Monday, October 4, 2010

Hukuman Apakah yang Layak untuk Pelacur Itu?

Kita, rakyat marhaen, berbuih-buih mulut seperti orang sawan babi bercerita dan membuat puluhan komen tentang natijah kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara kita. Pelbagai kesan kita ketengahkan dan semuanya benar kerana semua yang dinyatakan itu fakta.

Tidak cukup hanya mengeluarkan suara lewat radio, ada orang membicarakannya dengan mengeluarkan suara dan gambar lewat TV. Tidak cukup radio dan TV, orang membicarakannya lewat media cetak sehingga hampir habis dakwat dan kertas.

Yang seorang berkata bahawa PATI telah menyebabkan masalah jenayah di negara ini – curi, ragut, samun, bunuh, rompak, dan rogol – meningkat. Yang seorang lain berkata bahawa PATI telah menutup peluang perniagaan rakyat tempatan. Yang seorang lagi berhujah bahawa PATI telah menyebarkan pelbagai penyakit yang sesetengahnya telah tiada di negara kita. Begitulah antara fakta yang dihujahkan orang.

Mujur rakyat kita bukan seperti orang Bendera yang berura-ura hendak mengganyang kita hanya sebab-sebab yang juga banyak berlaku di negara mereka. Walhal, jika difikirkan semula, kitalah yang sepatutnya berasa marah kerana pihak kerajaan mereka tidak gigih berusaha untuk melarang rakyat mereka daripada datang secara haram ke negara kita.

Kalau seseorang individu datang secara haram ke negara orang, bermaksud orang itu penceroboh, sama halnya dengan orang tidak dikenali yang menceroboh kediaman kita. Biasanya, penceroboh harus kita layan bagaimana?

Inilah keanehan yang berlaku. Rupa-rupanya masalah yang tidak selesai ini dicetuskan oleh keparat-keparat yang kita gajikan. Isu yang menjadi masalah kepada kita rupa-rupanya sumber kekayaan kepada mereka. Beban yang tergalas di pundak kita, rupa-rupanya rezeki rimau buat mereka!

Orang-orang itu mendapat ratusan ribu ringgit dengan mengesahkan dan menghalalkan kemasukan mereka. Sekepala yang disahkan, mereka beroleh RM80.00. Sebagai hasilnya, sang keparat ini beroleh puluhan ribu RM seminggu.

Tergamak mereka melakukan demikian kepada kita. Cukupkah nanti pihak atasan Jabatan itu hanya mengenakan tindakan disiplin kepada mereka? Cukupkah mereka sekadar ditukarkan tempat bertugas?

Bukankah sepatutnya keparat-keparat yang mengkhianati rakyat dan negara ini sepatutnya dihukum lebih teruk daripada itu?

Menggigil tubuh ini. Anak dara kita sampai dilarikan PATI (yang mungkin merupakan PATI yang dilepaskan pegawai yang kita berikan amanah itu) untuk dinikahi oleh para PATI itu sampai ibu-ibu bapa tidak cukup air mata menangisi kehilangan anak mereka. Merah padam muka kita apabila isteri bekas polis kita dibunuh sedemikian rupa di Shah Alam dulu, mungkin oleh PATI yang dilepaskan oleh pegawai yang kita berikan amanah itu juga. Jadi, apakah hukuman yang layak untuk mereka – pegawai-pegawai itu yang melacurkan amanah yang kita pertanggungjawabkan?

2 comments:

  1. Salam, tuan.

    Kadangkala terasa lucu juga apabila ada dalam kalangan pihak berkuasa kita menghentam dan menyalahkan para pendatang yang menjadi punca berleluasanya kejadian jenayah di negara kita. Sememangnya kita wajar marah kepada si penjenayah, namun kita harus lebih marah lagi kepada mereka yang seharusnya menjadi benteng utama mengekang kemasukan para penjenayah itu ke negara kita. Bagaimana mereka boleh masuk ke sini? Tanyakan sahaja kepada pihak berkuasa. Itu tanggung jawab mereka!

    ReplyDelete
  2. Salam, Cikgu;
    Itulah isu utama di balik siaran saya ini. Harapkan tongkat, tongkat membawa rebah; harapkan kail, kail makan umpan.

    Kerana mengabaikan tanggungjawab, akhirnya keaiban terpalit ke muka kita sendiri.

    ReplyDelete