Thursday, May 13, 2010

Malam Gemilang Sukan Malaysia

Dalam usaha hendak mendakap Piala Thomas, pasukan Malaysia “tetomoih” di tangan Jepun semalam. Sebentar tadi, di peringkat suku akhir, pasukan Malaysia hampir “tetomoih” lagi di tangan pasukan Denmark. Seperti semasa menentang pasukan Jepun Selasa lalu, pasukan Malaysia mendahului Denmark 2-0 sebelum pasukan Eropah itu menyamakan kedudukan 2-2. Walau bagaimanapun, pemain perseorangan ketiga Malaysia – Hafiz Hashim – mempamerkan sentuhan ajaibnya yang sudah sekian lama terpendam. Beliau berjaya menewaskan Joachim Perrson dengan permainan terus. Dengan kemenangan itu, Malaysia akan menentang pasukan China di peringkat separuh akhir.

Di Stadium Sultan Azlan Shah, Ipoh, pasukan hoki Malaysia berjaya mengalahkan pasukan India dengan jumlah jaringan yang besar, iaitu 5-2. Jumlah jaringan tersebut adalah yang terbesar dalam sejarah pertemuan Malaysia dengan India.

Bagaimanakah kesudahan perjalanan pasukan Malaysia dalam kedua-dua jenis sukan itu? Marilah kita sama-sama menyokong dan mendoakan kejayaan pasukan negara dalam sukan-sukan itu supaya kegemilangan malam ini akan berterusan ke hari-hari yang seterusnya!

2 comments:

  1. Salam, Tuan.
    Dalam dunia pendidikan, sukan adalah elemen penting yang dapat menerapkan elemen kerjasama berpasukan dalam diri seseorang. Dalam kebanyakan sukan individu, memang mudah seseorang mencipta nama tetapi apabila muncul acara berpasukan, agak sukar bagi kita mengukir kejayaan. Dalam dunia pendidikan tinggi, kami menggalakkan pelajar menyertai acara berpasukan kerana terdapat kecenderungan majikan yang suka kepada graduan yang cemerlang dalam sukan berpasukan berbanding sukan individu (berdasarkan dapatan kajian tesis saya juga).

    Sukan di Malaysia masih ditahap sederhana pencapaiannya. Tidak ramai ibu bapa yang gemar memberi galakan untuk anak-anak bersukan.

    Apapun, tahniah kepada skuad badminton kebangsaan, khususnya pasangan bergu kedua negara yang jelas melawan bermati-matian meskipun nasib tidak menyebelahi mereka. Mereka adalah wira sebenar malam tadi.

    ReplyDelete
  2. Salam, Cikgu;
    Tidaklah saya ketahui rupa-rupanya majikan lebih suka kepada graduan yang cemerlang dalam sukan berpasukan berbanding sukan individu. Ini maklumat baharu kepada saya.

    Saya bersetuju bahawa regu kedua itu memperlihatkan semangat juang yang tinggi dan harus dipuji. Tetapi saya lebih cenderung untuk mengangkat Hafiz sebagai wira. Hal ini demikian kerana dia telah menampilkan corak permainan asalnya (yang membolehkan dia menjadi juara Sukan Komanwel 2002 dan Kejohanan All England 2003 dahulu) tepat pada masa yang diperlukan walaupun saya sehingga dia memperoleh mata kemenangan masih tidak menaruh keyakinan terhadapnya. Syabas Malaysia.

    ReplyDelete