Sunday, December 12, 2010

Perihal Kayu Mati

Alangkah hinanya kamu kalau kamu pekerja yang berusia lebih 55 tahun! Kamu, pada usia itu, sudah tidak layak bekerja makan gaji. Yang layak untuk kamu ialah duduk di rumah. Jika kamu kakitangan kerajaan, nikmatilah wang pencen kamu. Kalau kamu kakitangan swasta, berhematlah menggunakan wang KWSP kamu atau jika kamu ada membeli insurans hayat dan yang seumpama dengannya, nikmatilah hasilnya setelah tiba tempoh matang.

Saya berkata begitu kerana khabarnya kamu yang berumur lebih 55 tahun telah disamakan dengan “kayu mati” oleh Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Azman Shah Haron.

Presiden itu berkata bahawa pihaknya tidak mempunyai rancangan untuk mengubah dasar usia persaraan sektor swasta daripada 55 tahun sekarang.

“Dalam kes pekerja tidak boleh melakukan kerja mereka, mereka menjadi “kayu mati” dan itulah yang hendak kami elakkan.” Begitulah kata Presiden itu.

Saya kakitangan swasta. Saya memang tidak berminat untuk menyambung tugas setelah berusia genap 55 tahun. Cukuplah! Jadi, jika usia persaraan 58 tahun yang telah menjadi dasar kerajaan sekarang diimplementasikan di sektor swasta, saya kurang gembira.

Jika dimurahkan rezeki, saya bersedia untuk bersara pada usia 50 tahun kelak. Saya ingin berkebun. Penat sudah rasanya bekerja di bawah peraturan masa majikan. Saya ingin mengatur masa mengikut keselesaan saya.

Perbuatan Presiden MEF itu mengecop orang yang berusia lebih 55 tahun sebagai “kayu mati” merupakan suatu perbuatan kurang elok. Gunakanlah alasan yang lain. Kamu telah menyinggung hati orang-orang tua.

4 comments:

  1. Sdr. Zul,

    Tampaknya Kempen Budi Bahasa yang dilaksanakan oleh kerajaan tidak meresap pada hati sanubari Presiden MEF.

    Kata peribahasa, "Habis manis sepah dibuang", "Susu dibalas dengan tuba" dan pelbagai yang lain untuk menggambarkan perilaku dan peribadi orang seperti dia itu.

    ReplyDelete
  2. Salam, Prof;
    Saya yang sudah menghampiri usia separuh abad ini pun tergores dengan "cop" Presiden MEF itu, apatah lagi abang-abang yang sehari dua lagi akan bersara dengan harapan akan disambung tugas.

    Kalau ya dia menentang dasar kerajaan, janganlah khalayak seperti abang-abang kita itu dan kita sendiri dihina sebegitu sekali.

    Entah-entah dia tidak sedar akan kewujudan Kempen Budi Bahasa itu!

    ReplyDelete
  3. Saya setuju juga.
    Umur 55 tahun tu pencenlah, bersaralah. Satu lagi saya tidak setuju ialah langkah kerajaan meningkatkan umur persaraan penjawat awam ke 58 tahun. Macamlah tiada orang lain di negara ini yang boleh memikul tanggungjawab mereka tu. Bagilah peluang kepada graduan-graduan kita yang tidak berpekerjaan untuk menyambung tugasan kamu tu.

    Masalah negara:
    Ramai di kalangan pemuda-pemudi di negara ini menganggur, dan perangkaan ini semakin meningkat dari tahun ke tahun.

    Langkah kerajaan:
    Menaikkan umur persaraan kakitangan kerajaan, supaya mereka boleh berkhidmat lebih lama.

    Can this get any funnier..??

    ReplyDelete
  4. Cik Dopey,
    Itulah ... rasa saya usia 55 tahun sudah memadai untuk manusia bekerja makan gaji. Bagilah graduan pulak makan gaji.

    Kerajaan tolonglah uruskan para pensioner cari wang lepas usia mereka 55 tahun, sama macam mereka bantu graduan tiada kerja ... lebih kurang.

    ReplyDelete