Entah bagaimana, saya telah tertonton sebuah program realiti
hiburan yang disiarkan oleh sebuah stesen TV swasta. Rupa-rupanya program itu
sudah sampai ke kemuncaknya – final. Lima orang, kalau saya tidak silap,
berentap dalam acara final itu. Saya (yang berada di kampung) tidaklah
menontonnya beria-ia kerana lebih banyak berbual-bual dengan bapa, mengusik
anak-anak buah, dan sebagainya. Cuma apabila tiba detik pengumuman keputusan, tanpa
saya sedar saya telah ikut memberikan perhatian. Anak-anak buah saya di kampung
yang barangkali mengikuti program itu sejak awal dahulu, membuat telahan
masing-masing. Saya diam kerana memang tidak tahu siapa yang bagus dan siapa
yang tidak bagus; lebih tepat kalau dikatakan bahawa saya memang tidak tahu
apa-apa.
Apabila keputusan diumumkan, bermula dari tempat ketiga dan
kemudiannya tempat kedua, semua orang dalam rumah kami di kampung memberikan
perhatian kepada peserta yang bakal menjadi juara. Pengacara sedaya upaya
menimbulkan saspens kepada penonton dan pastilah orang yang paling saspens pada
waktu itu ialah peserta-peserta yang berada di pentas dan ahli keluarga serta
penyokong masing-masing. (Saya sekarang sudah pandai tidak berasa saspens, terutamanya
apabila menonton sesuatu pertandingan sukan yang melibatkan pemain atau pasukan
yang saya minat dan saya sokong kerana saya mengajar diri saya untuk menerima
ketentuan Allah SWT.)
Apabila nama pemenang diumumkan, peserta yang menang menangis. Situasi
itu sudah kerap benar saya tonton — orang menangis apabila beroleh kejayaan.
Memenangi anugerah pelakon terbaik, menangis; memenangi anugerah pelakon
pembantu terbaik menangis juga. Dalam sebuah program realiti yang tidak lagi
wujud, begitu banyak orang yang menangis apabila ada peserta yang disokong
mereka terkeluar daripada program itu. Apabila peserta dukungan mereka menang
dan menjadi juara, mereka ikut menangis bersama-sama si juara. Si juara
menangis beroleh wang dan harta, mereka menangis beroleh apa? Dan saya berasa
aneh juga apabila ahli keluarga peserta ikut menangis!
Seorang ibu di Palestin, dilekatkan dengan gelaran “Ummu Nidhal”,
mempunyai empat orang anak lelaki — Muhammad Farhaat, Nidhal Farhaat, Rawad
Farhaat, dan Wisam Farhaat. Tiga orang yang pertama itu — Muhammad Farhaat, Nidhal
Farhaat, Rawad Farhaat — mati syahid kerana dibunuh penjarah Zionis,
masing-masing pada tahun 2002, 2003, 2005. Wisam Farhaat sekarang masih
meringkuk di penjara Israel. Ummu Nidhal tidak menangis apabila anaknya itu gugur
syahid satu per satu. Ummu Nidhal, seperti sahabiyyah
pada zaman Rasulullah SAW, menangis kerana tidak mempunyai anak lelaki lagi
untuk dihantar menentang seteru Israel Zionis itu.
Betul, beliau memang menangis apabila melepaskan Muhammad
Farhaat untuk pergi berjihad, tetapi beliau berpesan kepada anaknya (kini
as-Syahid Muhammad Farhaat), “Ibu tidak dapat membendung air mata ini, tetapi
jangan percaya akan air mata ibu ini, nak.... Air mata ini ialah air mata
bangga menjelang hari pertemuanmu dengan bidadari. Pergilah menemui Rabb-Mu dan
berjihadlah. Tetapkanlah hatimu, kekallah seperti itu sampai engkau bertemu dengan
Allah Taala”.
Kerana menjadi juara nyanyian, juara lakonan, anda menangis
sakan. Sebagai orang Islam, hendak anda letakkan di mana diri anda berbanding
dengan Ummu Nidhal itu?