Thursday, January 31, 2013

Pelik: AES Tidak Beroperasi Pada Tahun Baharu Cina

Operasi AES, yang didakwa oleh pihak yang mengimplementasikannya bahawa berperanan besar untuk “mengurangkan” kejadian kemalangan di jalan raya, tidak akan diaktifkan bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini. Untuk makluman, cuti Tahun Baru Cina pada tahun ini jatuh pada hari Ahad-Selasa (10 Februari-12 Februari). Hal ini bermaksud bahawa mulai hari Sabtu (09 Februari) hinggalah pada hari Ahad minggu yang berikutnya( 17 Februari), jalan raya akan berada dalam keadaan sibuk kerana banyak orang yang akan mengambil cuti tahunan untuk memanjangkan cuti umum tersebut.

Walau bagaimanapun, pihak yang berkenaan memaklumkan bahawa walaupun operasi AES akan dihentikan pada tempoh itu, pihak JPJ tetap akan mengadakan operasi lain yang pernah dilakukan mereka bagi mengawal keadaan dan bagi mengurangkan kemalangan, misalnya melakukan penyamaran di dalam bas, mengadakan sekatan jalan raya, dsb.

Pada kebanyakan orang, langkah untuk menghentikan operasi AES itu bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini sebenarnya amat aneh dan luar biasa. Hal ini dikatakan demikian kerana, jika benarlah AES itu sangat besar gunanya untuk “mengurangkan” kadar kemalangan di jalan raya seperti yang didakwa oleh pihak yang berkenaan, operasinya tidak harus sama sekali dihentikan, terutamanya pada musim-musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina ini. Membebaskan pengguna jalan raya daripada perasaan takut untuk melanggar undang-undang sangat tidak baik.

Banyak pihak yang mengatakan bahawa cadangan penghentian operasi AES ini pada sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini tidak lain tidak bukan sebagai tindakan penyelamat terhadap operasi AES itu sendiri. Tidak sukar untuk kita bersetuju dengan pandangan yang demikian. Saban tahun, Ops-Ops Sikap yang dilakukan oleh pihak PDRM tidak menampakkan hasil yang benar-benar dapat dibanggakan. Hal ini dikatakan demikian kerana dalam tempoh Ops-Ops itu dilaksanakan, kejadian kemalangan di jalan raya, termasuklah kemalangan maut, masih lagi tinggi. Penurunannya masih lagi rendah.

Oleh itu, kerana menyedari hakikat itu, pihak JPJ membuat keputusan untuk menghentikan operasi AES itu sementara waktu. Bayangkanlah, jika operasi AES itu tetap dilaksanakan sepanjang tempoh sambutan perayaan Tahun Baharu Cina yang akan datang ini, dan operasinya tidak berjaya untuk mengurangkan kejadian kemalangan di jalan raya (tetap tinggi seperti tahun-tahun sebelumnya), AES pasti akan sekali lagi menjadi sasaran kecaman masyarakat. Apabila hal ini berlaku, masyarakat mempunyai poin baharu untuk memaksa JPJ menghentikan operasi AES yang tidak berkesan itu sama sekali.

Hal ini mungkin andaian sahaja, tetapi kebenarannya tidak boleh kita abaikan. Pengguna jalan raya masih lagi berani melanggar undang-undang – memandu laju, melanggar isyarat lampu trafik, memandu secara melulu, memotong barisan, dsb. Kesalahan ini akan terus dilakukan oleh pengguna jalan raya kerana kekerapan mereka dikenakan tindakan undang-undang lebih rendah berbanding dengan kekerapan mereka terlepas daripada tindakan undang-undang. Oleh hal yang demikian, dalam hal ini, wajarkah kerajaan meletakkan tanggungjawab pada AES untuk membentuk disiplin pengguna jalan raya?

Kerana ada pihak yang berkepentingan di balik kewujudan dan pelaksanaan operasi AES ini, maka dapatlah kita katakan bahawa matlamat untuk mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya hanyalah matlamat sampingan. Matlamat yang hakiki ialah keuntungan. Dan kerana keuntungan itulah, imej AES ini – mengurangkan kadar kemalangan – harus senantiasa terpelihara. Salah satu cara untuk memeliharanya adalah dengan mengambil tindakan seperti yang hendak dilaksanakan bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina yang akan datang tidak lama lagi ini. Pandai, pandai....

Wednesday, January 30, 2013

Kalau Kita Ini Siapa-siapa

Kalau kita ini siapa-siapa, walaupun berusia lewat, dengan usaha yang sedikit, kita mudah beroleh pekerjaan, tidak kiralah dengan bantuan kenalan, atau dengan bantuan kebolehan, atau dengan bantuan kemahiran.

Kalau kita ini bukan siapa-siapa, dengan budi yang mulia, jujur bagai malaikat, diri kita diangkat Allah ke pengetahuan orang banyak, mengharum bak kesturi, hingga orang bertindih tangan, berebut-rebutan, hanya untuk mendapatkan khidmat kita.

Berlebih-lebih lagi kalau kita ini siapa-siapa, diri pula dibaluti sifat mirip Rasul kehendak Allah, dirinya akan terpaksa berfikir, sama ada hendak melayan tawaran itu, lamaran ini, memenuhi hasrat teman ataupun memenuhi kepuasan diri.

Kalaulah kita siapa-siapa....

Tetapi kalau kita bukan siapa-siapa, kebolehan separas air di buku lali, kenalan ternama hanya terbilang pada jari di tangan sebelah, pekerti tidak begitu mulia, usia sudah mendakap senja, kita menawarkan diri, mereka hanya tertawa.

“Kami perlukan orang yang muda bukan tunggul reput yang dibalut rumput menjalar, yang sihat bukan yang sering batuk-batuk, lagipun dengan hanya separuh daripada upah tuan, kami beroleh idea segar-bugar pucuk muda.

“Maafkan kami, tuan, tempat ini bukan tempat tuan, bukan. Kambing pergi ke tunggul reput bukan kerana mahu tahu tunggul itu reput atau utuh, tetapi kerana mahu makan pucuk rumput menjalar yang muda-muda.”

Kerana kita ini bukan siapa-siapa, kadangkala kita ini tak mampu tertawa, dan eloklah kepada Dia kita berserah, kepada Dia kita meminta, dan betulkan diri sebagai hamba-Nya. Barulah kita ini tergolong sebagai ... siapa-siapa.

Wednesday, January 23, 2013

Edar Injil, Bakar Injil: Kalian Sedang Bermain Api

Kawan saya pernah berkata, “Jangan lakukan sesuatu yang kita sendiri tidak suka orang lain lakukan terhadap kita”. Hal itu dibangkitkannya apabila kami sangat marah terhadap perlakuan buruk pemandu kenderaan yang berkelakuan kurang ajar di jalan raya. Kami ingin membalas perbuatan pemandu itu dengan perbuatan yang sama, kebiadaban yang sama.

Rupa-rupanya, pesanan sahabat saya itu merentas segala perbuatan, segala peri laku. Ada pihak tertentu, khabarnya, yang ingin mengadakan Festival Bakar Injil di Pulau Pinang. Siapa pun pihak itu, saya berasa perlu untuk mengingatkan mereka, menyedarkan mereka, “Jangan lakukan sesuatu yang kita sendiri tidak suka orang lakukan terhadap kita”.

Kalau iltizam untuk mengadakan Festival Bakar Injil itu berpunca daripada galaknya perbuatan pihak-pihak tertentu mengedarkan kitab Injil kepada umat Islam, saya pun hendak mengingatkan pihak-pihak yang mengedarkan kitab-kitab penganut Kristian itu, “Jangan lakukan sesuatu yang kita sendiri tidak suka orang lakukan terhadap kita”.

Kalau kalian pencetus idea Festival Bakar Injil, kalian tentu tidak suka kalau ada pihak yang mencetuskan idea untuk mengadakan Pesta Bakar Quran (insya-Allah, al-Quran akan sentiasa terpelihara). Kalau kalian pencetus idea pengedaran Injil kepada umat Islam, kalian tentu benci kalau ada pihak yang masuk ke dalam gereja untuk mengedarkan al-Quran.

Banyak perkara yang perlu kita pelihara. Banyak perkara yang sensitif sifatnya. Bermain dengan perkara sensitif sama dengan perbuatan bermain api. Api dapat menyebabkan kalian melecur, api dapat menghangusrentungkan apa-apa yang yang kalian sayangi. Puak-puak yang berkepentingan, yang jahat, dengan sengaja akan menyimbahkan petrol ke dalamnya.

Mengapakah kalian tidak mahu duduk diam, melakukan kebaikan dalam lingkungan kalian, supaya semua orang dapat menikmati keamanan? 

Monday, January 21, 2013

Tuan Haji Abdul Aziz: Ganjaran Allah kepada Hamba-Nya yang Berjihad

Saya belum pernah melihat suasana ini. Seorang insan biasa, bukan VIP jauh sekali VVIP, meninggal dunia. Teman taulan, sanak saudara, jiran tetangga yang datang untuk menziarahi jenazahnya begitu banyak. Allahyarham itu, Tuan Haji Abdul Aziz bin Mokhtar, meninggal dunia sekitar 7:00 pagi semalam (Ahad, 20 Januari 2013/08 Rabi’ulawwal 1434 H). Innalillahi wa inna ilaihirojiun.

Arwah Tuan Haji itu jiran saya. Walaupun tidak akrab dengan saya, tetapi kami saling mengenali dan saling bersapaan apabila berpapasan di mana-mana. Arwah Tuan Haji itu pernah diserang angin ahmar, namun alhamdulillah, beliau masih mampu untuk berjalan dan masih mengenal jiran tetangga. Barangkali percakapannya sahaja kurang jelas dan teratur.

Berbalik kepada peristiwa banyaknya orang yang menziarahi jenazahnya. Saya biasa menziarahi jenazah jiran, saudara-mara, dll, namun belum pernah saya lihat sebanyak itu yang menziarahi jenazah itu. Saya biasa mensolati jenazah orang, pun tidak sebanyak itu kecuali kalau jenazah itu disolati pada hari Jumaat. Jenazah Tuan Haji ini disolati selepas kami menyempurnakan solat Zuhur.

Jemaah yang bersolat Zuhur pada hari semalam mendekati jumlah orang yang bersolat Jumaat. Jemaah, termasuk saya, melimpah hingga di ruang luar walhal, pada hari Ahad, jemaah yang bersolat Zuhur di surau kami sekitar dua saf sahaja. (Untuk makluman, surau kami adalah antara surau yang dipilih untuk mengadakan solat Jumaat di kawasan Kajang ini dan makmumnya memang banyak.)

Mengapakah begitu banyak orang yang menziarahi jenazah arwah dan begitu banyak juga orang yang mensolati jenazahnya? Kalangan sahabat saya berkata bahawa kebetulan hari itu hari Ahad. Orang juga berkata bahawa arwah itu dahulu barangkali berpangkat ketua di tempatnya bekerja, jadi banyaklah anak buahnya yang datang. Dan ada pelbagai andaian lain yang tidak dapat dinafikan kebenarannya.

Akan tetapi saya lebih cenderung untuk mengatakan bahawa beliau seorang yang sangat berjasa di jalan Allah. Hal ini saya katakan demikian kerana beliau telah melakukan sesuatu yang sangat baik demi keperluan seluruh penduduk Islam di kawasan kediaman kami ini. Keperluan yang saya maksudkan itu ialah keperluan terhadap sebuah surau untuk kami memudahkan bersolat jemaah.

Pada peringkat awal kami tinggal di kawasan perumahan ini, kami menyewa rumah seorang penduduk yang belum hendak duduk di kawasan perumahan kami sebagai surau untuk satu tempoh yang agak lama. Di sinilah aktiviti keislaman kami dijalankan, termasuklah solat sunat hari raya, ibadah qurban, dll. Akan tetapi, pada suatu hari, arwah Tuan Haji ini memaklumkan hal yang menggembirakan kami.

Arwah, dengan berlapang dada, telah membenarkan kami menjadikan rumahnya sebagai surau SECARA PERCUMA untuk tempoh dua tahun (sepanjang beliau bertugas di Sabah). Hal ini melegakan kami kerana kami dapat menjimatkan sejumlah wang untuk tempoh itu. Syarat yang diberikannya kepada kami ialah, jagalah rumah ini dengan sebaik-baiknya. Itu sahaja. Kami memenuhi amanah itu.

Balasan terhadap usaha fi sabilillah arwah inilah yang pada pandangan saya yang telah diperlihatkan oleh Allah SWT kepada kami untuk dijadikan sebagai ikutan dan contoh teladan. Balasan yang saya maksudkan itu adalah bahawa Allah SWT akan mengganjarkan setiap amalan baik hamba-Nya dengan ganjaran yang berlipat kali ganda baiknya – jenazahnya disolati oleh begitu banyak jemaah.

Tentang manfaat banyaknya jumlah jemaah yang mensolati sesuatu jenazah, ada dua hadis yang berkaitan dengannya.

Daripada Siti Aisyah RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda, “Tiada satu pun jenazah yang disolatkan oleh seratus orang kaum Muslimin, dan semuanya memohonkan syafaat bagi jenazah itu, melainkan Allah mengabulkan permohonan mereka itu”.
[Hadis riwayat Muslim]

Daripada Abdullah bin Abbas RA, katanya, “Anaknya meninggal di Qudaid atau di Usfan. Lalu dia berkata kepada sahayanya, ‘Hai Kuraib! Cubalah kamu lihat, sudah banyakkah orang yang berkumpul untuk mensolati jenazahnya?’ Kata Kuraib, ‘Aku pun pergi melihat, dan memang orang telah banyak berkumpul untuk mensolati jenazah itu. Lalu kuberitahukannya kepada Abdullah’. Abdullah bertanya, ‘Adakah jumlah mereka empat puluhan orang?’ Jawab Kuraib, ‘Ya, ada!’ Kata Abdullah, ‘Keluarkanlah jenazah itu! Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, ‘Apabila seorang Muslim meninggal dunia, lalu jenazahnya disolati oleh empat puluh orang Muslim (yang tidak musyrik), maka Allah menerima syafaat mereka terhadap jenazah ini’.”
[Hadis riwayat Muslim]

Itulah ganjaran yang diperlihatkan oleh Allah SWT kepada kami yang ditinggalkan oleh arwah Tuan Haji Abdul Aziz itu, insya-Allah. Sebagai peringatan kepada kita yang hidup ini, yang ditinggalkan oleh sahabat-sahabat, saudara-mara, jiran tetangga kita kerana berpindah ke alam abadi, mari kita renungkan hadis ini. (Saya berharap agar hadis ini besar gunanya kepada kita dan menjadi pendorong untuk kita memuhasabah diri.)

Daripada Abu Qatadah bin Ribi’, katanya, “Semasa suatu jenazah melalui berhampiran Rasulullah SAW, baginda berkata: ‘Senang dan menyenangkan’. Hadirin berkata: ‘Wahai Rasulullah SAW, apakah maksud senang dan menyenangkan itu?’ Baginda menjawab: ‘Hamba yang mati (sebagai) Mukmin senang kerana terlepas daripada kelesuan dunia, manakala hamba yang mati (sebagai) fasiq menyenangkan hamba Allah yang masih hidup, menyenangkan negeri, menyenangkan tumbuh-tumbuhan dan haiwan, kerana terlepas daripada bencananya’.”
[Hadis riwayat Muslim]

Saya, saudara-saudara harus meletakkan sasaran – hendak menjadi golongan yang “senang” atau “menyenangkan”?

Kepada kaum keluarga Tuan Haji Abdul Aziz Mokhtar, khususnya kepada anak-anaknya yang kini menjadi yatim serta isterinya yang kini bergelar balu, kita berdoa agar mereka tabah mendepani ujian Allah ini. Kepada rakan pembaca, marilah kita sama-sama menyedekahi roh arwah Tuan Haji itu dengan bacaan al-Fatihah di samping berdoa agar rohnya ditempatkan di dalam syurga bersama-sama dengan insan yang beriman.

Friday, January 18, 2013

Dosa Penganugerahan Kad Pengenalan kepada PATI Sama dengan Dosa Penganugerahan Satu Juta Kewarganegaraan

Kisah tentang penganugerahan kad pengenalan kepada warga/pendatang asing oleh pihak-pihak yang berkepentingan untuk tujuan yang tidak perlu (tetapi dirasakan bahawa penting kepada mereka) bukan kisah kedai kopi, bukan juga kisah di bawah kolong, tetapi kisah negara. Kisah ini bukan kisah fiksyen lagi tetapi kisah yang real, kisah yang benar-benar berlaku, kisah yang telah menghenyak perasaan masyarakat sampai ke tahap gundah-gulana.

Kisah ini, sebenarnya, hampir tidak ada bedanya dengan kisah tentang pelacur – menyerahkan diri kepada orang yang memerlukan khidmatnya (biasanya orang yang bernafsu serakah). Dengan menggadaikan dirinya, si pelacur beroleh sedikit upah; besar kecil upah itu rasanya bergantung pada aset diri yang dimilikinya, rasanya bergantung pada penampilannya, rasanya dihitung daripada usianya, dan barangkali bergantung juga pada layanannya.

Upah yang diterima oleh si pelacur adalah dalam bentuk wang; upah yang diterima oleh pihak yang memberikan kad pengenalan kepada warga/pendatang asing khabarnya ialah undi. Aku beri engkau KP, engkau beri aku undi. Aku menang, engkau akan terus dapat tinggal di sini, melakukan apa-apa yang engkau sukai, berasimilasi dengan penduduk setempat. Setelah sekian waktu, kalau perlu KP, yang aku berikan itu aku ambil balik!

Benar atau tidak, tokoh yang berperanan sebagai Master Mind dalam hal pemberian kad pengenalan itu, secara terbuka, telah mengakui keterlibatannya dengan perbuatan itu. Tetapi, menurut tokoh itu, dia tidak bersendirian dalam tindakannya itu. Tokoh sulung yang sejawatan dengannya dahulu pun melakukan perbuatan yang lebih teruk daripadanya – memberikan sejuta kewarganegaraan kepada mereka yang tidak layak!

Begitulah perihal diri tokoh itu dalam mempertahankan tindakannya, dalam mewajarkan tindakannya. Dia tidak ambil parwah perasaan orang lain, perasaan suku-sakat orang lain. Kalau orang lain boleh melakukan kesalahan terhadap negara, dia merasakan bahawa tidak salah untuk dia mengulang kesalahan yang sama. Negara yang sudah “dirosakkan” oleh tokoh sulung itu tidak salah untuk “dirosakkan” sekali lagi atau berulang-ulang kali.

Dia beruntung kerana masih berhayat hingga membolehkan dia menjelaskan “kewajaran” perbuatannya itu. Tetapi tokoh sulung itu sudah dua puluh tahun lebih kembali ke alam baqa. Arwah itu sudah tidak punya peluang untuk menjelaskan “kewajaran” perbuatannya itu lagi. Arwah itu tidak dapat menerangkan sisi baik dan sisi buruk daripada perbuatannya itu. Kasihan, arwah itu, dia tidak dapat mempertahankan dirinya!

Alangkah moleknya kalau tuan melayah rendah di bumi – belajar mengakui kesilapan dengan seikhlas hati dan kemudian memohon maaf atas segala kesilapan tuan! Alangkah manisnya kalau tuan mempraktikkan tuntutan agama – memohon maaf itu lebih mulia daripada membabitkan orang lain dalam kesalahan yang dilakukan! Merahsiakan “kejahatan” orang lain lain lebih baik daripada mendedahkannya kepada umum?

Kalau tuan yakin bahawa perbuatan yang tuan lakukan itu mengikut undang-undang, tuan tidak perlulah mempertahankan diri tuan sampai membandingkan-bandingkan perbuatan tuan itu dengan perbuatan arwah itu. Kalau tuan sempat bertenang, tentu tuan dapat berfikir dengan lebih baik dan berhati-hati apabila melafazkan bicara. Tuan fikir, arwah itu melakukan perbuatan tersebut dengan tidak mengikut undang-undang?

Ya, Allah, Engkaulah satu-satunya Tuhan kami, satu-satunya Tuhan yang memiliki hak untuk mengampuni apa-apa pun kesalahan sekalian hamba-Mu. Ya, Allah, Engkau ampunkanlah segala kesalahan kami, segala kesalahan ibu bapa kami, segala kesalahan anak dan isteri kami, segala kesalahan hamba-hamba-Mu yang Islam dan yang beriman, termasuklah hamba-hamba-Mu yang pernah dan masih menjadi pemimpin kami.  Amin....

Wednesday, January 16, 2013

MASA ISTIMEWA KITA MASA ISTIMEWA IBU BAPA KITA

APABILA kita diberi masa, jagalah masa itu dengan selayaknya dan dengan sebaik-baiknya kerana akan tiba suatu masa nanti kita tidak mempunyai masa dan kesempatan tersebut lagi. Pada masa itu kelak, kita langsung tidak berpeluang untuk berpatah balik kerana masa itu telah menjadi sejarah; masa itu telah menjadi kenang-kenangan.
                                                               
Ibu bapa sebenarnya sebahagian daripada masa kita. Mereka telah lama mendepani sepak terajang kehidupan sebelum kita ada. Dengan sifat Rahman dan Rahim Allah, Dia mengurniakan kita kepada ibu dan bapa kita – sebagai zat yang menyukakan dan yang lebih besar daripada itu adalah sebagai amanah untuk dilaksanakan dengan sepatutnya.

Masa itu, kita tidak tahu apa-apa – kita hanya menangis kehausan atau kelaparan jika ibu kita tidak menyuapkan susu atau makanan kepada kita. Kita hanya terbiar kedinginan jika ibu atau sekali-sekala bapa kita tidak membedung kita. Kita akan terus bergelumang dengan kencing dan tahi jika ibu atau bapa kita tidak menyucikan najis-najis itu daripada menggelumangi kita.

Masa itu, walaupun kita ini zat yang menyukakan mereka, sebenarnya kita sebahagian daripada beban yang ditanggung oleh ibu bapa kita. Mental mereka perlu diangkat ke tahap maksimum demi kita. Mereka tidak berupaya untuk bangun solat tahajud, tetapi berupaya untuk melawan kantuk bagi menyusukan kita pada waktu-waktu dinihari.

Masa itu masa istimewa kita. Kitalah raja yang tidak boleh dihadap. Kehendak semula jadi dan kehendak hakiki kita sebagai bayi terpenuhi semuanya. Ibu bapa kita berasa sangat bersalah dan sangat berdosa apabila mereka tidak memenuhi kehendak semula jadi dan kehendak hakiki kita itu. Mereka bersedia untuk berkorban jiwa demi membesarkan dan “menghidupkan” kita.

Kita kemudiannya membesar dengan segala keistimewaan – berakal dan bijaksana, berkat makan minum yang diatur oleh ibu bapa kita semasa kita bayi dahulu. Kalau kita tidak cerdik dan menjadi insan yang berjaya dalam pelajaran, setidak-tidaknya kita masih dikurniai akal untuk membedakan yang baik dengan yang buruk, yang kotor dengan yang murni.

Bagaimanakah dengan masa istimewa ibu bapa kita? Bagaimanakah kita memanfaatkan masa yang ada sekarang, mengorbankan masa yang ada sekarang untuk melayan insan-insan istimewa itu? Masihkah kita berhelah dan beralasan untuk pulang menziarahi mereka? Masihkah kita menanti dan mencari-cari waktu lapang untuk menjengah mereka yang menanti kita penuh rindu?

Untuk kita, masa itu emas, tetapi kita lupa bahawa ibu bapa kita “lebih emas” daripada masa. Seperti yang dikatakan pada awal tadi, mereka itu sebahagian daripada masa kita. Kita harus memperuntukkan masa dalam kehidupan harian kita untuk ibu bapa kita – berkirim surat, berhubung melalui telefon, menziarahinya setiap minggu atau setiap bulan, dll.

Ibu bapa kita harus kita sayangi dengan sepenuh hati, sepenuh jiwa, sepenuh raga kita kerana tiada mereka tiadalah kita. Tiada mereka, siapalah kita. Tanpa pengorbanan mereka, kita tidak akan menjadi siapa-siapa. Kita mungkin diserahkan kepada orang lain untuk menjadi anak angkat orang lain, tetapi itulah ketentuan Allah Yang Maha Mengetahui apa-apa yang lebih baik untuk kita.

Masa untuk kita hidup sangat singkat. Masa untuk kita membalas jasa ibu bapa kita lebih singkat lagi sedangkan ibu bapa kita melalui masa yang panjang untuk membesarkan kita. Masa istimewa untuk ibu bapa kita sepanjang masa. Baik kita terhadap mereka, baiklah balasan yang diterima mereka di alam abadi kelak. Apabila tiba giliran kita ke sana, kebaikan itu bermanfaat kepada kita.

PERINGATAN KEPADA ANAK-ANAK
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya; ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir penyusuannya), dan tempoh menceraikan susunya adalah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).” [14]
[Surah Luqman]

“Dan Tuhanmu telah memerintahkan (engkau) supaya engkau tidak menyembah melainkan Dia semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika seorang daripada kedua-duanya, atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (dengan sebarang perkataan kasar) meskipun (dengan) perkataan ‘Ah’, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi berkatalah kepada mereka (dengan) perkataan yang mulia (yang bersopan santun). [23] Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): ‘Wahai Tuhanku! Cucurkanlah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil’. [24] Tuhan kamu lebih tahu akan apa-apa yang ada di dalam hati kamu; kalaulah kamu orang-orang yang bertujuan baik mematuhi perintah-Nya, maka sesungguhnya dia Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat.” [25]
[al-Isra’, ayat 23-25]

“Pembalasan bagi setiap dosa akan ditangguhkan sampai hari kiamat kelak, kecuali (dosa) menderhakai ibu atau bapa. Maka sesungguhnya Allah akan menyegerakan pembalasan kepada pelakunya dalam hidupnya (di dunia) sebelum dia meninggal dunia.”
[Riwayat Hakim]

“Seorang lelaki datang mengadu kepada Nabi Muhammad SAW katanya, ‘Sesungguhnya ayahku telah merampas hartaku’. Nabi berkata, ‘Dirimu dan hartamu adalah milik ayahmu, anak-anak kamu adalah hasil usaha kamu yang terbaik. Oleh itu, kamu berhak memakan harta mereka.”
[Riwayat Ibnu Majah]

 “Aku bertanya Nabi Muhammad SAW, ‘Apakah amal yang paling disukai oleh Allah?’ Nabi Muhammad menjawab, ‘Solat dalam waktunya’. Aku bertanya lagi, ‘Kemudian apa lagi?’ Nabi Muhammad menjawab, ‘Kemudian berlaku ihsan kepada kedua-dua ibu bapa’. Aku bertanya lagi, ‘Kemudian apa lagi?’ Nabi Muhammad menjawab, ‘Berjihad fi sabilillah’.
[Riwayat al-Bukhari]

“Keredhoan Allah terletak pada keredhoan ibu bapa, manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibu bapa.”
[Riwayat al-Tirmidzi]

Tuesday, January 15, 2013

Meladeni Musibah: Siti Nurhaliza, Saya, dan Orang Lain

Biasa kita lihat orang segera berubah apabila ditimpa oleh musibah (walaupun ada juga yang terus-menerus berdegil). Ada orang yang sejak sekian lama melakukan kejahatan tidak lagi mengulangi kejahatannya apabila kekayaan yang dinikmatinya terlungkup hingga menyebabkan dia menjadi miskin lalu menjadi buruan bank. Sesetengahnya pula segera berubah apabila ditimpa oleh musibah berupa kemalangan. Sebagai contohnya, apabila seorang ibu atau bapa kematian anak dalam kemalangan, atau mereka sendiri ditimpa oleh kemalangan hingga menyebabkan mereka mengalami kecederaan kekal, mereka segera berubah – daripada tidak/kurang baik kepada baik/lebih baik. Orang begini orang yang terpuji kerana senantiasa bersangka baik dan tidak menyalahkan Allah atas musibah yang menimpa mereka. Mereka sedar bahawa yang baik itu daripada Allah, yang buruk itu akibat daripada perbuatan mereka sendiri. Malahan, banyak antara mereka yang mengangkat musibah itu sebagai petunjuk/hidayah Allah kepada mereka.

Tetapi, bukanlah sesuatu yang aneh apabila anda melihat dengan mata kepala sendiri perihal orang yang bergelumang dengan dosa yang tidak endah akan apa-apa yang menimpa diri mereka. Musibah yang menimpa dirinya langsung tidak dijadikan sebagai peringatan daripada Allah yang menghendakinya membetulkan diri. Yang kaki judi, terus menjadi kaki judi walaupun Allah telah memberinya amaran kecil dengan kejadian dia disengat oleh tiga empat ekor tebuan, misalnya. Yang culas solat terus dengan sifat culasnya itu walaupun dia melihat dengan mata kepalanya sendiri perihal kejayaan rakannya dalam perniagaannya sedangkan perniagaannya sendiri hanya cukup untuk menampung makannya sahaja. Orang-orang begini tergolong sebagai orang yang tidak rasional. Si penjudi lebih senang memaki dan menghamun serta mencelakakan tebuan kerana menyengat mereka hingga menyebabkan mereka demam. Si peniaga lebih seronok menyalahkan Allah dan menuduh Allah tidak adil kerana tidak memberinya keuntungan dan kesenangan seperti peniaga lain.

Datuk Siti Norhaliza dikatakan bahawa sudah berubah kepada berpenampilan lebih muslimah kerana bersedia untuk memakai tudung litup. Sesetengah orang mendakwa bahawa punca beliau mengambil keputusan yang demikian kononnya adalah kerana kemalangan yang menimpa suami yang dikasihinya, Datuk K. Wallahuaalam. Kalau benar, semua peminat beliau patut bersyukur kerana penghibur pujaan mereka menanggap musibah sebagai petunjuk lalu segera memulakan langkah untuk menjadi lebih baik. Saya secara peribadi memahukan beliau mengambil langkah yang lebih drastik – berhenti bernyanyi kerana lemak merdu suaramu, wahai Datuk Siti Norhaliza, aurat. Kalaupun bukan aurat, cuba kamu bayangkan begini – betapa banyak orang yang pernah, masih, dan akan menangguhkan/melewatkan solat mereka semata-mata kerana leka dan tertarik untuk menonton rancangan televisyen yang menzahirkan dirimu pada waktu Maghrib atau Isyak. Penonton memang salah kerana berleka-leka dengan program yang sia-sia, tetapi siapakah yang memperdayai mereka?

Saya pun sekarang sedang berdepan dengan musibah – bakal kehilangan pekerjaan. Banyak masalah yang bakal saya depani jika dalam masa terdekat saya tidak beroleh pekerjaan baharu sebagai ganti. Saya tidak menyalahkan sesiapa atas musibah ini kerana Allah Maha Mengetahui apa-apa dan mana-mana yang lebih baik untuk setiap hamba-Nya. Malah saya bersyukur kepada-Nya kerana dengan kejadian itu, saya kembali kepada diri – mencari kesalahan dalam diri dan tentulah Allah menghendaki saya membetulkannya. Sebenarnya, pekerjaan senantiasa ada dan terpulang kepada diri kita sendiri untuk melakukannya. Peniaga Aceh di kawasan kediaman saya sampai mampu untuk membeli rumah hingga mampu mengubah suai rumah itu seperti banglo! Peniaga pasar malam mampu memiliki kereta yang lebih besar daripada yang saya miliki, memiliki telefon bimbit yang lebih canggih daripada saya, dan dalam kalangan mereka, banyak yang memiliki kediaman yang selesa. Jadi, haruskah saya mengeluh?

Musibah harus diladeni dengan rasional. Berkeluh-kesah akan menokok masalah, tidak diendahkan kita akan terus berdosa, redho akan menjadikan kita bertambah baik.

Monday, January 14, 2013

Kalimah “Allah”: Penjelasan dan Pencerahan oleh Pihak Majlis Syura Ulamak PAS

Pada siaran lalu, saya menyatakan pendirian saya, iaitu bahawa, keinginan pihak Kristian yang mendalam untuk mengguna pakai kalimah “Allah” dalam kitab dll tidak wajar dibenarkan demi mengelakkan penyalahgunaan kalimat itu pada masa depan walaupun memang diakui bahawa kalimat itu hak semua pihak. Hari ini, saya beroleh pencerahan tentang hal itu oleh pihak Majlis Syura Ulamak PAS, melalui kenyataan penuh oleh pihak tersebut dalam HarakahDaily hari ini..

Sebenarnya, saya berpeluang untuk bertanya kepada TG Dato’ Dr Haron Din tentang hal ini semasa menghadiri ceramahnya di Kompleks Pendidikan Islam Bangi. Walau bagaimanapun, peluang itu terhalang kerana beliau menguntukkan masa hingga jam 10:00 pagi (waktu itu sudah sekitar jam 9:50 pagi) untuk sesi soal jawab. Hanya satu soalan (saranan sebenarnya) yang dapat diulas oleh TG itu.

Saya benar-benar bersyukur kerana kekeliruan dan kekaburan saya tentang hal ini sudah menjadi jelas dan dengan yang demikian saya tidak akan terpedaya dan dikelirukan oleh mana-mana pihak. Oleh sebab itu juga, sebagai sebahagian anggota dalam Pakatan Rakyat, DAP tidak perlulah mengungkit-ungkit dan membangkit-bangkitkan hal ini lagi, khususnya untuk tujuan pengaruh dan politik.

Yang berikut ini ialah siaran kenyataan itu yang saya petik daripada HarakahDaily. Terima kasih.

KENYATAAN RASMI MAJLIS SYURA ULAMAK

Mesyuarat Majlis Syura Ulamak pada 2 Rabiul Awwal 1434 bersamaan 13/1/2013 mengambil keputusan sebulat suara bersetuju untuk menyatakan perkara-perkara berikut:

(1)  Allah adalah kalimah suci yang merujuk kepada Tuhan yang diimani oleh umat Islam, iaitu Allah Yang Esa, Tunggal, tidak beranak dan tidak diperanakkan.
(2) Kalimah Allah adalah alami (universal) kerana Allah Tuhan sekalian alam. Siapa pun boleh menyebut kalimah Allah seperti mana orang Arab Jahiliyah yang tidak Islam menyebut Allah yang menjadikan alam ini.
(3) Kalimah Allah adalah kalimah khusus yang Allah menamakan diri-Nya Allah. Kalimah itu tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar dari kalimah ini. Demikian juga tidak boleh kalimah asing hendak diterjemahkan kepada kalimah Allah.

Oleh kerana itu, menterjemah kalimah God atau Lord dari mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan Allah tidak dibolehkan kerana ianya salah dari segi makna dan salah guna, tidak menepati kehendak sebenar yang boleh membawa kekeliruan yang nyata. Oleh kerana itu ia hendaklah dicegah.

Kenyataan media ini adalah memperjelaskan maksud kenyataan Al Mursyidul Am, Presiden dan seluruh kepimpinan PAS.

Mesyuarat Majlis Syura Ulamak PAS ini juga telah membincangkan isu sedutan ucapan Tuan Guru Presiden yang diangkat martabatnya menjadi amanat dan memutuskan untuk mendesak kerajaan supaya membenarkan Tuan Guru Presiden memperjelaskan isu tersebut sekurang-kurangnya satu jam secara langsung menerusi TV1 dan TV3.

Tuan Guru Datuk Bentara Setia
Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat
Al-Mursyidul Am, Parti Islam Se-Malaysia

Tuan Guru Datuk Dr Haron Din
Timbalan Al-Mursyidul Am, Parti Islam Se-Malaysia

Thursday, January 10, 2013

Bismillahir-Rohmanir-Rohim: Allah Sayang, Kasih akan Hamba-Nya yang Bertaqwa

Isunya, kalimat “Allah”. Pencetusnya, Lim Guan Eng. Tujuannya, ingin mendapat sokongan Kristian. Sebabnya, PRU semakin hampir. Sebab lain, Soi Lek main isu hudud. Akibat permainan Soi Lek, pengundi Cina seperti beralih arah. Tindakan segera, halang situasi ini; jangan biarkan hal ini berlaku kalau ingin mengambil alih tampuk kekuasaan.

Inilah kerja politik. Kerja orang politik sebenarnya. Ini amalan yang disodorkan oleh Nicollo Machiavelli – Its better feared than loved; pemimpin harus memiliki keupayaan untuk mengadun sifat baik dan buruk dalam diri mereka, tidak kiralah sama ada mereka itu memang disayangi atau ditakuti oleh pengikut dan rakyatnya.

Sekarang berlaku dua situasi. Pada diri si pencetus isu ini – Guan Eng – ada yang membencinya. Yang berkepentingan harus ambil kesempatan. Lakukan sesuatu supaya banyak orang yang membencinya. Situasi yang satu lagi, ada yang bersetuju dengannya. Maka, dia pun dibantu dengan pelbagai cara bagi menggambarkan ideanya memang wajar.

Hal kalimat “Allah” ini hal agama. Dalam negara ini, orang yang jahil perihal agama bukan sedikit bilangannya. Yang tua banyak, yang muda berlebih-lebih lagi banyaknya. Jadi, secara umum, isu ini memang amat berbahaya. Yang ketara menerima bahayanya ialah penganut Islam yang jahil itu. Yang beruntung untuk jangka panjang tentulah Kristian dan agama lain.

Mengapakah berbahaya kepada Islam? Kerana Kristian ini mubalighnya afresif dan aktif. Mereka pintar memanipulasikan peluang. Kalimat “Allah” itu nanti akan digunakan dengan wewenang bagi mengatakan bahawa Islam dan Kristian sama. Sebagai contohnya, kita akan diberitahu bahawa kita boleh bersolat dengan cara Islam atau dengan cara Kristian.

Yang jahil agama, dengan pemberian sedikit ganjaran berupa wang, bantuan makanan, dll, akan senang diperdayai. Inilah yang harus kita takuti. Tidak timbul soal baik sangka terhadap musuh Islam kerana mereka ini bersedia untuk menikam kita dari belakang. Mereka akan terus-terusan berusaha untuk membawa kita hidup berlandaskan cara mereka.

Pada waktu itu kelak, setelah beroleh perkara yang dihajati dan diperjuangkan oleh mereka, siapakah yang dapat menghalang mereka daripada menyalahgunakan keizinan itu? JAKIM, PAS, MAIS, JAWI, dan yang lain-lain itu? Percayalah, mereka akan berdepan dengan pelbagai kesukaran, hingga terpaksa turun naik mahkamah bertahun-tahun.

Tindakan dan pendekatan yang diambil oleh Sultan Selangor itu betul walaupun ada pihak yang mendakwa bahawa kenyataan itu seperti berpihak kepada golongan tertentu. Sebagai ketua agama negeri, baginda sangat sedar bahawa mencegah lebih baik daripada mengatasi. Banteras lebih awal sebelum menjadi penyakit pada masa depan.

Kita akur bahawa kalimat “Allah” bukan hak eksklusif umat Islam, tetapi kalimat “Allah” itu, pada masa depan, dapat dijadikan sebagai “senjata” untuk memporak-perandakan umat Islam. Bayangkan, mubaligh Kristian berbangsa Melayu membawa bible berbahasa Melayu yang tertera kalimat “Allah” padanya. Macam-macam manipulasi yang dapat dilakukan mereka.

Bismillahir-Rohmanir-Rohim. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Allah amat pemurah kepada semua makhluk-Nya, tetapi Allah hanya menyayangi makhluknya yang benar-benar memainkan peranan dan melaksamakan tanggungjawabnya sebagai hamba – takut, taat, dan bertaqwa kepada-Nya.

Adakah Kristian tergolong dalam golongan orang yang takut, taat, dan bertaqwa kepada Allah seperti yang terungkap dalam kalimat Bismillahir-Rohmanir-Rohim itu hingga melayakkan mereka menggunakan kalimat “Allah” itu?

Wednesday, January 9, 2013

Sebelum Sunamo, Ada Perkhabaran yang Mengejutkan

Mendapat perkhabaran yang tidak diduga memang selalu mengejutkan kita, tidak kiralah perkhabaran itu perkhabaran gembira ataupun perkhabaran dukacita. Perkhabaran yang tidak diduga yang menggembirakan saya, tetapi pada masa yang sama amat mengejutkan saya ialah perkhabaran yang disampaikan oleh isteri saya pada Februari 1988, iaitu kira-kira 25 tahun dahulu. 

“Yop...,” kata isteri saya pada malam itu, “doktor kata saya mengandung...”. Ya, Allah ... kegembiraan itu sangat luar biasa. Saya megah, saya bangga, saya bersyukur kerana saban bulan selepas menikahi isteri saya, saya senantiasa menunggu perkhabaran itu. Terus terang, kegembiraan itu melebihi kegembiraan saya semasa disahkan menjadi suami kepada isteri saya.

“Manakah yang lebih seronok...,” isteri saya menyoal selepas barangkali melihat kegembiraan yang memancar-mancar pada diri ini, “selepas menjadi suami saya atau selepas mendengar perkhabaran ini?” Saya berterus terang kepadanya, keseronokan perkhabaran yang dibawanya berbeda dengan keseronokan selepas sah bergelar sebagai suaminya. Dia diam, faham barangkali.

Kegembiraan yang sama berkunjung lagi pada tahun 2005. Isteri saya disahkan mengandung selepas hampir 17 tahun anak saya yang lahir pada tahun 1988 itu bergelar sebagai anak tunggal. Saya sangat gembira dan saya sangat bersyukur ke hadrat Allah SWT. Saya segera teringat pesanan yang saya titipkan kepada adik ipar saya agar beliau berdoa di hadapan Kaabah supaya saya beroleh anak lagi.

Barangkali doa beliau, doa kami suami isteri telah dimakbulkan Allah SWT. Alhamdulillah. Akan tetapi demikianlah ketetapan Allah SWT, kegembiraan itu segera bertukar kepada dukacita apabila janin yang dikandung isteri saya “mati” dalam kandungan sewaktu baru berusia hampir empat bulan. Perkhabaran yang disampaikan oleh Dr Khamsiah Muda itu menyentap tangkai hati saya. Saya menangis.

Perkhabaran sedih itu sama pedihnya dengan perkhabaran tentang pemergian adik saya pada tahun 1973 dahulu, sama pedihnya dengan pemergian Opah saya pada tahun 1980 dahulu, dan sama pedihnya dengan pemergian Datuk saya pada 1996 dahulu. Dr. Khamsiah menenangkan kami suami isteri dengan kata-kata “Allah Mengetahui apa-apa yang lebih baik untuk hamba-Nya”.

Pagi semalam, tanpa angin, tanpa ribut, malah sebelum sempat ribut tropika Sunamo melanda Pantai Timur Semenanjung Malaysia, perkhabaran yang mengejutkan melanda seluruh kakitangan di tempat saya bertugas. Jabatan yang telah lama menjadi tulang belakang kepada syarikat yang menjadi tempat saya bertugas telah ditutup lalu mengakibatkan berlakunya pembuangan kakitangan.

Saya tidak terlalu sedih oleh perkhabaran itu, tetapi saya terkejut walaupun perasaan yang bergerak ke arah itu (pembuangan kakitangan) telah lama bermain-main di fikiran. Untuk pertama kali dalam hidup saya, saya melihat sendiri orang meluahkan pelbagai aksi dan reaksi daripada tindakan itu. Untuk pertama kali, walaupun untuk seketika, rasa panik yang berbeda menguasai diri ini.

Pada usia setengah abad, siapakah yang sudi untuk mengambil saya bekerja di syarikat mereka? Komitmen saya masih banyak – ansuran kereta perlu dibayar, hutang-hutang lain juga menanti, termasuk bil-bil air, elektrik, telefon dan Internet, dll. Pampasan yang diberikan belum tentu memadai. Saya kegelabahan. Saya segera menghubungi rakan, meminta bantuannya.

Alhamdulillah, beliau sudi untuk membantu. Rupa-rupanya tindakan yang saya lakukan secara spontan itu yang kemudiannya menerima jawaban positif daripada rakan saya itu telah menghalau rasa panik dari dalam diri ini. Selepas tengah hari, saya menerima panggilan daripada seorang rakan yang memaklumkan bekas bos saya, bosnya sekarang, menyuruh saya menghubunginya. Ada tawaran, katanya.

Rasa panik itu makin surut. Pada masa yang sama, seorang rakan lain menawarkan projek untuk saya melalui laman sosial Facebook. “Datanglah selepas tempoh perkhidmatan engkau ditamatkan,” demikian kata sahabat saya itu. Ya, Allah. Engkau memang Pencatur Agung. Saya berharap, ya Allah agar tawaran dan janji-janji itu menjadi kenyataan. Saya bermohon kepada-Mu, ya Allah.

Kita bukan pencatur kehidupan yang baik. Oleh sebab itu, kita harus belajar meredhokan apa-apa yang menimpa diri kita. Saya berasa kasihan kepada teman-teman yang berkeluh-kesah dan bermuram durja. “Encik Zul tak apa kerana Encik Zul dah lama kat sini. Pampasan yang Encik Zul dapat jauh lebih tinggi daripada kami yang baru saja tiga/empat tahun bekerja di sini”.

Saya sangat faham akan hal itu, tetapi dengan usia yang masih muda dan kelulusan yang lebih tinggi daripada saya, mereka pasti beroleh pekerjaan yang baik. Masanya akan tiba. Bersabar dan berusahalah. Saya akan mencuba untuk membantu mereka. Semoga Allah SWT memudahkan saya untuk mendapat pertolongan yang diharap-harapkan oleh rakan-rakan saya itu.

Fajar yang mendatang pada hari-hari yang berikutnya pasti dilalui dengan perasaan yang berbeda oleh setiap teman dan taulan, termasuk saya sendiri. Perlukah saya jelaskannya di sini? Tidak perlu, rasa saya. Hal ini bukan titik noktah kehidupan walaupun tidak tergolong sebagai permulaannya. Hal ini suatu cabaran. Para pujangga berpesan, “Cabaran perlu didepani, bukan dihindari”.