Monday, August 27, 2012

Antara Meyakini Syaitan yang Dikenali dengan Malaikat yang Tidak Dikenali

Soal lebih baik meyakini syaitan yang dikenali daripada meyakini malaikat yang tidak dikenali bukan soal kecil, tetapi bukanlah juga soal yang sangat besar. Soal ini menjadi sangat besar, pada pandangan saya, kalau terucap dua/tiga puluh tahun lalu. 

Kalau dua/tiga puluh tahun lalu, sesiapa atau apa-apa pun yang dikiaskannya sebagai syaitan dan malaikat bukanlah penting sangat. Yang penting adalah apabila “malaikat” dikatakannya “bukanlah golongan yang suci kerana kadang-kadang malaikat juga boleh buat banyak perkara salah”. 

Kalau hal ini dikatakannya dua/tiga puluh tahun lalu, saya akan membayangkan perihal Izrail telah tersilap mencabut nyawa makhluk Allah. Yang sepatutnya dicabut ialah nyawa Megat, tetapi kerana “kadang-kadang malaikat juga boleh buat banyak perkara salah”, Izrail telah tercabut akan nyawa  Meor. 

Atau saya pun hendak membayangkan Jibrail telah tersalah hantar wahyu; sepatutnya semua wahyu itu dihantar kepada Ali ibn Abi Talib, tetapi kerana “kadang-kadang malaikat juga boleh buat banyak perkara salah”, wahyu itu tersalah hantar kepada Muhammad ibn Abdullah pula.  

Atau sepatutnya Israfil meniup sangkakalanya selepas kewafatan Muhammad Rasulullah, tetapi kerana “kadang-kadang malaikat juga boleh buat banyak perkara salah”, malaikat itu terlupa hingga kini untuk meniup sangkakala itu kerana menanti Muhammad ibni Abdullah yang lain pula. 

Saya akan berasa resah dan ambil peduli akan hal yang dikatakannya itu kalau hal ini diungkapkannya dua/tiga puluh tahun dahulu. Sekarang, biarkanlah ... disuruh diam pun dia tak akan diam-diam.

Thursday, August 23, 2012

Sambutan Aidilfitri Lebih Utama daripada Qadak dan Qadar Allah?

Hujan lebat pada 21 Ogos 2012 lalu telah menyebabkan berlakunya banjir kilat di beberapa kawasan di sekitar kota raya Kuala Lumpur. Oleh sebab musibah itu berlaku semasa orang Islam sedang menyambut perayaan Aidlfitri, maka ada pihak yang menyorot berita itu sebagai “Banjir Kilat Jejaskan Sambutan Aidilfitri”.
 
Tajuk berita itu seperti suatu rungutan dan gambaran tidak puas hati terhadap hujan yang diturunkan oleh Allah SWT sehingga mengakibatkan berlakunya banjir kilat. Saya tidak pasti akan orang lain, tetapi saya merasakan begitu — hujan yang diturunkan oleh Allah SWT telah menjejaskan sambutan Aidilfitri sebahagian orang di KL. 

Perkataan “menjejaskan” yang digunakan oleh sesetengah pihak itu, pada hemat saya, meletakkan perayaan Aidilfitri lebih utama dan lebih tinggi hingga tidak boleh dikacau-bilaukan oleh apa-apa pun juga, termasuklah qadak dan qadar Allah seperti hujan dan banjir kilat yang ditetapkan berlaku pada 3 Syawal 1433! 

AstaghfirullahalAzim.... 

Kuala Lumpur telah beberapa lama tidak ditimpa hujan sehingga makhluk selain manusia kepanasan dan kekeringan lantas semuanya berdoa dan doa mereka diperkenankan oleh Allah SWT. Hujan yang diturunkan dua tiga jam itu barangkali memadai untuk makhluk itu, dan sepatutnya tidak sampai berlaku banjir kilat!

Malangnya, alam ini telah dirosakkan oleh tangan-tangan manusia hingga menyebabkan hujan yang hanya turun dua tiga jam itu telah mengaramkan kawasan yang dahulunya sukar dikaramkan oleh air hujan. Sulaiman Al-Rajhi, pengasas Bank Al-Rajhi (bank Islam terbesar di dunia), melafazkan kalimat Alhamdulillah apabila kilang perusahaannya terbakar! 

Kita yang di sini berkata sebaliknya. AstaghfirullahalAzim....

Thursday, August 9, 2012

Antara Berbuka di Hotel dengan Mengerjakan Umrah secara Pakej

Menurut kata penceramah yang baru beberapa hari berkesempatan pergi ke Makkah untuk menunaikan umrah pada Ramadan tahun ini, jumlah manusia yang berumrah di sana sama banyaknya dengan jumlah orang yang mengerjakan haji pada musim haji — sesak dan menyesakkan. Hingga demikian, kata beliau, harga sewa bilik hotel yang pada waktu biasa hanya berkadar 400 riyal meningkat kepada 800 riyal! Ibadah sudah menjadi perniagaan, sudah menjadi sumber pendapatan yang besar. Ibadah sudah menjadi matlamat duniawi.

Anda terpaksa mencampakkan RM800 riyal semalam hanya untuk mandi, tidur, kencing berak di hotel bagi membolehkan anda berumrah. Kadar itu merupakan kadar yang dikenakan kepada orang yang mengambil pakej yang sederhana. Yang mengambil pakej VIP/VVIP berapakah pula kadarnya? Haruslah ribuan riyal semalaman. Wajarkah wang ribuan ringgit dicampakkan untuk aktiviti tidur, mandi, kencing berak sahaja?

Suatu ketika dahulu, ada kalangan agamawan yang menegur sikap umat Islam yang cenderung untuk berbuka puasa di hotel pada bulan Ramadan. Perbuatan itu berunsur riyak (walaupun sebenarnya riyak ialah soal hati — kita tidak tahu seseorang itu riyak ataupun sebaliknya), kata mereka, dan menggalakkan pembaziran (kerana bayaran yang dikenakan oleh pihak hotel untuk majlis berbuka puasa sangat tinggi berbanding dengan restoran atau kedai biasa).

Anehnya, mengapakah hal tentang kecenderungan orang mengambil pakej haji atau umrah yang bernilai puluhan dan ratusan ribu ringgit tidak disentuh oleh para agamawan? Tidak tergolong sebagai riyak dan membazirkah hal yang demikian itu? Mengapakah hal tentang makan sahaja yang disentuh oleh mereka sedang hal ini disenyapkan?

Sesetengah orang yang mengambil pakej haji/umrah yang mahal itu pula bukanlah pergi ke sana buat kali pertama melainkan pergi untuk kali kedua malah ada yang pergi untuk kali yang kesepuluh dan puluh-puluh yang lain. Dalam erti kata yang lain, mengerjakan haji/umrah sudah menjadi rutin mereka walaupun haji hanya wajib dilaksanakan sekali!

Hal ini menimbulkan tanda tanya dalam hati kita kerana Allah SWT ada berfirman dalam al-Quran (Surah at-Taubah, ayat 19-20) yang bermaksud:

“Adakah (orang-orang) yang memberikan minuman kepada orang-orang yang mengerjakan haji dan memakmurkan Masjidil Haram kamu samakan dengan orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian serta berjihad di jalan Allah? Mereka tidak sama di sisi Allah; dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim. (Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.

Ayat tersebut dengan jelas menyatakan bahawa berjihad di jalan Allah lebih afdhal (lebih tinggi prioritinya) daripada menjadi pelayan jemaah haji dan menjadi jemaah haji sendiri (orang yang memakmurkan Masjidil Haram). Mungkin ada antara kita yang berfikir, mengapakah Allah meletakkan jihad lebih afdhal daripada mengerjakan haji walhal haji salah satu rukun Islam?

Hal ini berlaku demikian kerana manfaat ibadah haji atau umrah hanya diperoleh oleh diri kita sendiri dan hanya untuk tempoh waktu itu sahaja (sempurna haji atau umrah kita, maka insya-Allah kita akan beroleh pahala-Nya). Hal ini berbeda dengan orang yang beriman yang berjihad di jalan Allah; manfaatnya diperoleh oleh kelompok masyarakat yang lebih luas hingga membolehkan pahala-Nya diperoleh terus-menerus walaupun jasad mereka lumat dimamah bumi dan segala isinya.

Sebagai contohnya, membina sekolah untuk manfaat anak-anak Islam yang miskin merupakan suatu bentuk jihad. Kita beroleh pahala kerana mendirikan sekolah untuk mereka, kita beroleh pahala kerana membolehkan mereka bersekolah, kita beroleh pahala kerana dengan bantuan kita, mereka beroleh ilmu (yang baik), kita beroleh pahala apabila ilmu itu disampaikan mereka kepada orang lain dan dimanfaatkan dari zaman ke zaman! Pahala itu kita peroleh tanpa mengurangi pahala yang diperoleh oleh anak-anak itu.

Jadi, apakah perlunya kita berbelanja besar untuk menunaikan haji/umrah (berkali-kali pula) kalau jihad kita hanya sekadar bijan di celah gigi. Tidak nampak dan tidak sedarkah kita betapa saudara se-Islam kita di Palestin, di Somalia, di Kemboja, di Myanmar (orang Rohingya), di selatan Thai, di selatan Filipina, dll serta saudara se-Islam kita di negara kita sendiri sangat menginginkan bantuan kita?

Kalau kita prihatin dan berhati perut, kita tidak akan tergamak untuk berbuka di hotel-hotel serta hendak membeli-belah di bazar-bazar Ramadan kerana saudara se-Islam kita di Somalia langsung tidak berkesempatan untuk menjamah apa-apa sama ada pada waktu sahur mereka ataupun pada waktu berbuka mereka! Mereka tidak berpeluang untuk membeli-belah di bazar Ramadan kerana bukan mereka tidak berwang tetapi kerana mereka tidak ada makanan.

Kalau kita prihatin dan tahu akan tuntutan agama, kita tidak akan tergamak untuk mengerjakan haji atau umrah berkali-kali apatah lagi hendak bermewah-mewah kerana masih banyak saudara se-Islam kita yang hidup tanpa ilmu dan tertindas. Mereka mendahagai bantuan kita!

Wallahualam....

Tuesday, August 7, 2012

Tidur Sekatil, Makan Semeja tetapi Banyak yang Tidak Diketahui


Anda tinggal sebumbung, makan semeja, tidur sekatil. Selain hubungan kelamin, anda tidak membicarakan hal-hal penting dengan pasangan anda semasa anda sekatil dengannya. Selepas berhubungan kelamin, anda basuh apa-apa yang patut, kemudian anda pun melelapkan mata. Kalau kebetulan nafsu anda dirodok-rodok dan berkehendakkan sasaran, anda membuat hubungan kelamin lagi. Itu sahaja atur cara tidur anda.

Tatkala makan dan sebagainya, hal-hal yang membabitkan masa depan keluarga, peluang-peluang untuk membina kekayaan bersama tidak anda kongsikan dengan pasangan anda. Tidak kira apa-apa pun yang hendak dilakukan oleh pasangan anda demi kesenangan keluarga, anda tidak berminat untuk ambil tahu. Apabila kemudiannya kebetulan pasangan anda beroleh kekayaan, tidak pula anda soal dari mana datangnya kekayaan itu.

Anda bukan suami atau isteri sepenuh masa, tetapi katakanlah bahawa anda salah seorang pengurus negara. Seperti pengurus negara lain, anda diketahui bahawa begitu mengambil berat hal ehwal rakyat; malangnya banyak yang tidak tahu bahawa rupa-rupanya anda tidak tahu akan hal ehwal keluarga anda. Anda tidak tahu bagaimana anak anda menjadi kaya, anda tidak tahu bagaimana pasangan anda boleh menumpukkan kekayaan.

Katakanlah anda ikut menghadiri mesyuarat dalam kalangan pengurus negara. Pelbagai dasar dan perancangan dibicarakan, dimusyawarahkan, dan kemudiannya diputuskan. Malangnya anda tidak tahu apa-apa tentang keputusan musyawarah, mungkin kerana anda sibuk ber-SMS dengan seseorang atau mungkin juga anda tertidur semasa musyawarah itu. Hah, orang yang buat kerja lain semasa musyawarah tidak layak menjadi pengurus negara!

Ah, hari baik, bulan pun barokah, eloklah saya bersangka baik! Saya wajar menerima hakikat bahawa anda memang benar-benar tidak tahu kerana anda tidak diberitahu dan anda sendiri tidak berminat untuk mengambil tahu. Saya wajar menerima hakikat bahawa anda memang tidak sedar bahawa pasangan anda sedang berurusan dengan kerajaan untuk beroleh suatu projek walaupun anda sendiri berada dalam kerajaan yang bakal berkata ya atau tidak terhadap urusan itu.

Tidak kiralah betapa perahsia sekalipun pasangan anda, kalau anda pengurus negara, anda perlu mengorek rahsianya. Tidak cukup sekadar mengetahui rahsia kehebatannya semasa anda melakukan hubungan kelamin dengannya.

Friday, August 3, 2012

Bermain untuk Kalah Bukan Idealisme Sukan

Mata alamat (Matlamat) sesuatu kejohanan sukan sangat murni, iaitu untuk melahirkan perpaduan, persahabatan, semangat setia kawan, dan sebagainya dalam suatu perhimpunan besar yang melibatkan manusia (peserta/atlet/pegawai) dari semua bangsa yang menghuni sesebuah negara. Hingga demikian, lahirlah istilah “sporting spirit” atau dalam bahasa Melayunya disebut sebagai “semangat kesukanan” bagi menggambarkan suatu bentuk semangat yang menjurus ke arah perpaduan dan kesetiakawanan yang dapat dilahirkan daripada perhimpunan sukan.

Walau bagaimanapun, adakah idealisme itu benar-benar terealisasi melalui mana-mana kejohanan sukan, sama ada yang berskala kecil atau yang berskala besar? Adakah para peserta/atlet yang terlibat dalam mana-mana upacara sukan bersaing secara sihat dalam merealisasikan keinginan untuk beroleh kejayaan? Adakah pegawai-pegawai yang diberi autoriti oleh negara masing-masing untuk mengendalikan para peserta/atlet mereka benar-benar menjunjung matlamat murni itu? Berapa banyak peserta/atlet/pegawaikah yang mementingkan persaingan daripada kemenangan?

Sebenarnya, matlamat/idealisme itu sudah semakin menipis kerana kebanyakan negara dan peserta/atlet yang terlibat dalam mana-mana kejohanan sukan besar kecil tidak lagi menekankan aspek persaingan yang sihat, sebaliknya lebih menekankan aspek ganjaran/kemenangan – emas perak gangsa, piala serta wang ringgit. Idealisme Pierre de Coubertin (Bapa Sukan Olimpik Moden) – The important thing in life is not the triumph but the struggle, the essential thing is not to have conquered but to have fought well” – sudah kelihatan janggal!

Pierre de Coubertin
Hal mengesampingkan semangat dan mendahulukan keputusan bukan perkara baharu. Pada Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 1982, misalnya, pasukan Jerman dan Austria telah mengatur perlawanan dalam perlawanan peringkat kumpulan. Austria (4 mata) telah merelakan “dirinya” kalah 0-1 di tangan Jerman (2 mata) bagi membolehkan Jerman mengutip 4 mata sekali gus menyekat peluang Algeria (4 mata juga) untuk bermain pada pusingan seterusnya. Algeria tersingkir melalui perbedaan jaringan gol. Kebetulan Jerman kalah di tangan Algeria sebelum itu.

Walau bagaimanapun, keakuran terhadap idealisme de Coubertin itu pernah kita saksikan pada Sukan Olimpik XIX di Mexico (1968). John Stephen Akhwari, atlet maraton dari Tanzania telah terjatuh semasa berlari. Kakinya tercedera. Dalam keadaan kaki yang berdarah dan berbalut (lututnya terkehel), beliau terus berlari untuk menamatkan perlumbaan tatkala stadium hampir kosong dan hari menjengah malam. Beliau menjelaskan sebab-musabab beliau meneruskan lariannya walaupun tercedera: “My country did not send me 5,000 miles to start a race, they sent me to finish it”.

Keakuran terhadap idealisme de Coubertin terlihat juga pada Sukan Olimpik XXIII di LA (1984). Gabrielle Andersen-Scheiss, pelari maraton wanita dari Switzerland mengalami masalah dahaga dan kepanasan semasa berlari. Masalah itu memburuk apabila beliau melepasi sebuah terowong, namun masalah itu dihadapinya dengan semangat jitu. Dia terus berlari (berjalan sebenarnya) dalam kepayahan, terhuyung-hayang semasa masuk ke dalam Los Angeles Memorial Coliseum untuk menamatkan saingannya di tempat ke-37. Penonton memberikan tepukan gemuruh kepada beliau!

Tetapi, pada Sukan Olimpik XXX yang sedang berlangsung di London sekarang, idealisme de Coubertin telah dipersendakan oleh atlet badminton (wanita) hingga memaksa pihak BWF membatalkan/menyingkirkan penyertaan mereka. Tindakan ini diambil terhadap pasangan regu dari Korea Selatan (2), China (1) dan Indonesia (1) kerana mereka (atelt-atlet itu) bermain untuk kalah bagi mengelakkan bertemu dengan seteru yang sukar pada pusingan seterusnya. Tentulah yang memainkan peranan di balik tindakan atlet-atlet itu pegawai-pegawai pasukan mereka!

Setiap atlet perlu sedar bahawa para penonton mengeluarkan modal untuk menyaksikan mereka bermain. Sama ada para penonton menyokong mereka ataupun sebaliknya, atlet wajib memperlihatkan sesuatu yang istimewa yang ada dalam diri mereka hingga penonton sanggup berbelanja untuk menyaksikan mereka bermain. Persaingan dalam sukan merupakan suatu cara penonton hendak meredakan dan melupakan tekanan yang dihadapi oleh mereka dalam kehidupan harian mereka. Penonton ingin bergembira, penonton ingin berhibur.

Malangnya, sesuatu yang hebat yang diharap-harapkan oleh penonton daripada para atlet bertukar sebaliknya. Penonton telah ditipu dan dipersendakan oleh atlet-atlet badminton itu. Atlet-atlet itu bermain dengan sambalewa (seperti berlatih), sengaja memukul bola ke jaring, memukul bola keluar gelanggang, membiarkan bulu tangkis yang biasanya tiada masalah untuk dibalas, dan sebagainya. Orang-orang seperti ini telah menghancurkan idealisme sukan. Tidak kira siapa yang bakal ditentang, mereka sepatutnya bermain dengan sungguh-sungguh!

Kalau takut kalah, jangan bersaing di Olimpik! Lamun takut dilanggar batang, jangan berumah di kepala pulau, kata peribahasa Melayu. Pada hemat saya, para pegawai yang mengatur perancangan/strategi buruk yang demikian itu serta atlet-atlet yang menjadi mak turut kepada pegawai terbabit telah mengaibkan negara mereka. Mereka wajar dikenakan hukuman oleh pihak tertinggi di negara mereka. Mereka ini, pada hemat saya, sama jahatnya dengan orang yang bermain untuk kalah setelah dirasuahi oleh pihak tertentu, atau mungkin lebih jahat lagi.

Wednesday, August 1, 2012

Kerajaan: Berikanlah Bonus kepada Rakyat yang Lain Juga

Kalaulah pada setiap hari perayaan — Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji, Tahun Baharu Cina, Deepavali, dan Krismas (termasuklah Hari Gawai dan Kaamatan) — kerajaan yang memerintah sekarang lebih murah hati, tentu rakyat akan lebih gembira. Kita bukan mengharapkan kerajaan menurunkan harga gula, tepung, beras, pulut, minyak masak, dan bahan-bahan keperluan lain supaya beban kos hidup rakyat dalam tempoh menghadapi perayaan dapat direndahkan. Kita tidak mengharapkan yang demikian kerana kita tahu bahawa kerajaan sukar untuk berbuat demikian kerana bahan-bahan itu, betapapun diturunkan harganya, tetap akan berlaku tipu helah dalam kalangan peniaga bagi mengaut keuntungan daripada penjualan barang-barang itu.

Kemurahan hati kerajaan memberikan bonus kepada kakitangan awam ada impak besarnya — kenaikan harga barang (walaupun dinafikan oleh menteri yang berkaitan kepenggunaan). Kerana berlaku kenaikan harga barang, pemberian bonus RM500.00 kepada segolongan orang akan membolehkan peniaga beroleh “bonus” daripada semua orang. Hal ini bermaksud bahawa semua orang akan terbeban oleh kemurahan hati kerajaan itu kerana seperti yang saya katakan tadi, para peniaga pasti akan menaikkan harga jualan barang-barang yang diniagakan oleh mereka. Jadi, bagaimanakah kerajaan dapat membantu semua orang untuk menghadapi kenaikan kos sara hidup yang tiba-tiba itu?

Alangkah moleknya kalau kerajaan dapat menurunkan harga runcit petrol dan diesel untuk tempoh dua tiga hari pada musim-musim perayaan seperti sekarang! Alangkah eloknya kalau kerajaan “memaksa” semua pengendali lebuh raya menurunkan kadar bayaran tol mereka untuk tempoh dua tiga hari pada musim-musim perayaan ini! Ya, benar, penurunan harga petrol diesel tol masih tidak dapat dinikmati oleh semua rakyat, tetapi usaha itu lebih baik daripada cuma memberikan nikmat kepada segelintir orang sahaja. Yang beroleh bonus ribuan orang sahaja, tetapi yang beroleh manfaat daripada penurunan harga petrol diesel dan kadar tol itu mungkin jutaan orang!

Kita tidak mengharapkan kerajaan menurunkan harga petrol diesel sampai dua puluh sen, malah kita juga tidak mengharapkan kerajaan menurunkannya pada kadar lima sen pun! Cukuplah kalau kerajaan dapat menurunkan harganya sebanyak dua atau tiga sen untuk tempoh dua tiga hari. Setidak-tidaknya, kos perjalanan rakyat dapat dikurangkan dalam tempoh hari perayaan ini. Begitu juga halnya dengan kadar tol. Cukuplah sudah kerajaan membiarkan pengendali tol hanya memperlihatkan kemurahan hatinya untuk tempoh tengah malam sahaja (pengendali tol selalunya memberikan rebat/pelepasan tertentu untuk tempoh tengah malam hingga awal pagi sahaja). Unsur pembodohan yang menggalakkan orang menggunakan lebuh raya pada waktu malam hingga kemudiannya menambah jumlah kemalangan di jalan raya haruslah dinoktahkan. Gunakanlah kaedah lain yang manfaatnya lebih menyeluruh.

Begitulah antara lain harapan kita. Harapan belum tentu menjadi kenyataan. Yang menjadi kenyataan pula selalunya bukan yang kita harap-harapkan. Tidak mengapa, yang penting, jangan berhenti berharap walaupun harapan itu harapan yang sama sejak puluhan tahun lalu dan mungkin puluhan tahun akan datang. Kalau kerajaan yang sama tidak dapat menunaikan harapan kita, kita harap ada kerajaan lain yang dapat menunaikannya, pada tempoh yang lain kelak.