Monday, May 31, 2010

Konvoi Bantuan, Jihad, dan Israel

Risiko jihad kerap kali melibatkan nyawa. Yang tidak faham akan maksud jihad, jangan membuat olah. Jihad ialah perjuangan. Memberi ibu bapa wang, misalnya, sebahagian daripada jihad. Membantu orang yang tertindas pun suatu bentuk jihad juga. Berjuang di medan perang jihad juga. Memberi sedekah kepada yang menadah tangan pun jihad juga.

Oleh itu, keterlibatan sukarelawan Malaysia dan sukarelawan dari negara lain dalam misi penghantaran bantuan ke Gaza, Palestin adalah antara suatu bentuk jihad. Apabila menyebut Gaza dan Palestin, kita tahu akan keadaan di situ. Risikonya sangat besar kerana bapa segala orang jahat — Zionis yang menguasai negara haram yang dinamakan mereka sebagai Israel itu — berkitar-kitar di Palestin.

Risiko besar ini sudah pastilah melibatkan nyawa. Kita yakin, semua sukarelawan arif akan hakikat ini, iaitu hakikat bahawa Zionis-Israel bila-bila masa akan mengancam nyawa mereka. Penganut fahaman Zionis yang mengitari Palestin ini merupakan suatu puak yang tidak pernah tahu akan erti bantuan kemanusiaan kerana kebinatangan dan kesyaitanan menyeluruhi otak dan perasaan mereka. Tidak kira sesiapa pun, tidak kira ketetapan yang bagaimana sekalipun, pihak yang ingin memperlihatkan kemanusiaan kepada seteru pengamal fahaman Zionis ini akan menjadi seteru penganut fahaman itu.

Oleh sebab itulah pelbagai bantuan yang diusahakan oleh negara dan sukarelawan tertentu bagi membantu rakyat Palestin akan mendapat tentangan mereka, seolah-olah mereka sahajalah yang layak hidup selesa di dunia ini. Pada saat ini (31 Mei 2010), mereka telah “mengerjakan” konvoi (kapal) sukarelawan yang melibatkan rakyat Malaysia. Khabarnya mereka telah membunuh 15 orang dan mencederakan banyak sukarelawan yang lain. Belum diketahui sama ada sukarelawan Malaysia itu (kru televisyen ASTRO) selamat ataupun sebaliknya. Perbuatan mereka menyentap jantung/hati kita, khususnya jantung/hati ahli keluarga setiap rakyat Malaysia yang menyertai misi itu.

Saya ingin melarikan perhatian pembaca daripada kejadian itu kepada suatu hakikat lain. Sebenarnya, kita harus berwaspada untuk menyebut nama Israel itu. Hal ini demikian kerana kata Israel mendukung maksud yang sangat murni. Berdasarkan suatu pengajian yang saya ikuti, Israel bermaksud “Hamba Allah yang Terpilih/Hamba yang Dipilih Allah”. Nama ini ada disebut di dalam al-Quran, banyak kali — biasanya didahului dengan kalimat Bani. Menurut sejarah, nama Israel merupakan suatu gelaran yang diberikan oleh Allah SWT kepada Nabi Yaakub alaihissalam.

Hal ini bermakna bahawa “Hamba Allah yang Terpilih/Hamba yang Dipilih Allah” atau Israel itu bukanlah merujuk kepada para Yahudi yang ada di muka bumi ini pada hari ini apatah lagi yang berfahaman Zionis itu. Hal ini demikian kerana seperti yang ditegaskan, “Hamba Allah yang Terpilih/Hamba yang Dipilih Allah” yang dimaksudkan Allah SWT sebenarnya ialah Nabi Yaakub alaihissalam sahaja. Dalam erti kata yang lebih mudah, para Yahudi yang ada sekarang langsung tidak layak menamakan negara mereka sebagai Israel.

Dan dengan makna yang didukung oleh Israel itu, kita juga tidak wajar ikut menyebutnya untuk merujuk kepada negara haram itu (kerana secara tidak langsung kita mengakui mereka sebagai Hamba Allah yang Terpilih walhal hakikatnya mereka ialah hamba yang dilaknat Allah!)

Kita wajar mengecam serangan Zionis ke atas konvoi bantuan kemanusiaan itu. Tetapi jauh lebih awal daripada kejadian itu, kita perlu mengecam puak Zionis itu kerana memilih nama Israel sebagai nama negara dan nama bangsa mereka. Saya rasa, hal ini pun suatu jihad juga.

Wednesday, May 26, 2010

Jikalau Kerana Sebuah Dusun Maka Binasa Negeri, Haruslah Dusun Itu Dibuangkan

Kisah tekan-menekan dalam parti sudah sangat lazim. Oleh sebab sudah lazim, hal itu tidak menimbulkan keanehan kepada orang ramai walaupun kadangkala orang yang menekan itu ialah kawan baik kepada orang yang kena tekan.

Hal tekan-menekan dalam parti selalunya dilakukan dengan satu tujuan — KUASA. Sama ada orang yang menekan mendapat KUASA itu ataupun sebaliknya tidak penting kerana yang penting orang yang ditekan itu tertekan dan telungkup.

Bekas pemimpin kanan kerajaan pernah mencuba untuk menekan bosnya. Pelbagai saluran digunakannya — ada yang melalui media, ada yang melalui saluran parti. Walaupun usaha itu tidak berjaya, tetapi dampaknya sangat besar.

Seorang Kepala tanah ini mengalami nasib yang sama. Dia ditekan-tekan dan dipulas-pulas sampai terpaksa “melangkah” awal daripada jawatannya. Antara orang yang berada dalam puak yang menekannya termasuklah orang yang “disukainya”.

Seperti yang diketahui, seorang Presiden sebuah pertubuhan yang menjadi komponen sebuah pakatan sedang ditekan-tekan. Oleh sebab Presiden ini agak pelik lakunya, maka orang-orang yang menekannya “diterajangnya” keluar dari parti yang diterajuinya itu.

Dalam situasi yang lebih besar sekarang, ada seorang Kepala sedang melakukan perkara pelik-pelik. Yang milik kita diserahkan, yang haram dihalalkan. Dirinya dilibatkan dengan aneka hal yang kurang elok.

Hal-hal kurang elok itu sekarang kononnya dimanipulasi oleh pihak yang berkepentingan. Kerana hendak menyorok semua hal yang kurang elok itu, kononnya banyaklah tindakan Kepala ini yang merugikan tanah yang dikepalainya.

Ada pihak yang bimbang bahawa akan ada lebih banyak tindakannya yang akan merugikan tanah ini. Kita tidak tahu akan kebenaran hal itu, tetapi kita tahu selalunya demi KUASA orang sanggup melakukan aneka perkara yang menguntungkan dirinya, merugikan diri orang lain.

Mengapakah tidak ada puak yang sekelompok dengan Kepala ini yang menekannya sama seperti mereka menekan Kepala yang seorang lagi itu? Kalau benar Kepala itu dibelit hal kurang elok sehingga menjadi liabiliti, mengapakah dia perlu dilindungi?

Kalau benar dia dimanipulasi dan puak-puaknya sedia maklum akan hal ini, mengapakah tidak diambil suatu langkah memaksanya mengangkat kaki supaya tidak ada kerugian yang lebih besar menimpa tanah ini?

Ingatlah pepatah silam — jikalau kerana sebuah dusun maka binasa negeri, haruslah dusun itu dibuangkan! Kalian tidak tahu akan maksudnya? Tidak mungkin kalian tidak tahu. Kita sama-sama anak Melayu yang berani kerana benar.

Monday, May 24, 2010

Kisah ADUN Kerdau dan ADUN Parit Raja

ADUN Kerdau (Pahang), YB Datuk Zaharuddin Abu Kassim, 63 tahun, seperti yang kita ketahui, sedang berada dalam keadaan kritikal. Keadaan kesihatannya menjadi tidak menentu selepas menjalani pembedahan ulser usus di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh pada 3 April 2010 lalu. Beliau telah dirujukkan ke IJN pada 9 Mei 2010 apabila berlaku masalah pada buah pinggang dan jantungnya. Sehingga kini, keadaannya tidak bertambah baik, malah sedang koma dan memerlukan perhatian yang rapi dan serius.

ADUN Parit Raja (Johor) yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Johor, YB Abd Aziz Kaprawi, juga menghadapi masalah kesihatan. Beliau mengadu sakit dada dan telah pun menjalani pembedahan pintasan jantung semalam. Pembedahan itu berjaya dan kini beliau sudah pun sedar.

Tidak kira siapa pun anda, marilah kita, khususnya umat Islam, mendoakan keafiatan kedua-dua wakil rakyat itu. Mengharapkan ada PRK daripada keadaan yang menimpa kedua-dua insan tersebut bermaksud bahawa kita mengharapkan kematian mereka. Hal ini kurang wajar malah sangat tidak sopan. Janganlah kita mendahului Allah SWT. Biarlah Dia yang melaksanakan rencana-Nya.

Friday, May 21, 2010

Presiden itu Sedang Ditekan-tekan

Saya sedang meneka-neka perihal perkembangan semasa dalam sebuah pertubuhan. Fasa menekan sedang bermula. Kali ini, fasa menekan itu rasa saya, lebih serius dan terus-menerus. Sama ada kaedah yang digunakan oleh pihak penekan semasa hendak menyungkurkan mantan PM akan digunakan terhadap Presiden yang bukan ahli Yang Berhormat itu, sama-samalah kita tunggu.

Pada fasa ini, langkah pertama telah pun dimulakan oleh penekan yang berjawatan Timbalan Ketua Pemuda pertubuhan itu. Timbalan Ketua Pemuda itu menyeru Presiden itu berundur lebih awal. Sang Presiden yang “sangat Ultraman” itu menyahut seruan Timbalan Ketua Pemuda itu dengan memberinya habuan berupa penyingkiran.

Kini, langkah kedua dimulakan oleh penekan yang berjawatan anggota Jawatankuasa Kerja Pusat pula. Rasional yang diberikan oleh anggota itu terhadap seruannya ialah Sang Presiden yang Ultraman itu sudah lama sangat berkuku sebagai Presiden pertubuhan itu. Katanya lagi, “Kaum mereka akan bersatu kalau dia (Sang Presiden) meletakkan jawatan”.

32 tahun memimpin sesebuah pertubuhan memang sangat lama dan panjang. Kita tidak pasti mengapa orang berasa seronok memeluk jawatan ketua terlalu lama. Mungkin orang seperti itu merasakan dirinya hebat dan dia ingin mencipta sejarah. Mungkin. Orang yang rasional selalunya akan berundur semasa mereka berada di puncak kejayaan. Ah, orang-orang yang Ultraman tidak mungkin melakukan demikian!

Sang Presiden itu sudah terlalu banyak memangkas, suatu karakter yang hampir sama dengan karakter seorang lagi mantan Presiden sebuah pertubuhan lain. Kita lihat sekali ini, masih tajamkah parang Sang Presiden yang Ultraman itu untuk memangkas orang-orang yang menyerunya berundur.

Alah, berikan sajalah SSM kepadanya! Dia layak, apa!

Judi: Kita yang Kena Membentengi Diri kita

Islam itu syumul, demikianlah yang kita ketahui. Oleh sebab Islam syumul, maka Islam itu cantik. Tidak sukar untuk mencari kesyumulan Islam. Tidak sulit untuk mengenal pasti kecantikan Islam. Perhatikanlah hadis ini:
Sesiapa berkata kepada rakannya, ‘Mari bermain judi’, maka hendaklah ia bersedekah.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Bukankah melalui hadis yang pendek itu dapat kita lihat kesyumulan dan kecantikan Islam? Hal ini demikian kerana tidak mungkin hadis itu menyuruh orang, misalnya, “Sesiapa yang hendak bersedekah, berjudilah dahulu supaya dapat bersedekah dengan lebih banyak” — Na‘uzubilLah. Hal ini demikian kerana walau dalam apa-apa sekalipun, judi menjanjikan kerugian kepada salah seorang (atau lebih) penjudi.

Hal judi di negara kita sudah lama diperkatakan orang. Walau bagaimanapun, sejak seminggu dua ini, hal judi hebat diperkatakan orang apabila kerajaan meluluskan permohonan pihak tertentu untuk melaksanakan judi bola bersempena dengan Piala Dunia 2010 pada Jun ini.

Dalam hal judi bola yang diluluskan oleh kerajaan itu (serta mana-mana judi lain), kita memang wajib menentang, sama ada dengan kelakuan, perkataan, ataupun dengan hati kita. Hal ini selari dengan peringatan Allah SWT dalam surah
al-Maidah, ayat 90-91:
Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya, syaitan itu hanyalah bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan hendak memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan solat. Oleh itu, hendakkah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?”
Kita (malah orang bukan Islam juga) telah banyak berkata melalui penulisan serta perbuatan seperti berdemo dan sebagainya — untuk menasihati, mengingatkan, malah mencerca pihak yang memberikan kelulusan itu tetapi kata-kata dan perbuatan kita itu seperti menampal kersik ke buluh. Mereka bertelinga tetapi tidak mendengar, mereka berlidah tetapi bisu, mereka berbatang dan bertelur tetapi pengecut!

Oleh sebab mereka seperti tidak mahu berpatah balik — agaknya berpegang pada prinsip yang terkandung dalam peribahasa terlajak perahu dapat diundur, terlajak laku teruskan saja — maka tidak banyak yang dapat kita lakukan. Dengan hati yang berat, kita biarkanlah mereka dengan keputusan itu, tetapi di dalam hati kita jangan sekali-kali kita
redho akan judi itu dan judi-judi yang lain. Hidupkanlah kebencian di dalam hati kita terhadap judi dan terhadap orang-orang yang berjudi! Awasilah kaum keluarga kita daripada mendekati judi itu dan judi-judi yang lain. Bentengi diri kita dengan iman supaya tidak terlibat dengan judi itu dan judi-judi yang lain. Lengkapkan diri kita dengan keberanian untuk menegur orang yang terlibat dengan judi bola itu dan judi-judi yang lain. Kalau ada ihsan di hati kita, kita doakanlah para penjudi itu, termasuklah orang yang meluluskannya, supaya hati mereka turut membenci judi lalu menjauhinya dan menarik balik lesen perjudian itu.

Kepada pihak yang meluluskan judi itu, ingatlah lanjutan ayat dalam surah
al-Maidah (ayat 92):

Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasul Allah, dan awaslah (janganlah sampai menyalahi perintah Allah dan Rasul-Nya). Oleh itu, jika kamu berpaling (enggan menurut apa-apa yang diperintahkan itu), maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya kewajiban Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) dengan jelas nyata.”
Sebagai rakyat, kami suka mengingatkan kamu. Kami telah membuat kebajikan kepada kamu — dengan memilih kamu sebagai wakil kami. Kamu bernasib baik kerana kemudiannya kamu telah terpilih untuk menjadi ahli jemaah menteri (dan eksko kerajaan negeri). Apabila kamu telah kami pilih sebagai wakil kami dan kemudiannya entah atas dasar apa, kamu terpilih pula untuk menganggotai jemaah menteri atau eksko kerajaan negeri, yang kami harapkan daripada kamu ialah kamu akan membalas kebajikan dan kebaktian yang kami berikan itu.

Kami mengharapkan yang baik-baik daripada kamu demi keselamatan kami daripada kemurkaan Allah SWT. Malangnya kamu memilih untuk mendapat kemurkaan Allah SWT dan pilihan kamu itu bakal mencelakakan kami. Sekarang kami sedar bahawa kebajikan dan kebaktian yang kami curahkan itu seperti menabur bijan ke dalam tasik, tiada ia akan tumbuh. Lalu, kami suka mengingatkan kamu bahawa pokok pisang yang sama tidak akan mengeluarkan buah dua kali. Kami telah memberi kamu kuasa, kami telah menghadiahi kamu pelbagai imbuhan daripada duit kami, tetapi kata-kata dan permintaan kami kamu bakulsampahkan. Kami bukan berdendam, tetapi kami berjanji, jika hak kami terus kami enteng-entengkan, kamu tidak akan kami pilih lagi. Kamu akan kami bakulsampahkan pula.

Wednesday, May 19, 2010

Wanita dan Ahli Parlimen

Wanita sering menyebabkan lelaki tidak dapat menunggang nafsunya dengan betul. Wanita sering menyebabkan orang lelaki tidak dapat mengatur akal fikirannya dengan waras. Wanita sering menyebabkan orang lelaki kelihatan bodoh.

Ketiga-tiga keadaan itu, selain pelbagai keadaan lain yang memperlihatkan kedunguan lelaki apabila melibatkan wanita, mengesahkan ungkapan “Tangan yang menghayun buaian dapat menggoncang dunia”.

Di negara kita, seorang Ahli Parlimen, sekali lagi saya ulangi, seorang Ahli Parlimen, telah membelakangkan undang-undang yang sewajibnya diketahui oleh beliau hanya kerana seorang wanita. Dia telah melakukan kesalahan yang terdapat dalam undang-undang syariah di negara ini, iaitu mengamalkan poligami tanpa kebenaran mahkamah. Apakah akibat langsung daripada perbuatannya itu?

Beliau telah dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM1,000.00 atau penjara enam bulan jika tidak mampu membayar denda itu. Itulah akibat yang ditanggungnya atas perbuatannya itu, yang berpunca daripada kegilaannya terhadap seorang wanita.

Tetapi, kesan yang lebih parah daripada perbuatannya itu ialah beliau telah mencalar imej Ahli-ahli Parlimen yang lain dan jika beliau terus kekal sebagai Ahli Parlimen, kerosakan imej itu akan terus menjadi liabiliti kepada semua Ahli Parlimen.

Wanita tidak salah apa-apa. Mereka pendamping lelaki, oleh itu bijaksanalah mengawal nafsu dan akal.

Jika hendak menambah cabang, beranikan hati. Jika hati tidak berani, bergayutlah pada cabang yang satu itu. Jika masih hendak bercabang-cabang juga, buanglah cabang lama itu. Kalau cabang lama masih disayangi, lupakanlah niat di hati.

Negara kita berundang-undang. Undang-undang perlu sentiasa dipatuhi. Sentiasa!

Tuesday, May 18, 2010

Piala Thomas: Gabungan Tiga Negara Belum Pasti Atasi China

Ada pihak (pemerhati sukan?) yang berkata bahawa jika buah tiga negara — Malaysia, Indonesia, Denmark — bergabung untuk membentuk satu pasukan badminton, pasukan badminton China masih belum tentu dapat ditewaskan (dalam pertandingan Piala Thomas). Begitulah dakwaan seorang penulis sukan di sebuah akhbar arus perdana.

Betulkah dakwaan itu? Kuat sangatkah pasukan badminton China itu sehingga memerlukan gabungan tiga pasukan negara lain untuk menundukkannya? Atau dakwaan itu hanya lahir daripada perasaan takjub penulis itu?

Sebenarnya, kekuatan pasukan badminton China lebih kurang sama dengan kekuatan pasukan lain. Kalau ada pun yang menjadikan pasukan itu istimewa ialah mereka membariskan pemain yang masih muda. Hal ini berbeda dengan Malaysia, Denmark, dan Indonesia yang masih mengitar semula pemain yang sudah berusia. Yang lebih istimewa, mereka mempunyai pemain yang seimbang di semua posisi. Keempat-empat pemain perseorangan mereka dapat diharapkan untuk mengutip mata, begitu juga dengan pemain-pemain beregu mereka.

Sebagai contohnya, Lin Dan dapat menyaingi mana-mana pemain perseorangan pertama dari negara lain. Chen Jin dapat menyaingi mana-mana pemain kedua dari negara lain (apatah lagi Wong Choon Han yang sudah berusia itu). Bao Chunlai atau Chen Long bersedia untuk membaham mana-mana pemain perseorangan ketiga dari negara lain.

Keseimbangan itu muncul tepat pada waktunya, iaitu setiap pemainnya dapat menyaingi pemain negara lain yang sama posisi dengan mereka dalam kejohanan Piala Thomas lalu. Tetapi, sebagai bandingan, kalau Chen Jin bermain di posisi pertama, dia pasti menghadapi kesukaran untuk menewaskan Datuk Lee Chong Wei, Peter Gade, Park Sung Hwan, dan Taufik Hidayat.

Untuk menafikan hakikat ini juga (gabungan tiga negara diperlukan untuk mengalahkan pasukan Piala Thomas China), kita perlu melihat bagaimana pasukan badminton Piala Uber Korea Selatan dapat mengalahkan pasukan badminton Piala Uber China yang kuat, mantap, dan seimbang itu. Pasukan badminton Piala Uber Korea Selatan tidak memerlukan gabungan negara lain untuk mengalahkan pasukan badminton Piala Uber China yang membariskan pemain yang mempunyai ranking tertinggi di dunia.

Pemain-pemain China, Wang Yihan dan Wang Xin, ialah pemain perseorangan ranking pertama dan kedua dunia. Ma Jin/Wang Xiaoli dan Du Jing/Yu Yang pula pemain beregu ranking pertama dan kedua dunia. Kesemua mereka (kecuali Wang Xin) dapat dikalahkan oleh pasukan yang membariskan pemain yang kedudukan ranking mereka tidaklah sebaik mereka. Wang Yihan dikalahkan oleh Bae Seung Hee (21-23, 11-21), Ma Jin/Wang Xiaoli dikalahkan oleh Lee Hyo Jung/Kim Min Jung (21-18, 12-21, 15-21), manakala Du Jing/Yu Yang dikalahkan oleh Lee Kyung Won/Ha Jung Eun mn 21-19, 14-21, 10-21.

Saya berpandangan bahawa, dan saya bersetuju tentang hal ini dengan penulis sukan akhbar perdana itu, iaitu bahawa kekuatan pasukan China terletak pada semangat dan kemampuan mereka untuk bermain sebagai satu pasukan. Samalah halnya dengan skuad badminton Piala Uber Korea Selatan yang memperlihatkan hakikat yang sama. Skuad Malaysia dan Indonesia tampak individualistik. Saya fikir, pemain negara yang ada sekarang perlu mendekati Razif, Jailani, dan Rashid Sidek serta Foo Kok Keong, Soo Beng Kiang, Cheah Soon Kit, dan lain-lain untuk mengetahui dan mempelajari cara-cara mereka memperlihatkan semangat juang yang tinggi sehingga dapat memasuki perlawanan akhir Piala Thomas sebanyak empat kali berturut-turut antara tahun 1988 hingga 1994 dan dalam tempoh itu berjaya menjulang Piala Thomas pada tahun 1992 dahulu.

Monday, May 17, 2010

Strategi Politik Memerlukan Kita Terus Memberikah?

PAS (Parti Islam Se-Malaysia) telah menempa sejarah dalam perjuangan politiknya apabila menaiktarafkan Kelab Penyokong PAS (KPP) kepada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP). Dengan kenaikan taraf itu, DHPP dapat berperanan sebagai sayap baharu parti itu dan ahlinya boleh dipilih untuk bertanding dalam pilihan raya. Oleh sebab DHPP dianggotai oleh orang bukan Islam (kira-kira 20 ribu orang setakat ini), maka lebih banyaklah calon bukan Islam berpeluang untuk bertanding dalam pilihan raya dengan menggunakan lambang PAS.

Penubuhan DHPP itu merupakan strategi politik PAS. Para pemuka PAS berharap agar penubuhan sayap baharu itu dapat melebarkan pengaruh mereka (PAS) dalam kalangan penyokong bukan Islam. Selain matlamat itu, penaiktarafan itu bertujuan untuk membolehkan KPP yang ditubuhkan sejak tahun 2004 bergerak aktif dan bebas sebagai sayap parti dalam PAS seperti Dewan Pemuda, Ulama, dan Muslimat.

DHPP akan dilancarkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 23 Mei 2010 ini.

Kita memahami strategi politik ini, tetapi kita berasa bimbang kerana kita sejak sekian lama terlalu banyak memberi, kesemuanya atas nama kelangsungan politik. Kita tidak tahu, sejak tahun 2004, sudah berapa banyak ahli KPPkah yang ditarbiyahkan dan diislamkan oleh pihak PAS? Pada hemat saya, pentarbiyahan dan pengislaman ahli KPP lebih penting daripada penubuhan DHPP itu. Dengan pengislaman mereka, mereka dengan sendirinya boleh menjadi ahli PAS (Perlembagaan PAS menyatakan bahawa syarat untuk menyertai PAS mestilah beragama Islam) dan sekali gus berpeluang untuk dicalonkan sebagai wakil rakyat.

Barangkali, kita, saya khususnya, terlalu dangkal dalam memahami politik. Cuma saya terfikir tentang hal yang berlaku sekarang. Calon Bebas yang memakai lambang PAS dalam PRU12 lalu (khabarnya mendapat restu TG) telah memenangi kerusi yang ditandinginya. Setelah menang, beliau berkerenah sehingga beliau (seorang sahaja!) langsung tidak dapat dikawal oleh PAS. Berdasarkan senario ini, apakah asas yang menjadi pegangan pihak PAS bahawa wakil rakyat dari DHPP itu kelak tidak akan berkerenah seperti Wakil Rakyat Bebas itu? Diandaikan bahawa pada suatu hari kelak, hubungan PAS-DAP atau PAS-PKR retak, agak-agaknya akan berdiri tegapkah wakil rakyat DHPP itu bersama PAS? Jangan menjadi seperti PKR sekarang ini sudahlah!

Wallahua‘lam. Kita, saya khususnya, tidak arif sangat dalam strategi politik.

Betul, Hulu Selangor Terlucut Berganti dengan Sibu

Dalam siaran saya yang bertajuk “Hulu Selangor Terlucut, Berganti dengan Sibu” (3 Mei 2010), saya menelah bahawa Pakatan Rakyat akan merampas Parlimen Sibu (P212) sebagai ganti kepada Hulu Selangor yang berjaya dirampas oleh Barisan Nasional semula.

Telahan saya itu adalah berasaskan sikap pengundi Cina (melalui PRK Bukit Gantang dan Hulu Selangor) yang cenderung untuk menyokong PR. Kebetulan pula Sibu didiami kebanyakannya oleh pengundi berdaftar yang berbangsa Cina (66.7%). Itulah asas telahan saya.

Kebetulan telahan itu betul. PR, melalui wakil DAP, Wong Ho Leng berjaya memenangi kerusi Parlimen Sibu setelah mengalahkan calon BN, Robert Lau dengan majoriti 398 undi. Wong Ho Leng memperoleh 18,845 undi, Robert Lau Hui Yew beroleh 18,447 undi manakala calon Bebas, Narawi Haron, memperoleh 232 undi.

Tampaknya, orang Cina semakin cenderung untuk memilih pembangkang. Cuma saya tertanya-tanya, jika calon bukan Cina dipilih untuk mewakili PR di Sibu yang majoriti penduduknya ialah Cina, akan menangkah calon bukan Cina itu? Apa-apa pun juga yang kita katakan, yang pasti taburan janji dan wang ringgit oleh pihak kerajaan terbukti bukan segala-galanya kepada penduduk Cina di situ dan juga di Bukit Gantang dan juga di Hulu Selangor. Orang Melayu kena berfikir.

Sunday, May 16, 2010

Atlet Malaysia Lemah Ketahanan Mental?

Kekalahan pasukan badminton Malaysia di tangan pasukan badminton China pada peringkat separuh akhir Piala Thomas bukanlah suatu isu besar dan kita tidak perlu sampai berasa sangat malu atas kekalahan itu. Saya berkata demikian kerana kita kalah di tangan pasukan badminton yang mempunyai barisan pemain yang memang handal. Lin Dan, Fu Haifeng dan Cai Yun serta Chen Jin bukanlah sembarangan pemain. Status pemain badminton China itu sebenarnya sama dengan status pemain badminton Denmark yang kita kalahkan pada peringkat suku akhir — Peter Hoeg Gade, Jan Ø Jørgensen, Joachim Persson, Carsten Mogensen/Mathias Boe, dan Lars Paaske/Jonas Rasmussen. Hal ini juga bukan menjadi isu kerana kita hanya merupakan pilihan ketiga dalam kejohanan ini dan pihak BAM sendiri khabarnya menyasarkan kejayaan kita hingga peringkat separuh akhir sahaja!

Cuma kita berasa sedikit kecewa dengan cara kita kalah di tangan pasukan badminton China yang merupakan pasukan pilihan utama itu. Baik Lee Chong Wei dan Koo Kean Kiat dan Tan Boon Heong apatah lagi Wong Choon Han, semuanya tidak dapat melepasi 10 mata pada set kedua dalam persaingan pada peringkat itu. Chong Wei kalah 17-21, 8-21 di tangan Lin Dan, Kean Kiat dan Boon Heong kalah 15-21, 10-21 di tangan Haifeng dan Cai Yun manakala Choon Han kalah 16-21, 7-21 di tangan Chen Jin. Saya menjangkakan Chong Wei dan Kean Kiat/Boon Heong akan kalah dalam permainan rubber.

Pada pandangan saya, isu besar yang harus dibicarakan daripada kekalahan itu ialah sifat pemain kita. Mereka ini, tidak kira dalam sukan apa-apa pun, akan tewas apabila harapan yang tinggi diletakkan di pundak mereka. Mengapakah hal ini selalu berlaku kepada atlet kita? Adakah tahap ketahanan mental mereka begitu lemah? Saya berpendapat bahawa latihan gigih tidak memberikan makna apa-apa kalau ketahanan mental mereka tumpul!

Lihat sahajalah kekalahan kita di tangan pasukan badminton Jepun dalam perlawanan peringkat kumpulan — betapa lemahnya ketahanan mental beberapa orang pemain kita sehingga kita kecundang 2-3 di tangan pasukan bukan pilihan itu. Sebagai imbasan, inilah keputusan penuh perlawanan Malaysia-Jepun itu.

  1. Lee Chong Wei mn Kenichi Tago 21-12, 21-13
  2. Koo Kean Keat/Tan Boon Heong mn Noriyasu Hirata/Hirokatsu Hashimoto 21-13,21-17
  3. Wong Choong Han kk Sho Sasaki 17-21, 18-21
  4. Mohd Fairuzizuan Tazari/Zakry Latif kk Kenichi Hayakawa/Kenta Mazuno 15-21, 12-21
  5. Muhammad Hafiz Hashim kk Shoji Sato 10-21, 21-14, 18-21

Sebagai perbandingan, kita bandingkanlah Lin Dan, pemain badminton China itu. Selain memiliki corak permainan sempurna dari aspek teknik dan mantap pula tahap fizikalnya, dia juga memiliki ketahanan mental yang luar biasa! Dia dapat menyerap tekanan yang diberikan oleh penyokong tempatan yang sebahagian besarnya merupakan penyokong pasukan badminton Malaysia. Begitu juga halnya dengan pemain badminton China yang lain.

Jadi, sesuatu perlu dilakukan kepada atlet kita supaya mereka dapat menunaikan harapan tinggi rakyat Malaysia yang telah mengorbankan wang mereka demi pembangunan sukan.

Friday, May 14, 2010

Keras Sangatkah Lidah?

Gaya dan cara orang berbahasa Melayu bermacam-macam. Ada orang yang tidak menyebut sesuatu kata dalam bahasa Melayu dengan betul. Ada (malah banyak sekali) orang yang langsung tidak mematuhi hukum tatabahasa.

Memang banyak rakyat Malaysia yang tidak mematuhi nahu bahasa Melayu dan tidak dapat mengenal pasti bentuk dan sebutan sesuatu kata dengan betul. Hal ini berlaku demikian kerana mereka tidak rajin untuk mempelajari nahu bahasa mereka sendiri dan culas untuk mengenal pasti bentuk dan sebutan sesuatu kata. Sikap buruk ini berlaku terus-menerus kerana mereka berpendirian bahawa dengan cara apa-apa pun orang Malaysia berbahasa Melayu sesama mereka, kebanyakannya akan faham.

Dalam hal menyebut sesuatu kata dengan betul dan tepat, nasib bahasa Melayu dapatlah dikatakan sebagai malang kerana bangsanya sendiri jarang-jarang hendak mendalami bahasanya sendiri walhal pada masa yang lain mereka dapat pula menyebut kata masquerade, picturesque, island, isle, aisle, honest, dan lain-lain dengan tepat dan baik walaupun ejaan untuk kata-kata itu sangat pelik kerana sebutannya jauh berbeda dengan yang divisualkan.

Orang yang paling biasa kita lihat tidak mematuhi hukum tatabahasa dan seperti tidak dapat menyebut sesuatu kata dengan tepat ialah public figure (figura awam?) seperti ahli-ahli politik, para artis, para penggiat media, malah ahli-ahli akademik sendiri. Oleh sebab “figura awam” ini sering menjadi perhatian, menjadi ikutan, dan diminati kebanyakan orang, maka tidak keterlaluanlah kalau dikatakan bahawa mereka inilah yang bertanggungawab menyebarluaskan kesalahan bahasa kepada kebanyakan orang. (*Kini, kesalahan seperti itu semakin leluasa melalui pengaruh SMS.)

Sebagai contohnya, banyak “figura awam” yang menyebut kata u/ngu sebagai ung/gu dan kata dungu sebagai dunggu. Malah, ada kalangan “figura awam” yang bukan calang-calang ketokohannya menyebut kata su/kan sebagai so/kan dan kata bu/ruh sebagai bo/roh. Tokoh yang yang bukan Melayu pula menyebut kata darah sebagai dara, dadah sebagai dada, mewah sebagai mewÄ›, dan sebagainya. Hal ini tidak termasuk “figura awam” yang menyebut kata seksa sebagai siksa, kata gores sebagai guris, dan sebagainya. Orang yang mendengar memang faham dan tahu akan apa-apa yang diperkatakan oleh “figura awam” itu, tetapi yang salah janganlah disebarluaskan! Kalau kata dalam bahasa Inggeris (seperti yang disenaraikan itu) dapat disebut dengan betul (siap dengan qolqolahnya), maka sukar sangatkah untuk menyebut kata dalam bahasa Melayu dengan betul. Keras sangatkah lidah?

Saya ingin menarik perhatian para pembaca melalui gambar ini. Apakah tanggapan para pembaca sekalian?


Kalaulah demikian arahannya, saya fikir banyak orang yang beragama akan menceroboh kawasan itu.


Thursday, May 13, 2010

Wakil Rakyat yang Lompat Parti Bukan Pengkhianat Parti tetapi Pengkhianat Rakyat

Ahli Palimen Bebas yang menjadi wakil rakyat di Kulim-Bandar Baru – YB Zulkifli Noordin – mengingatkan PR yang memerintah Kedah, khususnya YAB Menteri Besarnya, tentang kemungkinan beberapa orang wakil rakyat PR akan keluar dari parti itu dalam masa terdekat ini. Sehubungan dengan keadaan itu, beliau menyarankan YAB Menteri Besar Kedah supaya menghadap baginda Sultan untuk mendapatkan perkenan baginda bagi membubarkan DUN.

Menurut YB Zulkifli, wakil-wakil rakyat PR yang hendak keluar parti itu telah meminta nasihat beliau tentang hal ini dan beliau telah menasihati mereka agar bertindak mengikut prinsip mereka dan tidak terpengaruh oleh keputusan pihak lain.

Jika dakwaan YB Kulim Bandar Baru itu betul dan YAB Menteri Besar Kedah memencilkan dakwaan itu, sebuah lagi kerajaan negeri yang diterajui PR bakal tumbang, sama seperti tumbangnya kerajaan negeri Perak yang diterajui oleh PR tidak lama dahulu.

Hal ini hal politik. Ada kalanya hal politik seronok untuk diikuti, tetapi selalunya hal politik menyerabutkan fikiran malah kadangkala memualkan. Walau bagaimanapun, untuk mengesampingkan hal-hal politik, tidak boleh juga kerana kita berada di dalam negara yang menghendaki rakyatnya bermaklumat dan berpengetahuan. Bagi sesetengah rakyat di negara ini yang telah menyatukan politik dengan darah dan daging mereka, mereka tidak kenal erti serabut dan mual.

Tentang lompat parti ini, yang tidak menarik adalah bahawa tindakan sedemikian mencerminkan peribadi wakil-wakil rakyat itu yang langsung tidak menghormati rakyat yang memilih mereka. Ya, mungkin mereka bertindak demikian kerana mereka berasa tidak puas hati terhadap pemimpin parti mereka, tetapi adakah hal itu lebih penting daripada memikul dan menghormati kepercayaan rakyat yang memilih mereka? Mereka perlu sedar bahawa dalam proses mereka hendak menjadi wakil rakyat dahulu, pemimpin parti hanya mencalonkan mereka tetapi yang memenangkan mereka bukan pemimpin itu sebaliknya rakyat di kawasan mereka bertanding. Hal ini bermakna bahawa jika mereka tidak berpuas hati dengan pemimpin parti mereka, langkah yang paling molek dan mulia adalah dengan meletakkan jawatan kerana langkah melompat parti semasa masih bergelar wakil rakyat merupakan suatu pengkhianatan!

Kalaulah wakil-wakil rakyat yang bakal melompat parti itu (seperti yang digambarkan oleh YB Zulkifli) ialah orang Melayu-Islam, kita wajar berasa hiba, malu, dan kecewa. Hal ini demikian kerana tindakan mereka mencerminkan orang Melayu-Islam tidak berprinsip, orang Melayu-Islam mudah kecewa, orang Melayu-Islam pengkhianat rakyat, orang Melayu pengkhianat perjuangan! (Sebenarnya kita sudah pun dimalukan dan dikecewakan sehingga menghibakan kita kerana majoriti wakil rakyat yang melompat parti selepas PRU12 lalu ialah Melayu-Islam).

Sebagai wakil rakyat, mereka harus membandingkan diri mereka dengan diri wakil-wakil rakyat yang bukan Melayu-Islam. Apakala wakil rakyat yang bukan Melayu-Islam itu menguasai dan menerajui negeri (majoriti) seperti di Pulau Pinang itu, adakah mereka mengkhianati rakyat yang memilih mereka? Tidak sama sekali sebaliknya mereka bersatu untuk memenangi hati rakyat yang memilih mereka walaupun ada antara mereka yang tidak berpuas hati dengan pemimpin parti mereka.

Kita hanya boleh membebel tentang hal ini tetapi oleh sebab timun dan pisau di tangan mereka, tidak apa-apa yang dapat kita lakukan. Tetapi wahai wakil rakyat yang kami pilih, tidak kira kamu wakil BN ataupun wakil PR, janganlah khianati kami yang memilih kamu.

[Sebagai makluman, Kedah mempunyai 36 kerusi Dewan Undangan Negeri. Pakatan Rakyat memiliki 20 kerusi (16 PAS, 3 PKR, dan 1 DAP) manakala BN memiliki 14 kerusi dan Bebas (yang pro-BN) memiliki 2 kerusi.]

Malam Gemilang Sukan Malaysia

Dalam usaha hendak mendakap Piala Thomas, pasukan Malaysia “tetomoih” di tangan Jepun semalam. Sebentar tadi, di peringkat suku akhir, pasukan Malaysia hampir “tetomoih” lagi di tangan pasukan Denmark. Seperti semasa menentang pasukan Jepun Selasa lalu, pasukan Malaysia mendahului Denmark 2-0 sebelum pasukan Eropah itu menyamakan kedudukan 2-2. Walau bagaimanapun, pemain perseorangan ketiga Malaysia – Hafiz Hashim – mempamerkan sentuhan ajaibnya yang sudah sekian lama terpendam. Beliau berjaya menewaskan Joachim Perrson dengan permainan terus. Dengan kemenangan itu, Malaysia akan menentang pasukan China di peringkat separuh akhir.

Di Stadium Sultan Azlan Shah, Ipoh, pasukan hoki Malaysia berjaya mengalahkan pasukan India dengan jumlah jaringan yang besar, iaitu 5-2. Jumlah jaringan tersebut adalah yang terbesar dalam sejarah pertemuan Malaysia dengan India.

Bagaimanakah kesudahan perjalanan pasukan Malaysia dalam kedua-dua jenis sukan itu? Marilah kita sama-sama menyokong dan mendoakan kejayaan pasukan negara dalam sukan-sukan itu supaya kegemilangan malam ini akan berterusan ke hari-hari yang seterusnya!

Wednesday, May 12, 2010

Fikiran yang Jungkir Balik

Semasa PRK Hulu Selangor hendak berlangsung baru-baru ini, peribadi calon yang bernama Dato’ Zaid Ibrahim telah dihina oleh pihak yang hendak merampas kerusi Hulu Selangor itu. Kejahatan silam Dato’ Zaid, yang dikategorikan mereka sebagai peminum arak tegar, telah didedahkan kepada umum.

Di pihak yang mendedahkan kejahatan silam Dato’ Zaid itu, niat mereka tidaklah sukar untuk ditelah. Mereka sebenarnya hendak membuka mata para pengundi Islam di kawasan Hulu Selangor, bahawa calon yang bernama Dato’ Zaid Ibrahim itu tidak Islamik dan oleh sebab tidak Islamik, beliau tidak layak dipilih sebagai Wakil Rakyat untuk bercakap di Parlimen.

Dari sisi lain, pendedahan itu telah “menyerlahkan” sikap dan pendirian pihak yang membuat pendedahan itu, iaitu bahawa mereka sangat menitikberatkan Islam. Dengan kata lain, mereka sangat Islamik.

Malangnya, setelah pihak yang membuat pendedahan itu berjaya membuka mata para pengundi Islam di Hulu Selangor dan setelah mereka kelihatan “agak” Islamik, tiba-tiba timbul pula berita mereka hendak mengeluarkan lesen perjudian kepada pihak-pihak tertentu bersempena dengan Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 2010 yang akan berlangsung pada bulan Jun akan datang.

Orang jadi keliru dan celaru dengan tindakan mereka kerana setelah “melarang” para pengundi di Hulu Selangor memilih Wakil Rakyat yang kononnya kaki botol (tidak Islamik), mereka hendak membenarkan rakyat keseluruhannya mengamalkan perjudian pula. Betapa jungkir baliknya fikiran mereka!

Kekeliruan dan kecelaruan yang sama dapat kita lihat dalam pendakwaan yang dikenakan terhadap penasihat sebuah parti pembangkang. Penasihat parti itu sedang dibicarakan di mahkamah kerana didakwa telah “melakukan” seks luar tabii dengan orang yang sejantina dengannya. Pada masa yang lain, seorang lagi pengamal seks luar tabii (yang baru sahaja memenangi kerusi Presiden sebuah parti) bebas dan tidak dikenakan dakwaan apa-apa pun di mahkamah. Walhal perlakuan seks luar tabii Presiden itu sahih dan nyata buktinya. Celaru tak fikiran kita? Jungkir balik tak fikiran mereka?

Berbalik kepada soal niat untuk mengeluarkan lesen perjudian itu – khabarnya pihak yang telah berjaya memperlihatkan (untuk seketika) keIslamikan mereka itu, akan tetap meneruskan niat mereka (malah khabar terbaharu mengatakan bahawa pengendali perjudian itu sudah pun dipilih). Walhal jauh sebelum tindakan itu, pihak yang kelihatan Islamik itu dan kita juga telah diingatkan oleh Allah SWT perihal arak dan judi di dalam beberapa surah, antaranya surah al-Maidah, ayat 90:

Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, bertenung nasib dan juga berhala-berhala merupakan najis dan sebahagian daripada amalan syaitan, maka hendaklah kamu menjauhinya semoga kamu berjaya (yakni di dunia dan di akhirat)”.

Allah juga telah mengingatkan mereka dan kita sendiri di dalam surah al-Baqarah, ayat 219:

Dan mereka bertanyakan kamu (wahai Muhammad) perihal arak dan judi. Katakan kepada mereka, pada kedua-duanya kebaikan dan dosa, dan dosanya lebih banyak daripada kebaikannya”.

Berdasarkan ayat 219 dalam surah al-Baqarah itu, jelas bahawa dosa yang dikendong oleh amalan perjudian sangat banyak berbanding dengan kebaikannya. Tetapi, disebabkan fikiran mereka jungkir balik, yang dipilih oleh mereka ialah yang lebih banyak itu, iaitu dosa.

Jadi, siapakah yang dapat memberikan jawaban ini – adakah Allah SWT akan menangguhkan pembalasan-Nya terhadap orang yang meneruskan niat mereka untuk mengeluarkan lesen perjudian itu? Mungkin mereka berpendirian bahawa Allah SWT akan menangguhkan balasannya kerana baru-baru ini mereka juga telah melakukan sesuatu yang Islamik – menghentikan amalan pengalungan bunga di Tugu Pahlawan!

Lagi celaru fikiran kita. Lagi jungkir balik fikiran mereka. Wallahualam.

Tuesday, May 11, 2010

Antara Sukarela dan Paksarela

Sukarela” ialah suatu sifat yang mulia. Sesuatu yang dilakukan secara sukarela lazimnya disertai dengan keinginan dan kerelaan sendiri yakni tanpa paksaan daripada mana-mana pihak, dilakukan dengan perasaan yang seronok dan penuh dengan keikhlasan. Itulah yang saya fahami daripada perkataan yang terhasil daripada gabungan kata “suka” dan “rela” itu. Seperti yang kita ketahui, orang yang memiliki dan mengamalkan sifat-sifat itu digelar sebagai sukarelawan.

Hal ini bermaksud, perbuatan yang dilakukan bukan dengan keinginan dan kerelaan sendiri, dilakukan setelah dipaksa oleh pihak-pihak tertentu, dilakukan dengan perasaan yang jengkel dan tanpa keikhlasan, tidak dapat sama sekali digolongkan sebagai sukarela. Bekas bos saya dahulu menggolongkan sifat itu sebagai “paksarela”.

Jika sesuatu itu dilakukan tanpa kerelaan, rogol misalnya, akan berlaku pergelutan antara orang yang hendak dirogol dengan orang yang hendak merogol. Jika yang merogol lelaki, sudah pastilah mangsa rogol itu perempuan. Dengan sifat perempuan yang sememangnya lemah, perogol (lelaki) yang muda sering “menang” dalam kejadian “paksarela” itu. Kalau si perogol lelaki tua manakala mangsa rogol itu wanita muda, belum tentu lelaki tua itu dapat melampiaskan hajat buruknya itu.

Tetapi akan menjadi aneh kalau sesuatu yang dilakukan tanpa kerelaan hati, misalnya dalam aktiviti homoseks (maaf, bahasa kasar sebagai padanan untuk kata “homoseks” dalam Kamus Dewan Edisi Keempat disebut sebagai “semburit”), si mangsa membantu pihak yang hendak ber”semburit” dengannya. Sebagai contohnya, si mangsa menyapukan krim tertentu (yang berperanan sebagai pelincir) di bahagian “burit”nya bagi membantu penyemburit itu melampiaskan nafsunya. Lebih aneh lagi kalau mangsa perlakuan songsang itu merupakan orang muda manakala si pelaku (lelaki yang memaksa perlakuan songsang itu) berusia lebih daripada 60 tahun!

Kita memerlukan fikiran yang waras untuk menilai kejadian seumpama ini (kalau berlakulah). Harap-harap hal seperti ini tidak berlaku di negara kita dan di mana-mana juga. Saya tidak mahu nasib umat Nabi Lut alaihissalam ditimpakan kepada kita pula.

Wednesday, May 5, 2010

RM546 Juta Sangat Banyak, RM227 Juta Pun Banyak Juga

YB Timbalan Menteri Kewangan menceritakan perihal kerugian yang ditanggung oleh Pos Malaysia bagi tempoh tiga tahun adalah sebanyak RM227 juta sahaja. Laporan yang mengatakan kerugian Pos Malaysia adalah sebanyak RM546 juta (sehingga Kerajaan BN mengarahkan Khazanah Nasional Bhd menjual pegangan sahamnya sebanyak 32.2% dalam Pos Malaysia Bhd) tidak betul dan tidak benar sama sekali.

Berlakunya kerugian yang bernilai RM227 juta itu (kalau mengikut mulut YB Timbalan Menteri Kewangan itulah jumlahnya tetapi kalau mengikut lidah Tan Sri Adam Kadir dahulu, jumlahnya mencecah RM546 juta) adalah kerana Pos Malaysia telah membuat pelaburan dalam syarikat penyedia perkhidmatan kargo udara – Transmile Group Berhad. Saham Transmile Group Berhad telah dibeli oleh Pos Malaysia pada tahun 2004 dan jumlah saham yang dibeli ialah 20%.

Menurut YB Timbalan Menteri Kewangan lagi, pada tahun 2007, Pos Malaysia mencatat kerugian sebanyak RM33 juta manakala pada tahun 2008, Pos Malaysia telah “meningkatkan” kerugiannya kepada RM35.8 juta pula. Walau bagaimanapun, Pos Malaysia kembali mencatat keuntungan sebanyak RM75.4 juta pada tahun 2009.

Menurut beliau lagi, Pos Malaysia dijangka akan mencatat keuntungan yang lebih tinggi setelah penyusunan semula dilakukan, antaranya termasuklah dengan menaikkan tarif setem daripada 30 sen kepada 60 sen.

Beberapa persoalan timbul daripada cerita ini.

  • Yang pertama ialah siapakah si bijak pandai yang mendorong Pos Malaysia melabur dalam Transmile Group Berhad itu?
  • Yang kedua ialah siapakah pula CEO Pos Malaysia pada waktu itu – adakah beliau memiliki merit, pengalaman, kelayakan, dan lain-lain sehingga dipilih sebagai CEO atau beliau hanya kroni yang kebolehannya biasa-biasa sahaja?
  • Yang ketiga ialah mengapakah Pos Malaysia tidak lekas-lekas menjual saham itu semasa harganya tinggi?
  • Yang keempat ialah mengapakah Pos Malaysia tidak melabur dalam Malaysian Airlines Cargo Sdn Bhd (Mas Kargo)?
  • Yang kelima ialah mengapakah pengguna juga yang dimangsakan oleh kebanyakan GLC apabila hendak meningkatkan keuntungannya?
  • Yang keenam ialah walaupun nilai kerugian Pos Malaysia hanya RM227 juta bukan RM546 juta, menteri yang berkaitan tidak berasa malukah dengan kerugian yang ditanggung itu?
  • Yang ketujuh ialah mengapakah lepas satu GLC, satu lagi GLC menanggung kerugian sehingga rakyat turut berasa malu?
  • Yang terakhir sekali ialah adakah Pos Malaysia akan menerima nasib yang sama dengan BERNAS?

Monday, May 3, 2010

Selepas Keceloparan Aduka Taruna, Dia Pulak dan Sekarang Sudah Kena Tahan

Lelaki yang disyaki terbabit dalam penyiaran komen yang berbaur ugutan bunuh terhadap YAB Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam laman rangkaian sosial Facebook telah ditahan oleh pihak polis. Lelaki itu (kalau berasaskan pengenalan dirinya bernama Mohd. Safuan Hilmi).

Hal ini dimaklumkan oleh Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman. Menurut beliau, lelaki yang berusia dalam lingkungan 20-an itu telah diberkas oleh sepasukan polis di Butterworth, Pulau Pinang.

Walau bagaimanapun, siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengetahui sama ada suspek merupakan pemilik laman sosial itu yang sebenarnya dan juga individu yang bertanggungjawab menyiarkan ugutan bunuh terbabit ataupun sebaliknya.

“Kami sedang mendapatkan tempoh tahanan reman terhadap suspek bagi menjalankan siasatan lanjut sebelum dia dibawa ke sini (IPD Dang Wangi) untuk disoal siasat,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Pada hari Sabtu lalu, Dewan Pemuda Pas melalui Ketua Pusatnya, Sdr Nasrudin Hassan At-Tantawi, telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Chow Kit selepas membaca ugutan bunuh terhadap Datuk Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas itu di laman Facebook. Dalam laman webnya, lelaki itu dikatakan sanggup untuk dihukum gantung jika dapat “membunuh” Nik Aziz.

Belum lengkap lagi sbb sekor lagi barua x mati iaitu nik aziz.tggu aku p bunuh nik aziz dulu baru lengkap.setan tu x layak duk kt muka bumi ni lg.

Senang bunuh orang .tikam jer.aku snggup dihukum gantung jika aku dpt bunuh nik aziz al dajjal tu.”

“Fuck nik aziz!!!!!!!!!!”

Begitulah kata-kata yang tersiar dalam laman sosial itu.

ULASAN
Kerana kurang ajarnya melampaui akal manusia normal, maka orang semuda itu ditahan polis. Menggelarkan orang (Tuan Guru atau sesiapa sahaja) sebagai barua, setan, al-Dajjal, dan menggunakan perkataan lucah fuck bukan ciri-ciri orang Melayu, bukan ciri-ciri orang Islam, jauh sekali mendekati ciri-ciri orang beriman. Na‘uzubillah. Kalau perkataan itu digunakan kepada kaum keluarganya, bagaimana? Kalau ditakdirkan nanti dia didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara, bagaimana? Tidakkah terbazir sebahagian daripada usia?

Hulu Selangor Terlucut, Berganti dengan Sibu?

Mungkinkah hal itu menjadi realiti, iaitu selepas Parlimen Hulu Selangor (P094) jatuh ke tangan BN, PR akan memperoleh Parlimen Sibu (P212) sebagai gantinya?

Kalau kecondongan pengundi Cina (melalui PRK Bukit Gantang dan Hulu Selangor) di Semenanjung dijadikan sebagai asas telahan, peluang PR untuk memenangi pertandingan itu nanti melalui bakal calonnya daripada DAP memang ada. Apatah lagi calon BN merupakan calon baharu, yang tidak diketahui pembawaannya.

Walau bagaimanapun, asas itu tidak dapat diguna pakai di Sarawak kerana senario di Negeri Bumi Kenyalang itu agak berbeza. Perlu diingat bahawa daripada 31 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di Sarawak pada PRU12 2008, BN menyapu 30 kerusi manakala pembangkang hanya memenangi 1 kerusi sahaja, iaitu kerusi P195 Bandar Kuching melalui DAP.

Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu (P212) akan diadakan pada 16 Mei 2010 ini berikutan kematian penyandangnya (Mendiang) Datuk Robert Lau Hoi Chew yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan, pada 9 April 2010 kerana barah hati. Penamaan calon akan berlangsung pada 8 Mei 2010.

BN telah menamakan Robert Lau Hui Yew sebagai calon BN manakala PR telah menamakan Pengerusi DAP Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Wong Ho Leng sebagai calonnya.

Sama ada akan berlaku pertandingan lebih daripada dua penjuru, sama-samalah kita nantikan hari penamaan calon nanti. Walau bagaimanapun, berdasarkan PRU-PRU yang lalu, calon-calon lain yang bertanding di Sibu sering kehilangan wang deposit. Sebagai maklumat, pada PRU12 lalu, calon PKR (Lim Chin Chuang) yang mencuba untuk menyaingi dua calon “gergasi”, iaitu Datuk Robert Lau Hoi Chew (BN) dan Wong Ho Leng (DAP), telah kehilangan wang deposit. Lim Chuan Chuang beroleh 812 undi sahaja berbanding dengan Datuk Robert Lau Hoi Chew (19,138 undi) dan Wang Ho Leng (15,903 undi).