Thursday, April 28, 2011

Di Pesta Buku

Tidak seperti dua tiga tahun yang lalu (kerana dihambat oleh hal-hal yang tidak dapat dielakkan sampai menyebabkan saya tidak berkesempatan untuk pergi ke Pesta Buku Antarabangsa KL), pada tahun ini saya sempat berkunjung ke pesta itu. Melawat ke pesta buku kerana sebahagian daripada tugas terasa kurang seronok kerana saya berasa tidak bebas untuk berlama-lama di sesebuah gerai buku. Apatah lagi saya perlu melihat buku-buku pesaing untuk dikaji selidik dan dibandingkan dengan buku-buku yang diterbitkan oleh syarikat tempat mencari makan.

Hal membuat kaji selidik dan perbandingan ini sepatutnya, tidak memerlukan kita ke pesta buku kerana kalau setakat hendak mengetahui maklumat tentang ciri-ciri dan kandungan buku pesaing, melawat ke kedai-kedai buku seperti yang lazim saya lakukan sudah memadai! Melawat pesta buku sepatutnya diwajibkan kepada editor bagi membuka fikiran mereka untuk melihat dunia penerbitan secara keseluruhannya. Begitulah kadang-kadang sempitnya fikiran pihak atasan tentang perlunya editor diberi kesempatan untuk “menjelajah” ke dunianya yang sebenarnya.

Berbalik kepada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada tahun ini, saya berasa bangga apabila melihat banyak penerbit bumiputera ikut serta dalam pesta itu. Yang paling membanggakan ialah PTS Publications, sebuah syarikat bumiputera, dimeriahi oleh para pengunjung daripada segenap lapisan masyarakat. Dengan senarai judul yang merangkum hampir semua bidang, kecuali buku-buku rujukan dan buku kerja untuk sekolah, PTS harus menjadi gerai wajib untuk dikunjungi. Saya lihat Profesor Emeritus Abdullah Hassan sibuk merakamkan aksi pengunjung. Saya sempat bertanya khabar dan berbual dengan beliau.

Lazimnya, apabila berkunjung ke pesta buku, saya mesti berkunjung ke gerai DBP dan gerai syarikat tempat saya membina kerjaya sebagai editor dahulu. Saya sangat terkejut apabila melihat gergasi penerbitan yang pernah menjadi tempat saya membina kerjaya sebagai editor itu tidak ubah seperti melukut di tepi gantang dalam pesta buku kali ini. Syarikat itu hanya menempel di gerai buku antarabangsa yang menjadi induk syarikat itu sendiri dengan hanya menampilkan senarai judul yang sangat sedikit. Walhal, pada era 1980-an dan 1990-an dahulu, syarikat inilah yang mempunyai gerai paling banyak dalam pesta buku seperti ini! Benar-benar dunia ini seperti roda.

Namun yang paling ketara, kebanyakan pengunjung yang datang ialah rombongan pelajar sekolah yang memakai pakaian seragam masing-masing. Dalam suatu peristiwa yang berlaku di sisi saya, seorang pelajar sekolah rendah menunjukkan sebuah buku kerja kepada rakannya. Rakannya mengambil buku itu lalu melihat harga yang tertera pada kod bar pada kulit belakang buku itu dan berkata dalam bahasa Inggeris yang ‘gitu-gitu’ sahaja, “Ho, I only have one ringgit twenty cents in my pocket” lalu dia pun meletakkan buku itu. Saya memandang kedua-duanya dan mereka memandang saya sambil terus berlalu. Saya ambil buku itu (sebuah buku topikal) untuk mengetahui harganya — RM3.90!

Saya menyalahkan diri saya kerana tidak menawarkan diri kepada pelajar itu untuk membelikannya buku tersebut. Tetapi hati saya membidas, saya harus lebih menyalahkan ibu bapanya kerana tidak memewahkan anaknya untuk membeli buku yang menjadi gerbang maklumat, gerbang ilmu, dan gerbang kejayaan itu. Hati ini membidas kembali dan berbisik, ‘Mungkin ibu bapanya tidak mampu’, dan saya kembali menyalahkan diri saya.

Saya membeli beberapa naskhah buku agama (bagi menambah senarai buku agama yang belum sempat dihabisi pembacaannya) serta beberapa naskhah novel karya penulis yang saya minati (isteri saya pun sudah mulai meminatinya). Namun, saya belum puas hati kerana saya tidak sempat menyeluruhi gerai-gerai di pesta buku itu.

Yang masih sama dalam pesta buku ini ialah buku-buku terbitan universiti awam masih dengan persembahan yang sama. Senarai judulnya masih terhad dan tidak menarik orang awam untuk mendekatinya. Pihak ini perlu sedikit agresif dalam menerbitkan bahan bacaan untuk umum (Penerbit UM tampaknya ada menerbitkan beberapa judul yang menarik). UM, UKM, UPM, USM dengan pelbagai fakulti yang ada, sepatutnya dapat menghasilkan biografi para negarawan daripada perspektif yang lain (mungkin dengan mendasarkan pelibatan dan minat mereka (para negarawan ini) dalam bidang seperti sukan, seni, sastera, kebudayaan, sains, dan sebagainya. Dengan cara ini, pembaca umum dan siswa di fakulti yang berkenaan dapat memanfaatkannya.

Novel popular masih menjadi lubuk beberapa penerbit untuk menambak wang! Kerana genre ini mempunyai khalayak pengikutnya yang tersendiri, maka semakin banyak penerbit yang telah ikut serta dalam perlumbaan untuk menerbitkan genre ini. Mungkin langkah untuk menyertai perlumbaan itu berbaloi, tetapi kadang-kadang penawaran yang berlebihan dapat memualkan khalayak dan menjadikan mereka lebih selektif. Akhirnya, khalayak ini mengecil dan menjejaskan penerbitannya.

Apa-apa pun, oleh sebab pesta buku ini menjadi tumpuan pengunjung pada hari cuti umum atau cuti Sabtu dan Ahad, saya berpendapat bahawa ada baiknya pesta ini dilangsungkan pada musim cuti persekolahan. Hal ini wajar dilakukan demikian supaya ibu bapa dapat mengambil cuti dan mengunjunginya bersama dengan anak masing-masing. Yang menjadi masalah, mungkin cuti persekolahan itu jatuh pada tempoh gersang (pertengahan bulan) yang mengehadkan kuasa beli pengunjung.

Friday, April 22, 2011

Copa del Rey: Real Madrid, Iker Casillas, dan Raja Juan Carlos I

Sesiapa yang sempat menonton perlawanan akhir Piala Raja Sepanyol (Copa del Rey) antara Real Madrid dengan Barcelona awal pagi semalam pasti berasa puas hati. Walaupun tidak banyak gol yang dijaringkan dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Mestalla, Valencia itu, tetapi kedua-dua pasukan menampilkan permainan yang dapatlah dikatakan menarik (kalau dibandingkan dengan Liga Perdana Inggeris atau Liga Serie A Itali).

Real Madrid jelas mendominasi permainan pada separuh masa pertama, tetapi suasana berbeda berlaku sebaliknya pada separuh masa kedua apabila Barcelona pula menguasai permainan. Saya berpendapat bahawa, penguasaan Barcelona pada babak kedua perlawanan bermula apabila Mesut Ozil (pemain Real Madrid itu) dikeluarkan oleh Jose Maurinho. Mujurlah penjaga gol Real, Iker Casillas, berjaya mengekang usaha Barcelona untuk menjaringkan gol.

Perlawanan itu dimenangi oleh Real Madrid dengan keputusan 1-0. Gol kemenangan pasukan itu dijaringkan oleh Christiano Ronaldo pada minit ke-103 dalam masa tambahan. Perlu diingat, Real Madrid telah 18 tahun kempunan untuk mengucup piala itu. Malah, kejuaraan itu merupakan kejuaraannya yang pertama sejak menjadi juara Liga Sepanyol pada tahun 2007.

Sebenarnya, yang lebih menarik perhatian saya daripada keseluruhan perlawanan itu ialah babak selepas tamatnya perlawanan itu, khususnya semasa penyampaian piala itu oleh Raja Sepanyol, Raja Juan Carlos I kepada Iker Casillas. Iker Casillas mendakap Raja agak lama dan kemudian beliau naik ke atas meja (saya rasa) yang lebih tinggi daripada baginda. Tujuannya adalah supaya upacara menjulang piala itu dapat disaksikan oleh semua penonton. Apabila piala itu beralih tangan, Casillas menjulangnya sambil disambut dengan teriakan oleh penonton.

Saat yang mengagumkan saya berlaku pada detik Casillas hendak turun dari meja tinggi itu. Beliau meminta bantuan Raja untuk memegang piala itu sementara beliau turun dari meja itu. Raja Juan Carlos tidak keberatan untuk melakukannya dan kemudiannya menyerahkannya kepada Casillas semula apabila penjaga gol Real Madrid itu turun!

Mengapakah peristiwa ini menarik? Pertama, membenarkan pemain berdiri lebih tinggi daripada raja di atas meja atau pentas tidak mungkin (jarang-jarang) berlaku di sini. Kedua, para pemain bola sepak kita di sini tidak mungkin berani meminta bantuan raja atau pemimpin seperti PM, TPM, dan lain-lain) seperti yang dilakukan oleh Casillas itu ketika hendak turun daripada meja tersebut. Di sini, di negara kita, kita sangat memuliakan raja dan pemimpin serta mematuhi protokol tatkala berhadapan dengan mereka.

Memang bagus dan wajar kita menghormati raja, tetapi kesediaan raja memperlihatkan semangat kesukanan yang luar biasa seperti Raja Juan Carlos I itu juga bagus untuk ahli sukan dan rakyat. Lagipun, tidak akan hilang bisa ular kalau sekadar menyusur akar, kata peribahasa kita.

Ampunkan patik, tuanku-tuanku. Patik sentiasa menghormati tuanku-tuanku.

Thursday, April 21, 2011

Kamus Dewan: “Babi”, “Arak”, “Judi”, dan “Rasuah”nya

(Terima kasih dan Dedikasi kepada Abdul Majid Baharum)

“Islamnya Hanya pada ‘Babi’”, begitulah tajuk sajak saya yang tersiar dalam Blog SigapSiaga ini pada 15 April 2011 yang lalu. Sajak itu sajak langsung yang maksud keseluruhannya saya sampaikan secara tersurat supaya dapat difahami oleh khalayak pembaca yang berbeda-beda tahap pemahamannya dengan mudah dan sekali baca sahaja.

Nilai estetika sajak itu? Memang nihil saya kira; kalau ada pun yang estetikanya, mungkin pada unsur asonansi dan aliterasinya sahaja. Jadi, tidak usahlah dibicarakan hal estetika ini. Yang sangat saya pentingkan dalam sajak itu ialah sasarannya — orang yang mengabaikan lima rukun Islam, tetapi menitikberatkan soal haramnya “babi”.

Siapakah orang yang dimaksudkan dalam sajak itu? Tidak ada susuk yang spesifik, sebenarnya. Mereka boleh jadi saya atau kaum keluarga saya sendiri, atau mungkin tetangga saya, atau mungkin juga rakan baik saya. Yang pasti, orang itu adalah daripada kalangan kita juga. Sdra/Sdri tidak pernah menemukan orang seperti ini?

“Babi” memang menjijikkan umat Melayu-Islam di negara ini. Bukan sedikit orang yang membenci “babi” malah bukan sedikit juga orang yang melenting marah apabila orang lain bersewenang-wenang mem“babi”kan mereka dalam pertengkaran. Barangkali, kerana jijik dan benci itulah pernah dimunculkan “khinzir” sebagai ganti “babi”.

Kerana “babi”, banyak Melayu-Islam yang ragu-ragu untuk menjamu selera di restoran Cina atau Hindu kerana ada antara kaum itu yang makan “babi” dan memperniagakannya. Mereka boleh melakukannya kerana “babi” tidak haram kepada kaum itu (walaupun kalau saya tidak salah, agama Buddha dan mungkin juga Hindu melarang (tidak menggalakkan?) penganutnya makan daging).

Yang lebih istimewa, “babi” turut menimbulkan rasa jijik kepada Melayu-Islam yang tahi segala kejahatan — rasuah, judi, arak. Sebagai buktinya, para “petahi” itu tidak pernah menjadikan “babi” sebagai menu makanan mereka walaupun arak tetap diteguk, wang rasuah dan wang judi pula dikaut untuk menyara hidup dan bermewah-mewah!

Rasa fobia dan rasa benci umat Melayu-Islam terhadap “babi” memang lebih dahsyat daripada rasa fobia dan rasa benci mereka terhadap “arak” dan “judi” apatah lagi “rasuah”! Hal ini seronok untuk ditinjau kalau Sdra/Sdri rajin untuk merujuk kepada Kamus Dewan Edisi Keempat dengan melihat entri “babi” yang kita bicarakan ini.

babi I 1. sj binatang mamalia yg berbadan gemuk, berkaki pendek, berkulit tebal, dan bermuncung (diharamkan bagi orang Islam); 2. bk kata makian yg digunakan kerana marah (sangat benci akan seseorang, sesuatu, dsb); 3. nama kartu (dlm permainan ceki)

Kemudian, Sdra/Sdri rujukilah entri “arak” pula dalam kamus yang sama:

arak I sj minuman yg mengandungi alkohol dan memabukkan, minuman keras

Selanjutnya, Sdra/Sdri selak-selaklah Kamus Dewan Edisi Keempat juga dan lihatlah entri “judi” pula:

judi permainan dgn memakai wang dll sbg taruhan (main ceki, main dadu, dll)

Akhir sekali, Sdra/Sdri semaklah entri “rasuah” dalam kamus yang sama:

rasuah pemberian utk menumbuk rusuk (menyogok, menyuap), (wang) tumbuk rusuk (sogok, suap)

Keempat-empat entri yang jelas berbeda maksudnya itu sebenarnya mempunyai persamaan yang sangat ketara. Cuba Sdra/Sdri amat-amati persamaan yang saya maksudkan itu. Tidak ada persamaan lain lagi selain pada frasa “diharamkan bagi orang Islam” yang malangnya hanya muncul pada entri “babi” sahaja (pada definisinya yang pertama)!

Sampai begitu sekali kita mendokumentasikan tahap haramnya “babi” di sisi Islam. Frasa “diharamkan bagi orang Islam” yang tercatat dalam kurungan pada definisi untuk entri “babi” itu menjadi peringatan kepada Melayu-Islam. Anehnya, mengapakah frasa itu tidak disertakan pada definisi untuk “arak”, “judi”, dan “rasuah”?

(Walau bagaimanapun, tanpa frasa “diharamkan bagi orang Islam” pada entri-entri “arak”, “judi”, dan “rasuah” dalam kamus Kamus Dewan Edisi Keempat itu, kita tidaklah sampai mengatakan bahawa kamus itu telah menyinggung perasaan dan menghina Melayu-Islam. Kamus Dewan Edisi Keempat bukan kitab keislaman kita!)

Sebagai kesimpulannya, daripada sudut Islam, kita perlu membuktikan keislaman kita dengan cara menunaikan rukun Islam yang lima itu dahulu kerana dengan melaksanakannya, kita sekali gus tidak akan makan babi serta menjauhi judi, arak, dan rasuah. Daripada segi bahasa, eloklah entri-entri “judi”, “arak”, dan “rasuah” itu diseragamkan definisinya dalam Kamus Dewan.

Manalah tahu kalau-kalau dengan menambah frasa “diharamkan bagi orang Islam” pada entri “arak”, “judi”, dan “rasuah” itu dan mungkin pada beberapa entri yang relevan, orang Melayu-Islam akan berasa jijik, benci, dan fobia terhadap ketiga-tiga perkara haram itu dan yang lainnya, sama seperti mereka berasa jijik, benci, dan fobia terhadap “babi”!

Manalah tahu, kan!

Wednesday, April 20, 2011

Kerenah Orang terhadap “Kamus Dewan”

Kamus Dewan, kamus pegangan bahasa Melayu hingga kini, dikatakan oleh suatu pihak sebagai mengandung unsur atau kata yang menyinggung perasaan kaum itu. Tidaklah kita ketahui kata yang menyinggung itu kata yang mana, kata yang bagaimana, dan mengapakah kata itu dikatakan sebagai menyinggung perasaan mereka.

Kasihan orang Melayu — selalu sahaja digambarkan sebagai seolah-olah “kurang ajar” kerana menghasilkan sesuatu yang sensitif hingga menyinggung perasaan orang (kaum yang itu sahaja pula). Kadang-kadang ingin saya mengaitkan mereka dengan peribahasa “Sudah diberi duduk di anjung, dia hendak ke tengah rumah pula”.

Kamus Dewan bukankah kamus bahasa? Bukankah kamus bahasa akan memuatkan apa-apa sahaja kata dalam sesuatu bahasa yang dituturkan oleh sesuatu bangsa? Dalam konteks Kamus Dewan, bahasa yang didokumenatasikan ialah bahasa Melayu yang dituturkan oleh bangsa Melayu. Tidak kira perkataan itu sensitif ataupun murni, bahasa itu wujud dalam lingkungan bangsa Melayu!

Kewujudannya, tidak kira bersifat asal ataupun mendatang, bersebati dan berlegar dalam kelompok bangsa Melayu yang menuturkan bahasa Melayu. Setiap kata yang dituturkan adalah mengikut perspektif bangsa Melayu, tidak kira sebelum adanya orang bukan Melayu ataupun setelah adanya mereka.

Kita ambil contoh perkataan “kalbu”. Perkataan “kalbu” berasal daripada perkataan Arab “qalb”. Walau bagaimanapun, kerana orang Melayu pada zaman awal dahulu tidak biasa dengan bunyi qof (q), maka bunyi qof yang keras dan tebal itu dibunyikan sebagai kaf (k) sahaja lalu menjadi “kalbu”.

Orang Arab atau orang yang berpendidikan Arab berasa janggal dengan perkataan “kalbu” ini kerana “kalbu/kalbun” dalam bahasa itu turut mendukung maksud “anjing”. Jadi, perlukah orang Melayu menyebut kata “kalbu” yang sudah bersebati itu sebagai “qalbu”? Tidak perlu kerana kata “kalbu” dalam bahasa Melayu tidak mendukung maksud “anjing” melainkan maksud “hati”, “nurani” itu sahajalah.

Itulah antara contoh bagaimana sesuatu perkataan bahasa Melayu itu wujud mengikut kaca mata dan perspektif orang Melayu. Lantas, kalau kebetulan ada kaum yang berasa sensitif kerana wujudnya kata yang kononnya sensitif, mereka perlu berbalik kepada asal bahasa itu dan kelompok yang menuturkannya (yang kebetulan mereka kemudiannya ikut berada dalam kelompok itu).

Percayalah, kalau hendak berasa sensitif, akhirnya banyak kata bahasa Melayu yang berdepan dengan kemungkinan “dilupuskan”. Kata “hitam” dan ungkapan yang terbit daripadanya (hitam legam, hitam berkilat, hitam lengit, hitam lotong, dll) mungkin akan dilupuskan kerana dibimbangi akan digunakan untuk menghina kaum tertentu.

Dalam keadaan kemajuan ekonomi sangat dipentingkan untuk menjadi negara maju, janganlah ditimbul-timbulkan hal-hal begini kerana hal seperti ini berpotensi untuk mewujudkan hubungan yang kurang baik antara kaum. Tumpukanlah perhatian kita untuk memajukan diri, keluarga, dan negara tanpa mengabaikan aspek moral.

Monday, April 18, 2011

Kenyataan Datuk Acryl Sani: Penyudah Kisah Video Seks Itu?

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani seperti yang dilaporkan oleh BERNAMA berkata bahawa siasatan video seks (yang pelakonnya dikatakan sebagai mirip pemimpin pembangkang dan seorang jalang China) sudah lengkap dari segenap sudut. Menurut laporan itu juga, siasatan polis menjurus kepada Seksyen 292 Kanun Keseksaan atas kesalahan mengedar bahan lucah dan hasil siasatan akan diserahkan kepada pihak Peguam Negara dengan segera.

Mengapakah siasatan polis hanya menjurus kepada Seksyen itu sahaja dan bukan Seksyen lain yang dapat melibatkan pelakon dalam video itu? Secara mudah kita dapat memahami bahawa asas undang-undang yang dapat mengaitkan pemimpin pembangkang itu dengan video itu tidak ada asasnya.

Siasatan yang menjurus kepada Seksyen 292 Kanun Keseksaan itu juga secara mudah dapat difahami bahawa Datuk Trio (yang mengaku memiliki dan menayangkan video lucah itu) sebagai bersalah kerana mereka telah pun membuat pengakuan terbuka sebaik-baik sahaja isu video lucah itu heboh.

Yang lebih penting, siasatan yang menjurus kepada Seksyen 292 Kanun Keseksaan itu telah membuktikan bahawa tuduhan pihak DSAI dan penyokongnya bahawa pihak polis telah bersekongkol dalam isu video itu adalah tidak benar. Hal ini bermaksud bahawa pihak polis bersih daripada permainan politik kotor pihak Datuk Trio itu.

Jadi, apakah kesudahannya? Adakah pihak UMNO, khususnya kerajaan BN pimpinan DS Mohd. Najib, hendak membantu Datuk Trio daripada Seksyen itu ataupun membersihkan diri mereka daripada “ketidakcerdikan” Datuk Trio itu (kerana membuat pengakuan secara terbuka dan memilih video yang dapat disangsikan pelakonnya hanya dengan sekali tonton sahaja itu).

Di pihak Parti Keadilan, seperti yang dinyatakan oleh Saifuddin Nasution Ismail (Setiausaha Agungnya), mereka yakin bahawa Peguam Negara di bawah arahan rejim Barisan Nasional akan tetap mencari jalan untuk mendakwa DS Anwar Ibrahim ke mahkamah. Hal ini demikian kerana seluruh episod konspirasi ini, kata beliau, direka untuk menghancurkan kerjaya politik DS Anwar Ibrahim. Hal ini, kata beliau lagi, bukanlah mustahil kerana sebelum ini DS Anwar Ibrahim tetap dihadapkan ke mahkamah atas dua tuduhan liwat yang tidak dilakukannya.

Di pihak kita, marilah kita berdoa agar isu yang membodohkan dan membuang masa kita ini segera selesai supaya kita dapat bekerjasama dan menggemblengkan tenaga dengan kerajaan untuk membangunkan negara, bukan untuk membangunkan kemaluan kita sahaja!

Kita juga wajar berharap agar pihak yang beria-ia membuat tuduhan bahawa pelakon lelaki dalam video itu memang DS Anwar Ibrahim sempat bertaubat nasuha sebelum mereka disembahyangkan di hadapan imam kelak. Kita menyeru mereka, sebelum disembahyangkan di hadapan imam, berdirilah di hadapan DS Anwar Ibrahim untuk menuntut keampunan kerana ikut memfitnah beliau.

Wallahu a‘lam.

Sunday, April 17, 2011

Apakah Selepas PRN Sarawak?

BERSEDIALAH! Harga minyak mentah dunia sudah dekat mencecah AS$110 setong. Kerajaan baru menaikkan harga RON97 sebanyak 20 sen, daripada RM2.50 kepada RM2.70 seliter, manakala harga RON95 yang menjadi pilihan kebanyakan rakyat jelata belum dinaikkan oleh pihak kerajaan lagi. Mengapakah kerajaan begitu bermurah hati mengekalkan harganya pada paras sekarang? Semua orang tahu akan rahsianya itu.

PRN Sarawak yang dikaitkan orang dengan tidak naiknya harga RON95 itu, baru sahaja berlalu. Kalau ada rancangan pihak kerajaan hendak membubarkan Parlimen dalam masa terdekat ini bagi membolehkan PRU13 diadakan, harga RON95 mungkin akan terus dikekalkan pada parasnya sekarang. Kalau PRU13 itu lambat lagi, kita harus dapat “menikmati” harga baharu RON95 itu dalam masa terdekat ini, insya-Allah.

Mujurlah BN menang di Sarawak. Kalau mereka kalah, agaknya saat ini kita sudah pun “menikmati” harga RON95 baharu. Bukankah mereka bijak “mengajar” rakyat yang menyingkirkan mereka daripada tampuk kekuasaan? Tidak percaya? Lihatlah apa yang dilakukan mereka kepada rakyat Terengganu yang memilih pembangkang pada PRU 1999 dahulu. Royalti petroleum telah ditukar kepada wang ihsan!

Kerana mereka menang, mereka agaknya malu-malu alah untuk menaikkannya sekarang. Kalau dinaikkan, mereka seperti tidak mengenang jasa rakyat Sarawak yang masih memilih mereka untuk menerajui kerajaan Sarawak. Kalau tidak dinaikkan, beban subsidi yang ditanggung makin tinggi. Jadi, tidak ada jalan lain untuk memastikan harga RON95 tidak dinaikkan oleh kerajaan — berdoa agar harga minyak mentah turun, turun, dan terus turun.

Alangkah buruknya sangkaan saya terhadap kerajaan!

Saturday, April 16, 2011

Tahniah PR, Tahniah BN

Kekalahan PR di Sarawak, walaupun diwara-warakan dapat menyekat BN daripada memperoleh majoriti dua pertiga, memang sudah diduga oleh rakan-rakan saya. Walaupun mereka tidak berada di sana (Sarawak), mereka menyatakan sukar untuk PR menang kerana BN mempunyai segala-galanya. Yang paling penting, kata mereka, BN memiliki SPR. Saya ikut mempercayai mereka bahawa PR tidak mungkin dapat menawan Sarawak. Kami sepakat tidak meyakini analisis dan kaji selidik Zentrum.

Walaupun ada galur kecewa di hati ini kerana TS Abdul Taib Mahmud yang tua renta (sebagai pemimpin) masih diterima oleh rakyat Sarawak dalam PRN hari ini, saya lebih kecewa apabila PAS, melalui calonnya – Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus – kalah di Beting Maro. Beting Maro merupakan kawasan harapan PAS untuk bertapak di Sarawak. Potensi PAS untuk menang di situ sangat besar.

Saya berkata kepada kawan saya bahawa PAS tidak mungkin akan menang di mana-mana kerusi yang dimenanginya di Sarawak kerana satu sebab – Baru Bian! Saya berkata bahawa PR tersilap apabila mengumumkan Baru Bian sebagai bakal KM Sarawak. Strategi itu mungkin berguna untuk menawan hati Dayak, Iban, dan lain-lain yang Kristian dan bukan Islam tetapi menjadi duri dalam daging kepada sebilangan orang Melayu, Melanau, dan lain-lain yang Islam.

Hal ini perlu dianalisis dengan sewajarnya – jika tidak, tindakan yang sama akan dilakukan oleh para pengundi di Semenanjung pula apabila PRU akan datang diadakan.

Walau bagaimanapun, syabas PR kerana dapat mengurangkan pungutan kerusi BN pada PRN kali ini. Syabas juga kepada BN kerana usaha kalian menggunakan media untuk kejayaan kalian sangat berkesan!

Friday, April 15, 2011

Islamnya Hanya Pada “Babi”

Aku melihat dia
bersolat tidak peduli
berpuasa jauh sekali
berzakat apatah lagi
ke Makkah langsung sepi.

Aku dibisikkannya di telinga
bahawa ke rumah tetangga
tidak kira Benggali atau India
Cina apatah lagi
dia tidak pergi
kerana mereka makan babi!

Aku kemudian dinasihati
chewing gum, gula-gula,
coklat, dan entah apa-apa lagi
jangan dimakan
kerana katanya
semuanya bercampur dengan
lemak dan gelatin babi.

Aku juga diberitahunya
dia bertengkar dan hampir menampar
anak sekolah bermulut celopar
yang memaki anaknya dengan kalimat “babi”
kerana katanya babi hina di sisi Islam.

Aku melihat wajahnya
yang menjadi tanda dan bukti
bahawa Islam ialah agamanya
babi sahaja rupa-rupanya.

Kesian....

Bersederhanalah dalam Menilai Sahabat dan Seteru

JANGANLAH DIPUJI-PUJI, DIANGKAT-DIANGKAT, DILAMBUNG-LAMBUNG MELANGIT SAHABAT KITA KERANA ESOK DIA MUNGKIN AKAN MENJADI SETERU KITA. JANGAnLAH DICACI-CACI, DIKEJI-KEJI, DINISTA-NISTA SETERU KITA KERANA ESOK DIA MUNGKIN AKAN MENJADI SAHABAT KITA.

Pakatan Rakyat pernah memuji manusia itu melambung-lambung. Pakatan Rakyat juga pernah mempercayai apa-apa yang dikatakannya — hampir kesemuanya. Sekarang manusia itu memperlihatkan belangnya (yang sebenarnya?). Sekarang manusia itu membuat corner baring 360 darjah, bukan setakat cecah lutut, tapi sampai cecah telinga dan ubun-ubun!

Selepas ini, UMNO dan BN akan mengambil giliran untuk memuji dan mempercayai apa-apa yang dikatakan oleh manusia itu. Berhati-hatilah kalian. Dia mungkin tidak menipu tentang apa-apa yang diperkatakannya, tetapi manusia yang tiba-tiba memperlihatkan belangnya yang lain (yang sebenarnya?) sangat perlu kalian waspadai.

Dalam dunia ini, ada haiwan yang lidahnya bercabang — tetapi cabang itu pada lidahnya semata-mata, bukan pada apa-apa yang dibunyikannya (dituturkan atau dicakapkan?). Walaupun lidahnya bercabang, haiwan yang demikian tidak menipu kaumnya.

Dalam dunia ini, tidak ada manusia yang lidahnya betul-betul bercabang — tetapi apa-apa yang dituturkan mereka bukan sahaja bercabang-cabang, malah berbelit-belit serta banyak dusta dan tipuannya. Manusia ini tidak malu untuk menipu kaumnya.

Ciri yang sama antara sesetengah haiwan yang lidahnya bercabang dengan manusia yang percakapannya bercabang-cabang ialah kedua-duanya kadangkala MEMATUK!

Thursday, April 14, 2011

Pendedahan RPK: Salah Satu Real Politik Malaysia

Apabila mengikuti pendedahan Raja Petra Kamaruddin (RPK) di Malaysia Today, (bukan temu bualnya di TV3 tadi malam), kita mendapati bahawa DS Anwar Ibrahim seperti tidak ada kaitan dalam “mewujudkan” cerita tentang keterlibatan DS Mohd. Najib dan isterinya dalam “pengeboman” Altantuya. RPK sendiri pun, dalam pendedahannya itu, seperti tidak mahu memikul tanggungjawab terhadap apa-apa yang didedahkannya dalam Akuan Bersumpahnya itu, sebaliknya beliau memulangkannya kepada pihak yang menjadi sumber cerita itu diperoleh.

Yang kelihatan melalui pendedahannya juga ialah, pihak yang bertanggungjawab untuk membabitkan DS Mohd. Najib dan isterinya dengan “pengeboman” Altantuya itu ialah sekelompok orang yang tidak mahu DS Mohd. Najib menjadi PM bagi menggantikan Pak Lah. Tetapi, mengapakah mereka tidak mahu DS Mohd. Najib menjadi PM sebaliknya menamakan Tengku Razaleigh Hamzah pula? Apakah kekurangan DS Mohd. Najib dan apakah pula kelebihan Tengku Razaleigh?

Yang menarik, RPK mendakwa bahawa orang-orang yang terlibat dalam rancangan itu (yang menyuruhnya membuat Akuan Bersumpah dan yang menjadi sumber perolehan maklumatnya), cuci tangan dan enggan terlibat dengan Akuan Bersumpahnya itu apabila beliau ditangkap dan ditahan pihak berkuasa. Mereka meninggalkannya bersendirian untuk berdepan dengan apa-apa yang didedahkannya dalam Akuan Bersumpahnya. Malah kelompok itu, kata RPK, mengisytiharkan diri mereka sebagai penyokong kuat DS Mohd. Najib pula.

Menarik pendedahan RPK dalam Malaysia Today itu. Perancangan seperti ini (menghalang DS Mohd. Najib daripada menjadi PM) pernah berlaku pada tahun 1976 dahulu. Pada tahun itu, ada pihak yang turut membuat rancangan untuk menggulingkan Datuk Seri Mahathir daripada jawatan TPM. Untuk mengetahui perancangan pada tahun 1976 itu, bacalah buku “Dua Wajah: Tahanan Tanpa Bicara” yang ditulis oleh YB Senator Syed Husin Ali.

Cuma pelik juga, bagaimanakah orang seperti RPK mudah terpengaruh oleh “desakan” pihak lain supaya membuat Akuan Bersumpah walhal beliau sedar akan risiko yang bakal didepaninya?

Tuesday, April 12, 2011

PRN Sarawak

Bijakkah DS Mohd Najib, dalam kempen PRN Sarawak sekarang, mewara-warakan perihal adanya persetujuan peralihan kuasa dalam masa terdekat, daripada TS Abdul Taib Mahmud kepada tokoh lain? Saya rasa, tindakan DS Mohd Najib itu kurang bijak kerana TS Abdul Taib seperti ada persamaan dengan DS Samy Vellu (yang berjanji akan berundur dan berundur) tetapi sukar untuk melaksanakannya. Bukankah TS Abdul Taib pernah berjanji akan berundur pada tahun 2000, tetapi tidak menunaikan janjinya hingga kini?Malah, membenarkan TS Abdul Taib Mahmud terus bertanding dalam PRN kali ini juga saya fikir kurang bijak.

TS Abdul Taib Mahmud tidak seharusnya bertanding dalam pilihan raya ini kerana ada tanda bahawa tahap kebencian rakyat Sarawak terhadap pemerintahannya dan kepada dirinya sendiri semakin meningkat. Kebencian seperti ini sesuatu yang lazim berlaku kepada mana-mana pemimpin yang terlalu lama mengepalai negeri atau negara. Saya yakin, kalau TS Abdul Taib tidak bertanding, DS Mohd Najib tidak perlu sampai berkampung di Sarawak!

Memang benar, kebencian rakyat Sarawak tidak terarah kepada TS Abdul Taib sahaja, tetapi turut terarah kepada BN sendiri. Namun, hal ini dapat diminimumkan kesannya kalau tindakan Tun Mahathir dijadikan sebagai contoh. Pengunduran Tun Mahathir yang berdepan dengan kebencian rakyat pada tahun 2003, telah membolehkan BN menang bergaya pada PRU2004. Malah, Tun Mahathir sendiri mengaku bahawa kemenangan bergaya BN ada hubungannya dengan pengunduran beliau itu.

Di pihak PR, seperti biasa, yang dilawan oleh mereka dalam PRN Sarawak kali ini bukan BN tetapi kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan. Oleh sebab tidak banyak yang dapat ditawarkan oleh PR (material, wang, dll) berbanding dengan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan yang menguasai BN, maka usaha dan ikhtiar PR untuk menang di Sarawak melalui jalan yang berliku dan berkerikil.

Yang dapat menumpaskan BN di Sarawak ialah kesedaran rakyat untuk menukar kerajaan. Walau bagaimanapun, usaha untuk menyedarkan rakyat supaya menukarkan kerajaan hanya dengan menggunakan gigi dan lidah (seperti yang dilakukan oleh PR) tidak akan berjaya selagi material dan wang menjadi minat rakyat. BN, khabarnya, menggunakan kaedah ini sampai tupperware pun menjadi sogokan.

Rakyat Sarawak memang perlu disedarkan, tetapi yang sebenarnya, yang perlu dilakukan oleh PR ialah rakyat Sarawak perlu dibijaksanakan (bukan maksudnya rakyat Sarawak bodoh). Orang yang bijaksana biasanya mempunyai pendirian – mantap. Walau diberi wang dan material, kedua-dua elemen itu tidak akan mengubah pendirian mereka. Orang Cina mungkin tergolong dalam kategori ini.

Untuk mengambil alih kuasa, dengan harapan untuk mentadbir Sarawak dengan cara yang lebih betul, pendirian rakyat Sarawak perlu dimantapkan supaya mereka memilih PR. Melalui pendirian yang mantap, apabila mereka disodorkan dengan wang dan material oleh lawan PR, mereka tidak akan mengambil kedua-duanya. Atau kalau mereka mengambilnya pun (kerana wang dan material itu asalnya hak rakyat), mereka akan tetap memilih PR.

Adakah saya penyokong PR? Dalam konteks PRN Sarawak, ya saya menyokong mereka kerana saya mempercayai demokrasi. Demokrasi tidak harus membenarkan hanya satu parti sahaja memerintah sampai puluhan tahun. Parti yang memerintah mestilah ditukar-tukar oleh rakyat – kalau parti “A” tidak bagus, kita pilih parti “B”. Kalau parti “B” tidak bagus, kita kembali kepada parti “A” atau parti “C” (jika ada).

Barulah nanti parti yang kita pilih benar-benar berkhidmat untuk rakyat, hormat akan pilihan rakyat, serta takut kepada kuasa rakyat. Kalau parti yang sama kita biarkan memerintah, mereka akan sampai pada suatu tahap yang tidak kita sukai – membodoh-bodohkan dan menakut-nakutkan rakyat.

Rakyat Britain sering menukar-nukar parti pemerintah (walaupun ada yang sempat memerintah sampai dua tiga kali pilihan raya). Sekejap mereka memilih parti Buruh, sekejap parti Konservatif, selain turut mengundi Parti Demokrat Liberal. Amerika Syarikat juga begitu – sekejap parti Republikan, sekejap parti Demokrat. Walaupun tidak ketara, kedua-dua parti yang memerintah negara itu tetap menghormati kuasa rakyat dan berusaha untuk memberikan khidmat yang terbaik bagi memastikan rakyat menyukai mereka.

Di Jepun, Parti Demokratik Liberal (LDP) yang memerintah Jepun hampir 54 tahun akhirnya tumbang di tangan Parti Demokratik Jepun (DPJ) pada tahun 2009. Kita harus bersedia untuk bertindak seperti rakyat Jepun itu – menukar kerajaan – bukan untuk selama-lamanya tetapi untuk tempoh tertentu selagi mereka benar-benar adil dan jujur. Kalau mereka melanggar amanah, kita pilih parti lain pula. Tidak salah mencuba.

Friday, April 8, 2011

Pencari Kebenaran Lebih Banyak daripada Pencari Kerja

Teoh Beng Hock mati. Sampai sekarang orang masih mencari kebenaran. Kugan mati, ada juga orang yang mahu tahu akan kebenarannya. Altantuya dibom hingga bersepai jasadnya, walaupun sudah ada orang yang dihukum daripada kejadian itu, tapi orang masih ingin tahu akan dalang pengeboman wanita itu yang sebenarnya. Kapal selam dibeli ratusan juta ringgit dan kononnya ada yang beroleh durian runtuh daripada pembelian itu, sampai sekarang orang (rakyat) hendak tahu akan kebenarannya.

Tidak cukup orang yang menjadi rakyat di negara ini terkial-kial mencari kebenaran daripada pelbagai peristiwa dan kejadian itu, mereka terpaksa lagi mencari kebenaran daripada penayangan video lucah yang dihalalkan oleh pihak berkuasa (kerana tiada tangkapan dilakukan oleh pihak berkuasa terhadap orang-orang yang menganjurkan tayangan itu). Memang rakyat hendak tahu sangat akan gerangan/sosok dalam video itu yang sebenarnya, namun bukan sedikit rakyat yang hendak tahu akan kebenaran yang hakiki, mengapakah undang-undang sedia ada tidak digunakan untuk menahan si penganjur yang menggelarkan diri mereka Datuk T itu?

Belum pun reda pencarian rakyat terhadap kebenaran tentang semua kejadian yang digalurkan itu, meledak pula peristiwa kematian Ahmad Sarbani Mohamed, Penolong Pengarah Kastam Malaysia yang kebetulan mati di pejabat SPRM. Mahu tidak mahu, kejadian yang baharu ini akan memaksa rakyat mencari kebenaran lagi.

Bilangan rakyat yang menjadi pencari kebenaran di negara kita terbukti lebih banyak jumlahnya daripada bilangan rakyat yang mencari kerja kosong di negara kita kerana orang yang mencari kerja kosong turut menjadi pencari kebenaran.

Thursday, April 7, 2011

Lynas Corporation dan Nadir Bumi

Hah, hah! Lynas Corporation akan kekal di kawasan perindustrian Gebeng di Kuantan kecuali sekiranya loji pemprosesan RM700 juta itu (yang sedang dalam pembinaan sekarang), tidak mematuhi keperluan keselamatan.

Keperluan keselamatan yang dimaksudkan ialah “Jika kadar torium dalam bahan mentah melebihi 0.16 peratus”. Dalam maksud yang lebih mudah difahami, “bahan buangan daripada loji itu mestilah hanya mengandungi 500 ppm torium”.

Torium ialah bahan mentah yang akan digunakan untuk tujuan pemprosesan di loji ini kelak.

Lynas telah beberapa kali menyatakan bahawa nadir bumi yang digunakan oleh pihaknya hanya mempunyai 1,600 ppm torium.

Apakah pandangan anda?

Saya berpandangan bahawa pihak Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) tidak berpegang pada konsep “mencegah lebih baik daripada mengubati”. Mereka lebih seronok melihat ada bencana, kemudian baru diambil tindakan! Betullah kata Allah SWT:

“Dan apabila dikatakan kepada mereka: ‘Janganlah kamu melakukan bencana dan kerosakan di muka bumi’, mereka menjawab: ‘Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan’. Ketahuilah, bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya.”

(Surah Al-Baqarah, ayat 11-12)