Monday, February 28, 2011

Kerana Suka Melakukan Sesuatu pada Saat-saat Akhir

Kerana memang sudah tabiat orang kita di Malaysia suka melakukan sesuatu pada saat akhir, maka tarikh 28 Februari 2011 telah memperlihatkan kehadiran luar biasa manusia di balai-balai polis. Balai Polis Jalan Bandar dibanjiri manusia sejak awal pagi. Balai Polis Daerah Petaling Jaya, sewaktu saya lalu sebentar tadi, demikian juga halnya. Orang memarkir kereta hampir di sepanjang Jalan Penchala ke Bulatan Toyota. Saya lihat ada anggota polis yang berjalan di sisi kereta yang diparkir di “tempat haram” itu. Kurang pasti saya sama ada mereka menyaman kereta yang diparkir di situ atau sengaja lalu di situ. Saya tidak berani meneliti kerana yang lebih penting ialah menumpukan perhatian terhadap pemanduan!

Khabarnya, pejabat-pejabat pos juga dibanjiri oleh manusia yang hendak melunaskan bayaran saman. Sebentar tadi, seorang saudara saya menghubungi saya untuk mengetahui di manakah agaknya balai polis atau pejabat pos yang kurang dikunjungi oleh orang pada masa ini? Tentulah saya berkata bahawa saya tidak pasti kerana saya bukan anggota mana-mana penguat kuasa. Tetapi, saya sempat menasihatinya, berhijrahlah! Ubahlah sikap supaya tidak menjadi orang Malaysia yang suka melakukan sesuatu pada saat-saat akhir — beli baju raya pada saat akhir, beli pakaian sekolah anak-anak pada saat akhir, beli buku sekolah anak-anak pun pada saat akhir. Saya berharap agar dia mendengar nasihat saya.

Di pihak yang dipertanggungjawabkan untuk mengutip hasil saman itu, apakah usaha yang dilakukan oleh mereka untuk mengatasi kebanjiran manusia itu? Adakah antara mereka yang bertindak proaktif dengan menghubungi cawangan-cawangan lain yang kurang dikunjungi oleh manusia yang suka menyelesaikan sesuatu pada saat akhir ini lalu mencadangkan manusia-manusia ini pergi ke cawangan-cawangan itu?

Saudara saya yang sedang menunggu giliran di pejabat pos itu memberitahu saya bahawa daripada lima kaunter yang ada di pejabat pos tempat dia hendak melunaskan saman itu, hanya dua kaunter yang dibuka! Ini satu lagi perangai tidak molek — satu perangai yang tidak peka, tidak bertimbang rasa, dan enggan memahami keperluan semasa. Kasihanilah manusia lain. Dengan membuka semua kaunter, mereka dapat mengelakkan berlakunya pembaziran masa di pihak manusia yang menunggu giliran itu.

Walau apa-apa pun yang kita perkatakan, orang Malaysia perlu berhijrah — tinggalkan atau buang jauh-jauh sikap suka melakukan sesuatu pada saat-saat akhir.

4 comments:

  1. Assalamualaikum, Tuan Zulkifli.

    Saya bersetuju dengan pandangan tuan. Barangkali memang sudah menjadi tabiat, orang kita gemar menangguhkan kerja di saat-saat akhir. Masalah yang sama berlaku dalam banyak situasi, termasuklah mengulang kaji sehari sebelum masuk ke dewan peperiksaan. Mengubahnya bukan mudah, namun saya yakin ibu bapa memiliki kapasiti cukup besar dalam mendidik anak-anak dengan disiplin masa. Pendidikan awal bermula dari rumah. :)

    ReplyDelete
  2. Salam, Tuan,
    Sampaikan sesetengah orang sengaja hendak berkahwin pada saat-saat akhir. Akibatnya, orang sudah timang cucu, dia baru hendak timang anak. Sape rugi? Heh, heh!

    ReplyDelete
  3. Salam, Cikgu Marni;
    Apa-apa yang sudah bersebati memang payah untuk mengubahnya, Cikgu. Melahirkan Kesedaran juga kerja yang payah kalau kita tidak tahu siapakah ibu dan bapa kepada Kesedaran itu.

    ReplyDelete
  4. Salam, Sdr Anon;
    Rasa saya mereka bukan sengaja hendak bernikah lambat, tetapi jodoh belum sampai lagi.

    Walau bagaimanapun, elok kita nasihati rakan-rakan kita yang suka bernikah lambat itu - cepat-cepatlah menikah kalau semua sudah sedia.

    ReplyDelete