Friday, July 30, 2010

Perihal Lanun yang Tidak Mengenal Halal Haram

Apakah tindak balas yang bakal kita terima kalau kita dengan berani berkata “kamu penyamun” atau “kamu lanun” atau “kamu pencuri”, atau “kamu perompak” kepada peniaga cakera padat cetak rompak yang mendatangi kita? Tentu mereka akan menyinga dan kalau mereka berhati kering, pasti kita dihadiahkannya dengan penumbuk atau penampar. Tidak dapat kita bayangkan kalau mereka berniaga secara berkumpulan, pasti akan berlaku “pertempuran” kecil. Kalau saya tidak silap, di utara tanah air pada suatu ketika dahulu, pernah berlaku kekecohan antara pegawai penguatkuasa dengan peniaga cakera padat cetak rompak ini.

Dalam erti kata yang lebih senang, peniaga cakera padat cetak rompak yang lazimnya dikategorikan oleh penggiat seni hiburan tanah air sebagai “lanun” itu akan melenting dan sanggup bertindak liar jika mereka dituduh sebagai “penyamun”, “lanun”, “pencuri”, atau “perompak”.

Dalam hal ini, lazimnya pihak media massa hanya menyorot perihal kejahatan peniaga cakera padat cetak rompak sahaja walhal ada banyak golongan lain yang menjadi penyamun dengan cara yang sama.

Hari Raya Aidilfitri sudah semakin hampir. Jutaan ringgit akan bertukar tangan daripada pembeli kepada peniaga. Pembeli yang menggilai lagak dan gaya tidak segan silu untuk membeli pelbagai pakaian daripada pelbagai jenama terkenal. Golongan yang kurang mampu tetapi menggilai lagak dan gaya mencari alternatif paling mudah, sama ada membeli pakaian berjenama yang second-hand (bundle) atau membeli pakaian berjenama tiruan. Jeans Levi’s, Dockers, dan Wrangler atau pelbagai jenama kasut seperti Adidas, Clark, dan lain-lain atau tas tangan berjenama Gucci atau Guess adalah antara jenama yang menjadi pilihan mereka. Semuanya mudah dibeli kerana ada dijual di serata tempat.

Bersempena dengan kehadiran Hari Raya Aidilfitri ini, banyak peniaga yang mengambil kesempatan menjual barangan tiruan ini. Sesuai dengan namanya – barangan tiruan – sudah tentulah merupakan suatu bentuk pelanunan kerana ditiru secara haram. Jadi, apakah hukumnya menjual barang yang dilanun seperti ini? Tidakkah haram?

Begitu juga halnya dengan perilaku pengusaha restoran yang mengambil ruang letak kereta awam dengan meletakkan meja dan kerusi mereka di situ sehingga menyukarkan orang untuk mendapat tempat untuk meletakkan kenderaan. Golongan ini juga tergolong sebagai penyamun – menyamun hak dan kemudahan orang ramai bagi membolehkan mereka mendapat keuntungan yang lebih besar!

Apakah tindakan yang dilakukan oleh pihak berkuasa terhadap orang-orang ini – si penjual cakera padat cetak rompak, si penjual pakaian berjenama tiruan, dan si pengusaha restoran itu?

Pembeli dan pelanggan sendiri tidak berasa malukah membeli “barang curi” atau duduk di atas kerusi yang ditempatkan di atas premis orang awam?

Mungkin kena tunggu Karam Singh Walia menghebahkannya dalam Aduan Rakyat baru tindakan akan diambil. Biasalah, pahat – tidak diketuk tidak dapat menobek kayu!

Tuesday, July 27, 2010

Kebaikan yang Tidak Pernah Surut

Esok, ibuku akan ke Makkah untuk menunaikan umrah. Beliau pergi ke sana bukan dengan suaminya. Bukan juga dengan anak-anaknya. Sebaliknya, beliau akan pergi ke sana dengan tiga orang adiknya, iaitu seorang adik lelaki dan dua orang adik perempuan serta seorang adik iparnya. Selain orang-orang itu, yang akan pergi bersama-sama dengannya ialah seorang anak saudara perempuannya dan dua orang anak saudara lelakinya dengan isteri dan anak masing-masing.

Pemergian ibuku bukan dengan belanjanya sendiri; bukan juga dengan belanja suaminya ataupun belanja anak-anaknya, termasuk aku. Sebaliknya, pemergiannya itu ditaja oleh adik bongsunya, ibu saudaraku. Adik bongsunya itu jugalah yang menaja pemergian semua ahli keluarga yang berada dalam rombongan ibuku itu.

Adik bongsu ibuku itu ibu tunggal sejak lebih 15 tahun yang lalu. Menyara lima orang anak dengan status ibu tunggal bukanlah perkara mudah. Beliau terpaksa melalui seribu liku berserta deretan ranjau dan onak bagi membesarkan anak-anaknya. Pelbagai kerja sampingan yang halal dilakukannya, daripada menerima tempahan makanan hinggalah menjual kain. Semua itu dilakukannya demi anak-anak dan demi keperluan sendiri.

Dengan keikhlasan yang tinggi (beliau tidak pernah menyesali qadak Allah). Beliau berjaya memikul tanggungjawabnya sebagai tulang belakang keluarganya. Beliau berjaya melahirkan anak-anak yang secara relatifnya berjaya dan berakhlak dan berpekerti mulia. Berkat keikhlasannya, hampir kesemua anaknya berjaya melanjutkan pelajaran di menara gading dan kini secara beransur-ansur mula mengambil alih peranan sebagai tulang belakang keluarga.

Sebagai adik bongsu, beliau tidak pernah lupa akan adik-beradiknya yang lain. Beliau tidak pernah lupa untuk berhari raya di kampung. Beliau tidak pernah kedekut tulang empat kerat untuk membantu apa-apa yang patut. Beliau tidak pernah meletakkan dirinya lebih tinggi daripada anak-anak saudaranya sendiri. Buktinya, beliau bersedia untuk berhari raya di rumah anak-anak saudaranya walaupun anak-anak saudaranya belum lagi sempat menjejakkan kaki di rumahnya.

Allah melihat apa-apa yang dilakukan oleh setiap hamba-Nya. Allah mengetahui apa-apa yang tersimpan di dalam batin dan apa-apa yang dizahirkan oleh hamba-Nya. Hamba yang baik akan mendapat balasan yang baik daripada Allah. Begitulah halnya ibu saudaraku itu. Beliau sedang mengecap nikmat yang dikurniakan Allah sekarang.

Adakah beliau mengekhaskan nikmat anugerah Allah itu kepada dirinya dan anak-anaknya sahaja? Tidak, beliau malah telah menyebarluaskan nikmat itu untuk dikongsikan dengan adik-beradiknya. Penajaan umrah untuk tiga orang adik-beradiknya serta tiga orang anak dan dua orang menantu serta dua orang cucunya menjadi bukti bahawa kebaikannya itu tidak pernah berhenti dan tidak akan berhenti di situ sahaja. Adakah orang yang berpekerti demikian? Saya yakin ada, tetapi tidak banyak.

Wan Su, aku berdoa agar Allah memberkati dan merahmati hidupmu dan aku berdoa agar Dia sudah pun menyediakan tempat untukmu di dalam syurga bersama-sama dengan para solehah dan mukminah. Amin.

Aku bercerita ini bukan untuk mengangkat-angkat engkau; bukan juga sebagai penghormatan; jauh sekali untuk menjadikan engkau riyak. Tujuan cuma satu, aku ingin menjadikan engkau contoh kepada diriku dan mungkin juga kepada pembaca sekalian.

Thursday, July 22, 2010

Romadhan al-Mubarak: Pengisian dan Penghayatannya

Nyawa kita sudah hampir tiba ke bulan Romadhan, tidak lama sangat lagi. Kira-kira 20 hari lagi, kita sekali lagi berkesempatan untuk melalui pengalaman yang tidak bisa kita peroleh dalam mana-mana bulan.

Tetapi hakikatnya, nyawa kita belum tentu akan tiba ke bulan yang penuh barokah itu. Kita boleh sahaja ditamatkan riwayat oleh Allah SWT yang menjadi Pemilik diri kita ini pada bila-bila masa – mungkin sebentar lagi, mungkin esok atau lusa, atau mungkin pada hari pertama Romadhan itu sendiri.

Kita boleh berdoa dengan ayat yang tersusun cantik dan indah, sama ada dalam bahasa kita sendiri atau dalam bahasa syurga, merayu daripada-Nya agar dipanjangkan usia dan diberi kesempatan untuk melalui satu lagi buan Romadhan. Walau bagaimanapun, doa kita belum tentu diperkenankan-Nya kerana Dia Maha Mengetahui hal yang lebih baik untuk kita – mati atau terus bernyawa.

Orang memberikan pelbagai tanggapan terhadap Romadhan. Ada yang memang benar-benar sedang merindui bulan itu. Rasa tidak sabar meluap-luap dalam diri orang-orang seperti ini. Ada yang berperasaan seperti biasa, baik Romadhan atau Syaaban, baginya sama sahaja. Ada pula yang berasa terbeban dengan kehadiran bulan itu kerana kelak terpaksa untuk berlapar dan sebagainya.

Tetapi, yang ketara sekarang ialah banyak orang yang menanggapi Romadhan sebagai bulan rezeki. Romadhan melimpah-ruahkan emas dan duit ringgit, bukan sedikit tetapi lebih banyak daripada bulan-bulan lain. Oleh sebab memiliki tanggapan yang sebegitu, maka banyaklah orang yang datang dari jauh – sejauh Perlis dan Kelantan – ke Kuala Lumpur dan Petaling Jaya untuk memohon tapak bazar atau pasar Romadhan bagi menjalankan perniagaan.

Pernah diragui orang, bagaimanakah agaknya para peniaga ini mengisi bulan Romadhan yang datang sekali setahun itu? Dengan berpuasa dan menjalankan perniagaan itu sahajakah – tidak bersolat tarawih, bertadarus, berqiamulail dan sebagainya? Pengalaman mengikut seorang saudara berniaga beberapa hari menyebabkan saya seperti memihak kepada orang yang meragui golongan peniaga ini.

Barangkali, sebab itulah solat tarawih itu sunat sahaja sifatnya. Dengan bersifat sunat, orang tidak wajib bersolat tarawih. Dengan itu bolehlah mereka memanfaatkan waktu itu untuk berniaga jeans tiruan, tudung bawal, kurma, dan sebagainya atau kuih-muih, air tebu, dan lain-lain di bazar/pasar Romadhan hingga lewat malam atau hingga larut malam.

Sebilangan orang memberikan pendapat yang berbeda tentang hal ini. Pihak berkuasa agama dengan bantuan PBT, kata mereka, harus mewajibkan bazar/pasar Romadhon ditutup pada jam 6:00 petang dan sesiapa yang hendak menyambungnya boleh memulakannya pada jam 10 malam. Rasional yang diberikan mereka adalah supaya golongan peniaga yang rata-rata beragama Islam itu dapat menghayati maksud bulan Romadhan itu yang sebenar-benarnya, iaitu bulan untuk meningkatkan ibadah dengan bertarawih, bertadarus, berqiamulail, dan mencari lailatul qadr. Katanya lagi, keadaan yang berlaku sekarang dapat melahirkan masyarakat yang menganggap bulan Romadhan sebagai bulan jual beli, bulan beli-belah, bulan makan sakan, dan sebagainya.

Untuk berlaku adil kepada pihak peniaga, kata orang itu lagi, pihak kerajaan haruslah mewajibkan semua pekerja di setiap sektor pulang seawal jam 3:00 petang supaya mereka sempat pergi ke mana-mana pasar Romadhan untuk membeli juadah berbuka puasa sebelum ditutup pada pukul 6:00 petang.

Walaupun cadangan ini bakal menjadikan beberapa sektor tidak produktif pada bulan Romadhon, tetapi baik untuk penganut Islam.

Sebenarnya, hal mengisi perut berlebihan dan keinginan hendak berpakaian baharu sudah terpasak dalam sanubari masyarakat kita sejak sekian lama, sudah berkarat. Hendak menggilap kebiasaan yang sudah bersebati dalam sanubari masyarakat bukan senang, kecuali mereka menghayati tuntutan Islam yang sebenar-benarnya.

Untuk menghayati Islam pun, orang sekali-sekala menjadi kelam-kabut kerana masih banyak “orang masjid/surau” yang berbalah – sama ada hendak melaksanakan solat tarawih sebanyak 8 rakaat atau 20 rakaat! Tiap-tiap tahun begitu.

Tuesday, July 20, 2010

Yang Wajar pada Kita Belum Tentu Wajar pada Pihak Lain

Marah betul kita apabila Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad SAW, dipersendakan oleh penganut agama lain dengan pelbagai cara. Marah dan menyinga betul kita apabila ada bangsa Malaysia yang bukan Melayu yang mempersenda-sendakan bahasa dan bangsa Melayu dengan pelbagai cara. Kita memang dan wajar marah akan persendaan yang sedemikian rupa. Oleh itu, kita haruslah berpendirian supaya tidak melakukan perkara yang kita tidak suka orang lain lakukan terhadap kita.

Namun demikian, kadangkala kita terlepas pandang akan hal-hal seperti ini. Masih banyak orang yang mempersenda-sendakan adat kebiasaan orang lain. Memanglah kadangkala yang kita persendakan itu diterima dengan lapang dada dan hati terbuka oleh segelintir pihak yang kita persendakan itu. Walau bagaimanapun, ada banyak orang di pihak yang kita persendakan itu yang tidak menyukai sendaan sampai tumbuh rasa marah dan dendam dalam hati mereka.

Pada suatu malam beberapa hari yang lalu, kerana sukar tidur, saya menghadap komputer riba di depan TV sambil membuat “kerja” saya. Saya hanya sesekali memandang ke arah TV. Hal ini bermaksud bahawa pada kebanyakan waktu, saya hanya “mendengar” TV. Begitulah keadaannya, selepas satu rancangan ke satu rancangan hingga tiba ke sebuah drama. Saya tidak perasan akan judul drama itu. Jam pada waktu itu sudah melewati pukul tiga lebih, kalau saya tidak silap.

Semasa asyik bekerja sambil “mendengar” TV itu, saya terdengar akan dialog antara pelakon drama lelaki dengan sekumpulan gadis (mungkin melibatkan pelakon wanita utamanya). Antara lain dialog itu mempersendakan filem Tamil kerana adegan tariannya yang berkeliling pokok dan melibatkan persalinan yang banyak, pergaduhan yang berlarutan, dan ada beberapa sendaan lain yang tidak dapat saya ingat dengan baik. Sendaan itu diselang-selikan dengan hilai tawa pelakon lain. Saya tidak ambil pusing pada mulanya tetapi selepas dua tiga minit dialog itu usai, baru saya sedar akan ketidakwajaran dialog itu. Saya mendongak untuk mengetahui siapakah pelakon yang menuturkan dialog itu, tetapi sudah bertukar ke adegan lain. Saya kemudiannya menonton drama itu hingga hampir usai.

Ya, memang begitu realiti filem-filem Tamil, malah dalam filem-filem Hindi juga. Ada nyanyian, ada tarian. Ada peluk dan dakap serta pelbagai sentuhan lain. Saya yakin, kita sendiri pernah membicarakannya (atau mempersendakannya) sesama kita, dalam kelompok yang kecil. Malah, ada juga orang India yang turut mempersendakan hal ini. Seorang rakan wanita saya yang berketurunan India (sudah mendiang beliau), malah mengutuk gaya pelakon India yang gemar menggoyang-goyangkan kepala dan mengherdik-herdikkan suara apabila bercakap.

Tetapi, mempersendakan hal itu dalam sesebuah drama melalui dialog yang sinis dan sedikit sarkastik sangat tidak wajar. Hal ini demikian kerana drama itu ditonton ribuan atau mungkin jutaan orang dan pelakon dalam drama itu (malah drama itu sendiri) sedang memburuk-burukkan ciri-ciri signifikan dalam sebuah filem yang sudah tentu diminati oleh salah satu bangsa yang ada di negara kita. Dalam erti kata yang lebih mudah, kita sedang mempersendakan suatu bentuk “budaya” dalam drama Tamil/Hindi dan oleh sebab persendaan itu terdapat dalam drama, secara tidak langsung persendaan itu telah didokumentasikan.

Kalaulah kelak pada suatu hari nanti mereka menerbitkan drama berbahasa Melayu yang berlatarbelakangkan masyarakat India dan dalam drama itu ada unsur-unsur sendaan dan penghinaan tentang bangsa kita, bagaimana? Apakah perasaan kita pada waktu itu?

Saya berpandangan bahawa kalau kita memang suka menjadikan sesuatu sebagai sendaan, libatkanlah hal-hal yang berkisar dalam kelompok masyarakat kita sahaja. (Itu pun janganlah sampai kita memburuk-burukkannya dengan gelaran yang pelbagai – Maha Firaunlah, Firaun Kecillah, Al-Juburilah, Al-Sembaplah, dan macam-macam lagi. Kalian suka diberi gelar-gelar yang hodoh-hodoh seperti itu?) Hal-hal yang berkisar tentang budaya bangsa lain tidak perlulah diusik. Begitu juga halnya dengan bangsa lain, tidak usahlah kalian sampai mempersendakan hal-hal yang berkisar tentang budaya kami, orang Melayu.

Friday, July 16, 2010

Sketsa Barang Naik Harga

“Gaya hidup sihat itu apa?” Kulop 1 bertanya kepada Kulop 2.

“Bersenam di samping bekerja, mengawal cara pemakanan,....”

“Itu semua orang tahu!” Kulop 1 memintas kata-kata Kulop 2 itu.

“Dah tahu kau tanya buat apa?” Kulop 2 pula memintas kata Kulop 1.

“Entah, aku bertanya sebab aku rasa pelik,” kata Kulop 1.

“Pelik apa pulak?” soal Kulop 2.

“Yalah, ada umat yang berkata bahawa kenaikan harga gula membantu rakyat hidup sihat!” Kulop 1 berterus terang.

“Betullah tu!!!” kata Kulop 2.

“Betul apanya?” Kulop 1 membentak.

“Yalah, bukankah gula penyebab kencing manis!” kata Kulop 2.

“Hah, mengarut! Bukan gula saja yang menyebabkan kencing manis. Nasi yang berkarbohidrat pun boleh sebabkan kencing manis jugak. Lantas, kerana jadi penyebab penyakit, harganya kena naiklah, begitu?” Kulop 1 menyoal balas.

“Bukankah harga beras dah dinaikkan tak lama dulu!” Kulop 2 mengingatkan Kulop 1.

“Naikkan harga satu hal, tapi alasan untuk mewajarkan kenaikannya biarlah tidak membodohkan kita,” kata Kulop 1.

“Marah nampak?” Kulop 2 menyindir.

“Hei, gaya hidup sihat merangkum banyak perkara, kau tau? Menjauhi rasuah gaya hidup sihat. Menghindari amalam kronisme dan nepotisme gaya hidup sihat. Menjauhi judi dan riba gaya hidup sihat. Jujur dan amanah gaya hidup sihat. Bercakap betul dan benar gaya hidup sihat. Cakap serupa bikin, bikin serupa cakap gaya hidup sihat. Tak takut bini gaya hidup sihat! Ah, banyaklah lagi gaya hidup sihat! Malah, yang paling sihat ialah betul-betul mendahulukan rakyat. Kalau seseorang pemimpin tidak betul-betul mendahulukan rakyat, pasti dialah dahulu yang disedut api neraka!” kata Kulop 1.

“Main petik saja kau ni! Apakah buktinya pemimpin yang tak dulukan rakyat akan masuk neraka?” Kulop 2 tidak puas hati.

“Allah, dalam surah Sad, ayat 26 telah berfirman, iaitu “Wahai Daud, Kami telah menjadikan kamu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum antara manusia dengan hak (adil) dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkan kamu daripada jalan Allah. Sesungguhnya orang yang sesat daripada jalan Allah akan beroleh azab yang berat pada hari penghitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan) Allah itu.” Kulop 1 berkhutbah.

“Pandailah kau.” Kulop 2 patah hujah.

“Kenaikan harga barang ni sangat besar deritanya kepada rakyat, Kulop....”

“Janganlah panggil aku Kulop. Baghal ke apa kau ni? Engkau pun Kulop juga,” Kulop 2 tidak puas hati.

“Kulop aku lain, Kulop engkau lain. Aku Tengku Lop, disingkatkan orang lalu menjadi Ku Lop. Nama engkau memang Kulop. Dahlah, itu pun nak marah!” Kulop 1 menenangkan Kulop 2.

“Ah, kaupanggil aku Lop, aku panggil engkau Ku!” Kulop 2 serius dengan namanya.

“Aku panggil engkau Dunlop, ok?” Kulop 1 berjaya menemukan solusi.

“Ok!” Kulop 2 sengih kerana sudah mendapat alias – Kulop alias Dunlop. “Sampai mana engkau tadi?”

“Aku kata, kenaikan harga barang ni sangat besar deritanya kepada rakyat. Kenaikan ini akan berjangkit-jangkit. Sebab harga gula, harga petrol, harga gas naik, maka harga kuih akan naik, harga air teh akan naik, harga air suam pun akan naik!” kata Kulop 1 @ Ku.

“Air suam pun?” Kulop 2 @ Dunlop kerut kening.

“Ha la! Air suam tu kena masak dulu. Nak masak kena pakai gas. Harga gas bukankah dah naik, maka harga air suam pun naik la!” Kulop 1 memberikan rasionalnya.

“Ya, ya. Aku faham!” kata Kulop 2 @ Dunlop.

“Dia orang tak rasa semua tu...!”

“Dia orang tu siapa?” Kulop 2 @ Dunlop memintas lagi.

“Siapa lagi, orang-orang yang di atas itulah. Mereka semuanya dibayarkan. Minyak kerajaan bayar, makan kerajaan bayar, minum kerajaan bayar, tol tak kena bayar, jalan jauh boleh claim, parking boleh claim. Engkau boleh?”

“Jadi, maksud engkau, kenaikan harga barang tidak membawa makna apa-apa kepada mereka? Mereka tak rasa apa-apa kesengsaraan macam kita?” Kulop 2 @ Dunlop baru sedar.

“Tahu pun engkau!” Kulop 1 @ Ku mencebik.

Pup, lampu padam. Bekalan elektrik terputus.

“Hoi, jangan pegang kulop aku! Siut!” Kulop 2 @ Dunlop menjerit.

“Siapa pegang kulop engkau?” Kulop 1 @ Ku bengang dalam gelap.

“Aku!”

“Siapa?” Kulop 1 @ Ku dan Kulop 2 @ Dunlop menyoal serentak.

Telah Naik, Akan Naik Lagi, dan Yang Lain Pun Akan Naik

Setelah dikira – ditolak campur dan dikali bahagi – maka pihak yang mempelopori slogan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” pun berkatalah bahawa kenaikan harga petrol dan diesel sebanyak lima sen seliter, gula sebanyak 25 sen sekilo, dan LPG 10 sen sekilogram mulai hari ini membolehkan kerajaan menjimatkan belanja lebih daripada RM750 juta untuk tahun ini. Hal ini bermaksud bahawa kerajaan mempunyai ekstra RM750 juta dalam kocek untuk dibelanjakan untuk pelbagai tujuan lain (untuk membangunkan negara dan rakyat?)

Walaupun lebih RM750 juta dapat dijimatkan, kata pelopor itu, kerajaan masih menanggung beban subsidi bahan api dan gula yang bernilai kira-kira RM7.82 bilion untuk tahun 2010 ini. Pelopor itu berkata bahawa kenaikan “mendadak” harga barangan itu merupakan langkah pertama Program Rasionalisasi Subsidi secara berperingkat-peringkat. (Ingat, LANGKAH PERTAMA! Ingat juga, BERPERINGKAT-PERINGKAT!)

Kelihatan seolah-olah pelopor itu sangat berhati-hati dalam menaikkan harga barangan (petrol khususnya). Dia hanya menaikkan harga barangan itu lima sen sahaja berbanding dengan pelopor Islam Hadhari dahulu yang menaikkan harga petrol sebanyak RM0.30 (tiga puluh sen) pada Februari 2006, iaitu daripada RM1.62 kepada RM1.92. Malahan, pada Jun 2008, pelopor yang sama menaikkan harga petrol sebanyak RM0.78 (tujuh puluh lapan sen), iaitu daripada RM1.92 kepada RM2.70. Walau bagaimanapun, harga petrol itu diturunkan setelah harga petroleum dunia turun, tetapi kita disodorkan dengan petrol gred baharu, iaitu RON95 yang sebelum kenaikan hari ini, harganya ialah RM1.80 seliter.

Kesan kenaikan harga petrol pada zaman pelopor Islam Hadhari itu masih kita rasai kesannya sehingga hari ini – harga barangan lain yang naik berakibat daripada kenaikan harga petrol pada Jun 2008 itu tidak ketara turunnya sehingga kini.

Pelopor “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” turut menaikkan harga LPG dan gula. Kalau anda penggemar teh tarik atau Milo “kaw”, bersiap sedialah. Pengusaha restoran sudah pasti akan menaikkan harga minuman itu dan makanan lain juga, termasuklah roti canai yang "digoreng" dengan menggunakan api yang bersumber daripada LPG. Malah, harga kuih pada Ramadhan ini pasti akan naik juga atau kalau harganya kekal, saiznya pasti akan lebih kecil. Kita faham bahawa mereka terpaksa menaikkannya bagi menyerap kos pengunaan gula dan LPG! Jangan pelik, harga air tebu pada Ramadhan akan datang juga akan naik walaupun air itu tidak menggunakan gula. Sebab kenaikannya? Tebu-tebu itu diangkut dengan menggunakan kenderaan yang menggunakan petrol dan diesel dan dimesin dengan menggunakan petrol/diesel!

Mereka tidak salah kerana mereka bukan peniaga daripada mana-mana badan kebajikan hingga perlu mengekalkan harga lama terhadap barangan jualan mereka demi kita. Pelopor “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” juga tidak salah kerana semasa ditakhtakan sebagai peneraju negara dahulu, seingat saya, dia tidak pernah pun berjanji hendak menjadikan negara ini sebagai negara berkebajikan!

Kita perlu menerima hakikat bahawa mereka tidak salah. Yang salah KITA!

Thursday, July 15, 2010

MASALAH KECIL AKIBAT BESAR DARIPADA KERENAH ANAK-ANAK KITA

Banyak rakan kenalan, saudara-mara, dan jiran tetangga saya yang sudah berkahwin, yang mempunyai anak, dan anak itu pula sudah berusia remaja, berkata hal yang sama tentang anak-anak mereka apabila saya dan isteri berkata tentang hal ini. Masing-masing mengeyakan dan sesetengahnya mengeluh manakala selebihnya berlapang dada kerana sedar bahawa memang demikian hakikat anak-anak yang berusia remaja.

Hal yang saya maksudkan itu ialah anak saya, sejak menginjak usia remaja, sangat susah hendak menyertai kami menghadiri majlis kenduri-kendara dan ziarah keluarga. Ada kalanya dia terpaksa dipujuk sakan, ada pada waktu tertentu hingga kami seperti merajuk, dan semasa dia masih bersekolah pernah juga kami mengugut begitu dan begini. Dia akan mengikuti kami kemudiannya, tetapi kami tidak pasti sejauh manakah kerelaannya dalam hal ini.

Ahad lalu, rakan baik saya menjemput saya dan isteri di rumah untuk pergi ke dusun durian seorang tauke di Mantin, Negeri Sembilan. Dalam perjalanan ke situ, isteri saya berbual dengan Tun, isteri rakan baik saya itu. Isteri saya kemudiannya saya dengar bertanya kepada Tun tentang anak-anaknya. Salah seorang anaknya ada di rumah, tetapi enggan mengikut, kata Tun. Budak-budak sekarang memang begitu, payah nak berjalan dengan kita, Tun menokok. Isteri saya mengeyakan penyataannya. Anak kami pun begitu, kata isteri saya. Payah betul nak berjalan bersekali dengan kami sekarang ini, kata isteri saya lagi.

Sebelum itu, hal ini sudah sudah lazim saya dengar daripada mulut teman sepejabat, daripada mulut teman setaman perumahan, daripada mulut adik-adik sendiri, dan pelbagai jenis mulut lagi. Ada seorang dua kenalan yang mempunyai anak yang bersedia untuk mengikut mereka ke mana-mana, dengan kuasa eksekutif bapa, dengan kuasa mandatori yang ada pada mereka. Seorang dua yang lain pun berjaya “mengangkut” anak-anak mereka ke sana ke mari, tetapi usia perkahwinan mereka baru empat atau lima tahun, dan anak mereka baru berusia 3 atau 4 tahun. Bolehlah!

Persoalan pokoknya ialah, mengapakah anak-anak remaja kini sukar benar untuk menyertai ibu bapa mereka dalam hal-hal sosial yang membabitkan ibu bapa mereka sendiri? Walhal saya sendiri (saudara saudari pun demikian juga, rasa saya), semasa menginjak usia remaja, seronok sekali kalau dibawa datuk dan nenek saya ke kampung mereka di Perak kerana saya berpeluang untuk bertemu dengan sepupu-sepupu dan bapa-bapa saudara sepupu yang seusia dengan saya.

Sesetengah anak yang enggan ikut itu, tatkala ditinggalkan, tidak pergi ke mana-mana pun. Mereka hanya memerap di rumah (seperti anak teman saya yang isterinya bernama Tun itu), sekadar menonton TV/VCD atau membaca novel. Sesetengahnya pula bertandang ke rumah teman setaman, bermain Play Station, berbual, dan sebagainya. Tentang anak saya, dia akan pergi memancing di kolam berbayar dengan rakannya (dia sangat gemar memancing, mewarisi perangai almarhum datuknya – bapa mentua saya).

Menurut beberapa orang kenalan dan tetangga saya, antara alasan yang diberikan anak-anak mereka untuk menolak ajakan mereka ialah “bosan”/“boring”, “tak tahu nak buat apa”, “lain kalilah saya ikut”, dan sebagainya. Seperti alasan yang diberikan oleh kenalan dan tetangga saya itu, anak saya pernah memberikan alasan “boring”! Alasannya itu telah menyebabkan dia terpaksa melihat muka merah padam saya serta kemarahan luar biasa saya. Berasa “bosan”/ “boring” untuk bertemu dengan sepupu-sepupu, ibu dan bapa saudara, serta datuk dan nenek saudara sangat tidak wajar. Sejak itu, dia akan berhati-hati dan sedapat mungkin dia akan menyertai ziarah saya ke rumah adik-beradik serta ibu dan bapa saudara saya.

Kerana sudah menjadi semacam fenomena biasa, hal ini kita anggap sebagai masalah kecil walhal hakikatnya hal ini dapat merenggangkan hubungan silaturahim. Fenomena ini menjadi sangat buruk kalau sampai anak-anak kita lebih senang dan seronok untuk mendampingi rakan-rakan mereka, lebih mempercayai rakan-rakan mereka, lebih taasub terhadap rakan mereka sehingga kita (serta ahli keluarga kita yang lain) tidak lagi menjadi tempat untuk mereka mengadu masalah.

(Saya dan isteri sudah merapatkan hubungan anak kami dengan datuk dan neneknya serta semua ibu bapa saudara, dan sepupunya sejak dia kecil. Kebetulan dalam keluarga besar kami, setiap orang – sama ada adik-beradik kami, ibu bapa saudara kami, dan sepupu-sepupu kami – sangat akrab dengan kami dan dengan itu anak saya tetap mendapat layanan mesra daripada mereka walaupun tidak kerap bertemu.)

Tuesday, July 13, 2010

Bahasa dalam Sukan dan Industri Hiburan

“Sepanyol Dinobatkan sebagai Juara Piala Dunia”, begitulah tajuk yang diungkapkan oleh sebahagian pengulas dalam memerihalkan kejayaan Sepanyol menjuarai Piala Dunia FIFA 2010 semalam. Sekali imbas, tidak ada apa-apa yang salah pada ungkapan yang menjadi tajuk berita itu walhal pada hakikatnya, ungkapan itu tidak betul. Hal ini dikatakan demikian kerana perkataan “dinobatkan” tidak sesuai digunakan dalam konteks ungkapan yang demikian.

Berdasar pada Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), perkataan “menobatkan” mendukung maksud “menaikkan ke atas takhta kerajaan, menjadikan raja, memahkotai, menabalkan”. Kamus Pelajar Bahasa Malaysia Edisi Kedua (2008) pula mendefinisikan perkataan “menobatkan” sebagai “menjadikan raja, menabalkan”.

Untuk lebih memahaminya, perhatikanlah penggunaannya dalam ketiga-tiga ayat contoh yang berikut:

1     Tengku Mahkota dinobatkan oleh majlis raja-raja negeri itu sebagai sultan negeri itu yang baharu.
2     Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol Ann David pernah dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan.
3     Lagu Pergi dinobatkan sebagai juara keseluruhan dalam Anugerah Juara Lagu Ke-24 yang baru lalu.

Berdasarkan ketiga-tiga ayat contoh itu, perkataan “dinobatkan” mempunyai makna denotasi dan makna konotasi. Perkataan “dinobatkan” dalam ayat 1 mempunyai maksud denotasi (eksplisit/tersurat) manakala perkataan “dinobatkan” dalam ayat 2 dan ayat 3 mempunyai maksud konotasi (implisit/tersirat).

Dalam hal ini, baik maksud denotasi mahupun maksud konotasi,  perkataan “menobatkan” (“dinobatkan”) mengandung unsur “pelantikan” dan “pemilihan” atau “penamaan”. Maksudnya ialah, tokoh-tokoh yang “dinobatkan” sebagai raja, olahragawan, atau juara itu dilantik, dipilih, atau ditentukan oleh suatu pihak (panel penilai, juri, dan sebagainya) melalui suatu perbincangan atau musyawarah.

Oleh hal yang demikian, penggunaan perkataan “dinobatkan” pada tajuk yang digunakan oleh para pengulas, iaitu “Sepanyol Dinobatkan sebagai Juara Piala Dunia 2010”, langsung tidak sesuai. Hal ini berlaku demikian kerana Sepanyol langsung tidak melalui proses pemilihan, pelantikan, dan sebagainya (melalui suatu musyawarah) untuk menjadi juara Piala Dunia FIFA 2010. Sebaliknya, pasukan itu perlu bertarung/berlawan/bersaing dengan pasukan Belanda selama 90 minit lebih dan merekalah yang menentukan (melalui pertarungan/perlawanan/persaingan) itu, sama ada hendak menjadi juara Piala Dunia FIFA 2010 ataupun sekadar menjadi naib juaranya.

Dalam perlawanan akhir antara Sepanyol dengan Belanda itu, memang ada penobatan, iaitu Andres Iniesta telah “dinobatkan” sebagai Pemain Terbaik perlawanan akhir. Beliau dipilih melalui panel penilai yang melihat prestasi dan sumbangan semua pemain dalam perlawanan akhir itu. Mereka kemudiannya bermusyawarah untuk memperoleh kata putus.

Penggunaan kata mestilah bersesuaian dengan maknanya supaya tidak dikatakan sebagai memandai-mandai yang tidak kena pada tempatnya. Kecenderungan menggunakan kata mengikut sedap mulut dan pena haruslah dihindarkan.

Monday, July 12, 2010

Piala Dunia FIFA 2010, Paul Sotong, dan Sepanyol

Sama ada kita hendak menafikan atau mengeyakan, kita tidak dapat menolak hakikat bahawa Piala Dunia FIFA 2010 merupakan perkara paling popular yang dibualkan orang sejak sebulan lalu. Kejohanan itu mendapat tempat di hati semua lapisan masyarakat – sama ada kaki judi atau kaki bola; para guru atau para ustaz; ahli politik atau ahli masyarakat. Mereka, sama ada mahu atau tidak mahu, akan memperkatakan atau mendengar hal-hal yang bersangkutan dengan kejohanan yang berlangsung empat tahun sekali itu sepanjang pertengahan bulan lalu hinggalah sehari dua selepas ini.

Kejohanan itu sudahpun berakhir pagi tadi (waktu Malaysia). Pemenangnya pasukan Sepanyol. Pasukan itu telah mengalahkan pasukan Belanda dengan keputusan 1-0. Gol tunggal perlawanan akhir itu dijaringkan oleh Andres Iniesta pada masa tambahan (minit ke-116). Perlawanan akhir itu turut mencatatkan rekod kerana 13 kad dilayangkan kepada pemain kedua-dua buah pasukan – lima kad kuning dilayangkan kepada para pemain Sepanyol dan tujuh kad kuning serta satu kad merah dilayangkan kepada para pemain Belanda.

Adakah perlawanan akhir itu menarik? Sukar untuk memberikan jawaban yang tepat kerana menarik atau tidak perlawanan itu bergantung pada diri penonton sendiri. Sebagai buktinya, awal pagi tadi sudah ada penyokong pasukan Belanda yang menyalahkan pengadil, Howard Webb, kerana seperti memihak kepada pasukan Sepanyol walhal pengadil itu (pengadil yang mengadili perlawanan Sepanyol-Switzerland dalam peringkat kumpulan) tidak disenangi oleh kem Sepanyol. Jurulatih Belanda, Bert van Marwijk sendiri mendakwa bahawa pengadil itu berat sebelah.

Hal ini bermakna bahawa perlawanan itu tidak menarik kerana sikap pengadil. Saya secara peribadi merasakan perlawanan akhir itu kurang menarik kerana tidak dapat menyaksikan banyak gol dijaringkan (alasan budak-budak).

Empat tahun lagi, kalau dunia belum kiamat atau kalau tidak berlaku Perang Dunia Ketiga, Brazil akan menjadi tuan rumah kejohanan ini. Kita tidak tahu adakah Paul Sotong masih hidup untuk membuat ramalan tentang pasukan yang akan menjadi juara Bola Sepak FIFA 2014 itu kelak. Saya secara peribadi berharap agar “beliau” sudah tiada supaya manusia tidak menganggap yang bukan-bukan terhadap “beliau”. Dalam erti kata yang lebih mudah, ketepatan ramalan “beliau” dapat mendorong manusia bergantung dan meyakini makhluk itu malah mungkin ada yang meletakkannya ke tahap makhluk istimewa yang perlu dimuliakan. Dalam Islam, keadaan ini dapat menyebabkan seseorang menjadi syirik.

Dalam kejohanan kali ini, saya hanya membuat tekaan terhadap pasukan tertentu sahaja. Tekaan saya sejak awal kejohanan bahawa Sepanyol akan menjadi juara tepat. Ada beberapa lagi tekaan saya yang tepat, iaitu bahawa England dan Argentina tidak akan melepasi peringkat suku akhir (Argentina sampai ke suku akhir tetapi England tidak sampai ke suku akhir pun). Yang tidak tepat ialah tekaan saya bahawa Sepanyol akan menentang Brazil dalam perlawanan akhir.

Walau apa-apa pun yang kita katakan tentang Piala Dunia FIFA Edisi ke-19 ini, Sepanyol sudahpun berjaya meraih piala idaman setiap pasukan bola sepak dunia. Selain piala, sebagai juara mereka beroleh hadiah kemenangan berupa wang tunai sebanyak AS30 juta manakala Belanda beroleh AS24 juta.

Selain kejayaan Sepanyol itu, ada beberapa anugerah lain yang diraih oleh pasukan dan pemain, iaitu:

ANUGERAH PASUKAN TERBERSIH (FAIR PLAY): Sepanyol
PEMAIN MUDA TERBAIK: Thomas Müeller (Jerman)
ANUGERAH SARUNG TANGAN EMAS: Ike Casillas (Sepanyol)
ANUGERAH BOLA EMAS (PEMAIN TERBAIK KEJOHANAN): Diego Forlan (Uruguay)
ANUGERAH KASUT EMAS (PENJARING TERBANYAK): Thomas Müeller (Jerman) – beliau dipilih daripada tiga pemain lain yang juga menjaringkan lima gol kerana beliau turut membantu pemain sepasukannya menjaringkan gol (tidak kurang daripada tiga kali).
PEMAIN TERBAIK PERLAWANAN: Andres Iniesta (Sepanyol) – beliau tiga kali terpilih sebagai permain terbaik perlawanan sepanjang kejohanan ini berlangsung, iaitu semasa Sepanyol menentang Chile dan semasa Sepanyol menentang Paraguay.

Perlawanan akhir itu menyaksikan Belanda terus gagal mengecap gelaran sebagai juara dalam tiga aksi final yang melibatkan mereka. Selain tahun ini, mereka turut kalah pada tahun 1974 (kepada pasukan Jerman Barat) dan pada tahun 1978 (kepada pasukan Argentina). Walau bagaimanapun, seperti pasukan Jerman dan Uruguay, pasukan Belanda harus berbangga dengan pencapaian ini.

Di manakah Malaysia? Malaysia juga beroleh kejayaan kerana berjaya melahirkan rakyat yang menggilai pasukan negara asing sampai bersedia untuk membeli pelbagai jersi pasukan kesukaan mereka yang harganya mencecah ratusan ringgit. Malangnya, negara ini masih kurang berjaya melahirkan rakyat yang menggilai pasukan negara mereka sendiri. Mengapakah demikian? Jawab sendiri.

Wednesday, July 7, 2010

Telunjuk Lurus Kelengkeng Berkait

Saya kurang pasti di manakah atau daripada siapakah saya pertama kali membaca atau mendengar peribahasa itu, tetapi sejak pertama kali saya mendengarnya, saya terus ingat akan ungkapan yang cantik itu dan dapat memahami maksudnya.

Yang pasti, saya sudah mendengarnya semasa saya bersekolah lagi dan cerita yang menelurkan peribahasa itu ialah perihal perangai penjajah Inggeris semasa mula-mula sampai ke Tanah Melayu/Nusantara ini. Mereka mempunyai tujuan yang tersirat menjalin hubungan mesra dengan pembesar negeri dan pihak istana.

Senario perebutan kuasa yang berlaku sekarang (antara kelompok yang memerintah dengan kelompok yang mendakwa mereka diterima rakyat) memperlihatkan wujudnya unsur yang sedemikian. Ada pihak yang sedang menjadi oportunis dan sedang menyembunyikan hasrat mereka untuk merampas kuasa daripada kedua-dua kelompok yang berebutan itu. Golongan oportunis itu berada di kedua-dua belah kelompok dan mereka akan bersatu apabila kedua-dua pihak yang berebutan itu menjadi lemah.

Pada waktu ini, golongan oportunis yang berada di kedua-dua belah kelompok ini sedang bermanis muka dengan kedua-dua kelompok yang saling berebutan itu. Mereka tampaknya bersedia untuk memberikan laluan dalam hal-hal tertentu, malahan bersedia untuk menyodorkan bantuan kepada puak-puak yang berebutan itu. Lebih menarik lagi, sudah ada kelompok yang terpesona terhadap segelintir oportunis itu yang mengangkat sosok Islam sebagai idola dalam pemerintahannya.

Sebilangan orang yang berada di luar kelompok yang berebutan itu nampak dan sedar akan hal ini. Kalangan insan yang berada di dalam kedua-dua belah kelompok yang berebut kuasa itu juga nampak dan sedar akan hal ini. Malangnya, demi kuasa, perkataan orang yang berada dalam kedua-dua belah kelompok yang berebutan kuasa itu senada dan lembut, gerak laku mereka sealun dan seirama. Mereka sedang menjaga hati para oportunis itu. Mereka sedang terpedaya oleh liuk-lentok golongan oportunis itu.

Janganlah hendaknya golongan oportunis yang bersifat telunjuk lurus kelengkeng berkait itu, yang sedang menyuapkan pisang ke mulut dan mencangkuk onak di dubur, berjaya memperdaya orang-orang yang berada dalam kelompok yang sedang berebut kuasa itu. Kalaulah hal itu berlaku kelak, kuasa yang kalian rebutkan akan jatuh ke tangan mereka dan kalian yang mengepalai kami tidak akan dapat mengambilnya kembali. Tidak faham-fahamkah lagi?

Thursday, July 1, 2010

Balasan kepada Insan yang Sengaja Membinasakan Diri

Saya pernah menonton drama/sekuel cinta popular Korea Selatan yang berhudul “Winter Sonata” tidak lama dahulu tetapi tidaklah sampai mengikuti keseluruhan drama itu. Saya hanya menonton beberapa siri drama itu seimbas lalu sementelahan isteri dan adik saya meminatinya sampai adik saya telah membeli cakera padat drama itu. Saya tidak tahu langsung akan nama-nama pelakon drama itu, tetapi cam akan wajah beberapa orang pelakonnya. (Sesungguhnya, saya memang tidak suka mengingat nama orang Korea ini kerana nama mereka tidak membantu saya untuk membedakan jantina masing-masing.)

Hari ini baru saya tahu akan nama salah seorang pelakon “Winter Sonata” itu, iaitu Park Yong-ha (saya cuba-cuba mengagak-agak, kalau ada bunyi “ha” pada nama orang Korea bermakna mereka lelaki. Agaknya.)

Park Yong-ha, 33 tahun, yang wajahnya saya cam dan kenal, telah meninggal dunia pada awal pagi Rabu lalu dengan cara “mencabut” nyawanya sendiri. Beliau yang turut terkenal sebagai penyanyi di negaranya dan di negara Jepun ditemui mati tergantung di dalam biliknya oleh ibunya sendiri kira-kira jam 5:30 pagi. Beliau menggunakan kabel pengecas telefon bimbit untuk menggantung dirinya itu.

Sebab-musabab seniman-biduan itu membunuh diri masih belum diketahui, tetapi sumber mengatakan bahawa beliau bertindak demikian kerana tertekan oleh penyakit kanser yang dihidapi bapanya. Sebelum kematiannya, beliau menghabiskan masa dengan bapanya yang sakit itu. Beliau kemudiannya masuk ke dalam biliknya pada jam 12:40 tengah malam dan menghantar pesanan memohon maaf kepada bapanya melalui telefon bimbitnya.

Korea Selatan merupakan negara yang paling banyak berlaku kejadian bunuh diri dalam kalangan negara maju. Kejadian ini bukan sahaja melibatkan rakyat biasa tetapi melibatkan tokoh-tokoh ternama (selebriti dan ahli politik). Antara selebriti yang telah membunuh diri termasuklah seniman Ahn Jae-hwan (8 September 2008), seniwati dan peragawati Choi Jin-shil (2 Oktober 2008), penghibur Jang Chae-won (3 Oktober 2008), peragawan gay Kim Ji-hoo (6 Oktober 2008), seniwati Jang Ja-yun (7 Mac 2009), dan seniman Choi Jin-young, adik Choi Jin-shil (29 Mac 2010). Ada banyak lagi kejadian bunuh diri yang melibatkan selebriti yang kurang terkenal di Korea Selatan. Malah, Roh Moo-hyun (Presiden Korea Selatan ke-16) yang disiasat atas tuduhan rasuah juga dikatakan telah membunuh diri dengan terjun ke dalam jurang (23 Mei 2009).

Di negara kita, orang selalu mengkategorikan kejadian bunuh diri dengan perbuatan seperti menikam diri sendiri, minum racun, gantung diri, terjun ke jurang atau terjun dari bangunan tinggi, menyedut asap ekzos, dan sebagainya (seperti yang dilakukan oleh tokoh-tokoh Korea Selatan itu). Pada pandangan saya, ada beberapa perbuatan lain yang tanpa sedar dapat dikategorikan sebagai mengambil nyawa sendiri (malah mengambil nyawa orang lain juga). Antaranya termasuklah memandu/menunggang kenderaaan dengan laju, menagih dadah atau arak, dan menghisap rokok.

Dalam erti kata lain, perbuatan sengaja mengundang bahaya kepada diri sendiri (tanpa perlindungan/ciri-ciri keselamatan bagi mengelakkan kematian, malah kecederaan juga) dapat dikategorikan sebagai membunuh diri. Dalam hal yang berkaitan, para pelumba F1, MotoGP, dan sebagainya memperlengkap diri mereka dengan ciri-ciri keselamatan yang paling maksimum. Hal ini berbeda dengan kaki-kaki rempit. Yang merempit dengan menggunakan motosikal, misalnya, melakukan pelbagai lagak ngeri yang memperjudikan nyawa mereka.

Tentang perokok dan penagih dadah/arak, telah diketahui bahawa ketiga-tiga benda itu dapat “mencampakkan diri ke jurang kebinasaan”. Oleh itu, dengan menjadi penagih kepada bahan-bahan ini, para pelakunya dapat dikategorikan sebagai sengaja membunuh diri. Lebih malang lagi, tidak seperti lumba kenderaan, amalan merokok dan menagih tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan dan perlindungan kecuali berhenti daripada melakukan perbuatan itu. Fikir-fikirkanlah. Wallahualam.

PERINGATAN KEPADA YANG LUPA

  • Allah SWT berfirman: “Dan janganlah kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.” (al-Baqarah, ayat 195)
  • Allah SWT berfirman: “Dan janganlah kamu membunuh diri kamu, sesungguhnya Allah amat Penyayang terhadap kamu.” (an-Nisa’, ayat 29)
  • Rasulullah SAW bersabda: “Tidak halal darah seorang Muslim kecuali dengan salah satu daripada tiga perkara: Duda/janda yang berzina, jiwa dengan jiwa (qisos), dan orang yang meninggalkan agama serta memisahkan daripada jemaah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
  • Rasulullah SAW bersabda: “Sebelum kamu, pernah ada seorang laki-laki luka, kemudian (dia) marah sambil mengambil sebilah pisau lalu dipotongnya tangannya, darahnya terus mengalir sehingga dia mati. Maka berkatalah Allah: ‘hamba-Ku ini hendak mendahulukan dirinya daripada (takdir)-Ku. Oleh sebab itu, Kuharamkan syurga untuknya’.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
  • Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menjatuhkan dirinya dari puncak bukit untuk membunuh diri, maka dia akan jatuh berulang kali ke dalam api neraka selama-lamanya. Sesiapa yang meneguk racun untuk membunuh dirinya, maka racun itu akan berada di tangannya dan dia akan meneguknya berulang kali di dalam neraka selama-lamanya. Sesiapa yang membunuh dirinya dengan menggunakan besi, maka besi itu akan berada di tangannya dan dia akan memukul kepalanya dangan besi itu berulang kali di dalam neraka selama-lamanya.” (Riwayat Muslim, al-Darimi, dan Ahmad)