Saturday, October 1, 2011

Coli, Seluar Dalam, dan Barah

Macam-macam depa ni. Kerana hendak menyedarkan wanita tentang bahaya barah payu dara, maka di Pittsburgh, Amerika Syarikat, bergantunganlah 4000 helai sarung payu dara (coli) di jambatan yang bernama Hot Metal yang merentangi Sungai Monongahela itu.

Pakaian dalam itu, khabarnya akan menghiasi jambatan itu untuk tempoh tiga minggu. Selepas tempoh itu, pakaian-pakaian itu akan dicuci/dibasuh dan kemudiannya akan didermakan kepada mana-mana rumah perlindungan wanita.

Tidaklah dapat dipastikan sama ada usaha tiga minggu itu akan menelurkan kejayaan ataupun sebaliknya, tetapi kalau usaha itu berjaya, cara yang serupa wajar digunakan untuk tujuan yang lebih kurang sama, tetapi bukan di sini, sebaliknya di tempat itu juga.

Selain barah payu dara, wanita juga harus disedarkan tentang barah pangkal rahim. Maka, untuk tujuan itu, pihak-pihak tertentu – American Eagle Outfitters, khususnya – wajar menggantungkan seluar-seluar dalam di mana-mana jambatan pula supaya mereka turut sedar tentang bahaya pangkal rahim.

Tidak ketinggalan, seluar dalam lelaki juga harus digantungkan bagi menyedarkan kaum lelaki tentang bahaya barah prostat. Dengan adanya usaha yang “kreatif” ini, tentu usaha untuk menyedarkan manusia tentang bahaya barah-barah ini akan “meningkat”.

Berdoalah, janganlah ada hendaknya pihak di sini yang mencuba untuk meniru usaha itu. Kesedaran harus diterbitkan dalam diri setiap umat dengan pemberitahuan secara langsung, bukan melalui pakaian dalam.

Thursday, September 29, 2011

Gadis Mangsa dan Teruna Pemangsa

Tidak ada apa-apa yang dapat kita harapkan daripada seorang pemuda yang berusia 20 tahun dalam aspek melindungi anak-anak gadis semuda enam tahun apatah lagi yang sudah mencecah usia 12 atau 13 tahun pada tempoh aman ini. Tempoh aman, maksud saya, ialah tempoh kita berada sekarang ini — tiada bencana atau musibah besar dan tiada perang di dalam negara.

Dalam tempoh aman ini, kita dapati pemuda tidak seperti binatang. Binatang tidak bertindak memabukkan dan mengkhayalkan betina untuk memuaskan nafsunya, tetapi para pemuda melakukannya demikian. Anak gadis semuda 12 tahun tergamak diratah dan dikotorkan kesuciannya melalui cara yang demikian oleh pemuda yang sudah berusia 20 tahun.

Bukankah sepatutnya pemuda yang berusia matang itu melindungi gadis yang semuda itu? Bagaimanakah halnya kalau negara ini berada dalam keadaan huru-hara oleh bencana dan perang? Pemuda seperti ini, yang diharapkan agar dapat melindungi anak bangsa yang seagama dalam tempoh gawat itu, pasti menggunakan alasan DEMI KESELAMATAN untuk memuaskan nafsunya.

Berada dalam tempoh aman tidak bermakna ibu bapa harus membiarkan anak-anak lepas bebas ke sana ke mari. Kecurigaan harus mengiringi anak-anak kita, tidak kira anak kita itu seorang gadis ataupun teruna. Kalau anak kita itu gadis, mereka berpotensi untuk menjadi mangsa, kalau anak kita teruna, mereka berpotensi untuk menjadi pemangsa!

Tidak timbul soal susah untuk menjaga anak gadis seorang berbanding dengan kerbau sekandang. Menjaga anak teruna seorang lebih susah lagi kerana anak teruna itu berpotensi untuk mengharu-birukan kehidupan seorang anak gadis dan ahli keluarganya. Anak teruna kitalah yang sebenarnya berpotensi untuk merosakkan sistem kemasyarakatan.

Kembalilah kepada Islam — ambil semuanya, jangan ambil sebahagian sahaja. Berasa malulah kita kepada Allah SWT kerana kita hanya dekat dengan Islam dalam hal berkaitan khatan/masuk Jawi, nikah kahwin, doa arwah, dan pengebumian jenazah. Lain daripada itu, kita menyertai orang bukan Islam — dunia, dunia, dunia; kuasa-kuasa, kuasa; harta, harta, harta.

Sebagai hasilnya, anak-anak sudah berperangai di luar tabii kerana kita sendiri ikut melayan tabii nafsu dan iblis!

Berita songsang sana sini

Gadis 12 tahun dirogol beberapa kali oleh seorang pemuda berusia 20 tahun setelah gadis itu diberi rokok yang dipercayai berisi dadah.

Seorang gadis berusia 16 tahun dirogol bergilir-gilir oleh lapan lelaki selepas dibawa membonceng motosikal dan makan bersama pemuda yang tidak dikenali.

Saturday, September 24, 2011

Baru Bercakap tentang Hudud, Digertak; Digertak Menggelabah Pula

MCA tidak mahu hudud. Kalau ada hudud, tiada MCA dalam BN. UMNO pun gelabah, takut sangat MCA menghincitkan diri mereka. Hebatkah MCA? Berapa kerat MP dan ADUN MCAkah yang menang PRU lalu?

UMNO tidak patut gelabah kalau MCA menghincitkan diri mereka. Kalau mereka hincit, mereka bertanding di tempat yang lebih kurang sama dengan MCA dan GERAKAN bertanding juga – kawasan majoriti Cina.

Apakah bezanya kalau MCA ikut DAP menjadi pembangkang? Sekarang pun sudah jelas mereka membangkang – dari dalam. Presiden MCA yang aksi hangatnya pernah menjadi tontonan orang itu apalah sangat berbanding dengan hudud. Kalau hudud diguna pakai pun, dia bukannya kena hudud.

Itulah bezanya iman orang UMNO dengan iman orang dalam PAS. Orang PAS, melalui TG Nik Abdul Aziz, terus memberikan jawaban tegas apabila diprovokasi tentang penerimaan DAP tentang hukum hudud.

“Dia orang nak keluar, itu dia orang punya pasal!” Mudah sahaja jawaban beliau, sebaliknya jawaban orang UMNO, melalui Timbalan Presidennya, sangatlah mengecewakan – ada unsur gelabah dan takut.

Sepatutnya, yang wajib ditakuti oleh UMNO ialah kecuaian mereka selama menerajui negara ini kerana mereka telah memicingkan mata dan menulikan telinga terhadap pelaksanaan hukum hudud – hukum yang disusun Allah!

Besar mana sangatlah musibah yang akan menimpa UMNO kalau MCA menghincitkan diri daripada BN berbanding dengan musibah daripada kemurkaan Allah SWT terhadap UMNO yang tidak mengangkat hukum hudud!

Hai, entahlah...! Ketua-ketua agama Islam di negeri-negeri tidak mahukah bercakap tentang hukum hudud ini?

Monday, September 19, 2011

Undangan Perogolan Ada Kaitannya dengan Penampilan

Memang tidak banyak para wanita Indonesia yang berhimpun di Jakarta untuk memprotes kenyataan seorang pegawai kerajaan negara mereka yang mendakwa bahawa pakaian yang “provokatif” menjadi punca berlakunya serangan seksual terhadap kaum wanita. Khabarnya, sekitar puluhan wanita dan kanak-kanak (dengan mengenakan pakaian ketat dan berskirt mini) sahaja yang berhimpun di tengah kota raya Jakarta itu selepas Gabenor Jakarta, Fauzi Bowo, mencadangkan kaum wanita supaya tidak mengenakan pakaian mini ketika berada di dalam kenderaan awam bagi menghindarkan mereka daripada menjadi mangsa rogol atau serangan seksual yang lain.

“Jangan Beritahu Kami Bagaimana untuk Berpakaian, Beritahu Mereka Jangan Merogol”, dan “Badan Saya Bukan Lucah, sebaliknya Minda Anda Kotor” – begitulah antara yang tertulis pada sepanduk yang dibawa oleh para demonstran wanita ini.

Sekali lagi diulang, peristiwa ini berlaku di Indonesia, yang khabarnya pada tahun ini sahaja 100,000 kes keganasan ke atas wanita telah berlaku dan 4% daripada keganasan itu melibatkan kejadian perogolan.

Benar, hidup sebagai wanita sangat menakutkan kerana terdedah pada pelbagai ancaman yang dapat menggelapkan masa depan, yang dapat menyebabkan mereka disisihkan, dibenci, dan dipandang serong oleh masyarakat.

Walau bagaimanapun, saranan Fauzi Bowo itu tidak boleh dikesampingkan sama sekali kerana ada kebenarannya. Pada hemat saya, beliau bercakap sebagai lelaki, iaitu orang yang lebih tahu daripada wanita tentang naluri kelelakian.

Hal inilah yang jarang-jarang disedari oleh kaum wanita sehingga mereka tidak mahu berpakaian seperti tuntutan agama – menutup aurat – serta menganggap soal berpakaian pun ada diskriminasi!

Manusia, baik yang lelaki mahupun yang perempuan, terasing oleh oleh dua sifat – normal atau abnormal. Orang yang normal bertindak mengikut akalnya, orang yang abnormal sering mengikuti tuntutan nafsunya.

Kesukaan dan kegilaan orang lelaki terhadap wanita sangat pelbagai – ada yang berasa ghairah pada bahagian punggung wanita, ada yang tergiur pada buah dada wanita, ada yang naik syahwat pada leher atau tengkuk wanita, ada yang menyukai betis, jari, lengan mereka, dsb.

Malah, bukan sedikit lelaki yang berasa ghairah apabila mendengar suara wanita – hilai dan rengekan mereka – selain menggilai pakaian yang dipakai wanita – coli, seluar dalam, kain, baju (kebaya, skirt mini, dan sebagainya) hingga ada yang sanggup mencuri pakaian itu.

Walau bagaimanapun, mujurlah di dalam dunia ini, kebanyakan lelaki bersifat normal. Maka, mereka yang memiliki kecenderungan untuk menyukai dan berasa ghairah terhadap semua itu akan melampiaskan nafsu mereka secara wajar dan yang dibenarkan atau jika mereka benar-benar beriman, mereka akan berpuasa.

Malangnya, hal ini tidak berlaku pada lelaki abnormal. Lelaki abnormal sangat obsesif dan selalu memikirkan cara untuk melampiaskan nafsu mereka dengan cara yang pada fikiran mereka wajar walhal cara itu sangat kurang ajar.

Lelaki abnormal yang begitu obses terhadap bahagian buah dada wanita, misalnya, akan berusaha untuk memuaskan nafsunya dengan memegang bahagian itu dengan apa-apa cara sekalipun, termasuklah dengan cara kekerasan. Kalau keghairahan mereka membawa kepada perlakuan hubungan seks, lelaki abnormal akan melakukan perogolan.

Masalah dalam hal ini ialah, lelaki abnormal tidak semestinya melampiaskan keinginannya terhadap wanita yang menjadi pemilik buah dada yang dipandangnya. Dia sebaliknya akan melakukannya terhadap wanita lain tatkala peluang itu terhidang di depan mata!

Sama halnya dengan orang yang gemar menonton siaran-siaran pornografi – mereka tidak melakukan aksi yang ditonton mereka dalam siaran pornografi itu dengan pelakon porno itu, tetapi mereka melakukannya dengan wanita lain!

Inilah yang barangkali tidak disedari oleh kaum wanita yang memprotes itu. Berpakaian ketat atau terdedah hingga menonjolkan bahagian-bahagian erotik pada diri mereka akan mengundang keinginan lelaki abnormal untuk melakukan perogolan. Perogolan itu tidak semestinya dilakukan terhadap mereka, tetapi mungkin terhadap wanita lain.

Kalau kaum wanita sedar bahawa keselamatan diri bermula daripada diri sendiri, pasti mereka sedar akan perlunya mereka berpakaian menutup aurat, lalu mereka tidak akan berteriak “Jangan Beritahu Kami Bagaimana untuk Berpakaian, Beritahu Mereka Jangan Merogol”. Menutup aurat bukan diskriminasi, tetapi keadilan, sama halnya dengan lelaki sesuai bersongkok, wanita sesuai bertelekung mini!

Sunday, September 18, 2011

Ke Arah Menjadi Negara Demokrasi Terbaik di Dunia

Pada fikiran YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak, pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) merupakan suatu usaha bagi menjadikan negara ini sebagai sebuah negara demokrasi yang paling baik di dunia.

Menurut beliau, antara perkara yang membolehkan pemansuhan itu dijayakan termasuklah adanya peningkatan kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap hak asasi manusia. Tindakan pemansuhan itu bukan dilakukannya kerana desakan mana-mana pihak, tetapi atas kesedaran (jasa dan budi) kerajaan Barisan Nasional (BN) sendiri, malah beliau meletakkan pemansuhan itu sebagai suatu transformasi politik negara dalam perihal penjagaan hak asasi manusia.

Beliau ingin meletakkan pegangan prinsip demokrasi pada tahap antara yang terbaik di dunia seiring dengan kejayaan negara ini membangunkan ekonomi serta pendidikannya.

Sebagai negara moden dan progresif, kerajaan tidak akan lupa akan mereka (rakyat) yang menyokong kerajaan, sama ada di luar bandar dan bandar.

Demikianlah antara lain yang dikatakan oleh YAB Perdana Menteri kita itu tentang pemansuhan ISA baru-baru ini. Demikian jugalah yang dapat kita fahami tentang kefahaman beliau berhubung erti demokrasi.

Agak malang, beliau tidak mengungkapkan perihal perlunya keadilan, kesaksamaan, dan kejujuran dalam usahanya hendak menjadikan negara ini sebagai negara pengamal prinsip demokrasi terbaik di dunia. Walhal, tiga perkara ini lebih penting daripada penghapusan ISA kerana penghapusan ISA hanya sebahagian daripada jari keadilan.

Penyataan beliau bahawa “Sebagai negara moden dan progresif, kerajaan tidak akan lupa akan mereka (rakyat) yang menyokong kerajaan, sama ada di luar bandar dan bandar” itu sendiri sudah membuktikan ketidakadilan beliau sekali gus membutikan betapa sempitnya kefahaman beliau tentang maksud demokrasi yang sebenarnya.

Adilkah kerajaan yang dipimpin oleh beliau kalau hanya rakyat (sama ada di luar bandar atau bandar) yang menyokong kerajaan yang dipimpinnya sahaja yang tidak dilupakan sedang rakyat yang menyokong pihak lain dinafikan hak mereka? Bukankah dalam negara yang demokrasi, setiap rakyat berhak menyokong mana-mana pihak yang disukai mereka? Bukankah sepatutnya kerajaan berasa bangga kerana memiliki rakyat yang memahami erti demokrasi dan dengan itu mereka harus diraikan, bukannya dikerasi?

Untuk menjadi negara pengamal demokrasi nombor wahid di dunia, pihak yang memerintah mestilah lebih dahulu mendapat pengiktirafan rakyat yang diperintahnya bahawa pihak pemerintah memang mengamalkan prinsip ini sepenuhnya.

Soalnya, adakah sebahagian besar rakyat yang diperintah sekarang menunjukkan tanda bagus apabila diajukan tentang keadilan, kesaksamaan, dan kejujuran?

Friday, September 16, 2011

Tauliah Malapetaka

Malapetaka ini Engkau turunkan
kepada kami mengapa, ya Allah?
Bencikah Engkau kepada kami
atau ini sekadar ujian-Mu
supaya kami terus sigap siaga?

Wahai Allah, ke manakah kami
pada kesudahan hayat kami kelak
dibawa oleh ulil amri yang
doa untuknya dan ahli keluarganya
kami aminkan setiap minggu?

Barangkali malapetaka ini
tanda Engkau murka akan kami
kerana kami terus mengaminkan doa itu
walhal ulil amri itu tidak pernah
sekalipun mendakwahi kami.

Barangkali juga malapetaka ini
tanda Engkau murka akan kami
kerana kami terus memuliakannya
walhal setiap ucapan ulil amri itu
lahir daripada mata pena orang lain.

Adakah aku juga perlu ditauliahi
untuk berkata-kata seperti ini?

Tuesday, September 13, 2011

Kisah Ibnu Sabu dan Ibnu Kling

LAPORAN

Mantan Ketua Polis Negara, Yang Berbahagia Tun Mohd. Haniff Omar, telah mengadakan pertemuan dengan Yang Berhormat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein baru-baru ini. Selepas pertemuan itu, mantan Ketua Polis Negara itu menyatakan pandangan (pendirian)nya tentang Ibnu Sabu (serta kenyataan yang dilafazkan oleh Timbalan Presiden PAS itu tentang Mat [Ahmad] Indera).

Menurut mantan KPN itu, Ibnu Sabu tidak perlu di“ISA”kan berikutan kenyataannya meng“hero”kan Ahmad Indera itu. Alasan mantan itu ialah kenyataan Ibnu Sabu itu tidak mengancam keselamatan negara. Walau bagaimanapun, oleh sebab kenyataan Ibnu Sabu itu telah menyebabkan banyak pihak terperanjat, cemas, dan marah, maka menurut mantan KPN itu, Seksyen 505 Kanun Keseksaan (kesalahan melibatkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam) boleh dikenakan terhadap Ibnu Sabu.

“Akta Hasutan juga boleh digunakan sebab dia (Ibnu Sabu) kata, kalau PAS berkuasa, dia akan ubah sejarah. Ada implikasinya kalau kita teliti perkara ini secara mendalam kerana di situ terdapat bibit-bibit hasutan,” kata mantan KPN itu lagi. Malah, beliau mendapati Ibnu Sabu tidak memperlihatkan penyesalan daripada kenyataan yang dilafazkannya itu.

“Dia sudah jauh tersilap daripada segi fakta dan daripada segi sentimen. Saya nyatakan perkara ini kerana saya tengok dia tidak menyesal, yang mana kalau dia menyesal, dia akan cakap dia terlanjur,” katanya.

Sementara itu, Datuk Seri Hishammuddin merasakan bahawa interaksi beliau dengan bekas-bekas pegawai kanan polis bagi mendapatkan pandangan mereka tentang perkara berkenaan sangat penting. Beliau tidak mahu kerana disebabkan politik, orang buta sejarah sehingga boleh memecahbelahkan masyarakat,” katanya.

Begitulah kisah yang diberitakan oleh BERNAMA.

PANDANGAN

Selain kenyataan Ibnu Sabu itu, adakah kenyataan Profesor Ibnu Kling bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah oleh British, sebaliknya hanya menjadi naungan dan lindungan negara penjajah itu, turut dibincangkan dalam pertemuan antara Menteri Dalam Negeri dengan mantan KPN itu? Kalau tidak dibincangkan, akan adakah perbincangan tentang hal itu sehari dua ini?

Hal itu perlu dibincangkan juga kerana tidakkah mantan KPN itu merasakan bahawa, seperti kenyataan Ibnu Sabu, kenyataan Profesor Ibnu Kling itu juga telah menyebabkan “banyak pihak terperanjat, cemas, dan marah” dan hingga demikian Seksyen 505 Kanun Keseksaan wajar dikenakan terhadap profesor itu?

Hakikatnya, kenyataan profesor itu lebih memeranjatkan dan mencemaskan kerana melalui kenyataan itu, rakyat merasakan bahawa apa-apa yang dipelajari oleh mereka dalam mata pelajaran Sejarah dahulu dan kini ialah suatu pembohongan dan pembodohan!

Melalui kenyataan Profesor Ibnu Kling itu juga, rakyat rupa-rupanya baru mengetahui bahawa sambutan kemerdekaan yang diadakan selama ini (53 kali) sia-sia dan membazirkan wang ringgit malah memalukan mereka (kita)! Sudah tentu kita berasa malu kerana mengada-ada menyambut hari kemerdekaan (dengan perarakan yang pelbagai dan tema yang beraneka) seperti negara lain walhal “negara kita tidak pernah dijajah”!

Kalau Akta Hasutan juga boleh dikenakan terhadap Ibnu Sabu kerana Ibnu Sabu ada berkata bahawa “kalau PAS berkuasa, dia akan ubah sejarah”, maka tidak bolehkah akta yang sama dikenakan terhadap Profesor Ibnu Kling kerana beliau secara terang-terangan telah mencuba untuk mengubah sejarah! Beliau juga tidak menunjukkan penyesalannya.

Kalau dengan kenyataan Ibnu Sabu itu menyebabkan mantan KPN itu mengkategorikan Ibnu Sabu “sudah jauh tersilap daripada segi fakta dan daripada segi sentimen”, tidakkah mantan itu merasakan bahawa profesor itu juga telah melakukan perkara yang sama? Lebih buruk lagi, kenyataan Profesor Ibnu Kling (Tanah Melayu tidak pernah dijajah oleh British) itu menggambarkan bahawa kita (rakyat), termasuk Menteri Dalam Negeri, rupa-rupanya buta sejarah!

Bercakap dan bertindaklah dengan saksama.