Wednesday, March 31, 2010

Menjadi Takut

Saya yakin, kebanyakan rakyat Malaysia sudah mendengar khabar perihal diri Mior Ahmad Fuad Mior Badri yang kini sedang koma dan ditempatkan di ICU Hospital Selayang. Beliau pelawak dan penyampai radio ERA dan lebih terkenal dengan nama Din Beramboi.

Beliau sampai ditempatkan di ICU di Hospital Selayang itu kerana dipercayai terjangkit oleh kuman air kencing tikus dan menghidap demam denggi berdarah. Keadaannya agak kritikal – buah pinggangnya dikatakan gagal untuk berfungsi malah beliau mengalami pendarahan di dalam badan. Cara-cara beliau dijangkiti masih belum dapat dikenal pasti.

Ya, Allah! Sebagai insan yang tergolong sebagai pengamal budaya “makan luar” (maksud saya menjamu selera di luar rumah), saya sangat takut. Jika hal ini benar, saya mula terfikir – begitu sekalikah berbahayanya tikus kepada kesihatan manusia. Kalaulah kita andaikan insan yang bergelar Din Beramboi itu dijangkiti oleh kuman air kencing tikus melalui makanan – mungkin melalui makanan yang dibelinya di pasar-pasar raya dan lain-lain (walaupun dipeketkan dan dibungkus) atau ketika menikmati makanan di kedai-kedai makanan – hal ini sangat perlu kita ambil berat.

Sebagai insan yang tergolong sebagai pengamal budaya “makan luar”, saya biasa melihat tikus berkeliaran di beberapa buah tempat saya menjamu selera. Malah, di sebuah medan selera (kini sudah dirobohkan) di tempat saya , saya biasa melihat tikus berlari-larian di kerangka besi yang menyokong bumbung medan selera itu (tidak bersiling). Yang berlari-larian di lantai di bahagian belakang kedai memang sesuatu yang biasa. Tentulah tikus itu berkuman. Bagaimanakah nasib pelanggan jika pada waktu itu kuman-kuman pada tikus itu menjangkiti makanan dan minuman pelanggan dan seterusnya ditelan oleh pelanggan?

Pihak peniaga perlu menjaga kebersihan kawasan perniagaan mereka. Pihak berkuasa kesihatan perlu memantau aspek penjagaan kesihatan ini. Yang lebih penting, diri kita sendiri perlulah memastikan keselamatan kita. Berwaspadalah dengan gerai pilihan kita. Lebih daripada itu, kediaman kita sendiri mestilah berada dalam keadaan yang “bebas tikus”, “bebas aedes”, “bebas lipas”, dan sebagainya kerana kuman sedemikian tidak semestinya menjangkiti kita semasa kita menjamu selera di luar. Kalau kediaman kita bertikus, kita juga berdepan dengan risiko ini.

Sesungguhnya, semuanya bermula daripada kita.

Untuk Mior Ahmad Fuad Mior Badri @ Din Beramboi, kami bermohon ke hadrat-Mu, ya Allah, Engkau kembalikanlah kesihatan insan yang lemah yang bernama Mior Ahmad Fuad Mior Badri @ Din Beramboi itu seperti sediakala. Berikanlah kekuatan dan ketabahan kepadanya serta kepada ahli keluarganya dalam mendepani ujian-Mu ini, ya Allah. Berikanlah petunjuk dan hidayah-Mu kepadanya dan jadikanlah Mior Ahmad Fuad Mior Badri @ Din Beramboi sebagai insan yang senantiasa memohon keampunan-Mu, ya Allah. Ya Allah, janganlah Engkau pisahkan dia daripada kami, khususnya daripada kaum keluarganya seandainya yang demikian itu lebih baik untuk dirinya dan diri kami, ya Allah. Allahumma Amin.

Tuesday, March 30, 2010

Benarkah Memang Demikian Sikap Manusia?

Orang selalu akan bersikap anti terhadap orang yang menyentuh apa-apa hal yang berkaitan dengan orang disukainya (dipercayai, dihormati, disayangi, dll). Sebagai contohnya, seseorang (katakan si A) yang mencela bapa seseorang yang lain (katakan si B), akan menjadi sasaran kebencian si B kerana si B sangat suka (percaya, hormat, sayang, dll) akan bapanya. Sikap manusia memang demikian.

Dalam konteks yang lebih luas, penganut Islam akan marah apabila agama mereka yang diakui oleh al-Quran sebagai agama samawi yang lurus dan betul, yang diterima oleh Allah SWT, dipersenda-sendakan. Penganut Islam juga akan marah apabila peribadi nabi mereka, Muhammad SAW yang maksum itu, menjadi sendaan penganut lain. Baru-baru ini, Lars Vilks (pelukis Sweden), misalnya, menjadi sasaran kemarahan umat Islam kerana dia telah yang menghina Nabi Muhammad SAW dengan membuat lakaran tubuh Rasulullah SAW seperti anjing. Sudah timbul saranan supaya masyarakat Islam di seluruh dunia memulaukan barangan Sweden berikutan perbuatan bodoh dan keterlaluan Lars Vilks itu.

Dalam konteks negara, banyak orang yang marah apabila tokoh pujaan mereka dihina. Pengikut dan pengagum Tun Dr. Mahathir marah apabila negarawan itu dikutuk dan dilabel dengan pelbagai gelaran, Maha Firaun, misalnya. Pengikut dan pencinta Datuk Seri Anwar Ibrahim marah dan mengutuk Saiful Bahari (yang mendakwa diliwat Datuk Seri Anwar) kerana mereka mendakwa Saiful Bahri telah memfitnah tokoh kesayangan mereka itu. Sikap manusia memang demikian.

Suatu ketika dahulu, teman saya telah meludah kereta yang diparkir di tepi jalan kerana benci akan logo UMNO yang terlekat pada skrin depan kereta itu. (Sesungguhnya, saya berasa pelik akan perbuatannya itu.) Pada suatu hari, saya berbual-bual dengan seorang “teman segera” yang sama-sama menghantar kenderaan untuk dijajarkan rodanya di sebuah kedai di Semenyih. (Sebenarnya, saya kenal akan “teman segera” itu – pada waktu itu beliau AJK UMNO Bahagian Hulu Langat.) Perihal rakan saya meludah kenderaan yang berlogo UMNO itu telah menjadi sebahagian daripada isi dalam “perbualan kosong” saya dengannya. Tujuan saya adalah untuk menguji pendiriannya. Ternyata beliau marah, sangat marah walaupun perbuatan rakan saya itu hanya didengarnya menerusi mulut saya. Saya faham akan perasaannya itu. Sikap manusia memang demikian.

Begitulah, secara mudahnya, manusia memang suka memaki hamun, mencela, mencaci, dan menista orang, meletakkan sesuatu gelaran yang tidak patut kepada orang yang tidak disukainya – “Ketupat”, “Maha Firaun”, “al-Juburi”, “Katak”, “Firaun Kecil”, “Little Napoleon”, dan sebagainya – seolah-olah orang yang dimaki hamun, dicela, dicaci, dan dinista serta diletakkan dengan sesuatu gelaran itu tidak tahu untuk melakukan perbuatan yang sama.

Alangkah moleknya kalau setiap orang berbeza pandangan dan pendirian tanpa menggelarkan dan menggambarkan orang lain dengan apa-apa gelaran dan gambaran yang jelik-jelik! Alangkah eloknya kalau mereka berbeza pandangan dengan cara yang sihat! Alangkah eloknya kalau dalam mana-mana media, termasuk dalam blog, orang tidak melakukan perbuatan buruk itu! Ingatlah, orang-orang yang dimaki hamun, dicela, dicaci, dan dinista serta diletakkan dan digambarkan dengan sesuatu gelaran dan gambaran itu mempunyai ahli keluarga. Maki hamun, celaan, cacian, dan penistaan serta gelaran dan gambaran yang tidak patut itu akan melukakan hati keluarga mereka. Mengapakah dicetuskan permusuhan padahal sudah diketahui persahabatan mewujudkan keamananan dan kesejahteraan? Mengapakah disuburkan sikap anti ini?

Monday, March 29, 2010

Demi Maruah, Buang Anak

Masalah buang anak asalnya berkait dengan persoalan maruah. Si pelaku buang anak (selalunya perempuan muda) membuang anak yang dilahirkan kerana tidak mahu orang lain tahu bahawa dia mengandungkan dan melahirkan anak yang terkategori sebagai “anak tidak sah taraf”. Dia sedar bahawa jika ada orang lain yang tahu akan hal itu, dia akan dihina oleh masyarakat lalu maruah diri dan maruah keluarganya akan tercalar. Maruah itu sangat dijaganya, cuba untuk ditutup serapat-rapatnya. (Memang ada sebab lain orang membuang anak – kemiskinan diri, kecacatan bayi, dan sebagainya, tetapi faktor ini sangat kecil.)

Usaha untuk memelihara maruah oleh gadis-gadis (mungkin juga pasangan gadis itu, lelaki tentunya), malangnya tidak bermula dari awal. Mereka tidak menjaganya sebelum mereka melakukan sesuatu yang memungkinkan munculnya seseorang anak tidak sah taraf itu. Dalam konteks ini, mereka langsung tidak menjaga nafsu mereka daripada melakukan perbuatan yang sangat dimurkai Allah – zina.

Kalau maruahlah yang hendak dijaga, maka setiap pelaku buang anak yang sebelumnya merupakan pelaku zina, haruslah menjaga maruahnya sebagai penganut sesuatu agama. Mereka perlu ingat, penganut yang bermaruah ialah penganut yang menjaga maruah agama yang dianutinya. Menjaga maruah agama tidaklah sukar – patuhi sahaja ajarannya. Ikhlaskan diri, tutuplah aurat, peliharalah pancaindera. Yang mengghairahkan pada diri jangan dipertontonkan tetapi dilindungilah. Aurat hendaklah ditutup bukan dibungkus!

Gejala buang bayi ini haruslah diselidiki puncanya. Jika pergaulan seks bebas (zina) menjadi puncanya, konsep yang menjadi asas dalam Islam – menutup pintu kerosakan – haruslah dipraktikkan. Dalam konteks negara kita, yang tergolong sebagai pintu-pintu kerosakan yang dapat menjuruskan orang terlibat dalam gejala pembuangan bayi termasuklah kewujudan pusat-pusat hiburan, penyiaran iklan yang mengghairahkan, pendedahan aurat, dan pergaulan bebas. Hal ini bermakna, pintu-pintu itu harus ditutup, khususnya kepada orang Islam.

Seterusnya, kembalilah kepada hukum yang ditetapkan Allah, iaitu hukuman yang mempunyai roh, hukuman yang dapat mewujudkan rasa gerun ke dalam diri orang yang berhajat hendak melakukan maksiat. Jalankan hukuman sebat, laksanakan hukuman rejam, lakukan hukuman pancung.

Ketua Polis Negara sampai meminta mana-mana Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) menubuhkan pasukan khas jika berlakunya kejadian pembuangan bayi. Hal ini, kata beliau, perlu dilakukan bagi mengesan individu yang terlibat dengan perbuatan itu. Idea dan permintaan itu baik – supaya si binatang berperilaku jahiliah itu dapat dihukum. Tetapi, tindakan itu hanya kepada si pembuang bayi. Kepada si pelaku-pelaku zina yang memungkinkan kemunculan anak-anak tidak sah taraf yang kemudiannya dibuang seperti anak-anak mainan, pihak manakah yang akan memantaunya?

Kita telah kerap mendengar kecaman demi kecaman yang dilontarkan oleh pelbagai pihak kepada si pelaku buang anak ini tetapi jumlah bayi yang dibuang tidak juga berkurang. Hudud apakah khabarnya?

Friday, March 26, 2010

Keras, Tegas, Jujur, Benar, Tanpa Berselindung

Anda pernah berkunjung ke Negara Brunei Darussalam? Saya pernah ke sana pada tahun 1995 atas urusan kerja selama lima hari. Saya tidak dapat “melata” ke banyak tempat di negara itu, maka tidaklah saya ketahui “rupa paras” negara Islam itu.

Yang pasti, pada waktu itu, Negara Brunei Darussalam bukanlah destinasi yang sesuai untuk orang berseronok-seronok – pusat karaoke pun tidak ada. Saya cuma berkesempatan dibawa rakan saya, Haji Abdul Rahman Hussin dan Pangeran Abas, ke Jerudong Park yang agak luas dan percuma itu.

Saya difahamkan, negara itu mengutamakan Islam. Unsur-unsur yang dapat menjuruskan orang Islam ke arah kemaksiatan tidak dibenarkan wujud. Dalam hal berkaitan bahasa, tulisan Jawi masih menjadi keutamaan.

Selepas 15 tahun berlalu, penekanan terhadap Islam oleh pihak pemerintah di negara itu begitu terserlah. (Tidak ada Islam Hadhari dan yang seumpama dengannya.) Hal ini dibuktikan oleh Menteri Hal Ehwal Agamanya – Ustaz Dr. Haji Md. Zain bin Haji Serudin – baru-baru ini apabila salah seorang anggota Parlimennya yang berbangsa Cina – Encik Goh King Chin – mengemukakan suatu idea, iaitu diwujudkan suatu Zon Alkohol yang dikhaskan untuk pelancong bukan Islam bagi menarik kedatangan pelancong.

Idea itu ditentang oleh beliau dengan keras, tegas, tetapi jujur, benar, dan tanpa berselindung-selindung. Penentangan itu bukan diucapkan beliau semasa berkempen dalam pilihan raya atau dalam perhimpunan parti tetapi di dalam Parlimen di negaranya. (Untuk kita menyaksikan penentangan seumpama itu berlaku di di dalam Parlimen di negara kita, rasa saya mustahil – celik mata kita tatkala mati.)

Perlu ditegaskan bahawa undang-undang Negara Brunei Darussalam mengharamkan penjualan dan pengambilan alkohol di khalayak ramai. Walau bagaimanapun, orang bukan Islam boleh membawa minuman beralkohol dalam jumlah yang dihadkan untuk kegunaan peribadi.

Menteri itu menegaskan bahawa pewujudan zon itu akan mencemarkan reputasi Brunei sebagai sebuah negara yang patuh kepada ajaran Islam malah sengaja mengundang kemurkaan Allah SWT.

“Kemurkaan Allah bukan hanya datang kepada yang melakukan (kesalahan), malah kepada yang lain (juga).

“Pelancong yang mahu minum arak boleh melakukan demikian secara bebas di negara mereka – mereka bukan sahaja boleh meminumnya, malah mereka boleh bermandi-manda dengannya,” kata beliau.

“Hari ini mereka minta (kewujudan) zon ini, kemudian mereka mungkin mahukan kelab-kelab (malam), kemudian apa lagi? Zon pelacuran? Kemudian zon kasino? Inilah sebabnya kita perlu menentang dan mengekalkan Brunei sebagai sebuah negara aman yang digelar Darussalam. Kami perlu tolak semuanya dan kekalkan kemakmuran.” Itulah antara lontaran ucapan beliau.

Dengan ucapan yang sedemikian, pada hemat saya, Menteri itu sangat sesuai digolongkan sebagai seorang yang tegas, jujur, benar, dan tidak berselindung-selindung. Dapatkah kita temukan menteri Melayu-Islam yang sedemikian di negara kita yang tercinta ini, khususnya Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam? Kita kena bermimpi dulu.

Seorang sahabat blogger kita berkata bahawa (berdasarkan persidangan Parlimen yang berlaku sekarang), Parlimen kita ada kalanya macam sarkas!

Thursday, March 25, 2010

Diploma dengan Ijazah Pun Susah Nak Bezakan

Anda tahu apakah bezanya IJAZAH dengan DIPLOMA? Saya kurang tahu. Saya tidak dapat membezakannya.

Saya berharap agar saya tidak bersendirian dalam hal ini. Saya berharap agar ada orang lain yang lebih kurang sama jahilnya dengan saya dalam hal ini.

Harap-harap tidak adalah daripada kalangan sahabat saya di dunia maya ini yang mengaku memiliki diploma sedangkan tahap tertinggi pencapaian hanya takat SPM atau STPM. Lebih-lebih lagi, saya tidak mahu ada sahabat saya yang mengaku memiliki ijazah walhal pencapaian tertingginya hanya takat diploma.

Berbalik tentang kejahilan saya itu, rupa-rupanya saya tidak bersendirian. Peguam R. Sivarasa sudah memberitahukan hal ini kepada saya, bukan secara langsung, tetapi melalui http://www.malaysiakini.com/news/127376.

Ada orang yang jauh lebih hebat daripada saya yang tidak dapat membezakan diploma dengan ijazah. Malah, hal yang saya harap-harapkan tidak berlaku, iaitu jangan ada orang yang mengaku ada ijazah walhal tahap pencapaian hanya takat diploma, berlaku juga.

Saudara sudah diberitahu oleh R. Sivarasa? Kalau belum, ayuh ke sana!

Apakah Kesudahannya?

Tambah kronik jadinya masalah yang melanda institusi raja di Kelantan. Sekejap tadi diberitakan bahawa tugas Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja Kelantan ditamatkan dengan serta-merta. Kini, tugas itu telah diserahkan kepada Pengerusi Majlis Perajaan Kelantan, Tengku Abdul Aziz Tengku Hamzah. Begitulah yang diisytiharkan oleh Setiausaha sulit Sultan Kelantan, Datuk Wan Hashim Wan Daud sekitar jam 11.45 pagi tadi.

(Sumber daripada Berita Harian)

Monday, March 15, 2010

Chong Wei, Kenichi Tago, dan Boon Heong

Sebagai peminat badminton dan rakyat Malaysia, kejayaan Datuk Lee Chong Wei menjadi juara perseorangan Kejohanan All England 2010 (Edisi ke-100) memang sangat membanggakan saya. Malah, YAB Perdana Menteri sendiri berasa bangga dan telah menghubungi Chong Wei sejurus selepas kemenangan beliau itu. (Pemain Malaysia terakhir yang menjadi juara perseorangan Kejohanan All England ialah Mohd. Hafiz Hashim. Beliau menjadi juara kategori itu pada tahun 2003.)

Pemain yang ditundukkan oleh Datuk Lee Chong Wei pada perlawanan akhir perseorangan Kejohanan All England itu ialah pemain bukan pilihan dari negara Jepun, Kenichi Tago. Beliau mengambil masa 47 minit untuk mengalahkan Tago dengan mata 21-19, 21-19. Tago seperti jelmaan Taufik Hidayat semasa pemain Indonesia itu berada pada zaman puncaknya. Hal ini diakui oleh para pengulas perlawanan Tago-Bao Chunlai pada peringkat separuh akhir kejohanan itu. Untuk mara ke perlawanan akhir, Tago telah mengalahkan beberapa orang pemain pilihan:

Pusingan pertama: Nguyen Tien Minh (Vietnam), pilihan ke-7 – 21-10, 21-17
Pusingan kedua: Joachim Persson (Denmark) – 22-24, 21-15, 21-8
Peringkat suku akhir: Chen Jin (China), pilihan ke-3 – 22-20, 19-21, 21-13
Peringkat separuh akhir: Bao Chunlai (China), pilihan ke-6 – 18-21, 22-20, 21-18

Berdasarkan semua keputusan itu, Tago bukan calang-calang pemain muda. Saya yakin, rakyat Malaysia yang menyaksikan perlawanan itu (termasuk YAB PM sendiri) mengakui hakikat itu. Sebagai pemain muda, Tago sangat tenang, bijak menyerap tekanan, pantas berfikir, dan berkemahiran tinggi, sehingga menyukarkan Chong Wei untuk memperlihatkan permainan terbaiknya. Malah, jika anda menyaksikan perlawanan peringkat separuh akhir, Bao Chunlai yang ditentang Tago tidak dapat bertindak dan bermain mengikut kehendak dan corak permainan sendiri dan akhirnya Chunlai kalah. Tago berpotensi untuk menjadi pemain ternama dunia, lebih-lebih lagi kalau beliau dapat meniru kepantasan Taufik serta kekuatan back-hand smash Taufik dahulu.

Dengan kemenangan Chong Wei itu, beliau telah menambahkan koleksi kejuaraannya kepada tiga pada tahun ini. Sebelum ini, pada bulan Januari lalu, beliau telah memenangi kejuaraan Terbuka Malaysia dan Terbuka Korea Selatan. Banyak pihak yang berkata, beliau menang dua kejohanan awal itu kerana ketiadaan Lin Dan, tetapi pada Kejohanan All England ini, terbukti bahawa Lin Dan bukanlah ancaman kepada beliau kerana sesiapa pun dapat mengalahkan pemain China itu.

Selepas ini, Chong Wei akan bermain di Terbuka Switzerland yang akan berlangsung pada 16-21 Mac ini. Beliau merupakan juara bertahan kejohanan itu. Pada tahun ini, jika Chong Wei menang perlawanan pusingan pertama menentang Du Pengyu (China), beliau sekali lagi akan bertemu dengan Tago di pusingan kedua, jika pemain Jepun itu dapat mengalahkan Chetan Anand (India).

Tahniah dan Syabas, Chong Wei! Kita berharap agar Chong Wei tidak menjadikan Kejohanan All England sebagai puncak kecemerlangannya untuk tahun ini. Beliau harus meneruskan momentum kejayaan tersebut, khususnya untuk kejohanan Piala Thomas yang berlangsung pada 9-16 Mei di Kuala Lumpur nanti. Untuk membuktikan dirinya jagoan sepanjang zaman dalam arena badminton negara, beliau harus memasukkan kejuaraan Piala Thomas dan Sukan Olimpik ke dalam koleksi kejuaraannya.

Di pihak BAM, kita perlu mencari pemain pelapis secemerlang Chong Wei dengan segera. BAM perlu segera mencari pemain muda seperti Tago – tenang, berkemahiran, dan pantas berfikir.

Dalam perkembangan lain, pemain beregu negara, Tan Boon Heong tercatat dalam Guinness Book of World Records sebagai pemain yang mempunyai rejaman (smash) paling laju, iaitu 421 km/j. Beliau telah menerima sijil pencapaiannya itu daripada pengasas Yonex, Minoru Yoneyama. Syabas, Boon Heong! Jangan kalah lagi!

Friday, March 12, 2010

Jangan Takut Mendepani Kematian yang Setia Menunggu Kita

Bermula dari 26 Februari lalu sehingga hari ini, banyak orang yang saya kenal, sesetengahnya agak rapat, dijemput Allah ke Alam Baqa. Mula-mula (26 Februari 2010, Jumaat) ibu saudara saya, Hajah Saptiah binti Moid yang saya panggil Mak Anjang, kemudian (28 Februari 2010, Ahad) rakan saya Cikgu Mansor Ibrahim (bekas guru dan pelukis yang popular dalam kalangan penerbit), selepas itu (7 Mac 2010) nenek saudara saya yang saya panggil Opah Anjang, dan hari ini (12 Mac 2010, Jumaat) ibu kawan saya, Sdr Osman Bador. Tiga arwah yang pertama tidak sempat saya ziarahi jenazah mereka kerana saya berada di luar kawasan. Ibu kepada teman saya ini belum tentu dapat saya ziarahi jenazahnya kerana saya bertugas dan dia meninggal dunia di Tampin. Al-Fatihah untuk mereka. Saya akan terus berdoa agar roh mereka mendapat rahmat Allah SWT dan terhimpun dalam kalangan orang yang beriman.

Semasa di sekolah menengah dahulu, ustaz saya berkata bahawa MAUT seperti lubang besar yang tersembunyi di laluan kita. Lubang itu tetap di situ. Baik orang tua mahupun orang muda, akan terus berjalan mendekatinya untuk kemudiannya terperlus ke dalamnya. Bunga gugur, putik pun gugur, begitulah peribahasa Melayu menggambarkan hal ini. Maksudnya, semua orang, tidak kira usianya, akan menemui ajal.

Kita yang masih dapat menghirup udara dengan bantuan nyawa, seharusnya memanfaatkan hayat ini dengan sebaik-baiknya dengan berpandukan petunjuk yang digariskan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya. Janganlah kita takut akan kematian kerana kematian itu lebih baik daripada kehidupan di dunia. Allah berfirman dalam surah Adh-Dhuha, ayat 4 yang bermaksud:

Sesungguhnya akhirat itu lebih baik untukmu daripada dunia.”

Baik orang yang mentaati suruhan Allah SWT mahupun orang yang sambalewa terhadap suruhan-Nya, semuanya mengidamkan SYURGA. Walau bagaimanapun, ada sebilangan daripada mereka yang gentar untuk menghadapi mati walhal tidak mungkin orang akan dapat masuk ke syurga sebelum menempuh kematian. Mati dahulu baru dapat memasuki syurga.

Bertenanglah wahai teman taulan sekalian, selagi kita memang insan yang benar-benar patuh akan suruhan-Nya, kematian bukanlah satu “sosok” yang harus ditakuti. Perhatikanlah ayat-ayat Allah dalam surah-surah yang berikut ini:
  • Surah Fussilat, ayat 30 yang bermaksud:
Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan bahawa Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka (dengan mengatakan), ‘Janganlah kamu berasa takut dan jangan pula bersedih, serta bergembiralah dengan syurga yang dijanjikan oleh Allah kepada kamu’.”
  • Surah Ali Imran, ayat 169 yang bermaksud:

Janganlah kamu menduga bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati, tetapi mereka itu hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki.”

  • Surah Al-Baqarah, ayat 154 yang bermaksud:

Janganlah kamu mengatakan terhadap orang-orang yang meninggal di jalan Allah bahawamereka itu telah mati’, sebenarnya mereka hidup, tetapi kamu tidak menyedarinya’.”

Bersabarlah dan teruskanlah membuat persediaan untuk ke situ.

Badminton All England

Dalam Kejohanan All England yang berlangsung di National Indoor Arena (NIA), Birmingham, pemain perseorangan lelaki utama negara yang juga merupakan pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, berjaya menepis badi kekalahan yang sering menyinggahinya apabila berdepan dengan pemain Indonesia yang bernama Sony Dwi Kuncoro . Pada kali ini, dia berjaya menewaskan pemain itu dengan kemenangan terus 21-11, 21-17. Kemenangan itu melayakkannya untuk bertarung pada peringkat suku akhir bagi melayan pemain muda Korea Selatan, Shon Wan Ho. Pemain muda Korea Selatan itu bermain di saingan utama setelah memenangi dua perlawanan pada peringkat kelayakan. Pada pusingan pertama saingan utama, Shon telah mengalahkan Chan Yan Kit (Hong Kong) dengan mata 21-13, 17-21, 21-18 manakala pada pusingan kedua, dia telah mengalahkan pemain muda yang sedang meningkat naik dari China, Chen Long, dengan keputusan 21-18, 18-21, 21-19.

Seperti yang diramalkan, Mohd. Hafiz Hashim tidak dapat menewaskan pemain nombor dua dunia dari China, Lin Dan. Hafiz kalah dalam perlawanan terus 14-21, 18-21. Selain, Chong Wei, Shon Wan Ho, dan Lin Dan, pemain-pemain lain yang akan bertarung pada peringkat suku akhir nanti ialah Chen Jin dan Bao Chunlai (kedua-duanya dari China), Taufik Hidayat (Indonesia), Peter Gade (Denmark), dan Tago Kenichi (Jepun). Lin Dan akan melayan pemain senegaranya, Bao Chunlai, Taufik akan melayan Peter Gade manakala Chen Jin akan melayan Tago Kenichi.

Dalam kategori beregu lelaki, kedua-dua gandingan negara yang menang dalam perlawanan pusingan pertama tempoh hari berjaya melayakkan diri ke peringkat suku akhir setelah mereka menang pada pusingan kedua pula. Gan Teik Chai-Tan Bin Shen berjaya mengalahkan gandingan dari negara China, Chai Biao-Zhang Nan dengan mata 21-8, 23-21. Chong Tan Fook-Lee Wan Wah pula terpaksa menggunakan segala pengalaman yang ada untuk menewaskan pemain pusingan kelayakan dari Korea Selatan, Cho Gun Woo-Kwon Yi Goo, dengan mata 17-21, 23-21, 21-11. Pada peringkat suku akhir kelak, Gan-Tan akan berdepan dengan gandingan Lars Paaske-Jonas Rasmussen dari Denmark yang menewaskan gandingan Koo Kean Keat-Tan Boon Heong pada pusingan pertama kelmarin manakala Chong-Lee akan berdepan dengan Markis Kido-Hendra Setiawan dari Indonesia. Jika menang ke atas lawan masing-masing pada peringkat suku akhir nanti, kedua-dua gandingan negara ini akan bertemu sesama sendiri pada peringkat separuh akhir.

Gandingan lain yang akan bertarung dalam kategori beregu lelaki pada peringkat suku akhir kelak ialah Cai Yun-Fu Haifeng dan Guo Zhendong-Xu Chen (kedua-duanya dari China), Jung Jae Sung-Lee Yong Dae (Korea Selatan), dan Mathias Boe-Carsten Mogensen (Denmark). Cai Yun-Fu Haifeng akan berdepan dengan Mathias Boe-Carsten Mogensen manakala Jung Jae Sung-Lee Yong Dae akan berdepan dengan Guo Zhendong-Xu Chen.

Dalam kategori perseorangan wanita, negara China mempunyai empat orang wakil, iaitu Wang Yihan, Jiang Yanjiao, Wang Xin, dan Lu Lan. Pemain lain yang akan bertarung pada peringkat suku akhir itu nanti ialah Zhou Mi (Hong Kong), Saina Nehwal (India), Juliane Schenk (Jerman), dan Tine Rasmussen (Denmark). Wang Yihan akan menentang Zhou Mi, Jiang Yanjiao bertemu dengan Wang Xin, Saina Nehwal akan melayan Juliane Schenk manakala Tine Rasmussen akan berdepan dengan Lu Lan.

Dalam kategori beregu wanita, negara China juga mempunyai empat wakil, iaitu gandingan Du Jing-Wu Yang, Ma Jin-Wang Xiaoli, Cheng Shu-Zhao Yunlei, dan Pan Pan-Tian Qing. Gandingan lain yang akan bertarung pada peringkat suku akhir itu nanti ialah Miyuki Maeda-Satoko Suetsuna (Jepun), Meiliana Jauhari-Greysia Polii (Indonesia), Ha Jung Eun-Lee Kyung Won (Korea Selatan), dan Chen Wen Hsing-Chien Yu Chin (Taiwan). Du Jing-Wu Yang akan menentang Miyuki Maeda-Satoko Suetsuna, Pan Pan-Tian Qing akan menentang Meiliana Jauhari-Greysia Polii, Cheng Shu-Zhao Yunlei akan menentang Ha Jung Eun-Lee Kyung Won, manakala Ma Jin-Wang Xiaoli akan melayan Chen Wen Hsing-Chien Yu Chin.

Dalam kategori beregu campuran, negara China mempunyai tiga wakil, Indonesia dan England masing-masing mempunyai dua wakil, dan satu lagi slot diisi oleh Korea Selatan. Gandingan-gandingan itu ialah Zhang Nan-Zhao Yunlei, He Hanbin-Yu Yang, dan Tao Jiaming-Zhang Yawen (China), Nova Widianto-Liliana Natsir dan Hendra Aprida Gunawan-Vita Marissa (Indonesia), Anthony Clark-Heather Olver dan Nathan Robertson-Jenny Wallwork (England), serta Lee Yong Dae-Lee Hyo Jung (Korea Selatan). Zhang Nan-Zhao Yunlei akan berdepan dengan Hendra Aprida Gunawan-Vita Marissa, He Hanbin-Yu Yang akan menentang Tao Jiaming-Zhang Yawen, Anthony Clark-Heather Olver akan melayan Lee Yong Dae-Lee Hyo Jung, manakala Nova Widianto-Liliana Natsir akan menentang Nathan Robertson-Jenny Wallwork.

[Huh, dalam kategori perseorangan lelaki, negara China ada tiga wakil manakala dalam kategori beregu lelaki mereka mempunyai dua wakil. Dalam kategori perseorangan dan beregu wanita, negara China masing-masing mempunyai empat wakil. Keadaan ini menggambarkan betapa hebatnya negara Tembok Besar itu dan betapa sukarnya untuk negara lain merampas Piala Thomas dan Piala Uber daripada mereka kelak. Walau bagaimanapun, pertandingan Piala Thomas dan Piala Uber itu nanti berlangsung di Malaysia. Mari kita gamatkan stadium dengan menyokong pasukan negara kita kelak!]

Thursday, March 11, 2010

Bola Sepak dan Badminton

Saya hendak beralih angin pada siaran kali ini. Saya hendak bercerita tentang sukan, perkara keempat paling kerap saya ikuti selepas agama (Islam), bahasa, dan politik.

Malam tadi, pasukan kelab bola sepak kegemaran saya – Manchester United – menang besar ke atas pasukan kelab dari Itali, AC Milan. Selepas menang 3-2 pada perlawanan pusingan pertama di San Siero, Milan tiga minggu lalu, kelab itu membenam cabaran AC Milan dengan keputusan 4-0 di Old Trafford pula. Sama seperti di San Siero, Wayne Rooney sekali lagi menyumbatkan dua gol dalam perlawanan malam tadi. Dua gol MU lagi disumbatkan oleh Park Ji Sung dan Darren Fletcher. Kemenangan itu membolehkan MU melangkah ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Dalam satu perlawanan lain, Real Madrid kempunan untuk ke peringkat suku akhir kejuaraan yang sama setelah seri dengan wakil Perancis, Lyon, 1-1. Dalam perlawanan pusingan pertama, Real Madrid tewas 0-1 di tangan Lyon. Saya peminat Real Madrid, tetapi saya berkecil hati dengan Christiano Ronaldo kerana berpaling tadah ke Real Madrid (siapalah saya). Semasa MU tewas di tangan Barcelona tahun lalu (waktu itu Ronaldo masih di MU), dia menghentam Alex Fergusson dengan mengatakan Fergusson menggunakan strategi yang salah. Sekali ini, pasukan yang dianggotainya kalah awal. Salah siapa? (Padan muka engkau Ronaldo, tetapi kesian Real Madrid! Ah, emosionalnya!)

Di Birmingham, England, Kejohanan Badminton All-England sedang berlangsung dari 9-14 Mac 2010. Dalam kategori perseorangan lelaki, pemain negara – Wong Choon Han – kalah di tangan Simon Santoso dari Indonesia dengan keputusan 21-17, 16-21, 12-21. Datuk Lee Chong Wei pula memenangi perlawanan pertamanya dengan mengalahkan Chetan Anand dari India dengan keputusan 21-15, 21-16. Hafiz Hashim juga menang dengan keputusan 21-11, 21-5. Mangsanya ialah pemain Taiwan, Hsieh Yu Hsing. Selepas ini, Chong Wei akan berentap dengan Soni Dwi Kuncoro dari Indonesia yang mengalahkan Du Pengyu dari China dengan keputusan 21-19, 21-10. Pemain yang akan menanti Hafiz pula tidak lain tidak bukan Lin Dan yang menang ke atas Christian Lind Thomsen dari Denmark dengan keputusan 21-16, 21-15. Selain Lin Dan, pemain China lain – Bao Chunlai, Chen Jin, dan Chen Long memenangi perlawanan masing-masing. Begitu juga halnya dengan Taufik Hidayat (Indonesia), Peter Gade (Denmark), dan Park Sung Hwan (Korea Selatan).

Dalam kategori beregu lelaki, dua gandingan negara, iaitu Choong Tan Fook-Lee Wan Wah dan Gan Teik Chai-Tan Bin Shen menang ke atas lawan masing-masing. Chong-Tan mengalahkan seteru mereka dari Taiwan (21-16, 26-24) manakala Gan-Tan mengalahkan seteru mereka dari Hong Kong (21-19, 21-19). Selepas ini, Chong-Tan akan berdepan dengan gandingan Korea Selatan, Cho Gun Woo-Kwon Yi Goo. Gan-Tan pula akan berdepan dengan gandingan China, Chai Biao-Zhang Nan. Pasangan utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong “bungkus” di tangan pasangan dari Denmark, Lars Paske-Jonas Rasmussen dengan keputusan 13-21, 11-21.

Dalam kategori perseorangan wanita, pemain negara Wong Mew Choo tumpas di tangan Jiang Yianjao dengan mata 18-21, 9-21. Lydia Cheah dan Anita Raj kalah pada peringkat kelayakan lagi.

Dalam kategori beregu wanita, gandingan negara Chin Ee Hui-Wong Pei Tty tumpas di tangan gandingan dari Indonesia, Meiliana Jauhari- Greysia Polii dengan mata 20-22, 15-21. Gandingan Ng Hui Lin-Ng Hui Ern kalah di pusingan kedua peringkat kelayakan.

Dalam beregu campuran, Koo Kean Keat-Wong Pei Tty kalah di tangan gandingan dari Indonesia manakala Chan Peng Soon-Goh Liu Ying kalah di tangan gandingan dari negara China.

Hal ini bermakna, tidak ada seorang pemain wanita negara pun yang akan bermain di pusingan kedua kelak.

Saya peminat badminton. Saya akan mengikuti perkembangan seterusnya. Selamat maju jaya pejuang sukan negara! Tetapi, kalau kejohanan ini dijadikan sebagai bayangan Piala Thomas dan Piala Uber kelak, kita harus tidak mengharapkan apa-apa daripada pasukan lelaki dan wanita kita.

Tuesday, March 9, 2010

Memuliakan yang Mulia

Bekas “boss” saya di Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. (sekarang Oxford Fajar Sdn. Bhd.) mengundang saya ke majlis pernikahan anaknya yang akan berlangsung pada 20 Mac nanti (terima kasih atas undangannya itu). Dia tidak mengundang saya melalui kad jemputan tetapi dengan cara menghubungi saya langsung melalui telefon bimbit. Terasa undangan itu begitu asli dan bersalut dengan kemesraan. Undangan sedemikian sudah berlaku tiga kali (undangan pernikahan dua orang anaknya yang terdahulu sebelum ini juga dilakukannya menerusi telefon juga. Alhamdulillah, saya tidak lupa akan tarikh majlis-majlis itu).

Pada suatu ketika dahulu, sesetengah orang beranggapan bahawa undangan melalui telefon kurang adabnya, kurang kemesraannya. Dengan yang demikian, banyaklah orang yang membakulsampahkan undangan sedemikian. Kini, anggapan itu sudah beralih kepada undangan melalui e-mel pula. Ada pihak tertentu yang merasakan undangan melalui e-mel kurang adab dan langsung tidak memperlihatkan kemesraan. Saya rasa anggapan itu bersifat sementara kerana lama-kelamaan undangan itu akan menjadi sebahagian daripada tradisi masyarakat kita yang sedang hidup dalam zaman yang bergerak sangat pantas ini.

Sebilangan orang lebih suka diundang secara lisan yang disertai dengan kad jemputan. Undangan dengan cara demikian, kata mereka, lebih bagus kerana kehadiran mereka terasa seperti sangat diharap-harapkan. Lagipun, kata mereka, pemberian kad jemputan membolehkan mereka mengingati tarikh dan hari majlis itu berlangsung kelak. Dengan undangan secara lisan yang disertai dengan pemberian kad juga, mereka berasa sukar untuk menolak undangan itu.

Berdasar pada senario semasa, saya lebih berkenan dengan cara jemputan langsung dan kurang gemar untuk menerima kad undangan perkahwinan. Hal ini berlaku demikian kerana kebanyakan kad undangan perkahwinan masa kini disertai dengan kalimat Bismillah ... Assalamualaikum, Allah berfirman..., Sabda Rasulullah SAW..., dan sebagainya di samping petikan-petikan daripada al-Quran dan hadis. Saya bukan tidak menyukai kalimah-kalimah suci itu tetapi saya berdepan dengan masalah untuk menyimpan kad-kad itu kerana saya sedar bahawa kalimah-kalimah itu tidak boleh wewenang dibuang merata-rata.

Saya pernah menempah kad undangan pernikahan untuk adik ipar saya dan saya menginginkan reka letak dan ayat-ayat saya sendiri tetapi ditolak oleh pengusaha kad undangan itu kerana mereka memakai reka letak dan ungkapan yang standard (pilihlah yang mana berkenan). Saya tidak mahu ada Bismillah dan yang lain-lain itu (atas kesedaran tidak mahu kalimat suci itu nanti disepah-sepahkan penerima) tetapi hal itu juga tidak dapat dilakukan. Akhirnya, oleh sebab masa terlalu suntuk, saya tewas dengan ukuran standard itu.

Tampaknya, hal berkaitan penghormatan terhadap kalimat suci sudah tidak diambil pusing oleh orang lagi walhal yang mulia harus diletakkan di tempat yang betul. Memang ada orang yang gemar untuk menjadikan pelbagai kad jemputan perkahwinan sebagai koleksi mereka tetapi banyak orang yang menyepah-nyepahkan dan membuang kad-kad sedemikian. Bagaimana?

Friday, March 5, 2010

Syarifah Humairah kemudian K. Hareswarral

Genap seminggu selepas pemergian Syafiah Humairah, K. Hareswarral pula menyusulinya. Kedua-duanya meninggal dunia oleh sebab yang sama – didera. Penderaan yang dilakukan terhadap kedua-dua kanak-kanak ini bukan seperti yang biasa kita dengar – dicucuh dengan puntung rokok, dipukul dengan objek tertentu, dan sebagainya. Mereka bukan didera dengan kaedah itu tetapi dengan kaedah yang pada hemat saya tidak dilakukan oleh manusia yang bernama Firaun sekalipun.

Kita tahu, Firaun sendiri terlibat dengan pembunuhan kanak-kanak. Dia melakukannya setelah nujumnya meramalkan bahawa pada suatu masa kelak dia akan ditewaskan oleh seorang pemuda. Dengan kata lain, Firaun membunuh kanak-kanak (lelaki sahaja) kerana hendak mengekalkan kuasanya. Rasa saya, Firaun membunuh kanak-kanak dengan cara memancung atau menikamnya.

Pada zaman jahiliah dahulu, masyarakat Arab yang hatinya masih bersalut dengan kegelapan, turut terlibat dengan pembunuhan kanak-kanak. Mereka membunuh kanak-kanak (perempuan) kerana masyarakat pada zaman itu percaya bahawa perempuan hanya memalukan mereka. Mereka menanam kanak-kanak perempuan itu hidup-hidup.

Syafiah Humairah dan K. Hareswarral tidak dibunuh dengan cara itu. Mereka tidak ditanam hidup-hidup apatah lagi dipancung atau ditikam. Kedua-duanya dibunuh dengan cara yang lebih kejam. Kedua-duanya dibunuh dengan cara disepak seperti bola, dipijak seperti memadatkan tanah. Barangkali, dengan melakukan perbuatan sedemikian, mereka mendapat keseronokan yang luar biasa.

Kerana perbuatan sedemikian, buah pinggang Humairah rosak, otak Humairah mengalami pendarahan, kulit kepala Humairah terkoyak. Kerana perbuatan sedemikian, enam tulang rusuk Hareswarral patah, hati Hareswarral lumat, kepala Hareswarral parah. Mereka, pasti menjerit semasa disepak dan dipijak, mereka pasti menderitai kesakitan yang tidak terhingga sebelum mati.

Humairah baru tiga tahun. Hareswarral baru 18 bulan. Yang membunuh (suspek) lelaki dewasa. Seorang 28 tahun, yang seorang 33 tahun. (28 tahun lawan tiga tahun, 33 tahun lawan 18 bulan. Isy, tidak berasa baculkah?) Suspek beruntung kerana tidak diperlakukan sedemikian semasa seusia dengan Humairah dan Hareswarral. Kalau tidak, pasti Humairah dan Hareswarral masih hidup kerana kedua-duanya sudah tiada. Mereka tidak berfikir sedemikian.

Kita biasa melihat orang mengadakan demonstrasi oleh sesuatu sebab. Kerana orang luar campur tangan dalam kes DS Anwar Ibrahim, orang berdemonstrasi. Kerana harga minyak naik, orang berdemonstrasi. Banyak kali orang berdemonstrasi, kebanyakannya ada kaitan dengan politik. Hal seperti ini – penderaan kanak-kanak – orang tidak mahu berdemonstrasikah? Berdemonstrasi supaya manusia berkasih sayang. Berdemonstrasi supaya manusia lebih bertanggungjawab.

Macam pelik, tetapi salahkah?

Wednesday, March 3, 2010

Seorang Lagi, Akan Ada Lagikah?

BAGAN SERAI: Berita Harian Online melaporkan berita mutakhir bahawa seorang lagi Ahli Parlimen Bagan Serai, YB Mohsin Fadzli Samsuri, keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menjadi wakil rakyat Bebas serta-merta.

Akan bertambah menarikkah kulit dan akan lebih sihatkah badan apabila seketul lagi daki terpacul keluar lalu tersingkir dari badan?

Tuesday, March 2, 2010

Tidak Usahlah Memberikan Nasihat dan Pandangan

Banyak orang yang akan bertindak sesuatu apabila hajat dan harapan mereka tidak dipenuhi. Orang-orang ini, yang sebahagian orang menggolongkannya sebagai “Orang Putus Harap” atau “Orang yang Kecewa”, akan bertindak mencela pihak-pihak yang tidak memenuhi hajat dan harapan mereka. Pihak-pihak Oportunis pula akan mengambil kesempatan untuk memburuk-burukkan kelompok yang menghampakan harapan “Orang Putus Harap” atau “Orang yang Kecewa” itu dengan tohmahan yang pelbagai – mereka sedang dilanda krisis dalaman, mereka kelompok yang rapuh, dan sebagainya. Sama seperti halnya Gary Lineker, penjaring oportunis pasukan bola sepak England pada era 1980-an dahulu yang tidak akan menyia-nyiakan peluang untuk menjaringkan di hadapan pintu gol lawan, samalah juga halnya dengan pihak Oportunis yang dimaksudkan – mereka akan berkata itu dan ini tentang pihak yang menghampakan harapan “Orang Putus Harap” atau “Orang yang Kecewa” ini, malah dalam keadaan tertentu, mereka akan menjanjikan sesuatu kepada “Orang Putus Harap” atau “Orang yang Kecewa” itu.

Kelompok yang tidak memenuhi hajat dan harapan “Orang Putus Harap” atau “Orang yang Kecewa” itu akan mempertahankan diri mereka. Mereka akan berhujah bahawa “Orang Putus Harap” atau “Orang yang Kecewa” itu memang putus harap kerana tidak beroleh projek, tidak beroleh jawatan yang dipohon, dan sebagainya dan yang menarik mereka akan berkata bahawa tindakan “Orang Putus Harap” atau “Orang yang Kecewa” itu elok kerana “apabila daki sudah dibersihkan, kulit akan lebih menarik dan badan lebih sihat”. Sebilangan kelompok lain yang tidak memenuhi hajat dan harapan “Orang Putus Harap” atau “Orang yang Kecewa” itu, apabila diminta komen mereka akan berkata “Tiada komen” atau “Time will tell” atau “Let people judge”. (Kita yang tidak tahu apa-apa kenalah menunggu masa itu dan kita jugalah yang akan menghakiminya.)

Kita tidak mahu hal ini berlaku tetapi kita tidak dapat menolak hal ini daripada berlaku. Sebabnya adalah kerana kehendak dan matlamat orang berbeza-beza dan pelbagai pula. Dalam zaman orang mengejar imbalan dan imbuhan ini, orang yang berpendirian atau yang teguh pendirian sangat langka bilangannya. Orang yang berpendirian atau yang teguh pendirian akan kelihatan asing dan aneh pada zaman ini.

Percayalah, nasihat apa-apa pun tidak akan masuk ke dalam otak dan hati orang yang tidak berpendirian atau tidak teguh pendirian ini. Hari ini mereka menerima, besok mereka akan menolak. Sesetengahnya menolak semua nasihat yang baik.

Maka, marilah kita terus menonton jika mata masih dapat melihat dan mendengar jika telinga masih dapat mendengar. Tidak usahlah memberikan nasihat dan pandangan.