Monday, October 24, 2011

Tragedi Marco Simoncelli: Kemudiankanlah Keseronokan

Perlumbaan Grand Prix Malaysia-Shell Advance 2011 bagi kelas MotoGP yang diadakan di Sepang semalam mencatat sejarah hitam sepanjang penganjuran sukan lumba motosikal itu di negara kita, khususnya di Litar Antarabangsa Sepang. Untuk pertama kalinya, perlumbaan itu telah meragut nyawa pelumba dan yang menjadi mangsa ialah Marco Simoncelli, penunggang San Carlo Honda Gresini, dari Itali.

Beliau yang terjatuh di selekoh 11, telah dirempuh oleh Collins Edward (Valentino Rossi masih sempat mengelak) hingga menyebabkan topi keledar yang dipakai oleh pelumba itu tercabut dari kepalanya. (Saya pasti hal tentang topi keledar ini akan menjadi isu — sama ada alat perlindungan itu tidak dipakai dengan sempurna oleh Marco Simoncelli ataupun ada yang tidak kena dengan alat keselamatan itu.)

Saya sempat menonton perlumbaan bagi kelas 125 CC hingga habis, tetapi tertidur semasa kelas Moto2 memasuki separuh daripada keseluruhan perlumbaan. (Saya memang meminati sukan lumba motosikal ini sejak zaman bujang dahulu — zaman Freddie Spencer, Randy Mamolla, Wayne Gardner, dll mewarnai lumba motosikal.) Saya seronok dan bangga apabila Zulfahmi Khairuddin berjaya menempatkan dirinya di tempat ketujuh dalam perlumbaan kelas 125 CC itu. Tahniah, Zulfahmi!

Yang tidak menarik daripada insiden kemalangan yang melibatkan kehilangan nyawa Marco Simoncelli itu ialah tindakan segelintir penonton. Tidak perlulah mereka sampai mencampakkan botol atau apa-apa sahaja ke litar sebagai tanda protes apabila perlumbaan bagi kelas MotoGP itu dibatalkan. Betul, para penonton sudah membayar harga tiket dan mereka berhak untuk menyaksikan perlumbaan itu.

Walau bagaimanapun, dari sisi lain, ada perkara lain yang elok didahulukan — simpati. Dalam hal yang menyebabkan kehilangan nyawa ini, sangat wajar kalau kita berkongsi kesedihan dengan semua pihak yang terlibat dengan Marco Simoncelli, daripada kru pasukan hinggalah kaum keluarga pemuda itu.

Jika perlumbaan diteruskan, barangkali selekoh 11 itu akan menghantui pelumba lain dan jika ditakdirkan ada yang terjatuh di selekoh yang sama, keadaan akan menjadi buruk dan imej Litar Antarabangsa Sepang akan tercalar.

Saya fikir, penonton, pada masa-masa akan datang, janganlah terlalu memikirkan keseronokan hingga melupakan penderitaan orang lain. Perlumbaan itu, insya-Allah, akan dapat disaksikan lagi pada tahun hadapan, tetapi orang seperti Marco Simoncelli tidak akan kembali lagi.

Teringat saya satu peristiwa beberapa lama dahulu. Saya dan isteri serta anak menonton suatu acara yang dianjurkan oleh majikan isteri saya di Stadium Bola Sepak KL. YBhg Tun M (yang pada waktu itu masih PM) serta YBhg isteri beliau turut hadir untuk menyaksikannya. Acara itu turut diselitkan dengan pertunjukan payung terjun oleh para penerjun profesional dan tentera.

Entah bagaimana, salah seorang penerjun telah tersasar lalu payung terjunnya tersangkut pada bahagian bumbung stadium. Kami dapat melihat penerjun itu terkatung-katung di bahagian bumbung itu. Saya (kami) cemas sambil memikir-memikirkan nasib penerjun itu dan tragedi yang mungkin menimpa dirinya jika payungnya terlucut dari bumbung itu.

Tiba-tiba, persembahan pancaragam diteruskan walhal penerjun itu masih terkatung-katung belum diselamatkan. Penonton bersorak dan “mengeboo” ahli-ahli pancaragam itu sebagai tanda protes (mujur tidak ada yang membaling botol dsb). Ya, bagaimana mungkin kami dihiburkan sedang yang sepatutnya didahulukan ialah penerjun yang sedang bergelut antara hidup dengan mati itu.

Mujurlah pihak penganjur sedar akan hal ini lalu persembahan segera dihentikan sambil tengkuk kami semakin lenguh mendongak; hati saya terus berdegup-degap (saya tidak tahu hati orang lain). Alhamdulillah, kecekapan dan keberanian pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan penerjun itu. Pasukan penyelamat dan penerjun itu diberi tepukan gemuruh dan mereka kemudiannya dibawa untuk bertemu dengan YBhg Tun M.

Sebagai perbandingan daripada dua bentuk sikap penonton di dua arena yang berbeda, walau apa-apa pun situasinya, kita harus mengemudiankan keseronokan kalau kebetulan pada waktu itu ada insan lain yang sedang berdepan dengan atau ditimpa oleh musibah. Perasaan simpati bukan sahaja mencerminkan nilai manusiawi kita, malah menyedarkan kita tentang musibah — yang bila-bila masa akan menimpa kita pula.

No comments:

Post a Comment