Thursday, March 31, 2011

Betulkah Syurga Di Bawah Telapak Kaki Ibu?

Hari Ibu diraikan oleh masyarakat di seluruh dunia untuk meraikan dan menghargai jasa dan peranan ibu kepada umat manusia keseluruhannya. Walau bagaimanapun, tidak seperti sambutan Maulidur-Rasul, Maal Hijrah, Tahun Baharu Masihi, Hari Krismas, dan lain-lain, Hari Ibu disambut pada bulan yang berbeza-beza oleh setiap negara di dunia ini (antara Februari hingga Disember). Kita di Malaysia, seperti kebanyakan negara lain (hampir 80 buah negara), menyambutnya pada hari Ahad kedua dalam bulan Mei.

Negara jiran kita seperti Thailand, misalnya, menyambut Hari Ibu pada setiap 12 Ogos bersempena dengan hari keputeraan Permaisuri Sirikit. Indonesia pula menyambutnya pada 22 Disember dan dirayakan pada peringkat nasional. Tarikh itu dipilih bersempena dengan tarikh berlangsungnya kongres wanita Indonesia yang pertama (sekarang dikenal sebagai KOWANI) pada 22 Disember 1928.

Tidak kira bila Hari Ibu disambut, semua pihak bersetuju bahawa peranan ibu dalam kehidupan seluruh umat manusia sangat besar dan penting. Oleh sebab itu, saya secara peribadi merasakan bahawa baik Hari Ibu ataupun Hari Bapa, kedua-duanya wajar disambut pada sepanjang tahun atau setiap hari!)

Kerana peranan ibu sangat penting, maka lahirlah pelbagai ungkapan yang mengangkat peranan ibu, misalnya, “Tangan yang menggoncang buaian itu dapat menggoncang dunia”. Islam sendiri memposisikan ibu di tahap yang lebih tinggi daripada bapa. Misalnya, Nabi Muhammad SAW menyatakan tiga kali berturut-turut bahawa ibu hendaklah lebih dihargai daripada bapa (anda boleh mencari hadis lengkap tentang hal ini di Internet). Satu lagi ungkapan yang berlegar dalam agama Islam tentang ketinggian posisi ibu ialah “Syurga terletak di bawah telapak kaki ibu”.

Walau bagaimanapun, tentang ungkapan “Syurga terletak di bawah telapak kaki ibu” ini, saya sukar hendak mempercayainya! Saya yakin, ungkapan itu tidak benar, tidak mungkin!

Saya hendak lari daripada mukaddimah saya pada awal siaran ini. Mukaddimah saya tadi berguna untuk memberikan maklumat kepada pembaca tentang sambutan Hari Ibu. Tulisan saya selepas ini pula hendak memberikan maklumat tentang hal yang lain.

Telapak kaki merupakan bahagian paling bawah pada tubuh manusia (kecuali kalau ada manusia yang berjalan dengan cara kepala di bawah dan kaki di atas). Jadi, wajarkah syurga diletakkan di bahagian paling bawah?

Jangan salah faham terhadap pertanyaan saya ini! Saya faham akan maksud kiasan dalam ungkapan itu yang bertujuan untuk mengangkat martabat ibu yang sehingga demikian perlu dihormati oleh anak-anak dalam apa-apa juga keadaan. Jika si ibu mengajak si anak melakukan kemungkaran sekalipun, si ibu tidak harus dibengkengi oleh si anak, sebaliknya ibu itu harus didepani dengan penuh hemah dan rendah diri! Saya faham!

Yang sebenarnya tidak faham ialah orang-orang yang mengungkapkan kalimat itu dengan sewenang-wenangnya — syurga terletak di bawah telapak kaki ibu. Para pembaca budiman, syurga tidak terletak di bawah telapak kaki ibu, tetapi syurga terletak di/pada telapak kaki ibu. Alasan saya tentang hal ini ialah yang terletak di bawah telapak kaki ibu berbagai-bagai — boleh jadi lantai (kalau, kebetulan si ibu berada di tandas, lantai itu ialah lantai tandas!); boleh jadi juga tanah, rumput, air, tahi lembu, dan sebagainya. Oleh sebab itulah saya katakan bahawa saya sukar hendak mempercayai ungkapan “syurga terletak di bawah telapak kaki ibu” itu.

Hal ini berkait rapat dengan bahasa, sebenarnya — lebih tepatnya penggunaan kata dalam bahasa Melayu. Penggunaan dan pemilihan kata yang betul akan menjelaskan maksud ayat. Sebagai contohnya, apabila si A berkata kepada si B, misalnya, “Di bawah tapak kasut kamu ada rumput” semasa mereka berjalan di atas lantai simen, pasti si B tahu bahawa si A hendak berjenaka dengannya atau kalau si B marah, dia akan berkata si A gila kerana yang ada di bawah telapak kasutnya sekarang ialah lantai simen!

Sebaliknya, kalau si A berkata kepada si B, misalnya, “Di/Pada tapak kasut kamu ada rumput” semasa mereka berjalan di atas lantai simen, si B pasti akan segera bertindak balas dengan mengangkat kakinya untuk melihat tapak kasutnya bagi membuang rumput yang terlekat pada mana-mana bahagian di tapak kasutnya (tentulah di sisi tapak kasut itu).

Bentuk ungkapan yang salah itulah — syurga terletak di bawah telapak kaki ibu — yang tidak saya percayai. Saya mempercayai ungkapan “syurga terletak di telapak kaki ibu. Dengan berada di telapak kaki, tahulah kita akan maksudnya, iaitu bahawa syurga itu khusus berada di telapak kaki para ibu, bukannya di lantai tandas, rerumput, dan lain-lain. Kalau berada di atas lantai tandas atau rerumput, maknanya kalau kebetulan saya yang memijaknya, syurga juga berada di bawah telapak kaki saya!

Anda tentu pernah mendengar lagu “Sorga Di Telapak Kaki Ibu” yang asalnya dinyanyikan oleh Allahyarham S. Affandi (asal Indonesia) dan kemudian didendangkan oleh penyanyi-penyanyi lain seperti Eddy Silitonga (asal Indonesia juga) dan Aishah (asal Malaysia). Hayatilah seni katanya:

Bercucuran air mata bila kuterbayang
betapakah besar budi ibunda berikan
Siang malam menderita hingga tak dirasa
sungguh besar kasih sayang ibunda sorang
Duhai apakah gerangan budi balasan
bagi insan melahirkan membesarkan
Tiada bahagia jika tiada doa puja restu
sorga itu di telapak kaki ibu

Wednesday, March 30, 2011

Kebosanan Bekerja: Diladeni Secara Jujur atau Pura-pura

Kebosanan, kalau dibiarkan berpanjangan, akan merajai sikap dan tindakan. Kerana bosan terhadap tugas hakiki, misalnya, tugas hakiki itu akan menjadi tugas sampingan sahaja. Sebaliknya, hal-hal lain akan mengambil tempat tugas hakiki. Lebih teruk lagi, kerana bosan terhadap tugas hakiki, ada orang yang sering ponteng kerja sehingga tabiat buruk itu menjadi kemestian pada setiap bulan.

Jangan sekali-kali kita biarkan rasa bosan menguasai diri kita kerana rasa bosan akan menjadikan kita tidak ikhlas untuk melaksanakan tugas hakiki kita. Tidak ikhlas dalam melaksanakan sesuatu tugas tidak dapat menelurkan hasil yang baik. Hasil yang tidak baik akan menjejaskan peribadi kita. KPI kita mungkin berada di tahap kosong!

Seorang sahabat yang sudah bosan bekerja berkata kepada saya, “Saya ingin bertani, berladang, atau berternak. Saya sudah bosan dikongkong waktu. Saya bosan meladeni kerja yang terpaksa mematuhi deadline. Saya bosan terhadap semua keadaan yang formal itu!”

Saya memahami perasaannya kerana saya sendiri, pada tahap usia yang begini, turut berasa bosan terhadap rutin yang demikian. Kebetulan, saya juga hendak bertani atau berladang seperti beliau (tetapi saya tidak suka berternak).

“Jadi, apakah usaha kamu ke arah itu?” Saya bertanya kepadanya kerana saya benar-benar ingin tahu. Pada fikiran saya, kalau ideanya bernas, saya mungkin boleh mengikut jejak langkahnya.

Tiada jawaban daripada beliau. Ingatan saya kembali tentang ceritanya kepada saya tidak lama dahulu — bahawa beliau tidak punya tanah untuk diusahakan (ibu bapanya hanya mempunyai tanah seluas kangkang kera atau sepanjang badan mengkarung yang tidak memungkinkan beliau menjadi petani, peladang, atau peternak); bahawa beliau tidak punya wang yang banyak yang membolehkannya membeli tanah atau membeli haiwan ternakan; bahawa beliau tidak suka meminjam wang untuk merealisasikan cita-citanya.

“Saya fikir kamu perlu terus melakukan kerja yang kamu jawat sekarang seikhlas-ikhlasnya. Rasa bosan tidak harus kamu tatang, tidak harus kamu julang. Kalau kamu tidak pernah berasa bosan untuk makan, tidak pernah berasa bosan untuk tidur, tidak pernah berasa bosan untuk berfutsal, maka tidak ada sebab untuk kamu berasa bosan terhadap tugas kamu! Bekerjalah, setidak-tidaknya kamu dapat menghimpunkan wang melalui KWSP selama kamu bekerja bagi membolehkan kamu membeli tanah supaya kamu dapat menjadi petani, peladang, atau peternak pada suatu ketika nanti,” saya berkata dengan lancar dan spontan bagi memotivasikan beliau.

Beliau termenung sejurus dan kemudian berkata, “Rasa saya, menjadi pemandu teksi ialah pilihan terbaik saya. Pekerjaan demikian lebih baik kerana saya tidak dapat mengikhlaskan diri saya terhadap tugas saya sekarang. Seperti yang abang tahu, saya tidak punya tanah untuk diusahakan, saya tidak punya wang untuk membeli tanah. Pemandu teksi lebih sesuai dengan saya ... dengan kelulusan yang saya ada.”

Saya jadi keliru. Beliau memiliki diploma, maka dengan kelulusan itu beliau tidak wajar menjadi pemandu teksi. Lalu, saya segera merumuskan bahawa beliau memang betul-betul bosan terhadap tugasnya dan tugas-tugas lain yang mengongkong waktunya. Saya menatap wajahnya. Galur-galur dan riak-riak bosan itu terlihat dengan jelas pada wajahnya yang pudar.

“Dik...,” kata saya, “fikirkanlah masa depan kamu dan anak-anak kamu juga. Dengan pekerjaan kamu sekarang, alhamdulillah, kalau kamu atau anak-anak kamu sakit, segala kosnya ditanggung oleh syarikat. Tapi, kalau kamu menjadi pemandu teksi, semua beban itu terpaksa kamu tanggung sendiri. Mampukah kamu mendepaninya kelak?”

“Bang, tadi abang kata bahawa saya perlu terus melakukan kerja yang saya jawat sekarang dengan ikhlas. Maknanya, dalam kerja mesti ada keikhlasan. Dalam kes saya, keikhlasan terhadap tugas yang mengongkong masa saya sudah tidak ada. Tidak ada langsung, bang. Kosong! Oleh itu, saya perlu mencari keikhlasan itu. Ya, untuk tergolong sebagai insan mukhlisin, saya perlu mencarinya.”

Saya, pada waktu itu, tidak dapat berbuat apa-apa. Jelas bahawa kebosanan memungkinkan orang bertindak di luar dugaan.

Saya sempat menjelajah ke dalam diri saya dan membandingkan diri saya dengan dirinya. Saya fikir bahawa saya sangat realistik sehingga memberikan pandangan demi pandangan yang demikian, rupa-rupanya beliau lebih realistik lagi. Beliau lebih jujur terhadap dirinya kerana bersedia untuk berhijrah demi mendapatkan keikhlasan sedang saya terus hipokrit terhadap diri saya kerana terus berkerja dalam kebosanan, setidak-tidaknya untuk tempoh 5-6 tahun lagi!

Sekarang, sahabat saya itu lebih ceria.

“Tidaklah senang sangat, bang tapi tidaklah sampai saya terpaksa untuk meminta sedekah. Yang lebih menyeronokkan saya, sekarang saya tidak menunggu masa yang terluang untuk melakukan sesuatu, sebaliknya saya yang meluangkan masa untuk melakukan sesuatu. Saya punya banyak waktu untuk berada di surau, bergaul dengan jemaah dan ahli kariah setaman dengan saya. Sekarang saya punya waktu untuk mendalami al-Quran, sama ada tajwidnya dan tafsirnya, malah saya turut mengikuti kelas hafazan, cara orang tualah...,” kata sahabat saya dengan bangga.

Saya kagum tetapi saya masih tidak mempunyai keberanian seperti beliau. Sehingga demikian, saya masih kurang akrab dengan surau dan ahli kariah setaman. Dalam usaha saya mencari masa yang terluang, rupa-rupanya sudah banyak masa saya yang terbuang.

Tuesday, March 29, 2011

Sandiwara: Definisi Baharu

Sandiwara merupakan suatu bentuk hiburan yang sangat disukai oleh masyarakat yang hidup pada awal abad yang lalu kerana medium hiburan, khususnya televisyen, masih asing kepada masyarakat pada awal abad itu. Oleh hal yang demikian, apabila ada sandiwara, yang bayarannya mungkin mahal pada sebilangan masyarakat pada masa itu tetapi tidak mahal kepada para penggemar hiburan, maka berbondong-bondonglah orang pergi ke mana-mana lokasi yang mengadakan persembahan sandiwara bagi menonton lakonan yang dipentaskan oleh para penggiat sandiwara.

Apakah isi cerita sandiwara pada dekad-dekad awal abad lalu? Boleh jadi cerita asal usul, atau cerita kepahlawanan mana-mana tokoh, atau cerita semasa tentang masyarakat pada zaman itu. Boleh jadi! Ceritanya, walaupun khayalan, diadunkan sehingga unsur tidak logik dalam lakonan, menjadi logik dan real pada pandangan penonton. Plotnya tidak rumit dan rencam, sehingga demikian diterima baik oleh penonton kerana pengarahannya yang dapat dikatakan sebagai baik juga.

Tetapi, sandiwara yang ada sekarang plotnya bertabur-tabur dan simpang-perenang. Tokok tambah dan ubah suai pada plot berlaku ikut sedap pengarah dan rakan sekelilingnya, asal dapat memenuhi selera mereka sendiri bukan selera penonton. Ceritanya menjadi tidak logik dan memualkan, malah memalukan. Yang lebih menjelikkan ialah sandiwara itu jelas membodoh-bodohkan penonton dengan sembrono hingga penonton jengkel dan senak dada.

Mujur penonton sandiwara pada zaman ini dapat merasionalkan otak dan fikiran mereka. Mereka tidak menolak atau menerima inti cerita sandiwara itu dengan sembrono seperti pihak yang terlibat dengan pengarahan sandiwara itu. Sebaliknya, penonton menilainya dengan saksama, waras, dan wajar, kemudian membanding-bandingkannya dengan hakikat. Jelas bahawa sandiwara sudah ada definisi baharu — lelucon — yang diarahkan oleh para badut!

Monday, March 21, 2011

Serangan Pun Bermula

Serangan pun bermula. Maka ada pihak yang terpaksa mempertahankan diri. Kalau yang diserang negara, kebarangkalian untuk rakyat awam mati sangat tinggi. Kasihan rakyat jelata, kerana ada pihak yang hendak menunjukkan kuasa, mereka yang binasa.

Tetapi, kalau yang diserang peribadi, kebarangkalian untuk peribadi itu binasa belum pasti kerana serangan mungkin fitnah. Kalau serangan itu betul pun, mereka masih dapat tegak. Ada yang pernah diserang dan peribadi itu masih tegak ... sebagai presiden.

Rakyat banyak membuang masa melayan hal begini. Yang elok kita lakukan ialah usah dilayan hal-hal begini. Allah menyuruh kita menghindari perbuatan yang mengaibkan diri, keluarga, dan agama. Allah juga menyuruh kita menyembunyikan keaiban yang pernah dilakukan.

Malaysia, oh Malaysia!

Tuesday, March 15, 2011

Gempa dan Tsunami Jepun: Kembalilah Melakukan Kebaikan

Orang yang menganggap bahawa bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun hanyalah semata-mata bencana alam semula jadi sama seperti halnya dengan bencana tanah runtuh dan banjir besar, tidak akan mengaitkan bencana itu dengan peringatan Allah kepada hamba-Nya. Percayalah.

Sebagai buktinya, dahulu, ada pihak yang menafikan bahawa bencana banjir yang melanda Johor merupakan amaran Allah kepada manusia, Menurut pihak yang menafikannya, kejadian itu berlaku disebabkan oleh perubahan angin monsun dan sebagainya. Manusia memang selalu degil!

Mari kita berbalik kepada bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun pada 11 Mac 2011 lalu. Seharusnya, kita meyakini bahawa kejadian itu merupakan peringatan Allah kepada hamba-Nya. Peringatan itu bukan dihalakan Allah SWT kepada rakyat Jepun sahaja, tetapi juga kepada rakyat di seluruh dunia.

Bayangkan, negara Jepun yang serba maju, yang dapat membina bangunan yang tahan/kalis gempa bumi, yang dapat menyediakan amaran awal tentang berlakunya tsunami, masih tidak dapat meminimumkan kesan bencana itu kepada negara dan rakyatnya. Berbelas-belas ribu nyawa dipercayai terkorban dalam bencana itu.

Kini, selepas gempa bumi dan tsunami, negara itu berdepan dengan kemungkinan berlakunya bencana yang lebih dahsyat — kebocoran bahan radioaktif daripada loji tenaga nuklearnya. Jepun pernah dan masih merasai kesengsaraan daripada kesan bahan radioaktif ini apabila Amerika Syarikat menggugurkan bom nuklear di Hiroshima dan Nagasaki semasa Perang Dunia Kedua dahulu. Kerajaan Jepun sangat sedar akan bahaya ini.

Jadi, apakah pengajaran daripada semua kejadian ini?

Kepada kerajaan Malaysia yang berhasrat untuk membina loji tenaga nuklear untuk membekalkan tenaga elektrik, mereka harus memikirkan hal ini dengan sewaras-warasnya. Jepun yang maju pun terkial-kial untuk mengatasi masalah kebocoran itu apatah lagi kita yang rata-rata rakyatnya hanya menjadi pengguna bukan pencipta!

Kepada seluruh umat Islam, lakukanlah semua suruhan Allah. Allah menyuruh kita melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan, maka patuhilah suruhan-Nya itu. Solat lima waktu, khususnya, janganlah dimudah-mudahkan dan disambalewakan. Al-Quran pula janganlah terus menjadi barangan belian yang hanya diletakkan di dalam almari sahaja, sebaliknya “lunyaikanlah” kitab itu dengan membacanya saban waktu. Janganlah menunggu waktu lapang untuk membacanya tetapi lapangkanlah waktu untuk membacanya. Yang lebih pentingkan, amalkan suruhan yang terkandung di dalamnya.

Kita mesti betul-betul menjadi insan yang beriman supaya kita terhindar daripada bala bencana. Ingat, bala bencana yang ditimpakan Allah terhadap kaum Nabi Nuh, ‘Ad, Thamud, Aikah, Tubba‘, dan lain-lain adalah berpunca daripada kemungkaran yang dilakukan mereka.

Rakyat Jepun mungkin tidak seperti kaum Nabi Nuh, ‘Ad, Thamud, Aikah, Tubba‘, dan lain-lain, tetapi bahan porno diterbitkan dengan leluasa di sana. Penerbitan bahan pornografi ialah suatu kemungkaran serta mengundang orang untuk melakukan kemungkaran.

Wallahua‘lam.

Monday, March 14, 2011

Ultraman: Syabas, Berita Harian Mohon Maaf

Semalam, apabila membaca akhbar Berita Minggu, saya terlihat akan suatu kartun yang dilukis oleh Zoy. Kartun itu menggambarkan Ultraman sedang lari kerana dihambat oleh gelombang tsunami. Semasa melihat kartun itu, hati saya berdetak, eh tak kan hal besar seperti ini hendak dilucukan juga! Namun, detak hati saya itu berhenti di situ sahaja kerana saya terus menelaah laporan lain dalam akhbar itu.

Tetapi, hari ini apabila akhbar Berita Harian menyiarkan tajuk “Berita Harian Mohon Maaf”, barulah saya sedar bahawa detak hati saya itu betul dan hal demikian memang mengundang kontroversi. Memang ada unsur persendaan dalam kartun itu dan sewajarnyalah kartunis dan pengarangnya memohon maaf!

Dan, sangat wajarlah permohonan maaf itu disiarkan di muka hadapan akhbar itu! Namun pada pandangan saya, kalau perlu, panjangkanlah permohonan maaf itu hingga ke pihak kedutaan Jepun. Manalah tahu, sebagai akibat “persendaan” itu, ada kalangan pelabur Jepun yang terasa hati lalu menarik keluar pelaburan mereka yang nilainya berbilion-bilion RM itu dari Negara ini pula.

Kita memang tahu bahawa Berita Harian/NST senantiasa peka akan kesengsaraan yang menimpa mana-mana umat di dunia ini. Sebagai buktinya, mereka akan segera melancarkan tabung bantuan itu ini apabila ada mana-mana negara atau pihak-pihak tertentu ditimpa oleh sesuatu malapetaka. Usaha itu memang harus mendapat pujian.

Tetapi, penyiaran kartun yang demikian, pada pandangan saya, sedikit banyak telah mencalarkan nama baik Berita Harian selama ini. Gara-gara kartun itu, “rosak panas setahun oleh hujan sehari”. Walau bagaimanapun, kita berharap agar permohonan maaf ini dapat meredakan kontroversi ini. Insya-Allah, kontroversi ini akan reda.

Kalau kartunis menggambarkan yang lari dihambat gelombang tsunami itu ialah Cicakman, KRU marah tak?

Badminton All England: Kejuaraan Bermakna untuk Lee Chong Wei

Lee Chong Wei berjaya menjuarai Kejohanan Badminton All England untuk kali kedua secara berturut-turut setelah menjuarainya pada tahun lalu.

Pada tahun ini, kemenangannya sangat bermakna kerana beliau memenangi semua perlawanan tanpa kalah satu set pun. Dalam erti kata lain, beliau memenangi setiap permainan secara terus (straight set).

Kejuaraan yang diperolehnya tambah bererti apabila dalam perlawanan akhir kejohanan itu, seteru yang dikalahkannya ialah Lin Dan dari China. Beliau mengalahkan seteru yang sangat ingin dikalahkannya itu secara permainan terus, iaitu dengan keputusan 21-17, 21-17. Dalam perjalanan untuk menjadi juara juga, selain mengalahkan Lin Dan, beliau telah mengalahkan dua orang pemain lain dari negara China, iaitu Bao Chunlai dan Chen Long.

Sebagai imbasan, yang berikut ini ialah keputusan semua perlawanan yang melibatkan Lee Chong Wei dari pusingan awal hingga ke peringkat separuh akhir:

Pusingan Pertama: Lee Chong Wei kln Leverdez Brice (Perancis) 21-9, 21-11

Pusingan Kedua: Lee Chong Wei kln Bao Chunlai (China) 21-16, 21-16

Pusingan Suku Akhir: Lee Chong Wei kln Boonsak Ponsana (Thailand) 21-15, 21-7

Pusingan Separuh Akhir: Lee Chong Wei kln Chen Long (China) 21-17, 21-13

Tahniah, Datuk Lee Chong Wei! Kita berharap agar akan lahir lebih banyak ahli sukan yang komited dalam sukan yang disertainya dan sangat kuat azamnya untu menjadi juara.

Friday, March 11, 2011

Salah Satu Tanda Kiamat: Sudah Kerap Berlakunya

Apakah antara tanda kecil kiamat yang disebut oleh Rasulullah SAW yang paling anda ingati? Apakah pula tanda kecil kiamat yang seharusnya jarang-jarang berlaku, tetapi kini semakin galak dan ganas?

Gempa bumi! Gempa bumi adalah antara tanda awal kiamat. Selepas melanda Christchurch pada 22 Februari 2011 lalu hingga mengorbankan lebih 166 orang (dijangka bahawa akan mencecah 200 orang!), gempa bumi melanda Papua New Guinea pula pada 9 Mac 2011 lalu. Kemudian, gempa bumi berlaku di Yunnan, China pada 10 Mac 2011. Dan hari ini, 11 Mac 2011, gempa bumi menghentam Jepun.

Apakah persediaan anda (kita) untuk menghadapinya? Kita tidak perlu membuat persediaan dengan membina rumah tahan gempa, saya rasa. Sebaliknya, yang perlu kita sediakan tidak lain tidak bukan amal baik. Dekatilah dan lakukanlah semua suruhan Allah dan jauhilah segala bentuk larangan-Nya. Kalau kelak gempa melanda kita dan gempa itu memusnahkan kita, biarlah kemusnahan diri kita itu dilengkapi dengan iman!

Kalau hal seperti ini dikhutbahkan semasa solat Jumaat, alangkah eloknya! Biar orang takut sikit, biar orang sedar sikit. Cukup-cukuplah menyuruh orang menanam sayur, berjimat cermat, mengamalkan pemakanan seimbang, dan lain-lain dalam khutbah Jumaat. Woit, tanda kecil kiamat bukan dusta, tahu!

Thursday, March 10, 2011

Pengalaman Pertama Itu Telah Mendedahkan Rahsia Bapa

Tiba-tiba saya mendengar jeritan berselang-seling — halus tetapi bernada cemas. Saya sedikit terkejut, lalu segera membuntuti adik perempuan saya serta anak saudara saya yang bergerak lebih dahulu daripada saya ke arah tangga dan melangkahinya satu per satu. Saya lihat kedua-duanya melangkah dengan begitu payah sambil menghamburkan jeritan halus juga. Hal yang buruk-buruk mula menguasai fikiran saya — adakah cucu adik perempuan saya jatuh hingga berdarah kepalanya?

Beberapa detik, saya, adik perempuan saya, dan anak saudara saya bersatu dengan orang-orang yang menjerit berselang-seling tadi – adik anak saudara saya yang melangkahi anak tangga di depan saya tadi dan isteri adik lelaki bongsu saya. Mereka menghindar dan saya segera terlihat akan sekujur tubuh seorang wanita di atas katil. Mata perempuan itu — adik ipar saya, isteri adik saya yang tengah — pejam manakala wajahnya berkerut-kerut sambil tangannya memberikan isyarat “tidak mahu” atau “jangan”. Kepalanya menggeleng-geleng.

Tunangan adik perempuan saya yang paling kecil sedang duduk di kepala katil sambil membaca sesuatu kepada adik ipar saya yang baring dengan mata terpejam itu. Saya segera sedar akan situasi itu, lalu duduk di kaki katil sambil memegang ibu jari kakinya dan membaca ayatul Kursi di dalam hati (kerana mulut saya berisi apam balik! Semasa mendengar jeritan itu, saya sedang minum petang). Seketika kemudian, adik lelaki saya yang berlainan ibu datang mencelah dan dia saya suruh membaca ayatul Kursi seperti saya.

Adik ipar perempuan saya yang terbaring itu mula memperlihatkan aksi yang lain pula — dia menarik-narik rambutnya sambil wajahmya berkerut-kerut seperti dalam kesakitan. Tunangan adik perempuan saya yang paling kecil itu menghubungi seseorang untuk meminta panduan menghadapi situasi itu. Seketika kemudian, dia meminta air lalu membaca ayat-ayat suci al-Quran. Adik ipar saya yang terbaring itu, seperti yang saya duga, mula tertawa (hampir mengilai). Sah, adik ipar saya itu sudah kerasukan.

Tunangan adik perempuan saya menyapukan air yang telah dibacakannya dengan ayat-ayat suci al-Quran itu ke muka adik ipar saya yang terbaring itu. Adik ipar saya yang terbaring itu memperlihatkan aksi yang lain pula. Dia memperlihatkan kemarahan yang amat sangat. Matanya mengerlap-ngerlap dan mencerlung ke arah tunangan adik saya dan kepada adik lelaki saya yang berlainan ibu itu. Apabila adik saya yang tengah, suaminya, memasukkan air ke dalam mulutnya, adik ipar saya yang terbaring itu mencerlung adik saya itu sambil mengacah hendak menumbuknya.

Saya segera menghubungi sahabat setaman saya yang arif akan hal-hal begini. Panggilan saya dijawab oleh anaknya dan saya menunggu beberapa detik yang sebenarnya terasa agak lama pula. Saya dapat bercakap dengannya dan saya segera memberitahukan situasi yang sedang kami hadapi. Dia berjanji akan datang. Di dalam bilik itu, tunangan adik saya sudah mengalah. Tetapi tiba-tiba bapa saya naik syeh. Dia segera melompat ke kepala katil sambil kedua-dua tangannya memegang kepala adik ipar saya yang terbaring itu. Bapa saya membaca sesuatu dan kemudian menghembus muka adik ipar saya dan kemudiannya menyapu tubuh adik ipar saya.

Tiba-tiba, adik ipar saya yang terbaring itu memaki hamun dan mem“babi-babi”kan bapa saya. Saya keluar seketika dan meminta ahli keluarga yang lain menunggu ketibaan sahabat saya. Kira-kira 10 minit kemudian, sahabat saya tiba. Dia berdiri di samping adik ipar saya yang terbaring sambil memerhatikan bapa saya yang sedang “berlawan” dengan adik ipar saya itu. Sejurus kemudian, bapa saya mendongak lalu menyuruh sahabat saya mengambil alih tempatnya.

“Silakan, Ustaz!” kata bapa saya.

Adik ipar saya yang terbaring itu membuka mata sambil memandang orang sekeliling dengan pandangan hairan. Sahabat saya segera membaca ayatul Kursi dan ayat-ayat lain dan kemudian menyuruh adik ipar saya itu mengucap dua kalimah syahadat. Adik ipar saya terkumat-kamit mengucapkan kalimah syahadat, namun tidak dapat mengucapkannya dengan lantang walaupun berkali-kali disuruh oleh sahabat saya. Sahabat saya meneruskan “pengubatannya” dan kemudian meminta sebotol air lalu membacakan ayat-ayat suci al-Quran ke atas air itu.

“Air ini hendaklah diminum pada waktu pagi dan petang,” kata sahabat saya kepada adik saya yang tengah, suami kepada adik ipar saya yang terbaring itu. Sahabat saya kemudian turun dan duduk di ruang tamu.

“Rumah mika ni ada apa-apa ke?” Sahabat saya bertanya kepada saya.

“Mika rasa?” Saya menyoalnya.

“Tak ada apa-apa. Masa teman sampai, memang tak ada apa-apa. Benda tu pun dah tak da pada adik ipar mika,” kata sahabat saya.

Saya terkejut oleh penyataan sahabat saya itu. “Dah tak da” yang dilafazkan oleh sahabat saya itu bermaksud bahawa bapa saya telah berjaya mengusir benda yang telah merasuk ke dalam tubuh adik ipar saya!

‘Wah, terror bapa aku!’ kata hati saya.

Peristiwa itu berlaku pada hari pertama untuk minggu itu — Ahad. Pertama kali saya menyaksikan manusia kerasukan (atau histeria) dengan mata kepala saya sendiri. Pertama kali juga hal seperti ini berlaku di dalam rumah saya. Sesungguhnya, yang pertama kali ini telah mendedahkan satu perkara yang selama ini tidak diketahui saya dan adik-adik saya — bahawa bapa saya berkebolehan untuk mengatasi situasi sedemikian!

Semua yang pertama itu biarlah yang terakhir.

Sebab utama adik ipar saya itu mudah “diceroboh”/“dirasuk” oleh makhluk itu pada waktu itu ialah dirinya memang kurang sihat, kebetulan dia sedang uzur kewanitaan, dan tidur selepas Asar (menghampiri senja).

“Memang tidur selepas Asar tidak digalakkan,” kata sahabat saya itu.

CATATAN

Selepas kembali pulih, adik ipar saya itu bercerita kepada adik-adik saya dan anak-anaknya tentang hal yang berlaku di balik peristiwa itu. Satu makhluk perempuan, yang suaranya begitu lembut, katanya, meminta izin untuk menumpang di dalam dirinya untuk seketika. Adik ipar saya enggan membenarkannya.

“Tak boleh ... tak boleh...,” kata adik ipar saya berkali-kali.

“Sekejap je ... sekejap je....” Makhluk itu merayu berkali-kalI juga, namun adik ipar saya tetap menolaknya. Hal ini menimbulkan kemarahan makhluk itu lalu makhluk itu menarik-narik rambut adik ipar saya.

“Sakit betul, sampai putus-putus rambut saya ditariknya,” kata adik ipar saya.

Makhluk itu tertawa apabila berjaya ‘menawan’ jasad adik ipar saya dan memperlihatkan kemarahannya apabila cuba diusir daripada menguasai diri adik ipar saya oleh beberapa orang. Begitulah ceritanya.

Wednesday, March 9, 2011

Renungan: Cerita Akan Datang

“Sebagai umat Islam, kita haruslah bersedia untuk mati syahid. Kematian kerana ditusuk mata pedang atau ditembusi peluru kerana mempertahankan Islam, atau kerana menentang kekejaman, atau kerana menentang pemerintah yang zalim, tergolong sebagai mati syahid....” Begitulah seorang penceramah memberikan ceramahnya kepada jemaah di sebuah masjid di negara ini pada tahun 2015, 2016, 2017, dan seterusnya nanti.

Seorang jemaah bertanya, “Minta maaf, Ustaz. Saya ingin bertanya, Ustaz berkelulusan daripada universiti mana?”

“Saya belajar di Universiti Al-Azhar, Mesir...,” Ustaz itu menjawab.

“Semasa demonstrasi rakyat Mesir untuk menggulingkan Presiden Hosni Mubarak dahulu, Ustaz berada di sana?” Jemaah yang sama bertanya lagi.

“Oh, saya masih menuntut di sana,” Ustaz itu menjawab dengan jujur.

“Adakah ustaz antara pelajar yang pulang ke Malaysia untuk menyelamatkan diri semasa demonstrasi itu berlangsung?” Jemaah itu terus bertanya.

“Tidak, saya tidak pulang. Saya terus tinggal di sana bersama-sama dengan beberapa orang kawan sebagai tanda menyokong usaha rakyat Mesir untuk menggulingkan pemerintah yang zalim. Malah, saya dua kali menyertai rakyat Mesir untuk menunjuk perasaan di Medan Tahrir. Alhamdulillah ... saya beroleh pengalaman yang sangat berguna daripada penyertaan itu. Lagipun, kalau saya pulang ke Malaysia pada waktu itu, saya bimbang saya akan dimurkai oleh Allah SWT kerana tergolong sebagai orang yang lari dari medan perang.... Saya juga bimbang, kalau saya pulang ke Malaysia pada waktu itu, saya akan dicop oleh rakan-rakan saya dan para demonstran sebagai orang yang tidak memiliki semangat setia kawan yang kemudiannya tidak diterima untuk kembali ke Mesir semula!”

Alhamdulillah....” Seluruh jemaah mengucapkan kalimat itu bersama-sama.

Kalau yang menyampaikan ceramah tentang mati syahid itu ialah salah seorang ustaz yang pulang ke Malaysia semasa demonstrasi menggulingkan Presiden Hosni Mubarak berlangsung, apakah pendirian kita?

Tuesday, March 8, 2011

Menakutkan Masyarakat dengan Cara Baharu

Semasa kecil, pernah tiga empat kali saya dimomokkan dengan ancaman-ancaman yang menakutkan yang dilakukan oleh ahli keluarga saya sendiri. Saya tidak dimomokkan dengan hantu lain selain “Hantu Kopek” yang kononnya dapat menyembunyikan orang/anak-anak hingga tidak dapat dikesan untuk beberapa lama. Walaupun ada ketakutan natijah daripada momokan itu, saya tidaklah sampai takut untuk ditinggalkan bersendirian oleh ibu bapa saya kerana saya bukan main sorok-sorok sampai akan disorokkan oleh “Hantu Kopek” semasa saya ditinggalkan bersendirian.

Saya yakin, semua orang pernah dimomokkan dengan hal-hal sebegini, malah setelah dewasa dan bergelar ibu bapa, mereka pula ikut memomokkan anak-anak mereka dengan hantu entah jenis apa. Tujuan ibu bapa melakukan demikian adalah untuk memastikan anak-anak mereka mendengar kata atau tidak berkeliaran lagi pada waktu senja. Kesan daripada momokan ini sebenarnya sangat tidak baik kepada anak-anak kerana perbuatan itu menjadikan anak-anak mereka orang yang penakut yang sesetengahnya kekal hingga dewasa.

Hal ini tidak seharusnya berlaku kerana yang sepatutnya ditakuti mereka ialah Allah SWT semata-mata. Mendidik mereka supaya takut akan Allah SWT bukanlah perkara sukar. Lagipun, takut dan bergantung pada Allah SWT tidak akan menjadikan kita seram, sebaliknya menjadikan kita lebih tawaduk lalu dengan demikian kita bisa berada di mana-mana dengan hati dan perasaan yang tenang.

Berbalik kepada momokan terhadap hantu jembalang, telah dikatakan bahawa perbuatan itu tidak molek. Psikologi anak-anak jangan ditanamkan dengan momokan sedemikian, kata para pakar psikologi. Untuk maju, jiwa mereka mesti dipasakkan dengan keberanian, kata mereka lagi.

Malangnya, tatkala masyarakat sudah semakin sedar akan hal ini dengan meninggalkan jauh-jauh pendekatan tidak molek ini, para pelahap kekayaan semakin galak menakut-nakutkan masyarakat dengan cerita-cerita seram/hantu mereka. Berlambak-lambak filem dan drama seperti ini diterbitkan untuk tontonan umum. Yang menerbitkan filem atau drama hantu/seram ini berkata bahawa mereka tidak memaksa masyarakat untuk menonton filem mereka. Yang takut atau seram, kata mereka, tidak usah menonton filem/drama sedemikian. Tepuk dada, tanyalah selera, tambah mereka lagi.

Sebenarnya, cara paling ampuh untuk mengelakkan masyarakat menonton filem/drama seram adalah dengan mengelakkan diri daripada menerbitkan filem/drama sedemikian. Usaha mengaut wang daripada perbuatan menakut-nakutkan orang ramai dengan cerita seram sama dengan perbuatan mengaut wang daripada perbuatan menakut-nakutkan orang ramai dengan ugutan untuk menyenaraihitamkan nama orang ramai yang tidak membayar saman diskaun yang dilanjutkan sehingga 10 Mac ini. Kalian menganiaya masyarakat semata-mata untuk mendapatkan wang!

Saya kurang periksa, adakah mana-mana filem/drama seram yang menyelitkan kaedah-kaedah dan bacaan-bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang lengkap untuk mengusir hantu syaitan daripada merasuk/mengganggu manusia. Wallahua‘lam.

Monday, March 7, 2011

Tunggu Apa Lagi?

Tiba-tiba kerajaan dapat bersabar walaupun harga petroleum sudah mencecah angka 106 Dolar Amerika setong. Uk alah ... pelik kita! Sudah menang di Kerdau dan Merlimau, tunggu apa lagi? Naikkan sajalah.... Rakyat tidak kisah harga minyak naik atau tidak. Yang penting BN menang.

Tidak begitu K....u dan M......u?

Thursday, March 3, 2011

Harga Petrol, Diesel, dan Gas Dikekalkan Sampai Bila?

Paras harga petroleum yang ditakuti oleh orang akhirnya dilangkaui juga — harga bahan bakar itu kini sudah melangkaui angka AS100.00 setong. Yang terkini, harga itu sudah mencecah harga lebih daripada AS102.00 setong.

Apakah makna kenaikan harga bahan bakar ini kepada kita? Maknanya ialah PETRONAS akan beroleh keuntungan yang lebih tinggi daripada perniagaan bahan ini. Tetapi, adakah kita membayangkan PETRONAS akan membantu kerajaan mengekalkan harga petrol yang kita gunakan pada harga yang kita nikmati sekarang? Tidak, PETRONAS tidak dapat berbuat demikian kerana pengekalan harga bahan api untuk kegunaan rakyat bukan terletak di tangan mereka.

Jadi, adakah kita mengharapkan kerajaan yang berkuasa sekarang untuk mengekalkan harganya? Sudah tentu begitu harapan kita, kerana kerajaan sekarang berjanji untuk mendahulukan rakyat. Saya yakin, kerajaan sekarang akan melakukan demikian. Tetapi percayalah bahawa pengekalan harga bahan itu pada harga sekarang hanya dapat kita nikmati untuk tempoh yang sangat pendek — hingga PRK Merlimau dan Kerdau usai. Selepas itu, kita perlu mengeluarkan belanja yang lebih untuk membeli petrol, diesel, dan gas! Waktu itu akan kita dapati bahawa kerajaan memang berpegang pada janji, iaitu bahawa pencapaian diutamakan.

Jelas bahawa sebagaimana pelanjutan tempoh akhir bayaran saman diskaun dilakukan atas sebab politik, pengekalan harga petrol ini pada harga sekarang juga adalah atas sebab politik! Mungkin saya silap, tetapi begitulah yang selalunya.

Wednesday, March 2, 2011

Sang Pemuka: Turunlah Segera demi Negara dan Rakyat Kalian

Oh, akan terjarahkah Libya oleh Amerika Si Langlang Buana yang durjana itu? Akan ada satu negara lagikah selepas ini yang nasibnya serupa dengan nasib negara Iraq dan Afghanistan? Kedua-dua buah negara itu — Iraq dan Afghanistan — sampai kini dijarah oleh tentera pelbagai negara yang dikepalai oleh Amerika Si Langlang Buana yang durjana itu walhal seharusnya urusan mana-mana negara biarlah ditentukan oleh rakyat negara itu sendiri.

Mengapakah kamu, wahai Muammar Gaddafi, tidak mengimbau sejarah yang menimpa saudaramu, Saddam Hussein dahulu? Bukankah baik kalau kamu beralah supaya pengganti yang naik untuk mengambil tempatmu ialah rakyat yang sebangsa denganmu, yang fikirannya bebas daripada kongkongan Amerika Si Langlang Buana durjana itu sehingga menjadi seperti kuda elektrik tunggangan anak-anak?

Sekarang, Amerika Si Langlang Buana yang durjana itu sedang mengupayakan tenteranya ke negaramu, semata-mata untuk mengusirmu dari atas takhta. Apalah gunanya kamu mempertahankan negaramu untuk mati syahid kalau selepas ini Libyamu bakal menjadi Iraq dan Afghanistan yang dikotak-katikkan, yang rakyatnya tidak bebas di negara sendiri?

Wahai Muammar Gaddafi, yang bagus daripada sikap kamu ialah, sikapmu itu dapat dijadikan pengajaran oleh pemuka yang tamak akan kuasa! Diharapkan agar sikapmu dapat membuka hati para pemuka di negara jiranmu serta para pemuka di seantero dunia supaya segera menyisihkan dari atas takhta apabila rakyat tidak menyukai mereka.

Hosni Mubarak dan Ben Ali lebih baik daripada kamu, Gaddafi, kerana mereka tidak menunggu Amerika Si Langlang Buana yang durjana itu sampai datang mengusir mereka dari atas takhta. Dengan cara yang demikian, negara mereka tidak sempat dijarah oleh tentera Amerika Si Langlang Buana yang durjana itu yang juga memperalat PBB.

Kepada sang pemuka di Oman, Bahrain, Algeria, dan lain-lain, jadikanlah peristiwa ini sebagai pengajaran. Janganlah kalian menunggu sampai Amerika Si Langlang Buana durjana itu datang mengusir dan membunuh kalian kerana natijahnya kepada negara dan bangsa yang hidup selepas kalian mati kelak tak terceritakan.

Duduk di atas takhta lama-lama pun apalah gunanya kerana takhta itu tidak dapat menjadi perisai apabila Izrail datang mencabut nyawa kalian kelak. Takhta itu juga tidak dapat dijadikan sebagai pembantu bagi menangkis soalan-soalan Munkar dan Nakir apatah lagi dijadikan sebagai pelindung diri daripada paluan kedua-dua pekerja Allah itu semasa kalian berada di alam kubur.

Pemuka yang di sebelah sini, kalian tirulah perbuatan Hosni Mubarak dan Ben Ali sebelum rakyat meniru perbuatan rakyat di negara-negara Hosni Mubarak dan Ben Ali untuk menyingkirkan kalian. Ada kemungkinankah? Kalau hendak makan pun menjadi bertambah susah, kemungkinan itu ada! Marcos dan Soeharto apakah ceritanya?

Kalau Pemerintah Zalim, Siapakah yang Bersalah Sebenarnya?

Rasa tidak puas hati orang terhadap pemerintah – DYMM Sultan/Raja atau Presiden, YAB PM/MB/KM dan YB-YB kabinet serta Eksko mereka, Tuk Penghulu/Tuk Penggawa, dll – mungkin sudah berlangsung sejak sekian lama, maksud saya sejak dahulu lagi. (Kalau tidak, tak kan Jebat menderhaka. Kalau tidak, tak kan Shah Iran tergolek.) Rasa tidak puas hati yang paling menonjol ialah amalan kronisme, nepotisme, kuku besi, dll yang diamalkan oleh mereka walhal rakyat marhaen hidup papa-kedana dan tertekan. Sebagai akibatnya, rakyat mengecap pemerintah mereka – DYMM Sultan/Raja atau Presiden, YAB PM/MB/KM dan YB-YB kabinet serta Eksko mereka, Tuk Penghulu/Tuk Penggawa, dll itu – sebagai orang yang zalim kerana membiarkan mereka menanggung kesengsaraan tatkala mereka bermewah-mewah dengan wang rakyat.

Suatu ketika, selepas solat Jumaat, semasa berjalan kaki ke kereta, saya mendengar beberapa orang lelaki (empat orang) berbual. Salah seorang bertanya, mengapa rakannya yang seorang itu tidak menadah tangan semasa khatib mendoakan kesejahteraan dan keselamatan sultan mereka. Si rakan memberitahu yang bertanya bahawa dia melakukan demikian kerana pada pandangannya raja-raja di negara ini tidak benar-benar Islamik kerana mereka berasa seronok dilimpahi kemewahan walhal rakyat mendepani pelbagai kepayahan. Rasulullah SAW dulu, katanya, hanya meninggalkan beberapa dirham sahaja selepas kewafatannya. Tidur pun hanya beralaskan tikar hingga berbekas-bekas badan baginda, katanya lagi. Baginda begitu zuhud dan sederhana. Seorang daripada kelompok empat orang yang berjalan di depan turut mengaku bahawa dia juga tidak menadah tangan apatah lagi mengaminkan doa khatib tatkala khatib mendoakan kesejahteraan dan keselamatan sultan. Saya tidak dapat melihat wajah-wajah mereka dengan lebih jelas kerana saya sampai lebih awal di kereta saya sedang mereka terus melangkah.

Pendirian saya tentang hal ini tidaklah sampai ke tahap begitu, malah di dalam hati, saya berharap agar saya dan sultan saya senantiasa mendapat hidayah Allah SWT.

Sebenarnya, jika DYMM Sultan/Raja atau Presiden, YAB PM/MB/KM dan YB-YB kabinet serta Eksko mereka, Tuk Penghulu/Tuk Penggawa, dll zalim, salah mereka itukah atau salah kita sebagai rakyat? Mari kita hayati maksud hadis Qudsi ini:

“... Allah SWT berfirman: Aku Allah. Tidak ada Tuhan selain Aku. Akulah Tuan dan Raja segala Raja. Aku memegang hati-hati raja di dalam tangan-Ku. Apabila orang ramai (rakyat) mentaati-Ku, Aku akan menukarkan hati raja-raja menjadi kasihan belas serta sayang terhadap mereka. Apabila orang ramai (rakyat) mengingkari-Ku, Aku akan mengarahkan hati raja-raja ke arah kemarahan dan dendam terhadap mereka. Dengan demikian, raja-raja akan meletakkan mereka dalam kesusahan dan penderitaan. Oleh itu, daripada kamu mengutuk mereka (pemimpin yang zalim), adalah lebih baik (kamu) kembali mengingati-Ku dan merayu kepada-Ku supaya Aku melindungimu daripada kekejaman mereka.”

Semuanya bermula dengan diri kita. Kalau kita mentaati Allah SWT, Allah SWT akan mengurniai kita pemerintah yang adil, baik, penyayang, dll kepada kita. Sebaliknya, kalau kita membelakangkan Allah SWT, Allah SWT akan mengurniai kita pemerintah yang zalim. Oleh itu, berhentilah mencela pemerintah kita kalau kita sendiri masih lagi mengamalkan yang cela.

Tuesday, March 1, 2011

Berhati-hatilah: Para Penjahat Banyak Helahnya

Seorang rakan mengirimkan emel kepada saya. Emel itu menceritakan pengalaman yang ditempuhi oleh seseorang (tidak pasti saya sama ada orang itu lelaki atau perempuan dan tidak tahu saya di manakah lokasi berlakunya peristiwa itu).

Menurut orang itu, dia (bersendirian) memandu kereta di sebatang jalan yang agak sunyi. Di suatu tempat berumput dan agak semak, terlihat olehnya sebuah kerusi kenderaan untuk bayi. Terdapat satu objek berselimut (mungkin bayi) di dalam kerusi itu.

Walau bagaimanapun, entah mengapa, hatinya langsung tidak terdorong untuk berhenti bagi menyiasat hal yang sebenarnya. Sebaliknya, dia meneruskan pemanduannya hingga tiba di sebuah balai polis.

Dia singgah di balai polis itu lalu memaklumkan pengalaman yang ditempuhnya kepada pegawai yang bertugas. Pegawai itu memuji tindakan orang itu. Hal ini demikian kerana menurut pegawai itu, pengalaman yang ditempuh oleh orang itu adalah antara helah dan taktik yang digunakan oleh para penjahat untuk melakukan sesuatu terhadap mangsanya.

Para penjahat sengaja meletakkan kerusi bayi atau bakul berisi bayi palsu untuk memperdayakan mangsanya. Kalau mangsa yang berhenti ialah wanita (memang itulah sasaran para penjahat itu kerana wanita mudah tersentuh hati apabila melihat hal seperti itu), mereka berdepan dengan kemungkinan dirogol, dirompak, dan ditinggalkan tanpa pakaian.

Kalau yang berhenti lelaki, mereka bukan sekadar dirompak, malah mereka berdepan dengan kemungkinan dipukul hingga mati. Tempat yang menjadi sasaran mereka ialah pinggir jalan yang sunyi, semak atau berbelukar.

Begitulah antara lain isi emel yang dikirimkan oleh rakan saya itu dan saya sangat menghargainya kerana maklumat ini sangat berguna kepada saya sekeluarga dan mungkin juga kepada para pengunjung Blog ini.

Saya mendapati, para penjahat/penyangak ini sangat bijak memanfaatkan keadaan semasa bagi menjayakan keinginan jahat mereka. Dalam hal ini, mereka memanipulasi kejadian pembuangan bayi yang kerap berlaku di negara kita demi melampiaskan nafsu jahat mereka.

Oleh itu, berhati-hatilah kita dengan helah ini. Berhentilah untuk mengetahui hal yang sebenarnya jika anda berkonvoi atau berada dalam kumpulan sekurang-kurangnya lima orang. Jangan lupa untuk mengawasi keadaan sekeliling. Salah seorang (sebaik-baiknya dua tiga orang) mesti memegang sesuatu (kunci stereng, cota, atau apa-apa sahaja) untuk dijadikan sebagai senjata dan yang seorang lagi menyiasat hal yang sebenarnya.

Kalau anda berkenderaan bersama keluarga dan yang paling dewasa (gagah) hanya anda seorang sedang yang lain-lain hanyalah isteri dan anak-anak anda, maka janganlah anda memberanikan diri untuk berhenti. Begitu juga kalau anda berdua atau bertiga (tidak kira anda lelaki atau wanita), teruskanlah pemanduan anda dan maklumkan hal ini kepada kumpulan penduduk yang terdekat yang anda temui. Yang lebih afdal, maklumkan hal ini kepada pihak polis.