Thursday, February 18, 2010

“Belayar” Jangan Sampai Sesat

Melalui Internet, kita disodorkan dengan pelbagai maklumat daripada pelbagai laman web, blog, dan sebagainya. Kita dibanjiri dengan pelbagai maklumat – ada antaranya yang murni sifatnya tetapi bukan sedikit yang jahat dan jelik sifatnya.

Kita, umat Islam hendaklah berhati-hati dengan semua maklumat itu. Kewarasan akal, dengan panduan ajaran Islam yang menjadi pegangan kita, sangat penting apakala kita melayari laman web demi laman web, blog demi blog, dan sebagainya. Bacalah apa-apa sahaja tetapi cernalah dengan baik.

Hal ini saya ketengahkan kerana telah kita ketahui bahawa di Internet, ada beberapa laman web yang mencelarukan kitab pegangan kita, Al-Quranul Karim. Ada surah-surah yang diubah maksudnya dan pelbagai hal lain lagi. Oleh hal yang demikian, para pengguna Internet yang menggunakan kitab al-Quran versi Internet perlu berhati-hati dalam memilih laman-laman web yang menyediakan perkhidmatan tersebut.

Antara laman web yang didapati menjalankan diayah pemesongan itu termasuklah thequran.com. Laman itu diterbitkan oleh seorang paderi yang menggunakan nama “Father Zakaria”. Antara diayah yang ditonjolkan oleh laman tersebut ialah mewujudkan satu “menu” yang memuatkan “kesalahan-kesalahan” kitab suci Al-Quran walhal seperti yang kita tahu, sehingga kini al-Quran tetap terpelihara (bebas daripada sebarang kesilapan) walaupun pelbagai usaha telah dibuat untuk “memesongkannya”.

Saudara saudari rujukilah keterangan tentang pemesongan laman tersebut dengan memuatturunkan maklumat daripada Fakta Penipuan thequran.com.

(Maklumat ini diperoleh daripada http://albakriah.wordpress.com/)

Wednesday, February 17, 2010

Larangan Perarakan Maulidur Rasul dan Implikasinya

Mantan Mufti Perlis, Dr. Asri Zainul Abidin, seperti yang dilaporkan oleh TV Selangor berkata bahawa sebarang perarakan sambutan keagamaan yang menggunakan jalan raya dapat dianggap sebagai mengganggu ketenteraman awam dan menyusahkan pengguna beragama lain yang tidak terlibat dengan upacara itu.

Beliau menggambarkan bahawa oleh sebab perarakan (Maulidur Rasul) ini bukan amalan pada zaman Rasulullah, maka sebarang bentuk perarakan yang menggunakan jalan raya perlu dihentikan.

“Saya mencadangkan semua bentuk perarakan yang menggunakan jalan raya awam, termasuk Deepavali, Thaipusam, ataupun Maulidur Rasul hendaklah dihentikan.

“Jalan raya ini digunakan orang untuk urusan tertentu dan bukan semua agama berkongsi dengan kita. Apabila kita menggunakan jalan raya selain untuk pengangkutan, mahu berarak, ia mungkin mengganggu urusan orang.

“Ia mengganggu pengguna yang hendak ke suatu tempat, melawat orang sakit, membazir minyak orang ramai, dan seumpamanya,” katanya.

Kata-kata itu diungkapkan beliau ketika dihubungi oleh TV Selangor bagi mengulas isu kontroversi berkaitan dengan larangan perarakan Maulidur Rasul (oleh pihak kerajaan Pulau Pinang).

Ada sedikit lagi ulasan beliau tentang hal ini. Saudara saudari boleh merujuk kepada http://gigitankerengga.blogspot.com/ untuk cerita lanjut.

Yang hendak saya ulas hanyalah berkaitan alasan yang diketengahkan oleh mantan Mufti itu, iaitu perarakan seperti itu mengganggu lalu lintas. Jika perarakan Maulidur Rasul, perarakan Thaipusam, dan sebagainya dianggap sebagai menganggu lalu lintas sehingga “mengganggu urusan orang”, kita harus juga meletakkan hakikat yang sama, iaitu bahawa himpunan kenderaan yang diparkir oleh umat Islam (semasa bersolat Jumaat) dan penganut Kristian (pada pagi Ahad) sebagai mengganggu jalan raya (walaupun keadaan itu hanya berlaku sekitar 2 jam). Hal ini harus difikirkan secara kolektif.

Jangan salah sangka, sebagai umat Islam, saya tidak sama sekali bersetuju jika ada arahan oleh pihak berkuasa tempatan yang melarang kita untuk memparkir kenderaan di sisi jalan raya semasa solat Jumaat berlangsung (kerana kita memang tidak mempunyai tempat parkir kenderaan) untuk ibadat tersebut. Yang mencetuskan saya untuk mengulas hal ini ialah alasan mantan Mufti itu.

Friday, February 12, 2010

Cerita Bersempena dengan Cuti Empat Hari

Pernah dengar cerita ini? Seorang raja yang baru menaiki takhta sedang berusaha untuk mengubah sikap rakyatnya yang banyak mengharapkan pemberian raja. Sikap ini tercanai dalam diri rakyat baginda sejak almarhum ayahandanya bernyawa. Semasa almarhum ayahandanya berkuasa, rakyat yang miskin mendapat segala macam pemberian dan anugerah – daripada ladang hinggalah emas dan duit ringgit. Sebagai hasilnya, banyak rakyat yang malas dan mengharapkan pemberian raja.

Anak raja yang baru naik takhta tidak mahu sikap itu berlanjutan dan berkesinambungan. Sikap yang tercanai sejak sekian lama itu perlu diubah dan dibentuk ke arah yang positif. Rakyat mesti rajin bekerja kerana baginda berpendapat bahawa kerajinan mereka bukan saja dapat memajukan diri mereka sendiri tetapi dapat juga membangunkan kerajaan. Tidak mengapa mereka tidak membayar cukai kepada negara, tetapi mereka perlu bekerja, itulah yang terpeta dalam fikiran baginda.

Lalu, pada suatu hari, baginda menitahkan Tok Bendahara mencanangkan suatu berita kepada seluruh rakyat jelata di seluruh ceruk dan rantau negeri.

“Bahawa, sepekan lagi, raja menghendaki semua rakyat yang berani, gagah, dan perkasa untuk berhimpun di pinggir sungai di negeri kita ini. Baginda berhajat untuk memberikan suatu anugerah yang paling bermakna kepada semua rakyat jelata.

Rakyat yang telah biasa menerima anugerah berasa seronok tetapi kebanyakannya berasa hairan kerana almarhum raja, ayahanda raja sekarang, tidak melakukan hal yang demikian. Almarhum raja sendiri yang akan menemui rakyat di segenap ceruk dan rantau untuk memberikan bantuan yang wajar.

Walau bagaimanapun, oleh sebab sudah terbiasa menerima, hal itu dikesampingkan rakyat. Semuanya berlagak berani, gagah, dan perkasa lalu berdedai-dedai dan berbondong-bondonglah pergi ke pinggir sungai yang dikatakan Tok Bendahara itu. Malah, ada antara mereka yang rupa-rupanya tiba di situ seawal jam 12:00 tengah malam untuk mendapatkan tempat yang paling hampir dengan tempat raja bertitah nanti (macam orang yang menyertai pertandingan memancing pada zaman ini!)

Detik yang dinanti-nantikan oleh rakyat pun tiba. Raja mengambil tempat. Permaisurinya yang lebih lawa daripada segala yang lawa yang baru sahaja dinikahinya duduk di sisinya sambil menyimpul-nyimpulkan senyuman. Tok Bendahara berdiri gagah (walaupun sudah tua) di sisi baginda. Pang-panglima (kira bodyguardlah tu), mengawal baginda.

“Wahai rakyat jelata sekalian!” Baginda memulakan titah dengan menggunakan pembesar suara (tidaklah diketahui akan rupa pembesar suara pada zaman itu). “Hari ini beta ingin menganugerahi kalian dengan suatu bentuk pemberian yang tidak pernah terfikir oleh kalian.”

Rakyat menggumam dan bersok-sek. Ada yang menjerit untuk meminta orang yang menggumam dan bersok-sek diam. Yang sekelompok menggumam dan bersok-sek, yang sekelompok menyuruh diam, maka keadaan semakin sukar dikawal. Setelah diketuk oleh pengawal yang berkawal (macam FRUlah tu. Mujur tak ada gas pemedih mata), baru keadaan menjadi terkawal.

“Tentu kalian ingin tahu akan bentuk anugerah yang akan beta berikan. Baiklah, beta umumkan anugerah itu sekarang juga. Hari ini, beta akan menganugerahi kalian dengan anugerah yang belum pernah ditawarkan kepada kalian. Maksud beta ialah, kalian akan beta anugerahi dengan apa-apa sahaja yang kalian mahukan! Kalian boleh meminta emas perak, duit ringgit, tanah bendang, malah apa-apa sahaja yang terlintas dalam fikiran kalian,” kata raja yang baru naik takhta itu. “Apa-apa sahaja!” kata raja lagi

Rakyat bersorak. Tok Bendahara agak terkejut. Permaisuri memandang raja dengan pandangan yang aneh.

“Walau bagaimanapun, tidak seperti almarhum ayahanda beta, beta hanya akan memberikan anugerah itu dengan beryarat,” kata raja dengan senyuman yang sangat sinis.

Suasana hening, sangat hening.

“Ketahuilah kalian bahawa anugerah itu kelak akan beta berikan kepada mana-mana rakyat yang dapat menyeberangi sungai ini dengan selamat hingga sampai ke seberang sana.”

Tok Bendahara terkejut, permaisuri terkedu, pang-panglima hampir terkencing, para pengawal terjelepok, rakyat jelata yang menjadi sasaran tawaran itu terkejut beruk dan ada yang terkencing. Sebentar kemudian, keadaan yang senyap dan hening oleh keterkejutan itu telah bertukar menjadi sedikit hiruk. Tok Bendahara, permaisuri, pang-panglima, para pengawal dan para pengawal kurang senang dengan tawaran raja. Rakyat berlebih-lebih lagi. Kerana pengawal terjelepok, ada rakyat yang mempeeeerahhhhkan raja!

[Apakah yang menyebabkan semuanya tidak puas hati? Tawaran hadiah itukah atau cabaran rakyat yang menghendaki mana-mana rakyat merenangi sungai itu hingga sampai ke seberang?]

Jawabannya ialah cabaran raja. Telah diketahui oleh semua rakyat jelata bahawa sungai itu berbuaya – daripada yang tembaga sampailah yang bukan tembaga, semuanya ada. Bukan seekor tetapi banyak ekor, malah sewaktu mereka berhimpun itu, bukan sedikit yang menampil-nampilkan belakang dan muncung masing-masing.

Tetapi, hendak dijadikan cerita, pada waktu pegawai-pegawai raja angguk dan geleng serta mendecit-decit dan meng“isy-isy” itu, pada waktu kebanyakan rakyat sedang membincangkan tawaran raja, tiba-tiba ada seorang rakyat yang berani telah terjun ke dalam sungai berbuaya banyak itu!

“Cum!” Badan rakyat itu mencecah permukaan air dan air pun berdebur. Di kiri kanan rakyat itu pun air berdebur juga, malah berolak-olak oleh pergerakan buaya yang bukan sedikit jumlahnya itu. Rakyat itu berenang pantas, sangat pantas sehingga menimbulkan kekaguman kepada semua orang, termasuk raja! Buaya tidak dapat menghambat, rakyat itu berenang cepat dan cepat dan cepat hingga selamat sampai ke seberang sungai yang luasnya lebih kurang 150-kaki itu.

Raja panik, sangat panik! Mukanya pucat (orang kata kalau ditoreh tak berdarah. Try, tengok!) Sangkaan baginda bahawa tidak akan ada rakyatnya yang berani menyahut cabarannya itu meleset sama sekali. Hajatnya untuk bersyarah tentang sikap malas rakyat selepas tidak ada rakyat yang berani menyahut cabarannya itu lunyai seperti kain buruk.

‘Habislah beta,’ kata hatinya (berbisik di hati pun masih hendak berbeta-beta’). ‘Kalau mangkuk itu sekadar meminta emas perak, wang ringgit, kebun ladang, malah kalau permaisuri beta yang cun ini sekalipun, tidaklah beta bimbang. Tetapi bagaimana kalau dia meminta takhta beta, kerajaan beta? Uhhhhh!’ (Baginda memang jenis manusia yang sangat gila akan kuasa.)

Hampir bertabur air mata baginda. Baginda menyesal, amat menyesal kerana telah memperjudikan diri nasib dan masa depan baginda sendiri, tetapi bak kata orang pada zaman baginda, terlajak perahu dapat diundur, terlajak kata terimalah padahnya. Lalu, dengan terketar-ketar dan dengan muka yang kelat, baginda bertitah:

“Wahai rakyatku yang berani, gagah, dan perkasa.... Kamu sudah pun berjaya menyahut cabaran beta.... Sungai berbuaya telah kamu lepasi.... Sekarang, sekarang tibalah waktu dan ketikanya untuk beta melaksanakan ... melaksanakan janji beta. Mintalah..., mintalah apa-apa yang kamu hajati....” Tiba-tiba raja berasa dahaga lalu meminta air daripada Tok Bendahara.

Rakyat yang handal itu diam. Dia berdiri bercekak pinggang. Matanya berkelintar, berkelintar, dan terus berkelintar. Wajahnya sangat garang, benar-benar garang. Dadanya berombak bergelombang-gelombang. Semua orang, kecuali raja (kerana raja hampir tidak punya perasaan pada waktu itu), berasa sangat hairan dengan tingkah laku rakyat yang handal itu.

“Wahai rakyatku yang handal, khabarkanlah kepada beta..., apakah yang kamu inginkan. Mahukah kamu emas dan perak?” soal baginda setelah rakyatnya yang handal itu diam.

“Tidak mahu!” Pantas rakyat itu menjawab.

Perasaan raja tambah hilang. Baginda merasakan dugaannya mungkin benar.

“Kamu ... kamu mahu wang?”

“Tidak mahu!” Dua patah perkataan itu juga yang diulang rakyat itu, juga sangat pantas.

“Kamu mahu kebun, sawah permatang, atau....?”

“Tidak mahu, tidak mahu!” Dua patah perkataan yang sama diulang-ulang.

Raja menanggalkan tengkolok, menggaru-garu kepalanya, mengelap-ngelap peluh di dahi dengan tangan yang menggigil.

“Kamu ... kamu mahukan permaisuri beta?”

“Tak cantik!” Rakyat itu menjawab, masih dengan dua patah perkataan, tetapi sekali ini sangat menyengat hati raja, tetapi baginda masih control macho. ‘Sabar, sabar,’ kata hatinya.

“Kamu mahu menjadi bendahara?”

Tok Bendahara menggenggam penumbuk (mangkuk ini memang gila pangkat).

I dont’t want!” kata rakyat itu. (Orang yang bercakap dalam bahasa itu pada zaman itu dikatakan sebagai speaking kapir.)

‘Sah,’ bisik hati raja, ‘Mangkuk ni memang berhajatkan takhta beta.’

“Kalau begitu, kamu ... kamu ... tentu berhajatkan takhta beta ... kerajaan beta?” Ada sendu halus jauh di dalam diri raja.

Tetapi jawaban yang terpacul dari dalam mulut rakyat itu sangat menghairankan orang ramai, termasuk raja.

“Aku tak nak emas engkau, aku tak nak duit ringgit engkau, aku tak nak sawah bendang engkau, aku tak nak bini engkau, aku tak nak takhta engkau, aku tak nak kerajaan engkau! Aku tak nak!!!!!!!!!!” Kali ini keras sekali, sangat keras dan sangat kurang ajar (kerana rakyat itu menggunakan kata ganti nama ‘engkau’ untuk merujuk kepada raja).

Raja tercengang. Dia seharusnya berasa lega kerana rakyatnya itu tidak memahukan apa-apa pun, terutamanya takhta dan kerajaan yang melambangkan kekuasaannya. Tetapi, kelegaan tidak dapat dirasakannya dengan sepenuhnya kerana rakyat yang dikaguminya itu sangat aneh. Orang lazimnya menggilai harta, menggilai kuasa, orang selalunya berhajat untuk memiliki kerajaan, tetapi dia menolak kuasa. Rakyat lain bercakap begitu sopan kepada raja tetapi rakyat yang dikategorikannya sebagai handal itu dengan begitu berani menempelaknya malah meng‘engkau-engkau’kannya sebanyak enam kali.

Raja memandang Tok Bendahara dengan dahi berkerut, Tok Bendahara meniru perlakuan raja dengan memandang pang-panglima pula, pang-panglima memandang rakyat yang sedang bercekak pinggang di seberang sungai. Hati mereka bernyala oleh api kemarahan kerana rakyat itu biadab kepada raja. Mereka menanti-nanti arahan raja untuk menyudahkan drama itu.

“Jadi, apa yang kamu mahukan?” soal Tok Bendahara, mendahului raja.

“Ya, apa yang kamu mahukan, wahai rakyatku yang gagah?” raja mengulang pertanyaan Tok Bendahara.

Suasana tiba-tiba menjadi sangat hingar. Masing-masing bertanya kepada sesama sendiri.

[Sebahagian anda pun (saya yakin) akan bertanya tentang hal ini. Apa yang dikehendaki oleh rakyat itu? Jadi, perlukah saya menyudahkan cerita ini atau disambung pada keluaran lain? Ah, kita tidak mempunyai masa yang banyak untuk membaca cerita-cerita yang sama. Eloklah cerita ini saya sudahkan sahaja.]

Rakyat yang handal itu sebenarnya sedang menyinga, sangat menyinga. Oleh sebab terlalu menyingalah dia sentiasa bercekak pinggang dan matanya pula sentiasa berkelintar sepanjang “sesi” soal jawab itu. Oleh sebab menyingalah dia berani untuk meng‘engkau-engkau’kan raja.

“Wahai rakyatku yang handal! Khabarkanlah kepada beta tentang anugerah yang kamu hajati” Raja berkata, sekali ini pertanyaan itu sangat lembut, kerana kelegaan sudah kembali dalam dirinya.

Rakyat itu menjawab, masih dengan kemarahan yang bukan kecil:

AKU HENDAK ENGKAU DAN ORANG-ORANG ENGKAU CARI SAMPAI DAPAT ORANG YANG TOLAK AKU KE DALAM SUNGAI TADI!”

STOP.

Wednesday, February 10, 2010

Langgar, Cedera, dan Mati

Sudah banyak orang yang mati di jalan raya. Untuk mengawal kadar kematian (bukan menyifarkannya), pelbagai usaha telah dan masih dilakukan, termasuklah Program Keselamatan Jalan Raya dan Ops-Ops Sikap yang sudah melewati angka 20 itu. Adakah program dan Ops-Ops itu membuahkan hasil? Anda boleh menilainya.

Pada Ops Sikap ke-20 pada September 2009 dahulu, 261 orang telah mati di jalan raya. Banyak punca yang menyebabkan kematian mereka ini. Yang menarik perhatian saya ialah, kemalangan dan kematian yang berpunca daripada kejadian melanggar bahagian belakang treler, lori, bas, kereta, van, dan kenderaan lain yang diletakkan di bahu jalan dan lebuh raya.

Seperti yang kita baca dan dengar menerusi media, pada awal pagi Selasa lalu, enam orang sekeluarga mati apabila kenderaan yang dipandu ketua keluarga itu terbabas dan melanggar bahagian belakang sebuah treler yang diletakkan di tepi lebuh raya di Kilometer 252.3 dekat Plaza Tol Senawang di Seremban.

Di Kamunting pada hari yang sama sekitar jam 4.32 petang, seorang wanita – Tai Yuen Keow – mati apabila keretanya terbabas dan melanggar treler yang juga sedang “berehat” di KM 207.5 Lebuhraya Utara-Selatan juga.

Kedua-duanya sekadar contoh terkini. Kejadian yang sebelumnya bukan sedikit. Apakah ikhtiar kerajaan dan kita sendiri dalam hal ini?

Benarlah, undang-undang tidak memberikan makna apa-apa kalau tidak dikuatkuasakan. Kereta yang bagus yang dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan sehingga 99.9% tidak menjanjikan apa-apa jika pemandunya sendiri mengabaikan ciri-ciri keselamatan.

Pemandu treler, bas, lori, kereta, van, dan sebagainya berani berhenti di tepi lebuh raya kerana mereka, barangkali, sering terlepas daripada tindakan undang-undang. Kalau mereka terpaksa berhenti kerana berdepan dengan masalah tertentu pula, mereka juga sering terlepas daripada pemerhatian peronda lebuh raya yang sepatutnya mengawal keadaan. Bukankah itu tanggungjawab pengendali lebuh raya kerana mereka mengutip bayaran tol daripada pengguna?

[Tidak dapat kita pastikan, adakah kematian orang-orang yang melanggar bahagian belakang kenderaan yang berhenti di bahu jalan ini berpunca daripada terbabas ataupun kerana menghentam belakang kenderaan yang berhenti itu?]

Sebagai tambahan, sejak Ops Sikap ke-21 dilancarkan pada 7 Februari lalu, sudah 35 orang terbunuh dalam kemalangan jalan raya. Ada 14 hari lagi untuk menambahkan jumlahnya. Na‘uzubillah, janganlah kita menjadi sebahagian daripada orang yang menambahkan bilangan itu.

Tuesday, February 9, 2010

Hakikat dan Andaian

Saya lebih banyak melayari laman-laman web dan blog-blog tertentu untuk membaca tulisan mereka daripada menulis siaran sendiri dua tiga minggu ini. Bukan kerana kekeringan idea, tetapi hambatan tugas dan ingin mendapatkan kerehatan.

Tetapi, selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir kekal sebagai Menteri Besar Perak yang sah (dengan keputusan 5-0), timbul keinginan di hati saya untuk menulis semula.

Isu paling hangat – kebenaran penggunaan kalimah Allah kepada majalah Herald – telah menempati hampir seluruh media dan memenuhi otak dan mata fikir umat Islam dan bukan Islam. Kini, isu itu senyap – disenyapkan, pada pandangan saya, oleh perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Saiful. (Betulkah?)

Perbicaraan ini mungkin berlangsung agak lama (enam bulan @ setahun?). Adakah tempoh ini (ketika rakyat sedang memfokuskan perhatian mereka pada perbicaraan ini dan tidak peka pada hal lain) akan digunakan kerajaan untuk melaksanakan dasar-dasar tertentu yang menjejaskan rakyat (kenaikan harga barangan tertentu seperti petrol, misalnya?). Semoga hal itu tidak berlaku walaupun ura-ura itu sudah kedengaran. Tetapi rasa saya, kalau berlaku pengenalan dasar-dasar tertentu yang menjejaskan rakyat oleh pihak kerajaan pun, hal itu tidak ada kena-mengena dengan perbicaraan tersebut. Kalau mereka hendak melaksanakannya, dasar itu tetap akan diperkenalkan juga. Kalau tidak, tidak akan terealisasilah slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Semasa makan tengah hari tadi, kedengaran sembang-sembang orang bahawa kekalahan 0-5 Nizar di tangan Zambry dalam menentukan kedudukan MB Perak yang sah memberikan suatu petunjuk awal kepada perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya hanya bersendirian pada waktu itu dan yang bercakap itu pula tidak saya kenali. Saya tidak dapat membuat komen apa-apa. Sekadar berfikir, mereka ini telah mendahului hakim.