Wednesday, April 20, 2011

Kerenah Orang terhadap “Kamus Dewan”

Kamus Dewan, kamus pegangan bahasa Melayu hingga kini, dikatakan oleh suatu pihak sebagai mengandung unsur atau kata yang menyinggung perasaan kaum itu. Tidaklah kita ketahui kata yang menyinggung itu kata yang mana, kata yang bagaimana, dan mengapakah kata itu dikatakan sebagai menyinggung perasaan mereka.

Kasihan orang Melayu — selalu sahaja digambarkan sebagai seolah-olah “kurang ajar” kerana menghasilkan sesuatu yang sensitif hingga menyinggung perasaan orang (kaum yang itu sahaja pula). Kadang-kadang ingin saya mengaitkan mereka dengan peribahasa “Sudah diberi duduk di anjung, dia hendak ke tengah rumah pula”.

Kamus Dewan bukankah kamus bahasa? Bukankah kamus bahasa akan memuatkan apa-apa sahaja kata dalam sesuatu bahasa yang dituturkan oleh sesuatu bangsa? Dalam konteks Kamus Dewan, bahasa yang didokumenatasikan ialah bahasa Melayu yang dituturkan oleh bangsa Melayu. Tidak kira perkataan itu sensitif ataupun murni, bahasa itu wujud dalam lingkungan bangsa Melayu!

Kewujudannya, tidak kira bersifat asal ataupun mendatang, bersebati dan berlegar dalam kelompok bangsa Melayu yang menuturkan bahasa Melayu. Setiap kata yang dituturkan adalah mengikut perspektif bangsa Melayu, tidak kira sebelum adanya orang bukan Melayu ataupun setelah adanya mereka.

Kita ambil contoh perkataan “kalbu”. Perkataan “kalbu” berasal daripada perkataan Arab “qalb”. Walau bagaimanapun, kerana orang Melayu pada zaman awal dahulu tidak biasa dengan bunyi qof (q), maka bunyi qof yang keras dan tebal itu dibunyikan sebagai kaf (k) sahaja lalu menjadi “kalbu”.

Orang Arab atau orang yang berpendidikan Arab berasa janggal dengan perkataan “kalbu” ini kerana “kalbu/kalbun” dalam bahasa itu turut mendukung maksud “anjing”. Jadi, perlukah orang Melayu menyebut kata “kalbu” yang sudah bersebati itu sebagai “qalbu”? Tidak perlu kerana kata “kalbu” dalam bahasa Melayu tidak mendukung maksud “anjing” melainkan maksud “hati”, “nurani” itu sahajalah.

Itulah antara contoh bagaimana sesuatu perkataan bahasa Melayu itu wujud mengikut kaca mata dan perspektif orang Melayu. Lantas, kalau kebetulan ada kaum yang berasa sensitif kerana wujudnya kata yang kononnya sensitif, mereka perlu berbalik kepada asal bahasa itu dan kelompok yang menuturkannya (yang kebetulan mereka kemudiannya ikut berada dalam kelompok itu).

Percayalah, kalau hendak berasa sensitif, akhirnya banyak kata bahasa Melayu yang berdepan dengan kemungkinan “dilupuskan”. Kata “hitam” dan ungkapan yang terbit daripadanya (hitam legam, hitam berkilat, hitam lengit, hitam lotong, dll) mungkin akan dilupuskan kerana dibimbangi akan digunakan untuk menghina kaum tertentu.

Dalam keadaan kemajuan ekonomi sangat dipentingkan untuk menjadi negara maju, janganlah ditimbul-timbulkan hal-hal begini kerana hal seperti ini berpotensi untuk mewujudkan hubungan yang kurang baik antara kaum. Tumpukanlah perhatian kita untuk memajukan diri, keluarga, dan negara tanpa mengabaikan aspek moral.

4 comments:

  1. Salam, Tuan Zulkifli.

    Agaknya 'orang itu' terlalu sensitif hinggakan kata-kata yang mendukung makna tertentu pun dirasakan begitu menyinggung mereka. Hakikat tetap hakikat.

    Saya yakin jika mereka membaca kisah dalam Hikayat Abdullah, maka lagilah mereka akan sensitif...tetapi itulah hakikat yang Abdullah Munsyi tulis berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya. Kisah kehidupan nyata.

    ReplyDelete
  2. Salam, Tuan Mendewa,
    Mereka patutnya menerima hakikat bahawa mereka itu yang berasimilasi dengan kita dan kalau dapat terimalah kita dengan sepatutnya. Ini tidak, kita pula yang kena menyesuaikan diri dengan mereka.

    Cukuplah mereka membaca Mahabharata dan Ramayana sahaja.

    ReplyDelete
  3. Salam Adinda,

    Kata, rangkai kata/frasa, ayat, peri bahasa, perumpamaan, cerpen, NOVEL dsb (dalam bahasa kita). . . semuanya dah seolah-olah tak betul.

    Tak sesuai dengan sensitiviti itu dan tak selaras (macam laras senapang?) dengan sensitiviti ini.

    Kalaulah berterusan begini keadaannya . . . pantun-pantun popular kita yang sudah berkurun-kurun lamanya diperdengarkan di khalayak . . . lambat laun tidak boleh diguna pakai lagi.

    Sayangnya . . . akan lenyaplah nilai estetika pantun Melayu dengan begitu saja demi memuaskan nafsu sensitiviti?/amarah! sesuatu golongan.

    Pantun tradisi seperti ini:

    Siapa kata belimbing tak masam,
    Sudah masam kelat pula;
    Siapa kata (mika) tak hitam,
    Sudah hitam berkilat pula!


    . . . dan pantun suka-suka buatan sendiri:

    Runsing sungguh hatiku ini
    Malam buta harimau menderam
    Bising kecoh bunyi di sini
    Macam suasana (si hamlau) karam!

    ReplyDelete
  4. Salam, Uda,
    Kita berharap sangatlah agar kerajaan betul-betul tegas tentang hal ini. Perasaan yang digambarkan oleh peribahasa, iaitu "ditelan mati emak, diluah mati bapa" sebagai akibat isu yang dibangkitkan oleh puak itu tidak harus ada di pihak kerajaan.

    Orang kita juga haruslah bersedia untuk "melawan" mereka. Kita haruslah lebih garang, agresif, dan kalau perlu lebih ofensif bukan defensif seperti sekarang ini.

    Cantik pantun buatan sendiri tu, he he! Mujur MS dulu cerah. MP je yang gelap sikit.

    ReplyDelete