Tiba-tiba saya mendengar jeritan berselang-seling — halus tetapi bernada cemas. Saya sedikit terkejut, lalu segera membuntuti adik perempuan saya serta anak saudara saya yang bergerak lebih dahulu daripada saya ke arah tangga dan melangkahinya satu per satu. Saya lihat kedua-duanya melangkah dengan begitu payah sambil menghamburkan jeritan halus juga. Hal yang buruk-buruk mula menguasai fikiran saya — adakah cucu adik perempuan saya jatuh hingga berdarah kepalanya?
Beberapa detik, saya, adik perempuan saya, dan anak saudara saya bersatu dengan orang-orang yang menjerit berselang-seling tadi – adik anak saudara saya yang melangkahi anak tangga di depan saya tadi dan isteri adik lelaki bongsu saya. Mereka menghindar dan saya segera terlihat akan sekujur tubuh seorang wanita di atas katil. Mata perempuan itu — adik ipar saya, isteri adik saya yang tengah — pejam manakala wajahnya berkerut-kerut sambil tangannya memberikan isyarat “tidak mahu” atau “jangan”. Kepalanya menggeleng-geleng.
Tunangan adik perempuan saya yang paling kecil sedang duduk di kepala katil sambil membaca sesuatu kepada adik ipar saya yang baring dengan mata terpejam itu. Saya segera sedar akan situasi itu, lalu duduk di kaki katil sambil memegang ibu jari kakinya dan membaca ayatul Kursi di dalam hati (kerana mulut saya berisi apam balik! Semasa mendengar jeritan itu, saya sedang minum petang). Seketika kemudian, adik lelaki saya yang berlainan ibu datang mencelah dan dia saya suruh membaca ayatul Kursi seperti saya.
Tunangan adik perempuan saya menyapukan air yang telah dibacakannya dengan ayat-ayat suci al-Quran itu ke muka adik ipar saya yang terbaring itu.
Saya segera menghubungi sahabat setaman saya yang arif akan hal-hal begini. Panggilan saya dijawab oleh anaknya dan saya menunggu beberapa detik yang sebenarnya terasa agak lama pula. Saya dapat bercakap dengannya dan saya segera memberitahukan situasi yang sedang kami hadapi. Dia berjanji akan datang. Di dalam bilik itu, tunangan adik saya sudah mengalah. Tetapi tiba-tiba bapa saya naik syeh. Dia segera melompat ke kepala katil sambil kedua-dua tangannya memegang kepala adik ipar saya yang terbaring itu. Bapa saya membaca sesuatu dan kemudian menghembus muka adik ipar saya dan kemudiannya menyapu tubuh adik ipar saya.
Tiba-tiba, adik ipar saya yang terbaring itu memaki hamun dan mem“babi-babi”kan bapa saya. Saya keluar seketika dan meminta ahli keluarga yang lain menunggu ketibaan sahabat saya. Kira-kira 10 minit kemudian, sahabat saya tiba. Dia berdiri di samping adik ipar saya yang terbaring sambil memerhatikan bapa saya yang sedang “berlawan” dengan adik ipar saya itu. Sejurus kemudian, bapa saya mendongak lalu menyuruh sahabat saya mengambil alih tempatnya.
“Silakan, Ustaz!” kata bapa saya.
“Air ini hendaklah diminum pada waktu pagi dan petang,” kata sahabat saya kepada adik saya yang tengah, suami kepada adik ipar saya yang terbaring itu. Sahabat saya kemudian turun dan duduk di ruang tamu.
“Rumah mika ni ada apa-apa ke?” Sahabat saya bertanya kepada saya.
“Mika rasa?” Saya menyoalnya.
“Tak ada apa-apa. Masa teman sampai, memang tak ada apa-apa. Benda tu pun dah tak da pada adik ipar mika,” kata sahabat saya.
Saya terkejut oleh penyataan sahabat saya itu. “Dah tak da” yang dilafazkan oleh sahabat saya itu bermaksud bahawa bapa saya telah berjaya mengusir benda yang telah merasuk ke dalam tubuh adik ipar saya!
‘Wah, terror bapa aku!’ kata hati saya.
Peristiwa itu berlaku pada hari pertama untuk minggu itu — Ahad. Pertama kali saya menyaksikan manusia kerasukan (atau histeria) dengan mata kepala saya sendiri. Pertama kali juga hal seperti ini berlaku di dalam rumah saya. Sesungguhnya, yang pertama kali ini telah mendedahkan satu perkara yang selama ini tidak diketahui saya dan adik-adik saya — bahawa bapa saya berkebolehan untuk mengatasi situasi sedemikian!
Semua yang pertama itu biarlah yang terakhir.
Sebab utama adik ipar saya itu mudah “diceroboh”/“dirasuk” oleh makhluk itu pada waktu itu ialah dirinya memang kurang sihat, kebetulan dia sedang uzur kewanitaan, dan tidur selepas Asar (menghampiri senja).
“Memang tidur selepas Asar tidak digalakkan,” kata sahabat saya itu.
CATATAN
Selepas kembali pulih, adik ipar saya itu bercerita kepada adik-adik saya dan anak-anaknya tentang hal yang berlaku di balik peristiwa itu. Satu makhluk perempuan, yang suaranya begitu lembut, katanya, meminta izin untuk menumpang di dalam dirinya untuk seketika.
“Tak boleh ... tak boleh...,” kata adik ipar saya berkali-kali.
“Sekejap je ... sekejap je....” Makhluk itu merayu berkali-kalI juga, namun adik ipar saya tetap menolaknya. Hal ini menimbulkan kemarahan makhluk itu lalu makhluk itu menarik-narik rambut adik ipar saya.
“Sakit betul, sampai putus-putus rambut saya ditariknya,” kata adik ipar saya.
Makhluk itu tertawa apabila berjaya ‘menawan’ jasad adik ipar saya dan memperlihatkan kemarahannya apabila cuba diusir daripada menguasai diri adik ipar saya oleh beberapa orang. Begitulah ceritanya.
ehhh,dasyat
ReplyDeleteSalam, Kak Anah,
ReplyDeleteDulu tidak pernah tengok, tidak rasa apa-apa. Sudah lihat dengan mata kepaka sendiri, baru ada sedikit rasa gentar.