APABILA kita diberi masa, jagalah masa itu dengan
selayaknya dan dengan sebaik-baiknya kerana akan tiba suatu masa nanti kita tidak
mempunyai masa dan kesempatan tersebut lagi. Pada masa itu kelak, kita langsung
tidak berpeluang untuk berpatah balik kerana masa itu telah menjadi sejarah;
masa itu telah menjadi kenang-kenangan.
Ibu bapa sebenarnya sebahagian daripada
masa kita. Mereka telah lama mendepani sepak terajang kehidupan sebelum kita ada.
Dengan sifat Rahman dan Rahim Allah, Dia mengurniakan kita kepada ibu
dan bapa kita – sebagai zat yang menyukakan dan yang lebih besar daripada itu adalah
sebagai amanah untuk dilaksanakan dengan sepatutnya.
Masa itu, kita tidak tahu apa-apa – kita hanya menangis kehausan atau kelaparan jika ibu kita tidak menyuapkan susu atau
makanan kepada kita. Kita hanya terbiar kedinginan jika ibu atau sekali-sekala
bapa kita tidak membedung kita. Kita akan terus bergelumang dengan kencing dan tahi
jika ibu atau bapa kita tidak menyucikan najis-najis itu daripada menggelumangi
kita.
Masa itu, walaupun kita ini zat yang
menyukakan mereka, sebenarnya kita sebahagian daripada beban yang ditanggung
oleh ibu bapa kita. Mental mereka perlu diangkat ke tahap maksimum demi kita.
Mereka tidak berupaya untuk bangun solat tahajud, tetapi berupaya untuk melawan
kantuk bagi menyusukan kita pada waktu-waktu dinihari.
Masa itu masa istimewa kita. Kitalah raja
yang tidak boleh dihadap. Kehendak semula jadi dan kehendak hakiki kita sebagai
bayi terpenuhi semuanya. Ibu bapa kita berasa sangat bersalah dan sangat
berdosa apabila mereka tidak memenuhi kehendak semula jadi dan kehendak hakiki kita
itu. Mereka bersedia untuk berkorban jiwa demi membesarkan dan “menghidupkan”
kita.
Kita kemudiannya membesar dengan segala
keistimewaan – berakal dan bijaksana, berkat makan minum yang diatur oleh ibu
bapa kita semasa kita bayi dahulu. Kalau kita tidak cerdik dan menjadi insan
yang berjaya dalam pelajaran, setidak-tidaknya kita masih dikurniai akal untuk
membedakan yang baik dengan yang buruk, yang kotor dengan yang murni.
Bagaimanakah dengan masa istimewa ibu bapa
kita? Bagaimanakah kita memanfaatkan masa yang ada sekarang, mengorbankan masa
yang ada sekarang untuk melayan insan-insan istimewa itu? Masihkah kita berhelah
dan beralasan untuk pulang menziarahi mereka? Masihkah kita menanti dan
mencari-cari waktu lapang untuk menjengah mereka yang menanti kita penuh rindu?
Untuk kita, masa itu emas, tetapi kita lupa
bahawa ibu bapa kita “lebih emas” daripada masa. Seperti yang dikatakan pada
awal tadi, mereka itu sebahagian daripada masa kita. Kita harus memperuntukkan
masa dalam kehidupan harian kita untuk ibu bapa kita – berkirim surat,
berhubung melalui telefon, menziarahinya setiap minggu atau setiap bulan, dll.
Ibu bapa kita harus kita sayangi dengan sepenuh
hati, sepenuh jiwa, sepenuh raga kita kerana tiada mereka tiadalah kita. Tiada
mereka, siapalah kita. Tanpa pengorbanan mereka, kita tidak akan menjadi
siapa-siapa. Kita mungkin diserahkan kepada orang lain untuk menjadi anak
angkat orang lain, tetapi itulah ketentuan Allah Yang Maha Mengetahui apa-apa
yang lebih baik untuk kita.
Masa untuk kita hidup sangat singkat. Masa
untuk kita membalas jasa ibu bapa kita lebih singkat lagi sedangkan ibu bapa
kita melalui masa yang panjang untuk membesarkan kita. Masa istimewa untuk ibu
bapa kita sepanjang masa. Baik kita terhadap mereka, baiklah balasan yang
diterima mereka di alam abadi kelak. Apabila tiba giliran kita ke sana,
kebaikan itu bermanfaat kepada kita.
PERINGATAN KEPADA ANAK-ANAK
“Dan Kami
wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya; ibunya telah
mengandungkannya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal
mengandung hingga akhir penyusuannya), dan tempoh menceraikan susunya adalah
dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada
kedua-dua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk
menerima balasan).” [14]
[Surah Luqman]
“Dan Tuhanmu telah memerintahkan
(engkau) supaya engkau tidak menyembah melainkan Dia semata-mata, dan hendaklah
engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika seorang daripada kedua-duanya, atau
kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka
janganlah engkau berkata kepada mereka (dengan sebarang perkataan kasar) meskipun
(dengan) perkataan ‘Ah’, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka,
tetapi berkatalah kepada mereka (dengan) perkataan yang mulia (yang bersopan
santun). [23] Dan hendaklah engkau
merendah diri kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan
doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): ‘Wahai Tuhanku! Cucurkanlah rahmat
kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya
memelihara dan mendidikku semasa kecil’. [24]
Tuhan kamu lebih tahu akan apa-apa yang ada di dalam hati kamu; kalaulah kamu
orang-orang yang bertujuan baik mematuhi perintah-Nya, maka sesungguhnya dia Maha
Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat.” [25]
[al-Isra’, ayat 23-25]
“Pembalasan bagi setiap
dosa akan ditangguhkan sampai hari kiamat kelak, kecuali (dosa) menderhakai ibu
atau bapa. Maka sesungguhnya Allah akan menyegerakan pembalasan kepada
pelakunya dalam hidupnya (di dunia) sebelum dia meninggal dunia.”
[Riwayat Hakim]
“Seorang lelaki datang
mengadu kepada Nabi Muhammad SAW katanya, ‘Sesungguhnya ayahku telah merampas
hartaku’. Nabi berkata, ‘Dirimu dan hartamu adalah milik ayahmu, anak-anak kamu
adalah hasil usaha kamu yang terbaik. Oleh itu, kamu berhak memakan harta
mereka.”
[Riwayat Ibnu Majah]
“Aku bertanya Nabi Muhammad SAW, ‘Apakah amal
yang paling disukai oleh Allah?’ Nabi Muhammad menjawab, ‘Solat dalam waktunya’.
Aku bertanya lagi, ‘Kemudian apa lagi?’ Nabi Muhammad menjawab, ‘Kemudian
berlaku ihsan kepada kedua-dua ibu bapa’. Aku bertanya lagi, ‘Kemudian apa
lagi?’ Nabi Muhammad menjawab, ‘Berjihad fi sabilillah’.
[Riwayat al-Bukhari]
“Keredhoan Allah terletak
pada keredhoan ibu bapa, manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibu bapa.”
[Riwayat al-Tirmidzi]
As-Salam adinda Zul,
ReplyDeleteSyabas . . . suatu penulisan yang cukup baik dan pasti disenangi semua ibu bapa yang berkesempatan meluangkan masa membacanya.
Uda sangat tersentuh dengan kandungan dan maksud tulisan adinda ini.Tahniah sekali lagi.
Mudah-mudahan dapat menyedarkan dan MENGINSAFKAN banyak pihak!
Catatan: Bolehkah Uda memohon izin Zul untuk menerbitkan semula tulisan (siaran) ini dalam blog dsuarang? Tk.
As-Salam, Uda,
ReplyDeleteTerima kasih, Uda kerana meluangkan masa untuk membaca coretan teman ini.
Teman berusaha untuk mengingatkan anak-anak kita tentang peranan mereka terhadap ibu bapa, malah teman ingin mengingatkan diri teman sendiri tentang tanggungjawab teman terhadap abah dan mak teman yang masih berhayat itu.
Doa Uda, teman aminkan kerana Allah Taala.
Uda boleh pada bila-bila masa menerbitkan mana-mana coretan teman semula dalam Blog d'Suarang Uda. Teman sangat berbesar hati terhadap kesediaan Uda itu. Silakan.
As-Salam adinda Zul,
ReplyDeleteTerima kasih kerana mengizinkan teman menerbitkan semula artikel mika yang pada teman cukup tinggi nilai kemurniannya.
Teruskanlah penulisan dalam subjek begini rupa untuk kita cuba pupukkan dan kukuhkan kesedaran yang mendalam akan pentingnya menghargai pengorbanan mereka yang telah amat berjasa kepada kita.
Mudah-mudahan Allah swt memberkati segala apa yang kita usahakan.
Catatan: Beruntunglah sesiapa yang ayah dan ibu mereka masih dipanjangkan hayat oleh-NYA. Bersyukurlah . . .
As-Salam, Uda,
ReplyDeleteSama-sama dan amin... amin. Insya-Allah, apabila ilham dikurniakan Allah, akan teman tulis jua.
Teman agak berhati-hati apabila hendak menyebut yang masih ada ibu bapa kerana teman tahu, Uda sudah lama tiada kedua-duanya. Semoga Allah menempatkan kedua-dua ayah bonda Uda di dalam jannah-Nya. Amin.
As-Salam, Uda,
ReplyDeleteTerima kasih atas siaran semula ini. Seperti harapan Uda, semua pembaca yang mengikuti Blog kita beroleh manfaat daripadanya. Amin.
As-Salam adinda Zul,
ReplyDeleteAmin,amin,amin . . . ya Rabbulalamin. Alhamdulillah atas segalanya.
Assalammualaikum
ReplyDeleteSdra Zul,
Penulisan kali ini yang Paling TERBAIKK!
Bukan yg lalu tidak terbaik namun penulisan dan intipati kali ini amat dekat di hati,
semoga kita semuanya khasnya Saya walaupun yatimpiatu namun berusaha untuk menjadi anak solehah utk ayahm&mak yg telah meninggal dan untuk ayah&mak mertua.
Semoga jua Allahswt menerima segala amal kebaikan kita semuanya.
Aminn ya rabb'
As-Salam, Sdr Nur,
ReplyDeleteALhamdulillahi robbil 'alamin dan terima kasih.
Teruskanlah usaha untuk menjadi insan solehah, baik untuk diri, suami, dan anak-anak.
Allahumma amin, amin, amin.
Assalammualaikum
ReplyDeleteSaudara Zul,
kenapa tak post mcm ni kat FB. Setidak-tidaknya anak2 muda boleh ambil tauladan bersama.
As-Salam,
ReplyDeleteTerima kasih. Kdg2, saya rasa anak muda lebih suka yang tdk serius.
Waalaikumusalam
ReplyDeletesdr Zul...hmm, saya masih termasuk anak muda ke?
Tidak semua anak muda tdk cinta akan ilmiah (hal serius), contohnya,
Kami (ceh! Perasan muda jap...hik :), dan myfrendz.
Ramai sebenarnya yg masih cintakan ilmiah ni, tak kira lah agama, hal2 semasa atau kehidupan.
Inshaa Allah.
As-Salam, Sdr Nur
ReplyDeleteAlhamdulillah jika demikian hakikatnya.