Wednesday, September 29, 2010

Menuju ke PRU 13: Selangor

Sudah lebih dua tahun PRU 12 berlalu – keputusan rasmi selepas pemilihan 8 Mac 2008 itu ialah BN masih berkuasa untuk menerajui kerajaan (Persekutuan). Di Parlimen, BN memenangi 140 kerusi manakala pihak yang menentangnya atas nama Pakatan Rakyat (PR) memperoleh 82 kerusi (kejadian lompat-melompat parti selepas PRU itu telah mengubah keputusan rasmi tersebut).

Sebelum PRU 12 itu, bekas Menteri Kewangan, YBhg Tun Daim Zainuddin mengklasifikasikan tiga buah negeri sebagai “Kawasan Panas”. Negeri yang diklasifikasikan beliau sebagai “panas” itu itu ialah Kedah, Pulau Pinang, dan Selangor. Ramalan beliau terbukti sebagai benar – ketiga-tiga negeri itu jatuh ke tangan PR, malah ditambah pula dengan satu negeri lagi, iaitu Perak. Kelantan terus dikuasai PR (PAS).

Khabar-khabar angin dan cakap-cakap kedai kopi mengatakan bahawa Tun Daim sudahpun membuat ramalannya tentang PRU 13 akan datang. Menurut khabar angin itu, Tun Daim meramalkan BN akan tewas. Oleh sebab ramalan beliau sebelum PRU 12 itu betul, menurut penyampai khabar angin di kedai kopi itu, maka ramalan beliau yang terkini tidak kita dengar lewat mana-mana media. Kalaulah benar beliau ada meramalkan demikian, BN perlu memberikan perhatian yang sepenuh-penuhnya terhadap ramalan itu.

Sebagai memberikan respons terhadap ramalan Tun Daim sebelum PRU 12 dahulu, Menteri Besar yang memimpin Selangor dan Kedah pada waktu itu dalam satu temu bual dengan sebuah akhbar arus perdana berkata bahawa PAS dan DAP memang mempunyai penyokong dan pengikutnya di negeri-negeri itu, tetapi PKR tidak ada penyokong. Malah, kedua-duanya berkata bahawa PKR bukan ancaman besar kepada BN.

Di Selangor terbukti bahawa Menteri Besar yang dahulu itu terpaksa menelan liur dan kahaknya. Beliau yang pada suatu ketika berhasrat untuk mewujudkan keadaan sifar pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri di Selangor “meleleh liur” apabila melihat tokoh yang menjadi MB Selangor selepas kekalahan BN ialah tokoh daripada parti yang dikategorikan beliau sebagai bukan ancaman besar kepada BN itu!

Itu cerita yang sudah lepas – cerita yang membogelkan para pemuka BN yang selalu memperlihatkan keyakinan bahawa BN akan kekal memerintah negara/negeri dari dulu himgga kini dan selama-lamanya, pemuka yang kadangkala langsung tidak ber“insya-Allah” apabila melahirkan keyakinan mereka.

Cerita yang akan datang yang sepatutnya sudah pun dianalisis sejak kekalahan itu oleh pihak BN ialah bagaimanakah mereka hendak merampas negeri yang telah jatuh itu sedangkan pada masa yang sama negeri yang dikuasai mereka juga sedang berada dalam situasi seperti telur di hujung tanduk, abu di atas tunggul? (Negeri Sembilan adalah antara contohnya.)

Selangor mempunyai 56 kerusi DUN. Pada PRU 12 itu, BN hanya memenangi 20 kerusi dan yang selebihnya (36 kerusi) dimenangi oleh PR (PKR = 15, DAP = 13, dan PAS = 8). Daripada 20 kerusi yang dimenangi oleh BN, 9 kerusi daripadanya dimenangi dengan majoriti di bawah 700 undi (kerusi yang dimenangi oleh PR dengan majoriti kecil itu ialah 3). Malah, di N29 (Seri Serdang), Wakil Rakyat BN memenanginya dengan majoriti 45 undi!

Yang lebih menakutkan ialah, kerusi DUN yang terletak di bandar-bandar yang dahulunya dimenangi oleh wakil BN dengan majoriti yang besar, telah berubah senarionya. Kesemuanya telah dirampas oleh PR dengan kemenangan yang besar pula. Antara kawasan itu termasuklah Bangi, Balakong, PJ Utara, Kampung Tunku, Damansara Utama, PJ Selatan, Bukit Gasing, Kinrara, Subang, Bukit Lanjan, Rawang, dan lain-lain. Dapatkah BN menerbalikkan keadaan ini?

Ketua Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Dato’ Seri Mohd. Najib dan Timbalannya, Dato’ Noh Omar, berdepan dengan cabaran yang getir untuk merampas Selangor! Menyingkirkan MB Selangor dahulu daripada tugas Ketua Perhubungan UMNO Negeri ialah langkah yang sesuai kerana beliau harus dipertanggungjawabkan dan dipersalahkan atas kekalahan BN di negeri itu dalam PRU 12 dahulu. Rasanya MB Selangor dahulu menerima hakikat itu dengan hati yang terbuka. Setidak-tidaknya beliau masih berstatus Wakil Rakyat dan menjadi Ketua Pembangkang.

Kembar Siam Rupa-rupanya. Patutlah Perangai Sama!

Saya pernah menjadi ahli parti yang menerajui negara sekarang. Saya pernah mewakili cawangan parti itu dalam pemilihan Pemuda Bahagian parti teraju negara itu. Saya pernah melihat dalam pemilihan itu ada kelompok-kelompok – nampak seperti Kelompok A dan Kelompok B. Semasa memilih wakil bahagian ke Persidangan Pemuda peringkat negeri, kelompok ini bertelagah. Apabila Kelompok A melihat kebanyakan nama yang dicalonkan adalah daripada kelompok mereka, wakil Kelompok A segera mencadangkan pencalonan ditutup dan kemudian seorang wakil lain cepat-cepat menyokong.

Kelompok B marah. Pencalonan tidak sepatutnya ditutup, kata mereka. Hal ini segera diadukan kepada Pengerusi. Pengerusi berbincang dan bersetuju pencalonan dibuka semula. Seorang wakil di atas pentas menghentak kerusi yang didudukinya. Mujur kekecohan tidak melarat kepada pergaduhan.

Itu dalam parti teraju negara. Cerita lama. Waktu itu pun, saya cuma ikut-ikut dan diminta untuk membuat pemilihan. Senarai nama calon yang harus dipilih sudah pun diberikan oleh ketua saya yang juga merupakan Ketua Pemuda Bahagian kepada saya dan dua orang lagi wakil.

Sekarang sedang berlangsung pemilihan PKR. Rupa-rupanya kekecohan yang berlaku dalam pemilihan parti teraju negara berlaku juga dalam parti itu. Ada yang kelihatan lebih teruk – katanya ada provokasi dan sabotaj oleh pihak yang tidak berkenaan dengan parti itu. Mungkin benar, mungkin tidak.

Cuma, seharusnya semua orang dalam mana-mana parti berlagaklah sebagai orang dewasa, fahamilah etika, hayatilah roh demokrasi. Gaduh-gaduh buat apa? Kacau hal ehwal pihak lain apakah faedahnya? Yang buruk nama kita, rakyat Malaysia juga. Kita bukannya Taiwan. Belajarlah bersabar, jadilah insan yang berdisiplin.

Hal yang kecil ini menimbulkan persepsi buruk rakyat terhadap PKR, sama dengan persepsi buruk yang tumbuh dalam hati rakyat dengan meluas terhadap parti teraju negara. Sebagai orang berkecuali seperti saya, saya susah hendak menerima hakikat ini. Letih! Parti teraju negara dan PKR kembar Siam rupa-rupanya.

Monday, September 27, 2010

ADUN Galas (PGua Musang) Meninggal Dunia

Jam 1:00 tengah hari, saya membaca Blog MSO yang menyiarkan khabar ADUN Galas Che Hashim Sulaima sedang nazak. Beliau menghidap kanser usus dan sudah beberapa hari dimasukkan ke Hospital Pakar Kampung Baru (KBMC).

Sebentar tadi, kira-kira jam 4:25 petang, dikhabarkan bahawa beliau telah menghembuskan nafas terakhirnya. Al-Fatihah untuknya dan marilah kita berdoa agar roh beliau ditempatkan bersama-sama dengan orang yang beriman.

Alllahyarham berusia 47 tahun dan memenangi DUN Galas yang terletak dalam Parlimen Gua Musang setelah mengalahkan wakil BN, Saufi Deraman dari BN dengan majoriti 676 undi.

Dengan kematian allahyarham, satu pilihan raya kecil bakal berlangsung pada tahun ini.

Kemakbulan Doa Rahsia Allah

Apabila kita merasakan bahawa sesuatu hal itu penting, walaupun pada pandangan sebilangan orang hal itu sangat kecil, berdoalah. Allah SWT sentiasa ada untuk mendengar doa kita. Jika hal yang kita angkat sebagai penting itu memerlukan Dia memakbulkannya pada detik itu juga atau pada hari itu juga, yakinlah bahawa Dia pasti akan memakbulkannya.

Semalam isteri saya memesinbasuh pakaian kerana tidak sempat melakukannya pada hari Sabtu seperti kelazimannya kerana terpaksa pergi ke luar kawasan. Tugas menjemur pakaian terletak di bahu saya. Tatkala menjemur itu, mentari pagi bersinar terang. Oleh sebab itu, isteri saya memesinbasuh pakaian pusingan kedua.

Semasa saya menjemur pakaian yang dimesinbasuh buat kali kedua itu, saya mendongak memandang langit. Awan gelap bergumpal-gumpal di sana sini. Saya langsung teringat bahawa sekarang dapat dikira sebagai musim hujan kerana sudah beberapa hari hujan turun pada tengah hari atau awal petang. Minggu lalu, hujan lebat dan angin kencang teah menumbangkan beberapa batang pokok di sekitar tempat saya bekerja di Petaling Jaya.

Apabila melihat tompok awan hitam yang banyak, saya segera teringat akan “bacaan” arwah nenek saya apabila mendapati awan bakal menurunkan hujan tatkala beliau menjemur pakaian, menjemur padi, menjemur ikan yang diasinkan, dan sebagainya. Beliau akan menyebut dengan berlagu-lagu suatu ungkapan yang menarik, iaitu “Bara-bara api, katak bunting nak mandi”. Benar, saya tahu akan tujuan ungkapan itu – supaya hujan jangan turun. Tetapi, selalunya hujan tetap turun, dan saya serta adik sayalah yang akan bercempera untuk mengangkat kain di ampaian, atau padi di jemuran, dan sebagainya lagi.

Setelah berumah tangga, saya pernah mendengar arwah ibu mentua malah isteri saya sendiri “membaca” ungkapan yang sama dalam dialek Negeri Sembilan tetapi sekadar “Baro-baro api” berulang-ulang kali. Rupa-rupanya ungkapan itu digunakan merentas sempadan oleh masyarakat Melayu – nenek saya di Perak/Selangor dan ibu mentua saya di Negeri Sembilan – atas keyakinan yang sama.

Saya tidak jadi mengungkapkan bacaan itu yang saya bimbangi akan membawa saya ke arah keyakinan yang lain. Sebaliknya, saya langsung bermunajat ke hadrat Allah – “Ya Allah, janganlah Engkau biarkan awan mendung melindungi sinar matahari-Mu pada hari ini. Janganlah Engkau turunkan hujan-Mu di kawasan ini, ya Allah. Sebaliknya, ya Allah, Engkau alihkanlah hujan-Mu itu ke tempat lain untuk seketika.” Demikianlah isi doa saya – kecil pada sebilangan orang tetapi penting kepada saya. (Saya tidak suka memakai pakaian yang kering di dalam rumah kerana menghasilkan bau yang kurang enak.)

Tatkala berdoa itu, di langit ada segumpal awan gelap sedang melindungi matahari. Selepas berdoa, awan itu beredar dan selepas matahari memancar beberapa ketika, segumpal lagi awan gelap menutupi cahaya matahari tetapi hanya seketika. Selepas itu, gumpalan awan gelap yang kedua itu berlalu dan matahari pun memancar seterang-terangnya.

Sehingga jam 3:00 petang, hujan tidak turun. Setelah pasti bahawa semua pakaian kering, saya keluar mengangkatnya. Cuma ada sehelai seluar yang masih lembap di bahagian pinggangnya. Hampir jam 4.00 petang, kakak ipar dan suaminya datang. Kami makan bersama-sama.

Selepas berehat, saya pergi ke belakang rumah untuk membuang dahan-dahan pokok petai belalang yang kembali bertunas selepas pokok itu ditebang oleh pihak MPKj beberapa bulan yang lalu. Saya juga membersihkan sampah sarap yang dibuang oleh jiran-jiran yang seperti tidak faham akan erti kebersihan. Biras saya menyertai saya.

Kami berdua membakar sampah sarap itu. Sekitar jam 5:00 petang, hujan renyai turun seketika. Kami terus melonggokkan dahan-dahan kayu, batang dan dahan pokok palma yang ditebang jiran yang terdampar di situ. Angin yang agak kuat membantu pembakaran. Hampir jam 6:00 kami masuk ke dalam rumah. Sekitar jam 6:30 petang, adik ipar saya dan keluarganya tiba dan tidak lama kemudian hujan turun dengan mencurah-curah.

Subhanallah, alangkah hebatnya Allah SWT! Apa-apa yang kita hajatkan pada hari itu dan kita memang benar-benar mengharapkan bantuan-Nya, Dia langsung menunaikannya. Lantas saya teringat akan doa-doa yang saya panjatkan saban hari selepas solat lima waktu – meminta diberi kekayaan, dibebaskan daripada beban hutang, meminta anak berhenti merokok, dan sebagainya – masih belum dimakbulkan sehingga kini.

Mengapakah demikian? Adakah kerana kita tidak menspesifikkan hajat kita itu – kita tidak mengatakan bentuk hajat kita itu yang sebenarnya dan kita tidak menyatakan bilakah perkara-perkara yang kita minta itu kita kehendaki?

Allah Maha Mengetahui sebab-musabab Dia tidak memakbulkan doa kita. Barangkali Dia merasakan bahawa doa itu lebih elok tidak diperkenankan atau lebih elok lambat diperkenankan. Redholah dan teruslah berdoa! Makbul atau tidak sesuatu doa rahsia Allah.

Sunday, September 26, 2010

Wang Ihsan Bersumberkan Aktiviti Haram

Berbohong terkategori sebagai dosa besar. Selain Islam, saya fikir, semua agama mengetahui dan mengklasifikasikan bahawa berbohong sebagai tidak bermoral. Sesungguhnya, apa-apa yang tidak bermoral dapat merosakkan masyarakat.

Bagi masyarakat Melayu, mereka sangat tahu akan keburukan berbohong ini. Oleh sebab itulah mereka mendendangkannya dalam puisi:

Siakap, senohong, gelama, ikan duri; Bercakap bohong, lama-lama mencuri.

Dalam politik, berbohong memang lumrah. Ada yang berbohong demi mengekalkan keberadaan mereka dalam politik negara, ada yang berbohong demi menyelamatkan diri daripada pembohongan mereka yang terlebih awal, ada yang melakukannya kerana hendak mengeyakan apa-apa yang diperkatakan oleh kelompok mereka, dan sebagainya. Malah, dalam politik, kadangkala pembohongan menjadikan seseorang kelihatan bijaksana.

Baru-baru ini kita diberitahu oleh Pemuda UMNO bahawa YAB Ketua Menteri Pulau Pinang, Sdr Lim Guan Eng (LGE) menggunakan dana daripada kelab lumba kuda sebagai sumber dalam pemberian wang ihsan yang bernilai RM100 kepada warga emas (miskin tegar) di negeri Pulau Pinang. LGE segera menafikan hal itu sekali gus mendakwa pihak Pemuda UMNO berbohong.

Menurut LGE, sebenarnya dana itu hanya digunakan untuk membantu golongan miskin tegar yang bukan beragama Islam (yang jumlahnya hanya 10% peratus daripada kalangan miskin tegar di negeri itu).

Hal ini asalnya didedahkan oleh Blog Pisau.net yang kemudiannya menarik minat Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican untuk membicarakannya. Sebagai hasilnya, Reezal pada akhir minggu lalu mendesak kerajaan negeri (Pulau Pinang) menjelaskan dakwaan Blog itu yang kemudiannya seperti yang dijelaskan tadi, telah segera dinafikan oleh LGE.

Di pihak penerima wang ihsan yang beragama Islam, apabila khabar itu sampai di telinga mereka, timbullah perasaan geram, marah, dan takut di hati mereka. Hal ini berlaku demikian kerana mereka tidak mahu memakan sumber yang ada unsur subahat.

Begitulah alkisahnya. Penjelasan LGE kelihatannya seperti dapat mengangkat kebenaran, iaitu bahawa kerajaan pimpinannya memang ada menerima/mengambil sumber daripada perjudian, tetapi beliau tidak menggunakan wang itu untuk diberikan kepada rakyatnya yang beragama Islam, sebaliknya hanya memberikannya kepada rakyat yang bukan beragama Islam.

Jika hal ini satu pembohongan, sesungguhnya blog Pisau.net dan Datuk Seri Reezal kelihatan bijaksana kerana dapat menimbulkan kesangsian dalam hati penerima bantuan wang ihsan kerajaan negeri yang beragama Islam. Jika ternyata dakwaan itu memang benar, kesangsian itu akan bertukar kepada kebencian yang berkekalan dalam kalangan umat Islam yang menjadi penerima wang ihsan itu.

Kepada semua kerajaan negeri dan Persekutuan, itulah manfaat besar Allah SWT mengharamkan perjudian dan pembohongan. Pengharaman itu membolehkan ruang fitnah yang dapat menjejaskan kedudukan pemimpin dan memporak-perandakan rakyat serta menggugat kestabilan negeri/negara akan tertutup. Oleh sebab itulah maksud ayat yang diulang-ulang dalam surah ar-Rahman itu perlu sangat dihayati dan didalami:

Maka, yang mana satu antara nikmat Tuhan kamu yang hendak kamu dustakan?”

Thursday, September 23, 2010

Pemilihan dalam PKR: Meraikan Demokrasi

Meraikan demokrasi dalam parti politik bermaksud bahawa semua orang boleh menawarkan diri untuk merebut apa-apa jawatan dalam parti. Sama ada mereka akan mendapat pencalonan dan sokongan itu soal lain. Yang penting, demokrasi membenarkan pertandingan, malah menggalakkannya.

Sekarang giliran parti politik yang bernama Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula mengadakan pemilihan pucuk pimpinan parti. Riuh-rendah pemilihan itu, lebih kurang sama dengan pemilihan parti politik lain seperti UMNO, PAS, MCA, dan MIC. Unsur-unsur lonjak-melonjak – tokoh melonjakkan dirinya sendiri dan dilonjakkan oleh penyokong-penyokong dan pengikut-pengikutnya – tidak terlepas daripada mewarnai pemilihan itu. Itu pun suatu bentuk keraian terhadap demokrasi juga.

Pemilihan kali ini lebih tertumpu pada jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden. Susuk yang menjadi tumpuan ialah dua orang tokoh “besar”, iaitu YB Mohamed Azmin Hj Ali (ADUN Bukit Antarabangsa dan MP Gombak) dan YB “tak jadi” YBhg Datuk Mohd. Zaid Ibrahim (Pengerusi Perhubungan PKR Wilayah Persekutuan). Walau bagaimanapun, sehingga kini khabarnya empat orang tokoh sudah melepasi kuota pencalonan untuk jawatan itu. Selain YB Azmin dan Datuk Zaid, dua orang tokoh yang layak ialah YB Tian Chua (MP Batu) dan seorang lagi YB “tak jadi”, Mustafa Kamil Ayub (Pengerusi Biro Antarabangsa Keadilan/Pengerusi Perhubungan PKR Negeri Perak).

Jawatan Naib Presiden juga tidak kurang hebatnya. Sehingga kini, 15 orang tokoh layak bertanding, iaitu YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (MB Selangor), Datuk Seri Chua Jui Meng (bekas anggota kabinet kerajaan BN), YB Tian Chua (MP Batu), YB Fuziah Salleh (MP Kuantan), YB Dr Mansor Othman (ADUN Penanti), YB Dr Lee Boon Chye (MP Gopeng), Sdr Yahya Shaari (mantan Pegawai Khas Menteri Besar Selangor), YB Nurul Izzah Anwar (MP Lembah Pantai), Sdr Shamsul Iskandar (Ketua Angkatan Muda Keadilan), YB R. Sivarasa (MP Subang), YB S. Manickavasagam (MP Kapar), dan YB Xavier Jeyakumar (ADUN Andalas/Eksko Selangor) serta YB Mohd. Azmin, YBhg Datuk Mohd. Zaid Ibrahim, dan Mustafa Kamil Ayob sendiri.

Dalam usaha hendak merebut jawatan Timbalan Presiden, ada kalangan tokoh yang bakal menjadi calon seperti “berperang” dengan beberapa orang. Dia bukan sahaja “berperang” dengan pesaingnya, tetapi “berperang” juga dengan orang yang bakal memberikan laluan kepada jawatan yang direbutkan itu. Suatu bentuk meraikan demokrasikah? Ada juga orang-orang di dalam parti itu, malah orang-orang di luar parti itu, yang turut mewujudkan suasana “perang”.

Hari ini, terdengar pula khabar bahawa Sang Srikandi DSAI, YB Nurul Izzah memberikan isyarat bahawa beliau juga hendak merebut jawatan Naib Presiden. Baguslah, sebagai meraikan demokrasi juga. Cuma, bukankah YB Fuziah Salleh sudah awal-awal lagi menjadi calon favourite daripada kalangan wanita? Kalau sah YB Izzah akan bersaing, terpecah dualah undi wanita. Rasa saya, kesediaan YB Izzah untuk merebut slot Naib Presiden bakal menjejaskan (mungkin menutup terus) peluang YB Fuziah untuk menang jawatan Naib Presiden bagi pihak calon wanita.

Kepada semua tokoh yang bakal bersaing untuk merebut jawatan tinggi parti (walau dalam mana-mana parti politik sekalipun), raikanlah demokrasi dengan mendahulukan rasional. Menolak pencalonan yang dibuat oleh ahli (akar umbi) bukan bermaksud tidak menghormati mereka, tetapi sebagai suatu usaha untuk memantapkan dan mengutuhkan serta mewujudkan perpaduan dan persefahaman dalam parti. Yang eloknya, janganlah ada percekcokan dalam merebut jawatan yang sementara itu, baik percekcokan itu perlu ataupun sebaliknya. Bersainglah secara gentlemen.

Wednesday, September 22, 2010

Hal-hal yang Tidak Masuk Akal

Perkara tidak masuk akal akhir-akhir ini telah mencemari kesiuman kita, sama seperti malware yang sedang mencemari beberapa Blog. Malware, seperti yang kita ketahui, dapat diatasi dan dibasmikan tetapi perkara tidak masuk akal yang mencemari minda kita ada yang tidak dapat dinyahkan.

Dua hari lalu, suatu perkara tidak masuk akal telah mencemari kesiuman kita. Seorang individu berbangsa Melayu yang namanya tidak pernah berada di sisi Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary apatah lagi Tan Sri Ananda Krishna dan Tan Sri Robert Kuok dalam senarai bilionaire Malaysia kononnya telah menyumbangkan RM4 bilion kepada Kerajaan Kelantan. Orang Melayu itu bernama Abdul Rahim Abdul Wahab, Pengerusi Eksekutif syarikat I’DA World Group Sdn. Bhd. (l’DA World).

Yang menjadikan hal itu tidak masuk akal ialah jumlah RM4 bilion itu sangat besar, rasa-rasanya lebih besar daripada wang ihsan tahunan Petronas! I’DA World Group Sdn. Bhd. (l’DA World) syarikat yang mengendalikan perniagaan berasaskan petroleum seperti Petronaskah? Perniagaannya pelbagai seperti perniagaan Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukharykah? Huh, teringat saya akan Elie Youssef Najem, “jutawan” Lubnan itu. Dia diberitakan hendak mendermakan RM 1 bilion kepada Majlis Kanser Nasional (MAKNA) suatu ketika dahulu! Walau bagaimanapun ternyata lelaki Arab itu penipu besar dan sikapnya yang gemar menipu ke sana dan ke sini itu telah menyebabkan dia dijatuhi hukuman penjara 6 tahun baru-baru ini.

Satu lagi hal yang tidak masuk akal ialah kenyataan Sdr Morat Pora tentang ketetapan SPR yang terkini, iaitu rakyat yang baru mendaftarkan diri sebagai pemilih pada tahun ini tidak layak untuk mengundi jika Pilihan Raya Umum Ke-13 diadakan pada tahun hadapan (Morat Pora ialah Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya Pulau Pinang).

Ketetapan SPR itu tidak masuk akal. Hal ini demikian kerana rakyat disuruh segera mendaftar sebagai pemilih apabila telah mencapai umur 21 tahun. Rakyat berkesedaran tinggi yang mencapai usia itu segera memenuhi tanggungjawab tersebut dengan mendaftarkan nama mereka sebagai pemilih baharu berdasarkan empat fasa yang dijadualkan oleh pihak SPR sendiri, iaitu Januari-Mac, April-Jun, Julai-September, dan Oktober-November.

Alangkah aibnyanya SPR kalau satu fasa pendaftaran pemilih baharu pun tidak dapat diproses oleh pihak SPR! Alangkah lembapnya SPR! Alangkah ruginya memperuntukkan sejumlah imbuhan sebagai gaji kepada kakitangan di SPR ini!

Perkara tidak masuk akal ini tujuannya hendak mendungukan rakyat, tetapi yang jelas mereka itulah yang kelihatan lebih dungu.

Dua Lagi Orang Hilang Dikaitkan dengan Suspek Utama Pembunuhan Datuk Sosilawati

Pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga orang rakannya dikategorikan sebagai kejam bukan sahaja disebabkan oleh cara mereka dibunuh, tetapi juga kerana pembunuhan itu telah memisahkan mereka dengan kaum keluarga dan sahabat handai mereka dengan cara yang tidak sepatutnya. Memang betul bahawa kematian telah ditentukan oleh Allah SWT, tetapi melupuskan mayat sehingga tidak dapat ditatap atau diberi penghormatan untuk kali terakhir oleh kaum keluarga dan sahabat handai sangat tidak berperi kemanusiaan.

Hari ini Berita Harian melaporkan bahawa ada satu lagi kes orang hilang (yang melibatkan dua orang individu) yang berkemungkinan besar ada kaitannya dengan suspek utama kes pembunuhan Sosilawati ini. Dua orang individu itu, Shafik Abdullah, 37 tahun (seorang kontraktor), dan sahabat baiknya disahkan sebagai hilang selepas bertemu dengan suspek utama kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik itu. Kedua-dua mereka hilang sejak April 2010 lalu selepas dipercayai menemui peguam berkenaan di satu lokasi di ibu negara atas urusan perniagaan.

Modus operandi kehilangan kedua-dua orang sahabat itu (dipercayai rakan kongsi dalam perniagaan batu permata) hampir sama dengan kehilangan jutawan kosmetik itu. Berdasarkan modus operandi itu, kedua-dua mangsa memberitahu keluarga masing-masing bahawa mereka hendak pergi ke suatu tempat untuk bertemu dengan seseorang (peguam), dipercayai suspek utama kes Sosilawati, atas urusan perniagaan sebelum kedua-duanya hilang. Telefon bimbit mereka tidak dapat dihubungi dan kemudiannya polis menemukan kereta jenis Honda Stream milik Shafik di sebuah kondominium di ibu negara Mei lalu selepas keluarga mereka membuat laporan polis.

Kehilangan itu sudah pasti menyebabkan isteri dan kaum keluarga kedua-dua orang mangsa yang hilang itu ternanti-nanti dan tertanya-tanya akan nasib insan yang hilang itu. Lima bulan berada dalam keadaan yang tidak pasti sudah tentulah mendera dan menekan perasaan kaum keluarganya. Alangkah zalimnya perlakuan orang yang melakukan perbuatan yang seumpama ini!

Cuma, kerana barangkali mereka berdua tidak berprofil tinggi, kehilangan mereka mengambil masa berbulan-bulan untuk dikaitkan dengan kejadian pembunuhan.

Tuesday, September 21, 2010

Sekolah Harapan dan Masalah Pembuangan Bayi

Seperti yang kita ketahui, Sekolah Harapan dan Rumah Harapan cetusan idea YAB Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, telah pun dibuka pada hari Jumaat lalu dan semalam khabarnya lima orang gadis telah mendaftarkan kemasukan mereka ke sekolah itu. Yang mendaftar di situ terdiri daripada pelajar-pelajar hamil.

Kedatangan dan kemasukan pelajar-pelajar hamil ke sekolah itu disertai oleh ibu bapa masing-masing. Hal ini bermaksud bahawa, mereka dibawa oleh ibu bapa sendiri ke sekolah itu. Dibawa oleh ibu bapa atau penjaga bermaksud bahawa ibu bapa maklum bahawa anak gadis mereka telah hamil.

Kalau fenomena sedemikian berterusan, saya kira matlamat penubuhan sekolah yang beroperasi di Jasin, Melaka ini tidak berkesan dalam usaha hendak membendung masalah pembuangan bayi yang leluasa itu. Hal ini berlaku demikian kerana masalah pembuangan bayi bukan dilakukan oleh golongan yang demikian.

Gadis-gadis yang diketahui oleh ibu bapa masing-masing bahawa mereka telah hamil luar nikah tidak akan membuang dan membunuh bayi mereka. Ibu bapa mereka tidak akan sampai hati untuk membuang anak-anak itu. Yang lazim dilakukan oleh ibu bapa yang mempunyai anak yang begitu ialah menyerahkan anak luar nikah itu kelak kepada keluarga angkat, memeliharanya sendiri, dan sebagainya (walaupun ada yang memaksa anak-anak ini menggugurkan kandungan, tetapi jumlahnya amat kecil).

Golongan yang terdorong untuk membuang dan membunuh bayi ialah gadis yang merahsiakan kandungan mereka daripada pengetahuan ahli keluarga dan masyarakat. Golongan ini begitu takut untuk memaklumkannya kepada ibu bapa kerana takut akan melukakan perasaan ibu bapa masing-masing, takut akan dihukum dan disisihkan ahli keluarga, takut dinista masyarakat, dan sebagainya. Golongan yang seperti inilah yang sampai hati untuk membuang dan membunuh bayi mereka demi menutup dan menyembunyikan tembelang kejahatan mereka.

Oleh itu, saya berpendapat bahawa kalau golongan yang berbondong-bondong mendaftar di Sekolah Harapan di Jasin ini ialah gadis yang merahsiakan kehamilan mereka daripada pengetahuan ibu bapa masing-masing, dan mereka hadir ke sekolah itu tanpa ditemani oleh keluarga, barulah matlamat penubuhan sekolah ini dikira sebagai berjaya untuk mengatasi masalah pembuangan bayi.

Kalau tidak, masalah pembuangan bayi ini akan terus menjadi fenomena. Sekali lagi, masalah pembuangan bayi tidak dapat diatasi dengan mengubatinya. Kita wajib mencegahnya!

Friday, September 17, 2010

Penjualan Daging Klon Sudah Bermula

Di Britain, sudah terbit kebimbangan dalam kalangan rakyat negara itu terhadap bahan makanan mereka, khususnya daging. Hal ini berlaku begitu kerana dalam tempoh dua tahun lagi (2012), daging klon akan berada di pasaran secara leluasa dan akan menjadi menu harian mereka.

Keadaan akan menjadi bertambah rumit kerana agensi yang berkaitan makanan di negara itu akan berdepan dengan kesukaran untuk mengesan dan melabel makanan daripada haiwan klon itu. Hal ini diakui oleh Agensi Penarafan Makanan (Food Standards Agency/FSA) di negara itu yang turut mengatakan bahawa urusan perdagangan yang membabitkan embrio dan air mani haiwan klon berlaku dengan amat leluasa pada peringkat antarabangsa dan sukar untuk disekat atau dipantau. Keadaan ini memungkinkan pengguna, tanpa disedari mereka, akan memakan dan meminum susu lembu klon tidak lama lagi.

Pihak FSA juga mendakwa bahawa anak lembu klon berkemungkinan sudah mula “dibiakkan” dengan banyak di di ladang-ladang ternakan tanpa diketahui lokasinya. Malah, akhbar di negara itu pada bulan lalu mendedahkan bahawa daging daripada tiga haiwan klon sudah pun berada dalam pasaran makanan Britain dan Eropah sejak setahun lalu. (Sumber daripada Daily Mail. Rujukan lanjut, layari http://www.dailymail.co.uk/news/article-1312414/Clone-food-shops-years.html)

ULASAN
Seharusnya kita berasa bimbang akan perkembangan ini. Para mufti harus segera memperjelas fatwa tentang hal ini (jika sudah difatwakan. Kalau belum, segeralah difatwakan).

Kalau kelak perkembangan ini sampai ditiru di sini, atau pada suatu ketika kita berada di negara itu dan memakan daging klon yang tidak melalui proses pembesaran dan pembiakan semula jadi itu, saya fikir kita sudah memakan daging lembu yang tidak halal.

Hal ini mungkin tidak menjadi kudis kepada golongan tertentu, khususnya yang biasa makan daging haiwan yang tergolong sebagai eksotik itu, tetapi sebagai orang yang beragama, kita tidak boleh membiarkan hal ini menimpa kita. Ikutilah perkembangannya demi keyakinan kita terhadap fitrah kejadian makhluk ciptaan al-Khaliq.

Tuesday, September 14, 2010

Menyembunyikan Wajah Jahat di Balik Kebudimanan

Pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga orang rakannya – Kamaruddin Shamsudin, Noorhisham Mohammad, dan Ahmad Kamil Abdul Karim – oleh sekumpulan orang yang dikepalai oleh orang yang berstatus/berdarjat harus menyedarkan kita. Hal ini dikatakan demikian kerana sesiapa pun di negara kita ini berpotensi untuk menjadi penjenayah atau lebih tepatnya pembunuh.

Dalam kes jutawan kosmetik dan tiga orang rakannya itu, yang menjadi suspek utama ialah seorang peguam dan ahli perniagaan. Dalam kelompok masyarakat di negara kita, kelompok ini tergolong sebagai orang yang berdarjat. Sebagai orang yang berdarjat, sudah tentulah mereka pada pandangan kita tidak sampai harus membunuh.

Ada pula laporan yang mengatakan bahawa suspek utama itu berperawakan baik dan peramah sehingga orang tidak menyangka bahawa suspek itu buruk laku. Seandainyalah kelak suspek utama itu didapati bersalah, kita juga harus membuka mata bahawa kebaikan yang diperlihatkan oleh seseorang perlu diwaspadai. Hal ini demikian kerana orang semakin bijak berlakon untuk menabiri kejahatan mereka.

Kejahatan seperti ini sudah berlaku sejak zaman dahulu lagi. Firaun itu orang berdarjat. Namrud dan Qarun pun orang berdarjat. Semua mereka jahat, tetapi kejahatan mereka tidak tersorok. Orang tahu mereka jahat. Rakyat tahu mereka jahat.

Orang berdarjat yang menjadi suspek utama ini tidak diketahui kejahatan mereka kerana mereka bijak menyembunyikan kuku kejahatan mereka. Hal inilah yang perlu kita waspadai dalam menggauli masyarakat zaman ini. Tidak ada cara lain untuk menghindarkan diri daripada menjadi mangsa “pelakon” seperti itu selain daripada doa.

Al-Fatihah untuk Datuk Sosilawati Lawiya serta Kamaruddin Shamsudin, Noorhisham Mohammad, dan Ahmad Kamil Abdul Karim dan takziah kepada kaum keluarga mereka. Hendaknya Allah SWT memberikan tempat yang mulia dan istimewa kepada roh mereka.

Thursday, September 9, 2010

Salam Kemenangan, Salam Aidilfitri

Salam Kasih Sayang kepada Muslimin dan Muslimat, Mukminin dan Mukminat.

Ramadan yang barakah berlalu mengikut aturan masa. Benar, berat hati hendak melepaskannya tetapi begitulah kebijaksanaan Allah SWT mengaturkan masa untuk menjadualkan kehidupan kita. Berdoalah kita agar Allah SWT terus memanjangkan usia kita untuk bersama dengan bulan yang mulia itu pada tahun-tahun yang mendatang.

Segala amal baik sepanjang Ramadan 1431 ini biarlah kekal menjadi amalan rutin kita pada bulan-bulan mendatang. Puasa enam Syawal serta puasa-puasa Isnin dan Khamis, biarpun tidak seistimewa puasa Ramadan, biarlah hendaknya lekat di jiwa dan seronok diamalkan. Solat-solat sunat, walaupun tidak semeriah Tarawih, haruslah diperbanyak, dan al-Quran hendaklah dibaca dan dihayati isinya.

Selagi Allah SWT sudi meminjamkan hayat, buatlah mana-mana yang dapat, bukan ala kadar dan sambalewa tetapi dengan iltizam dan minat.

Dan sepanjang perkenalan lewat alam maya ini, barangkali ada kalimat dan tulisan yang mencuit rasa, hingga hati terasa dilukai. Dosa saya yang secarik itu, janganlah sampai dilebarkan, dosa yang saya lebar janganlah sampai tidak diampunkan.

Salam Kemenangan dan Salam Aidilfitri kepada semua; semoga ar-Royyan yang dijanjikan Allah SWT kepada orang-orang yang mendapat rahmat-Nya, pengampunan-Nya, dan pembebasan daripada api neraka-Nya, menjadi tempat yang layak untuk kita huni. Amin.

Maaf Zahir dan Batin.

Tuesday, September 7, 2010

Rukyah, Hisab, dan Imkanur-Rukyah

Hingga saat ini, masih banyak kalangan umat Islam yang tidak faham perihal rukyah dan hisab dalam penentuan awal Ramadan, Syawal, dan Zulhijah. Sehingga demikian, banyak orang yang melahirkan rasa kurang puas hati kerana kehadiran awal bulan-bulan yang dinyatakan itu sering menimbulkan keresahan dalam hati mereka kerana adanya unsur-unsur ketidakpastian, misalnya puasa tahun ini 29 atau 30 hari, hari raya esok atau lusa, dan sebagainya.

Hakikatnya, kita tidak harus bersangka buruk terhadap kaedah hisab dan rukyatulhilal (melihat anak bulan) itu. Hal ini saya katakan demikian kerana kaedah tersebut memang diguna pakai oleh Rasulullah SAW dalam penentuan awal bulan-bulan itu dan bulan-bulan qamariah yang lain. Hal ini bermaksud bahawa kita mengikut sunah Rasulullah SAW. Berdasar pada dalil-dalil al-Quran, al-Hadis, dan pendapat ulama serta kajian astronomi moden, lahirlah tiga amalan lazim dalam menentukan awal Ramadan, Syawal, dan Zulhijah, iaitu:
1 rukyah (melihat anak bulan);
2 hisab falak (pengiraan); dan
3 rukyah dan hisab dengan menggunakan kriteria imkanur-rukyah, iaitu menggunakan hisab dalam menentukan kebolehnampakan anak bulan (hilal).

Antara ketiga-tiga kaedah itu, kaedah rukyah dan hisab dengan menggunakan kriteria imkanur-rukyah, sesuai dilaksanakan di Malaysia kerana menepati kehendak syarak.

Di negara kita, sebenarnya sejak tahun 1993, hal ketidakpastian tarikh awal/akhir Ramadan, Syawal, dan Zulhijah sudah tidak berlaku lagi. Tarikh yang tertera pada kalendar Masihi atau Hijri sudah dapat dianggap sebagai tepat dan betul. Seingat saya, sejak tahun 1993, tidak berlaku lagi peristiwa selatan Thai berpuasa/berhari raya lebih awal daripada Malaysia atau peristiwa Johor dan Perak berhari raya lebih awal daripada negeri-negeri lain di Semenanjung. Dalam erti kata yang lain, kekecohan dalam menyambut kehadiran bulan-bulan yang mulia itu tidak berlaku lagi.

Kecelaruan yang wujud sebelum tahun itu dapat dibetulkan apabila bermula tahun 1993, Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia, dan Republik Singapura yang merupakan negara anggota MABIMS (Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura) bersepakat untuk mengguna pakai kriteria imkanur-rukyah bagi menentukan awal Ramadan dan awal Syawal. Kriteria ini menetapkan bahawa sebelum matahari terbenam, ijtimak (Bulan, Bumi, dan Matahari berada di garisan atau longitud yang sama) telah berlaku pada 29hb Qamariah dan melalui perkiraan, hilal (anak bulan) dianggap sebagai dapat kelihatan sekiranya tidak terlindung oleh keadaan cuaca apabila pengiraannya memenuhi satu daripada syarat yang berikut:
  • ketika matahari terbenam, ketinggian hilal di atas ufuk tidak kurang daripada 2 darjah dan jarak lengkung Bulan-Matahari tidak kurang daripada 3 darjah; atau
  • ketika hilal terbenam, umur hilal tidak kurang daripada 8 jam (selepas ijtimak berlaku)

Selepas dua tahun, yakni pada tahun 1995, barulah kriteria imkanur-rukyah diguna pakai dalam penentuan awal Zulhijah dan bulan-bulan Qmariah yang lain pula.

Untuk memperjelas pemahaman penggunaan kriteria imkanur-rukyah dalam penentuan awal-awal bulan Qamariah, kita lihat dua contoh yang berikut.

  • Pada tahun lalu (1430 Hijrah/2009 Masihi), seperti biasa rukyatul hilal telah dilakukan pada 29 Ramadan/19 September. Dalam pada itu, ahli falak telah pun menghisab kedudukan anak Bulan (hilal) , iaitu bahawa pada 29 Ramadan 1430/19 September 2009 (Sabtu), ijtimak Bulan dan Matahari akan berlaku pada jam 2:45 pagi. Berdasarkan hisab, kedudukan hilal menepati kriteria imkanur-rukyah kerana hilal sepatutnya dapat dirukyah (dilihat) pada malam itu kerana berada 19 minit di atas ufuk. Malangnya, cuaca telah menghalang hilal untuk dirukyah di semua pusat cerapan. Oleh itu, kaedah hisab yang dijelaskan itu diguna pakai. Maka, 1 Syawal bermula pada malam itu dan harinya adalah pada 20 September 2009. Hal ini bermakna bahawa 1 Syawal 1430 jatuh pada hari Ahad, 20 September 2009 dan Ramadan hanya 29 hari.
  • Pada tahun ini (1431 Hijrah/2010 Masihi), rukyatul hilal juga akan dilakukan pada 29 Ramadan (8 September). Berdasarkan hisab, di wilayah Yogyakarta (Indonesia), Matahari akan terbenam pada pukul 17:37 (Waktu Indonesia Barat) pada azimut 275° 35’. Tinggi Bulan pada waktu Matahari terbenam ialah -2° 25’ di bawah ufuk di kiri-bawah kedudukan Matahari pada azimut 271° 6’. Hal ini bermaksud bahawa Bulan terbenam lebih dulu, iaitu pada pada jam 17:27 (Waktu Indonesia Barat). Pada ketinggian itu, mustahil hilal dapat dirukyah. Dengan yang demikian, 1 Syawal akan bermula pada malam yang berikutnya, iaitu pada 10 September 2010. Hal ini bermakna bahawa 1 Syawal 1431 jatuh pada hari Jumaat, 10 September 2010 dan Ramadan berlangsung selama 30 hari.

Oleh hal yang demikian, janganlah kita memandai-mandai untuk mengatakan 1 Syawal jatuh pada hari Khamis (09 September 2010) sehingga menggusarkan hati banyak orang. Kalau benar 1 Syawal 1431 jatuh pada hari Khamis, kita harus meyakini bahawa ada pihak yang telah membelakangkan pengiraan ahli falak. Tujuannya barangkali kerana hendak mengelakkan dua khutbah (khutbah Aidilfitri dan dua tiga jam kemudian, khutbah Jumaat pula). Wallahua’lam.

[Sumber rujukan: http://hazis.wordpress.com dan http://rukyatulhilal.org.

Monday, September 6, 2010

Penghina Agama Banyak yang Bebas

Sabtu lalu, TS Muhyiddin berkata bahawa tidak ada sesiapa yang akan terlepas jika mereka menghina agama. Kenyataan itu tampak tegas, tetapi langsung tidak menakutkan kerana hal menghina agama ini “dah berlaku lama dah”.

Dan kita wajar memikirkan, bagaimanakah yang dikatakan sebagai “menghina agama” itu? Orang Islam yang tidak bersolat tidak tergolong sebagai “menghina agamanya”kah? Orang Islam yang menolak hudud tidak menghina tergolong sebagai penghina agamakah?

Mereka penghina agama bukan? Sekarang, telah diapakan umat Islam yang menghina agama itu? Bukankah mereka masih lepas bebas menyedut dan menghembus nafas?

Gertak-menggertak ini, TS Muhyidn eloklah dihentikan sahaja. Tukar cara. Siasat dalam diam. Cari bukti, lihat, dan kemudian, tangkap!

Friday, September 3, 2010

Biarlah Dia Membebel, Faekah

Setiausaha Politik YAB Menteri Besar Selangor, Faekah Husin berpendapat bahawa mantan MB Selangor yang bernama Mohd. Khir Toyo yang memiliki rumah agam itu seharusnya berdiam diri sahaja. Hal ini perlu dilakukan demikian kerana Faekah berpendapat bahawa dakwaan yang ditimbulkan oleh mantan MB Selangor itu terhadap pentadbiran Selangor hanya akan memakan diri mantan MB Selangor itu sendiri.

Sebenarnya, dakwa Faekah, masalah yang banyak berlaku di negeri Selangor pada masa ini sebenarnya berpunca daripada keputusan yang dibuat mantan MB Selangor itu berkuasa dahulu.

Isu yang melibatkan pembahagian tanah kepada peneroka di sebuah tanah rancangan di Bandar Alam Perdana, Kuala Selangor, adalah antara contohnya, kata Faekah. Menurut beliau, peneroka di tanah rancangan itu telah memohon untuk mendapatkan geran kecil bagi tanah seluas antara 60 hingga 120 ekar. Malangnya, terdapat beberapa individu yang mengemukakan injunksi di mahkamah bagi menghalang pengeluaran geran berkenaan.

Di sinilah komen-komen negatif itu bermula dan hal itu perlu dijawab oleh kerajaan negeri. Siasatan untuk mengetahui punca masalah itu yang sebenarnya pun dilakukan dan hasil siasatan itu sangat mengejutkan. Hal ini demikian kerana beliau mendapati ada antara pemilik tanah tersebut (peneroka Felda) yang terdiri daripada pemimpin UMNO di negeri itu. Seorang daripadanya berstatus doktor gigi.

Pada hemat saya, Faekah tidak usahlah melarang mantan MB Selangor itu bercakap-cakap dan mengondem-ngondem kerajaan yang memerintah Selangor sekarang. Kalau dia tidak bercakap-cakap dan mengondem-ngondem kerajaan yang memerintah Selangor sekarang, tidaklah terdedah kebobrokan yang berlaku pada zaman mantan itu memerintah dahulu. Kalau tidak terdedah seperti sekarang, orang macam kita langsung tak tahu.

Biarkan, Faekah. Seronok kami.

Thursday, September 2, 2010

Sukakan Gaharu Kerana Baunya, Sukakan Guru Kerana Ilmunya

Beliau memang seorang tokoh. Walaupun ketokohannya tidak sehebat artis apatah lagi PM atau ahli politik yang lain, pada saya beliau memang seorang tokoh. Sumbangannya terhadap bidang yang dicintainya melayakkan beliau diangkat sebagai tokoh.

Oleh sebab beliau tokoh, kearifannya dalam bidang yang dicintainya harus kita manfaatkan dengan sewajarnya, malah perlu dimanfaatkan semaksimum yang mungkin. Kalau kita berkesempatan, ceramah beliau eloklah kita hadiri, bahan-bahan tulisannya seharusnya kita miliki, makalah beliau seelok-eloknya kita hayati, dan Blog beliau eloklah kita kenali.

Tokoh yang saya maksudkan itu tidak lain tidak bukan Tuan Profesor Dr. Haji Awang Sariyan yang sekarang merupakan Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China yang berpangkalan di Beijing Foreign Studies University. Beliau, telah mula berblog pada tahun ini dengan menjadikan hal-hal berkaitan bahasa dan budaya sebagai fokus pembicaraannya.



Kini beliau turut menjawab persoalan-persoalan berkaiatan bahasa dalam Blognya itu dengan memberikan hujah yang tepat dan kritis. Pencinta bahasa, sama ada guru, pelajar, editor, dan sebagainya harus memanfaatkan curahan ilmu yang diberikan beliau secara percuma itu.

Lawatilah Blog beliau, http://kembarabahasa.blogspot.com/. Insya-Allah, pengetahuan tentang bahasa dan budaya akan bertambah dan bercambah.