Monday, October 25, 2010

Lama Dah, Dah Malas Dah

Memang sudah banyak orang yang berkeluh-kesah tentang nasib bahasa Melayu. Yang puitis berkeluh hiba lewat sajak dan syair, serta gurindam, seloka, dan pantun mereka. Yang tidak puitis, berkeluh lewat rencana akhbar dan majalah – ada yang panjang lebar, ada yang cukup-cukup sahaja.

Bahasa Melayu memang sudah menjadi bahasa kelas kedua di negara ini. Jika tidak kerana diwajibkan sebagai subjek lulus periksa, bahasa Melayu tidak akan jadi apa-apa. Sekarang PMR bakal dimansuhkan. Tiada peperiksaan, tiada syarat wajib lulus pada peringkat itu. Tidak kita tahu bagaimana peperiksaan berasaskan sekolah dapat membantu perkembangan bahasa Melayu pada peringkat itu nanti.

Kuasa mendaulatkan bahasa Melayu sebenarnya masih ada pada orang Melayu. Orang Melayu masih PM kita, orang Melayu masih Menteri Pelajaran kita. Mereka boleh melakukan macam-macam demi bahasa kita. Mereka, malah, boleh mewajibkan semua orang bercakap dengan tatabahasa yang betul hanya dengan mewajibkan setiap anggota kakitangan awam hanya akan dinaikkan pangkat kalau lulus 70% ujian tatabahasa!

Yang tidak dapat bertutur dengan baik dalam bahasa Melayu alangkah banyaknya. Mereka ini, jikalau kita hendak, boleh digugurkan taraf kerakyatan mereka. Duduk di negara ini, mengaku sebagai rakyat Malaysia yang berbahasakebangsaankan bahasa Melayu, tetapi masih tergagap-gagap dan tidak faham akan apa-apa yang kita katakan dalam bahasa Melayu.

Yang bermegah dengan bahasa Inggeris pun alangkah banyaknya. Menang pingat emas dalam sukan serantau dan sejagat, ditanya orang dalam bahasa Melayu, masih bercakap dalam bahasa Inggeris. I’m very happy, I’m very proud, dan macam-macam yang lain. Tetapi begitulah, kerana kita pentingkan emasnya, bahasa kita digangsakan, bahasa kita dilumpurkan!

Ah, bercakap tentang bahasa tidak akan habis! Rasa jemu sudah mula membarah dalam jiwa ini. Dah lama dah, dah malas dah.

Tetapi masih juga hendak berpesan, “Bertindaklah semasa kita masih memiliki kuasa. Jadilah orang Thailand dan Indonesia yang memanfaatkan kuasa mereka”.

4 comments:

  1. Salam, Tuan Zul.
    Dalam sebuah majlis Malaysia-Jepun yang diadakan di UPSI baru-baru ini, wakil daripada Jepun berusaha menyampaikan ucapannya dalam bahasa Melayu. Kembang mekar hati kita mendengarnya. Namun, hati terus layu dan mati apabila tiba giliran wakil Malaysia berucap. Beliau berucap dalam bahasa Inggeris! "Melayu tidak sedar diri," keluh seorang mahasiswa yang mendengarnya...

    ReplyDelete
  2. Salam, Cikgu;
    Tepat sekali keluhan mahasiswa itu. Malah, elok sangat luahan itu dilaungkan sampai didengar oleh wakil Malaysia yang tidak sedar diri itu.

    Teringat saya majlis penyampaian hadiah Hadiah Sastera Esso-Utusan Melayu di IB beberapa bulan lalu. Mat Saleh, orang besar Esso, bercakap menggunakan teks dalam bahasa Melayu. Seperti Cikgu, kembang semangkuk hati ini pada masa itu walaupun ada perkataan yang dilafazkannya "kelakar" bunyinya.

    ReplyDelete
  3. Sdr. Zul dan Puan Marini,

    Memang banyak kisah sedih yang menambah luka dan lara hati kita yang masih cinta dan faham akan peranan bahasa kebangsaan dalam pemupukan jati diri dan maruah bangsa dan negara.

    Dalam Majlis Penyampaian Watikah Kursi Pengajian Melayu di Republik Rakyat China kepada saya oleh Menteri Pengajian Tinggi (pada bulan Mei 2007), pengacara majlis menggunakan bahasa Inggeris dalam pengacaran majlis dan doa pun dibaca dalam bahasa Inggeris.

    Suasana berubah apabila Wakil Duta Besar RRC berucap dalam bahasa Melayu. Semua pembesar wakil Malaysia 'terpaksa' membuat terjemahan semerta (daripada teks yang disediakan dalam bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu). Malah ada salah seorang orang besar yang berucap terus-terang mengatakan bahawa ia berasa gugup kerana terpaksa membuat terjemahan semerta sesudah mendengar wakil Duta Besar China berucap dalam bahasa Melayu.

    Demikianlah rasa rendah diri 'yang cukup tinggi' dalam kalangan kebanyakan orang Melayu sendiri, terutama yang berwewenang dalam pentadbiran kerajaan. Untunglah Menteri sendiri terus berucap dalam bahasa Melayu tanpa menzahirkan rasa kurang selesa atau 'terpaksa'. Rasa sakit hati saya tidak hilang dengan perubahan suasana itu kerana kemudian pengacara masih meneruskan pengacaraannya dalam bahasa Inggeris (barangkali dia tidak memiliki kemahiran membuat terjemahan semerta pada skrip yang telah disediakan, walaupun skrip itu bukan teks yang berlaras bahasa teknikal!)

    Keadaan tidak akan berubah menjadi lebih baik selagi tiada 'transformasi' yang menyeluruh (selain transformasi ekonomi dan politik). Perihal saran Sdr. Zul supaya dikenakan syarat 70% penggunaan bahasa yang baik, saya sudah banyak kali menyarankan agar diadakan Audit Bahasa oleh JPA untuk semua jabatan kerajaan, jika kerajaan memang serius untuk mensyaratkan penjawat awam berbahasa dengan baik, santun dan memenuhi taraf bahasa rasmi, dalam semua urusan rasmi. Rasa saya, tidak masuk dalam akal mereka saran saya itu, malah mungkin dicebikkan sahaja sebagai saran ekstrem.

    ReplyDelete
  4. Salam, Prof;
    Kalaulah pihak yang berwewenang itu tinggi kesedarannya dalam hal mendaulatkan bahasa Melayu, tentulah mereka berasa amat malu untuk menyisihkan bahasa nenek moyang mereka. Tetapi, sebagai mengambil contoh, mantan Menteri Pelajaran yang sebelum Menteri Pelajaran sekarang meletakkan pejuang bahasa sebagai ekstremis bahasa. Mantan itu seperti berasa malu pula mempunyai pejuang bahasa. Alangkah aibnya mempunyai menteri yang seperti itu!

    Teringat saya akan peribahasa "Daripada hidup bercermin bangkai, lebih baik mati berkalang tanah".

    Kita menggambarkan maksud peribahasa itu sebagai daripada menanggung malu kerana bahasa Melayu dianaktirikan, daripada dicemuh generasi akan datang, lebih baiklah kita mati.

    Saya pula menggambarkannya sebagai daripada menanggung malu punya menteri yang begitu, lebih baik biar dia yang....

    ReplyDelete