Friday, May 25, 2012

Palestin = Filistin = “philistine”

Oleh sebab kita tidak merasai, melalui, mengalami kesengsaraan yang ditanggung oleh saudara-saudara kita, melainkan hanya mendengar dan melihatnya sahaja, maka buah fikiran yang dilontarkan oleh nenek moyang kita menerusi peribahasa “betapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul” dapatlah dikatakan sebagai betul. Kesengsaraan itu bukan baru setahun atau sepuluh tahun dideritai mereka, tetapi sudah berlangsung lebih daripada setengah abad. Jika kita yang menjunjung Islam sebagai agama masih memperlihatkan sikap yang sama, kesengsaraan itu pasti akan terus dideritai oleh mereka untuk satu tempoh yang lebih panjang pula.

Walau bagaimanapun, peribahasa “betapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul” yang diungkapkan oleh nenek moyang kita itu menjadi tidak benar kalau kita benar-benar menjunjung Islam. Hal ini saya katakan demikian kerana Islam tidak mewujudkan batas atau sempadan dalam hubungan kemanusiaan. Islam sebenarnya agama persaudaraan. Oleh sebab Islam agama persaudaraan dan kita pula duduk di dalamnya, maka kita sebenarnya menggalas dan menderitai beban atau masalah yang sama. Dalam erti kata yang lain, setiap kesengsaraan dan penghinaan yang menimpa diri mereka sebenarnya turut menimpa diri kita secara langsung.

Hal tentang persaudaraan ini ada ditegaskan oleh Rasulullah SAW melalui beberapa hadisnya, antaranya yang bermaksud (lebih kurang):

Perbandingan seseorang Mukmin dengan Mukmin yang lain dalam hal kasih mesra di hati dan bergilir emosi kasih sayang adalah ibarat tubuh yang satu; apabila salah satu anggotanya sakit, seluruh anggotanya turut demam dan berjaga malam.”

Hal tentang persaudaraan ini juga terdapat dalam hadis Rasulullah SAW yang lain yang bermaksud (lebih kurang):                                                                                                   

Orang Mukmin di samping Mukmin yang lain ibarat suatu binaan, (mereka) saling mengukuhkan antara satu dengan yang lain.”

Seperti yang saya katakan tadi, mereka – saudara kita itu – menderita sudah terlalu lama, sejak 15 Mei 1948. Dalam tempoh yang begitu lama (64 tahun), kita yang banyak ini masih tidak mampu untuk mengurangkan beban yang ditanggung oleh mereka apatah lagi meredakan dan membebaskan mereka daripada beban itu. Saudara-saudara kita itu masih menderita di negara sendiri, malah bukan sedikit daripada mereka yang menjadi pelarian di negara orang. Saudara-saudara kita yang saya maksudkan itu – ORANG-ORANG PALESTIN – terus menjadi objek tendang terajang orang-orang Yahudi Zionis yang merampas negara orang-orang Palestin.

Orang-orang British yang menjadi muncakari orang-orang Yahudi Zionis ini sejak 1917 dahulu masih kita agung-agungkan. Memiliki, memakan, memakai hasil perusahaan orang British dan orang Barat (ada antara perusahaan itu ditunjangi oleh Yahudi Zionis ataupun penyokong Yahudi Zionis) masih menjadi kemegahan kita. Kita boleh berjihad, dengan memboikot produk mereka, misalnya, tetapi kita tidak melakukannya kerana kita tidak yakin bahawa perusahaan seperti Johnson & Johnson, Nokia, dsb itu benar-benar menyokong Yahudi Zionis. Padahal, dari sisi yang lain, perusahaan seperti yang dinyatakan itu bukan milik orang Islam pun dan sesetengah produk daripada perusahaan itu pula mempunyai pilihan yang lain. (Kita boleh memboikot Johnson & Johnson, misalnya, kerana kita ada perusahaan UNZA, LAM SOON, dll yang mengeluarkan produk yang lebih kurang sama dengan produk yang dikeluarkan  oleh Johnson & Johnson.)

Berdasarkan keadaan semasa, kita memang tidak mampu untuk menyeludup masuk ke negara haram Yahudi Zionis itu untuk menggabungkan diri sebagai pejuang dalam HAMAS dsb. Baru saja usaha dilakukan untuk membantu orang Palestin melalui misi bantuan (seperti yang dilakukan oleh Yayasan Keamanan Global Perdana Malaysia yang menghantar bantuan melalui kapal MV Finch dan kumpulan pro-Palestin dan pertubuhan hak asasi manusia yang menggunakan kapal Turki – Mavi Marmara), misalnya, bencana besar telah menimpa mereka – diancam, diserang dan ada yang dibunuh oleh rejim Yahudi Zionis itu walaupun kapal itu berada di perairan antarabangsa.

Kita tidak dapat mengharapkan si Langlang Buana Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya (Biritain, Perancis, dll) untuk bersikap adil dalam hal Palestin ini. Usaha mereka untuk menyediakan pelbagai pelan damai antara Yahudi Zionis dengan Palestin hanyalah purbawara yang diarahkan oleh Yahudi Zionis sendiri. Kita juga tidak dapat mengharapkan Arab Saudi, Kuwait, Bahrain, Jordan, dll untuk menyerang rejim Yahudi Zionis kerana raja-raja mereka yang sangat mencintai kuasa dan takhta itu berasa bimbang senario yang berlaku pada PRU di Palestin dahulu (rakyat memilih HAMAS) akan menimpa mereka pula.

Walau bagaimanapun, kita tidak wajar sama sekali sekadar menunggu janji Allah untuk menghadirkan Nabi AS semula di bumi untuk menghapuskan Yahudi Zionis itu. Kita harus memulakannya sekarang dengan usaha yang kecil tetapi tekal dan kolektif , iaitu menghalang diri kita daripada mengeluarkan perbelanjaan untuk membeli barangan Yahudi Zionis. Selanjutnya, kita sama-sama membaiki keagamaan kita, memperelok keimanan kita terhadap Allah SWT supaya kita berani lalu dapat merempuh ranjau ketakutan yang dibina oleh Yahudi Zionis dan seterusnya dapat menjadi sebahagian daripada gerombolan Nabi Isa untuk menghapuskan Yahudi Zionis itu, insya-Allah.

Keterlaluankah saya?

FAKTA SAMPINGAN...
Perkataan Filistin dan philistine
Ada orang yang lebih gemar menggunakan perkataan FILISTIN berbanding dengan PALESTIN  apabila membicarakan perihal rakyat dan negara PALESTIN. Tahukah anda bahawa dalam kamus bahasa Inggeris, terdapat perkataan philistine yang boleh tergolong sebagai kata nama dan kata adjektif. Sebagai kata nama, kata philistine itu didefinisikan sebagai “a person who is lacking in or hostile or smugly indifferent to cultural values, intellectual pursuits, aesthetic refinement, etc, or is contentedly commonplace in ideas and tastes”. Sebagai kata adjektif, philistine itu disinonimkan sebagai “barbarian”,  “barbaric”,  dsb. Adakah perkataan itu terhasil untuk menghina bangsa Palestin?

Perkataan Israel
Perkataan Israel bermaksud “hamba Allah” atau “tentera Allah” (“isra” = “hamba”/ “tentera” dan “el” = “Allah”). Ada yang mendefinisikannya sebagai “hamba Allah yang terpilih”. Secara khususnya, Israel itu merupakan nama lain/gelar untuk Nabi Yaakub AS. Kerana demikian halnya, gelar “hamba Allah”/“tentera Allah”/“hamba Allah yang terpilih” itu eksklusif diberikan oleh Allah SWT untuk Nabi Yaakub AS, lebih kurang sama halnya dengan gelar “Bapa Pembangunan” yang menjadi hak eksklusif Almarhum Tun Haji Abdul Razak bin Datuk Hussein (PM2 Malaysia). Hal ini bermaksud bahawa tidak ada “Israel” selain Nabi Yaakub AS, sama halnya bahawa tidak ada “Bapa Pembangunan” selain Almarhum Tun Haji Abdul Razak bin Datuk Hussein. Yahudi Zionis sekarang bukan Israel, tetapi “sampah” yang pernah merempat di seluruh pelosok dunia. Setidak-tidaknya, Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak masih anak kepada “Bapa Pembangunan” walaupun beliau bukan “Bapa Pembangunan”.

PESANAN
Rasulullah SAW bersabda:

Sesiapa yang tidak mahu membantu seseorang mukmin yang dihina orang di sisinya padahal dia mampu untuk membantunya, dia akan dihina oleh Allah di tengah-tengah khalayak ramai pada hari kiamat. Sebaliknya, orang yang membantu saudaranya secara tersembunyi dalam perkara yang dapat dibantunya, dia akan dibantu oleh Allah di dunia dan di akhirat.”

Wednesday, May 23, 2012

Memahami Rasional Perhijrahan Tokoh

Tampaknya, senario bekas-bekas penjawat awam yang tinggi pangkatnya dalam kerajaan (tokoh) mengambil keputusan untuk menyertai parti pembangkang (PAS, khususnya) masih dan akan terus berlaku. Walaupun penyertaan mereka ke dalam parti yang selain UMNO itu selalunya dikatakan bahawa berkait dengan “rasa tidak percaya mereka terhadap dasar kerajaan yang memerintah”, namun bagi saya penyertaan itu merupakan suatu proses untuk meraikan demokrasi. Dalam erti kata yang lain, setiap individu dalam negara yang mengamalkan demokrasi ini berhak untuk menzahirkan fahaman dan perjuangan politik mereka.

Sejak Oktober tahun lalu, sudah beberapa orang tokoh besar (berjawatan bekas pengarah itu ini dalam jabatan kerajaan) yang telah menyertai PAS. Antara tokoh itu termasuklah Dato’ Adnan bin Ibrahim (bekas Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perak), Laksamana (B) Pertama Haji Mohammad Imran Haji Abd. Hamid (bekas pegawai tinggi Tentera Laut Diraja Malaysia/TLDM), Tuan Haji Ishak Ahmad (bekas Pengarah Kastam Negeri Kedah), dan yang terkini ialah Datuk Fauzi Shaari (bekas Pengarah Siasatan Jenayah PDRM). Khabarnya, Dato’ Mohd Yusof bin Hj. Zainal Abiden (bekas Peguamcara Negara II) pun bakal menyertai PAS pada bulan hadapan.

Sudah tentulah kelompok pembangkang (kelompok kerajaan pun sama juga) akan mewara-warakan berita penyertaan mana-mana tokoh besar dalam kelompok mereka (yang bukan tokoh pun diwara-warakan juga). Hal ini dilakukan demikian oleh mereka kerana penyertaan tokoh-tokoh itu dapat memberikan dampak kepada masyarakat, khususnya golongan yang berdiri atas pagar. Orang-orang yang pernah menjadi orang bawahan tokoh-tokoh itu sedikit banyak mungkin akan mengikut jejak langkah mereka. Dalam erti kata yang lain, penyertaan mereka dalam mana-mana parti sedikit banyak akan menambah dan meningkatkan pengaruh parti yang disertai mereka.

Walau bagaimanapun, masih ada golongan yang singkat akal dalam merasionalkan tindakan golongan profesional ini. Golongan singkat akal ini tanpa rasa segan dan silu menghina dan memburuk-burukkan golongan yang meraikan demokrasi itu. Menurut orang-orang singkat akal ini, kononnya orang-orang seperti ini tidak mengenang jasa kerajaan yang pernah memberi mereka makan dan kononnya mereka ini telah menggigit tangan pihak yang pernah menghulurkan makanan dan bantuan kepada mereka. Malahan, ada golongan singkat akal ini yang menyuruh (menyindir?) tokoh-tokoh yang “berpaling tadah” ini membuat surat permohonan supaya kerajaan menghentikan pembayaran pencen serta pelbagai kemudahan lain yang dinikmati oleh mereka.

Parti politik, yang kewujudannya dibenarkan oleh undang-undang dan Perlembagaan negara, hanyalah suatu medium untuk rakyat negara ini menzahirkan pendirian politik mereka. Pendirian politik individu dalam parti yang menjadi medium itu pun belum tentu sama. Baik Dato’ Adnan, Laksamana (B) Pertama Haji Mohammad Imran, Tuan Haji Ishak, mahupun Datuk Fauzi, dalam kebersamaan, pendapat mereka pasti ada yang berbeda. Perbedaan itu dapat digabungkan dengan menyertai parti/pertubuhan lalu menghasilkan suatu keputusan yang padu. Bukankah elok demikian?

Sama ada mereka hendak memilih parti yang menjadi tunjang kerajaan ataupun parti yang membangkang kerajaan dalam menzahirkan ideologi politik mereka, terpulanglah kepada mereka. Hak mereka perlu dihormati, sama halnya kita menghormati hak ribuan lagi bekas pegawai kanan kerajaan yang masih terus bersama dengan parti yang menjadi tunjang kerajaan.

Jadi, sebagai orang yang meyakini demokrasi, berhentilah daripada mengamalkan politik dendam!

Wednesday, May 16, 2012

Kalian Sebahagian daripada Diri Ini

Cikgu Sahlan, Cikgu Sulaiman, Cikgu Hamzah Abdullah, Cikgu Aspani Ibak, Cikgu Asiah, Ustaz Abdul Manaf Selamat, Cikgu Ronny Linoby, khususnya Guru Besarku,  Cikgu  Hamzah Alias – adalah antara manusia yang bernama guru yang melorongkan fikiranku menjadi tahu, kenal, dan kemudian bijaksana mengenal 1, 2, 3 dan angka-angka seterusnya serta A, B, C selain alif, ba, ta dan huruf-huruf lain hingga kemudiannya aku pintar membaca, menulis, dan mengira. Mereka guruku di sekolah rendah. Aku menghargai jasa mereka dan kepada Cikgu Hamzah Abdullah dan Ustaz Abdul Manaf Selamat yang telah pergi menghadap Ilahi, al-Fatihah. Aku berdoa agar tunjuk ajar kalian yang baik-baik yang hingga kini memberikan manfaat kepada manusia, sama ada daripada diri ini atau daripada murid-murid kalian yang lain, akan terus menjadi amal jariah kalian, amin.

Mengingat nama mereka lebih mudah daripada mengingat nama guru-guruku yang di sekolah menengah. Aku mungkin lupa akan kebanyakan nama mereka, tetapi jasa mereka tetap sama – menaburkan ilmu kepada anak-anak yang dahaga akan pengetahuan. Guru Besarku hingga aku menamatkan persekolahan menengahku – Cikgu (Almarhum) Saranom Kalimon – dan yang lain-lainnya – Cikgu Sabariah Hamzah, Ustaz Musa, Ustaz Yahya Salam, Ustaz Sulaiman, Cikgu Koh, Cikgu Yazid, Cikgu Zamani, Cikgu Hassan Zainun, Cikgu Shafie, Cikgu Ahmad Jidin, Cikgu Zaid Abu Samah, Cikgu Syed Khalid, Cikgu Mazlan, Miss Phang, Cikgu Baharum Kemat, Cikgu Mohd. Aini, Cikgu (Datuk) Yassir Haji Ikhsan,  Cikgu Ramli, Cikgu Mokhtar, dan puluhan nama lain yang tidak dapat kuimbas nama mereka, keberadaan aku sebagai aku kini sebahagiannya adalah kerana kalian. Terima kasih dan al-Fatihah jua kepada yang telah ke alam barzakh.

Khusus kepada bapa saudaraku, bekas guru yang menjadi pencetus kegilaanku kepada dunia sastera, Profesor Datuk Dr. Mohamed Mansor Abdullah, serta kepada Profesor Dr. Awang Sariyan, bekas guru yang menjadi pencetus minatku kepada bahasa ibundaku, kalian akan terus menjadi mentorku. Terima kasih, Allah SWT pasti akan membalas jasa kalian, seluruhnya.

Kepada semua insan yang masih menjadikan guru sebagai tugas rasmi, termasuklah sahabat-sahabatku, Cikgu Abdul Ghalib Yunus, Cikgu Amin Minhad, Cikgu Ghazali Lateh, Cikgu Mohd. Khir Kassim, Cikgu Azhar Bahari, Cikgu Choo Say Tee, Cikgu Abdul Samad Sadari, Cikgu Faridul Adras Ismail, Cikgu Saiful Bahri Mahfudz, dan puluhan nama lain yang tidak sempat muncul dalam ingatanku – Selamat Hari Guru dan berkhidmatlah kerana Allah.

Benar sekali kata Almarhum Datuk Dr Usman Awang, “Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku, Budi yang diapungkan di dulang ilmu, Panggilan keramatcikgukekal terpahat, menjadi kenangan ke akhir hayat. Dan sangat benar juga ungkapan Datuk Abdul Samad Said bahawa kalian memang merupakan “Obor hemah kehidupan bangsa”.

GURU OH GURU

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Usman Awang
1979

OBOR HEMAH

Guru adalah awan indah terbang rendah,
melimpahkan hujan pada musim gersang,
menyegarkan benih ilmu, berbuah hikmah;
ia renjis embun pada tanah bakat,
suara ihsan ketika manusia kalah,
sepi yang syahdu dalam dunia resah.

Guru – atap ganti ketika pondok bocor,
ketika sejarah dalam bilik darjah,
senyum penyembuh bagi wabak sengsara,
ia – sungai rangsang sentiasa tenang,
menghantar bahtera ke segara dharma,
memesan angin menghikmahkannya.

Guru adalah penelaah yang tekun,
mewariskan dunia sebagai kutubkhanah,
menyediakan kutubkhanah sebagai dunia,
ia mengemudi biduk, melepaskannya,
atas lambungan laut, merangsangkan
manusia menyelami rahsia khazanahnya.

Guru – minda segar dan kukuh akar,
menghidupkan batin yang bersih
di daerah dunia cemar kasih,
dan pada ketika tak tersangkakan,
walau diambilnya kembali semua buku,
sempat ditinggalkan asas ilmu.

Guru adalah batin suci hati nurani,
penjunjung budi, manusia yang takwa,
obor hemah kehidupan bangsa.

A. SAMAD SAID
2 April 1988

Wednesday, May 2, 2012

Solat Kita dan Rahmat Allah SWT

Seorang rakan (ustaz) berkisah tentang suatu cerita. Pada mukadimahnya, saya berfikir bahawa beliau ingin mengutarakan kisah tentang nilai persahabatan. Rupa-rupanya fikiran saya salah. Kerap benar terjadi begitu — berfikir jauh lebih awal walhal cerita masih baru bermula.

Teman (ustaz) itu berkisah, ada tiga orang teman yang bekerja di offshore (pelantar cari gali minyak barangkali). Seorang daripada tiga orang yang bersahabat karib itu sangat patuh akan kehendak agamanya yang sehingga demikian, beliau langsung tidak pernah lupa untuk menunaikan solat lima waktu.

Sebaliknya, teman yang dua orang lagi itu, solat mereka berlubang-lubang — kadangkala mereka solat, tetapi selalunya tidak. Yang rajin bersolat lima waktu itu berasa aman dengan amalannya, tanpa begitu ambil pusing akan diri kedua-dua orang temannya yang culas itu.

Hingga kemudiannya tiba pada suatu hari, teman yang rajin bersolat itu menegur seraya mempelawa kedua-dua orang teman seoffshorenya yang culas bersolat itu dengan berkata lebih kurang begini, “Hei, sahabat-sahabatku ... bangun, bangun. Ayuh..., mari kita bersolat!”

Beberapa lama kemudian, teman yang rajin bersolat itu meninggal dunia. Tidak lama selepas kematiannya, salah seorang teman seoffshorenya yang culas bersolat itu bertemu dengan arwah yang rajin bersolat itu dalam mimpinya. Dalam mimpi itu, kedua-duanya berbicara.

Teman yang culas bersolat bertanya, “Di dalam apa kamu sekarang? Rasa saya, kamu pastinya di dalam syurga”.

“Tidak juga,” jawab teman yang rajin bersolat itu dalam mimpi tersebut.

Teman yang rajin bersolat terpinga-pinga oleh jawaban itu, lalu menduga, “Kamu di dalam neraka?”

“Tidak juga,” jawab teman yang rajin bersolat itu.

“Kalau demikian, kamu di dalam apa?” Teman yang culas bersolat bertanya lagi.

“Saya di dalam rahmat Allah,” kata teman yang rajin bersolat itu.

“Bagaimanakah hal yang demikian boleh terjadi? Bukankah semasa kamu masih berhayat dulu kamu tidak pernah mengabaikan solat lima waktu?” Teman yang culas bersolat terus bertanya lagi.

“Sahabat. Solat-solat saya dulu tiada satu pun yang diterima oleh Allah.” Teman yang rajin bersolat itu berterus terang.

“Kalau demikian halnya, apakah yang membolehkan kamu berada dalam rahmat Allah?” Teman yang culas bersolat mengasak sahabatnya dengan soalan lagi.

“Ingatkah kamu apabila pada suatu hari saya mengajak kamu dan seorang lagi sahabat kita bersolat? Pelawaan dan peringatan saya itulah rupa-rupanya yang menjadi amalan terbaik saya hingga Allah Robbul Jalil melayakkan saya untuk menerima rahmat-Nya.”

Usai berbicara, teman yang culas bersolat tersedar daripada mimpinya. Apabila teringat akan dialog dalam mimpi itu, perasaan takut menguasai dirinya. Beliau kemudiannya menjadi manusia yang senantiasa mendekatkan dirinya kepada Allah SWT dan tidak lupa untuk bermohon daripada Allah agar tergolong sebagai hamba yang mendapat rahmat-Nya.

Cerita yang dikisahkan oleh teman (ustaz) saya ini jangan sampai menyebabkan para pembaca salah perkiraan hingga enggan bersolat! Seharusnya kisah ini mendorong kita untuk bermuhasabah, mengapakah ada solat kita sampai ditolak oleh Allah SWT?