Kalau kita ini
siapa-siapa, walaupun berusia lewat, dengan usaha yang sedikit, kita mudah
beroleh pekerjaan, tidak kiralah dengan bantuan kenalan, atau dengan bantuan
kebolehan, atau dengan bantuan kemahiran.
Kalau kita ini bukan
siapa-siapa, dengan budi yang mulia, jujur bagai malaikat, diri kita diangkat
Allah ke pengetahuan orang banyak, mengharum bak kesturi, hingga orang
bertindih tangan, berebut-rebutan, hanya untuk mendapatkan khidmat kita.
Berlebih-lebih lagi
kalau kita ini siapa-siapa, diri pula dibaluti sifat mirip Rasul kehendak Allah,
dirinya akan terpaksa berfikir, sama ada hendak melayan tawaran itu, lamaran
ini, memenuhi hasrat teman ataupun memenuhi kepuasan diri.
Kalaulah kita
siapa-siapa....
Tetapi kalau kita
bukan siapa-siapa, kebolehan separas air di buku lali, kenalan ternama hanya terbilang
pada jari di tangan sebelah, pekerti tidak begitu mulia, usia sudah mendakap
senja, kita menawarkan diri, mereka hanya tertawa.
“Kami perlukan orang
yang muda bukan tunggul reput yang dibalut rumput menjalar, yang sihat bukan yang
sering batuk-batuk, lagipun dengan hanya separuh daripada upah tuan, kami
beroleh idea segar-bugar pucuk muda.
“Maafkan kami, tuan,
tempat ini bukan tempat tuan, bukan. Kambing pergi ke tunggul reput bukan kerana
mahu tahu tunggul itu reput atau utuh, tetapi kerana mahu makan pucuk rumput
menjalar yang muda-muda.”
Kerana kita ini
bukan siapa-siapa, kadangkala kita ini tak mampu tertawa, dan eloklah kepada Dia
kita berserah, kepada Dia kita meminta, dan betulkan diri sebagai hamba-Nya.
Barulah kita ini tergolong sebagai ... siapa-siapa.
Assalammualaikum
ReplyDeleteSdra Zul...
Saya pernah terkena' dengan ayat "siapa2" saudara itu suatu masa dulu, ketika saya berhijrah ke semananjung 12thn yg lalu.
Dengan wajah polos,kekampungan saya memanjat bangunan JAWI utk mohon bantuan sbg saudara baru,
perkataan siapa ini amat perit ketika itu.
Tidak hairanlah ramai kalangan saya(muallaf ) yg murtad kerana desakan hidup.
Di buang keluarga tetapi bila kita dtg pada pihak yg kita harapkan boleh membela nasib,
kita di tanya kita ini siapa, di sokong siapa...alahai.
As-Salam, Sdr Nur,
ReplyDeleteBenar-benarkah hal yang sering diperkatakan oleh saudara-suadara baharu ini berlaku? Subhanallah, ampunilah mereka.
As-Salam adinda Zul,
ReplyDeleteKalau kita ini siapa-siapa . . . indahnya baris kata-kata ini . . . seindah dan semudah kehendak (nasib) mereka yang tergolong dalam golongan ini!
Kalau kita ini bukan siapa-siapa . . . entahlah . . . sekadar kira bicara kita sendiri sajalah!
Begitu nampaknya lumrah hidup sekarang . . . bak kata si jiran omputih teman tu le:
" It's whom you know . . . not what you know, any more . . . in modern living bro."
Teman nak lempang omputih tu tak sampai hati lak . . . ada betoinya kata-kata si mat saleh tu!
As-Salam, Uda,
ReplyDeleteHal yang benar boleh diucapkan oleh sesiapa pun, waima oleh yang bukan siapa-siapa dan yang memang siapa-siapa. Jadi, jangan dilempang Orang Putih tu.
Zaman sekarang ni, Uda, siapa-siapa boleh buat apa-apa, cakap apa-apa, dan lepas daripada tindakan. Yang bukan siapa-siapa boleh juga cakap apa-apa dan buat apa-apa, tetapi selalu jadi sasaran tindakan.
As-Salam adinda Zul,
ReplyDeleteUda setuju bebeno dengan kata-kata adinda itu. Nasib baik tak jadi melempang si omputih tu . . . kalau tidak naya aje jawabnya . . . udah lain cite lak!
As salam
ReplyDeletecerita tentang murtad di kalangan bangsa sabahan adalah biasa,
maksud saya berlaku realiti.
Kerana desakan hidup dan lemah nya sokongan pihak2 berwajib.
Saya bertuah kerana Allahswt. Merahmati hidayah dan kekuatan utk bertahan, bagi yang tidak sanggup berlapar, maka gereja saja tujuan yg terlintas di minda, mereka memberikan bantuan dlm semua aspek tanpa perlu kita mengisi borang atau rekomen sesiapa.
Saya pernah di tawarkan kesenangan, syukurlah Allahswt. Mengunci hati dan keyakinan cinta kasih saya kepada Allahswt.
Namun ramai juga rakan yg terkandas.
Malah Melayu pun ada. Inilah cabaran kotaraya dunia.
Amat menyedihkan,namun bukan mereka tidak berusaha, tetapi kerana birokrasi mereka terpaksa.
Juga mungkin lemahnya cinta pada -NYA.
Wallahualam.