Wednesday, November 30, 2011

Pemakan Sisa di Negara SatuMalaysia yang Maju

Semalam diri ini kurang sihat. Diri ini pergi ke klinik. Puan doktor belum menceluskan dirinya ke klinik miliknya. Selepas mendaftar, diri ini menunggu di dalam kereta kerana kebetulan kereta diparkir betul-betul di hadapan klinik. Diri ini berusaha untuk menghafaz surah yang menjadi tugasan.

Di sudut luar sebelah kiri klinik, ada sebuah tong sampah. Sampah melembak keluar dari dalam tong itu. Tidak lama kemudian, muncul seorang insan. Pakaiannya tidak rapi, tetapi bersih. Tong sampah itu didekatinya. Bekas berisi tin dan kotak yang dikumpulkannya sebelum itu diletakkannya di atas lantai.

Segera dia membongkar sampah di dalam tong itu. Dia menemukan sebuah tin minuman berkarbonat. Dia menggoncang-goncang tin itu, meniup “mulut” tin itu dan kemudian menghirup sisa minuman berkarbonat. Diri ini terkedu dan segera menginsafi keadaan dan mencuba untuk menilai insan itu.

Diri ini yakin bahawa insan itu pemungut barangan kitar semula. Diri ini kurang yakin bahawa insan itu kurang waras sampai tergamak untuk menelan sisa minuman yang telah menghuni tong sampah! Pakaiannya bersih amat. Maksud diri ini, insan itu pasti tahu akan maksud kebersihan.

Diri ini berfikir waktu itu, barangkali insan itu ingin sekali menikmati air berkarbonat yang tidak mampu dibelinya lalu tergamak untuk menghirup minuman yang menjadi sisa itu. Apabila otak memikirkan kemungkinan itu, diri ini segera keluar dari dalam kereta lalu masuk ke dalam klinik. Sedih.

Diri ini teringat akan cerita almarhum penerima Anugerah Sastera Negara — bahawa pada zaman perang (Jepun menyerang Malaya), insan dan anjing sama-sama menyelongkar tong sampah untuk mendapat makanan. Tetapi, sekarang bukan zaman perang yang memerlukan insan menyelongkar sampah untuk menikmati minuman berkarbonat!

Sekarang zaman Malaysia negara maju, banyak wang, berkelas dunia. Sekarang zaman Malaysia bersedia untuk menyedekahkan kekayaan kepada kelompok mereka (seperti kisah feed lot itu?). Tetapi malangnya, pemandangan yang terlihat pada zaman perang — kewujudan insan pemakan sisa — dapat juga kita saksikan pada zaman ini!

Sama seperti insan pemakan sisa itu, kebanyakan kita juga sebenarnya pemakan sisa di negara Malaysia yang maju, banyak wang, dan berkelas dunia ini. Sisa itu ditinggalkan oleh sang pemuka, yang kita pilih kerana janjinya, bukan kerana komitmen dan kejujurannya sehingga akhirnya mereka hidup di mahligai, kita hidup memakan bangkai.

Friday, November 25, 2011

Kematian: Berkabunglah dengan Jiwa dan Raga

Dalam dunia ini, orang berkabung kerana kematian. Entah siapalah orangnya yang mencetuskan idea ini — berkabung memerlukan kita memakai songkok berlilit kain putih. Hatta, sudah menjadi adat dalam kalangan bangsa tertentu yang menghendaki mereka supaya berpakaian hitam semasa berkabung (memang elok daripada pakaian berbunga-bunga yang menampakkan keceriaan).

Tetapi, yang biasa kita lihat tentang perkabungan ialah di balik pakaian hitam itu, ada permata yang tersarung di jari, ada mutiara yang terlilit di pergelangan tangan, ada subang yang terlekat di telinga (malah hidung juga), ada hilai tawa dan wajah ceria serta seribu bicara dunia — lambang orang tidak menginsafi kematian yang sedang dihadap. Astaghfirullah.

Perkabungan berkait dengan adab, sebenarnya. Adab tatkala menziarahi orang mati memerlukan kita “berpuasa” daripada hal-hal yang berkait dengan dunia! Cincin, gelang, subang, atau apa-apa lambang kemewahan tanggalkanlah, cerita-cerita tentang saham, politik, ekonomi, dll sejukbekukanlah di dalam hati kerana al-Fatihah itu lebih mulia daripada yang duniawi.

Kita bebas untuk memilih untuk sama-sama berkabung dengan berpakaian hitam dan sebagainya. Tetapi hakikat berkabung bukan sekadar berpakaian hitam sahaja. Hakikat berkabung ialah sama-sama berdukacita dengan orang yang kehilangan ahli keluarga mereka dan yang paling penting, berkabung menuntut kita menginsafi hakikat kematian.

Ada orang yang memusuhi tentangganya kerana semasa orang itu kematian ahli keluarganya, sekelompok tetangganya (bersongkok dan berkopiah putih) berhilai tawa di bawah pokok rambutan di sisi rumahnya. Ada orang yang membenci keluarga bau-bau bacangnya kerana keluarganya itu seronok menimang-nimang anaknya tatkala jenazah sedang dimandikan!

Ingatlah, berkabung jangan diperlihatkan melalui pakaian hitam dan songkok berlilit putih sahaja. Berkabung harus diperlihatkan melalui akhlak!

Tuesday, November 22, 2011

Malaysia Juara: Geroda Hanya Mitos, Harimau Memang Hakikat

Tidak ada ucapan yang paling layak untuk diberikan kepada pasukan bawah 23 tahun Malaysia yang memenangi pingat emas dalam Temasya Sukan SEA ke-26 selain daripada Syabas dan Tahniah. Kepada Allah, Pencatur segala nasib dan peristiwa, terima kasih, syukur Alhamdulillah.

Pasukan Malaysia dapat menyerap setiap asakan pemain Indonesia yang jelas memiliki kemahiran yang lebih baik daripada pemain Malaysia. Secara keseluruhannya, Indonesia layak untuk menjadi juara tetapi barangkali “dosa” penonton yang menghina pasukan Malaysia mewajarkan mereka untuk kalah.

Jadi, kekuatan mental pemain Malaysia yang bukan sahaja terpaksa berdepan dengan pasukan bola sepak Indonesia, malahan terpaksa berdepan dengan kegilaan dan keceloparan penonton Indonesia juga, harus mendapat pujian dan disanjung tinggi. Syabas sekali lagi.

Malaysia memenangi perlawanan akhir yang mendebarkan itu melalui penentuan penalti dengan keputusan 4-3 setelah pasukan negara dapat mengikat pasukan Indonesia dengan keputusan 1-1 dalam perlawanan yang berlanjutan hingga 120 minit.

Dengan kemenangan itu, kita dapat mempertahankan pingat emas yang kita menangi pada edisi yang ke-25 (2009) yang lalu. Kemenangan itu juga bermaksud bahawa kita telah memenangi pingat emas bola sepak Sukan SEA/SEAP ini sebanyak enam kali (1961, 1977, 1979, 1989, 2009, dan 2011).

Selepas ini kita berharap agar orang Indonesia faham akan maksud semangat kesukanan, semangat setia kawan, dan semangat persaudaraan melalui sukan, khususnya bola sepak. Mereka tidak perlu menyerang pasukan bola sepak Malaysia hingga terpaksa berbarracuda untuk pulang ke hotel penginapan.

Syabas Harimau Muda. Kita tahu bahawa geroda yang dikatakan kuat itu hanya mitos.

Friday, November 11, 2011

Ayam Tak Halal, Ba Kut Teh Pula Halal?

Ba Kut Teh bukan makanan kita orang Melayu, apatah lagi orang Islam. Ba Kut Teh ialah makanan orang-orang Cina. Oleh itu, kita tidak seharusnya menikmati makanan itu kerana tenyata makanan itu ada unsur tidak halal, demikian kata teman saya.

Walau bagaimanapun, sebelum kita mengatakannya tidak halal, kita perlu faham akan makanan ini. Apakah Ba Ku Teh yang sebenarnya? Ba Kut Teh ialah sejenis sup. Menurut teman Cina saya, Ba Kut itu bermaksud “tulang daging”.

Dalam konteks orang Cina, tulang daging yang lazim dijadikan sebagai sup ialah tulang khinzir@babi. Walau bagaimanapun, tulang-tulang binatang yang lain pun — lembu, kerbau, kambing, ayam — kata beliau, boleh dijadikan sebagai sup juga.

Seperti sup yang lazim kita makan, Ba Kut Teh juga memerlukan rempah-ratus/herbanya sendiri. Rempah-ratus inilah (dipek) yang kedapatan terjual di pasar-pasar raya atau pasar-pasar mini di negara ini. Selalunya, rempah-ratus yang dipek ini tidak mempunyai logo HALAL.

Entah bagaimana, ada pengusaha yang meletakkan logo HALAL (bukan daripada JAKIM) pada pek itu. Pada masa yang sama, ada pula perkataan Ba Kut Teh pada pek itu. Apakah yang muncul dalam kepala kita? Ba Ku Teh = khinzir@babi = halal? Biar betul, demikian kita berfikir.

Secara umumnya, dalam konteks Ba Kut Teh, penyediaan rempah-ratus/herbanya biasanya halal (hal ini tidak melibatkan pembuat/pengeluarnya). Yang menjadikannya tidak halal kemudiannya ialah tulang daging yang menjadi antara resipi pentingnya.

Jadi, apabila kita menemukan rempah-ratus/herba Ba Kut Teh yang berlogo HALAL di pasaran, janganlah kita terkeliru. Kita memang patut berasa sangsi akan produk itu, tetapi yang lebih penting ialah elok kiranya kita memperkaya diri kita dengan maklumat.

Sebenarnya, yang perlu ada pada diri kita tentang makanan ialah makanlah apa-apa yang lazim kedapatan dalam lingkungan agama, adat, dan budaya kita. Sup tulang daging yang dimasak dengan cara kita sedap juga. Jadi, apakah perlunya kita mencuba Ba Kut Teh itu?

Kita perlu melakukan demikian (memakan apa-apa yang lazim kedapatan dalam lingkungan agama, adat, dan budaya kita) kerana logo HALAL pun belum menjamin makanan itu benar-benar halalan dan toiyiban. Zaman yang sangat moden ini memungkinkan pelbagai manipulasi — logo HALAL (JAKIM) itu dengan mudah ditiru, diimbas, dan sebagainya.

Sama halnya dengan sifat kita yang berani berpolitik, dalam hal ini kita juga mestilah berani beragama. Pihak JAKIM, khususnya, perlu berani untuk menghebahkan senarai pengeluar dan produk yang mendapat pengesahan halal daripada mereka di media-media massa.

Begitu juga, pihak JAKIM perlu berani untuk menghebahkan nama-nama syarikat, restoran, dan lain-lain sebagainya yang ditolak permohonan HALAL mereka dengan menyatakan sebab-musabab permohonan mereka ditolak.

Kalau hal ini berani dilakukan, barulah umat Islam tidak waswas dan pengeluar pula senantiasa berawas. Barulah kita tahu bahawa ayam di pasar-pasar raya itu, misalnya, benar-benar mematuhi kewajiban halal ataupun sebaliknya. JAKIM jangan takut!

Wednesday, November 9, 2011

Merdeka = Bebas; Seksualiti Merdeka = Seksualiti Bebas?

BismillaahirRohmaanirRohiim

Bukanlah niat saya hendak membenci dan menghina sesiapa pun
kerana tiada seorang manusia yang hidup pun wajar dibenci
sebelum kita sendiri berusaha untuk membetulkannya (jika mereka salah)
apatah lagi pengakhiran hidup manusia bukan berlaku dengan kehendak kita
melainkan dengan kehendak Allah SWT jua.
Mungkin hari ini manusia itu melakukan maskiat tetapi dengan kehendak-Nya
dalam sekelip mata manusia itu mungkin menjadi insan soleh dan solehah.

Program Seksualiti Merdeka, rupa-rupanya, sudah beberapa tahun diadakan! Kerajaan pemerintah, rupa-rupanya, tahu akan kewujudan program itu dan merekalah, rasa-rasanya, yang meluluskan penganjuran seperti itu.

Pihak yang mendukung program itu ada yang marah-marah (hingga sampai ke tahap hendak saman-menyaman) kerana ada pihak media yang melabel program itu sebagai “program yang menggalakkan seks bebas”.

Menurut pihak penganjur, program Seksualiti Merdeka itu bukan bertujuan untuk menggalakkan seks bebas, sebaliknya untuk membantu kumpulan *LGBT yang terpinggir supaya dapat memahami hak mereka dalam lingkungan undang-undang.

Apabila membaca dan mendengar kenyataan itu (tentang matlamat penganjuran), iaitu untuk membantu kumpulan *LGBT yang terpinggir supaya memahami hak mereka dalam lingkungan undang-undang, saya pasti banyak orang yang kurang faham.

Adakah hal ini bermaksud bahawa mereka berusaha untuk menyedarkan golongan *LGBT itu supaya balik ke pangkal jalan (meninggalkan amalan homoseks, lesbian, biseksual, dan transgender) itu ataupun merelakan dan merestui perlakuan mereka?

Alhamdulillahlah kalau mereka berusaha untuk menyedarkan pengamal perlakuan itu supaya kembali ke pangkal jalan. Walau bagaimanapun, seperti yang kita ketahui, hakikat penganjuran program itu yang sebenarnya bukan demikian.

Hakikat yang sebenarnya ialah penganjuran program ini bermatlamat untuk menuntut hak dan kebebasan bagi golongan *LGBT ini supaya mereka bebas (merdeka) mengamalkan gaya hidup pilihan mereka secara sah dan terbuka di negara ini.

Jadi, berdasarkan matlamat program tersebut, jelas bahawa pihak penganjur memang berhasrat untuk menggalakkan perlakuan seks bebas (merdeka), iaitu bebas (merdeka) melakukan hubungan seks dengan cara apa-apa sekalipun!

Oleh sebab itu, tidak salahlah kalau ada pihak (khususnya pihak media) melabel penganjuran program Seksualiti Merdeka yang baru diharamkan oleh pihak polis itu sebagai suatu program “yang menggalakkan seks bebas”.

Walau apa-apa pun hujah mereka, yang jelas penganjuran program itu sangat berbahaya. Tindakan pihak polis mengharamkannya, walaupun lambat hingga penganjuran proram itu sempat diadakan beberapa tahun, memang wajar.

Yang kurang enak ialah, rupa-rupanya, ada kepala parti yang merestui program seperti itu. Sama ada “restu” itu mewakili pendirian parti atau pendirian peribadinya, yang jelas pendirian itu sangat bertentangan dengan pendirian parti yang satu lagi.

Hal ini menambahkan keraguan orang yang mengikuti pendiriannya tentang pelbagai perkara sejak dahulu lagi. Pendiriannya tentang Satanic Verses pernah diragui orang. Simpatinya terhadap holocaust yang tersisip dalam Schindler’s List pun diragui orang.

PRU13 sudah dekat. Pendirian ini, kalau dipergunakan oleh pihak lawan, dapat menyebabkan kekalahan. Isu persendaan janggut Nabi oleh mantan ketua pemerintah dan pemakaian tanjak salib oleh mantan ketua sebuah parti dahulu pernah menyebabkan pihak yang mempersendakan dan pihak yang memakainya KALAH.

Walau apa-apa pun, atas nama Islam, *GLBT tidak harus dibenarkan. Malahan orang-orang yang terlibat dalam perbuatan seperti itu harus diinsafkan dan dilorongkan ke jalan yang benar. Keseronokan belum tentu menjadi nikmat!

*GLBT = Gay, Lesbian, Biseksual, Transgender

Friday, November 4, 2011

Iduladha Dahulu dan Sekarang: Alhamdulillah...

Hari Ahad, 6 November 2011, insya-Allah, kita sekali lagi akan merayakan Hari Raya Iduladha (sekali ini bagi tahun ke-1432 Hijrah pula). Marilah kita berdoa agar saudara se-Islam kita yang sedang menunaikan Rukun Islam kelima di Tanah Suci itu beroleh haji yang mabrur, amin!
Mengimbas zaman kanak-kanak, kehadiran 10 Zulhijjah ini seperti tidak membawa makna apa-apa kerana di kampung saya, perayaan ini disambut dengan sangat sederhana, tidak seperti sambutan Hari Raya Idulfitri.

Kami tidak dibelikan baju baharu oleh abah kami, atau emak kami, atau ibu-ibu dan bapa-bapa saudara kami. Opah pun tidak sibuk meminta saya membantunya membakar baulu atau kuih bangkit dan atuk pun tidak sibuk membakar lemang.

Kerana kehadirannya tidak begitu diraikan, pada awal 1980-an (masih bujang ketika itu), pernah saya membuat keputusan untuk tidak pulang ke kampung bagi meraikannya. Saya tahu emak dan abah saya tidak gembira dengan keputusan saya itu.

Kecuali saya dan seorang teman serumah, empat orang teman yang lain balik ke kampung masing-masing. Pada pagi hari raya, sebelum bersolat sunat Iduladha, apabila takbir raya berkumandang di radio, air mata spontan mengalir dan membasahi pipi.

Keputusan yang telah kejap melekat di hati sebelum itu, terus berputar 360 darjah. Saya mengambil sepasang dua pakaian, lantas memasukkannya ke dalam beg. Selepas solat sunat Iduladha, saya segera ke Klang dan menaiki bas ekspres ke Sabak Bernam!

Sesungguhnya, tarikan untuk bersama-sama dengan emak dan abah pada hari-hari yang mulia ini sangat kuat. Hati ini akan dibaluti rasa seronok yang luar biasa apabila dapat berjalan atau bermotosikal atau berkereta ke masjid bersama-sama dengan abah pada pagi hari raya.

Berbalik kepada sambutan Iduladha ini. Hal yang berbeda telah berlaku di kampung saya sekarang. Walaupun masih tidak semeriah Hari Raya Idulfitri, kedatangan Hari Raya Iduladha sekarang dinantikan penduduk. Dalam erti kata lain, kehadirannya sudah dirasakan oleh penduduk secara kolektif.

Walaupun mereka mungkin tidak membeli pakaian baharu, namun saya dapati mereka masih berpakaian cantik. Walaupun aktiviti kunjung-mengunjungi masih kurang, namun mereka saling mengucapkan salam Iduladha apabila bertembung, malah saling mempelawa teman supaya datang ke rumah.
Masjid pula dipenuhi jemaah, bukan sahaja oleh pemastautin tetap, tetapi juga oleh anak-anak kariah yang menjadi perantau seperti saya. Kebanyakannya berpakaian cantik, sama ada berbaju Melayu ataupun berjubah (di kampung saya dahulu, yang biasa berjubah hanya imam dan para pegawai masjid!)

Rasa saya, keadaan ini sudah mula berkembang ke segenap ceruk rantau di negara kita. Kalau sangkaan saya ini betul, alangkah elok dan sihatnya perkembangan ini! Berbanding dengan Hari Raya Idulfitri, sepatutnyalah Hari Raya Iduladha lebih meriah lagi.

Hal ini saya katakan begitu kerana pada Hari Raya Idulfitri, kala kita berkunjung ke rumah tetangga, sahabat handai, dan saudara-mara, kita hanya dapat bertakbir pada malam hari raya itu sahaja. Itulah sahaja tempohnya kerana esoknya, selepas solat sunat Idulfitri, tiada lagi takbir raya.

Sebaliknya, pada Hari Raya Iduladha, kita boleh bertakbir raya selama tiga hari (lebih kurang). Hal ini bererti bahawa kita berkesempatan untuk bertakbir raya bagi tempoh itu setiap kali kita mengunjungi tetangga, sahabat handai, dan saudara-mara pada Hari Raya Iduladha itu, tidak kira siang atau malam.

Saya sangat ingin merasai suasana sambutan Iduladha di Kelantan dan Terengganu yang dikatakan bahawa sangat meriah itu. Saya tidak mungkin dapat merasainya sekarang kerana saya masih mempunyai ibu bapa yang hendak saya raikan pada hari raya itu.

Tidak mengapalah, buat masa ini, saya tidak dapat merasai kemeriahannya di Kelantan atau Terengganu (keinginan peribadi) kerana saya wajib memeriahkan hati ibu bapa saya pada hari yang sangat mulia dan penuh barokah ini.

SELAMAT HARI RAYA IDULADHAkepada semua teman dan pembaca.