Monday, October 31, 2011

iPhone, iPad Mampu, Derma untuk Masjid Seringgit!

Tiada sesiapa pun yang pernah menduga bahawa hidup ini baru dianggap sebagai betul-betul lengkap dan sempurna apabila seseorang itu memiliki telefon bimbit. Tidak ada sesiapa pun, 20 tahun dahulu, yang menyangka bahawa Internet bakal menyempurnakan dan melengkapkan kehidupan seseorang. Lebih dahsyat lagi, orang langsung tidak pernah terfikir bahawa tanpa televiyen kabel (seperti ASTRO), kehidupan manusia akan menjadi lompong dan kosong.

Sehingga demikian, ada sebilangan orang yang akan termangu-mangu dan “tidak dapat hidup” kalau tidak ada telefon bimbit, tidak kiralah yang “biasa-biasa” atau yang “luar biasa” seperti iPhone, iPad, Blackberry, dan lain-lain sebagainya itu. Sebilangan yang lain akan kelihatan seperti orang ketagihan madat kalau sehari-harian tidak dapat melayari Internet (untuk berfacebook, bertwitter, berchating, dan lain-lain sebagainya). Sebilangan yang lain tidak akan berasa seronok kalau pada hari itu tidak dapat menonton program sukan seperti golf dan tenis yang disiarkan oleh pihak ASTRO itu.

Demikianlah orang menilai maksud kesempurnaan hidup pada zaman ledakan TMK atau ICT sekarang. Walhal, pada suatu ketika dahulu, kesempurnaan hidup selalunya dinilai menerusi keupayaan manusia “mengadakan” makan minum untuk keluarganya, keupayaannya bergaul dalam masyarakat, dan lain-lain sebagainya. Dalam Islam, kesempurnaan hidup dinilai menerusi kecintaan penganutnya terhadap Allah SWT dan rasul-rasul-Nya, yang menerusi kecintaan itu, akan melahirkan insan yang cinta akan agama yang dianutinya — Islam.

Kerana menganggap telefon bimbit, Internet, dan ASTRO keperluan hidup yang tidak boleh tidak mesti disediakan dalam kehidupan harian, orang tidak kisah sangat untuk menghamburkan duit untuk tujuan itu. Sebilangan orang yang taasub terhadap telefon bimbit, misalnya, dengan senang hati menukar telefon bimbit demi telefon bimbit sebaik-baik sahaja model-model terbaharu berada di pasaran.

Kerana Internet yang dilanggani sebelum ini sangat sederhana kelajuannya, misalnya, banyak orang yang sanggup berbelanja lebih untuk melanggani Internet yang berkelajuan tinggi pula. Kerana saluran yang dilanggani tidak memadai, misalnya, bukan sedikit pula orang yang menambahkan bilangan saluran ASTRO mereka walaupun pertambahan itu turut menambahkan kadar bayaran langganannya yang waktu belakangan ini dinaikkan secara serampangan!

Di satu sisi lain, hal yang menyerlahkan kesempurnaan hidup yang sebenarnya — agama — dikesampingkan orang. Berapa banyakkah antara kita yang sanggup mengeluarkan empat lima ratus ringgit untuk menyertai ibadah qurban, misalnya? Bukan sedikit orang yang hanya menghulurkan seringgit dua kepada pengutip derma masjid semasa khutbah Jumaat walhal di dalam poket mereka berisi iPhone dan Blackberry!

Baik telefon bimbit, Internet, atau ASTRO, padankanlah biaya untuk memilikinya dengan keperluan. Kalau kalian memang mampu untuk memiliki/menyediakan yang mahal-mahal untuk diri dan keluarga kalian, pastikanlah kalian juga mampu untuk berbelanja besar bagi hal-hal yang berkaitan dengan kemajuan agama Islam kalian. Sebagai contohnya, peruntukkanlah RM50 sebulan (sekurang-kurangnya) untuk disedekahkan kepada masjid atau surau (satu Jumaat sedekahkan RM10, lima Jumaat = RM50). Berhentilah untuk bersedekah RM1 kalau kalian pemilik iPhone, iPad, tablet, dan lain-lain sebagainya. Wallahualam.

Wednesday, October 26, 2011

Perlawanan Akhir Piala Malaysia: Pemenangnya ialah ...

Sepak mula final Piala Malaysia antara pasukan Terengganu dengan pasukan Negeri Sembilan belumpun dimulakan oleh pengadil menerusi tiupan wiselnya, tetapi kontroversi sudahpun berbunga-bunga. Kontroversi itu tercetus apabila pihak FAM bermurah hati untuk meletakkan harga tikel final Piala Malaysia pada kadar RM50.00, bukan RM100.00!

Tentu pihak FAM mempunyai sebab yang konkrit untuk melaksanakan langkah itu:

yang pertama, kalau dibandingkan dengan harga tiket F1 dan GP motosikal, harga RM50.00 itu jauh lebih rendah dan murah;

yang kedua, kalau dibandingkan dengan liga di Singapura atau di Indonesia, Liga Super di Malaysia ini jauh lebih maju daripada kedua-dua liga itu, malah tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa sudah hampir menyamai kecemerlangan Barclays Premier League di England sana;

yang ketiga, kerajaan, melalui DS Mohd. Najib, baru saja memperlihatkan kemurahan hatinya dalam pembentangan bajet bahawa rakyat akan beroleh RM percuma melalui pelbagai langkah, antaranya termasuklah isi rumah yang berpendapatan bawah RM3,000.00 akan diberi RM500.00 (tolak RM50.00 ada RM450 lagi!);

yang keempat, pihak FAM perlu mengambil langkah “sediakan payung sebelum hujan” kerana berkemungkinan ada penonton di pihak pasukan yang kalah kelak yang akan membakar kerusi dan merosakkan harta benda pihak yang mengurus stadium;

yang kelima, pihak FAM yakin bahawa kerajaan negeri akan bermurah hati untuk memberikan subsidi bagi harga tiket itu kepada rakyat mereka yang hendak menonton perlawanan akhir itu kelak — kerajaan Terengganu sudahpun melakukannya;

yang terakhir, pihak FAM bercadang untuk menyalurkan sebahagian daripada kutipan perlawanan akhir itu kepada pasukan-pasukan elit yang kini sudah menjadi pasukan kulit (kerana daripada bergelar juara, kini sudah duduk di liga yang lebih rendah daripada Liga Super) bagi mengembalikan kegemilangan pasukan itu semula.

Kepada para peminat bola sepak, jangan merungutlah — tepuk dada, tanya selera; pisau di tangan kalian, mentimun di tangan kalian; tetapi jangan lupa untuk mengukur baju di badan sendiri dan jangan sampai besar suap daripada mulut.

Duduk menonton di hadapan TV sahaja tanpa pergi ke stadium untuk menonton perlawanan akhir Piala Malaysia itu tidak bermakna kita tidak patriotik dan tidak cinta akan negeri kita. Lagipun kita sudah tahu pemenangnya — tidak lain tidak bukan ... FAM!

Tuesday, October 25, 2011

Gempa Bumi Turki: Segeralah Berderma

Gempa bumi kuat (7.2 mengikut skala Richter) telah menggoncang bumi Turki – di bahagian timurnya – dan diperkirakan memakan korban sehingga ribuan orang. Puluhan bangunan ranap menyembah bumi, sekali gus menghempap apa-apa yang ada di dalamnya, termasuklah manusia. Sehingga kini, sudah hampir 300 mayat ditemukan dan dipercayai bahawa lebih banyak mayat akan ditemukan jika didasarkan pada jumlah bangunan yang runtuh. Usaha untuk mengesan mangsa gempa itu masih diteruskan.

Kita boleh berandaian macam-macam tentang sebab-musabab bumi Turki itu digempakan oleh Allah SWT, namun yang paling wajar kita lakukan ialah kita harus menilik diri sendiri – melihat musibah itu dengan hati (yang dengan itu akan membawa kita menilai pelbagai kemungkaran yang berlaku di negara kita) yang memungkinkan musibah yang serupa diturunkan Allah kepada kita pula. Kalau Dia ingin mengajar kita, musibah banjir seperti yang menimpa Thailand sudah memadai untuk kita.

Pada tahun 1999 dahulu, satu malapetaka yang serupa melanda negara Islam itu (Turki). Dengan kekuatan 7.6 pada skala Richter, gempa itu telah menyebabkan 17,000 orang menjadi arwah dan 44,000 orang lagi cedera. Musibah itu masih saya ingat kerana ada hal yang mengecewakan saya di balik musibah itu. Hal yang mengecewakan saya berulang pada tahun 2005 apabila Pakistan, sebuah lagi negara Islam, dilanda gempa sehingga mencabut 80,000 nyawa selain mengakibatkan 3.5 juta menjadi gelandangan.

Sebab-musabab kedua-dua peristiwa itu dekat dengan hati saya kerana tidak ada usaha oleh pihak yang menjadi tempat bernaung untuk menjalankan kutipan derma/bantuan kepada mangsa bencana itu. Ironinya, semasa negara lain (bukan negara Islam) dibadai ribut dan malapetaka gempa ini, segera beredar surat pemberitahuan yang meminta orang menghulurkan derma dan bantuan kepada mangsa-mangsa itu. Saya tidak ingat petaka apakah yang berlaku sebelum kejadian tahun 1999 itu sehingga pihak tempat bernaung meminta orang berderma.

Tetapi pada tahun 2005, ada bencana Taufan Katrina di AS. Ada surat yang meminta orang berderma. Begitu juga kemudiannya pada tahun 2008, apabila gempa melanda Sichuan di China. Kedua-dua senario itu dan senario yang sebelumnya menyebabkan saya terfikir, mengapakah tidak ada usaha yang sama dilakukan oleh pihak tempat bernaung apabila malapetaka yang serupa menimpa negara Islam? Mengapakah wujud double standard dalam hal yang membabitkan bencana bukan perang seperti ini?

Sebagai akibat daripada keadaan itu, ada kalangan orang yang menjadi pendendam lalu mereka tidak mengeluarkan sesen pun untuk disumbangkan kepada tabung Katrina dan Sichuan itu. Memang mereka tidak wajar bertindak demikian, tetapi kekecewaan memungkinkan segala-galanya. Walaupun tempat bernaung tidak melancarkan kutipan derma, sebenarnya mereka (sang pendendam) masih boleh berderma kepada mangsa di negara Islam itu melalui tabung-tabung yang diwujudkan pada peringkat nasional; tetapi yang dipersoalkan ialah sikap tempat bernaung itu – mengapakah begitu?

Sekarang, Turki sekali lagi dihentam musibah yang sama. Adakah tempat bernaung akan melakukan sesuatu untuk membantu rakyat Turki yang menjadi mangsa? Eloklah bersangka baik!

Monday, October 24, 2011

Tragedi Marco Simoncelli: Kemudiankanlah Keseronokan

Perlumbaan Grand Prix Malaysia-Shell Advance 2011 bagi kelas MotoGP yang diadakan di Sepang semalam mencatat sejarah hitam sepanjang penganjuran sukan lumba motosikal itu di negara kita, khususnya di Litar Antarabangsa Sepang. Untuk pertama kalinya, perlumbaan itu telah meragut nyawa pelumba dan yang menjadi mangsa ialah Marco Simoncelli, penunggang San Carlo Honda Gresini, dari Itali.

Beliau yang terjatuh di selekoh 11, telah dirempuh oleh Collins Edward (Valentino Rossi masih sempat mengelak) hingga menyebabkan topi keledar yang dipakai oleh pelumba itu tercabut dari kepalanya. (Saya pasti hal tentang topi keledar ini akan menjadi isu — sama ada alat perlindungan itu tidak dipakai dengan sempurna oleh Marco Simoncelli ataupun ada yang tidak kena dengan alat keselamatan itu.)

Saya sempat menonton perlumbaan bagi kelas 125 CC hingga habis, tetapi tertidur semasa kelas Moto2 memasuki separuh daripada keseluruhan perlumbaan. (Saya memang meminati sukan lumba motosikal ini sejak zaman bujang dahulu — zaman Freddie Spencer, Randy Mamolla, Wayne Gardner, dll mewarnai lumba motosikal.) Saya seronok dan bangga apabila Zulfahmi Khairuddin berjaya menempatkan dirinya di tempat ketujuh dalam perlumbaan kelas 125 CC itu. Tahniah, Zulfahmi!

Yang tidak menarik daripada insiden kemalangan yang melibatkan kehilangan nyawa Marco Simoncelli itu ialah tindakan segelintir penonton. Tidak perlulah mereka sampai mencampakkan botol atau apa-apa sahaja ke litar sebagai tanda protes apabila perlumbaan bagi kelas MotoGP itu dibatalkan. Betul, para penonton sudah membayar harga tiket dan mereka berhak untuk menyaksikan perlumbaan itu.

Walau bagaimanapun, dari sisi lain, ada perkara lain yang elok didahulukan — simpati. Dalam hal yang menyebabkan kehilangan nyawa ini, sangat wajar kalau kita berkongsi kesedihan dengan semua pihak yang terlibat dengan Marco Simoncelli, daripada kru pasukan hinggalah kaum keluarga pemuda itu.

Jika perlumbaan diteruskan, barangkali selekoh 11 itu akan menghantui pelumba lain dan jika ditakdirkan ada yang terjatuh di selekoh yang sama, keadaan akan menjadi buruk dan imej Litar Antarabangsa Sepang akan tercalar.

Saya fikir, penonton, pada masa-masa akan datang, janganlah terlalu memikirkan keseronokan hingga melupakan penderitaan orang lain. Perlumbaan itu, insya-Allah, akan dapat disaksikan lagi pada tahun hadapan, tetapi orang seperti Marco Simoncelli tidak akan kembali lagi.

Teringat saya satu peristiwa beberapa lama dahulu. Saya dan isteri serta anak menonton suatu acara yang dianjurkan oleh majikan isteri saya di Stadium Bola Sepak KL. YBhg Tun M (yang pada waktu itu masih PM) serta YBhg isteri beliau turut hadir untuk menyaksikannya. Acara itu turut diselitkan dengan pertunjukan payung terjun oleh para penerjun profesional dan tentera.

Entah bagaimana, salah seorang penerjun telah tersasar lalu payung terjunnya tersangkut pada bahagian bumbung stadium. Kami dapat melihat penerjun itu terkatung-katung di bahagian bumbung itu. Saya (kami) cemas sambil memikir-memikirkan nasib penerjun itu dan tragedi yang mungkin menimpa dirinya jika payungnya terlucut dari bumbung itu.

Tiba-tiba, persembahan pancaragam diteruskan walhal penerjun itu masih terkatung-katung belum diselamatkan. Penonton bersorak dan “mengeboo” ahli-ahli pancaragam itu sebagai tanda protes (mujur tidak ada yang membaling botol dsb). Ya, bagaimana mungkin kami dihiburkan sedang yang sepatutnya didahulukan ialah penerjun yang sedang bergelut antara hidup dengan mati itu.

Mujurlah pihak penganjur sedar akan hal ini lalu persembahan segera dihentikan sambil tengkuk kami semakin lenguh mendongak; hati saya terus berdegup-degap (saya tidak tahu hati orang lain). Alhamdulillah, kecekapan dan keberanian pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan penerjun itu. Pasukan penyelamat dan penerjun itu diberi tepukan gemuruh dan mereka kemudiannya dibawa untuk bertemu dengan YBhg Tun M.

Sebagai perbandingan daripada dua bentuk sikap penonton di dua arena yang berbeda, walau apa-apa pun situasinya, kita harus mengemudiankan keseronokan kalau kebetulan pada waktu itu ada insan lain yang sedang berdepan dengan atau ditimpa oleh musibah. Perasaan simpati bukan sahaja mencerminkan nilai manusiawi kita, malah menyedarkan kita tentang musibah — yang bila-bila masa akan menimpa kita pula.

Malaysia 1-Chelsea 0: Tahniah Malaysia!

Hah, akhirnya Malaysia berjaya menumpaskan pasukan hebat dalam BPL (Barclays Premier League, dulu English Premier League). Tidak kiralah bagaimana gol itu dijaringkan, yang penting Malaysia menang. Tidak kiralah berapa orang pemain pasukan lawan yang berada di padang semasa pertarungan 95 minit itu, yang penting Malaysia menang!

Semua rakyat Malaysia harus berbangga dengan kemenangan itu.

Malangnya, nama pemain yang bermain untuk pasukan Malaysia tidak ada yang berbau Malaysia walau seorang pun. Antara nama pemain yang mewakili pasukan Malaysia dalam kemenangan itu (yang saya ingat) termasuklah Shaun Wright-Phillips, Anton Ferdinand, Adel Taarabt, Helguson, dan Barton.

Gol kemenangan Malaysia dijaringkan oleh Helguson melalui tendangan penalti.

Jangan terkejut! Malaysia yang saya maksudkan ialah pasukan Queens Park Rangers (QPR) yang dimiliki oleh taikun penerbangan Malaysia, Tan Sri Tony Fernandes (Anthony Francis Fernandes). Yang tidak biasa menonton perlawanan yang membabitkan QPR, saudara-saudara tentu tidak perasan bahawa jersi pasukan QPR itu tertulis perkataan “Malaysia” di bahagian dadanya. Perkataan “Malaysia” pada jersi itu sebenarnya mewakili Penerbangan Malaysia yang sudah tentulah menjadi penaja pasukan.

Dengan kemenangan itu, “Malaysia” sekarang berada di kedudukan kesepuluh dalam carta BPL itu dengan 12 mata.

QPR khabarnya dibeli oleh Tan Sri Tony pada harga sekitar 35 juta pound. Sama ada pembelian itu berbaloi ataupun tidak, kita tidak tahu (atau kita tunggu sahaja). Yang pasti, sehingga kini memang tidak ada Safee Sali, Safik Rahim, dll dalam pasukan “Malaysia” itu. Belum tiba waktunya lagi barangkali untuk Tan Sri itu menyelitkan anak Malaysia dalam kelab yang baru dibelinya itu.

Sebelum kita sempat berbangga untuk melihat ada anak Malaysia yang akan bermain dalam BPL, eloklah kita berbangga kerana ada anak Malaysia yang memiliki kelab bola sepak Inggeris!

Friday, October 21, 2011

Kematian Qaddafi: Antara Kesabaran Ali Abi Talib dengan Amarah Rakyat Libya

Dalam suatu peperangan untuk menentang musuh Islam, Sayidina Ali ikut bertempur sehingga bertembung dengan salah seorang musuhnya. Ternyata beliau sangat gagah hingga berjaya menjatuhkan musuhnya itu ke tanah. Beliau berhasrat untuk membunuh musuh Allah itu, tetapi sebelum sempat beliau melakukannya, musuh Allah itu telah meludahi mukanya.

Kerana ludahan itu, Sayidina Ali membatalkan niatnya untuk membunuh musuh Allah itu hingga menghairankan musuh Allah itu. Bertanyalah musuh Allah itu kepada Sayidina Ali lebih kurang begini: “Mengapakah aku tidak kamu bunuh saja walhal kamu berpeluang untuk melakukannya?” Sayidina Ali menjawab lebih kurang begini, “Sebentar tadi aku bertempur dengan kamu semata-mata kerana Allah Taala, tapi sekarang aku bimbang untuk memenggal kepala kamu bukan kerana Allah sebaliknya kerana amarah.”

Kegembiraan, saya fikir, sedang berbunga-bunga di segenap bucu hati rakyat Libya apabila orang yang ditentang dan ingin digulingkan oleh mereka sejak sekian lama akhirnya berjaya ditamatkan riwayatnya (satu pengakhiran hidup yang menyedihkan untuk seorang kepala negara yang mahu atau tidak mahu, harus diakui sebagai orang yang telah berjaya membangunkan negaranya, walaupun pada masa yang sama turut membangunkan kekayaan untuk kaum keluarganya).

Sebelum pembunuhan itu, bekas kepala negara Libya yang bernama Muammar Qaddafi itu telah ditangkap (di Sirte) dan menurut berita yang disampaikan kepada kita, Muammar telah diheret dan dikasari oleh pejuang yang anti kepadanya. Beliau khabarnya dibawa dari satu lubang najis dan semasa pemindahan ke dalam trak, lengan kanannya tertembak.

Namun, semasa kenderaan itu bergerak, suatu pertempuran telah berlaku antara tentera revolusi dengan pasukan Muammar lalu sebutir peluru telah menyinggahi kepala bekas kepala negara Libya itu yang kemudiannya telah membawa kematiannya. Peluru pihak manakah yang menyinggahi kepalanya masih belum diketahui.

Cerita kesabaran sahabat Rasulullah SAW yang bernama Ali bin Abi Talib itu dengan cerita yang membawa kematian Qaddafi ini jauh bedanya. Perjuangan Sayidina Ali bertunjangkan perintah Allah yang menghendaki umatnya senantiasa sabar dan rasional dalam setiap tindakan. Perjuangan rakyat Libya jelas bertunjangkan amarah!

Seharusnya Muammar “diselamatkan” untuk dibicarakan ke muka pengadilan. Tidak kiralah di mana-mana pun beliau dibicarakan — di dalam negara atau di Mahkamah Keadilan Antarabangsa — beliau memang wajib dibicarakan. Kekejaman atau apa-apa jua kesongsangan yang dilakukannya selama beliau berkuasa dahulu (seperti yang didakwa) harus diungkit dan didedahkan.

Ironinya, kemarahan rakyat Libya terhadap Muammar Qaddafi itu didukungi oleh NATO. NATOlah yang telah menyerang konvoi Qaddafi itu sehingga menyebabkan Qaddafi tertangkap langsung kemudiannya menemui ajalnya. Siapakah yang akan mengubah wajah dan bentuk pemerintahan Libya selepas ini? Rakyat mereka atau NATO dan sekutunya?

Kita tahu akan jawabannya dan barangkali akan dapat melihat kemunculan sebuah lagi negara yang senasib dengan Iraq.

Thursday, October 20, 2011

Antara Kasihan dengan Keperluan

Kebanyakan orang memang biasa menempuh pengalaman ini — dikunjungi atau didatangi oleh jurujual-jurujual semi pro semasa sedang enak menikmati makanan, khususnya pada waktu makan tengah hari. Pelbagai produk disodorkan kepada kita oleh jurujual-jurujual itu, dengan harapan yang menggunung di dada — kita tertarik untuk membelinya.

Pada awal tahun 1990-an dahulu, kebanyakan jurujual semi pro ini menjual buku-buku kanak-kanak yang berwarna-warni ilustrasinya dengan harga yang relatif murah. Saya adalah antara orang yang selalu membeli buku-buku ini kerana kebetulan pada waktu itu anak saya masih kecil.

Sekarang, sudah jarang-jarang saya temukan jurujual-jurujual semi pro ini menjual buku-buku yang demikian. Yang ada sekarang, kebanyakannya menjual CD-CD (selari dengan perkembangan teknologi digital dsb) serta buku-buku agama, makanan seperti kek dan kismis, gajet-gajet buatan Cina, dan lain-lain.

Saya sudah jarang-jarang membeli apa-apa pun produk yang disodorkan kepada saya oleh jurujual-jurujual ini. Sekarang (sejak tiga atau empat tahun belakangan ini), saya sudah sangat mahir untuk menunjukkan muka selamba kepada mereka. Hal ini sangat berbeda dengan diri saya sebelum tiga atau empat tahun dahulu.

Dahulu, saya banyak membeli kerana kasihan. Ya, saya mudah kasihan apabila melihat wajah pemuda-pemudi yang beria-ia untuk mempengaruhi saya supaya membeli produk mereka yang hanya berharga sekitar RM10.00 itu. Tanpa banyak soal, saya biasanya akan terus membeli produk mereka (kalau buku).

Adik saya pernah memuji seorang jurujual semi pro perempuan (remaja) yang menjual produk dari Negara China, rasa saya. Selepas membayar harga produk itu, adik saya berkata, “Abang puji adik kerana berani berdepan dengan orang ramai. Tidak semua gadis berani melakukan kerja yang adik lakukan ini”.

Adik saya berkata demikian kerana beliau pernah menjadi penjual (ejen) insurans. Berdepan dengan pelanggan yang rata-rata dikenalinya, kata beliau, sudah dapat menerbitkan kegelabahan apatah lagi anak gadis itu yang terpaksa untuk berdepan dengan puluhan pelanggan yang langsung tidak dikenalinya!

Memang banyak rakan saya yang tidak suka akan jurujual-jurujual semi pro ini kerana jurujual-jurujual itu mengganggu waktu makan mereka. Seorang rakan pernah menegur jurujual semi pro ini, “Dik, abang nak makanlah dik. Tolong, ya...!” dan jurujual yang faham akan keadaan itu terus meminta maaf dan berlalu (dalam hatinya, barangkali, terkilan).

Sebenarnya, seperti adik saya, saya mengagumi jurujual-jurujual itu kerana mereka berani untuk berdepan dengan orang ramai. Walau bagaimanapun, yang lebih mengagumkan saya ialah kesediaan mereka untuk melakukan kerja yang seperti itu semata-mata untuk mendapat imbalan yang entah berapa ringgit sehari itu.

Berbeda dengan jurujual semi pro remaja ini, remaja yang berada dalam kelompok yang lain lebih rela untuk melakukan aktiviti yang menyusahkan dan mengancam keselamatan dan nyawa orang awam — mencopet dan meragut, mencuri dan memeras ugut, dan lain-lain sebagainya — untuk mendapat wang!

Masyarakat harus membantu dan menyokong jurujual-jurujual ini. Dengan membeli produk yang dijual mereka, kita sebenarnya membantu melariskan jualan mereka. Apabila jualan mereka laris, pendapatan mereka meningkat dan sekali gus akan menjadikan kerjaya jurujual sebagai suatu kerjaya yang lumayan.

Apabila kerjaya jurujual seperti ini menjanjikan pendapatan yang lumayan, pastilah semakin banyak remaja yang berminat untuk menjadikannya sebagai profesion. Maka, sedikit banyak, masalah remaja menganggur dan melepak serta mencopet dan meragut selain mencuri dan memeras ugut, dapat diatasi.

Betul, kita harus mewajarkan dan mewaraskan tindakan kita — antara kasihan dengan keperluan. Kita harus mengembalikan rasa kasihan untuk membantu mereka yang hanya bermodalkan gigi dan lidah, suara dan air ludah untuk mencari pendapatan.

Betul, mereka jauh lebih baik daripada para pencopet dan peragut, pencuri dan pemeras ugut, malah lebih mulia daripada sesetengah orang yang berkuasa —bermodalkan uniform dan kuasa untuk memeras ugut kita.

Wednesday, October 19, 2011

Keinsanan dan Keihsanan yang Semakin Pudar: Saatnya Mendekat

Keinsanan dan keihsanan jelas telah semakin meluntur daripada makhluk yang bernama manusia. Semalam dan hari ini, handai taulan dan sanak saudara berbuih-buih mulut bercerita tentang sikap manusia (di negara luar) yang tidak berhati perut kerana melanggar anak kecil berulang-ulang dan yang memerhatikannya langsung tidak ambil parwah.

Pada hari yang lebih kurang sama, kita juga dapat mendengar perihal lunturnya keinsanan dan keihsanan manusia (di negara kita) sehingga ada yang tergamak untuk mengelar bayi yang baru sahaja dilahirkan. Sebelum itu, ada yang kering hati meletakkan bayinya di dalam tong pam tandas sehingga biru bayi itu di dalamnya.

Sebelum itu lagi, ada orang yang lebih celaka daripada iblis yang tergamak untuk menghumbankan bayinya dari kediamannya yang bertingkat-tingkat itu ke bawah. Sebelum itu dan sebelum itu, kita melihat pelbagai kekejaman lain yang menyerlahkan kemiskinan nilai keinsanan dan keihsanan dalam diri manusia.

(Saya pernah berkata bahawa sekarang inilah tempohnya (Ogos, September, Oktober, November, dan Disember) untuk kita melihat puluhan (mungkin ratusan dan ribuan bayi tidak sah taraf) yang dilahirkan daripada keseronokan pada awal cuti semester 2010, sambutan Tahun Baharu 2011, sambutan Hari Valentine’s, dsb itu).

Tetapi, kita (saya, khususnya) tidak sampai terfikir bahawa rupa-rupanya ada manusia yang tergamak untuk mengelar atau menghumbankan bayi mereka yang terhasil daripada perbuatan mereka berseronok-seronok dengan kemaksiatan pada sambutan-sambutan itu dahulu.

Kita (saya, khususnya) cuma terfikir bahawa mereka hanya akan meninggalkan bayi mereka di surau, membiarkannya di tepi jalan, dan membiarkan anjing atau semut “membunuh” bayi-bayi itu (kejam juga). Betul, saya langsung tidak menyangka bahawa ada antara mereka yang tergamak untuk mematikan bayi itu dengan tangan mereka sendiri!

Bayi-bayi itu — senipis tujuh belahan rambut pun dosanya tiada, lalu mengapakah mereka diperlakukan sedemikian zalim oleh para gadis dan wanita yang seharusnya tebal nilai keibuan mereka? Ke manakah lenyapnya kelembutan semula jadi seorang ibu sehingga mereka lebih jahat daripada iblis?

Atau, inikah ketikanya nilai ihsan terangkat dari dalam hati manusia sebagai menandakan semakin hampirnya akhir zaman? Banyak yang bersetuju bahawa memang inilah masa dan ketikanya. Dan, kita menjadi sebahagian daripada ketika dan masa itu! Alangkah celakanya kita kerana menjadi sebahagian daripada fitnah tersebut!

Lebih celaka lagi, kita punya hukum Allah paling ampuh untuk menangani kebejatan itu, tetapi sangat malang, hukum itu (yang sangat jelas dapat menakutkan manusia daripada melakukan kejahatan) telah menakutkan orang-orang yang barangkali memang memahukan kejahatan membarah dalam masyarakat kita. Dan sekali lagi, kita berada dalam lingkungan orang-orang yang memahukan barah kejahatan itu merebak.

Tuesday, October 18, 2011

Isu PPSMI: Kedegilan yang Tak Sudah-sudah

Tampaknya, “keberia-iaan” kumpulan tertentu untuk mempertahankan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran-pemelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) di sekolah-sekolah masih belum mereda. Kumpulan itu, yang khabarnya mewakili suara ibu bapa, masih ingin mempertahankan kaji selidik yang dilakukan mereka — bahawa 54% (daripada 15,000 responden yang ditemui mereka) menyokong pelaksanaan PPSMI.

Mereka, khabarnya, akan mengadakan sidang akhbar pada 25 Oktober 2011 ini untuk memohon kerajaan “mendengar suara ibu bapa” — bahawa anak mereka hendaklah diberi pilihan untuk mengikuti PPSMI di sekolah.

Tentang kaji selidik itu, sudah banyak pihak yang mempertikaikannya. Hal ini berlaku demikian kerana kaji selidik itu hanya menyasarkan 15,000 responden sahaja (walhal di negara kita ada 5.3 juta pelajar)! Sesetengah pihak mempersoalkan, apakah istimewanya yang 54% itu sehingga perlu pula mengesampingkan yang 48% lagi? 48% bukan jumlah yang sedikit!

Pada hemat saya, pihak yang paling layak untuk menilai sama ada PPSMI ini wajar diteruskan ataupun sebaliknya ialah guru kerana mereka inilah kumpulan atau kelompok yang berdepan dengan pelajar saban tahun. Mereka inilah yang tahu akan tahap daya serap, kebolehan, dan pencapaian para pelajar (malah tahap diri mereka sendiri) dalam hal pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik (PPSM)!

Semasa berlaku protes tentang PPSMI dahulu (sehingga ada yang dimandikan dengan gas pemedih mata dsb), antara rasional perjuangan mereka ialah perlunya bahasa Melayu didaulatkan dalam sistem pendidikan negara selain menyedari hakikat betapa pencapaian murid dalam subjek ini semakin menurun.

Dalam hal ini, kalaupun pihak yang beria-ia untuk mempertahankan PPSMI itu enggan melibatkan diri dalam isu pendaulatan bahasa Melayu (yang diperjuangkan oleh pejuang-pejuang bahasa itu) dan beranggapan bahawa isu ini sebagai sesuatu yang remeh, cuba-cubalah memikirkan hal ini daripada sudut keperluan pelajar pula (yang kebanyakan mereka langsung tidak mahir berbahasa Inggeris!)

Cubalah tuan-tuan fikirkan, adakah kejayaan kaum Cina di negara kita ini dalam bidang perniagaan bersebab daripada tindakan mereka mempelajari Matematik dalam bahasa Inggeris semasa mereka bersekolah rendah dahulu? Saya percaya bahawa kejayaan sebahagian besar daripada mereka adalah kerana mereka mempelajarinya dalam bahasa ibunda mereka di SJKC.

Oleh sebab itulah, memang sangat wajar kalau 412,042 guru yang mewakili 27 kesatuan dan persatuan di negara ini berdiri teguh di belakang Menteri Pelajaran yang menetapkan bahawa kedua-dua subjek ini akan diajarkan dalam bahasa Melayu semula. Guru lebih tahu akan hakikat bahawa sepanjang pelaksanaan PPSMI sejak 2003 dahulu, pencapaian sebilangan besar pelajar dalam kedua-dua subjek ini merudum.

Usaha YAB Menteri Pelajaran merangkap Timbalan PM dalam isu PPSM itu sangat murni. Jadi, mengapakah orang membawa jarum disambut dengan gunting?

Sunday, October 16, 2011

Selamat Ke Tanah Suci Makkah

Beberapa orang teman yang rapat dan yang kurang rapat sudah ada yang tiba di Tanah Suci Makkah atau Madinah. Di kariah saya, Pak Usop khabarnya sudah pun selamat tiba di sana. Dr Ridzwan akan berangkat ke sana pada 23 Oktober 2011 ini. Abang Dollah dan Kak Ramlah yang pernah menjadi “ibu” dan “bapa” anak saya, Luqman Hakim, pun sudah tiba di sana pada 3 Oktober yang baru lalu.

Ibu saudara saya yang pernah menaja pemergian ibu saya ke Makkah untuk mengerjakan umrah tahun lalu mungkin berada dalam senarai gantian kerana namanya masih dalam senarai menunggu. Beliau redho, jika dapat pergi syukur alhamdulillah katanya; jika tidak dapat pergi beliau sangat sedar bahawa tentu ada hikmah tertentu yang menyebabkan namanya tidak terpilih itu.

Seorang lagi insan istimewa dalam perjalanan hidup saya yang akan menunaikan Rukun Islam kelima pada tahun ini ialah Abang Uda Abdul Majid Baharom yang akan pergi ke sana bersama dengan isterinya, Kak Alimah pada 23 Oktober 2011. Abang Uda merupakan “boss” saya semasa saya berkhidmat di Unit Perkamusan di Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd (sekarang Oxford-Fajar).

Kamus Dwi Bahasa Inggeris-Melayu-Inggeris (edisi pertama) yang popular di pasaran itu (terjual jutaan naskhah) adalah antara buah tangan beliau yang mendapat bantuan kami — Allahyarham Tajudin Busu, Puan Nor Azah Abdul Aziz, Puan Azni Ahmad, dan saya. Sepak terajang dan “tipu muslihat” dalam menerbitkan kamus itu sangat melucukan dan menjadi rahsia beliau, saya, dan Allahyarham Tajudin.

Sepak terajang dan “tipu muslihat” itu sesetengahnya turut mewarnai sudut kehidupan kami yang lain. Ada yang dilalui dengan redho, ada yang dihadapi kerana terpaksa. Pergaulan saya dengan Abang Uda, seperti juga pergaulan saya dengan insan lain, ada yang manis dan tidak kurang yang masam. Kadangkala beliau kurang senang terhadap saya, dan kadangkala saya kurang senang terhadap beliau.

Yang menarik daripada pergaulan kami yang manis-masam itu ialah, titik akhir pergaulan kami pada setiap keadaan ialah ketulusan dalam persahabatan yang kemudian bertukar perlahan-lahan menjadi adik-abang. Alhamdulillah. Kami mungkin pernah melakukan kenakalan (seperti “tipu muslihat” dalam kerja demi mengejar deadline, serta beberapa kejahatan lain dalam hidup ini).

Tetapi Allah SWT, Pencatur dan Perencana Maha Agung kehidupan manusia, Maha Tahu segala-galanya. Apabila sampai masanya, dengan sifat Rohman dan Rohim-Nya, Dia akan mengembalikan nilai Islam yang benar dan lurus kepada hamba-hamba yang dikasihi-Nya. Apabila tiba waktunya, Dia akan mengundang hamba-Nya ke Makkah untuk menyempurnakan Rukun Islam hamba-Nya. Allahu Akbar.

Abang Uda dan Kak Alimah telah pun terpilih dan saya berdoa agar kedua-dua insan ini sempat dan dapat menyempurnakan Rukun Islam yang kelima ini. Saya juga berdoa agar kedua-dua insan mulia ini dimantapkan kesihatan mereka untuk menunaikan ibadah haji sesempurna yang mungkin dan yang penting, Allah turut memperkuat tahap ketabahan dan kesabaran mereka dalam mendepani ujian dan dugaan dalam ibadah itu kelak supaya harapan untuk beroleh haji yang mabrur akan tertunai. Amin.

Selamat Berangkat Ke Makkah dan Selamat Menyempurnakan Ibadah Haji, Abang Uda dan Kak Alimah, rakan-rakan pembaca, serta seluruh umat Islam Malaysia. Kalian bertuah dan manfaatkanlah tuah itu dengan sebaik-baiknya. Kalian berdoalah di hadapan multazam agar saya, isteri, dan anak sempat dan dapat menjejakkan kaki ke bumi bertuah itu, setidak-tidaknya untuk menunaikan umrah, mungkin pada tahun hadapan, insya-Allah.

Thursday, October 13, 2011

Melanggar Lampu Isyarat Suatu Kesalahan?

Seperti negara-negara lain yang menitikberatkan undang-undang dan keselamatan rakyat, pengguna atau pemandu kenderaan di negara ini juga akan dikenakan saman maksimum sekiranya melakukan kesalahan “melanggar lampu isyarat”. Memanglah saman maksimum wajar dikenakan kepada orang-orang yang melakukan kesalahan itu kerana kebiadaban mereka mendedahkan orang lain kepada kemalangan yang memungkinkan terpisahnya nyawa dari badan.

(Mungkin saya kurang periksa) statistik “kesalahan” ini tidak dimaklumkan oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab kepada kita, sama ada melalui media cetak ataupun media elektronik. Agak-agaknya, berapa banyak kesalahan inikah yang dilakukan oleh pemandu dan penunggang kenderaan di seluruh negara setiap hari? Berapa banyakkah pula kemalangan yang berlaku daripada kesalahan itu? Berapa banyakkah pula yang cedera parah dan mati?

Tetapi, benarkah perbuatan “melanggar lampu isyarat” suatu kesalahan? Hal ini menarik untuk kita fikir-fikirkan. Oleh sebab ada kemungkinan bahawa fikiran saya silap, rasa saya elok kita membicarakan hal itu di sini. Saya ingin membawa (mengajak) pembaca untuk melihat hal ini daripada sudut bahasa — bahasa Melayulah — iaitu, benarkah melanggar lampu isyarat suatu kesalahan (jalan raya) atau suatu kesilapan (tidak sengaja), ataupun suatu kemalangan?

Saya berpandangan bahawa perbuatan melanggar lampu isyarat bukan suatu kesalahan, tetapi suatu kemalangan! Hal ini saya katakan demikian kerana pada pandangan saya, yang perlu dipatuhi bukan lampu isyarat tetapi isyarat pada lampu isyarat itu. Lampu isyarat, pada pandangan saya, ialah lampu serta tiangnya. Melanggar lampu isyarat bermaksud perbuatan melanggar lampu serta tiangnya itu. Hal ini jelas suatu kemalangan yang mungkin berpunca daripada kesilapan pemanduan.

Dalam konteks ini, jelas bahawa kesalahan yang perlu disaman bukan perbuatan melanggar lampu isyarat, sebaliknya perbuatan melanggar isyarat pada lampu isyarat itu! Melanggar lampu isyarat dan melanggar isyarat pada lampu isyarat, pada pandangan saya, jelas dua perkara yang berbeda. Maka, kalau ada pegawai penguat kuasa hendak menyaman kita kerana kita dikatakannya telah melanggar lampu isyarat, kalau berani, bolehlah kita meloyar buruk!

Daripada segi bahasa, elok kalau istilah “lampu isyarat” (untuk yang terpacak di persimpangan-persimpangan itu) ditukar kepada “lampu trafik” atau “lampu lalu lintas” (bahasa Inggeris diistilahkan sebagai “traffic light(s)”). Dengan menukarkan istilah itu, mudah untuk kita mengklasifikasikan kesalahannya, iaitu “melanggar isyarat lampu trafik/lalu lintas”. Kalau kebetulan ada yang melanggar lampu itu pula, dapatlah kita katakan bahawa orang itu telah “melanggar lampu trafik/lampu lalu lintas”.

Apatah lagi istilah “lampu isyarat” selalunya merujuk kepada lampu kuning yang terdapat pada kenderaan kita (dalam bahasa Inggeris diistilahkan sebagai “signal light(s)”)! Di lapangan terbang, ada istilah “air traffic signal light” (bahasa Inggeris). Padanan istilah itu dalam bahasa Melayu ialah “lampu isyarat lalu lintas udara”. Hal ini jelas menunjukkan bahawa “traffic” dan “signal” merupakan dua benda/perkara yang berbeda dan memang perlu dibedakan.

Kalau istilah ini diguna pakai dan dilazimi, sebahagian daripada usaha kita untuk melahirkan masyarakat yang berbahasa dengan betul dan tepat akan dapat direalisasikan. Dalam konteks perbicaraan ini, kelak orang akan mengetahui perbedaan “melanggar isyarat lampu trafik/lalu lintas” dengan “melanggar lampu trafik/lalu lintas” serta “melanggar lampu isyarat”.

Wallahu alam.

Tuesday, October 11, 2011

Datuk Ahmad Jais: Terima Kasih Allah...

Antara insan seni veteran yang saya minati suaranya ialah Datuk Ahmad Jais. Lagunya yang paling saya sukai ialah “Bahtera Merdeka”. Masih saya ingat, seorang guru sekolah rendah saya yang kami panggil Cikgu Dollah, sering mengalunkan lagu-lagu allahyarham dalam persembahan pentas di kampung saya. Begitu juga halnya dengan Allahyarham Cikgu Hamzah Abdullah yang sangat menyukai beliau dan memperkenalkan lagu “Bahtera Merdeka” itu kepada saya.

Sebentar tadi, jam 9:19 pagi, penyanyi yang bersuara murni dan lembut itu, menghembuskan nafasnya yang terakhir di Pusat Perubatan Darul Ehsan, Shah Alam untuk dibawa ke alam abadi oleh malaikat Allah. Allahyarham dikhabarkan bahawa diberi rawatan separa rapi di pusat perubatan itu sejak 25 September 2011 yang lalu selepas mengalami masalah sesak nafas (saya tidak tahu bahawa Allahyarham berada di sana walhal saya berada lebih dua jam di pusat perubatan itu pada 2 Oktober yang lalu).

Marilah kita memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT agar Dia mencucurkan rahmat ke atas roh Allahyarham dan kemudiannya menghimpunkan Allahyarham di Padang Mahsyar serta menempatkan Allahyarham di dalam Syurga bersama-sama dengan insan-insan yang beriman.

Terima kasih Allah kerana meminjamkan Allahyarham yang bersuara lunak itu kepada kami. Aku turut terhibur oleh suara insan yang Kaupinjamkan itu, tetapi mujurlah aku tidak sampai asyik dan terpana oleh kehebatan suara insan itu hingga aku menjadi insan yang terlalai dan terleka.

Innalillahi wainna ilaihi rojiun. Al-Fatihah dan takziah kepada kaum keluarga Allahyarham Datuk Ahmad Jais.

Ulil Amri — Jadilah Seperti Muzaffar Syah

Bismillahir-Rohmanir-Rohim....

Mana-mana ulil amri yang Islam memang tanggungjawabnya memelihara kesucian Islam. Oeh itu, kalau ada mana-mana pihak — musuh Islam, khususnya — mencuba untuk memesongkan aqidah umat Islam, seyogianyalah ulil amri, sama ada yang digantinamakan sebagai “baginda” atau “beliau” sahaja oleh rakyat, menegur dan berusaha untuk membanterasnya.

Tetapi ulil amri janganlah hanya bersuara dan bertindak apabila ada cubaan oleh pihak musuh Islam untuk memesongkan aqidah umat Islam sahaja. Ulil amri seyogianya bertindak lebih awal daripada itu — memperlengkap umat Islam dengan iman dan taqwa supaya aqidah umat Islam sukar dipesongkan oleh musuh Islam hanya dengan memberi mereka hamper Maggi Mee!

Ulil amri sekarang harus mencontoh kebertanggungjawaban Sultan Muzaffar Syah pada zaman keagungan Melaka dahulu yang telah mencemar duli ke lapangan bagi membanteras ancaman pencuri. Ulil amri sekarang harus memantau usaha dan aktiviti badan-badan agama yang ada di dalam negeri/negara dalam menegakkan syiar Islam.

Ulil amri juga seyogianya harus melihat cara dan kaedah wang zakat diagihkan kepada para fakir. Ulil amri harus berasa curiga, mengapakah wang zakat yang dilunaskan oleh pembayar zakat tidak dihabiskan pada tahun itu juga, sebaliknya dibawa pula ke tahun yang berikutnya? Bukankah wang zakat hak asnaf yang lapan itu? demikian ulil amri harus bertanya.

Ulil amri juga sepatutnya sedar bahawa bukan pengamal agama lain sahaja yang berusaha untuk memesongkan aqidah umat Islam. Lambakan program dan pusat hiburan yang menggalakkan lahirnya masyarakat yang hedonistik juga dapat memesongkan aqidah umat Islam. Lambakan itu memang cetusan musuh Islam, tetapi leluasa dengan restu para pegawai ulil amri juga!

Ulil amri seyogianya bertanya kepada para pegawai di jabatan agama, mengapakah mereka gagal menghalang terpaculnya anak tidak sah taraf yang kemudiannnya menyebabkan berlakunya fenomena buang bayi dan sebagainya itu? Hal-hal sebegitu — keterpaculan anak tidak sah taraf dan buang bayi itu — ada kena-mengena dengan aqidah juga.

Janganlah setelah kaki terperlus baru hendak melantai. Sediakanlah segala keperluan yang dapat memastikan aqidah umat Islam tidak mudah terpesong dan dipesongkan. Kalau bantuan kewangan dapat memelihara aqidah mereka, berilah mereka wang dan ajar mereka cara-cara untuk melipatgandakan wang itu. Jangan “dikemut” wang zakat!

Tidak ada cara lain, seperti Sultan Muzaffar, Ulil amri sendiri harus turun padang — bukan sahaja untuk memantau hal ehwal rakyat, tetapi juga untuk memantau tindak-tanduk para pegawai ulil amri sendiri yang sesetengahnya menjadikan tidur sebahagian daripada kerja mereka dan sesetengahnya pula bekerja untuk memiliki Mercedes!

Wallahu alam....

Friday, October 7, 2011

Pengasas Apple Meninggal Dunia, Pencipta Epal Jua yang Kekal Abadi

Steve Jobs, pengasas bersama Apple Inc, telah meninggal dunia pada Rabu yang lalu pada usia 56 tahun sebagai akibat barah pankreas. Beliau, yang terkategori sebagai genius komputer, ialah insan yang bertanggungjawab untuk melahirkan iPhone dan iPad, yang menjadi kegilaan generasi kini, sama ada yang berusia rebung ataupun yang telah mencecah usia emas.

Tidak keterlaluan kalau kita katakan bahawa keberadaan Steve di dunia yang fana ini selama tempoh 56 tahun sedikit banyak telah menjadikan kehidupan manusia sejagat lebih baik, maju, dan moden (walaupun kehidupan manusia di Somalia tepu dengan kesengsaraan dan kemelaratan – tetapi hal itu bukan tanggungjawab beliau seorang).

Begitulah, kekayaan memang benar-benar tidak dapat membeli kesihatan, apatah lagi kehidupan. Tidak ada wang yang dapat menghalang manusia daripada menderitai sakit (simpati saya kepada mendiang Jobs yang berjuang melawan barah pankreasnya untuk beberapa lama) dan tidak ada kekayaan yang dapat menghalang Izrail untuk mencabut nyawa manusia bagi menjadikan kematian suatu realiti.

Ya, pengasas/pendiri Apple Inc yang bertaraf bilionaire itu telah mati untuk menghadap penciptanya — pencipta pelbagai jenis epal yang sebenar-benarnya — yang kekal abadi, tidak mati-mati untuk kemudiannya akan melahirkan insan genius yang lain, yang juga mungkin akan menyumbangkan kebijaksanaannya kepada manusia sejagat.

Bersemadilah kamu, wahai Steve Jobs, seperti bersemadinya orang-orang yang mendahului kamu — yang menurut ukuran Tuhan, ada sumbangan masing-masing kepada kehidupan manusia lainnya, tetapi semuanya bergantung pada aqidah mereka. Terima kasih, Jobs kerana aku juga adalah antara manusia yang beroleh manfaat daripada kegeniusan kamu. Terima kasih Allah kerana meminjamkan insan bernama Steve Jobs itu kepada kami.

Thursday, October 6, 2011

Tanggungjawab Penguasa Jalan Raya Sama dengan Tanggungjawab Guru

Pihak DBKL akan bekerjasama dengan pihak polis trafik dan pihak JPJ untuk mengesan para pengguna jalan raya (seterusnya disebut pengguna sahaja) yang melakukan kesalahan di jalan raya seperti tidak mematuhi isyarat pada lampu isyarat, berada dalam petak kuning, dan pelbagai kesalahan lain. Operasi ini akan dilakukan di beberapa batang jalan penting di KL. Begitulah makluman yang disiarkan oleh pihak KLFM pagi ini.

Saya yakin bahawa usaha ini diambil oleh pihak DBKL kerana mereka mendapati bahawa di Kuala Lumpur, jumlah pengguna yang melanggar undang-undang jalan raya telah meningkat dengan begitu ketara mutakhir ini. Pihak DBKL juga agaknya sedar bahawa sikap buruk pengguna ini perlu dibendung kerana sikap itu dapat mencalar imej Kuala Lumpur yang semakin diminati pelancong asing beberapa tahun belakangan ini.

Walau bagaimanapun percayalah, selagi usaha untuk mendisiplinkan pengguna dilakukan secara operasi, para pengguna ini tidak akan terdidik dan terasuh oleh disiplin. Hal ini saya katakan demikian kerana yang bernama “operasi” (oleh penguasa jalan raya) biasanya dilakukan sekali-sekala atau bermusim, mengikut keperluan pada waktu itu. Ops-Ops Sikap yang telah diadakan bertahun-tahun itu contoh terbaik hakikat ini.

Kalau beberapa waktu dahulu kita hanya dapat melihat para pengguna degil melakukan kesalahan pada waktu puncak, tetapi kini pada waktu-waktu di luar waktu puncak pun ada para pengguna yang melakukan kesalahan jalan raya secara serampangan. Pengguna yang melanggar isyarat lampu merah, misalnya, dapat kita lihat pada setiap masa, tidak kira pemandu kereta, penunggang motosikal, mahupun pemandu bas!

Saya, secara peribadi, sangat benci akan pengguna yang berhenti di petak kuning. Hal ini meimbulkan kebencian saya kerana perbuatan mereka akan mengakibatkan kenderaan dari arah/laluan lain tidak dapat bergerak apabila tiba giliran mereka untuk bergerak. Sebagai natijah daripada keadaan ini, kesesakan akan menjangkit ke persimpangan-persimpangan lain!

Keadaan yang saya (dan anda sendiri) lalui hampir setiap hari di KL ini tidak akan dapat diatasi kalau usaha untuk mendisiplinkan pengguna dilakukan secara bermusim. Keberadaan anggota penguat kuasa — tidak kira DBKL, PDRM, dan JPJ — di persimpangan-persimpangan yang kronik dan kritikal sangat diperlukan. Itulah sahaja cara untuk mendisiplinkan pengguna.

Oleh sebab tiada peruntukan untuk mengenakan hukum sebat dalam undang-undangan lalu lintas, maka tindakan saman tanpa kompromi harus dikenakan terhadap pengguna yang melanggar undang-undang jalan raya. Saman merupakan didikan dan asuhan yang paling efektif untuk membetulkan akhlak pengguna dalam aspek pematuhan undang-undang jalan raya ini.

Kita berharap agar usaha pihak DBKL ini akan dilakukan secara berterusan, bukan pada waktu-waktu tertentu sahaja. Seharusnya, ada kerjasama di pihak DBKL dan PDRM serta JPJ untuk bergilir-gilir mengawal keadaan ini untuk tempoh 13 jam (7:00 pagi hingga jam 8:00 malam). Hal ini tampak berat, sama beratnya dengan usaha para guru untuk mendisiplinkan anak-anak muridnya.

Monday, October 3, 2011

Cerita Hantu: Yang Dicakapkan Lebih Penting daripada Yang Bercakap

Hal tentang ketahayulan filem dan drama seram/hantu serta kesan buruknya kepada masyarakat bukanlah perkara baharu. Hal ini sudah mendapat teguran daripada para agamawan (sebilangannya bertaraf mufti), para budayawan dan ilmuwan, serta masyarakat dan ibu bapa sendiri. Malangnya, semua teguran itu hanya didengar dan dibaca sekali lalu dan dianggap sebagai hal-hal remeh oleh masyarakat dan penggiat seni, khususnya.

Tetapi, apabila hal seperti ini ditegur oleh negarawan dan pemimpin negara, barulah isu ini dibicarakan, dibahasakan, dan dipolemikkan orang. Itulah yang berlaku sekarang. Apabila hal tentang keburukan filem dan drama seram/hantu ini mendapat teguran Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas PM kita, barulah masalah ini segera diangkat menjadi isu lalu pihak lain meminta pihak yang berkenaan mengambil tindakan segera.

Kita tidak faham akan sikap masyarakat kita, khususnya para pemimpin negara kita, mengapakah teguran pihak agamawan dalam hal-hal yang bersangkut paut dengan aqidah umat Islam sering tidak diambil pusing oleh mereka? Mengapakah hal seperti ini hanya akan diberi perhatian sekiranya yang menegur itu negarawan atau PM/TPM walhal hal yang dibangkitkan itu sama dengan yang dibangkitkan oleh golongan agamawan itu?

Secara peribadi, saya bersetuju dengan pandangan umum bahawa cerita-cerita seram/hantu yang didramakan dan difilemkan itu tidak mendatangkan manfaat yang benar-benar bermakna kepada masyarakat. Bolehkah kita mengatakan bahawa cerita seperti itu dapat menghiburkan penonton kalau pada masa yang sama cerita-cerita itu telah menyebabkan penonton menjadi penakut dan mempercayai tahayul?

Saya sendiri berasa pelik dan hairan apabila filem seperti “Ngangkung”, misalnya, turut ditayangkan di televisyen pada Hari Raya Aidilfitri yang lalu, walhal Aidilfitri merupakan hari untuk kita meraikan kemenangan melawan nafsu! Hari Raya Aidilfitri berkait dengan agama kita! Lalu, mengapakah perkara tahayul seperti yang ada dalam “Ngangkung” itu dipertontonkan kepada kita pada hari yang mulia itu? Perkara tahayul bukan hiburan!

Kita faham akan prinsip pihak penerbit/pengeluar drama dan filem — mereka akan menghasilkan karya yang hanya mendapat sambutan penonton, yang menjanjikan keuntungan kepada mereka. Kebetulan dua tiga tahun belakangan ini filem dan drama seram/hantulah yang mendapat sambutan, maka karya yang demikianlah yang dihasilkan mereka. Malah, ada penerbit yang sama terus menerbitkan filem dan drama demikian dengan pelbagai judul yang berbeda.

Di pihak pengendali televisyen, demi memastikan rating mereka terus kekal atau meningkat, mereka juga bertindak seperti penerbit/pengeluar flem — menghasilkan karya yang hanya mendapat sambutan penonton. Oleh sebab yang demikianlah kita dapat menonton pelbagai rancangan yang berunsur hantu/seram secara mingguan (seperti “Terowong”) lewat televisyen swasta ataupun berbayar.

Walau bagaimanapun, hal-hal yang dapat memesongkan aqidah tidak harus dijadikan sebagai hiburan apatah lagi dijadikan sebagai bahan untuk mengaut keuntungan. Pihak penerbit/pengeluar filem dan drama seperti pengendali televisyen harus sedar akan hakikat ini. Tidakkah kalian (wahai pengendali televisyen, khususnya) berasa pelik, pada waktu lain kalian mengajar kami tentang agama, tetapi pada waktu yang lain kalian mengajar kami hal yang berlawanan dengan agama.

Teguran mantan PM itu tentang kesan negatif filem dan drama hantu/seram itu memang benar. Teguran agamawan tentang hal yang sama itu berlebih-lebih lagi benarnya kerana mereka bercakap dalam kerangka agama. Tetapi, mengapakah kita memilih-milih dalam hal ini? Bukankah sepatutnya kita jangan melihat siapakah yang bercakap sebaliknya melihat apakah yang dicakapkannya!