Thursday, October 28, 2010

Malapetaka Merapi dan Mentawai: Ada Apa pada Angka 26?

Di Indonesia, daripada sekian banyak gunung berapi (129) yang terdapat di negara itu, Gunung Merapi (2,968 meter) merupakan gunung berapi yang paling aktif (khabarnya yang paling aktif di dunia pada masa ini). Gunung ini letaknya di Pulau Jawa, lebih tepatnya di Jawa Tengah (Yogyakarta).

Seperti yang dinyatakan tadi, Gunung Merapi ini sangat aktif. Gunung itu telah meletus berkali-kali dalam tempoh 200 tahun terakhir ini, selalunya menyebabkan kematian. Pada tahun 1994, letusannya telah menyebabkan 60 orang mati. Pada tahun 1930, lebih daripada sedozen kampung terbakar sehingga menyebabkan 1,369 orang terbunuh.

Letusan yang berlaku Selasa lalu (26 Oktober 2010) sehingga kini telah mengorbankan 30 nyawa manakala 17 orang lagi dirawat di hospital, sebahagian besar daripada mereka cedera terbakar selain menghadapi masalah pernafasan serta luka-luka lain. Antara yang terbunuh ialah Mbah Maridjan, “penjaga” semangat Gunung Berapi yang berusia 83 tahun. Menurut suatu sumber, beliau ditemui mati dalam keadaan sujud. (Mbah Maridjan diyakini oleh penduduk Jawa sebagai tokoh yang memiliki kelebihan magis dan hubungan supernatural dengan Gunung Merapi yang membolehkannya “mengawal” gunung berapi itu.)

Keaktifan Gunung Merapi sepanjang tahun 2010 ini telah diwaspadai rapat oleh pihak kerajaan Indonesia sejak bulan September lalu. Daripada tahap kewaspadaan Normal, pihak kerajaan negara itu telah meningkatkannya kepada tahap Waspada pada 20 Oktober 2010. Sehari selepas itu, keadaan itu telah ditingkatkan kepada tahap Bersedia dan Berjaga-jaga dan pada 25 Oktober ditingkatkan ke tahap tertinggi, Merah. Pada 26 Oktober, gunung itu meledak.

Ledakan itu meredakan sedikit tekanan yang terhimpun di belakang kubah lava yang terbentuk di kawah, namun kubah lava itu tetap mempunyai kemungkinan untuk runtuh. Perlu diingat, runtuhan batu daripada kubah lava akan menghasilkan aliran piroklas yang mampu bergerak beberapa kilometer daripada puncak.

ULASAN
Itu adalah antara musibah yang menimpa negara jiran kita di Indonesia. Di samping musibah letusan gunung berapi itu, pada hari yang sama, berlaku musibah gempa bumi yang bermagnitud 7.5 mengikut skala Richter yang diikuti dengan kejadian tsunami di Kepulauan Mentawai. Sehingga kini, kejadian tsunami itu telah mengorbankan hampir 400 nyawa manakala 411 orang lagi masih belum ditemukan.

Kita tentu masih ingat akan tsunami besar yang melanda Aceh pada tahun 2004 dahulu. Musibah itu telah mengorbankan 226,000 jiwa di wilayah yang terletak di utara Sumatera itu. Peristiwa itu berlaku pada 26 haribulan (Disember).

Pada tahun sebelum kejadian itu, iaitu pada tahun 2003, wilayah Bam di Iran dilanda musibah gempa bumi yang berkekuatan 6.5 skala Richter. 45,000 jiwa melayang dalam musibah itu. Musibah itu berlaku pada 26 haribulan (Disember) juga.

Jangan lupa akan Ribut Greg yang melanda Keningau, Sabah pada tahun 1996 dahulu. Musibah itu telah menyebabkan lebih daripada 200 nyawa terkorban dan 102 orang lagi hilang. Kepada yang tidak ingat, musibah itu juga berlaku pada 26 haribulan (Disember).

Jadi, kita mungkin bertanya, mengapakah musibah itu berlaku pada 26 haribulan? (Masih saya ingat, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak semasa berjawatan Timbalan Perdana Menteri pada tahun 2005 dahulu, telah mengumumkan tarikh 26 Disember setiap tahun sebagai Hari Kesedaran Bencana Negara.)

Mengapakah Allah SWT memilih 26 haribulan? Kita tidak tahu dan dengan itu kita tidak boleh berkata bahawa semuanya kebetulan sahaja. Yang perlu kita ketahui ialah musibah itu merupakan peringatan daripada Dia, tidak kira musibah itu berlaku pada 26 haribulan atau pada haribulan yang lain. Yang perlu kita ketahui dan kita ingati, jangan sengaja mengundang musibah!

Nenek berkhalwat, gadis sunti 12 tahun berasmara, bayi-bayi dibunuh dan dibuang, pengurusan wang zakat yang tidak telus dan diragui, peruntukan makanan murid sekolah “dicilok”, dan ratusan kejahatan lain yang sudah tentulah berada dalam perhatian dan pemerhatian Allah Azza wa Jalla. Dia tidak perlu menunggu 26 haribulan November atau 26 haribulan Disember depan untuk menimpakan musibah-Nya yang berpunca daripada kejahatan kita. Entah-entah esok kita akan mendapat habuan itu!

Kalau Dia hendak, debu yang dimuntahkan oleh Gunung Merapi itu “dilebatkannya” dan dihantarnya kepada kita. Jauh mana sangatlah 1,540 km dari Gunung Merapi ke KL itu di sisi Allah?

Wednesday, October 27, 2010

Piala Malaysia 2010: Penontonnya Matang atau “Menatang”?

Semoga tajuk yang agak kasar ini tidak menyinggung hati dan perasaan orang yang terlibat. Saya tidak berniat hendak menghina sesiapa melainkan hanya hendak memberikan pesan dan nasihat kepada pihak-pihak yang terlibat.

Hari Sabtu minggu ini (tepatnya 30 Oktober 2010), akan berlangsung perlawanan akhir Bola Sepak Piala Malaysia. Perlawanan akhir itu melibatkan dua buah pasukan yang sama dengan perlawanan akhir tahun lalu – Kelantan dan Negeri Sembilan! Pada perlawanan akhir tahun lalu, Negeri Sembilan telah berjaya menjadi juara setelah mengalahkan pasukan Kelantan dengan keputusan 3-1.

Dalam perlawanan akhir tahun lalu, pelbagai kejadian yang tidak diingini telah berlaku. Rempuhan semasa memasuki stadium, mercun dan bunga api bersipongang dalam stadium semasa perlawanan berlangsung, kerusi di dalam stadium dibakar selepas perlawanan, dan sebagainya.

Siapakah pelakunya? Pada pandangan saya, pelakunya tidak lain tidak bukan orang yang jahil tentang tamadun. Dalam erti kata yang lebih tepat, pelaku itu terkategori sebagai orang yang tidak bertamadun!

Kali terakhir saya menonton perlawanan bola sepak di stadium ialah empat tahun lalu. Pada waktu itu Bambang Pamungkas dan Elly Aiboy (kedua-duanya asal Indonesia) bermain untuk pasukan Selangor yang saya sokong. Semasa menonton, ada kalangan penyokong Selangor yang “menyampaikan ulas langsung” dengan mengungkapkan pelbagai kata yang buruk, kasar, dan biadab. Telinga sakit, hati berlebih-lebih lagi. Si penyampai ulas langsung itu, pada pandangan saya adalah antara contoh orang yang tidak bertamadun.

(Saya tidak pernah mendengar ungkapan itu semasa menjadi penonton setia Selangor semasa di Stadium Merdeka dulu. Sejak pengalaman itu, saya lebih suka menonton perlawana bola sepak di rumah, aman daripada orang yang tidak bertamadun.)

Perlawanan akhir Piala Malaysia pada tahun ini biarlah bebas daripada apa-apa bentuk kejadian buruk. Keghairahan seseorang semasa menyokong pasukan yang disukai janganlah hendaknya sampai melampaui tamadun yang telah dibentuk oleh agama Islam yang suci. Bersederhanalah. Kalah, kita reda; menang kita bersyukur. Lagipun, sudah dapat menjejakkan kaki ke perlawanan akhir bukankah suatu kejayaan?

Bola sepak sudah menjadi sukan ulung di negara ini sejak sekian lama. Jadi, sudah sepatutnya para penonton sangat matang dalam hal-hal yang berkaitan dengan bola sepak, khususnya yang berkait dengan memberikan sokongan. Anggaplah perlawanan bola sepak yang kita saksikan sebagai suatu unsur hiburan. Dengan beranggapan demikian, kedua-dua pasukan yang bermain di tengah padang akan kita anggap sebagai penghibur kita. Orang yang matang tidak akan mencela orang yang menghiburkannya.

Sebaliknya, janganlah kita anggap perlawanan bola sepak sebagai perjudian kerana perjudian bakal menumbukan pergaduhan. Adat orang berjudi memang demikian – menang mua, kalah hendak membela. Sikap ini bukan sikap orang yang matang tetapi menghampiri sikap “menatang” (binatangnate kata orang Kelantan).

Tahun lalu, Negeri Sembilan berjaya menjadi juara. Kebetulan, semasa mereka menjadi juara mereka mendapat Raja yang baharu – Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir. Pada tahun ini saya ramalkan Kelantan akan menjadi juara. Alasan saya, Kelantan baru saja mendapat Sultan yang baharu – Tuanku Sultan Muhammad Faris Petra ibni Tuanku Ismail Petra.

Mudah untuk meneka. Tidak perlu buat analisis tentang pencapaian setiap pasukan.

Gadis Sunti Itu: “Anak sapa la dia?”

Anak sapa la tu?” Itulah pertanyaan “ala gatal” yang saya dengar kira-kira lima tahun lalu daripada mulut pasangan regu badminton saya. Pertanyaan itu diujarkannya secara bersahaja tatkala melihat beberapa orang anak gadis yang pulang selepas habis bermain di gelanggang sebelah. Saya tahu bahawa dia tidak berniat untuk menggatal, tetapi sekadar mengajuk ungkapan yang lazim didengarnya daripada rakan-rakan jurutekniknya yang bujang. Kepada saya, itulah kali pertama saya mendengar kalimat itu yang kemudiannya sering pula saya dengar dilafazkan oleh orang lain di pelbagai lokasi.

Anak sapa la tu?” Itulah yang bermain dalam kepala saya apabila membaca kisah ini semalam. Anak itu baru 12 tahun usianya. Sangat sunti, barangkali belum pun masuk ke alam remaja. Tetapi, bagaimanakah anak sesunti itu begitu sekali nakalnya? Sudah pandai berasmara dengan tiga orang remaja sekali gus. Saya, apabila membaca kisah itu, sangat sukar hendak mempercayainya. Memang biasa didengar ada pelacur sunti semuda 9 tahun di negara jiran, tetapi apabila hal seperti ini berlaku di Malaysia, saya menjadi sangat sukar untuk percaya.

Berani kerana benar, takut kerana salah. Kerana takut perbuatannya telah diketahui orang, si sunti lari apabila disergah. Dalam percubaannya hendak lari, si sunti tersilap langkah dan jatuh dari tingkat enam lalu meninggal dunia.

Saya hanya dianugerahi seorang anak lelaki. Saya pernah menitipkan pesan kepada adik ipar saya yang menunaikan haji beberapa tahun lalu. Saya memintanya mendoakan saya memperoleh seorang anak lagi (kala itu anak saya sudah berusia 17 tahun). Saya memahukan anak perempuan. Alhamdulillah, doa itu barangkali dimakbulkan Allah SWT kerana kira-kira setahun selepas adik ipar pulang dari Makkah, isteri saya mengandung. Terbit air mata gembira, tetapi entah di mana silapnya, kandungan itu mati di dalam perut dan terpaksa digugurkan. Sekali lagi air mata mengalir, tetapi sekali ini kerana sedih.

Apabila melihat kejadian demi kejadian, fenomena demi fenomena, saya sebenarnya takut untuk memiliki anak lagi, khususnya anak perempuan. Cabaran yang menganga di depan begitu sekali lahapnya untuk mencemarkan nama keluarga, bangsa, dan agama. Saya ada kalanya sampai melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana Dia tidak mengurniai saya anak lagi. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui keupayaan saya.

Walau tidak punya anak kandung perempuan, saya mempunyai enam belas orang anak saudara perempuan yang berusia antara satu tahun hingga dua puluh tiga tahun. Dua belas orang daripada mereka memanggil saya “Pak Long” dan empat orang lagi memanggil saya “Papa”.

Cukuplah saya menumpang kasih kepada mereka dan kebanyakan daripada mereka memang manja dengan saya. Dan baru-baru ini saya berpesan kepada adik-adik saya dan adik-adik ipar saya, jagalah anak-anak perempuan kalian dengan penuh waspada. Hadirkan rasa cemburu dalam hati kalian, kata saya. Tanya ke mana mereka pergi, siasat di mana mereka berada, dengan lelaki mana mereka berkawan. Malah saya sendiri berikrar kepada mereka bahawa saya akan tolong memantau anak-anak perempuan mereka.

Si gadis sunti yang malang itu, semoga dia sempat diampunkan Allah SWT. Dan kita sendiri, ambillah iktibar daripada kisah itu, tidak kira kisah itu benar ataupun sebaliknya. Fitnah akhir zaman sangat menakutkan kita. Semoga yang membaca mendapat perlindungan Allah daripada Fitnah ini. Allahumma amin.

Tuesday, October 26, 2010

Pilihan Raya Kecil: Yang Pro dan Yang Kontra

Kecuali Islam dan iman, rasa saya, semua perkara di dunia ini ada pro dan kontranya. Pilihan raya kecil (PRK), misalnya, ada pro dan kontranya juga.

Daripada satu aspek, PRK sebenarnya sangat bagus. Saya mengatakan bagus kerana dalam PRK, parti-parti yang bertanding dapat memberikan tumpuan 100% kepada pertandingan untuk merebut kawasan yang ditandingi. Dengan tumpuan 100% itu, dapatlah kita ketahui parti manakah yang “hebat” dan disukai pengundi.

PRK juga membolehkan kita mengetahui sikap pengundi yang sebenarnya – adakah mereka itu mudah diperdaya dengan janji projek-projek tertentu, adakah keyakinan mereka dapat dialihkan melalui fitnah, adakah mereka penyokong tegar, dan sebagainya.

Seterusnya, PRK membolehkan penduduk di kawasan yang terlibat beroleh kemajuan/pembangunan segera – kemudahan awam (jalan raya, pondok telefon, jambatan, dan sebagainya dinaiktarafkan), rakyat dilawati/didekati pemimpin utama parti (sekurang-kurangnya pemimpin nombor dua negara). Seronok!

Yang punya rumah agam atau yang agak sempurna di kawasan yang terlibat, mereka berpeluang untuk menyewakan kediaman mereka dengan kadar yang tinggi – untuk dijadikan sebagai markas atau tempat pemimpin besar mana-mana parti berkampung. Sumber rezeki seperti ini tidak selalu datang, kecuali Wakil Rakyat di kawasan yang sama asyik meninggal dunia selang dua tiga bulan.

Di pihak pemimpin parti, keletihan untuk menagih perhatian pengundi tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Kalau kebetulan PRK itu sekadar peringkat DUN, keletihan tidaklah begitu dirasakan kerana mereka tidak perlu menyusup ke kampung-kampung lain selain yang berada dalam lingkungan DUN terbabit. Tetapi, kalau PRK itu melibatkan kawasan Parlimen, mereka perlu meranduk sehingga dua/tiga kawasan DUN. Suara sampai serak dan hilang, badan letih-letak kerana terpaksa bercakap banyak. Usai PRK, mereka ambil cuti rehat!

Kepada orang-orang yang tidak terlibat seperti saya, yang menarik tentang PRK ialah nama kawasan itu. Sekarang di Galas dan Batu Sapi bakal berlaku PRK. Nama Galas dan Batu Sapi meniti bibir orang walhal sebelum ini, entah berapa kerat oranglah yang kenal akan nama kedua-dua kawasan itu. Saya yakin, orang di Kelantan dan Sabah sendiri pun ada yang tidak tahu di mana duduknya Galas dan Batu Sapi itu. Entah-entah ada yang tidak tahu bahawa Galas dan Batu Sapi letaknya di dalam negeri mereka.

Sekarang, kalau kita bertanya kepada seseorang, “Galas atau Batu Sapi letaknya di mana?”, pasti banyak orang yang akan menjawab Galas di Kelantan, Batu Sapi di Sabah”, malah ada orang yang akan menyebut “Galas letaknya di Gua Musang, Kelantan”; “Batu Sapi letaknya di Sandakan, Sabah”.

Begitulah manfaat PRK, selain yang pasti menghabiskan duit, masa, dan tenaga. Kalaulah tidak diadakan PRK selepas kematian sesiapa atau selepas sesiapa meletakkan jawatan, atau selepas sesiapa dilucutkan keabsahannya sebagai Wakil Rakyat, alangkah bagusnya! Biarlah parti yang diwakili oleh Wakil Rakyat yang meninggal dunia atau yang meletakkan jawatan itu (sebagai pemenang dalam PRU) memilih wakil daripada kalangan parti mereka bagi menggantikan Wakil Rakyat yang baharu. Jadi, tidaklah menghabiskan duit ringgit rakyat dan para pemimpin pun dapatlah menumpukan perhatian terhadap pentadbiran negeri dan negara. Pihak berkuasa seperti polis dapat menumpukan perhatian kepada tanggungjawab untuk memelihara keamanan negara. Rakyat pun tidaklah terdedah kepada fitnah.

Monday, October 25, 2010

Lama Dah, Dah Malas Dah

Memang sudah banyak orang yang berkeluh-kesah tentang nasib bahasa Melayu. Yang puitis berkeluh hiba lewat sajak dan syair, serta gurindam, seloka, dan pantun mereka. Yang tidak puitis, berkeluh lewat rencana akhbar dan majalah – ada yang panjang lebar, ada yang cukup-cukup sahaja.

Bahasa Melayu memang sudah menjadi bahasa kelas kedua di negara ini. Jika tidak kerana diwajibkan sebagai subjek lulus periksa, bahasa Melayu tidak akan jadi apa-apa. Sekarang PMR bakal dimansuhkan. Tiada peperiksaan, tiada syarat wajib lulus pada peringkat itu. Tidak kita tahu bagaimana peperiksaan berasaskan sekolah dapat membantu perkembangan bahasa Melayu pada peringkat itu nanti.

Kuasa mendaulatkan bahasa Melayu sebenarnya masih ada pada orang Melayu. Orang Melayu masih PM kita, orang Melayu masih Menteri Pelajaran kita. Mereka boleh melakukan macam-macam demi bahasa kita. Mereka, malah, boleh mewajibkan semua orang bercakap dengan tatabahasa yang betul hanya dengan mewajibkan setiap anggota kakitangan awam hanya akan dinaikkan pangkat kalau lulus 70% ujian tatabahasa!

Yang tidak dapat bertutur dengan baik dalam bahasa Melayu alangkah banyaknya. Mereka ini, jikalau kita hendak, boleh digugurkan taraf kerakyatan mereka. Duduk di negara ini, mengaku sebagai rakyat Malaysia yang berbahasakebangsaankan bahasa Melayu, tetapi masih tergagap-gagap dan tidak faham akan apa-apa yang kita katakan dalam bahasa Melayu.

Yang bermegah dengan bahasa Inggeris pun alangkah banyaknya. Menang pingat emas dalam sukan serantau dan sejagat, ditanya orang dalam bahasa Melayu, masih bercakap dalam bahasa Inggeris. I’m very happy, I’m very proud, dan macam-macam yang lain. Tetapi begitulah, kerana kita pentingkan emasnya, bahasa kita digangsakan, bahasa kita dilumpurkan!

Ah, bercakap tentang bahasa tidak akan habis! Rasa jemu sudah mula membarah dalam jiwa ini. Dah lama dah, dah malas dah.

Tetapi masih juga hendak berpesan, “Bertindaklah semasa kita masih memiliki kuasa. Jadilah orang Thailand dan Indonesia yang memanfaatkan kuasa mereka”.

Wednesday, October 20, 2010

Lebuh Raya: Hak-hak Pengguna

Kuala Lumpur Bandar Raya Bercahaya, itulah julukan yang diberikan oleh pihak-pihak tertentu kepada ibu kota Malaysia yang tercinta ini. Mungkin ada pelbagai julukan lain yang diberikan orang kepada bandar raya ini, saya kurang pasti.

Selain gelaran Kuala Lumpur Bandar Raya Bercahaya yang saya ketahui itu, saya suka memberikan julukan lain untuk ibu kota Malaysia yang tercinta ini. Julukan pilihan saya ialah Kuala Lumpur Bandar Raya Bertol.

Untuk menjadi Bandar Raya Bertol, Kuala Lumpur memerlukan lebuh raya, terowong, jambatan bertingkat, dan sebagainya. Mari kita senaraikan nama lebuh raya yang ada di Kuala Lumpur atau yang dibina menghala ke Kuala Lumpur. Antara yang saya ingat termasuklah Lebuh Raya Bertingkat Ampang-KL (AKLEH), Lebuh Raya Putrajaya-KL (Maju Expressway/MEX), Lebuh Raya Hubungan Timur-Barat (METRAMAC), Terowong SMART, Lebuh Raya Pantai Baru (NPE), Lebuh Raya Sprint, Lebuh Raya Besraya, dan Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE).

Selain Kuala Lumpur, bandar-bandar di pinggirnya juga mempunyai pelbagai lebuh raya. Antara yang dapat diingati termasuklah Lebuh Raya Damansara-Puchong/LDP, Lebuh Raya Cheras-Kajang/SAGA dan Lebuh Raya SILK (di Kajang/Putrajaya), Lebuh Raya Elite, Lebuh Raya GUTHRIE, dan Lebuh Raya Plus (di Shah Alam), Penchala Link (di Damansara), dan lain-lain lagi.

Untuk menggunakan lebuh raya ini, kita tidak boleh lalu begitu sahaja melainkan membayar sejumlah wang pada kadar yang telah ditetapkan, sama ada secara tunai atau menggunakan kemudahan Touch N Go atau SMART Tag. Sesetengah lebuh raya bertol ini memang memberikan manfaat yang besar kepada pengguna kerana mempercepat perjalanan. Walau bagaimanapun, sesetengahnya tidak membantu untuk mempercepat perjalanan pun. Hal ini berlaku demikian kerana kesesakan berlaku di lebuh raya itu. Kita terpaksa membayar sejumlah wang bagi menikmati kesesakan.


Menyentuh hal ini, sejauh manakah pengendali lebuh raya di Kuala Lumpur dan di seluruh negara melayan penggunanya dengan baik. Sejauh manakah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, dan Kepenggunaan (KPDNKK) memantau kerenah pengendali lebuh raya ini?


Biasa kita temukan pengendali lebuh raya tidak membuka semua lorong tol mereka. Ada masanya, tiga atau empat lorong tidak dibuka. Hal ini menyebabkan pengguna berebut-rebut untuk memasuki laluan yang dibuka lalu menimbulkan kesesakan. Ada ketikanya pula, lorong SMART Tag atau Touch N Go yang disediakan rosak. Hal ini turut menimbulkan masalah yang sama.

Di Kajang, ada sebatang lebuh raya yang sehingga kini hanya menyediakan satu lorong SMART Tag sahaja. Sebagai akibatnya, pengguna kemudahan ini terpaksa berbaris panjang untuk melalui lorong ini.

Adakah KPDNKK memantau hal ini bagi memastikan hak pengguna diutamakan oleh pihak pengendali lebuh raya? Bukankah pengguna berhak mendapat layanan yang istimewa bagi kemudahan berbayar yang digunakan oleh mereka? Atau pihak KPDNKK merasakan bahawa hal seperti itu bukan tanggungjawab mereka kerana tanggungjawab mereka hanya memantau harga barangan, mengugut pemborong dan pengedar barangan supaya tidak menaikkan harga barangan, dan menghapuskan masalah cetak rompak (yang tidak pernah terhapus pun) sahaja?

Pihak pengendali lebuh raya bertol mungkin tidak ambil endah akan masalah ini kerana mantan menteri yang ada kaitan dengan lebuh raya dahulu sering bercakap dengan mengikut sedap mulut. Antara lain dia menyuruh pengguna mencari jalan lain kalau tidak puas hati dengan lebuh raya yang disediakan. Elokkah begitu?

Tuesday, October 19, 2010

Perihal KOMSAS, Bahasa Melayu, dan Tatabahasa

KOMSAS ialah akronim bagi Komponen Sastera (atau lebih tepatnya Komponen Sastera dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu/Malaysia). Komponen ini telah menjadi sebahagian daripada mata pelajaran Bahasa Melayu pada peringkat sekolah menengah secara rasmi pada tahun 2000.

Pengajaran komponen ini dalam mata pelajaran Bahasa Melayu telah dilaksanakan di semua sekolah menengah secara berperingkat-peringkat sejak bulan Mac 2000 (untuk pelajar Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat). Menjelang tahun 2002, pelajar-pelajar dinilai pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi Tingkatan Lima dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) untuk pelajar Tingkatan Tiga. Sementara pelaksanaan ujian sepenuhnya termasuk kertas Bahasa Melayu Julai/Jun hanya bermula pada tahun 2003.

Pemilihan teks komponen sastera sejak mula diperkenalkan pada tahun 2000 itu mencetuskan polemik dan kontroversi. Ada yang mengatakan bahawa teks yang ini tidak sesuai untuk peringkat yang itu, pemilih/penilai mengutamakan kroni, sajak/cerpen/prosa ini berbaur seks, dan sebagainya.

Selepas teks-teks terawal melepasi “iddah”nya, pemilihan teks yang baru dimulakan pula. Mulai tahun 2006/2007 (kalau tidak salah), para penilai sibuk memilih teks-teks baharu bagi menggantikan teks-teks pusingan awal dahulu. Pemilihan ini juga mencetuskan kontroversi kerana ada ura-ura daripada pihak yang dipertanggungjawabkan hendak mengesampingkan karya Sasterawan Negara dan mengutamakan karya popular. Mujur hal ini dapat ditangani dengan wajar.

Maka, selepas melalui proses penilaian, dipilihlah judul-judul yang pada pandangan penilai sesuai untuk pelajar Tingkatan Satu-Tingkatan 5. Oleh itu, mulai tahun 2010, para pelajar di Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat mula menghayati dan mendalami teks-teks baharu. Teks-teks yang dimaksudkan itu adalah seperti yang berikut ini:

Mulai tahun 2011 pula, para pelajar di Tingkatan Dua dan Tingkatan Lima akan mula menghayati dan mendalami teks-teks baharu. Teks-teks yang terpilih itu adalah seperti yang berikut ini:

Para pelajar di Tingkatan Tiga hanya mula mendalami dan menghayati teks-teks KOMSAS mulai tahun 2012.

Apakah yang menarik tentang KOMSAS ini? Saya berpendirian bahawa idea menyelitkan bahan bacaan sastera dalam pengajaran mata pelajaran Bahasa Melayu sangat baik. Selain dapat menggalakkan minat membaca dalam kalangan pelajar, idea ini dapat menggalakkan pelajar mendekati bahan sastera di samping mengenali tokoh-tokoh persuratan tanah air.

Soalnya, bagaimanakah dengan bahasa (bukan gaya bahasa) dalam bahan-bahan/judul-judul yang dipilih itu (karya moden, bukan karya klasik – prosa tradisional dan puisi tradisional terkecuali)? Adakah tatabahasanya betul? Adakah penggunaan ayat pasif diri pertama dalam dialog (cerpen, drama), misalnya, tepat seperti yang diajarkan dalam aspek tatabahasa bagi mata pelajaran Bahasa Melayu. Jika tidak betul, tidakkah timbul pertentangan dengan pengajaran tatabahasa?

KOMSAS juga turut diajarkan dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris. Adakah tatabahasa yang digunakan dalam bahan-bahan KOMSAS untuk mata pelajaran Bahasa Inggeris itu berlawanan dengan aspek tatabahasa yang diajarkan dalam mata pelajaran itu? Mungkin tidak.

Saya tertarik dengan teks terbaharu untuk Komponen Sastera ini. Dalam salah sebuah puisi tradisional yang terkandung dalam salah sebuah antologi, terdapat sebuah syair yang berjudul “Syair Makna Riak”. Semasa melihat senarai judul dalam halaman kandungannya, saya mulanya menyangkakan syair itu memerihalkan riak yang terbentuk di air. Tetapi, apabila syair itu saya baca, rangkap pertamanya sudah menggambarkan perihal “sikap suka menunjuk-nunjuk dalam melakukan sesuatu kebaikan atau amal ibadat”.

Kita tidak pasti, siapakah yang silap dalam hal ini? Ejaan yang sebenarnya untuk riak yang mengambarkan “sikap suka menunjuk-nunjuk dalam melakukan sesuatu kebaikan atau amal ibadat” itu ialah “riyak”. Rujuklah kepada Kamus Dewan Edisi Keempat (DBP, 2005, hlm 1337), pasti kita temukan bentuknya yang tepat. Bentuk riak dalam syair itu membawa maksud “ombak kecil”.

Daripada masalah ini, kita perlu bertanya, apakah yang hendak diajarkan? Sastera sahaja atau bahasanya juga? Jika kedua-duanya, pemilihan bahan sastera akan datang haruslah menitikberatkan soal bahasa. Yang menangani teks-teks juga harus peka dengan tatabahasa, ejaan, dan sebagainya. Saya tidak fikir pengarang menentang bahasanya dibetulkan asal gaya bahasanya tidak diubah. Apalah salahnya membetulkan ayat “sambil menyudukan (sepatutnya menyudu) bubur jagung...”; “sudah pernah menyintai (sepatutnya mencintai) orang lain...”; “wajahku saling (sepatutnya salin) tak tumpah...”; dan sebagainya?

Hal kecil yang salah ini akan kekal lama dalam kepala pelajar, sama seperti kekalnya hal ini dalam kepala sesetengah orang sehingga tertulis dalam buku-buku.

Thursday, October 14, 2010

Lantai Runtuh: Pencapaian yang Begitukah Hendak Diutamakan?

Saya sama sekali tidak berniat hendak menyindir. Kebanyakan orang bersetuju bahawa slogan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" sangat hebat walaupun ada yang berkata kalimat “didahulukan” dan “diutamakan” itu kabur. Maksudnya, kedua-duanya boleh bersilih ganti.

Kepada orang yang tidak faham, dengan adanya ungkapan “rakyat didahulukan”, hal-hal yang berkaitan dengan kebajikan rakyat akan sentiasa dipantau dan dipelihara. Dengan adanya ungkapan “pencapaian diutamakan”, hal-hal kemajuan negara akan diberi perhatian yang penting. Begitulah lebih kurang.

Kejadian semalam adalah antara yang dapat menidakkan slogan “rakyat didahulukan”. Lantai (bukan bumbung) sekolah runtuh. Yang menjadi mangsa bukan YB Menteri Pelajaran atau Timbalannya, atau KP Pelajaran dan Pengarah-pengarah Jabatan yang lain, atau Pegawai-pegawai lain di Kementerian dan Jabatan Pelajaran, tetapi murid-murid. Sepuluh orang murid cedera, dua daripadanya dikategorikan sebagai serius.

Pastilah satu siasatan akan dilakukan. Inilah “pencapaian” kita selalunya. Siasatan dilakukan selepas kejadian, walhal siasatan terhadap bangunan harus dilakukan secara berkala. Menjadikan kayu bakau (bukan besi seperti lazimnya) sebagai lapik lantai bukanlah idea yang cerdik dan bukanlah pencapaian yang harus dibanggakan.

Membina bangunan yang mudah runtuh, selalu bocor, dan macam-macam yang lain seperti suatu pencapaian pula. Masih juga ada yang berkata “mujur”.

Tuesday, October 12, 2010

Kesesakan Jalan Raya: Cerita Sepanjang Zaman

Hal kesesakan jalan raya telah acapkali diulas orang. Dalam siaran ini juga hal yang sama pernah dibicarakan.

Tidak ada cara lain yang lebih menjimatkan belanja dan masa untuk mengatasi kesesakan jalan raya selain daripada mengatur atau mengehadkan kemasukan kenderaan ke kawasan yang menyebabkan kesesakan. Seperti yang diketahui, kawasan yang biasa mengalami kesesakan di negara ini ialah Kuala Lumpur. Kalau pada waktu puncak, Lebuh Raya Persekutuan, Lebuh Raya Damansara-Puchong, Jalan Cheras-Kajang, Lebuh Raya KL-Sungai Besi (Besraya), Jalan Tun Razak, Jalan Istana Negara-Mahameru, akan mengalami kesesakan yang melampau.

Perlukah kerajaan menegeluarkan belanja untuk melakukan pelebaran jalan, penaiktarafan jalan, dan sebagainya untuk mengatasi masalah ini? Terbukti bahawa, usaha kerajaan membesarkan jalan, membina lebuh raya baharu, dan sebagainya tidak banyak membantu menyelesaikan masalah ini. Sebenarnya, pembinaan lebuh raya baharu bukan benar-benar dapat mengatasi masalah kesesakan jalan raya sebaliknya sekadar dapat memindahkan kesesakan. Sebagai buktinya, pembinaan terowong SMART di Kuala Lumpur telah menjadikan Jalan Tun Razak di persimpangan Bukit Bintang dan Jalan Ampang bertambah sesak pada waktu puncak. Pelepasan Kerinci Link ke Lebuh Raya Persekutuan menjadikan laluan menghala ke pusat bandar raya di hadapan RTM sesak teruk.

Oleh sebab pembinaan lebuh raya baharu tidak banyak membantu menyelesaikan masalah ini, kerajaan perlu mengaturkan, mengehadkan, serta menjadualkan kemasukan kenderaan ke pusat-pusat bandar. Sudah sampai masanya cadangan yang pernah diutarakan pada tahun 1990-an dahulu, iaitu mewajibkan amalan pekongsian kenderaan dikuatkuasakan kepada setiap orang. Dalam hal ini, tidak perlulah sampai lima orang sekenderaan, tetapi memadailah dengan tiga orang sekenderaan.

Atau, jadualkanlah kemasukan kenderaan ke pusat bandar. Sebagai contohnya, kenderaan yang nombor platnya berakhir dengan angka ganjil dibenarkan untuk memasuki pusat bandar pada hari Isnin, Rabu, dan Jumaat manakala kenderaan yang nombor platnya berakhir dengan angka genap dibenarkan memasuki bandar hanya pada hari Selasa, Khamis, dan Sabtu. Hari Ahad ialah hari kelepasan, maka kenderaan bebas memasuki KL.

Sama ada idea perkongsioan kenderaan atau penjadualan kemasukan kenderaan, semuanya memerlukan keikhlasan kerajaan. Jikalau lebih suka bercakap daripada bertindak demi rakyat, kita akan selalu mendengar retorik. Kalau bertindak seiring dengan yang dicakapkan, kita harus mengangkat ibu jari kepada mereka.

Pengendali lebuh raya pasti menentang idea ini kerana sebarang pelaksanaan seperti ini akan mengurangkan kutipan tol mereka! Tetapi, kerajaan perlu ingat, jumlah kenderaan yang berkurang di jalan raya berkat daripada pelaksanaan itu kelak akan menjimatkan belanja untuk membina lebuh raya baharu dan jumlah penggunaan petrol dan diesel dapat dikurangkan sekali gus beban subsidi dapat dikurangkan.

Hal ini bukan masalah besar kecuali kalau kerajaan berfikir bahawa perolehan pengendali tol lebih penting daripada keselesaan rakyat dan penjimatan subsidi petroleum harus dibebankan kepada rakyat.

Monday, October 11, 2010

YAM Ku Li: Telahan Sahaja

Yang Berhormat Mulia Tengku Razaleigh Hamzah telah dilantik oleh UMNO-BN sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO di DUN Galas dan YBM Tengku Razaleigh berkenan menerima pelantikan itu. Maka, berperananlah beliau sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO di DUN Galas.

UMNO rupa-rupanya bukan sahaja memahukan YBM YAM Tengku Razaleigh berperanan sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO di DUN Galas itu, malah mereka berharap sangat agar YAM Tengku Razaleigh menerima cadangan mereka supaya menjadi calon UMNO untuk bertanding di DUN itu. Hal ini diputuskan demikian oleh pihak UMNO kerana mereka yakin bahawa susuk yang bernama Tengku Razaleigh Hamzah itu dilihat mampu untuk merampas kerusi DUN Galas daripada tangan PAS.

Sebelum Galas, setahun lalu (September 2009) pernah berlaku bekas “orang besar” UMNO dijadikan sebagai calon untuk bertanding dalam PRK peringkat DUN. Susuk yang dijadikan sebagai calon dalam PRK itu ialah Tan Sri Mohd. Isa bin Abdul Samad. Beliau diletakkan sebagai calon oleh BN-UMNO bagi mempertahankan kerusi DUN Bagan Pinang yang dimenangi pada PRU12. Alhamdulillah, Tan Sri Mohd. Isa menang dalam PRK itu.

Barangkali, keyakinan yang samalah yang mendorong UMNO-BN berura-ura untuk meletakkan YAM Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon di DUN Galas. Perlu kita akui bahawa YAM Tengku Razaleigh Hamzah bukan calang-calang tokoh dan saya secara peribadi merasakan bahawa beliau berpotensi besar untuk menang jika bertanding di situ (jika tiada sabotaj).

Kita tidak pasti, bagaimanakah cita-cita politik YAM Tengku Razaleigh Hamzah. Adakah beliau masih mengharapkan jawatan dalam kabinet atau sekadar berpuas hati dengan kedudukannya sekarang. Tetapi, berdasarkan keinginannya hendak bersaing dalam perebutan pucuk pimpinan UMNO baru-baru ini, beliau memang berkeinginan untuk menjadi salah seorang teraju kepemimpinan.

Kalau begitu, inilah peluang terbaik beliau – bersetuju untuk menjadi calon dan kalau menang dalam PRK itu, mintalah pucuk pimpinan UMNO melantiknya sebagai salah seorang anggota kabinet. Hal ini bukankah dilakukan oleh pihak MIC apabila Timbalan Presidennya tidak dijadikan sebagai calon dalam PRK Hulu Selangor? Apabila Timbalan Presiden itu tidak dijadikan sebagai calon, beliau telah dijanjikan jawatan Senator dan ternyata beliau memperolehnya. Tengku Razalaeigh boleh mencuba.

Saya yakin, kalau YAM Tengku Razaleigh Hamzah berada dalam kabinet, Kelantan “menjadi lain”. Tok Pa, Tan Sri Anuar Musa, dan sekerat dua UMNOrian dari Kelantan sejak sekian lama tidak dapat menanjakkan UMNO Kelantan seperti Tengku Razaleigh menanjakkan Kelantan dahulu. Soalnya, adakah begitu sekali YAM Tengku Razaleigh Hamzah kemaruk akan jawatan dalam kabinet?

Tunggulah!

Saturday, October 9, 2010

Pejuang Tanah Air dan Komanwel

Apakah/Bagaimanakah perasaan kita sekiranya kita merupakan salah seorang ahli Persatuan Bekas Perajurit atau Bekas Pelajar (Alumni), dan lain-lain. Saya yakin sangat bahawa rasa bangga pasti menyelinap dalam diri kita. Bekas ketua unit saya begitu bangga menjadi ahli Persatuan Murid-murid Tua Sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman, Ipoh (STAROBA/Sekolah Tunku Abdul Rahman Old Boys Association). Mereka dapatlah dikatakan agak aktif.

British merupakan negara penjajah. Banyak negara di dunia ini yang menjadi jajahannya. Malaysia/Tanah Melayu adalah antara jajahan takluknya suatu ketika dahulu. Banyak sungguh pejuang kemerdekaan kita, sama ada yang bernama (Tuk Janggut, Abdurrahman Limbong, Tok Bahaman, dan lain-lain) atau yang “tidak bernama” yang digugurkan oleh pihak penjajah itu.

Tiba-tiba selepas dibebaskan, darah dan air mata pejuang ini kita pinggirkan. Kita dengan sukacita dan rasa bangga menyertai satu kesatuan bekas negara jajahan yang menampakkan bahawa kita berasa sangat bangga kerana pernah menjadi salah sebuah negara Empayar British. Dalam erti kata yang lain, kita seperti berasa megah kerana pernah bertuankan British! Perlukah begitu? Kalau politik menjadi asas penyertaan/keahlian, rasanya tidak perlu sama sekali.

Jika tidak salah, Ireland dan Zimbabwe telah meninggalkan Komanwel. Fiji juga begitu dan walaupun negara itu menyertai Komanwel semula, negara itu telah digantung keahliannya.

Sukan Komanwel memang persaingan yang bagus untuk atlet kita, tetapi sukan itu berasas pada hakikat bahawa negara pesertanya adalah bekas jajahan takluk British. Seronokkah kita?

Friday, October 8, 2010

PKR dapat “Datuk” Baharu

Kenal Datuk Dr. Lee Chong Meng? Beliau Pengerusi MCA Bahagian Bukit Bintang. Hari ini beliau mengumumkan keputusannya untuk meninggalkan parti komponen BN itu dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR). Beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada ibu pejabat MCA tengah hari semalam.

Datuk Dr. Lee bertindak keluar dari MCA apabila Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, Presiden MCA, mengumumkan bahawa MCA akan menggantung keanggotaan Datuk Dr. Lee atas tuduhan menyalahgunakan peruntukan kerajaan. (Lembaga Disiplin MCA sebelum ini memang telah mencadangkan keaggotaan Datuk Dr. Lee digantung selama tiga tahun atas dakwaan bahawa beliau menyalahgunakan peruntukan yang diberikan kerajaan pada tahun 2008.)

Datuk Dr. Lee menafikan tuduhan itu, malah menjelaskan bahawa peruntukan RM60,000 itu digunakan untuk aktiviti Tahun Baharu Cina dengan beliau sendiri telah mengeluarkan belanja RM40,000 untuk menjayakan acara bagi aktiviti itu.

ULASAN
Akhirnya, khabar angin menjadi khabar benar. Borang keahlian PKR yang telah diisi beliau sejak beberapa bulan lalu akhirnya ditandatangani dan sahlah beliau sebagai ahli PKR.

Tuesday, October 5, 2010

Pemimpin yang Sedang Tersungkur?

Berlumba-lumba orang mempertikaikan serta mengutuk keceloparan YB Mohamed Azmin Ali yang menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad yang sedang menerima rawatan di Melbourne, Australia kerana jangkitan paru-paru, sebagai “pemimpin yang sedang tersungkur”. Sindiran itu dilafazkan beliau tatkala berucap untuk merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PKR Cabang Gombak.

YB Mohamed Azmin sebenarnya tidak menyebut nama Tun Dr Mahathir semasa melafazkan sindiran itu. Beliau hanya mengaku bahawa sindiran itu ditujukannya kepada Tun Dr. Mahathir tatkala ditemui oleh pihak media selepas majlis perasmian itu. Malah, beliau beranggapan bahawa sindiran itu lebih lunak dan sesuai untuk mantan Perdana Menteri itu.

Sebenarnya, selunak dan sesesuai mana sekalipun sindiran yang sedemikian, orang yang berhemah dan berakhlak tidak sepatutnya melafazkan sindiran yang demikian. Hal ini demikian kerana orang yang ditimpa sakit mengharapkan simpati kita, bukannya sindiran yang dapat menyinggung perasaan. Lagipun, sakit merupakan ujian Allah SWT kepada semua hamba-Nya.

Apabila disebut sebagai “ujian”, kita perlu sedar bahawa ujian itu bukan sahaja diturunkan Allah SWT kepada yang empunya diri, tetapi juga kepada orang-orang di sekelilingnya. Ujian itu merupakan satu cara Allah SWT hendak menguji keimanan yang empunya diri serta orang-orang yang mengenalinya. Dengan yang demikian, semua orang akan dapat memuhasabah diri.

Oleh sebab itu, teguran dan nasihat YAB Tan Sri Muhyiddin kepada YB Mohamed Azmin tentang “keceloparan”nya harus diterima dengan hati yang terbuka. Dalam erti kata yang lain, YB Mohamed Azmin harus sedar bahawa beliau telah melakukan sedikit kesilapan dan dengan yang demikian molek sangatlah jikalau beliau meminta maaf atas kesilapannya itu.

Sebagai perbandingan, dalam kes DS Anwar Ibrahim dibelasah oleh mantan KPN hingga lebam muka dahulu, Tun Dr. Mahathir sendiri telah menuduh DS Anwar Ibrahim mencederakan dirinya sendiri. Perbuatan itu juga kurang wajar dan kurang cerdik kerana ternyata bahawa DS Anwar memang dibelasah. Mantan PM itu harus juga meminta maaf.

Monday, October 4, 2010

Hukuman Apakah yang Layak untuk Pelacur Itu?

Kita, rakyat marhaen, berbuih-buih mulut seperti orang sawan babi bercerita dan membuat puluhan komen tentang natijah kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara kita. Pelbagai kesan kita ketengahkan dan semuanya benar kerana semua yang dinyatakan itu fakta.

Tidak cukup hanya mengeluarkan suara lewat radio, ada orang membicarakannya dengan mengeluarkan suara dan gambar lewat TV. Tidak cukup radio dan TV, orang membicarakannya lewat media cetak sehingga hampir habis dakwat dan kertas.

Yang seorang berkata bahawa PATI telah menyebabkan masalah jenayah di negara ini – curi, ragut, samun, bunuh, rompak, dan rogol – meningkat. Yang seorang lain berkata bahawa PATI telah menutup peluang perniagaan rakyat tempatan. Yang seorang lagi berhujah bahawa PATI telah menyebarkan pelbagai penyakit yang sesetengahnya telah tiada di negara kita. Begitulah antara fakta yang dihujahkan orang.

Mujur rakyat kita bukan seperti orang Bendera yang berura-ura hendak mengganyang kita hanya sebab-sebab yang juga banyak berlaku di negara mereka. Walhal, jika difikirkan semula, kitalah yang sepatutnya berasa marah kerana pihak kerajaan mereka tidak gigih berusaha untuk melarang rakyat mereka daripada datang secara haram ke negara kita.

Kalau seseorang individu datang secara haram ke negara orang, bermaksud orang itu penceroboh, sama halnya dengan orang tidak dikenali yang menceroboh kediaman kita. Biasanya, penceroboh harus kita layan bagaimana?

Inilah keanehan yang berlaku. Rupa-rupanya masalah yang tidak selesai ini dicetuskan oleh keparat-keparat yang kita gajikan. Isu yang menjadi masalah kepada kita rupa-rupanya sumber kekayaan kepada mereka. Beban yang tergalas di pundak kita, rupa-rupanya rezeki rimau buat mereka!

Orang-orang itu mendapat ratusan ribu ringgit dengan mengesahkan dan menghalalkan kemasukan mereka. Sekepala yang disahkan, mereka beroleh RM80.00. Sebagai hasilnya, sang keparat ini beroleh puluhan ribu RM seminggu.

Tergamak mereka melakukan demikian kepada kita. Cukupkah nanti pihak atasan Jabatan itu hanya mengenakan tindakan disiplin kepada mereka? Cukupkah mereka sekadar ditukarkan tempat bertugas?

Bukankah sepatutnya keparat-keparat yang mengkhianati rakyat dan negara ini sepatutnya dihukum lebih teruk daripada itu?

Menggigil tubuh ini. Anak dara kita sampai dilarikan PATI (yang mungkin merupakan PATI yang dilepaskan pegawai yang kita berikan amanah itu) untuk dinikahi oleh para PATI itu sampai ibu-ibu bapa tidak cukup air mata menangisi kehilangan anak mereka. Merah padam muka kita apabila isteri bekas polis kita dibunuh sedemikian rupa di Shah Alam dulu, mungkin oleh PATI yang dilepaskan oleh pegawai yang kita berikan amanah itu juga. Jadi, apakah hukuman yang layak untuk mereka – pegawai-pegawai itu yang melacurkan amanah yang kita pertanggungjawabkan?

Saturday, October 2, 2010

Menuju PRU 13: Perak

Seperti yang dinyatakan dalam siaran yang lalu, PRU 12 sudah lebih dua tahun (2 tahun 7 bulan) berlalu. Hal ini bermaksud bahawa kerajaan yang memerintah Persekutuan Malaysia dan kerajaan-kerajaan yang memerintah 13 buah negeri lain serta Wilayah Persekutuan hanya mempunyai tempoh sekitar dua tahun sahaja lagi untuk berkuasa. Selepas tempoh itu, kerajaan (Parlimen dan Dewan Undangan Negeri) mesti dibubarkan bagi membolehkan rakyat memilih kerajaan yang baharu.

Apabila menyebut dibubarkan, entah betul entah tidak, ada khabar yang mengatakan bahawa Parlimen bakal dibubarkan pada tahun hadapan. Jika benar-benar berlaku pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, kerajaan sedia ada telah memendekkan mandat yang diberikan rakyat kepada mereka. Khabar itu tidak pula menyatakan rasional pembubaran awal itu. Walau bagaimanapun, semuanya hanya khabar angin (tetapi khabar angin di Malaysia, kata orang, selalu menjadi khabar sahih).

Kerajaan Negeri Sarawak yang sudah hampir tamat tempoh pemerintahannya sampai kini masih belum membubarkan Dewan Undangan Negerinya. Adakah hal ini ada kaitannya dengan khabar angin yang mengatakan bahawa pilihan raya umum bakal diadakan pada tahun hadapan supaya pilihan raya negeri Sarawak dapat diadakan bersekali dengan pilihan raya umum? Mengapakah berlaku begitu?

Perkara yang sedang bermain-main dalam kepala pemuka BN yang menguasai Dewan Undangan Negeri Sarawak itu (malah dalam kepala Pengerusi BN sendiri) hinggakan sampai sekarang masih berteka-teki tentang tarikh pembubaran itu tidaklah dapat kita baca. Adakah kerana risikan yang dibuat oleh pihak mereka dan pihak yang bekerja dengan mereka memperoleh maklumat yang kurang menyenangkan? Kita tunggulah. Walau apa-apa pun alasan dan strategi mereka, pilihan raya tetap akan diadakan, insya-Allah.

PRU 12 Mac 2008 lalu menyaksikan tiga buah negeri ramalan YBhg Tun Daim – Kedah, Pulau Pinang, dan Selangor – benar-benar bertukar kerajaan, daripada BN kepada PR. Barangkali YBhg Tun Daim tidak sempat membuat risikan di Perak. Perak, pada PRU 12 itu, menerima nasib yang sama dengan tiga buah negeri itu – bertukar kerajaan. Daripada 59 DUN yang terdapat di negeri itu, BN menang 28 manakala yang selebihnya (31) disapu oleh Pakatan Rakyat – 18 DAP, 7 PKR, 6 PAS.

Walaupun DAP mendominasi bilangan kerusi di Perak berbanding dengan parti lain dalam PR, Wakil Rakyat daripada parti itu tidak dipilih sebagai MB. Hal ini berlaku demikian kerana Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak menetapkan bahawa MB mestilah dipilih daripada kalangan wakil Melayu yang beragama Islam. Atas semangat musyawarah (?), setelah diperkenankan oleh Ke Bawah DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Pakatan Rakyat telah bersetuju supaya Wakil Rakyat daripada PAS menjadi MB negeri itu.

Hal ini khabarnya telah mendorong DAP untuk memilih ahli mereka daripada kalangan orang Melayu-Islam sebagai calon Wakil Rakyat pada PRU 13 yang akan datang. Mereka berandaian bahawa jika pada PRU 13 kelak mereka sekali lagi mendominasi jumlah kerusi yang dimenangi, pastilah wakil mereka yang akan dilantik sebagai MB.

Sebenarnya, jika hal ini benar-benar dilakukan oleh DAP, banyak orang yang akan “membuka mata” dengan seluas-luasnya. Orang akan menuduh DAP tidak mempunyai semangat setia kawan yang tinggi kerana sengaja memilih orang Melayu daripada parti mereka sebagai calon bagi menutup peluang calon Melayu daripada parti lain untuk menjadi MB. Orang akan melihat, berapa banyak ahli DAP yang berbangsa Melayukah yang akan dipilih oleh pemuka parti itu sebagai calon mereka dalam PRU 13? Seorang sahajakah atau lebih daripada tiga orang? Orang akan bertanya juga, mengapakah baru sekarang hendak menonjolkan lebih banyak calon Melayu di Perak? Kemudian, seandainya lebih daripada tiga orang Melayu dipilih oleh mereka sebagai calon di Perak, adakah mereka akan memilih calon Melayu dalam jumlah yang sama di negeri lain?

Di Perak, pada PRU 12 itu, DAP memenangi semua 18 kerusi DUN yang ditandinginya. Daripada jumlah itu, hanya dua kawasan DUN sahaja yang dimenangi mereka dengan majoriti di bawah 900 undi, iaitu di Pokok Asam (865 undi) dan Kepayang (490 undi). Dua lagi kawasan DUN dimenangi mereka dengan majoriti di bawah 1500 undi, iaitu di Malim Nawar (1362 undi) dan Sungkai (1454 undi). Yang lain dimenangi mereka dengan majoriti yang agak selesa.

BN bertanding di semua DUN (59) pada PRU 12 lalu. Seperti yang dinyatakan, mereka memenangi tidak sampai separuh daripada jumlah kerusi yang ditandingi (28). Daripada jumlah kerusi yang dimenangi itu, 8 kerusi dimenangi mereka dengan majoriti di bawah 920 undi. Malah, ada yang dimenangi hanya dengan majoriti 95 undi (Alor Pongsu).

PKR bertanding di 20 kawasan DUN tetapi menang 7 kerusi sahaja. Tiga daripadanya dimenangi dengan majoriti di bawah 570 undi.

PAS bersaing di 21 kawasan DUN, tetapi cuma menang di enam kawasan sahaja. Berdasarkan majoriti yang diperoleh, kedudukan mereka masih belum mantap. Majoriti undi yang diperoleh mereka di tiga DUN tidak memperlihatkan prestasi yang menggalakkan. Ada yang dimenangi dengan majoriti 72 undi (Lubok Merbau), 547 undi (Selinsing), dan 899 undi (Changkat Jong). Majoriti terbaik diperoleh mereka di Pasir Panjang (4474 undi).

PAS mungkin boleh menebus kekalahan mereka di tangan UMNO-BN di beberapa kawasan yang mereka tewas dengan majoriti kecil, seperti di Pengkalan Baharu (14 undi), Alor Pongsu (55 undi), Kubu Gajah (66 undi), Manjoi (348 undi), Selama (355 undi), Rungkup (454 undi), Kamunting (555 undi), Sungai Rapat (636 undi), Manong (749 undi), dan Trong (916 undi). Walau bagaimanapun, mereka berpotensi untuk kalah di kawasan yang mereka (PAS) menang sekarang berdasarkan majoriti di atas. Oleh sebab itu, PAS sangat perlu menggembleng tenaga untuk menambah bilangan kerusi DUN yang dimenangi mereka.

Hakikatnya Perak, seperti Selangor, sukar untuk dirampas oleh BN pada PRU 13 yang akan datang. Dasar-dasar yang diperkenalkan oleh BN dalam kerajaan pusat menjadi penentu, sama ada Perak akan berada di tangan BN ataupun di tangan PR. Sebagai contohnya, menaikkan harga petrol, sama ada melalui perisytiharan ataupun secara sembunyi-sembunyi, menaikkan harga gula dengan alasan yang konkrit atau dengan alasan yang bodoh, dapat menjadi penyebab penolakan rakyat terhadap BN. Kenaikan harga barangan itu bukan dilakukan oleh kerajaan BN Perak apatah lagi oleh kerajaan PR Selangor, Perak, Kedah, Kelantan, dan Pulau Pinang.

Apakah strategi yang dirangka oleh BN sekarang? Merangka strategi untuk mengekalkan kuasa, atau merangka strategi untuk merampas kuasa melalui pilihan raya, atau merangka strategi untuk merampas kuasa dengan cara yang dilakukannya di Perak?