Thursday, October 20, 2011

Antara Kasihan dengan Keperluan

Kebanyakan orang memang biasa menempuh pengalaman ini — dikunjungi atau didatangi oleh jurujual-jurujual semi pro semasa sedang enak menikmati makanan, khususnya pada waktu makan tengah hari. Pelbagai produk disodorkan kepada kita oleh jurujual-jurujual itu, dengan harapan yang menggunung di dada — kita tertarik untuk membelinya.

Pada awal tahun 1990-an dahulu, kebanyakan jurujual semi pro ini menjual buku-buku kanak-kanak yang berwarna-warni ilustrasinya dengan harga yang relatif murah. Saya adalah antara orang yang selalu membeli buku-buku ini kerana kebetulan pada waktu itu anak saya masih kecil.

Sekarang, sudah jarang-jarang saya temukan jurujual-jurujual semi pro ini menjual buku-buku yang demikian. Yang ada sekarang, kebanyakannya menjual CD-CD (selari dengan perkembangan teknologi digital dsb) serta buku-buku agama, makanan seperti kek dan kismis, gajet-gajet buatan Cina, dan lain-lain.

Saya sudah jarang-jarang membeli apa-apa pun produk yang disodorkan kepada saya oleh jurujual-jurujual ini. Sekarang (sejak tiga atau empat tahun belakangan ini), saya sudah sangat mahir untuk menunjukkan muka selamba kepada mereka. Hal ini sangat berbeda dengan diri saya sebelum tiga atau empat tahun dahulu.

Dahulu, saya banyak membeli kerana kasihan. Ya, saya mudah kasihan apabila melihat wajah pemuda-pemudi yang beria-ia untuk mempengaruhi saya supaya membeli produk mereka yang hanya berharga sekitar RM10.00 itu. Tanpa banyak soal, saya biasanya akan terus membeli produk mereka (kalau buku).

Adik saya pernah memuji seorang jurujual semi pro perempuan (remaja) yang menjual produk dari Negara China, rasa saya. Selepas membayar harga produk itu, adik saya berkata, “Abang puji adik kerana berani berdepan dengan orang ramai. Tidak semua gadis berani melakukan kerja yang adik lakukan ini”.

Adik saya berkata demikian kerana beliau pernah menjadi penjual (ejen) insurans. Berdepan dengan pelanggan yang rata-rata dikenalinya, kata beliau, sudah dapat menerbitkan kegelabahan apatah lagi anak gadis itu yang terpaksa untuk berdepan dengan puluhan pelanggan yang langsung tidak dikenalinya!

Memang banyak rakan saya yang tidak suka akan jurujual-jurujual semi pro ini kerana jurujual-jurujual itu mengganggu waktu makan mereka. Seorang rakan pernah menegur jurujual semi pro ini, “Dik, abang nak makanlah dik. Tolong, ya...!” dan jurujual yang faham akan keadaan itu terus meminta maaf dan berlalu (dalam hatinya, barangkali, terkilan).

Sebenarnya, seperti adik saya, saya mengagumi jurujual-jurujual itu kerana mereka berani untuk berdepan dengan orang ramai. Walau bagaimanapun, yang lebih mengagumkan saya ialah kesediaan mereka untuk melakukan kerja yang seperti itu semata-mata untuk mendapat imbalan yang entah berapa ringgit sehari itu.

Berbeda dengan jurujual semi pro remaja ini, remaja yang berada dalam kelompok yang lain lebih rela untuk melakukan aktiviti yang menyusahkan dan mengancam keselamatan dan nyawa orang awam — mencopet dan meragut, mencuri dan memeras ugut, dan lain-lain sebagainya — untuk mendapat wang!

Masyarakat harus membantu dan menyokong jurujual-jurujual ini. Dengan membeli produk yang dijual mereka, kita sebenarnya membantu melariskan jualan mereka. Apabila jualan mereka laris, pendapatan mereka meningkat dan sekali gus akan menjadikan kerjaya jurujual sebagai suatu kerjaya yang lumayan.

Apabila kerjaya jurujual seperti ini menjanjikan pendapatan yang lumayan, pastilah semakin banyak remaja yang berminat untuk menjadikannya sebagai profesion. Maka, sedikit banyak, masalah remaja menganggur dan melepak serta mencopet dan meragut selain mencuri dan memeras ugut, dapat diatasi.

Betul, kita harus mewajarkan dan mewaraskan tindakan kita — antara kasihan dengan keperluan. Kita harus mengembalikan rasa kasihan untuk membantu mereka yang hanya bermodalkan gigi dan lidah, suara dan air ludah untuk mencari pendapatan.

Betul, mereka jauh lebih baik daripada para pencopet dan peragut, pencuri dan pemeras ugut, malah lebih mulia daripada sesetengah orang yang berkuasa —bermodalkan uniform dan kuasa untuk memeras ugut kita.

No comments:

Post a Comment