Monday, February 28, 2011

Kerana Suka Melakukan Sesuatu pada Saat-saat Akhir

Kerana memang sudah tabiat orang kita di Malaysia suka melakukan sesuatu pada saat akhir, maka tarikh 28 Februari 2011 telah memperlihatkan kehadiran luar biasa manusia di balai-balai polis. Balai Polis Jalan Bandar dibanjiri manusia sejak awal pagi. Balai Polis Daerah Petaling Jaya, sewaktu saya lalu sebentar tadi, demikian juga halnya. Orang memarkir kereta hampir di sepanjang Jalan Penchala ke Bulatan Toyota. Saya lihat ada anggota polis yang berjalan di sisi kereta yang diparkir di “tempat haram” itu. Kurang pasti saya sama ada mereka menyaman kereta yang diparkir di situ atau sengaja lalu di situ. Saya tidak berani meneliti kerana yang lebih penting ialah menumpukan perhatian terhadap pemanduan!

Khabarnya, pejabat-pejabat pos juga dibanjiri oleh manusia yang hendak melunaskan bayaran saman. Sebentar tadi, seorang saudara saya menghubungi saya untuk mengetahui di manakah agaknya balai polis atau pejabat pos yang kurang dikunjungi oleh orang pada masa ini? Tentulah saya berkata bahawa saya tidak pasti kerana saya bukan anggota mana-mana penguat kuasa. Tetapi, saya sempat menasihatinya, berhijrahlah! Ubahlah sikap supaya tidak menjadi orang Malaysia yang suka melakukan sesuatu pada saat-saat akhir — beli baju raya pada saat akhir, beli pakaian sekolah anak-anak pada saat akhir, beli buku sekolah anak-anak pun pada saat akhir. Saya berharap agar dia mendengar nasihat saya.

Di pihak yang dipertanggungjawabkan untuk mengutip hasil saman itu, apakah usaha yang dilakukan oleh mereka untuk mengatasi kebanjiran manusia itu? Adakah antara mereka yang bertindak proaktif dengan menghubungi cawangan-cawangan lain yang kurang dikunjungi oleh manusia yang suka menyelesaikan sesuatu pada saat akhir ini lalu mencadangkan manusia-manusia ini pergi ke cawangan-cawangan itu?

Saudara saya yang sedang menunggu giliran di pejabat pos itu memberitahu saya bahawa daripada lima kaunter yang ada di pejabat pos tempat dia hendak melunaskan saman itu, hanya dua kaunter yang dibuka! Ini satu lagi perangai tidak molek — satu perangai yang tidak peka, tidak bertimbang rasa, dan enggan memahami keperluan semasa. Kasihanilah manusia lain. Dengan membuka semua kaunter, mereka dapat mengelakkan berlakunya pembaziran masa di pihak manusia yang menunggu giliran itu.

Walau apa-apa pun yang kita perkatakan, orang Malaysia perlu berhijrah — tinggalkan atau buang jauh-jauh sikap suka melakukan sesuatu pada saat-saat akhir.

Thursday, February 24, 2011

Mengapakah Sampai Lebih 18 Juta Saman yang Tidak Berbayar?

Khabarnya, sepanjang tahun 2000-2009, tiga agensi penguat kuasa kesalahan lalu lintas — Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), polis (PDRM), dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) — telah mengeluarkan jutaan saman. Daripada jutaan saman itu (mungkin 30 juta, 40 juta, atau lebih), dikatakan bahawa lebih daripada 18 juta saman tidak dijelaskan oleh para pelaku kesalahan lalu lintas.

Yang menariknya, daripada lebih 18 juta saman tertunggak itu, 15.6 juta merupakan saman yang dikeluarkan oleh polis, 1.8 juta lagi dikeluarkan oleh DBKL, manakala 606,800 lagi dikeluarkan oleh pihak JPJ.

Yang lebih menarik perhatian kita ialah daripada lebih 18 juta saman itu, hanya 113,447 saman polis dan 1,227 saman JPJ yang telah dijelaskan oleh pelaku kesalahan lalu lintas dalam tempoh 11 Februari 2011 hingga 17 Februari 2011 lalu. Walhal, pihak JPJ telah menyatakan bahawa nama pelaku kesalahan lalu lintas yang tidak menjelaskan saman JPJ dan PDRM akan disenaraihitamkan selepas 28 Februari 2011 ini. Dalam erti kata lain, untuk mengelakkan nama mereka disenaraihitamkan, semua pesalah lalu lintas yang menerima saman JPJ dan PDRM hendaklah membayar saman-saman itu selewat-lewatnya pada 28 Februari 2011!

Mengapakah berlaku ketidakpedulian orang (pesalah lalu lintas) terhadap arahan/ugutan pihak berkuasa lalu lintas ini? Adakah kerana mereka berandaian bahawa akan ada pelanjutan tarikh itu (seperti yang selalu dilakukan) ataupun kerana mereka mengharapkan diskaun tertentu? Atau mungkin memang begitu sikap rakyat negara kita? Kalau memang begitu sikap rakyat negara kita, mengapakah pula mereka begitu berani? Adakah kerana mereka selalu terlepas daripada penguatkuasaan yang seumpama itu?

Saya ingin mengalih perhatian kepada persoalan lain. Lebih 18 juta saman pelbagai kesalahan yang dikeluarkan oleh JPJ, PDRM, dan DBKL tidak dikutip nilai samannya oleh mereka sepanjang tempoh 2000-2009. Jumlah ini bukan kecil. Kalau setiap satu saman bernilai RM80.00, sebanyak RM1.44 bilion gagal dikutip oleh pihak penguat kuasa yang terlibat.

Itu aspek hasilnya. Bagaimanakah dengan aspek keberkesanan agensi-agensi itu dalam melaksanakan tugas mereka, terutamanya PDRM yang mengumpulkan 15.6 juta saman yang tidak berbayar? Saya yakin, banyak orang yang berkata bahawa mereka tidak efisien dalam hal mengutip bayaran saman. Hal ini menggambarkan suatu keadaan bahawa pihak penguat kuasa lalu lintas ini hanya efisien dalam hal yang berkait dengan mengeluarkan saman tetapi sangat lembap dalam hal mengutip hasil saman.

Saya pernah pergi ke balai polis untuk menyemak saman saya. Di hadapan saya, seorang lelaki sedang menyemak samannya. Terkejut saya apabila pegawai yang bertugas berkata, “Haiya!” Pegawai itu mencetak saman lelaki itu, berhelai-helai. Apabila saya selesai menyemak saman (mujur tidak ada), saya melihat lelaki itu sedang duduk di sebuah kerusi sambil “menelaah” saman-samannya yang berjela-jela!

Persoalannya, mengapakah mereka (seperti lelaki itu) kelihatan bebas melakukan pelbagai kesalahan hingga berdepan dengan (rasa saya) berpuluh-puluh saman. Sepatutnya, sudah sampai masanya pihak penguat kuasa bertindak pantas. Misalnya, apabila orang yang sama mengutip lebih daripada tiga saman (dapat disemak melalui sistem komputer), orang itu mesti segera dikesan, diberi peringatan, dibawa ke balai polis, dan diminta membayar semua saman atau dikenakan tindakan mahkamah dan lain-lain. Hal ini pasti dapat mengajar mereka supaya lebih berwaspada di jalan raya dan dalam konteks ini, tidak akan berlaku tunggakan saman yang begini banyak. (Sekiranya akta yang begini tidak ada, sesuatu mesti dilakukan oleh kerajaan.) Jika tidak, imej agensi penguat kuasa lalu lintas terus dipandang rendah dan keberadaan mereka terus diremehkan. Yang lebih penting, kita tidak mahu rakyat ini menjadi “syurga” kepada orang yang tidak berperaturan.

Barangkali, inilah salah satu sebabnya usaha kita untuk menyifarkan kadar kemalangan maut jauh daripada kenyataan. Mengapa? Kerana pesalah lalu lintas sering terlepas daripada tindakan undang-undang. Kalau tidak, tak kanlah beberapa orang pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan maut sering dikatakan bahawa mempunyai tujuh atau lapan saman lalu lintas. Mengapakah pengusaha bas berani mengambil orang yang tidak berperaturan ini sebagai pemandu bas-bas mereka?

Ce ceghite, ce ceghite!

Friday, February 18, 2011

Pengenalan Kompaun/Saman/Denda Baharu: Implikasinya

Banyak juga orang yang mempertikaikan pengenalan/perubahan kadar kompaun/saman/denda baharu yang khabarnya akan mula berkuat kuasa Mac ini. Antara lain mereka berkata bahawa kerajaan tidak sepatutnya “menaikkan” kadar kompaun/saman/denda kerana rakyat sudah terbeban oleh kenaikan harga barang. Maksudnya ialah, “kenaikan” kadar kompaun/saman akan menambahkan beban rakyat.

Kita boleh bersetuju dengan pandangan itu, tetapi saya tidak bersetuju. Saya berpendapat bahawa, beban itu hanya bertambah kalau kita melakukan kesalahan. Dalam erti kata lain, kita tidak akan terbeban oleh apa-apa kompaun/saman/denda sekiranya kita mengelakkan diri kita daripada melakukan kesalahan (dalam konteks yang dibicarakan, kesalahan ini ialah kesalahan lalu lintas).

Hal ini berbeda dengan beban kenaikan harga makanan, perkhidmatan, dan lain-lain yang tidak dapat kita elakkan. Kenaikan harga makanan, misalnya, memang membebankan kita kerana untuk hidup kita perlu makan. Kenaikan kadar cukai pintu, misalnya, memang membebankan kita kerana jika cukai itu tidak dibayar, rumah atau harta benda kita akan disita.

Saya mengambil pendirian bahawa “kenaikan” kadar kompaun/saman/denda yang bakal dilaksanakan kelak bertujuan untuk mendidik rakyat — supaya rakyat senantiasa menghormati semua bentuk undang-undang, tidak kira undang-undang jalan raya, undang-undang di tempat kerja, dan lain-lain. Dengan “menaikkan” atau memperkenalkan kompaun/saman/denda yang baharu, sedikit banyak orang akan berasa takut untuk melanggar undang-undang.

Pada pandangan saya, yang sepatutnya dirisaukan/dipertikaikan ialah kemungkinan wujudnya golongan yang mengambil kesempatan daripada pelaksanaan kompaun/saman/denda baharu itu. Siapakah golongan itu? Mereka tidak lain tidak bukan segelintir penguat kuasa yang membelakangkan integriti dalam melaksanakan tugas mereka. Kita bimbang pelaksanaan kadar kompaun/saman/denda baharu ini akan digunakan oleh segelintir penguat kuasa untuk memperoleh pendapatan melalui amalan rasuah.

Mungkin suatu bentuk “peras ugut” secara halus akan berlaku. Sebagai contohnya, mungkin ada penguat kuasa yang berkata, “Kalau Encik tidak mahu bayar kompaun/saman yang lebih mahal, Encik boleh selesaikannya dengan saya. Encik beri saya sekian-sekian wang, kesalahan Encik dikira beres!”

Kita mungkin berfikiran jahat tentang hal ini, tetapi kemungkinan itu ada kerana peluang untuk melakukannya melalui pelaksanaan kompaun/saman/denda baharu itu nanti ternganga luas. Kalau kita berkata bahawa kita pernah mengalami “peras ugut” halus itu, pihak berwajib yang tertentu meminta kita mengemukakan bukti. Tanpa bukti, pengalaman kita itu akan dikategorikan sebagai dakwaan (tidak benar) sahaja.

Sebenarnya, pengenalan kompaun/saman/denda baharu ini berpunca daripada meningkatnya kes-kes kesalahan jalan raya. Meningkatnya kes-kes kesalahan jalan raya ini pula antara lain berpunca daripada wujudnya situasi penguat kuasa membebaskan pesalah jalan raya daripada sebarang kompaun/saman/denda setelah pesalaha jalan raya bersetuju untuk memberi penguat kuasa “sesuatu” seperti yang dipersetujui bersama.

Betul! Betul?

Thursday, February 17, 2011

Turun Jugak Sudahnya....

Saya adalah antara orang yang selalu menggunakan NPE untuk ke Sunway, rumah adik saya. Apabila YAB DS Mohd. Najib berkata bahawa kadar tol NPE di PJ Selatan akan diturunkan dari RM1.60 kepada RM1.00 berkuat kuasa malam ini, saya tumpang gembiralah. Banyak tu turunnya – 60 sen! Kadar tol yang di sebelah utaranya tidak diturunkan, YAB PM? Kesian orang yang hendak ke Kerinci dan Pantai Dalam serta Pantai-pantai yang lainnya. Mereka pun tentu hendak menjimatkan RM0.60 seperti orang yang melalui tol PJ Selatan itu.

Berbanding dengan NPE yang selalu juga saya gunakan, saya lebih selalu menggunakan petrol. Harga petroleum dunia dah rendah dah. Tidak mahu diturunkan jugakah, YAB PM?

Wednesday, February 16, 2011

Mengikhlaskan Kerja Makan Gaji

Saya ditanyai oleh seorang guru yang merupakan kenalan saya yang usianya lebih muda daripada saya.

“Abang Zul tidak jemukah bekerja? Saya ini baru 32 tahun, dah jemu sangat bekerja seperti sekarang — pukul 7:00 pagi keluar rumah, pukul 2:00 petang balik. Bosan saya apabila hidup saya dijadualkan seperti itu”.

Saya merenung wajahnya; memang ada riak bosan pada wajahnya itu.

“Kamu suka tak kalau kamu diberi ganjaran atas sedekah yang kamu berikan?” Saya bertanya kepadanya.

“Saya hanya mengharapkan ganjaran Allah,” dia menjawab, tegas dan sedikit angkuh jawabannya itu.

“Guru dan editor, abang fikir, sama peranannya,” kata saya. “Kita memanjangkan ilmu dan insya-Allah ilmu yang dimanfaatkan orang akan menjadi sedekah jariah. Orang yang pernah melakukan sedekah jariah akan menerima ganjarannya berterusan walaupun jasad sudah hancur dimamah bumi,” kata saya.

Dia diam.

“Lagipun, agak aneh kalau kita berasa bosan terhadap kerja tetapi pada masa yang sama kita memerlukan wang, kecuali kalau kita anak tauke balak!” kata saya lagi.

Dia diam terus kerana mungkin terpukul oleh kata-kata saya. Sebenarnya, saya lebih terpukul kerana saya sendiri sudah bosan bekerja makan gaji. Saya ingin berkebun dan bertani. Saya ingin menjadi seperti salah seorang rakan editor (mantan) saya — beliau berkali-kali meluahkan perasaannya kepada saya bahawa beliau berasa sangat jemu terhadap kerja makan gaji. Selepas beristikharah, beliau berhenti kerja dan sekarang menjadi peniaga yang dapatlah dikatakan sebagai berjaya.

Jawaban yang saya berikan kepada guru muda yang menjadi kenalan saya itu merupakan satu cara yang saya lakukan sejak beberapa lama untuk memujuk hati saya supaya terus ikhlas bekerja makan gaji sebagai editor walaupun kenaikan gaji sebagai pekerja makan gaji kadangkala sangat menyayukan hati....

Friday, February 11, 2011

Hari Valentine/Hari Kekasih/Hari Memperingati Kekasih

Banyak sudah dibicarakan oleh orang perihal Hari Valentine/Hari Kekasih/Hari Memperingati Kekasih yang jelas bukan budaya dan amalan Islam. Banyak sudah anak-anak kita yang Islam (yang rapuh imannya) yang membudayakan hari itu dalam kehidupan mereka hingga saban tahun ikut merayakannya tanpa kecuali. Sehingga demikian, masuk bulan November, muak dan sakit hati kita apabila diasak dengan berita pembuangan bayi oleh anak-anak gadis yang rata-ratanya Melayu-Islam.

Haruskah kita menyalahkan Hari Valentine/Hari Kekasih/Hari Memperingati Kekasih itu? Tidak, kita tidak harus menyalahkan Hari itu! Kalau Hari itu sebahagian daripada ritual yang ada dalam agama Kristian, biarkanlah penganut agama itu sahaja yang meraikannya. Kita jangan sampai ikut terlibat dan terpengaruh kerana umat Islam seharusnya memperingati sesiapa yang menjadi kekasihnya setiap hari.

Mengapakah demikian? Hal ini tidak lain kerana kekasih dalam Islam tidak dikhususkan kepada individu lelaki dan perempuan yang sedang berada dalam alam percintaan. Sebaliknya, yang tergolong sebagai kekasih dalam Islam sangat pelbagai. IBU merupakan kekasih kita; BAPA juga merupakan kekasih kita; DATUK dan NENEK turut merupakan kekasih kita; ABANG, KAKAK, ADIK malah KAUM KELUARGA yang lain juga kekasih kita; ISTERI dan ANAK kita sudah tentulah kekasih kita; apatah lagi ALLAH dan RASUL-NYA!

Jadi, haruskah kekasih-kekasih itu diingati satu hari sahaja, khususnya ALLAH yang wajib kita ingati pada setiap detik?

Janganlah kita biarkan anak-anak kita menjadi penganut Islam yang lemah mendepani pengaruh kafir laknatullah. Janganlah kita biarkan mereka meniru hal-hal remeh seperti itu, sebaliknya mereka hendaklah kita galakkan untuk meniru hal-hal yang lebih besar seperti membaca al-Quran, berjihad, bersedekah, bersolat, dan lain-lain. Mereka tidak harus dibiarkan terleka oleh amal para kafirun itu. Ingatkan mereka dengan maksud ayat dalam Surah Al-Kafiruun yang benar dan betul itu:

Qul Yaa Aiyuhal Kaafiruun. Laa a‘buduma ta‘buduun. Walaa antum ‘abidu namaa a‘bud. Walaa ana‘a bidumma ‘abadtum. Walaa antum ‘abidu namaa a‘bud. La kum dinu kum wali yadin.

MAKSUDNYA:
Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Hai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa-apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku”.’

Maka, kalau ada badan/oranisasi Islam tertentu berusaha untuk menyedarkan penganutnya supaya tidak merayakan Hari Valentine/Hari Kekasih/Hari Memperingati Kekasih, orang Kristian janganlah sibuk memperlekeh itu ini terhadap badan-badan itu. Orang-orang dalam badan-badan itu bukan menyanggah Hari Valentine/Hari Kekasih/Hari Memperingati Kekasih itu, tetapi mereka mengingatkan umat Islam supaya tidak menyambut Hari Valentine/Hari Kekasih/Hari Memperingati Kekasih yang tidak ada dalam Islam.