Friday, March 26, 2010

Keras, Tegas, Jujur, Benar, Tanpa Berselindung

Anda pernah berkunjung ke Negara Brunei Darussalam? Saya pernah ke sana pada tahun 1995 atas urusan kerja selama lima hari. Saya tidak dapat “melata” ke banyak tempat di negara itu, maka tidaklah saya ketahui “rupa paras” negara Islam itu.

Yang pasti, pada waktu itu, Negara Brunei Darussalam bukanlah destinasi yang sesuai untuk orang berseronok-seronok – pusat karaoke pun tidak ada. Saya cuma berkesempatan dibawa rakan saya, Haji Abdul Rahman Hussin dan Pangeran Abas, ke Jerudong Park yang agak luas dan percuma itu.

Saya difahamkan, negara itu mengutamakan Islam. Unsur-unsur yang dapat menjuruskan orang Islam ke arah kemaksiatan tidak dibenarkan wujud. Dalam hal berkaitan bahasa, tulisan Jawi masih menjadi keutamaan.

Selepas 15 tahun berlalu, penekanan terhadap Islam oleh pihak pemerintah di negara itu begitu terserlah. (Tidak ada Islam Hadhari dan yang seumpama dengannya.) Hal ini dibuktikan oleh Menteri Hal Ehwal Agamanya – Ustaz Dr. Haji Md. Zain bin Haji Serudin – baru-baru ini apabila salah seorang anggota Parlimennya yang berbangsa Cina – Encik Goh King Chin – mengemukakan suatu idea, iaitu diwujudkan suatu Zon Alkohol yang dikhaskan untuk pelancong bukan Islam bagi menarik kedatangan pelancong.

Idea itu ditentang oleh beliau dengan keras, tegas, tetapi jujur, benar, dan tanpa berselindung-selindung. Penentangan itu bukan diucapkan beliau semasa berkempen dalam pilihan raya atau dalam perhimpunan parti tetapi di dalam Parlimen di negaranya. (Untuk kita menyaksikan penentangan seumpama itu berlaku di di dalam Parlimen di negara kita, rasa saya mustahil – celik mata kita tatkala mati.)

Perlu ditegaskan bahawa undang-undang Negara Brunei Darussalam mengharamkan penjualan dan pengambilan alkohol di khalayak ramai. Walau bagaimanapun, orang bukan Islam boleh membawa minuman beralkohol dalam jumlah yang dihadkan untuk kegunaan peribadi.

Menteri itu menegaskan bahawa pewujudan zon itu akan mencemarkan reputasi Brunei sebagai sebuah negara yang patuh kepada ajaran Islam malah sengaja mengundang kemurkaan Allah SWT.

“Kemurkaan Allah bukan hanya datang kepada yang melakukan (kesalahan), malah kepada yang lain (juga).

“Pelancong yang mahu minum arak boleh melakukan demikian secara bebas di negara mereka – mereka bukan sahaja boleh meminumnya, malah mereka boleh bermandi-manda dengannya,” kata beliau.

“Hari ini mereka minta (kewujudan) zon ini, kemudian mereka mungkin mahukan kelab-kelab (malam), kemudian apa lagi? Zon pelacuran? Kemudian zon kasino? Inilah sebabnya kita perlu menentang dan mengekalkan Brunei sebagai sebuah negara aman yang digelar Darussalam. Kami perlu tolak semuanya dan kekalkan kemakmuran.” Itulah antara lontaran ucapan beliau.

Dengan ucapan yang sedemikian, pada hemat saya, Menteri itu sangat sesuai digolongkan sebagai seorang yang tegas, jujur, benar, dan tidak berselindung-selindung. Dapatkah kita temukan menteri Melayu-Islam yang sedemikian di negara kita yang tercinta ini, khususnya Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam? Kita kena bermimpi dulu.

Seorang sahabat blogger kita berkata bahawa (berdasarkan persidangan Parlimen yang berlaku sekarang), Parlimen kita ada kalanya macam sarkas!

No comments:

Post a Comment