Wednesday, March 2, 2011

Sang Pemuka: Turunlah Segera demi Negara dan Rakyat Kalian

Oh, akan terjarahkah Libya oleh Amerika Si Langlang Buana yang durjana itu? Akan ada satu negara lagikah selepas ini yang nasibnya serupa dengan nasib negara Iraq dan Afghanistan? Kedua-dua buah negara itu — Iraq dan Afghanistan — sampai kini dijarah oleh tentera pelbagai negara yang dikepalai oleh Amerika Si Langlang Buana yang durjana itu walhal seharusnya urusan mana-mana negara biarlah ditentukan oleh rakyat negara itu sendiri.

Mengapakah kamu, wahai Muammar Gaddafi, tidak mengimbau sejarah yang menimpa saudaramu, Saddam Hussein dahulu? Bukankah baik kalau kamu beralah supaya pengganti yang naik untuk mengambil tempatmu ialah rakyat yang sebangsa denganmu, yang fikirannya bebas daripada kongkongan Amerika Si Langlang Buana durjana itu sehingga menjadi seperti kuda elektrik tunggangan anak-anak?

Sekarang, Amerika Si Langlang Buana yang durjana itu sedang mengupayakan tenteranya ke negaramu, semata-mata untuk mengusirmu dari atas takhta. Apalah gunanya kamu mempertahankan negaramu untuk mati syahid kalau selepas ini Libyamu bakal menjadi Iraq dan Afghanistan yang dikotak-katikkan, yang rakyatnya tidak bebas di negara sendiri?

Wahai Muammar Gaddafi, yang bagus daripada sikap kamu ialah, sikapmu itu dapat dijadikan pengajaran oleh pemuka yang tamak akan kuasa! Diharapkan agar sikapmu dapat membuka hati para pemuka di negara jiranmu serta para pemuka di seantero dunia supaya segera menyisihkan dari atas takhta apabila rakyat tidak menyukai mereka.

Hosni Mubarak dan Ben Ali lebih baik daripada kamu, Gaddafi, kerana mereka tidak menunggu Amerika Si Langlang Buana yang durjana itu sampai datang mengusir mereka dari atas takhta. Dengan cara yang demikian, negara mereka tidak sempat dijarah oleh tentera Amerika Si Langlang Buana yang durjana itu yang juga memperalat PBB.

Kepada sang pemuka di Oman, Bahrain, Algeria, dan lain-lain, jadikanlah peristiwa ini sebagai pengajaran. Janganlah kalian menunggu sampai Amerika Si Langlang Buana durjana itu datang mengusir dan membunuh kalian kerana natijahnya kepada negara dan bangsa yang hidup selepas kalian mati kelak tak terceritakan.

Duduk di atas takhta lama-lama pun apalah gunanya kerana takhta itu tidak dapat menjadi perisai apabila Izrail datang mencabut nyawa kalian kelak. Takhta itu juga tidak dapat dijadikan sebagai pembantu bagi menangkis soalan-soalan Munkar dan Nakir apatah lagi dijadikan sebagai pelindung diri daripada paluan kedua-dua pekerja Allah itu semasa kalian berada di alam kubur.

Pemuka yang di sebelah sini, kalian tirulah perbuatan Hosni Mubarak dan Ben Ali sebelum rakyat meniru perbuatan rakyat di negara-negara Hosni Mubarak dan Ben Ali untuk menyingkirkan kalian. Ada kemungkinankah? Kalau hendak makan pun menjadi bertambah susah, kemungkinan itu ada! Marcos dan Soeharto apakah ceritanya?

6 comments:

  1. Sekarang aset Gaddafi sekeluaga yang berbilion EURO itu telah dibekukan oleh negara-negara seperti Switzerland, Britain, dan terkini Austria.

    Bush yang jahat dan ganas itu sehingga mencetus huru hara di Afghanistan dan Irak tak dibekukan hartanya pun.

    ReplyDelete
  2. Hillary Clinton tdk setuju dgn cadangan Washington utk c/tangan di Libya sbb c/tangan itu bkn saja akan meninggalkan kesan buruk kpd Libya, ttp juga kpd negara jiran Libya. Washington sdg menganga utk c/tangan sbb Libya antara 10 negara penting pengeksport minyak dunia. Gaddafi patut turun.

    ReplyDelete
  3. Liga arab setuju campurtangan asing. apa motifnya?

    ReplyDelete
  4. Salam, Anon-Anon;
    Adakah pembekuan aset itu akan menyebabkan Gaddafi dan keluarganya miskin hingga terpaksa mati di dalam negara sendiri?

    Kalau Gaddafi sayang akan negara dan rakyatnya, beliau patut turun.

    Tidak susah untuk mengetahui motif Liga Arab. Para pemuka dalam Liga Arab bersetuju dengan kaedah itu bagi menakutkan rakyat di negara mereka bahawa sebarang penentangan rakyat terhadap mereka (seperti di Libya) akan menyebabkan negara mereka terjarah oleh kuasa asing lalu menjadi seperti Iraq dan Afghanistan. Mereka pun gila kuasa juga.

    ReplyDelete
  5. Sdr Zul
    Langlang Buana apa maksudnya?

    ReplyDelete
  6. Sdr Anon,
    Maksudnya sama dengan Polis Dunia.

    ReplyDelete