Thursday, December 30, 2010

MIC Minta Kerajaan Lakukan Perubahan terhadap Kandungan Novel “Interlok”

Yang berikut ini ialah isi berita BERNAMA semalam tentang novel Interlok.

MIC Minta Lakukan Perubahan terhadap Kandungan “Interlok”

PUTRAJAYA: MIC, parti terbesar mewakili masyarakat India di negara ini, memohon Kementerian Pelajaran melakukan perubahan dalam kandungan novel “Interlok”, buku teks sastera Tingkatan Lima sebelum digunakan buat kali pertama bagi sesi persekolahan 2011.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Dr S Subramaniam, berkata prinsip asas penggunaan buku itu tidak akan tercapai kerana terdapat satu bahagian yang menyentuh isu sensitif di kalangan masyarakat India berkaitan sistem kasta.

“Interlok” ialah teks Komponen Sastera dalam Pengajaran Bahasa Melayu Tingkatan 5, karya Sasterawan Negara Abdullah Hussain yang memaparkan tema mengenai integrasi tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India seawal tahun 1900-an hingga merdeka.

Subramaniam berkata beliau akan menemui Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran, minggu hadapan sebelum satu surat cadangan kepada kementerian itu dikemukakan.

Menteri Sumber Manusia itu ditemui selepas mengadakan perjumpaan bersama para pegawai Jabatan Pelajaran di seluruh negara yang bertanggungjawab ke atas pendidikan masyarakat India di kementeriannya di sini hari ini.

Subramanian berkata setelah mengambil kira pandangan masyarakat India, beliau berpendapat apa yang ditulis dalam buku itu tidak memberi satu gambaran tepat tentang keadaan dan fikiran masyarakat India pada masa sekarang.

“Oleh itu, saya takut bahawa jika tiada perubahan dibuat kepada kandungan yang ada di dalam buku itu, ia akan memberi satu pandangan salah kepada pelajar yang akan menggunakan buku itu.

“Ia akan diajar kepada semua pelajar tanpa mengira bangsa ... ini akan mengurangkan pemahaman mereka tentang apa yang sebenarnya berlaku di kalangan masyarakat India pada masa sekarang,” katanya.

“Jika ini dibiarkan ia juga akan mewujudkan satu perasaan “pahit” di kalangan masyarakat India,” katanya.

Subramaniam berkata kandungan buku itu harus diubah jika Kementerian Pelajaran tidak berhasrat menarik penggunaan buku teks sastera itu.
(Sumber daripada BERNAMA)

Tampaknya kisah tentang novel Interlok ini sudah menjadi seperti kisah dalam hikayat 1001 malam kerana masih belum habis-habis. Tahap sensitiviti kaum India terhadap isu dalam novel itu tampaknya setipis kulit bawang.

Dugaan saya selama ini tepat – bahawa isu yang dikategorikan sebagai sangat sensitif oleh kaum India yang disentuh dalam novel itu ialah isu kasta yang sebenarnya disentuh oleh pengarangnya seimbas lalu sahaja. Perhatikan petikan ini yang saya ambil daripada novel Interlok Edisi KOMSAS:

Di dalam kapal ini dia tidak susah. Sebahagian besar daripada penumpang dek yang bersama-samanya itu dapat bercakap dalam satu bahasa sahaja, bahasa Tamil, Mereka yang dari arah ke utara sedikit bercakap bahasa Malayalam atau Telugu, tetapi hampir semuanya tahu bahasa Tamil. Malayalam dan Telugu pun berasal dan satu rumpun bahasa Dravidia. Satu perkara besar yang membuatkan mereka senang bergaul adalah kerana mereka tergolong dalam satu kasta Paria. Mereka tidak perlu takut akan mengotori sesiapa kalau bersentuhan. Mereka juga bebas bergaul. Tempat di dalam kapal itu tidak teratur. Mereka berasak-asak seperti kambing.
(Interlok Edisi KOMSAS, hlm 211)

Pada bulan pertama Maniam sudah dapat mengirimkan duit kepada isterinya. Maniam seperti orang India yang lain, tidak pernah khuatir tentang keselamatan isterinya. Ada antara temannya yang sudah dua tahun tidak pulang, tetapi apabila sesekali pulang, isterinya masih tetap menunggunya. Maniam juga masih tetap setia pada isterinya. Maniam sudah dapat menyesuaikan dirinya dengan kehidupan di Pulau Pinang. Dia gembira hidup di negeri ini kerana untuk pertama kali dalam hidupnya dia berasa dirinya sebagai manusia seperti orang lain. Di sini dia tidak sahaja bebas bercampur gaul dengan orang lain sama sebangsanya, malah dia tidak takut dengan pantang larang yang terdapat di negaranya apabila seorang India daripada kasta rendah menyentuh orang India daripada kasta tinggi. Dia tidak sahaja dimaki hamun dengan kata-kata yang kesat, malah disisihkan daripada masyarakat sehingga dirinya dan orang-orang yang sekasta dengannya menjadi lebih hina daripada binatang.

Di negeri ini, orang daripada keturunan kasta tinggi, kasta Brahma, memakai punul yang melintang di tubuh, tetapi dia tidak takut menyentuh orang itu. Dia boleh membeli barang daripada penjaja dengan memberikan wang dari tangan ke tangan; tidak seperti di negaranya, dia mesti meletakkan wang itu di suatu tempat dan penjaja itu akan menyiram wang itu dengan air sebelum diambil dan dimasukkan ke dalam petinya.

Memang negeri baharu ini sesuai dengannya. Kalau dia mempunyai wang, dia akan menyampaikan pesanan kepada isterinya supaya datang ke mari.
(Interlok Edisi KOMSAS, hlm 218)

Mengapakah berasa sensitif? Hal itu bukan suatu penghinaan kerana amalan kasta di India sudah diketahui di seluruh dunia. Lagipun, hal yang dikisahkan oleh Datuk Abdullah adalah sebagai perbandingan antara masyarakat India di negara ini dengan di negara asal mereka.

Pada hemat saya, yang dirisaukan oleh pemuka MIC ini ialah persepsi yang mungkin timbul dalam kalangan masyarakat bukan India apabila hakikat ini “terdedah” dengan meluas (melalui pembacaan novel Interlok oleh lebih daripada 100 000 orang pelajar di Zon 2 – KL, Putrajaya, Selangor, dan Negeri Sembilan). Pada pandangan mereka, pembaca daripada kalangan pelajar bukan India akan menganggap bahawa kebanyakan kaum India di Malaysia berasal daripada kaum India yang berkasta rendah. Apabila hal ini berlaku, mereka berandaian bahawa bangsa lain akan memandang hina bangsa India di Malaysia atau kalau berlaku hal-hal yang tidak diingini, orang India di Malaysia akan diejek dengan gelaran PARIA. Sebagai akibatnya, matlamat murni untuk menyatupadukan rakyat majmuk di Malaysia tidak dapat direalisasikan. Itu pendapat saya yang dangkal. Tentu ada pendapat yang lebih konkrit.

Kalau persepsi masyarakat bukan India terhadap orang India yang dibimbangkan, hal itu tidak harus dilayan. Sebagai negara yang beragamarasmikan Islam dan menjadi salah sebuah negara penentang dasar Apartheid di Afrika Selatan yang kuat suatu waktu dahulu, kerajaan tidak akan membiarkan hal itu berlaku. Dalam Islam, tidak ada kasta. Dengan dasar benci Apartheid yang diamalkan oleh negara ini terhadap negara asing, tidak mungkin kerajaan akan merelakan dasar yang hampir sama berlaku di negaranya sendiri.

Sekali lagi, saya masih berpegang pada hakikat bahawa tujuan Datuk Abdullah Hussain merencahkan hal kasta itu sekali lalu dalam Interlok adalah untuk menelurkan hakikat yang berlaku selepas itu – bahawa perpaduan bukan lahir daripada kasta dan kebencian tetapi daripada kebersamaan!

Piala Suzuki AFF 2010: Apalah Gunanya Menang 5-1 Kalau Tidak Menjadi Juara?

Selepas pasukan bola sepak Piala Suzuki AFF 2010 Malaysia ditewaskan oleh pasukan bola sepak Piala Suzuki AFF 2010 Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno bulan lalu, pasukan kita itu dihanyak dengan pelbagai celaan, cacian, kejian oleh penyokong negara Republik itu. Mereka benar-benar memperlekeh pasukan bola sepak Piala Suzuki AFF 2010 Malaysia. Membaca ulasan dan celaan mereka di Internet betul-betul menaikkan darah. Penghinaan menjadi-jadi benar. Saya tidak mahu membaca ulasan mereka selepas kita menjadi juara piala berprestij di Asia Tenggara itu malam tadi. (Syabas, Tahniah, Bravo untuk wira-wiraku kerana berjaya menjadi JUARA!)

Semasa saya membaca kupasan dan ulasan penyokong Indonesia lewat Internet semasa pasukan bola sepak kebangsaan mereka (dirujuk mereka sebagai timnas) “mengganyang” Malaysia pada hujung November lalu, hati saya berkata: “Apalah gunanya menang 5-1 kalau tidak menjadi juara?” Bisikan itu berterusan dan bertambah kuat apabila pasukan bola sepak Piala Suzuki AFF 2010 Malaysia mampu meraih keputusan seri dengan pasukan bola sepak Piala Suzuki AFF 2010 Thailand (yang saya secara peribadi meletakkannya sebagai pasukan yang lebih handal daripada pasukan bola sepak Piala Suzuki AFF 2010 Indonesia). Dalam hati, saya berharap (berdoa?) agar pasukan bola sepak Piala Suzuki AFF 2010 Malaysia dipertemukan dengan pasukan bola sepak Piala Suzuki AFF 2010 Indonesia sekali lagi dalam perlawanan akhir. Kemenangan 2-0 pasukan bola sepak Piala Suzuki AFF 2010 Malaysia terhadap pasukan bekas juara, Vietnam, seperti telah menunaikan harapan saya.

Pasukan bola sepak Piala Suzuki AFF 2010 Malaysia kemudiannya benar-benar melangkah ke perlawanan akhir apabila seri di Vietnam. Pada perlawanan akhir pusingan pertama pada 26 Disember 2010, saya (seperti rakyat Malaysia yang lain) sangat menaruh harapan agar pasukan bola sepak Piala Suzuki AFF 2010 Malaysia akan menang ke atas pasukan bola sepak Piala Suzuki AFF 2010 Indonesia walaupun saya memang kurang yakin. Tup-tup, mereka menang 3-0! Bisikan “Apalah gunanya menang 5-1 kalau tidak menjadi juara?” bersipongang dalam kepala dan ingin sekali saya menulisnya dalam Blog “SigapSiaga” saya ini, tetapi saya takut bisikan itu tidak memihak kepada saya dan akhirnya saya akan malu sendiri.

Malam tadi wira-wira kita telah mengesahkan bisikan saya. Saya benar-benar gembira. Kepada penyokong Indonesia, saya (emosional sedikit) ingin mengulangi “APALAH GUNANYA MENANG 5-1 KALAU TIDAK MAMPU MENJADI JUARA”. Lebih mengaibkan, pemain kalian yang tidak tahu bagaimana untuk menjaringkan gol melalui sepakan penalti diangkat menjadi pemain terbaik. Saya kira, dia hanya layak dianugerahi sebagai pemain TERBALIK kejohanan! Atau anugerah itu mungkin diberikan kepadanya sebagai rakyat Indonesia bagi memastikan pasukan Piala Suzuki AFF 2010 Malaysia tidak pulang menaiki kereta kebal!

Stadium “Keramat” Gelora Bung Karno perlu ditukar nama kepada Stadium Gelora Bung ... Kus. Maaf!

(Beberapa kerat rakyat Indonesia, dengan semangat yang meluap-luap dan dengan peranan batu api medianya, sering melaungkan slogan “Ganyang Malaysia” – dengan maksud hendak menyerang Malaysia. Tetapi, saudara-saudaraku, mampukah kalian mengganyang kami kalau baru dengan suluhan laser hijau kalian sudah bisa dilongkangkan?)

Ah, entri ini...!

Wednesday, December 29, 2010

Pengerusi FELDA dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor

Rakyat Malaysia gembira benar apabila pasukan bola sepak Piala AFF 2010 Malaysia berjaya melongkangkan keegoan segelintir rakyat Inonesia dan juga sebahagian anggota pasukan bola sepak Piala AFF 2010 negara itu pada hari Ahad lalu. Dalam perlawanan itu, kita telah mengalahkan pasukan bola sepak Indonesia (yang tiba-tiba menjadi seteru “luar biasa” kepada kita kerana sentimen segelintir rakyatnya) dengan keputusan 3-0. Kita memang gembira, sangat-sangat gembira!

Tetapi, ada segelintir orang di bumi Malaysia ini yang kegembiraan mereka selepas kemenangan itu berganda-ganda. Malah, barangkali kegembiraan daripada kemenangan pasukan bola sepak negara itu tidak setara dengan kegembiraan yang bakal diperoleh mereka.

Segelintir orang di bumi Malaysia yang saya maksudkan itu ialah YB Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan Datuk Mohammed Khusrin bin Haji Munawi. YB Tan Sri Mohd Isa ialah mantan Menteri Besar Negeri Sembilan dan sekarang berstatus Ahli Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang. Datuk Mohammed Khusrin pula pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor bagi sesi 2009-2011.

Kedua-dua tokoh (kontroversi!) itu pasti gembira berganda-ganda kerana bakal menjawat jawatan tinggi! YB Tan Sri Mohd Isa khabarnya akan dilantik sebagai Pengerusi FELDA bagi menggantikan Tan Sri Mohd. Yusof Nor. Datuk Mohammed Khusrin pula khabarnya akan dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor bagi menggantikan Datuk Ramli Mahmud.

Kontroversinya YB Tan Sri Mohd Isa ialah beliau pernah disabitkan dengan kesalahan rasuah oleh parti yang dianggotainya UMNO sehingga digantung keahliannya beberapa tahun. Kontroversi beliau boleh juga dikaitkan dengan gejala selesema babi yang melanda Negeri Sembilan dahulu. Bukit Pelanduk di Negeri Sembilan menjadi pusat ternakan babi yang besar hinggalah penyakit itu datang dan memberikan kesan kepada para penternak, sama ada dari segi kesihatan mahupun dari segi kerugian wang ringgit.

Kontroversinya Datuk Mohammed Khusrin pula ialah beliaulah yang bertanggungjawab “menahan” mantan Mufti Perlis atas kesalahan berceramah tanpa tauliah. Kontroversi beliau yang lain ialah beliau dilihat tidak “sehaluan” dengan kerajaan Pakatan yang memerintah Selangor sekarang. Pelantikan beliau itu sendiri sudah menjadi kontroversi kerana tidak mendapat persetujuan daripada kerajaan negeri Selangor yang diterajui oleh Menteri Besarnya, YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Baginda Sultan Selangor khabarnya sudah menzahirkan perkenan baginda atas pelantikan yang dibuat oleh Ketua Setiausaha Negara itu. YAB Menteri Besar Selangor ingin membincangkan hal ini dengan baginda Sultan tetapi tidak dapat berbuat demikian pada masa ini kerana baginda Sultan sedang bercuti. (Tindakan baginda Sultan tidak membincangkan pelantikan ini dengan “Mamanda Menteri” baginda agak pelik kerana hal ini seolah-olah menggambarkan baginda yang dikasihi rakyat itu tidak menghormati “Mamanda Menteri” baginda yang duduk sebagai salah seorang pemimpin negeri atas pilihan rakyat.)

Celaru fikiran dan sebak hati ini apabila hal-hal sebegini tercetus dalam negara. Bukankah baik kalau yang memang terbukti bersih dan tinggi wibawanya menjadi Pengerusi FELDA? Bukankah baik kalau Setiausaha Kerajaan Negeri dipilih daripada kalangan calon yang dirasakan sebagai sesuai oleh Kerajaan yang memerintah sekarang supaya perancangan yang diusahakan untuk rakyat dapat berjalan lancar?

(Bimbang juga kalau FELDA akan menjadi pusat ternakan babi pula.)

Kita Berharap tetapi Allah Telah Pun Menentukannya

Jutaan rakyat Malaysia meletakkan harapan yang tinggi kepada pasukan bola sepak Piala Suzuki AFF 2010 Malaysia untuk mengangkat martabat negara ini dalam sukan bola sepak serantau yang telah tenggelam sejak beberapa lama. Jutaan rakyat Malaysia juga menaruh keyakinan yang tinggi bahawa dengan bekal tiga gol yang diperoleh semasa berjuang di negara sendiri, pasukan bola sepak Piala Suzuki AFF 2010 Malaysia akan menjadi juara.

Tidak ada salahnya kita menaruh harapan dan menyimpan keyakinan yang begitu, tetapi janganlah berlebih-lebihan dan keterlaluan kerana dibimbangi perasaan yang demikian akan memakan diri sendiri sehingga timbul natijah yang tidak kita ingini. Insan-insan yang menghadapi masalah jantung, khususnya, sebelum menonton kelak, dekatkanlah diri dengan sedekat-dekatnya kepada Allah SWT kerana dengan cara itu kita akan sedar bahawa Allah SWT telah pun menentukan pemenangnya! Maka, kalau kelak nasib yang sebaliknya menimpa pasukan negara kita, kita tidak akan terkejut dan kecewa sehingga menjejaskan kesihatan.

Doa seluruh rakyat Malaysia menjadi senjata paling ampuh untuk meletakkan pasukan bola sepak Piala Suzuki AFF 2010 Malaysia sebagai juara. Jika kalah sekalipun, kita harus berasa bangga kerana dalam perjalanan pasukan itu ke perlawanan akhir, jaguh-jaguh serantau telah dapat kita saingi dan kita tewaskan. Pasukan Thailand menjadi tidak terlalu hebat kepada kita. Bekas juara, Vietnam, berjaya kita jinakkan. Pasukan yang akan kita temui sekali lagi malam ini pun tidaklah jaguh sangat. Kita harus berasa bangga dengan hakikat itu.

Marilah kita berdoa agar para pemain pasukan bola sepak Piala Suzuki AFF 2010 negara kita tidak menggelabah dan hilang tumpuan terhadap kerenah yang mungkin dicetuskan oleh para penyokong lawan. Kita doakanlah juga tidak ada pemain negara kita yang diusir kerana menerima kad merah. Kita doakanlah juga mereka dapat bermain dengan penuh bertatasusila dan penuh bijaksana.

Kalau kita kalah kelak, janganlah banyak beralasan kerana bangsa yang beralasan tidak akan maju.

Ya, Allah! Engkau menangkanlah mereka, bukan dalam perlawanan itu sahaja tetapi juga akhlak dan pekerti serta semangat mereka.

Amin!

Monday, December 27, 2010

Kita Telah Melakukannya dan Kini Semakin Hampir

Ada sedikit rasa hairan dalam hati saya apabila tiba-tiba saya melihat rakyat Malaysia (rakan-rakan di sekeliling saya serta orang-orang yang tidak saya kenali) bercakap tentang pasukan bola sepak Piala AFF Malaysia. Tiba-tiba saya mendapati suasana suram sukan bola sepak Malaysia sejak beberapa dasawarsa seperti telah kembali ke asalnya, setidak-tidaknya seperti semasa zaman kegemilangannya pada tahun 1970-an dan 1980-an (yang sempat saya ikuti sepenuhnya dan masih saya ingati hingga kini).

Suatu ketika, bola sepak Malaysia seperti dilupakan, dibenci, dan menjadi kutukan orang. Biasa saya dengar, apabila saya bertanya kepda rakan-rakan sama ada mereka ada menonton perlawanan bola sepak Malaysia lawan pasukan itu, pasukan ini, jawaban yang saya dengar ialah “Ah, buang masa aje!” atau “Ah, buek ngabehkan bogheh jo!” Kalau diajak ke stadium, jawaban yang didengar lebih menyakitkan hati.

Tetapi, sejak Piala AFF berlangsung, perhatian rakyat terhadap pasukan Malaysia berubah benar. Rakan-rakan saya sibuk bercerita tentang pasukan Malaysia. Kalau mereka ini dapat diangkat sebagai mewakili sebahagian besar rakyat Malaysia, saya rasa perkembangan ini sangat positif.

Selepas perlawanan pertama Malaysia pada peringkat kumpulan menentang pasukan Indonesia, hati saya, apabila membaca Blog dari “rakan seberang”, terluka sangat. Ada “rakan seberang” yang berkata bahawa Malaysia selama-lamanya sering berada di bawah Indonesia – muzik kita kalah kepada mereka, budaya kita kalah kepada mereka, bola sepak pun kita biasa ditumpaskan sampai 1-5! Begitulah penghinaan yang dilemparkan mereka kepada kita.

Saya sebenarnya tidak begitu meyakini pasukan Malaysia walaupun sentiasa menyokong pasukan negara. Mungkin hal ini berlaku begitu kerana keterumbang-ambingan pasukan Malaysia dalam sukan bola sepak sudah berlaku terlalu lama sehingga ranking FIFA kita menjunam dengan begitu teruk sekali. Sebelum pasukan Malaysia menentang Indonesia malam tadi pun, perasaan itu tetap ada walaupun saya sudah menyaksikan permainan pasukan Malaysia yang meyakinkan hati semasa mereka menentang pasukan Thailand dalam peringkat kumpulan dan semasa menentang pasukan Vietnam pada peringkat separuh akhir pusingan pertama. Sebelum perlawanan malam tadi, hati saya berkata “Entah berapalah Malaysia kena malam ini”. Saya bergantung pada ramalan personaliti sukan di dada akhbar untuk menyedapkan hati saya.

Terbukti bahawa pasukan Malaysia sangat cemerlang malam tadi. Syabas! Meratah pasukan Indonesia dengan jaringan 3-0 sesuatu yang luar biasa. Keegoan pasukan Indonesia malam tadi dilongkangkan oleh anak-anak muda didikan Rajagobal. Mereka bermain seperti tiada tekanan (sesuatu yang berbeza daripada beberapa pasukan Malaysia yang dilatih oleh beberapa orang jurulatih sebelum ini – apabila kita menaruh harapan menggunung pada mereka, mereka bermain seperti pasukan yang dianggotai oleh pemain yang berusia 12 tahun!)

Namun, semangat patriotik rakyat negara ini (khususnya penyokong yang membanjiri stadium) serta para pemain, telah dicacatkan oleh seorang dua penyokong yang membuat tindakan bodoh. Kecanggihan perkakasan moden telah disalahgunakan sekali gus telah mencemarkan nama negara. Mereka menggunakan suluhan laser kepada pemain lawan. Malah, suluhan ini telah digunakan sejak awal lagi, yakni semasa barisan pemain baru diperkenalkan. Pengadil, sayangnya, tidak ambil peduli akan hal ini. Pasukan keselamatan demikain juga. Seharusnya, ada pasukan keselamatan yang mengesang (dengan cara meneropong dsb) ke arah datangnya suluhan itu, menggerakkan anggota mereka ke arah itu dan menangkap gerangan si durjana itu. Hal ini tidak boleh dibiarkan berlaku kerana kita rakyat yang bertamadun, yang memiliki semangat kesukanan yang tinggi. Jangan dibiarkan seorang dua orang yang tidak bertamadun ini merosakkan nama baik keseluruhan rakyat Malaysia. Tuanku Presiden FAM pasti terpalit aib oleh gelagat yang sebegini (walau bagaimanapun, tahniahlah Tuanku kerana ramalan Tuanku bahawa Malaysia akan menang 3-0 menjadi kenyataan).

Apa-apa pun, kita telah berjaya menempuh halangan pertama. Halangan kedua sedang menunggu pada 29 Disember nanti. Jangan sampai terlepas peluang untuk mendakap Piala AFF itu (untuk kali pertama) walaupun berkemungkinan kita kalah di sana. SELAMAT BERJUANG, WIRA BOLA SEPAK NEGARA! Anda telah melakukannya ke atas pasukan Vietnam. Lakukan perkara yang sama ke atas pasukan Indonesia pula! Insya-Allah....

Thursday, December 23, 2010

Interlok: Kontroversi Sejarah

Apa-apa yang kontroversi pasti kemudiannya akan mengundang minat orang untuk mendekatinya, sama ada mendekatinya secara senyap ataupun membicarakannya secara nonakademik atau secara akademik, atau mengkhutbahkannya secara semberono di warung-warung dan sebagainya. Kadang-kadang yang kontroversi itu dipolemikkan oleh pihak yang prihatin dan berkepentingan dan kemudiannya mendapat komen para pembaca.

Sehingga yang demikian, ada pihak tertentu yang sengaja mencipta dan mencetuskan kontroversi, sama ada dengan niat hendak menonjolkan dirinya, hendak melariskan produk yang dihasilkannya, atau dengan tujuan lain. (Perkembangan semasa menunjukkan bahawa ada usaha dalam kalangan karyawan drama, filem, teater, dan lain-lain untuk menggunakan kaedah ini bagi menonjolkan karya mereka sekali gus memerangkap penonton untuk mendekati karya mereka.

Begitulah halnya tentang Interlok – sebuah karya “besar” oleh penulis “besar” – yang kerana salah sangka dan kurang baca di pihak yang seperti hendak “menjadi juara”, telah menyebabkan karya itu menjadi kontroversi. Kontroversinya karya itu ialah apabila kandungannya didakwa telah menyentuh sensitiviti kaum (Melayu dan India) di negara ini. Isu yang dikatakan sebagai sensitif itu sangat-sangat sensitif hingga digambarkan bahawa ada pihak yang ingin membakarnya di Kementerian Pelajaran!

Dalam konteks kenyataan saya yang pertama bahawa apa-apa yang kontroversi sering mengundang minat orang, seharusnya novel Interlok telah laku seperti keropok losong panas. Orang seharusnya sudah siku-menyiku kerana berebut-rebut untuk membeli naskhah yang telah memenangi hadiah sagu hati dalam suatu sayembara pada tahun 1967 dahulu. Dengan perebutan itu, jualan Interlok seharusnya sudah meningkat dengan mendadak. Dengan peningkatan itu pula, penerbit akan beroleh keuntungan sehingga terpaksa mencetak ulang naskhah itu berkali-kali. Penulis, insya-Allah, akan beroleh royalti yang lebih sedikit berbanding dengan cetakan pertamanya kira-kira 40 tahun dahulu. Begitulah yang sepatutnya berlaku.

Malangnya dalam hal ini, tidak mungkin Interlok akan direbut-rebutkan orang seperti itu. Memang ada yang tercari-cari akan buku itu, rasa saya, tetapi peningkatan jualannya tidaklah sampai berganda-ganda sehingga memaksa penerbitnya mencetak ulang naskhah itu berkali-kali. Lagipun, tahap keinginan masyarakat untuk membaca tidaklah sama dengan tahap keinginan mereka untuk menonton. Menonton hanya memerlukan mereka “melekat” di kerusi kurang lebih tiga jam tetapi untuk membaca novel, khususnya Interlok yang berketebalan lebih 400 halaman itu, mereka perlu melekat di mana-mana kerusi atau lantai sekurang-kurangnya dua hari.

Saya suka menyarankan khalayak, bacalah novel ini. Akan kalian temukan sejarah kita yang dibicarakan lewat bahasa yang mudah difahami. Akan kita peroleh maklumat tentang sebahagian daripada sejarah tanah air kita daripada penceritaan yang dekat dengan kita. Dapat kita rasakan bahawa kita berada di dalamnya, pada zaman itu. Isu-isu sensitif itu (jika dapat dianggap sebagai sensitif) ialah sebahagian daripada sejarah dan memang demikian sifat sejarah – apa-apa yang hakikat akan diceritakan. Yang hakikat itu pula memang kerap tidak selari dengan pandangan dan keinginan kita dan dengan demikian selalu kita anggap sensitif! Tidak mengapa. Sejarah memang tidak selalu dapat menyukakan hati kita.

Saya bukan mempromosikan naskhah Datuk Abdullah Hussain itu tetapi mempromosikan ceritanya. Ceritanya ialah sejarah.

Sunday, December 19, 2010

Interlok: Tidak Patut SN Abdullah Hussain Sampai Perlu Memberikan Penjelasan

Dalam akhbar Berita Minggu hari ini (Ahad, 19 Disember 2010), ada laporan tentang novel Interlok. Tajuknya, “Penulis Interlok diarah(kan) beri(kan) penjelasan”. Isi berita itu menyentuh kata-kata Dr Mohd Puad Zarkashi tentang Interlok apabila dihubungi oleh pihak Berita Harian.

Antara lain, beliau (Dr Mohd Puad) berkata bahawa Kementerian Pelajaran belum membuat keputusan untuk menarik balik novel Interlok untuk kegunaan pelajar Tingkatan Lima. Beliau juga berkata kandungan buku itu akan diteliti sama ada wujud unsur yang menyentuh isu sensitiviti kaum selain mengkritik dan menghina orang Melayu serta India.

Beliau juga berkata bahawa Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri sudah mengarahkan Datuk Abdul Ghaffar Mahmud, Ketua Pengarah Pelajaran untuk meminta penulis Interlok, Datuk Abdullah Hussain, supaya memberikan penjelasan berhubung isu yang didakwa sensitif itu selain mendengar penjelasan daripada jawatankuasa yang memilih judul itu sebagai teks KOMSAS.

Kata Dr Puad lagi, buat masa ini, Interlok tetap akan digunakan sebagai salah satu subjek dalam KOMSAS untuk Bahasa Malaysia.

Saya sedih kalau Datuk SN Abdullah Hussain sampai terpaksa menjelaskan kepada pihak Kementerian Pelajaran tentang dakwaan itu. Sangat sedih! Seperti yang ditegaskan, novel itu pemenang sayembara. Sebagai pemenang sayembara, sudah barang tentu karya itu sudah “masak” dinilai oleh panel penilai yang bukan calang-calang orangnya.

Kalau sampai demikian pendirian pihak Kementerian Pelajaran, wajar jugalah pandangan panel penilai yang memilih karya itu sebagai pemenang sayembara diminta juga. Dalam hal ini, para panel penilai karya itu sebagai pemenang sayembara pada tahun 1967 dahulu, jika ada yang masih berhayat, eloklah membantu menjelaskan hal ini. SN Datuk Abdullah Hussain hanyalah pencerita yang menceritakan realiti dengan jujur dan benar. Tidak wajar beliau diminta melakukan demikian.

Tanggapan serong itu hanya dimunculkan oleh entah berapa kerat pembaca, yang pemahaman mereka tentang sastera entah bagaimana, yang kesungguhan mereka untuk membentuk perpaduan barangkali harus diselidik juga.

Sedih juga saya kalau penulis yang tidak meminta karyanya dipilih sebagai teks sekolah terpaksa menjelaskan sesuatu tentang karyanya walhal karyanya itu sudah lebih 40 tahun mencantikkan dunia sastera tanah air.

Saya berdoa kepada Allah SWT agar Interlok tetap akan digunakan sebagai salah satu subjek dalam KOMSAS untuk Bahasa Malaysia. Saya juga berdoa agar Allah SWT menabahkan hati penulis Interlok dan Allah SWT sentiasa merahmati beliau.

Jawatankuasa pemilih yang dilantik KPM untuk memilih judul-judul teks KOMSAS tidak silap apa-apa dalam memilih judul itu. Saya yakin, mereka memilihnya kerana 1Malaysia. Semoga Allah SWT memihak kepada kalian.

Friday, December 17, 2010

Pembetulan Fakta: Novel Interlok

Dalam siaran saya pada 16 Disember saya menyatakan bahawa novel Interlok merupakan pemenang “sayembara penulisan bersempena dengan 25 tahun negara merdeka”. Yang sebenarnya, novel itu pemenang sayembara penulisan bersempena dengan 10 tahun negara merdeka (1967)!

[Maafkan saya, entah bagaimana saya boleh terbayangkan 25 tahun walhal sudah sedia maklum bahawa novel itu pemenang sayembara penulisan bersempena dengan 10 tahun negara merdeka (1967)! Pengajaran daripada kesilapan ini ialah, jangan emosional semasa menulis!]

Maaf sekali lagi.

Thursday, December 16, 2010

Novel Interlok Hendak Ditarik Balik? Siapa yang Suruh?

Rasa pelik pula saya apabila tiba-tiba Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah, mengumumkan bahawa novel Interlok yang menjadi salah satu novel dalam mata pelajaran Bahasa Melayu untuk Tingkatan 5, akan ditarik balik penggunaannya. Novel yang sudah diterbitkan dan diedarkan di sekolah-sekolah di Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, dan Putrajaya itu dikatakan sebagai tidak sesuai untuk didalami oleh para pelajar kerana kandungannya menyentuh sensitiviti kaum, khususnya kaum Melayu dan India.

Menurut beliau, persetujuan menarik balik novel Interlok karya Datuk Abdullah Hussain itu dengan serta-merta telah dipersetujui oleh Penolong Pengarah Unit Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu, Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran, Sairi Adenan dan Pengarah Jabatan Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Abdul Khalik Sulaiman.

Novel yang telah terpilih sebagai buku teks itu didakwa bahawa mempunyai unsur penghinaan terhadap orang Melayu berdasarkan perkataan yang ditulis dalam beberapa halaman, seperti orang Melayu bodoh, malas selain perkataan Paria serta ada unsur menyentuh isu ketuhanan dan keagamaan bagi kaum India.

Isu itu, kata beliau, didedahkan oleh sebuah akhbar berbahasa Tamil tempatan selepas mendapat aduan orang ramai yang tidak berpuas hati dengan kandungan buku itu.

Murugiah yang juga Pengerusi Biro Pengaduan Awam (BPA), berkata bahawa pihaknya menerima aduan orang ramai dari seluruh negara yang meminta BPA mengambil tindakan sebelum orang ramai membuat tindakan drastik dengan membakar buku berkenaan di hadapan Kementerian Pelajaran.

Saya pernah membaca novel ini. Kemudian, saya membaca Edisi Muridnya pula. Saya berpendapat bahawa novel yang terhasil daripada sayembara penulisan bersempena dengan 10 tahun negara merdeka ini memang dapat dikategorikan sebagai novel perpaduan. Orang yang mengaku dirinya sebagai rakyat Malaysia tidak harus melatah apabila membaca novel yang sedemikian kecuali jika dalam dirinya masih ada rasa cinta pada negara asal nenek moyang mereka.

Jadi, seharusnya karya itu dibaca dengan hati yang lapang dan fikiran yang lapang juga oleh semua lapisan rakyat yang pelbagai kaum di negara ini. Jangan jumudkan fikiran. Tidak perlu sampai hendak mengugut-ugut untuk membakar novel itu. Lagak samseng bukan cara yang sesuai untuk mengatasi masalah!

Kalaulah penulisnya sihat dan kuat upaya, barangkali beliau akan mengajak pihak-pihak yang sensitif itu berdebat – tunjukkan apakah yang sensitifnya, mengapakah yang itu atau yang ini dianggap sebagai sensitif, dan sebagainya.

Memang ada disentuh perihal orang Melayu malas dalam novel itu. Melayu malas dalam novel itu pula diketengahkan daripada perspektif bangsa Cina. Memang ada diketengahkan orang India minum tuak dalam novel itu, memang ada disentuh orang India mengamalkan kasta dalam novel itu. Menceritakan hakikat (realiti) tertentu dalam satu bahagian kecil daripada keseluruhan cerita yang murni dan positif apakah salahnya? Bacalah keseluruhan cerita, betapa bangsa Malaysia itu sangat bersatu padu.

Contohnya, bangsa India yang bernama Ramakrisynan yang berbapakan bangsa India yang bernama Maniam yang asalnya berkasta rendah, menjadi Inspektor Polis di Tanah Melayu! Alangkah positifnya! Banyak lagi, sangat banyak yang positif dalam novel ini. Hanya melalui watak Maniam, kita sudah dapat menghuraikan yang positifnya.

Satu perkara yang saya tidak faham ialah Datuk T. Murugiah, sebagai seorang anggota kabinet, terus melatah dengan laporan akhbar berbahasa Tamil itu tanpa mahu menyebelahi seketika pihak Kerajaan (Kementerian Pelajaran). Dia harus meredakan keadaan (kalau benar memang ada orang yang hendak berhimpun untuk membakar novel itu).

Seperkara lagi yang saya tidak faham ialah siapakah yang lebih berkuasa untuk berbincang dengan pegawai PPK dan DBP bagi memutuskan sama ada hendak menarik balik novel itu atau sebaliknya? Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri atau Menteri Pelajaran?

Menang Juga!

Pasukan bola sepak Piala Suzuki AFF 2010 Malaysia menang dalam perlawanan peringkat separuh akhir pusingan pertama menentang pasukan bola sepak Piala Suzuki AFF 2010 Vietnam dengan jaringan dua gol tanpa balas (2-0). Kedua-dua gol pasukan Malaysia itu dijaringkan oleh Safee Sali pada minit ke-61 dan ke-79.

Kita harus berasa bangga dengan kemenangan itu, terutamanya apabila kemenangan itu dicatatkan di rumah tangga kita sendiri. Tetapi adakah kemenangan itu benar-benar dapat dibanggakan? Kalau berdasar pada corak permainan, ternyata pasukan bola sepak Vietnam itu lebih baik. Kawalan bola pemainnya lebih kemas. Hantaran mereka lebih tepat. Tetapi, begitulah bola sepak – corak permainan yang kemas dan hantaran yang tepat tidak membawa makna apa-apa kalau tidak menjaringkan gol!

Yang menarik tentang perlawanan itu ialah jumlah penonton yang hadir. Sewaktu ranking pasukan bola sepak Malaysia berada pada kedudukan yang mendukacitakan pada masa ini, rupa-rupanya masih banyak penyokong bola sepak negara yang patriotik dan tetap menyokong pasukan bola sepak negara. Saya sendiri sudah “perlahan” untuk memberikan sokongan kepada pasukan negara (tetapi saya sangat marah kalau ada orang yang menghentam pasukan bola sepak negara).

Bekal 2-0 yang dibawa ke Vietnam untuk saingan pusingan kedua nanti pada 18 Disember nanti, di atas kertas, memang memadai. Tetapi seperti yang dikatakan tadi, bola sepak adalah permainan serba mungkin. Hendaknya janganlah sampai negara kita tidak berjaya layak ke pusingan akhir Piala Suzuki AFF itu. Kalau tidak salah saya, kita hanya pernah layak sekali ke pusingan akhir itu. Kalau kalah pun, biarlah kalah bermaruah!

Kekalahan pasukan bola sepak Piala Suzuki AFF 2010 Malaysia di tangan pasukan bola sepak Piala Suzuki AFF 2010 Indonesia dengan jaringan yang besar baru-baru ini menyebabkan negara kita menjadi mangsa kutukan rakyat negara itu. Mari kita tutup mulut mereka – dengan cara yang bermaruah!

Wednesday, December 15, 2010

Sekilap Lalu: Kalaulah Kita Bercerai

Pernahkah kita terfikir akan suatu kemungkinan, kita dan isteri kita bercerai, hanya kerana sebab yang paling seni – kita atau isteri kita jarang-jarang berbedak!

Sebelum berkahwin dahulu, semasa makna cinta benar-benar diselami dan dihayati lalu bersebati di sanubari, soal berbedak atau tidak berbedak soal budak-budak. Berbedak engkau molek, tidak berbedak pun engkau tetap cantik, itulah puji dan puja yang rupa-rupanya cuma suatu bodek.

Ikhlasnya cinta dia kepada kita atau cinta kita kepada dia pada masa itu, Allah sahajalah yang tahu. Pada dia, walaupun lelaki lain macho, lelaki lain itu tidak memikat nafsu. Pada kita pula, walaupun wanita lain mendedahkan sejuta alur, kita langsung tidak tergiur. Kasih dan ikhlasnya kasih kita sampai “selipar yang diminta dibelikan sepatu, singlet yang dirayu, dibelikan baju”.

Tup-tup, selepas 12 atau 13 tahun sebumbung sekatil semimpi, kita ambil keputusan untuk menamatkan hubungan atas alasan dia tidak berbedak sepanjang 12 atau 13 tahun usia perkahwinan kita itu. Bedak telah menjadi syaitan yang memporak-perandakan jalinan kasih sayang kita sepanjang bergelar kekasih dan suami isteri.

Dan selepas berpisah, baik dia ataupun kita, bergilir-gilir dan kadang-kadang serentak pula saling menohmah satu sama lain. Buruk yang kecil semasa bersama dahulu dibesar-besarkan, tidak cukup dikhabarkan kepada rakan kenalan, kita ceritakannya kepada jiran. Kalau ada Blog, cerita itu kita kongsi pula di dalam Blog.

Kalau kita orang terkenal, berlumba-lumba kita mencari ruang di akhbar atau majalah untuk mendedahkan segala buruk dan cela pasangan kita. Lupalah kita akan semua kebaikan pasangan kita itu selama sebumbung sekatil semimpi dahulu. Cerita tentang minta selipar dapat sepatu, minta singlet dapat baju itu kita ungkit-ungkit selagi mahu! Sudah-sudahnya kerana marah, kita saman-menyaman di mahkamah.

Pelik sungguh hal yang begitu. Benarkah kita memang benar-benar ikhlas jujur setia semasa bercinta dahulu. Kalau benar kita ikhlas jujur setia semasa bercinta dahulu, mengapakah tergamak kita mencela pasangan kita selepas kita berpisah hanya oleh kebencian kita terhadap bedak?

Bukankah elok semuanya kita tutup dengan sekedap-kedapnya, biar Allah sahaja yang tahu? Walaupun kita tidak dapat sehidup semati seperti yang kita idam-idamkan dahulu, bukankah elok kalau buruk baik sepanjang kita sebumbung sekatil semimpi dahulu betul-betul kita bawa ke mati?

Ada orang yang telah bercerai tetapi kemudian kembali memasuki dunia percintaan, tetapi kerana terhalang oleh pandangan keluarga kekasihnya, orang yang telah bercerai itu menghebah-hebahkan keburukan kekasihnya. Dengan penuh sedar, segala kebaikannya kepada kekasihnya sepanjang percintaan singkatnya itu dilabun-labunkannya, bukan sahaja kepada kenalan dan taulan, tetapi kepada publik, sebab dia ada sedikit nama di tengah khalayak.

Pernah berkahwin rupa-rupanya tidak menjadikan orang itu matang!

RENUNGAN
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
Sesiapa yang membebaskan seorang mukmin daripada satu kesusahan, Allah akan membebaskan satu kesusahan daripadanya pada hari akhirat. Sesiapa yang memudahkan urusan orang lain, Allah pasti akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Sesiapa yang menutup aib seorang Muslim, Allah pasti akan menutupi aibnya di dunia dan di akhirat. Allah sentiasa menolong hamba-Nya selama hamba-Nya itu menolong saudaranya....
(Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

Sunday, December 12, 2010

Perihal Kayu Mati

Alangkah hinanya kamu kalau kamu pekerja yang berusia lebih 55 tahun! Kamu, pada usia itu, sudah tidak layak bekerja makan gaji. Yang layak untuk kamu ialah duduk di rumah. Jika kamu kakitangan kerajaan, nikmatilah wang pencen kamu. Kalau kamu kakitangan swasta, berhematlah menggunakan wang KWSP kamu atau jika kamu ada membeli insurans hayat dan yang seumpama dengannya, nikmatilah hasilnya setelah tiba tempoh matang.

Saya berkata begitu kerana khabarnya kamu yang berumur lebih 55 tahun telah disamakan dengan “kayu mati” oleh Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Azman Shah Haron.

Presiden itu berkata bahawa pihaknya tidak mempunyai rancangan untuk mengubah dasar usia persaraan sektor swasta daripada 55 tahun sekarang.

“Dalam kes pekerja tidak boleh melakukan kerja mereka, mereka menjadi “kayu mati” dan itulah yang hendak kami elakkan.” Begitulah kata Presiden itu.

Saya kakitangan swasta. Saya memang tidak berminat untuk menyambung tugas setelah berusia genap 55 tahun. Cukuplah! Jadi, jika usia persaraan 58 tahun yang telah menjadi dasar kerajaan sekarang diimplementasikan di sektor swasta, saya kurang gembira.

Jika dimurahkan rezeki, saya bersedia untuk bersara pada usia 50 tahun kelak. Saya ingin berkebun. Penat sudah rasanya bekerja di bawah peraturan masa majikan. Saya ingin mengatur masa mengikut keselesaan saya.

Perbuatan Presiden MEF itu mengecop orang yang berusia lebih 55 tahun sebagai “kayu mati” merupakan suatu perbuatan kurang elok. Gunakanlah alasan yang lain. Kamu telah menyinggung hati orang-orang tua.

Thursday, December 9, 2010

Khir Toyo Didakwa: Ada Keskah?

Gambar-gambar Dato’ Seri Mohd. Khir Toyo memberikan penyapu kepada Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Tukiman Nail kerana Majlis Daerah itu gagal mencapai sasaran dalam kutipan hasil cukai suatu ketika dulu (November 2007) muncul semula dalam beberapa Blog. Hal ini berlaku begitu selepas bekas MB Selangor itu didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam berhubung dengan pemilikan dua lot tanah dan sebuah banglo di No 8 dan No 10, Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7, Shah Alam bernilai RM6.5 juta yang dibeli dengan harga hanya RM3.5 juta.

Selain Mohd. Khir, Datuk Shamsuddin Haryoni yang merupakan pengarah syarikat Ditamas Sdn Bhd yang menjual hartanah tersebut, turut didakwa atas tuduhan bersubahat melakukan kesalahan itu pada 29 Mei 2007.

(Terus terang, saya memang tidak berminat untuk “melayan” perkhabaran ini kerana bekas MB Selangor itu bukanlah tokoh yang saya minati.)

Khir, tidak lama selepas didakwa di mahkamah itu berkata bahawa, pendakwaan itu memberikan peluang kepadanya untuk membersihkan namanya. Dia begitu yakin bahawa dia akan didapati tidak bersalah.

Ada pihak yang meluat dengan keyakinan yang diluahkan oleh bekas MB Selangor itu. “Masih juga tak rasa bersalah,” kata mereka.

(Kau orang ni pun satu hal. Dia tu baru didakwa dan belum dibicarakan pun. Jadi, nak rasa bersalah macam mana?)

Sebenarnya, terbit juga rasa kurang senang dalam hati saya terhadap keyakinan bekas MB itu. Macam angkuh sahaja!

Tetapi, apabila dibelek-belek pertuduhan itu, pasti kita temukan suatu hakikat bahawa pertuduhan itu “seperti bukan rasuah” walaupun “seperti ada kaitan dengan rasuah”. Membeli tanah dengan harga yang lebih murah daripada harga yang dibeli oleh “tuan tanah”, bolehkah digolongkan sebagai rasuah? (Agaknya daripada hakikat inilah timbulnya keyakinan dalam diri bekas MB itu.)

Entah-entah memang berlaku kesilapan di pihak yang menjual aset itu kerana menyangkakan bahawa yang dijualnya itu kereta yang memang ada susut nilainya. (Kereta apa, ya yang harganya mencecah RM6.5 juta semasa baharu tetapi apabila dijual sebagai kereta sekenhen harganya cuma RM3.5 juta sahaja?).

Yang boleh dipersoalkan daripada urusan jual beli yang kelihatan “sedikit bodoh” itu ialah, apakah yang mendorong pengarah syarikat Ditamas Sdn Bhd itu menjual “tanahnya” pada harga yang jauh lebih murah daripada harga beliannya? (Dijanjikan projekkah?) Sebelum itu, harus juga ditanyakan, daripada siapakah pengarah syarikat itu membeli tanah itu? (Daripada MBSA/MPSAkah?)

Ada yang berlawak dengan mengatakan bahawa nasib yang menimpa Khir Toyo itu merupakan pembalasan daripada perbuatannya memberikan penyapu kepada pihak yang dinyatakan di atas. Yang berlawak itu tidak tahu agaknya bahawa Tukiman Nail telah meletakkan penyapu yang diterimanya di dalam pejabatnya untuk dijadikan sebagai inspirasi, motivasi, dan iktibar kepada dirinya dan kepada kakitangannya supaya mereka akan bekerja lebih kuat lagi.

Dia seronok menerima hadiah seperti itu, kita pula yang susah hati hingga sampai kini masih hendak mengungkit-ungkit “kesialan penyapu” itu.

Tunggulah. Para politikus di negara kita ini banyak silap matanya. Macam-macam boleh jadi.

Saturday, December 4, 2010

Jadikan Mereka Tempoyak

Betullah Kita ini mentimun dan Mereka itu durian. Kitalah yang mengada-ada menjadikan Mereka itu durian. Selepas Kita menjadikan Mereka durian, Kita digelek-geleknya, sehingga bukan kulit Kita sahaja yang luka parah, malah hancur dan terputus-putus Kita.

Padahal, sebelum Kita menjadikan Mereka durian, Mereka meminta-minta dan merayu-rayu macam peminta sedekah sehingga kalau Kita suruh Mereka membasuh berak Kita, berebut-rebut Mereka hendak membasuh berak Kita itu. Kalau Kita suruh Mereka membasuh berak Kita dengan tangan kanan pun Mereka sanggup.

Durian itu perlu Kita ajar. Mari Kita yang mentimun ini jadikan Mereka tempoyak. Kita lenyek-lenyek tempoyak itu. Kemudian kita siram dan simbah Mereka dengan petrol, gula, gas, dan sebagainya. Sampai bila Kita yang mentimun ini sahaja asyik kena sahaja!

Thursday, December 2, 2010

Pelalian HPV dan Pelalaian Lima Rukun Islam

Seminggu dua ini kerap betul saya mendengar iklan yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia lewat radio (RTM). Iklan itu menyuruh para pelajar perempuan Tingkatan 1, yakni yang berusia 13 tahun, supaya mengambil pelalian HPV (Human Papilloma Virus). Virus ini khabarnya menjadi penyebab utama kanser servik.

Dikhabarkan kepada khalayak bahawa kanser servik merupakan kanser ketiga paling kerap dikesan dalam kalangan wanita selepas kanser payu dara dan kanser kolorektal. Setiap wanita berisiko untuk dijangkiti oleh HPV selepas mereka berkahwin. Oleh itu, elok sangatlah para ibu bapa membenarkan anak mereka mendapatkan suntikan pelalian ini.

Lupakanlah orang yang mendapat keuntungan daripada pembekalan ubat pelalian ini. Fikiran dan hati kita harus murni tentang hal ini.

Saya terfikir juga, alangkah moleknya kalau cara/kempen yang serupa digunakan oleh JAKIM serta pihak berkuasa agama Islam yang lain, khususnya Jabatan Perdana Menteri, kepada umat Islam supaya mereka menunaikan kesemua lima Rukun Islam. Ingatkan umat Islam bahawa virus malas bersolat menjadi penyebab amalan lain tidak diterima Allah. Ingatkan umat Islam bahawa jika semua amalan (puasa, zakat, haji) tidak diterima Allah, hal itu akan menyebabkan mereka masuk ke dalam neraka.

Kalau kita menempelkan poster-poster peringatan tentang hal ini di lokasi strategik, ditakuti pula pihak yang berlainan agama melakukan hal yang sama. Kalau pihak JAKIM menggunakan RTM, ditakuti pula pihak daripada agama lain akan menuntut hal yang sama. Kita harus membenarkan semua pihak melakukan hal yang sama kerana kita 1Malaysia.

Oh, kita ada Radio IKIM! Kita boleh guna medium ini. Tapi, orang-orang muda dan yang berhati muda banyak manakah yang memilih medium itu? Ada orang semak Radio IKIM duduk pada kedudukan berapa berbanding dengan Hot FM, Sinar, apatah lagi Radio ERA?

Kesihatan memang baik diberatkan oleh kerajaan dan sebagai badan yang dipertanggungjawabkan, pihak Kementerian Kesihatan telah melakukan kerja mereka dengan penuh tanggungjawab. Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama Islam, apakah yang dilakukan mereka? Solat tiang agama, Syeikh!

Wednesday, December 1, 2010

Macam Minum Air Tongkat Ali: Naik Saja

Malam tadi, harga RON97 naik RM0.15 untuk dijual pada harga RM2.30. Seperti yang sering saya ajukan kepada rakan taulan, apakah makna kenaikan itu kepada para pemimpin yang memutuskan untuk menaikkan harga petrol itu? Tidak memberikan makna apa-apa kerana tanpa memotong gaji mereka kerana kelembapan ekonomi, mereka masih dapat menikmati tuntutan perbatuan (mileage claims), yang pada kebanyakan waktu menguntungkan mereka pula.

Tadi ada orang meragui sebab-musabab penangguhan Perhimpunan Agung UMNO selama 18 bulan. Pada masa yang sama, harga RON97 dinaikkan.

“Maknanya apa?” soal beliau. “Nak PRUlah! Naikkan RON97, bertambahlah dana kerajaan BN untuk tujuan itu. Tangguhkan Perhimpunan Agung, dapat berikan tumpuan pada PRU.”

Yalah agaknya tu. Saya sedang makan, tapi otak dok fikir, nak guna RON97 lagi atau RON95 saja?