Thursday, May 13, 2010

Wakil Rakyat yang Lompat Parti Bukan Pengkhianat Parti tetapi Pengkhianat Rakyat

Ahli Palimen Bebas yang menjadi wakil rakyat di Kulim-Bandar Baru – YB Zulkifli Noordin – mengingatkan PR yang memerintah Kedah, khususnya YAB Menteri Besarnya, tentang kemungkinan beberapa orang wakil rakyat PR akan keluar dari parti itu dalam masa terdekat ini. Sehubungan dengan keadaan itu, beliau menyarankan YAB Menteri Besar Kedah supaya menghadap baginda Sultan untuk mendapatkan perkenan baginda bagi membubarkan DUN.

Menurut YB Zulkifli, wakil-wakil rakyat PR yang hendak keluar parti itu telah meminta nasihat beliau tentang hal ini dan beliau telah menasihati mereka agar bertindak mengikut prinsip mereka dan tidak terpengaruh oleh keputusan pihak lain.

Jika dakwaan YB Kulim Bandar Baru itu betul dan YAB Menteri Besar Kedah memencilkan dakwaan itu, sebuah lagi kerajaan negeri yang diterajui PR bakal tumbang, sama seperti tumbangnya kerajaan negeri Perak yang diterajui oleh PR tidak lama dahulu.

Hal ini hal politik. Ada kalanya hal politik seronok untuk diikuti, tetapi selalunya hal politik menyerabutkan fikiran malah kadangkala memualkan. Walau bagaimanapun, untuk mengesampingkan hal-hal politik, tidak boleh juga kerana kita berada di dalam negara yang menghendaki rakyatnya bermaklumat dan berpengetahuan. Bagi sesetengah rakyat di negara ini yang telah menyatukan politik dengan darah dan daging mereka, mereka tidak kenal erti serabut dan mual.

Tentang lompat parti ini, yang tidak menarik adalah bahawa tindakan sedemikian mencerminkan peribadi wakil-wakil rakyat itu yang langsung tidak menghormati rakyat yang memilih mereka. Ya, mungkin mereka bertindak demikian kerana mereka berasa tidak puas hati terhadap pemimpin parti mereka, tetapi adakah hal itu lebih penting daripada memikul dan menghormati kepercayaan rakyat yang memilih mereka? Mereka perlu sedar bahawa dalam proses mereka hendak menjadi wakil rakyat dahulu, pemimpin parti hanya mencalonkan mereka tetapi yang memenangkan mereka bukan pemimpin itu sebaliknya rakyat di kawasan mereka bertanding. Hal ini bermakna bahawa jika mereka tidak berpuas hati dengan pemimpin parti mereka, langkah yang paling molek dan mulia adalah dengan meletakkan jawatan kerana langkah melompat parti semasa masih bergelar wakil rakyat merupakan suatu pengkhianatan!

Kalaulah wakil-wakil rakyat yang bakal melompat parti itu (seperti yang digambarkan oleh YB Zulkifli) ialah orang Melayu-Islam, kita wajar berasa hiba, malu, dan kecewa. Hal ini demikian kerana tindakan mereka mencerminkan orang Melayu-Islam tidak berprinsip, orang Melayu-Islam mudah kecewa, orang Melayu-Islam pengkhianat rakyat, orang Melayu pengkhianat perjuangan! (Sebenarnya kita sudah pun dimalukan dan dikecewakan sehingga menghibakan kita kerana majoriti wakil rakyat yang melompat parti selepas PRU12 lalu ialah Melayu-Islam).

Sebagai wakil rakyat, mereka harus membandingkan diri mereka dengan diri wakil-wakil rakyat yang bukan Melayu-Islam. Apakala wakil rakyat yang bukan Melayu-Islam itu menguasai dan menerajui negeri (majoriti) seperti di Pulau Pinang itu, adakah mereka mengkhianati rakyat yang memilih mereka? Tidak sama sekali sebaliknya mereka bersatu untuk memenangi hati rakyat yang memilih mereka walaupun ada antara mereka yang tidak berpuas hati dengan pemimpin parti mereka.

Kita hanya boleh membebel tentang hal ini tetapi oleh sebab timun dan pisau di tangan mereka, tidak apa-apa yang dapat kita lakukan. Tetapi wahai wakil rakyat yang kami pilih, tidak kira kamu wakil BN ataupun wakil PR, janganlah khianati kami yang memilih kamu.

[Sebagai makluman, Kedah mempunyai 36 kerusi Dewan Undangan Negeri. Pakatan Rakyat memiliki 20 kerusi (16 PAS, 3 PKR, dan 1 DAP) manakala BN memiliki 14 kerusi dan Bebas (yang pro-BN) memiliki 2 kerusi.]

2 comments:

  1. Salam, Tuan.
    Senario politik di Malaysia memang semakin mengecewakan dan semakin memualkan. Inilah akibatnya jikalau kita tidak mahu mendengar nasihat Rasulullah s.a.w yang pernah berpesan supaya kita melihat agama seseorang sebelum melantiknya sebagai pemimpin. Jikalau mereka benar-benar Islam, perkara sebegini tidak akan terjadi.

    ReplyDelete
  2. Salam, Cikgu;
    Apa-apa yang kita lakukan, sebagai orang Islam, haruslah dimulai dengan solat istikharah. Kalau langkah ini dilakukan selain pesanan Rasulullah itu, nescaya kita akan menemukan orang yang berprinsip.

    ReplyDelete