Wednesday, February 16, 2011

Mengikhlaskan Kerja Makan Gaji

Saya ditanyai oleh seorang guru yang merupakan kenalan saya yang usianya lebih muda daripada saya.

“Abang Zul tidak jemukah bekerja? Saya ini baru 32 tahun, dah jemu sangat bekerja seperti sekarang — pukul 7:00 pagi keluar rumah, pukul 2:00 petang balik. Bosan saya apabila hidup saya dijadualkan seperti itu”.

Saya merenung wajahnya; memang ada riak bosan pada wajahnya itu.

“Kamu suka tak kalau kamu diberi ganjaran atas sedekah yang kamu berikan?” Saya bertanya kepadanya.

“Saya hanya mengharapkan ganjaran Allah,” dia menjawab, tegas dan sedikit angkuh jawabannya itu.

“Guru dan editor, abang fikir, sama peranannya,” kata saya. “Kita memanjangkan ilmu dan insya-Allah ilmu yang dimanfaatkan orang akan menjadi sedekah jariah. Orang yang pernah melakukan sedekah jariah akan menerima ganjarannya berterusan walaupun jasad sudah hancur dimamah bumi,” kata saya.

Dia diam.

“Lagipun, agak aneh kalau kita berasa bosan terhadap kerja tetapi pada masa yang sama kita memerlukan wang, kecuali kalau kita anak tauke balak!” kata saya lagi.

Dia diam terus kerana mungkin terpukul oleh kata-kata saya. Sebenarnya, saya lebih terpukul kerana saya sendiri sudah bosan bekerja makan gaji. Saya ingin berkebun dan bertani. Saya ingin menjadi seperti salah seorang rakan editor (mantan) saya — beliau berkali-kali meluahkan perasaannya kepada saya bahawa beliau berasa sangat jemu terhadap kerja makan gaji. Selepas beristikharah, beliau berhenti kerja dan sekarang menjadi peniaga yang dapatlah dikatakan sebagai berjaya.

Jawaban yang saya berikan kepada guru muda yang menjadi kenalan saya itu merupakan satu cara yang saya lakukan sejak beberapa lama untuk memujuk hati saya supaya terus ikhlas bekerja makan gaji sebagai editor walaupun kenaikan gaji sebagai pekerja makan gaji kadangkala sangat menyayukan hati....

6 comments:

  1. Abang Zul,
    Sebagai pekerja makan gaji, memang kita kena selalu pujuk diri sendiri supaya selalu ikhlaskan hati ketika bertugas, supaya gaji yang kita dapat lebih berkat dan hidup rasa tenang dengan apa yang ada. Itu kata kita tapi hakikatnya hati di dalam saja yang tahu. Setahun lepas, ketika saya ambil keputusan tak mau lagi kerja makan gaji, saya rasa macam-macam; teruja,seronok, takut, cemas, risau, entah apa-apa lagi. Tapi saya beritau diri sendiri; rezeki Allah ada di mana-mana, jangan putus doa & usaha. Saya cakap pada diri sendiri, saya berhenti bukan sebab saya tak suka kerja di situ tapi kerana saya nak kejar cita-cita yang belum tercapai. Alhamdulillah, setakat ini boleh lagi bertahan. Apabila jumpa kawan sekerja dulu & tengok syarikat tempat saya cari rezeki dulu semakin berkembang maju, saya tanya juga diri, "menyesal tak berhenti kerja?" - jawapan saya, saya tak menyesal. Sebabnya saya berhenti kerja makan gaji bukan kerana saya jemu di sana tapi sebab cita-cita.

    ReplyDelete
  2. Salam, tuan.

    Sejujurnya saya mengakui agak bosan bekerja makan gaji lebih-lebih lagi apabila mendapat ketua yang gemar menunjuk-nunjukkan kuasa. Saban masa, ayat kegemarannya adalah "berhenti kerja jikalau tidak mahu patuh kepada arahan saya". Huh, ketua yang biadap namanya! Mujur sahaja universiti ini bukan dia yang punya... Hehehee..

    Namun, saya tidak perlu memujuk hati. Sejuk sendiri perasaan ini apabila saban masa dapat bertemu dengan pelajar yang lebih tulus dan ikhlas dalam perjuangan mereka menimba ilmu. Sejahteranya kehidupan saya dalam mengharungi cabaran dunia kerjaya bagai sentiasa disirami embun di pergunungan setiap kali berhadapan dengan para pelajar yang tekun mendampingi saya demi ilmu dan amanah yang digenggam.

    Insya-Allah, demi anak-anak itu saya tidak akan pernah berasa jemu biarpun pada masa yang sama saya sudah mula mengumpul surat tunjuk sebab dan surat amaran daripada ketua yang gila kuasa (hakikatnya, dia tidak boleh berbuat apa-apa, hahahaha)...

    ReplyDelete
  3. Salam, Dek Na,
    "... Sebabnya saya berhenti kerja makan gaji bukan kerana saya jemu di sana tapi sebab cita-cita."

    Uhh..., satu kalimat yang harus saya jadikan ikutan. Cuma, apakah cita-cita saya yang hendak saya hambat...?

    ReplyDelete
  4. Salam, Cikgu Marni,
    Pengalaman ini pernah saya depani pada awal 80-an dahulu. Ketua saya dua tiga kali menyarankan saya mencari kerja di penerbit yang lebih kecil (konon syarikat asing gergasi itu tidak sesuai dengan kelulusan saya).

    Saya hairan benar dengan perangai orang seperti itu (termasuk ketua Cikgu itu) kerana mereka juga makan gaji seperti kita. Yang membedakan kita dengan mereka ialah mereka memegang tanggungjawab sebagai ketua. Memang benar, kata Cikgu, mereka tidak boleh berbuat apa-apa. Saya berhenti kerja kerana mendapat tawaran yang lebih baik.

    Saya yakin, Cikgu kuat semangat dan tabah hati serta memiliki kesabaran yang tinggi. Jangan berhenti kerja kerana tekanan orang!

    ReplyDelete
  5. betul kata tuan kita kena ikhlas dalam melaksanakan amanah, gunakan peluang kita untuk bantu anak bangsa kita, sebagai guru banyak dia boleh buat.

    ReplyDelete
  6. Salam, Sdr Azam,
    Asas keluhannya ialah bosan bekerja. Penawar yang baik untuk kebosanan ialah melihat sisi yang baik pada sesuatu yang menimbulkan kebosanan itu. Dan kita perlu senantiasa sedar bahawa seperti kata Sdr, kerja ialah amanah.

    ReplyDelete