Monday, May 13, 2013

Yang Menang, Menang; Yang Kalah, Kalah: Politik Dendam Hindarilah

Sebagai warganegara yang mencintai amalan demokrasi, politik dendam merupakan perkara yang paling dibenci oleh kebanyakan orang, khususnya dalam kehidupan yang bertamadun. Amalan ini tidak harus ada sama sekali dalam sistem pemerintahan di negara ini apatah lagi di negara yang beragamarasmikan Islam dan kebetulan dipimpin oleh orang Islam yang menghendaki semua orang mempraktikkan keadilan dan kesaksamaan. Amalan politik dendam bertentangan dengan tuntutan Islam yang dinyatakan itu. Apa-apa bentuk penderaan yang langsung tidak memperlihatkan keadilan merupakan suatu bentuk penganiayaan.
 
Di negara ini, kita baru sahaja melepasi tempoh pilihan raya yang hebat – kerajaan pemerintah (tidak kira di mana-mana kerajaan, sama ada Persekutuan yang diterajui oleh BN atau negeri-negeri yang diterajui sama ada oleh BN atau PR), berdepan dengan kebangkitan rakyat yang ingin mengubah atau mempertahankan kerajaan yang diyakini mereka. Pada peringkat Persekutuan, seperti yang diketahui, BN masih gagah dan berkuasa. Pada peringkat negeri, ada yang terus berkuasa, malah ada juga yang tambah memantapkan kuasa dan ada yang telah tumbang oleh kebangkitan rakyat dan ada juga yang kuasanya dikurangkan oleh rakyat.
 
Demikianlah perjalanan sistem demokrasi yang diserahkan kepada rakyat sepenuhnya. Para “pemain” yang menyertai pertandingan (dalam konteks PRU, “pemain” itu merupakan calon wakil rakyat yang di atas bahunya bakal terpikul beban tanggungjawab besar untuk berkhidmat demi rakyat) boleh menangis kerana terlalu gembira atas kemenangan atau atas kekalahan masing-masing, tetapi percayalah rakyat yang memilih mereka tidak peduli akan perasaan calon wakil rakyat itu. Yang dihajati oleh mereka ialah mereka memainkan peranan penting sebagai wakil rakyat. Rakyat dalam konteks apa-apa pun merangkum semua orang di kawasan mereka.
 
Jadi, apabila ada pemimpin yang dipilih melalui proses pilihan raya ini yang menafikan hak rakyat kerana mendefinisikan rakyat sebagai “orang yang menyokong mereka” bukan sebagai “orang di kawasan mereka secara keseluruhannya”, maka pemimpin ini dengan mudah dapat kita golongkan sebagai zalim. Sebagai contohnya, kalau YAB PM menafikan hak orang Cina kerana merasakan bangsa ini tidak memilih parti yang dipimpinnya dalam PRU yang baru lalu, kita dengan mudah dapat menggolongkan beliau sebagai zalim (saya yakin bahawa beliau tidak demikian) kerana orang Cina berstatus rakyat di negara ini.
 
Demikian juga kalau ada YAB MB yang sampai mengeluarkan kenyataan untuk tidak melantik Pegawai Pembangunan DUN (PPD) dan Pegawai Pembangunan Parlimen (PPP) di kawasan partinya kalah dalam PRU baru-baru ini. Tindakan yang diambil itu jelas berunsur dendam dan seolah-olah wajar dikenakan kepada rakyat yang “tidak mengenang budi” hingga menyebabkan beberapa calon parti pimpinannya kecundang pada PRU yang lalu. Tidak kira walau dalam keadaan yang bagaimana sekalipun, pemimpin yang dipilih sebagai wakil rakyat harus berfikiran terbuka tentang hakikat demokrasi ini. Jauhi kezaliman, tinggalkan diskriminasi, dan raikanlah demokrasi.

Tuesday, May 7, 2013

Keputusan Siapakah yang Harus Diterima dengan Hati Terbuka?

Penantian penuh debar tarikh PRU13 kita tempuhi hampir dua tahun. Di pihak Pakatan, keyakinan mereka untuk memenangi PRU itu berada pada tahap yang sangat tinggi; di pihak Barisan, walaupun mereka berkeyakinan tinggi seperti Pakatan, mereka sebenarnya hampir sepanjang masa menjadi pihak yang berusaha untuk menyaingi (Pakatan) bukan pihak yang disaingi (Pakatan). Hal ini dapat dibuktikan melalui beberapa/pelbagai tindakan dan keputusan yang diambil oleh mereka (meniru).

Sebagai contohnya, istilah “Negara Berkebajikan” yang dipopularkan oleh pihak Pakatan telah diguna pakai oleh pihak Barisan dengan mengatakan bahawa apa-apa yang diamalkan oleh mereka sejak sekian lama memang menjurus kepada “Negara Berkebajikan”. Kemudian, menghampiri hari berlangsungnya PRU, mereka mengeluarkan Aku Janji. Antara lain mereka berjanji untuk menurunkan harga kereta. Janji dan iltizam ini terkemudian daripada iltizam yang telah diwara-warakan oleh pihak Pakatan, malah berlawanan dengan pendirian awal mereka.

Yang menjadi penyokong Pakatan, keyakinan mereka sangat selari dengan keyakinan pemuka-pemuka Pakatan, iaitu Putrajaya bakal menjadi pusat pentadbiran kerajaan baharu – Pakatan Rakyat. Kebanyakan teman dan jiran yang sempat ditemui sebelum berlangsungnya PRU13 senada dalam bicara mereka – menghendaki perubahan. Perubahan yang dikehendaki itu bukan perubahan yang harus dilakukan oleh Barisan, tetapi perubahan yang akan dilakukan oleh mereka sendiri – menukar kerajaan yang terlalu tua.

Mereka sudah hampir merealisasikannya; ataupun memang sudahpun berjaya merealisasikannya (jikalau dakwaan-dakwaan penipuan oleh pihak SPR itu benar). Orang-orang yang sekadar menjalankan tanggungjawab mengundi dan tidak dapat melihat “penipuan” itu dengan mata kepala sendiri tidak dapat berbuat apa-apa selain menerima keputusan itu dengan hati terbuka. “Bersangka baiklah,” kata beberapa orang penyokong Pakatan, “kerana kita kalah dalam kemenangan, mereka menang dalam keegoan”.

Ungkapan “menerima keputusan dengan hati terbuka” itu menarik untuk dibicarakan. Keputusan daripada pihak manakah yang hendak diterima dengan hati terbuka itu? Keputusan yang dizahirkan oleh rakyat yang memberikan 51.4% undi popular itu atau keputusan yang diumumkan oleh Pengerusi SPR yang tersenyum manis dan puas tatkala memaklumkan Barisan sudah memperoleh majoriti mudah 112 kerusi menjelang tengah malam 06 Mei 2013 itu? Yang mana satu? Banyak yang tertanya-tanya!

Apabila terbaca akan suatu tulisan/komen dalam FB atau mungkin dalam Blog, jika saya tidak silap, saya memilih untuk bersetuju dengan penulis itu. Yang memberikan keputusan itu ialah Allah SWT lalu terimalah keputusan itu dengan hati terbuka. Allah telah menunjukkan bahawa rakyat di negara ini memang memahukan negara ini memiliki kerajaan baharu (berdasarkan undi popular itu). Oleh itu, andai benar SPR melakukan pengkhianatan, biarlah Allah SWT membalas perbuatan mereka.

Di sini, saya mencedok cerita Ustaz Azhar Idrus lewat FBnya yang tersiar hari ini (Selasa, 07 Mei 2013, jam 7:21 a.m). Beliau bercerita (dengan sedikit pembetulan ejaan dan penggunaan kata): 
“Saya menceritakan rasa sedih Parti Islam tidak memenangi pilihan raya kepada seorang Murabbi. Dengan tenang beliau menjawab, ‘Itulah tanda perjuangan Parti Islam itu di landasan yang betul’. Islam tidak akan menang jika masih ramai lagi masyarakat jahil. Islam tidak akan menang jika ada yang gila untuk menjadi pemimpin. Islam tidak akan menang jika jentera tidak menghidupkan Islam dalam diri, keluarga, dan masyarakat Islam. Kita berjuang kerana Allah, bukan kerana semangat, bukan kerana gila akan kuasa. Mari kita muhasabah diri kita, muhasabah jentera kita. Jika Salahudin al-Ayubi memeriksa solat malam tentera mereka, adakah jentera kita cukup solat jemaah lima waktu? Perjuangan ini masih panjang.
Perjuangan ini masih panjang ... dan perlu istiqomah. Kejayaan tidak tercipta dalam sehari; kekalahan mengajar kita erti tabah dan menjadi kuat. Kejahatan tidak akan berkuku di bumi ini selama-lamanya. Allah yang Maha Baik akan memberikan yang baik-baik untuk hamba-Nya yang terus-terusan melakukan kebaikan. Yang melakukan kejahatan, jangan kita aniayai, tetapi kita doakanlah mereka menjadi insan yang bertaubat yang hingga demikian dapat menguatkan umat dan menjadi tentera penegak kebenaran.

Bukankah sudah banyak orang yang bergelar “penjahat” pada suatu ketika dahulu dalam jemaah kalian?

Monday, May 6, 2013

Cina dan DAP yang Rasis: Benarkah Begitu?

Sewaktu menunggu-nunggu keputusan PRU13 malam tadi, keputusan yang berulang-ulang tertayang di skrin TV, baik TV1, TV3, TV9, Al-Hijrah, Awani, BTV, ialah keputusan kerusi Parlimen yang dimenangi oleh DAP di Sarawak dan Pulau Pinang. Dalam belasan kerusi yang dimenangi oleh DAP, PKR digambarkan baru beroleh satu dua kerusi manakala PAS masih belum beroleh apa-apa kerusi. Keadaan itu berlaku lama dan membosankan banyak penonton. 

Kerana bosan dan berdebar-debar, saya sendiri beralih ke FB. Sudah ada keluhan dan gambaran ketakutan dalam kalangan orang di FB – “mana PAS tak menang-menang lagi”; “DAP sudah tikam PAS dari belakang – mereka menang, PAS kalah”; “Melayu sudah jadi Pak Kaduk – kampung tergadai; dan sebagainya. Walhal, pada waktu itu, keputusan tidak rasmi di Kelantan sudah boleh dipaparkan di skrin TV. Jika tersiar, akan nampaklah PAS tidaklah begitu ketinggalan.

Permainan ini, kata teman saya lewat FB, sengaja dilakukan oleh pihak stesen TV. Tujuannya pelbagai, misalnya antara lain untuk menggambarkan bahawa orang Melayu menolak PAS dan orang Cina tidak membantu PAS untuk menang. Hal ini seperti ada benarnya kerana hati saya sendiri berdegup-degap dan tertanya-tanya, apakah yang sudah terjadi dengan PAS ini? PAS di Selangor, terutamanya, bagaimanakah nasibnya? Saya tidur dalam kerisauan.

Apabila celik daripada tidur sebelum jam 6:00 pagi (Alhamdulillah), saya segera ingin memadamkan kerisauan itu. Saya menonton TV Bernama dan melihat tagline yang bergerak laju itu. Di Selangor, saya dapati PAS menang 15 kerusi, DAP 15, PKR 14, dan BN 12 (pada PRU 2008, PAS menang 8 kerusi, DAP 13, PKR 14, dan BN 20).Sebaliknya di Kelantan, PAS memperoleh 32 kerusi, PKR 1, dan BN 12 kerusi (pada PRU 2008, PAS menang 38 kerusi, PKR 1, dan BN 6).

Jelas bahawa keputusan di dua negeri itu – Selangor dan Kelantan – memperlihatkan senario yang berbeda. Tatkala PAS berjaya meningkatkan jumlah pungutan kerusi daripada 8 kerusi kepada 15 kerusi di Selangor, PAS di Kelantan memperlihatkan penyusutan pula, yakni daripada 38 kerusi kepada 32 kerusi sahaja (masih majoriti dua per tiga!) Di Selangor, PAS berjaya menambahkan bilangan kerusi hampir sekali ganda, tetapi di Kelantan, PAS kehilangan 6 kerusi.

Dengan peningkatan jumlah kerusi yang diperoleh oleh PAS di Selangor itu, BN telah kehilangan 8 kerusi (daripada 20 kerusi pada PRU 2008 kepada hanya 12 kerusi pada PRU kali ini). Hal yang berbeda berlaku di Kelantan kerana dengan penyusutan jumlah kerusi yang diperoleh oleh PAS di Kelantan itu, BN telah berjaya menambahkan bilangan kerusi yang diemananginya sekali ganda (daripada 6 kerusi pada PRU 2008 kepada 12 kerusi pada PRU tahun ini).

Orang-orang yang menyasarkan PR sebagai punching bag telah memperlekeh persepakatan mereka. PAS dikatakan bahawa telah dijadikan sebagai kuda tunggangan oleh DAP dan PKR sehingga menyebabkan PAS beroleh kerusi Parlimen yang kurang daripada sekutu mereka itu (PAS 21, PKR 30, DAP 38). Mereka menuduh orang Melayu (PAS) berkorban untuk mengundi DAP (Cina), tetapiCina tidak mengundi PAS hingga menyebabkan PAS kalah di banyak kerusi.

Saya suka merujuk kepada negeri kelahiran saya, Selangor. Di negeri ini, pada peringkat Parlimen, PAS meletakkan 7 orang calon dan 4 orang daripadanya menang. Mereka ialah Che Rosli Che Mat (Hulu Langat), Abdul Khalid Samad (Shah Alam), Siti Mariah binti Mahmud (Kota Raja), dan Mohamed Hanipa Maidin (Sepang). Yang kalah ialah Mohamad Salleh M. Husin (Sungai Besar), Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), dan Mohamad Rashdi Deraman (Tanjong Karang).

Tiga orang calon awal yang disebutkan itu menang dengan majoriti yang besar – Che Rosli (maj. 17,267), Abdul Khalid Samad (maj. 10,939), dan Siti Mariah Mahmud (maj. 29,395). Majoriti yang diperoleh oleh Mohamed Hanipa pula ialah 1,104. Dua orang calon yang kalah, iaitu Mohamad Salleh dan Dzulkefly, kalah dengan majoriti yang sangat tipis (masing-masing dengan majoriti 460 undi dan 399 undi).

Bagaimanakah Che Rosli (Hulu Langat), Abdul Khalid (Shah Alam), dan Siti Mariah (Kota Raja) mampu beroleh majoriti yang besar? Bagaimanakah Mohamad Salleh (Sungai Besar) dan Dzulkefly (Kuala Selangor) boleh kalah dengan majoriti yang begitu kecil? Jawabannya ialah, orang Melayu-Islam memang menyukai calon-calon itu serta parti yang dianggotainya. Yang lebih penting, dalam konteks pertandingan, kemenangan mereka dibantu oleh sokongan orang Cina!

Kita ambil satu contoh – Parlimen Hulu Langat. Kawasan Parlimen ini mempunyai 127,347 orang pengundi berdaftar. Daripada jumlah itu, 52.74% Melayu, 34.27% Cina, 11.32% India, dan 1.67% kaum lain. Dalam PRU13 ini, Che Rosli beroleh 64,127 undi manakala lawannya (Adzhaliza Mohd. Noor) beroleh 46,860 undi. Sejumlah 1,335 kertas undi ditolak dan 550 kertas undi lagi tidak dikembalikan. Hal ini bermaksud bahawa 110,987 undi yang dikira.

Jika separuh daripada 52.74% Melayu itu diambil kira sebagai pengundi Che Rosli (separuh lagi pengundi Adzhaliza), Che Rosli hanya memperoleh 29,267 undi. Hal ini bermaksud bahawa undi selebihnya (34,960 undi) diperolehnya daripada pengundi Cina, India, dan kaum lain. Oleh hal yang demikian, dapat kita gambarkan betapa kaum Cina memainkan peranan penting untuk memenangkan Che Rosli di Hulu Langat. Jadi, tidak timbul soal Cina tidak membantu PAS lalu usahlah dipalu genderang rasis itu.

Tuduhan lain yang dilemparkan terhadap orang Cina pada PRU13 ini ialah mereka itu rasis. Hal ini dikatakan mereka demikian kerana orang Cina telah menolak BN. Hal ini sangat aneh dan ditohmahkan oleh orang yang berniat jahat. BN bukan bangsa, tetapi suatu perikatan yang terdiri daripada pelbagai komponen parti yang mewakili pelbagai bangsa. Di Semenanjung, misalnya (kecuali di Gelang Patah), yang ditentang mereka dalam PRU13 ini pula bukannya UMNO atau PAS, tetapi sama ada MCA dan Gerakan (parti Cina). Jadi, di manakah rasisnya mereka kalau yang ditentang mereka ialah parti sesama Cina?

Tulisan ini bukan bermaksud saya akan menjadi ahli DAP serta menjulang Cina dan parti-parti mereka, tetapi meminta kita berfikir secara waras dalam hal yang berkait dengan tusukan sentimen dalam amalan demokrasi. Saya akan menentang mereka bersama-sama dengan orang Melayu-Islam lain kalau mereka mempersendakan agama Islam. Saya akan menentang mereka kalau sampai kita tidak boleh melaungkan azan di bumi yang beragamarasmikan Islam ini.

Friday, May 3, 2013

Pertandingan Besar 5513: Ganjaran dan Derajat


Apabila kita bersaing dalam apa-apa pertandingan, yang kita harapkan ialah kemenangan. Hal ini berlaku demikian kerana kemenangan menjanjikan ganjaran, imbalan, dan sebagainya. Harapan untuk menang itu juga muncul kerana kemenangan akan mengharumkan nama serta mengangkat derajat pemenang di mata orang (walaupun sebenarnya kemenangan itu belum tentu mengangkat derajat pemenang di sisi Allah).

Kalau kita bersaing dalam pertandingan nyanyian, pertandingan lukisan, atau sayembara penulisan, misalannya, akan ada kelompok orang yang dipertanggungjawabkan untuk menilai kelebihan kita. Orang yang dipertanggungjawabkan itu biasanya digelar orang sebagai “Panel Penilai” yang terdiri daripada pakar dalam bidang masing-masing. Sama ada kita berbakat atau berkelebihan, kelompok “Panel Penilai” inilah yang menentukannya.

Yang menariknya dalam persaingan serupa itu, para peserta yang bersaing tidak akan sekali-kali merengek-rengek, merayu-rayu, meminta-minta “Panel Penilai” untuk memenangkan mereka. Untuk menang, para peserta perlu memperlihatkan kualiti yang dimiliki – kelebihan atau apa-apa yang dihasilkan mereka itu memang benar-benar luar biasa dan bagus di mata “Panel Penilai”. Kalau bagus, mereka pasti menjadi pemenang.

Dalam pertandingan sukan pula, misalnya bola sepak, hoki, tenis, badminton, dan olahraga, “Panel Penilai” langsung tidak diperlukan. Yang diperlukan dalam pertandingan seperti itu ialah pengadil dan pegawai pertandingan. Kerana mereka pengadil, mereka diperlukan untuk mengadili pertandingan serta untuk memastikan pertandingan itu berlangsung mengikut disiplin dan garis panduan yang digariskan dalam setiap sukan tersebut.

Kemenangan peserta dalam sukan-sukan yang dicontohkan itu banyak bergantung pada kekuatan, kelebihan, dan keupayaan diri masing-masing. Tidak ada “Panel Penilai” yang akan dipertanggungjawabkan untuk menilai permainan mereka hingga kemudiannya memilih mereka sebagai pemenang. Cuma kadangkala, jika yang bersaing itu senegeri atau senegara, mereka mungkin akan berpakat sesama sendiri untuk menjadi pemenang.

Bagaimanakah pula halnya dengan Pertandingan Besar 5513 yang akan berlangsung tidak lama lagi? Di kategori manakah duduknya pertandingan itu? Adakah pertandingan itu duduk pada kategori yang memerlukan “Panel Penilai” ataupun duduk pada kategori yang hanya memerlukan pengadil dan pegawai pertandingan? Saya yakin bahawa banyak kalangan pembaca yang menjawab pertandingan itu memerlukan “Panel Penilai”!

Jika demikian halnya, siapakah pula kelompok “Panel Penilai” itu? Jawabannya, mereka itu tidak lain orang-orang yang telah mendaftarkan diri mereka sebagai pemilih yang kemudiannya tergolong sebagai pengundi. Ya, pertandingan ini memerlukan pengundi. Pengundi ini lazimnya akan memilih pemenang berdasarkan dua skop utama – calon atau organisasi yang diwakili oleh calon. Pengundi yang bijak akan memilih organisasi.

Benarkah pendapat saya ini, iaitu orang yang membuat pilihan berdasarkan organisasi tergolong sebagai pengundi yang bijak? Saya memilih untuk menjawab ya. Hal ini saya lakuakn begitu kerana Pertandingan Besar 5513 ini pertandingan berkelompok, bukan pertandingan individu. Masing-masing calon bergerak dalam kelompok besar bagi mewakili organisasi masing-masing, bukannya bergerak secara bersendirian (kecuali calon bebas).

Bukanlah saya bermaksud hendak mengatakan bahawa orang yang menjadikan calon sebagai keutamaan tidak bijak. Ada juga cerdiknya orang yang demikian itu, tetapi perlu diingat bahawa Pertandingan Besar 5513 ini pertandingan untuk memenangkan pihak yang bakal menjadi peneraju negara, bukannya pertandingan untuk memenangkan individu yang kemudiannya akan menjadi Yang Amat Berhormat atau Yang Berhormat sahaja!

Untuk memenangi pertandingan besar ini, semua organisasi akan menaburkan pelbagai janji melalui calon mereka – ada yang menggolongkan janji mereka sebagai aku janji dan ada pula yang menggolongkannya sebagai manifesto. Kita yang menjadi “Panel Penilai”harus menjadikan aku janji dan manifesto ini sebagai garis panduan untuk memilih pemenang. Dan jangan pula lupa tentang rekod prestasi organisasi yang bersaing.

Tanyai diri kita yang menganggotai “Panel Penilai”, apakah yang kita inginkan daripada sebuah organisasi yang bakal menerajui negara? Saya, secara peribadi, berhajatkan negara yang bebas rasuah, pemimpinnya pula memiliki integriti. Saya juga menginginkan penurunan harga barangan keperluan harian seperti gas memasak, bahan api kenderaan, kenderaan itu sendiri, dan lain-lain. Harga biar rendah walaupun tidak murah.

Saya juga berkehendakkan biaya hospital swasta yang rendah, pendidikan percuma, jalan raya bebas tol, tarif telefon, air, dan elektrik yang relatif rendah, dan lain-lain. Saya juga menginginkan negara yang rakyatnya menjadi penjual manakala rakyat luar yang datang sebagai pembeli, bukan sebaliknya supaya wang dalam negara tidak berhijrah ke luar negara. Lebih penting lagi, saya menginginkan negara bebas dadah dan jenayah.

Sungguh, pemenang dalam pertandingan akan beroleh ganjaran, imbuhan, atau imbalan. Benar juga kemenangan yang diperoleh akan mengangkat nama dan derajat pemenang di mata orang (walaupun belum tentu mengangkat derajatnya di sisi Allah). Walau bagaimanapun, dalam konteks Pertandingan Besar 5513 ini, pemenang janganlah menghambat ganjaran dan derajat, tetapi tunaikanlah tanggungjawab.

Negara ini Negara 1001 Kekayaan; oleh itu, pastikanlah kekayaan itu diperoleh oleh semua hamba rakyat. Rakyat bukannya mengharapkan BR1M RM500 @ RM1200 (akan datang) itu sangat kerana pemberian seperti itu tidak menyeluruh dan tidak adil. Rakyat sebenarnya mengharapkan kadar pendapatan yang tinggi dan kos sara hidup yang rendah. Inilah ganjaran daripada kemenangan dalam pertandingan besar itu yang sebenar-benarnya.

Kalau kamu menang, tegakkanlah keadilan dan kesaksamaan. Kalau kamu menang di Pusat dan kalah di Negeri, janganlah kamu melakukan penganiayaan. Yang berhak memperoleh royalti petroleum, berikanlah hak mereka itu. Yang hendak mengembalikan hak air kepada rakyat, berikanlah juga. Apa-apa yang kamu jadikan sebagai aku janji, laksanakan segera. Amalan kronisme dan nepotisme hendaklah kamu campakkan jauh-jauh ke dasar bumi.

Ingatlah, wahai para peserta Pertandingan Besar 5513! Tidak seperti pertandingan lain, Pertandingan Besar 5513 yang kamu sertai ini menghendaki kamu merengek-rengek, merayu-rayu, meminta-minta daripada “Panel Penilai”. Jadi, setelah rengekan, rayuan, dan permintaan kamu terpenuhi nanti, tentulah tidak molek kamu membutakan mata dan menulikan telinga terhadap apa-apa yang kamu janjikan dan apa-apa yang kami minta.

Kamu berdua sahaja yang bertanding secara berkelompok dalam Pertandingan Besar 5513 ini. Oleh sebab itu, mata dan fikiran kami sekarang sepenuhnya terhala kepada kamu berdua. Kami, “Panel Penilai”, berharap agar pilihan kami akan memberikan ganjaran dan manfaat yang besar kepada kami. Di pihak kamu, cukuplah elaun dan segala kemudahan yang diperuntukkan itu. Janganlah memburu habuan untuk tembolok kamu sahaja.

Thursday, May 2, 2013

Manusia-manusia Pencetus Fenomena

Sesuatu itu, apabila hendak berada di tempat yang tinggi, dalam beberapa keadaan, harus ada manusia/medium yang menjadi pencetusnya. Pembaca mungkin bersetuju dengan teori saya ini, dan mungkin juga tidak bersetuju dengannya. Malah, pembaca mungkin juga faham akan maksud kata-kata saya ini, dan mungkin juga tidak faham akan maksud saya itu! Jadi, elok saya jelaskan hal tersebut.

Mari kita melihat bidang yang dikatakan “seni” – nyanyian. Suatu ketika, ada sedikit penyanyi yang memperjuangkan lagu etnik Melayu asli bertahun-tahun. Malangnya, lagu etnik Melayu asli itu tetap berada di takuk yang itu-itu juga – naik dan disukai oleh kelompok yang itu-itu jugalah, iaitu golongan yang berumur di desa. Yang muda, tak ambil parwah. Antara yang giat mempopularkannya ialah arwah Abdullah Chik dan pasangannya, Noraniza Idris.
 
Muncul seorang Siti Norhaliza dengan lagu “Cindai” yang berirama Malaysia – melata orang yang menyukainya, baik yang tua mahupun yang muda. Lagu itu menjadi kegemaran orang tua, menjadi siulan muda-mudi di sana sini hingga membolehkan albumnya terjual lebih 120,000 keping. Abdullah Chik dan pasangannya berjuang lama, tidak begitu berjaya (tidak berniat untuk memperkecil usaha mereka); Siti berjuang sekejap, meletup!
 
Sebelum itu, kemunculan TV3 pada tahun 1984 telah meredumkan minat orang terhadap radio. Dengan mengangkat “Berita Terkini Hiburan Sensasi” sebagai tema penyiaran mereka, stesen TV yang pada awalnya sekadar bersiaran di Lembah Klang sahaja itu telah mengurangkan minat orang terhadap radio. (Sungguh, saya sendiri hampir lupa akan kewujudan dan peranan radio.)
 
Muncul seorang Zainaldin Zainal di RMIK dengan tiupan wiselnya pada awal pagi. Tiada sesiapa yang menggerakkan hati saya dan rakan-rakan serumah sewa untuk membuka radio (RMIK) pada setiap awal pagi bagi mendengar tiupan wiselnya. Betul, memang tidak ada sesiapa yang mendorong kami untuk mendengar RMIK yang telah lama kami abaikan. (Saya yakin bahawa semuanya kerja Allah!).

Tentang Zainaldin ini, saya sendiri mendengar di udara suatu perbualan telefon beliau dengan seorang pemanggil pada suatu hari. Pemanggil itu dengan ikhlas memuji (setinggi langit) serta berterima kasih kepada beliau kerana berjaya mengembalikan minat orang terhadap radio. Bagi beliau, Zainaldinlah yang menyebabkan orang kembali meminati radio.
 
Senario seperti yang saya contohkan itu juga berlaku dalam bidang politik. Berapa banyak rakyatkah yang meminati Parti Islam se-Malaysia (PAS) hingga mereka bersedia untuk memilih parti itu dalam PRU atau PRK sebelum tahun 1999? Berapa banyak kerusi Parlimenkah yang dimenanginya pada peringkat Parlimen pada tahun 1995, 1990, dan 1986, dan tahun-tahun sebelumnya, misalnya?
 
Sebagai imbasan, pada PRU tahun 1986, PAS menang 1 daripada 98 kerusi yang ditandinginya. Pada PRU 1990, PAS menang 7 daripada 30 kerusi yang ditandinginya. Pada PRU 1995, PAS menang 7 daripada 46 kerusi yang ditandinginya. Tetapi pada PRU 1999, PAS menang 27 kerusi daripada 30 kerusi yang ditandinginya. Pada PRU 2004, pencapaiannya merosot, iaitu menang 7 daripada 84 kerusi yang ditandinginya, tetapi pada PRU 2008, PAS menonjol lagi – menang 23 daripada 66 kerusi yang ditandinginya.
 
Yang menarik, jika sebelumnya PAS hanya memenangi kerusi Parlimen di Kelantan, Terengganu, dan Kedah, tetapi pada PRU 2008, PAS berjaya menempatkan diri di Parlimen Selangor, Perak, dan KL. Malah, pada peringkat DUN, PAS pada PRU 1999, sudah dapat mengembangkan sayap kemenangannya di kubu-kubu kuat BN, seperti Pahang, Perlis, Selangor dan sayapnya kemudian melebar di NS, Johor, dan PP pada PRU 2008!
 
Seperti lagu etnik Melayu asli dan penyiaran (radio) tadi, minat mendadak rakyat untuk menyertai atau menyokong PAS juga ada pencetusnya, yang sudah tentulah dengan perencanaan Allah juga. DS Anwar Ibrahim itulah pencetusnya! Pemecatan DS Anwar Ibrahim pada 1998 menjadi titik mula orang beralih kepada parti-parti yang bukan lagi berpakat di bawah nama Barisan Nasional. Suka atau tidak, kita perlu bersetuju dengan perencanaan Allah ini. PAS beroleh manfaat daripada nasib DS Anwar Ibrahim!
 
Sesuatu itu, seperti yang saya ungkapkan tadi, apabila hendak berada di tempat yang tinggi, dalam beberapa keadaan, harus ada manusia/medium yang menjadi pencetusnya. Dalam konteks seni, lagu etnik melata ke dalam jiwa semua lapisan masyarakat melalui Siti Nurhaliza. Dalam konteks penyiaran, siaran radio yang pernah terabai oleh kemunculan TV3, kembali bertakhta di hati pendengar melalui Zainaldin Zainal. Dalam konteks politik, PAS disukai dan disokong rakyat selepas tragedi pemecatan DS Anwar Ibrahim.
 
Tulisan ini bukan kempen apa-apa, sekadar renungan biasa-biasa untuk mengingatkan orang supaya senantiasa bersikap merendah diri, mensyukuri apa-apa yang diberikan Allah, dan kalau dapat mengenang jasa orang-orang tertentu. Doakanlah kesejahteraan mereka!