Tuesday, March 8, 2011

Menakutkan Masyarakat dengan Cara Baharu

Semasa kecil, pernah tiga empat kali saya dimomokkan dengan ancaman-ancaman yang menakutkan yang dilakukan oleh ahli keluarga saya sendiri. Saya tidak dimomokkan dengan hantu lain selain “Hantu Kopek” yang kononnya dapat menyembunyikan orang/anak-anak hingga tidak dapat dikesan untuk beberapa lama. Walaupun ada ketakutan natijah daripada momokan itu, saya tidaklah sampai takut untuk ditinggalkan bersendirian oleh ibu bapa saya kerana saya bukan main sorok-sorok sampai akan disorokkan oleh “Hantu Kopek” semasa saya ditinggalkan bersendirian.

Saya yakin, semua orang pernah dimomokkan dengan hal-hal sebegini, malah setelah dewasa dan bergelar ibu bapa, mereka pula ikut memomokkan anak-anak mereka dengan hantu entah jenis apa. Tujuan ibu bapa melakukan demikian adalah untuk memastikan anak-anak mereka mendengar kata atau tidak berkeliaran lagi pada waktu senja. Kesan daripada momokan ini sebenarnya sangat tidak baik kepada anak-anak kerana perbuatan itu menjadikan anak-anak mereka orang yang penakut yang sesetengahnya kekal hingga dewasa.

Hal ini tidak seharusnya berlaku kerana yang sepatutnya ditakuti mereka ialah Allah SWT semata-mata. Mendidik mereka supaya takut akan Allah SWT bukanlah perkara sukar. Lagipun, takut dan bergantung pada Allah SWT tidak akan menjadikan kita seram, sebaliknya menjadikan kita lebih tawaduk lalu dengan demikian kita bisa berada di mana-mana dengan hati dan perasaan yang tenang.

Berbalik kepada momokan terhadap hantu jembalang, telah dikatakan bahawa perbuatan itu tidak molek. Psikologi anak-anak jangan ditanamkan dengan momokan sedemikian, kata para pakar psikologi. Untuk maju, jiwa mereka mesti dipasakkan dengan keberanian, kata mereka lagi.

Malangnya, tatkala masyarakat sudah semakin sedar akan hal ini dengan meninggalkan jauh-jauh pendekatan tidak molek ini, para pelahap kekayaan semakin galak menakut-nakutkan masyarakat dengan cerita-cerita seram/hantu mereka. Berlambak-lambak filem dan drama seperti ini diterbitkan untuk tontonan umum. Yang menerbitkan filem atau drama hantu/seram ini berkata bahawa mereka tidak memaksa masyarakat untuk menonton filem mereka. Yang takut atau seram, kata mereka, tidak usah menonton filem/drama sedemikian. Tepuk dada, tanyalah selera, tambah mereka lagi.

Sebenarnya, cara paling ampuh untuk mengelakkan masyarakat menonton filem/drama seram adalah dengan mengelakkan diri daripada menerbitkan filem/drama sedemikian. Usaha mengaut wang daripada perbuatan menakut-nakutkan orang ramai dengan cerita seram sama dengan perbuatan mengaut wang daripada perbuatan menakut-nakutkan orang ramai dengan ugutan untuk menyenaraihitamkan nama orang ramai yang tidak membayar saman diskaun yang dilanjutkan sehingga 10 Mac ini. Kalian menganiaya masyarakat semata-mata untuk mendapatkan wang!

Saya kurang periksa, adakah mana-mana filem/drama seram yang menyelitkan kaedah-kaedah dan bacaan-bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang lengkap untuk mengusir hantu syaitan daripada merasuk/mengganggu manusia. Wallahua‘lam.

2 comments:

  1. Salam, tuan.

    Penerbit drama dan filem hantu sudah berjaya menaikkan martabat hantu-hantu di negara kita. Jikalau tidak percaya, buka sahaja akhbar kita dan bacalah betapa ramainya 'hantu kepala hitam' dalam masyarakat manusia. Ini adalah bukti jelas betapa hantu sudah sama darjatnya dengan manusia. Nauzubillahiminzalik... Semoga Allah melindungi kita daripada menzalimi diri sendiri.

    ReplyDelete
  2. Salam, Cikgu Marni;
    Malah, Cikgu, ada perlakuan manusia yang hantu syaitan sendiri tidak berani atau tidak tergamak untuk melakukannya.... Saya tidak fikir ada hantu syaitan yang tergamak untuk membuang anaknya.

    ReplyDelete