Hari Ibu diraikan
oleh masyarakat di seluruh dunia untuk meraikan dan menghargai jasa dan peranan
ibu kepada umat manusia keseluruhannya. Walau bagaimanapun, tidak seperti
sambutan Maulidur-Rasul, Maal Hijrah, Tahun Baharu Masihi, Hari Krismas, dan
lain-lain, Hari Ibu disambut pada bulan yang berbeza-beza oleh setiap negara di
dunia ini (antara Februari hingga Disember). Kita di Malaysia, seperti
kebanyakan negara lain (hampir 80 buah negara), menyambutnya pada hari Ahad
kedua dalam bulan Mei.
Negara jiran kita seperti
Thailand, misalnya, menyambut Hari Ibu pada setiap 12 Ogos bersempena dengan
hari keputeraan Permaisuri Sirikit. Indonesia pula menyambutnya pada 22
Disember dan dirayakan pada peringkat nasional. Tarikh itu dipilih bersempena
dengan tarikh berlangsungnya kongres wanita Indonesia yang pertama (sekarang
dikenal sebagai KOWANI) pada 22 Disember 1928.
Tidak kira bila
Hari Ibu disambut, semua pihak bersetuju bahawa peranan ibu dalam kehidupan
seluruh umat manusia sangat besar dan penting. Oleh sebab itu, saya secara
peribadi merasakan bahawa baik Hari Ibu ataupun Hari Bapa, kedua-duanya wajar
disambut pada sepanjang tahun atau setiap hari!)
Kerana peranan ibu
sangat penting, maka lahirlah pelbagai ungkapan yang mengangkat peranan ibu,
misalnya, “Tangan yang menggoncang buaian itu dapat menggoncang dunia”.
Islam sendiri memposisikan ibu di tahap yang lebih tinggi daripada bapa.
Misalnya, Nabi Muhammad SAW menyatakan tiga kali berturut-turut bahawa ibu
hendaklah lebih dihargai daripada bapa (anda boleh mencari hadis lengkap
tentang hal ini di Internet). Satu lagi ungkapan yang berlegar dalam agama
Islam tentang ketinggian posisi ibu ialah “Syurga terletak di bawah telapak
kaki ibu”.
Walau bagaimanapun,
tentang ungkapan “Syurga terletak di bawah telapak kaki ibu” ini, saya
sukar hendak mempercayainya! Saya yakin, ungkapan itu tidak benar, tidak
mungkin!
Saya hendak lari
daripada mukaddimah saya pada awal siaran ini. Mukaddimah saya tadi berguna
untuk memberikan maklumat kepada pembaca tentang sambutan Hari Ibu. Tulisan
saya selepas ini pula hendak memberikan maklumat tentang hal yang lain.
Telapak kaki merupakan bahagian paling bawah pada tubuh manusia
(kecuali kalau ada manusia yang berjalan dengan cara kepala di bawah dan kaki
di atas). Jadi, wajarkah syurga diletakkan di bahagian paling bawah?
Jangan salah faham terhadap
pertanyaan saya ini! Saya faham akan maksud kiasan dalam ungkapan itu yang
bertujuan untuk mengangkat martabat ibu yang sehingga demikian perlu dihormati
oleh anak-anak dalam apa-apa juga keadaan. Jika si ibu mengajak si anak
melakukan kemungkaran sekalipun, si ibu tidak harus dibengkengi oleh si anak,
sebaliknya ibu itu harus didepani dengan penuh hemah dan rendah diri! Saya
faham!
Yang sebenarnya
tidak faham ialah orang-orang yang mengungkapkan kalimat itu dengan
sewenang-wenangnya — syurga terletak di bawah telapak kaki ibu. Para pembaca
budiman, syurga tidak terletak di bawah telapak kaki ibu, tetapi syurga
terletak di/pada telapak kaki ibu. Alasan saya tentang
hal ini ialah yang terletak di bawah telapak kaki ibu berbagai-bagai — boleh
jadi lantai (kalau, kebetulan si ibu berada di tandas, lantai itu ialah lantai
tandas!); boleh jadi juga tanah, rumput, air, tahi lembu, dan sebagainya. Oleh
sebab itulah saya katakan bahawa saya sukar hendak mempercayai ungkapan “syurga terletak di
bawah telapak kaki ibu” itu.
Hal ini berkait rapat
dengan bahasa, sebenarnya — lebih tepatnya penggunaan kata dalam bahasa Melayu.
Penggunaan dan pemilihan kata yang betul akan menjelaskan maksud ayat. Sebagai
contohnya, apabila si A berkata kepada si B, misalnya, “Di bawah tapak kasut kamu ada rumput” semasa mereka berjalan di
atas lantai simen, pasti si B tahu bahawa si A hendak berjenaka dengannya atau
kalau si B marah, dia akan berkata si A gila kerana yang ada di bawah telapak
kasutnya sekarang ialah lantai simen!
Sebaliknya, kalau
si A berkata kepada si B, misalnya, “Di/Pada tapak kasut kamu ada rumput” semasa
mereka berjalan di atas lantai simen, si B pasti akan segera bertindak balas
dengan mengangkat kakinya untuk melihat tapak kasutnya bagi membuang rumput
yang terlekat pada mana-mana bahagian di tapak kasutnya (tentulah di sisi tapak
kasut itu).
Bentuk ungkapan
yang salah itulah — syurga terletak di bawah telapak kaki ibu — yang tidak saya
percayai. Saya mempercayai ungkapan “syurga terletak di telapak kaki ibu. Dengan berada di
telapak kaki, tahulah kita akan maksudnya, iaitu bahawa syurga itu khusus
berada di telapak kaki para ibu, bukannya di lantai tandas, rerumput, dan
lain-lain. Kalau berada di atas lantai tandas atau rerumput, maknanya kalau
kebetulan saya yang memijaknya, syurga juga berada di bawah telapak kaki saya!
Anda tentu pernah
mendengar lagu “Sorga Di Telapak Kaki Ibu” yang asalnya dinyanyikan oleh
Allahyarham S. Affandi (asal Indonesia) dan kemudian didendangkan oleh
penyanyi-penyanyi lain seperti Eddy Silitonga (asal Indonesia juga) dan Aishah
(asal Malaysia). Hayatilah seni katanya:
Bercucuran air mata
bila kuterbayang
betapakah besar
budi ibunda berikan
Siang malam
menderita hingga tak dirasa
sungguh besar kasih
sayang ibunda sorang
Duhai apakah
gerangan budi balasan
bagi insan
melahirkan membesarkan
Tiada bahagia jika
tiada doa puja restu
sorga itu di
telapak kaki ibu
Ustaz2 pun selalu gunakan ungkapan di bawah tapak kaki ibu....
ReplyDeleteSeorang sahabat bernama Jahimah ra datang menemui RasulluAlllah saw meminta pandangan baginda untuk dia ikt serta dalam ekspedisi berjihad.Rasullah saw bertanya: "adakah kamu ada ibu?"Jahimah menjawab : "Ya!" Lalu RasulluAllah saw bersabda:"tinggallah bersamanya kerana sesungguhnya syurga berada dibawah tapak kakinya".
ReplyDeleteSalam, Anon-Anon,
ReplyDeleteBenarlah syurga berada di telapak kaki ibu.