Sesiapa yang sempat menonton perlawanan akhir Piala Raja Sepanyol (Copa del Rey) antara Real Madrid dengan Barcelona awal pagi semalam pasti berasa puas hati. Walaupun tidak banyak gol yang dijaringkan dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Mestalla, Valencia itu, tetapi kedua-dua pasukan menampilkan permainan yang dapatlah dikatakan menarik (kalau dibandingkan dengan Liga Perdana Inggeris atau Liga Serie A Itali).
Real Madrid jelas mendominasi permainan pada separuh masa pertama, tetapi suasana berbeda berlaku sebaliknya pada separuh masa kedua apabila Barcelona pula menguasai permainan. Saya berpendapat bahawa, penguasaan Barcelona pada babak kedua perlawanan bermula apabila Mesut Ozil (pemain Real Madrid itu) dikeluarkan oleh Jose Maurinho. Mujurlah penjaga gol Real, Iker Casillas, berjaya mengekang usaha Barcelona untuk menjaringkan gol.
Perlawanan itu dimenangi oleh Real Madrid dengan keputusan 1-0. Gol kemenangan pasukan itu dijaringkan oleh Christiano Ronaldo pada minit ke-103 dalam masa tambahan. Perlu diingat, Real Madrid telah 18 tahun kempunan untuk mengucup piala itu. Malah, kejuaraan itu merupakan kejuaraannya yang pertama sejak menjadi juara Liga Sepanyol pada tahun 2007.
Sebenarnya, yang lebih menarik perhatian saya daripada keseluruhan perlawanan itu ialah babak selepas tamatnya perlawanan itu, khususnya semasa penyampaian piala itu oleh Raja Sepanyol, Raja Juan Carlos I kepada Iker Casillas. Iker Casillas mendakap Raja agak lama dan kemudian beliau naik ke atas meja (saya rasa) yang lebih tinggi daripada baginda. Tujuannya adalah supaya upacara menjulang piala itu dapat disaksikan oleh semua penonton. Apabila piala itu beralih tangan, Casillas menjulangnya sambil disambut dengan teriakan oleh penonton.
Saat yang mengagumkan saya berlaku pada detik Casillas hendak turun dari meja tinggi itu. Beliau meminta bantuan Raja untuk memegang piala itu sementara beliau turun dari meja itu. Raja Juan Carlos tidak keberatan untuk melakukannya dan kemudiannya menyerahkannya kepada Casillas semula apabila penjaga gol Real Madrid itu turun!
Mengapakah peristiwa ini menarik? Pertama, membenarkan pemain berdiri lebih tinggi daripada raja di atas meja atau pentas tidak mungkin (jarang-jarang) berlaku di sini. Kedua, para pemain bola sepak kita di sini tidak mungkin berani meminta bantuan raja atau pemimpin seperti PM, TPM, dan lain-lain) seperti yang dilakukan oleh Casillas itu ketika hendak turun daripada meja tersebut. Di sini, di negara kita, kita sangat memuliakan raja dan pemimpin serta mematuhi protokol tatkala berhadapan dengan mereka.
Memang bagus dan wajar kita menghormati raja, tetapi kesediaan raja memperlihatkan semangat kesukanan yang luar biasa seperti Raja Juan Carlos I itu juga bagus untuk ahli sukan dan rakyat. Lagipun, tidak akan hilang bisa ular kalau sekadar menyusur akar, kata peribahasa kita.
Ampunkan patik, tuanku-tuanku. Patik sentiasa menghormati tuanku-tuanku.
Assalamualaikum Sdr Zul,
ReplyDeleteTentang Barcellona <> Real pun sdr boleh tendang bola masuk gol orang lain. Memang kita boleh belajar banyak tendang atau heading pendapat melalui perlawanan sengit MU,MC, Chelsea etc; sebab itu sesekali saya juga berada depan TV sewaktu tengah malam.Semoga kita bertemu lagi...
Salam, Dato';
ReplyDeleteTerima kasih dan salam pertemuan semula, Dato'. Babak itu memang betul-betul menarik perhatian saya dan saya sangat kagum lalu saya pun mengulasnya.
Bagusnya Blog ialah kita dapat berkata-kata (berdasarkan batas susila Melayu - walaupun ada juga yang kurang ajar), tanpa perlu disunting oleh pihak lain.
Di media cetak yang arus perdana, kadang-kadang tulisan yang begini pun ditapis-tapis. Jadi, saya pun menulislah di sini....
Terima kasih, Dato'. Saya menanti buah tangan Dato' dalam lapangan Blog yang lama juga Dato' tinggalkan.