadi lebih kurang “Ketika serombongan pemfitnah pergi ke gua...”.
Apabila hal itu berlaku, sudah tentulah jemaah asing yang faham al-Quran (termasuk juga para hafiz Melayu) terkejut oleh pengucapan khatib itu. Selepas usai bersolat sunat badiah, seorang pensyarah merapati teman saya (seorang hafiz yang juga imam gantian) seraya berkata, “Tidak ada orang lain lagikah yang sesuai untuk membaca khutbah?” Teman saya diam sahaja.

Persoalannya ialah, salah siapakah apabila hal seperti ini terjadi? Adakah salah pihak pentadbir masjid kerana memilih khatib daripada kalangan orang yang demikian itu ataupun salah khatib itu sendiri?

Saya sependapat dengan rakan hafiz saya. Sebenarnya asal orang itu Islam dan beriman, mereka layak untuk menyampaikan khutbah kerana di negara kita, khatib yang berdiri di atas mimbar itu ditugaskan untuk “membaca khutbah” bukan memberikan khutbah/berkhutbah. Jika mereka ditugaskan untuk berkhutbah, elok kiranya dipilih orang yang benar-benar berlatarbelakangkan pendidikan agama. Begitulah pendapat kami.

Membaca khutbah bermaksud bahawa seseorang itu diberi teks untuk dibaca. Dalam konteks ini, biasanya pihak masjid dan khatib telah menerima teks itu (daripada pihak berkuasa agama) sekurang-kurangnya seminggu lebih awal. Oleh hal yang demikian, khatib mempunyai masa yang banyak dan panjang (cukup) untuk menghayati isi khutbah, menyemak potongan ayat al-Quran dan hadis yang digunakan, serta melancarkan pembacaan potongan ayat-ayat itu dan doa-doa yang mengiringi teks. Jadi, mengapakah khatib itu tidak “memesrai” teks itu walhal jadual khatib yang bertugas telah diketahuinya sebulan lebih awal?

Salah seorang rakan (bukan berlatarbelakangkan agama juga) sudah beberapa kali diberi tanggungjawab sebagai pembaca khutbah. Alhamdulillah, sehingga kini beliau tidak menerima teguran apa-apa. Hal ini berlaku demikian kerana beliau benar-benar mendalami isi khutbah (yang hendak dibacanya) selain menyemak potongan ayat-ayat al-Quran dan hadis yang ada dalam teks daripada ustaz-ustaz yang diyakininya sehingga kalau kebetulan teks itu turut menyebut nama-nama tokoh tertentu, sebutan yang betul untuk nama tokoh itu pun dirujuknya kepada ustaz-ustaz. Intonasi yang digunakan beliau semasa membaca khutbah pun sangat menarik kerana beliau telah bersedia lebih awal.

Demikianlah yang patut dilakukan oleh para khatib. Memanglah jemaah tidak bercakap semasa khatib membaca khutbah kerana banyak jemaah yang meneropong dada sendiri semasa khatib membaca khutbah. Hal itu berlaku demikian kerana tajuk khutbah kerap kali membosankan jemaah, penyampaian khatib pula sangat mendatar, pembacaan oleh khatib kerap juga tersekat-sekat, dan lain-lain. Tetapi, ada kalanya dengan tajuk yang “menangkap” dan pengucapan khatib yang berkobar-kobar pun ada juga segelintir jenaah yang hanyut dibuai mimpi kerana mereka memang kaki teropong dada!

Monday, August 22, 2011

Kepergian Azizi Haji Abdullah ke Alam Baqa

Dalam postingnya yang bertajuk “Jemu yang Terpaksa” yang tersiar pada pada 9 April 2011, antara lain insan yang besar jasanya itu mencatatkan begini:

Novel terbaru yang baru siap setebal 299 muka bertajuk ‘MANDALA DUNIA KE DUA’ mujur menjadi peneman. Untuk edit kali ke 8 dan terakhir dapat juga dilakukan secara penyegan. Alhamdulillah rasanya sempat habis sebelum bedah. Jika hayat saya pendek, barangkali inilah novel terakhir saya.

Demikianlah antara lain insan itu menyelitkan luahan perasaannya dalam Blog beliau – http://aziziabdullah.blogspot.com.

Antara sebab insan itu berkata demikian adalah kerana pada waktu itu beliau sedang berada di hospital untuk menjalani pembedahan jantung yang tarikhnya belum dapat dipastikan hingga saat itu. Pembedahan bermaksud bahawa beliau perlu berdepan dengan dua kemungkinan – berjaya atau tidak berjaya. Atas sebab itulah insan itu dengan penuh sedar mengungkapkan kalimat “Jika hayat saya pendek, barangkali inilah novel terakhir saya” itu.

Ternyata bahawa hayat insan itu memang pendek kerana setelah diuji oleh Allah SWT dengan pelbagai komplikasi selepas jantungnya dibedah pada bulan yang sama, insan itu akhirnya dijemput Allah SWT untuk menghadap-Nya semalam (21 Ogos 2011 Masihi/21 Ramadan 1432 Hijrah). Al-Fatihah untuk roh insan itu, Allahyarham (Cikgu) Azizi Haji Abdullah.

Perpindahan beliau ke alam baqa dari alam yang fana ini bermaksud bahawa kita telah kehilangan seorang lagi pengarang besar negara (yang sangat prolifik).

Saya sempat menangani sebuah dua karya beliau. Antaranya termasuklah novel Tukcai, 1991 (semasa berkhidmat di PFB. Judul ini diterbitkan semula oleh pihak Alaf 21 pada 2007, tetapi naskhah yang diterbitkan oleh pihak Alaf 21 ini telah mengalami proses semakan yang ketara kerana pengakhiran ceritanya berbeda daripada pengakhiran cerita pada Edisi 1991). Saya turut menyelenggarakan antologi cerpen mini beliau — Jangan Pisahkan Aku, 1997 (semasa berkhidmat di Sasbadi Sdn Bhd).

Allahyarham memang insan penulis yang hebat kerana banyak karyanya yang mendapat pengiktirafan pada peringkat nasional (kerana memenangi pelbagai sayembara – Hadiah Karya Sastera (Hadiah Sastera Malaysia dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia), Sayembara Cerpen Anjuran Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri, Esso-Gapena, Yayasan Sabah-Gapena, Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank, Anugerah Sri Angkasa, Hadiah Sako, Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP, dan sebagainya). Karyanya ada yang diterjemahkan ke dalam bahasa asing.

Yang merugikan saya ialah walaupun saya pernah memesrai karyanya, saya tidak sempat mengakrabkan diri dengan beliau (seperti sahabat saya, Puan Nor Azah Aziz) kecuali melalui perbualan telefon. Tatkala bertemu dengannya yang menjadi salah seorang penerima anugerah (pemenang) dalam Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank dahulu pun saya tidak sempat berbual mesra dengan beliau.

Antara novel dengan cerpen Allahyarham, saya lebih menyukai cerpen-cerpennya. Saya suka akan “Paku Payung Limau Mandarin”, “Jangan Pisahkan Aku!”, “Seladang”, “Pendoa yang Ikhlas”, “Tulang Pekasam Ikan Puyu”, “Wau Kepala Burung”, “Tersungkap”, dll.

Dalam bidang politik, beliau pernah bertanding atas tiket PAS untuk merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kulim pada PRU 1999, tetapi tewas kepada calon BN/MCA, Yong Pau Chak. Allahyarham memperoleh 5 785 undi berbanding Yong yang mendapat 11 653 undi.

Tidak banyak penulis lain yang “rajin” dan tekal untuk menggarap kisah orang tua dalam karya-karyanya seperti Allahyarham. Tidak banyak juga pengarang yang dapat menggarap, mengolah, dan mengangkat isu yang remeh menjadi begitu penting dalam karyanya seperti Allahyarham. Yang pasti selepas ini, tidak dapat lagi untuk kita ikuti hasil tulisannya dalam Blog dan akhbar sert majalah.

Marilah kita sama-sama berdoa agar segala jasa dan khidmat bakti Allahyarham dalam bidang penulisan dan perguruan/pendidikan menjadi amal jariah untuk dirinya yang memungkinkannya ditempatkan di dalam Jannah Allah bersama-sama dengan insan mukmini dan muslimin yang lain. Amin.

Sunday, August 21, 2011

Esso Malaysia Berhad dan Syarikat Arak

Terkejut kita dengan tindakan ExxonMobil International Inc yang bersetuju untuk menjual 65% pegangannya dalam Esso Malaysia Berhad kepada San Miguel Corporation (SMC). Yang mengejutkan kita ialah SMC merupakan syarikat arak Filipina. Tambah mengejutkan kita ialah tindakan ExxonMobil International Inc yang menolak tawaran Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan menerima tawaran SMC itu.

LTAT membuat tawaran yang lebih tinggi daripada SMC, tetapi ExxonMobil International Inc lebih sudi menerima tawaran SMC. (Perlu diingat bahawa harga pasaran Esso Malaysia ialah RM4.07 sesaham dan LTAT bersedia untuk membelinya pada harga RM5.20 sesaham, iaitu 27% lebih tinggi daripada harga pasaran.) Sebaliknya, SMC membelinya pada harga diskaun yang 29% lebih rendah daripada harga pasaran.

Penjualan Esso Malaysia Berhad kepada SMC (syarikat induk Petron, iaitu syarikat penapisan dan pemasaran minyak yang terbesar di Filipina) bermaksud bahawa 560 stesen minyak Esso dan Mobil di seluruh negara (termasuk di Borneo) serta loji penapisan minyak di Port Dickson akan menjadi milik asing. Ya, syarikat asing yang berkaitan arak akan memiliki saham terbesar dalam Esso Malaysia Berhad, iaitu 65%.

Sebagai pengguna Islam, kita harus berfikir tentang hal ini, yakni haruskah kita bersubahat untuk mengayakan syarikat yang berkaitan arak? Sebagai pekerja Islam di Esso Malaysia Berhad, kalian juga harus memikirkan keberadaan kalian dalam Esso Malaysia Berhad. Jika janji niaga ini diluluskan oleh pihak MITI, KPDNKP, dan Suruhanjaya Sekuriti kelak, kita harus benar-benar merasionalkan tindakan kita.

Monday, August 15, 2011

Keputusan Kejohanan Badminton Dunia Yonex-BWF 2011

Semalam saya meramalkan bahawa ada pemain negara lain yang dapat menyekat dominasi Negara China daripada menjuarai mana-mana lima acara yang dipertandingkan dalam Kejohanan Badminton Dunia Yonex-BWF 2011 yang berlangsung di Wembley Arena, London. Walau bagaimanapun, oleh sebab saya bukan Nujum Pak Belalang, ramalan itu tidak menjadi kenyataan. Kecuali Datuk Lee Chong Wei yang dapat memaksa Lin Dan bermain dalam tiga set, semua pemain yang diramalkan dapat menyekat penguasaan Negara China itu kalah dengan permainan terus.

Hal ini bermaksud bahawa dominasi Negara China yang memenangi semua acara pada kejohanan yang sama pada tahun lalu berulang lagi pada tahun ini. Kejayaan itu lebih manis kerana kejayaan mereka itu diperoleh dengan mengalahkan pemain dari negara lain, kecuali dalam acara beregu wanita yang mempertemukan pasangan dari negara yang sama. Mereka ternyata begitu mantap dan sukar untuk digugat oleh mana-mana pemain. Harapan yang kita gantungkan pada Datuk Lee Chong hampir menjadi kenyataan apabila beliau kalah tipis kepada seterunya, Lin Dan dengan keputusan 22-20, 14-21, 21-23.

Sebelum itu, China sudahpun memenangi acara beregu wanita yang mempertemukan kedua-pasangan dari Negara Tembok Besar itu. Dalam perlawanan itu, Wang Xiaoli-Yu Yang mengalahkan Tian Qing- Zhao Yunlei dengan keputusan 22-20, 21-11.

Dalam acara perseorangan wanita pula, hajat Cheng Shao Chieh dari Taiwan untuk mengalahkan Wang Yihan tidak menjadi kenyataan. Pemain Taiwan yang digelar sebagai si “Pembunuh Gergasi” dalam kejohanan kali ini itu akur pada kehebatan Wang Yihan yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan misi kejayaan negaranya dengan keputusan 21-15, 21-10.

Dalam acara beregu campuran, impian Chris Adcock-Imogen Bankier (England/Scotland) untuk menjinakkan Zhang Nan-Zhao Yunlei tidak menjadi kenyataan. Pasangan British itu kalah kepada pasangan Negara China itu dengan keputusan keputusan 21-15,21-7.

Melihat kepada permainan Ko Sung Hyun-Yoo Yeon Seong dari Korea Selatan semasa menentang Koo Kean Kiat-Tan Boon Heow (Malaysia) pada peringkat suku akhir dan Mahammad Ahsan-Bona Septano (Indonesia) pada peringkat separuh akhir, saya berasa yakin bahawa pasangan Korea Selatan itu akan bergelar sebagai juara beregu lelaki. Walau bagaimanapun, keyakinan saya itu terkubur apabila mereka dijinakkan oleh Cai Yun-Fu Hai Feng dalam permainan terus, iaitu dengan keputusan 18-21, 14-21.

Pada tahun hadapan, kejohanan ini tidak akan diadakan kerana pihak BWF akan memberikan tumpuan terhadap Sukan Olimpik yang turut mempertandingan permainan badminton. Kejohanan ini hanya akan diadakan semula pada tahun 2013. Pada waktu itu, Datuk Lee Chong Wei sudah berusia 31 tahun!

Datuk Lee Chong Wei memang hebat, tetapi ternyata bahawa beliau tidak sehebat Taufik Hidayat dan Lin Dan. Kedua-dua pemain itu, selain memenangi pelbagai kejohanan terbuka seperti Datuk Lee Chong Wei, pernah mengecap kejuaraan dalam Sukan Asia, Sukan Olimpik, Kejohanan Dunia, dan Piala Thomas sendiri. Sebaliknya, Datuk Lee Chong Wei masih kempunan untuk menjadi juara dalam keempat-empat kejohanan itu.

Taufik Hidayat menjadi juara Sukan Asia sebanyak dua kali (2002 dan 2006), Sukan Olimpik sekali (2004), Kejohanan Dunia sekali (2005), dan Piala Thomas dua kali (2000 dan 2002). Lin Dan pula menjadi juara Sukan Asia sekali (2010), Sukan Olimpik sekali (2008), Kejohanan Dunia empat kali (2006, 2007, 2009, dan 2011), dan Piala Thomas (2004, 2006, 2008, dan 2010) selain memenangi Piala Sudirman (2005, 2007, 2009, dan 2011) dan Kejohanan Asia (2010 dan 2011).

Masa semakin suntuk untuk Datuk Lee Chong Wei menjadi juara dalam mana-mana empat kejohanan itu. Negara ini pula masih terkial-kial untuk mencari penggantinya. Kita tunggu sahajalah.

Sunday, August 14, 2011

Kejohanan Badminton Dunia Yonex-BWF 2011

Kejohanan Badminton Dunia Yonex-BWF 2011 yang berlangsung di Wembley Arena, London sejak 8 Ogos lalu tiba di kemuncaknya pada hari ini. Pada peringkat akhir hari ini, satu-satunya wakil negara, iaitu tidak lain tidak bukan Datuk Lee Chong Wei, akan bersaing dalam acara perseorangan. Pemain yang akan ditentangnya tidak lain tidak bukan wakil dari negara China, iaitu Lin Dan.

Sebagai maklumat, selain Datuk Lee Chong Wei, pemain terbaik negara hanyalah pasangan Koo Kean Kiat dan Tan Boon Heow yang sempat bersaing pada pusingan suku akhir. Dua beregu lelaki lain (Chan Peng Soon-Lim Khim Wah dan Mohd Zakri Abdul Latif-Hoo Thien How) hanya sempat bermain di pusingan pertama dan kedua sahaja. Kedua-dua beregu wanita (Ng Hui Ern-Ng Hui Lin dan Wong Pei Tty-Tan Eei Hui) hanya sempat berpeluh pada pusingan kedua sahaja. Pasangan beregu campuran pula (Ong Jien Guo-Chong Sook Chin dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying) hanya sempat berpeluh pada pusingan kedua dan ketiga. Negara kita tidak berwakil dalam acara perseorangan wanita.

Tatkala kita hanya bergantung harap pada Datuk Lee Chong Wei, negara China mempunyai wakil dalam semua acara akhir hari ini. Walaupun pencapaian negara China agak merosot pada tahun ini berbanding dengan kejohanan lalu, mereka tetap mempunyai wakil dalam semua acara. Satu-satunya acara yang bakal mempertemukan sesama mereka pada kejohanan tahun ini ialah acara beregu wanita.

Sebagai imbasan, pada kejohanan yang sama di Paris pada tahun lalu, hanya acara perseorangan lelaki dan acara beregu lelaki sahaja yang tidak mempertemukan pemain dari negara China. Oleh sebab itu, dalam kejohanan itu, negara China memenangi kesemua acara. Chen Jin memenangi acara perseorangan lelaki setelah mengalahkan Taufik Hidayat (Indonesia); Cai Yun-Fu Haifeng memenangi acara beregu lelaki selepas mengalahkan beregu negara kita, Tan Boon Heong-Koo Kean Kiat; Wang Lin memenangi acara perseorangan wanita selepas menjinakkan rakan senegaranya, Wang Xin; Du Jing-Yu Yang menjuarai acara beregu wanita selepas menundukkan Ma Jin-Wang Xioli; Zheng Bo-Ma Jin pula menjuarai acara beregu campuran selepas menumpaskan He Hanbin-Yu Yang.

Pada perlawanan akhir hari ini, selain pertemuan Datuk Lee Chong Wei-Lin Dan, kita akan dapat menyaksikan perlawanan Cheng Shao Chieh (Taiwan) dengan Wang Yihan (China) dalam acara perseorangan wanita; Ko Sung Hyun-Yoo Yeon Seong (Korea Selatan) dengan Fu Haifeng-Cai Yun (China) dalam acara beregu lelaki; Wang Xioli-Yu Yang (China) dengan Tian Qing-Zhao Yunlei (China) dalam acara beregu wanita; dan Chris Adcock-Imogen Bankier (England/Scotland) dengan Zhang Nan-Zhao Yunlei (China) dalam acara beregu campuran.

Kita berharap agar ada pemain yang dapat memecahkan dominasi negara China itu. Pada ramalan saya, pemain yang mampu untuk memecahkan dominasi itu ialah Ko Sung Hyun-Yoo Yeon Seong dalam acara beregu lelaki, Cheng Shao Chieh dalam acara perseorangan wanita, dan sudah tentulah Datuk Lee Chong Wei dalam acara perseorangan lelaki. Sama-samalah kita tunggu!

Walau bagaimanapun, janganlah sampai mengesampingkan solat Maghrib dan Isyak serta solat sunat Tarawih secara berjemaah di masjid dan surau semata-mata kerana hendak menyaksikan perlawanan akhir itu. Ramadan tahun ini entah-entah yang terakhir untuk kita! Antara dua yang akhir itu, yang manakah pilihan anda?Kejohanan Badminton Dunia Yonex-BWF 2011 yang berlangsung di Wembley Arena, London sejak 8 Ogos lalu tiba di kemuncaknya pada hari ini. Pada peringkat akhir hari ini, satu-satunya wakil negara, iaitu tidak lain tidak bukan Datuk Lee Chong Wei, akan bersaing dalam acara perseorangan. Pemain yang akan ditentangnya tidak lain tidak bukan wakil dari negara China, iaitu Lin Dan.

Sebagai maklumat, selain Datuk Lee Chong Wei, pemain terbaik negara hanyalah pasangan Koo Kean Kiat dan Tan Boon Heow yang sempat bersaing pada pusingan suku akhir. Dua beregu lelaki lain (Chan Peng Soon-Lim Khim Wah dan Mohd Zakri Abdul Latif-Hoo Thien How) hanya sempat bermain di pusingan pertama dan kedua sahaja. Kedua-dua beregu wanita (Ng Hui Ern-Ng Hui Lin dan Wong Pei Tty-Tan Eei Hui) hanya sempat berpeluh pada pusingan kedua sahaja. Pasangan beregu campuran pula (Ong Jien Guo-Chong Sook Chin dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying) hanya sempat berpeluh pada pusingan kedua dan ketiga. Negara kita tidak berwakil dalam acara perseorangan wanita.

Tatkala kita hanya bergantung harap pada Datuk Lee Chong Wei, negara China mempunyai wakil dalam semua acara akhir hari ini. Walaupun pencapaian negara China agak merosot pada tahun ini berbanding dengan kejohanan lalu, mereka tetap mempunyai wakil dalam semua acara. Satu-satunya acara yang bakal mempertemukan sesama mereka pada kejohanan tahun ini ialah acara beregu wanita.

Sebagai imbasan, pada kejohanan yang sama di Paris pada tahun lalu, hanya acara perseorangan lelaki dan acara beregu lelaki sahaja yang tidak mempertemukan pemain dari negara China. Oleh sebab itu, dalam kejohanan itu, negara China memenangi kesemua acara. Chen Jin memenangi acara perseorangan lelaki setelah mengalahkan Taufik Hidayat (Indonesia); Cai Yun-Fu Haifeng memenangi acara beregu lelaki selepas mengalahkan beregu negara kita, Tan Boon Heong-Koo Kean Kiat; Wang Lin memenangi acara perseorangan wanita selepas menjinakkan rakan senegaranya, Wang Xin; Du Jing-Yu Yang menjuarai acara beregu wanita selepas menundukkan Ma Jin-Wang Xioli; Zheng Bo-Ma Jin pula menjuarai acara beregu campuran selepas menumpaskan He Hanbin-Yu Yang.

Pada perlawanan akhir hari ini, selain pertemuan Datuk Lee Chong Wei-Lin Dan, kita akan dapat menyaksikan perlawanan Cheng Shao Chieh (Taiwan) dengan Wang Yihan (China) dalam acara perseorangan wanita; Ko Sung Hyun-Yoo Yeon Seong (Korea Selatan) dengan Fu Haifeng-Cai Yun (China) dalam acara beregu lelaki; Wang Xioli-Yu Yang (China) dengan Tian Qing-Zhao Yunlei (China) dalam acara beregu wanita; dan Chris Adcock-Imogen Bankier (England/Scotland) dengan Zhang Nan-Zhao Yunlei (China) dalam acara beregu campuran.

Kita berharap agar ada pemain yang dapat memecahkan dominasi negara China itu. Pada ramalan saya, pemain yang mampu untuk memecahkan dominasi itu ialah Ko Sung Hyun-Yoo Yeon Seong dalam acara beregu lelaki, Cheng Shao Chieh dalam acara perseorangan wanita, dan sudah tentulah Datuk Lee Chong Wei dalam acara perseorangan lelaki. Sama-samalah kita tunggu!

Walau bagaimanapun, janganlah sampai mengesampingkan solat Maghrib dan Isyak serta solat sunat Tarawih secara berjemaah di masjid dan surau semata-mata kerana hendak menyaksikan perlawanan akhir itu. Ramadan tahun ini entah-entah yang terakhir untuk kita! Antara dua yang akhir itu, yang manakah pilihan anda?

Thursday, August 11, 2011

“Eh, aku ingat engkau dah pindah!” yang Memedihkan Hati Orang Itu

Kerana beranggapan bahawa mereka cukup warak dan beriman, ada sebilangan orang yang akrab dengan surau dan masjid, meletakkan orang yang culas ke surau dan masjid pada kedudukan yang menghampiri takat hina. Malah, ada kalangan orang yang kononnya warak dan beriman ini yang enggan mendatangi majlis tahlil atau doa selamat yang dianjurkan oleh orang-orang yang culas itu tadi (kalau majlis tah apa-apa dan majlis doa tak selamat, tentulah mereka langsung tidak menampakkan muka).

Ada kalangan orang yang culas itu, apabila sekali-sekala berjemaah di surau atau masjid, disindir oleh orang yang kononnya warak dan beriman itu dengan ayat-ayat yang menikam hati dan perasaan. “Eh, aku ingat engkau dah pindah!” demikian antara ungkapan yang pernah saya dengar daripada mulut orang yang merasakan diri mereka warak dan beriman itu kepada orang yang culas tersebut. Saya lihat, si culas itu tersenyum kelat sambil menahn geram manakala orang yang kononnya warak dan beriman itu tersenyum sinis.

Saya berasa amat jengkel terhadap perbuatan teman yang kononnya warak dan beriman itu. Memang benar si culas itu jarang-jarang datang berjemaah ke surau berbanding dengan dirinya, tetapi apakah yang diketahui oleh teman yang kononnya warak dan beriman itu tentang masalah yang mungkin dihadapi oleh si culas itu? Mungkin beban kerja telah membataskan kewajibannya untuk bersolat secara berjemaah di surau itu, lalu dia memilih untuk melaksanakannya secara berjemaah di tempat kerjanya!

Dalam hati saya berfikir, apalah salahnya kalau teman yang kononnya warak dan beriman itu berkata, misalnya, “Alhamdulillah, dapat juga sahabat kita ini menghadirikan diri ke surau kita”. Dengan ayat yang Islamik dan bertatasusila itu, khususnya apabila berpangkal dengan kalimat Alhamdulillah, saya yakin bahawa si culas itu pasti gembira. Dia pasti merasakan bahawa kelangkaannya berjemaah di surau selama ini rupa-rupanya disedari oleh jemaah lain, dan dengan itu kemunculannya memang dialu-alukan.

Saya sering menjadikan cerita tentang Barsiso (diceritakan oleh Dato’ Ismail Kamus) yang ibadatnya ditakjubi oleh para malaikat itu sebagai pengajaran dalam kehidupan saya. Orang (Barsiso itu) yang sebahagian besar hayatnya dihabiskan untuk beribadat kepada Allah akhirnya mati dalam kesesatan, iaitu disesatkan oleh iblis laknatullah. Dia terpedaya oleh tipu daya iblis yang mengajaknya melakukan satu dosa kerana kononnya dengan melakukan satu dosa, baru dia benar-benar dapat merasai kemanisan dan kelazatan ibadat.

Dalam konteks ini, mana-mana orang yang menyangkakan dirinya warak dan beriman janganlah mendabik dada bahawa dia akan berada dalam keadaannya yang sekarang sehingga akhir hayatnya. Orang yang jernih dan cantik jalan hidupnya pada awal kehidupannnya (seperti Barsiso itu) boleh pada bila-bila masa tergelincir imannya. Sebaliknya, orang yang mencacamarbakan hidupnya dengan maksiat, boleh beroleh hidayah daripada Allah SWT lalu pengakhiran hidupnya berisi dengan iman dan takwa.

Mana-mana insan yang merasakan dirinya warak dan beriman (ala-ala Rakan Masjid) hingga tergamak untuk menyindir rakan dan mengesampingkan jemputan kenduri mereka semata-mata kerana rakan mereka culas ke masjid, berhentilah berperilaku demikian. Kalau kalian tidak pernah mendakwahi mereka, janganlah pula sampai kalian tergamak untuk menghukum mereka. Sepatutnya, kalian gunakanlah majlis kenduri itu, misalnya, untuk melembutkan hati rakan kalian supaya jinak terhadap surau dan masjid.

Allah SWT berfirman:

Kamu sungguh-sungguh akan diuji terhadap hartamu dan dirimu. Dan (juga) kamu sungguh-sungguh akan mendengar daripada orang-orang yang diberi kitab sebelum kamu dan daripada orang-orang yang mempersekutukan Allah, gangguan yang banyak yang menyakitkan hati. Jika kamu bersabar dan bertakwa, maka sesungguhnya yang demikian itu termasuk urusan yang patut diutamakan.

(Ali- ‘Imran: 186)

Allah SWT juga berfirman:

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu dugaan)? Dan demi sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu sebelum mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa-apa yang diketahui oleh Allah tentang orang-orang yang benar-benarnya beriman, dan nyata pula apa-apa yang diketahui-Nya akan orang-orang yang berdusta.

[Al-Ankabut: 2-3]

Wednesday, August 10, 2011

Kakitangan Awam Dapat Setengah Bulan Bonus, Kami Dapat Apa?

Harga petroleum mentah bermain-main pada harga sekitar AS80.00 setong sekarang. Tetapi, harga petrol di negara ini, baik yang namanya RON95 mahupun yang bernama RON97 yang kononnya “diapung-apungkan” atau “dikatung-katungkan” itu, masih lagi “menetap” dengan kejap dan kukuh serta mantap pada harga lama yang “mencekik leher” itu. Menteri yang berkaitan masih mengezip bibir atas bawahnya. Pada bulan Ramadan ini, diam itu ibadat!

Kakitangan awam bakal mendapat “durian runtuh” daripada pihak pemerintah yang “murah hati”. Mereka bakal beroleh ganjaran setengah bulan bonus atau sekurang-kurangya RM500 setiap seorang. Mungkinkah wang perolehan daripada harga petrol (diesel dan gas) yang “terlebih harga” itu yang digunakan oleh pihak pemerintah untuk membiayai kos pembayaran bonus yang jumlah keseluruhannya mencecah RM2 bilion itu? Ini pertanyaan bukan kesangsian!

Kami yang bukan kakitangan awam ini turut bergembira dengan “rezeki terpijak” yang diganjarkan oleh pihak pemerintah kepada kakitangan awam kerana mereka pun bukan orang lain kepada kami. Ada kalangan kakitangan awam itu yang merupakan dansanak kami, sesetengahnya merupakan kenalan kami, jiran setangga seblok sekampung dan setaman kami, malah ada yang menjadi suami atau isteri kami. Seperti mereka, kami pun turut bersyukur!

Walau bagaimanapun, dalam tempoh harga barangan keperluan begitu mahal pada masa ini, kegembiraan dan kesyukuran kami akan bertambah-tambah kalau harga petrol, diesel, dan gas ikut turun seperti turunnya harga bahan mentah itu di pasaran global. Kalau harga barangan keperluan ikut turun bersama dengan turunnya harga petrol, diesel, dan gas kelak, kegembiraan dan kesyukuran kami tambah melimpah-ruah! Itulah bonus untuk kami. Ini harapan bukan desakan!

Kalau tidak turun-turun juga?

Adalah yang akan turun nanti!

Monday, August 8, 2011

Masa: Erti 30 Minit

Setengah jam beristirahat kerana setengah jam lagi diambil oleh majikan kerana mereka telah memberi kami setengah jam supaya kami dapat pulang lebih awal setengah jam pada bulan Ramadan ini, memang masa yang sangat suntuk untuk melelapkan mata.

Pada hari pertama puasa, tepat jam 12:30, saya melentokkan kepala di atas meja. Usaha keras dengan cara membunuh semua angan-angan, supaya mata segera terlelap untuk tempoh lima atau sepuluh minit, sukar sekali hendak direalisasikan.

Akhirnya, dengan segala susah payah dan setelah beberapa kali terlayang-tersedar-terlayang, mata dan fikir berjaya juga di“off”kan. Malangnya, diri hanya kembali tersedar jam 1:15! Saya sudah mencuri 15 minit waktu pejabat! Saya terasa sangat bersalah.

Kerana berasa jera, tengah hari yang lain, saya tidak mahu melelapkan mata. Saya mencuba untuk melakukan hal-hal lain. Baru sekarang saya benar-benar menyedari nilai 30 minit itu — tidak banyak yang dapat dilakukan. Geraknya sangat pantas.

Teringat oleh saya akan kata-kata sahabat Jawa saya, Dr. Bambang, yang sekarang seakan-akan tidak mahu pulang ke negara ini setelah belajar dan bekerja di AS. Beliau berkata, “Kalau engkau hendak merasakan masa lambat berlalu, bacalah Al-Quran!”

Teori beliau itu ada benarnya. Semasa bertadarus, masa seperti perlahan geraknya. Tetapi, tatkala menghafal ayat-ayat Al-Quran, teori itu menyimpang jauh — tempoh satu jam bergerak seperti lipas kudung! Masa satu jam tidak cukup untuk menghafal lima ayat pertama surah Muddassir sekalipun!

Walau apa-apa jua yang diperkatakan orang tentang masa, ingatilah pesanan Rasulullah SAW tentang baiknya kita memanfaatkan lima kesempatan sebelum tiba lima waktu yang membataskan kita untuk memanfaatkan lima peluang itu.

Daripada yang lima itu, fokuskanlah kepada peluang terakhir — manfaatkan peluang hidup ini (dengan kebaikan) sebelum malaikatulmaut, yang membawa kita melalui detik-detik sakaratulmaut, memisahkan nyawa daripada jasad kita!

Kalau kalian payah untuk melelapkan mata, 30 minit itu sangat besar nilainya dengan membaca Al-Quran!

Wednesday, August 3, 2011

Mereka Memang Tidak Pernah Serik

Cerita terbaharu tentang kesungguhan pihak pemerintah untuk mengekalkan kuasa di Persekutuan dan negeri serta merampas kuasa di beberapa buah negeri sangat membimbangkan kita. Mereka telah menggunakan pelbagai agensi untuk memastikan kemenangan mereka dalam PRU akan datang. Antara yang telah dikenal pasti termasuklah adanya usaha untuk mewarganegarakan pendatang asing dan menjadikan mereka sebagai pengundi berdaftar. Demi kuasa, mereka memang tidak pernah serik!

Dahulu, selepas kemenangan yang kurang memberangsangkan dalam PRU, dilakukan persempadanan semula kawasan Parlimen dan DUN. Kerana kononnya orang bukan Melayu telah menyokong parti pemerintah manakala majoriti orang Melayu pula tidak menyokong mereka, maka kawasan yang bermajoriti bukan Melayu diwilayahkan dalam kawasan yang majoriti Melayu. Maka mengecillah majoriti orang Melayu di kawasan yang majoritinya sebelum itu sangat besar. Sebagai hasil perancangan itu, kemenangan pihak pemerintah dalam PRU yang berikutnya sangatlah memberangsangkan.

Namun demikian, apakah yang terjadi kepada parti pemerintah pada PRU yang lalu apabila orang bukan Melayu yang masuk ke dalam wilayah majoriti Melayu tidak menyokong mereka bersama-sama dengan orang Melayu sendiri? Mereka (pihak pemerintah) akhirnya tersungkur hingga beberapa buah negeri terlucut daripada genggaman! Itulah kepahitan yang terpaksa ditelan oleh mereka sebagai akibat daripada kesilapan sendiri — kesan jangka pendek lebih diharapkan daripada kesan jangka panjang!

Tentang usaha yang dilakukan oleh mereka sekarang — mewarganegarakan pendatang asing dan menjadikan mereka pengundi berdaftar — tidak terfikirkah mereka kesan yang bakal dihadapi oleh negara dan rakyat negara ini pada suatu hari nanti? Tidak kiralah sama ada mereka itu memakai nama Mismah (tanpa ayah), Sivalingam, Xin Hua, Eh Ding, dan sebagainya, kewujudan mereka sebagai warganegara baharu negara ini langsung tidak dialu-alukan! Kecintaan mereka kepada negara ini tidak sama dengan kecintaan kami yang memang lahir di negara ini. Mereka hanya mencintai peluang, wang, dan kerjaya.

Kalau hendak menang PRU sekalipun, janganlah diperjudikan nasib warganegara Malaysia yang asal. Cuba-cubalah berfikir mengikut kotak fikir seorang manusia yang waras — kemenangan hanya wujud dalam sesuatu persaingan/pertandingan. Untuk bersaing dan beroleh kemenangan, kalian mesti menjadi yang terbaik. Adakah kalian tidak cukup baik hingga terpaksa melakukan hal-hal yang menguntungkan kalian untuk jangka pendek sedang untuk jangka panjang kalian bukan sahaja telah merugikan diri kalian tetapi telah merugikan rakyat keseluruhannya?

Belajar-belajarlah berasa serik!