Monday, January 31, 2011

KEPUTUSAN PRK DUN TENANG

BERNAMA melaporkan begini:

Perolehan undi MOHD AZAHAR IBRAHIM (BN) = 6 699

Perolehan undi NORMALA SUDIRMAN (PAS) = 2 992

Majoriti yang diperoleh BN = 3 707 (6 699 – 2 992)

Yang keluar mengundi = 9 833 (67%)

Tetapi, 6 699 undi + 2 992 undi = 9 691

Eh, tak cukup 142 lagi! Macam mana ni? Jangan terkejut. Yang 142 lagi itu rosak!

BERITA HARIAN pula melaporkan begini:

Perolehan undi MOHD AZAHAR IBRAHIM (BN) = 6 699

Perolehan undi NORMALA SUDIRMAN (PAS) = 2 992

Majoriti yang diperoleh BN = 3 707 (6 699 – 2 992)

Yang keluar mengundi = 10 579 (71.8%)

Tetapi, 6 699 undi + 2 992 undi = 9 691

Jadi, mana perginya 888 undi lagi itu? Macam mana ni? Undi rosak cuma 142 sahaja. 888 – 142 = 746. Jadi, mana perginya 746 undi lagi?

Engkau biar betul, Bernama ... Berita Harian.... Aku tak tengok TV tadi.

Tahniahlah, BN! Kamu telah menang bergaya walaupun bukan majoriti 5 000 undi. Lain kali, patut-patutlah kalau hendak membuat sesuatu unjuran!

Cikgu Mala? Jangan sedih. Kamu mungkin menang kalau calon BN di Tenang ialah Chua Soi Lek.

Sunday, January 30, 2011

Kalau Normala Menang, Apakah dan Siapakah yang Akan Turun?

Kita terima sahajalah kaji selidik yang dilakukan oleh ILHAM Centre — bahawa PAS sekali lagi akan ditendang oleh UMNO-BN di Tenang, tetapi bukanlah dengan majoriti seperti yang dijangkakan oleh UMNO-BN. UMNO-BN mengunjurkan mereka akan menang dengan majoriti sekitar 5 000 undi. ILHAM menyelidik dan hasil penyelidikan mereka pula melahirkan angka-angka ini — UMNO-BN akan dipangkah oleh 73.1% orang Melayu, 48.6% orang Cina, 50% orang India, dan 75% kaum lain. ILHAM Centre mendapati bahawa PAS bakal ditewaskan UMNO-BN dengan majoriti sekitar 3 000 undi sahaja.

Tidak pelik kalau PAS kalah di Tenang (Johor). Maksudnya, tidak pelik kalau UMNO-BN menang di situ (sama keadaannya dengan kemenangan DSAI di Permatang Pauh atau DSMN di Pekan). Cuma kita hendak tahu, adakah orang-orang UMNO yang berjawatan dalam parti di Bahagian Labis terlibat dalam kaji selidik itu? Atau kalau mereka terlibat dalam kaji selidik itu (disoal selidik), adakah orang-orang UMNO yang berjawatan di Bahagian Labis itu jujur dalam memberikan maklum balas? Kita perlu berasa pelik tentang hal ini kerana khabarnya Azhar bukan orang berjawatan dalam parti di Bahagian Labis. Kerana Azhar yang terpilih sebaliknya yang berjawatan dalam parti tersisih, tidakkah nanti ada yang memprotes? Kalau jumlahnya banyak, bagaimana?

Wajah Cikgu Normala Sudirman seperti ada aura yang menjurus kepada kemenangan. UMNO-BN tidak takutkah? Wajah Azhar seperti ditimbuni masalah. Apa hal?

Baik ILHAM, baik Tuan Puan dan Sdr/i, serta saya sendiri — kaji selidik atau telahan dan perasaan (seperti saya yang merasakan bahawa Cikgu Normala akan menang) belum tentu benar. Yang benar ialah harga sawit naik, harga getah naik. Harga gula naik, harga ayam naik. Harga roti canai naik, harga kopi dan teh naik. Harga RON97 dan harga gas akan segera naik kalau harganya di pasaran dunia naik, tetapi kalau harga pasaran dunia turun, harganya tetap “terapung-apung” pada harga yang dinaikkan itu.

Darah orang yang berjawatan dalam parti tetapi tidak dipilih sebagai calon di Tenang tentu naik juga, sama seperti darah rakyat marhaen yang berdepan dengan masalah kenaikan harga barang sehingga dalam hati mereka tidak Tenang. Tetapi, kalau Cikgu Normala menang pula, harga gula, harga ayam, harga roti canai, harga kopi dan teh, serta harga RON97 dan harga gas akan turunkah?

Tentulah tidak turun tetapi mungkin kemenangan itu akan menjadi petunjuk kepada turunnya kuasa sang pemerintah kalau PRU dilangsungkan tahun ini!

Friday, January 28, 2011

Pindaan terhadap “Interlok”: Wajar atau Tidak?

Novel Interlok ditulis dalam bahasa Melayu oleh penulis berbangsa Melayu. Penulis itu sudah tentulah kalau berfikir pun akan menggunakan bahasa Melayu juga. Dalam erti kata yang lain, bahasa Melayu bersebati dan hidup segar-bugar dalam dirinya dan dengan demikian, beliau sangat arif akan apa-apa yang ditulisnya.

Hal ini tidak mungkin atau tidak banyak berlaku pada orang bukan Melayu. Kalaupun mereka menulis karya dalam bahasa Melayu, bercakap dalam bahasa Melayu, tetapi sebagai penutur asli bahasa Tamil, Cina, Inggeris, misalnya, mereka tidak mungkin akan berfikir atau berangan-angan tentang sesuatu perkara/hal dalam bahasa Melayu juga. Mereka kebanyakannya akan berfikir dan berangan-angan dalam bahasa asli mereka. Kelompangan seperti inilah yang menjadikan mereka tidak betul-betul bersebati dengan bahasa Melayu. Sama halnya dengan orang Melayu. Ibu saya, misalnya, sangat fasih berbahasa Tamil, tetapi beliau tidak berfikir dan berangan-angan dalam bahasa itu. Hal ini menghalang beliau untuk memahami secara keseluruhan budaya berbahasa bangsa India.

Tentang perkataan “makan”, misalnya, apabila orang Melayu berkata: “Pisau ini tidak makan.” atau “Dia bekerja makan gaji.” atau “Kawan aku itu tidak makan nasihat.” atau “Kerja itu memakan masa yang lama.” atau “Kalau memandu, jangan sampai makan jalan orang.” dan lain-lain, orang Melayu lazimnya tidak perlu merujuk kepada kamus untuk mengetahui maksudnya. Hal ini jarang-jarang berlaku kepada orang bukan penutur asli bahasa Melayu. Tahap kefahaman mereka terhadap penggunaan kata “makan” dalam ayat-ayat itu tidak sama dengan orang Melayu.

Demikianlah halnya apabila pengarang memuatkan perkataan “Paria” dalam novel Interlok itu. Beliau sangat arif akan maksudnya kerana perkataan “Paria” dalam bahasa Melayu tidak merujuk kepada perangai, sifat, atau tabiat, atau apa-apa yang negatif. Beliau sedar bahawa dalam bahasa Melayu, makna yang didukung oleh perkataan “Paria” hanyalah “orang atau golongan yang paling rendah kastanya di India” (Kamus Dewan Edisi Keempat). Itulah satu-satunya definisi yang ada untuk perkataan “Paria” dalam bahasa Melayu berdasarkan kamus yang berautoriti.

Hal ini berbeza dengan bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris meletakkan makna yang sangat buruk untuk perkataan “Paria” yang dieja mereka sebagai “Pariah” itu, iaitu:
  • a person who is avoided or not accepted by a social group, esp. because he or she is not liked, respected, or trusted; an outcast

(Cambridge Dictionary of American English)

  • someone who everyone hates and avoids SYN outcast.
(Longman Dictionary of Contemporary English)

Perkataan “outcast” yang disinonimkan dengan perkataan “Pariah” itu pula didefinisikan sebagai:
  • someone who is not accepted by the people they live among, or who has been forced out of their home

(Longman Dictionary of Contemporary English)

  • a person who has no place in their society or in a particular group, because the society or group refuses to accept them

(Cambridge Advanced Learner's Dictionary)

Jadi, apabila perkataan “Pariah” yang ada dalam novel itu dijadikan sebagai sasaran kemarahan oleh kaum India sehingga mereka merasakan novel itu perlu dinyahkan daripada pembacaan pelajar, saya fikir perbuatan itu sangat tidak berasas. Novel itu perlu dibaca dan difahami isinya dalam bahasa Melayu dan bukannya dirujuk kepada bahasa Inggeris.

Walau bagaimanapun, pihak Kementerian Pelajaran, seperti yang dijelaskan oleh Menterinya (Tan Sri Muhyiddin Yassin), telah membuat keputusan tentang novel ini — bahawa novel itu akan terus dipelajari, dihayati, dan didalami oleh pelajar di Tingkatan 5 (di KL, Putrajaya, Selangor, dan NS) setelah pindaan (yang akan dilakukan oleh panel bebas yang dilantik) dibuat.

Sama ada perkataan “Paria” dan peristiwa yang berkaitan dengannya serta hal-hal lain yang berkaitan dengan masyarakat India akan dibuang atau tidak, tidaklah dapat dipastikan tetapi pindaan memang akan dilakukan oleh panel bebas yang akan direstui ... oleh Kementerian Pelajaran.

Adakah pengarangnya akan memberikan restu terhadap pindaan itu kelak? Beliau ada memberikan kenyataan sebelum ini bahawa beliau tidak membenarkannya dibuang (dipinda?). Pihak NGO Melayu juga (PENA, PERKASA, GAPENA) bertegas dalam hal ini — yang dikatakan sebagai sensitif itu tidak perlu dibuang kerana kesensitifan itu tidak wujud.

Pendirian saya? Elok ada pindaan walaupun langkah itu menampakkan bahawa orang India seperti memiliki keistimewaan dalam hal menapis karya berbahasa Melayu! Kalau ditarik terus pula, kelihatannya satu pihak saja yang menang. Lagipun, pada pandangan saya, yang dipinda hanya Edisi Murid untuk KOMSAS sahaja. Yang asli tidak kena-mengena. Walau bagaimanapun, sebagai orang yang berprinsip, pengarang berhak untuk menarik penggunaan novel itu.

Wednesday, January 19, 2011

“Merah Silu” dalam KOMSAS

[Entri ini khusus ditulis untuk perhatian guru-guru dan pelajar-pelajar di Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 serta para editor dan penulis.]

Naskhah untuk KOMSAS pada semua peringkat sudah diganti dengan naskhah yang baharu. Seperti yang diketahui, untuk Tingkatan 4, antologi Anak Laut telah diganti dengan antologi Harga Remaja. Untuk Tingkatan 5 pula, antologi Kerusi telah diambil alih oleh antologi Dirgahayu Bahasaku.

Dalam antologi Harga Remaja (Tingkatan 4), terdapat sebuah karya daripada genre prosa klasik yang berjudul “Merah Silu”. Cerita “Merah Silu” itu dipetik daripada Hikayat Raja-raja Pasai. Saya tidak pernah habis membaca hikayat itu walaupun pernah memilikinya (sekarang tidak dapat dikesan duduknya naskhah itu). Jadi, hal tentang Puteri Betong hanya saya dengar daripada mulut kawan dan guru semasa di Tingkatan 6 dahulu — bahawa “Puteri Betong hilang/ghaib apabila rambutnya yang keemasan di tengah-tengah kepalanya itu dicabut oleh suaminya, Merah Gajah”.

Begitu juga halnya apabila saya menerima skrip ulasan tentang karya itu daripada para pengarang yang saya pilih untuk dimuatkan dalam buku-buku kerja dan buku-buku ulang kaji Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 baru-baru ini. Dalam bahagian sinopsis, mereka mengatakan bahawa “Puteri Betonghilang/ghaib setelah rambut keemasannya itu dicabut”.

Oleh sebab saya tidak pernah membaca Hikayat Raja-raja Pasai hingga habis, maka sebahagian cerita daripada hikayat itu yang terkandung dalam antologi Harga Remaja itu saya hayati dengan cermat. Maka, saya beroleh maklumat baharu tentang Puteri Betong — bahawa beliau sebenarnya bukanlah ghaib tetapi beliau sebenarnya MATI/MENINGGAL DUNIA.

Saya pun mengubah fakta itu dalam sinopsis yang ditulis oleh pengarang yang dilantik itu. Maka, dalam buku yang saya tangani yang diterbitkan oleh syarikat tempat saya bertugas, tercatat fakta dalam bahagian Sinopsis bahawa Puteri Betong mati kerana Merah Gajah telah mencabut rambut keemasannya itu.

Walau bagaimanapun, saya agak terkejut apabila mendapati bahawa kebanyakan buku yang diterbitkan oleh penerbit lain (yang saya jadikan sebagai bandingan kemudiannya) tetap menyatakan bahawa “Puteri Betonghilang/ghaib”. Saya seperti bersendirian. Saya rujuk kepada cerita itu semula dalam antologi itu dan saya dapati bahawa Puteri Betong memang bukan ghaib/hilang/lesap, sebaliknya ia mati/meninggal dunia.

Saya membuat kesimpulan bahawa hal itu berlaku demikian kerana mereka (pengarang dan editor) hanya merujuk kepada perenggan yang berikut:

Beberapa kali diminta oleh Merah Gajah untuk mencabut rambut itu, tetapi tidak dibenarkan oleh isterinya. Pada suatu hari, semasa isterinya sedang tidur, Merah Gajah mencabut rambut isterinya yang berwarna keemasan itu. Baginda menyangka tiada apa-apa yang akan berlaku. Apabila rambut itu tercabut, keluarlah darah dari liang rambut. Sebaik sahaja darahnya berhenti maka Puteri Betong pun hilanglah.
(Antologi Harga Remaja, hlm 51)

Kata “hilanglah” dalam perenggan itu, saya yakin, telah difahami oleh pengarang dan editor sebagai “ghaib” atau “lesap”. Walhal pada hakikatnya ialah, kata “hilang” itu merupakan suatu unsur eufemisme (ungkapan yang lembut bagi menggantikan ungkapan yang lebih kasar) dalam bahasa Melayu. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat sendiri, kata “hilang” diberi enam maksud. Maksudnya yang keenam ialah “mati, mangkat, meninggal”.

Ada kalangan pengarang dan editor yang beralasan bahawa dalam pengajaran KOMSAS, pelajar hanya perlu diajar tentang maksud tersurat daripada sesuatu ayat atau perkataan (dalam erti kata lain, maksud tersurat kata “hilang” hanya “ghaib” semata-mata). Hal itu memang betul, tetapi dalam konteks cerita ini, keseluruhan jalan cerita perlu difahami. Dalam hal ini, perenggan kedua di halaman 52 telah menjelaskan bahawa Puteri Betong memang MATI/MENINGGAL DUNIA bukannya GHAIB/LESAP:

Setelah Merah Gajah mati, segera orang memberitahu ayahanda Merah Gajah, Raja Ahmad. Kata mereka, “Wah tuanku paduka, anakanda Merah Gajah itu telah mati dibunuh oleh mentuanya sebab ia membantunkan rambut sehelai yang di tengah-tengah kepala Puteri Betong! Pada fikiran anakanda Merah Gajah perbuatannya itu tiada akan mati Puteri Betong kerana mencabut rambut yang berwarna keemasan itu.”
(Antologi Harga Remaja, hlm 52)

Kalau dialihbentukkan ungkapan klasik itu ke dalam bahasa Melayu moden, pengikut Merah Gajah itu berkata begini:

“Wahai paduka tuanku! Merah Gajah telah mati sebagai akibat dibunuh oleh (bapa) mentuanya kerana beliau telah mencabut sehelai rambut yang terdapat di tengah-tengah kepala Puteri Betong! Merah Gajah tidak menyangka bahawa Puteri Betong akan mati apabila rambutnya yang berwarna keemasan itu dicabut.”

Saya melayari Internet untuk memastikan pendirian saya betul dan saya menemukan nota rujukan KOMSAS (yang disediakan oleh pihak BPK/Bahagian Perkembangan Kurikulum) dalam http://lamanbahasa.files.wordpress.com/2010/03/nota-rujukan-prosa-tradisional-merah-silu.pdf dan http://bm.cemerlangbm.com/index.php?option=com_content&view=article&id=214:prosa-tradisional-merah-silu-tg4&catid=45:notaspm&Itemid=57.

Nota itu ditulis begini:

Kisah bermula apabila Merah Gajah yang berkahwin dengan Puteri Betong telah dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Merah Silu dan Merah Hasum. Pada awalnya Merah Gajah tidak mengetahui isterinya mempunyai sehelai rambut berwarna keemasan di tengah kepala sehingga beliau terpandang isterinya menyikat rambut. Merah Gajah mahu mencabut rambut tersebut tetapi dihalang oleh isterinya. Sewaktu Puteri Betong tidur, Merah Gajah telah mencabut rambut tersebut menyebabkan keluar darah dari liang-liang rambut sehingga menyebabkan kematiannya.

Hal ini bukanlah isu negara yang memerlukan perhatian yang bukan sedikit daripada kita, tetapi untuk membuktikan bahawa kita (guru, pengarang, dan editor) faham akan jalan ceritanya, kita mestilah membetulkan kesalahan itu. Kelak, kalau bahagian inilah yang dipetik untuk dijadikan sebagai soalan dalam peperiksaan SPM (misalnya disoal “Apakah yang terjadi kepada Puteri Betong apabila rambutnya dicabut oleh Merah Gajah” atau “Apakah punca kemarahan Raja Muhammad sehingga menyebabkan baginda membunuh Merah Gajah”, tidaklah pelajar menjawab “Puteri Betong telah ghaib” atau “Kemarahan itu timbul kerana Merah Gajah telah mencabut rambut keemasan Puteri Betong yang telah menyebabkan puteri itu ghaib”.

Semua orang — guru, penulis, dan editor — bertanggungjawab untuk membetulkannya demi pelajar!

Sunday, January 16, 2011

DUN Tenang Bakal Selamatkan “Interlok”?

PRK DUN Tenang (N05) akan berlangsung pada 30 Januari akan datang. Kerusi DUN itu, pada PRU12, dimenangi oleh UMNO-BN melalui wakilnya, Datuk Sulaiman Taha, dengan majoriti 2,492 undi. Calon yang ditewaskan oleh Datuk Sulaiman ialah Tuan Haji Mad Saim Siran yang mewakili PAS-Pakatan Rakyat. Pilihan raya kecil kerusi DUN itu terpaksa diadakan selepas Datuk Sulaiman Taha meninggal dunia pada 17 Disember lalu.

Pengundi berdaftar di DUN Tenang berjumlah kurang lebih 14,500 orang. Daripada jumlah itu, 50% merupakan pengundi Melayu, 38% pengundi Cina, dan 12% pengundi India.

UMNO-BN, pada pandangan saya, akan memenangi kerusi itu sekali lagi berdasarkan hakikat bahawa Johor merupakan kubu UMNO-BN yang sangat ampuh.

Jadi, wajarkah PAS-Pakatan Rakyat menyaingi UMNO-BN di situ?

Orang Melayu perlu bijak berpolitik. Pada hemat saya, kerusi DUN Tenang akan digunakan oleh pihak yang menentang penggunaan novel “Interlok” untuk memperoleh sesuatu daripada kemenangan UMNO-BN kelak. Pemimpin MIC baru-baru ini berandaian bahawa 80% daripada kira-kira 1,780 orang pengundi berdaftar bangsa India di Tenang akan menyokong calon UMNO-BN. Jika UMNO-BN menang dan terbukti bahawa kemenangan itu memang dibantu oleh 80% pengundi India, ada kemungkinan mereka akan menggunakan sokongan itu untuk mempengaruhi kerajaan dalam hal yang berkaitan dengan “Interlok”!

Jadi, bagaimanakah caranya kita hendak memastikan kerajaan UMNO-BN tidak berasa terhutang budi hingga terpaksa akur terhadap permintaan golongan pendesak itu supaya “Interlok” disingkirkan daripada peranannya sebagai salah satu komponen dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia? Salah satu cara yang paling baik ialah PAS-Pakatan Rakyat tidak meletakkan calon mereka di situ supaya UMNO-BN memenanginya tanpa bertanding. Dengan cara itu, UMNO-BN tidak akan terhutang budi kepada pihak yang berkenaan!

Kita tidak berpolitik dalam isu “Interlok”, tetapi peluang politik yang ternganga di Tenang mungkin akan digunakan oleh pihak tertentu bagi merealisasikan tuntutan mereka. Mahu tidak mahu kita harus menggunakan peluang politik itu demi “Interlok”. Kerana mereka kelihatan keterlaluan, maka kita juga harus demikian.

Wednesday, January 12, 2011

“Interlok” Abdullah Hussain dan Kasta Rendah MG Pandithan

Mendiang MG Pandithan ialah sebahagian daripada MIC (penggerak parti) pada suatu ketika dahulu, tetapi beliau terpaksa angkat kaki daripada parti itu kemudiannya. Kedudukan beliau dalam MIC dan kerajaan pada waktu itu sangat tinggi. Dalam parti, beliau salah seorang Naib Presidennya; dalam kerajaan, beliau Ahli Parlimen Tapah dan menjadi Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan dan Perindustrian.

Tetapi, kerana beliau melontarkan dakwaan bahawa pemimpin parti itu (MIC) gagal memperjuangkan hak masyarakat India serta mendakwa bahawa pemimpin parti itu mengamalkan politik yang berorientasikan kasta, beliau telah diberi surat tunjuk sebab pada 2 Jun 1988 dan disingkirkan daripada parti itu pada 16 Julai 1988.

Namun begitu, sebagai Orang Perjuangan, beliau tidak menghentikan perjuangannya di situ. Pada bulan Ogos 1990, beliau telah menubuhkan parti IPF. Walaupun pada awalnya parti itu menyokong pembangkang – Gagasan Rakyat – pada PRU 1990, hal itu tidak berpanjangan kerana beliau kemudiannya mengalihkan sokongan kepada BN sehingga dilantik sebagai Senator pada tahun 1995 oleh PM pada waktu itu, Dato’ Sri Dr Mahathir Mohamad.

Mengapakah saya bercerita tentang MG Pandithan?

Saya memilih beliau kerana beliau ialah contoh insan berbangsa India yang berkasta rendah. Beliau pernah berkata, “Bukan pilihan saya untuk lahir dalam keluarga berkasta rendah. Ini semua ditentukan oleh Tuhan yang juga menentukan siapa yang akan dilahirkan sebagai Melayu, Cina, atau India. Malangnya manusia tidak menyedarinya.”

Mendiang ialah salah satu contoh bagaimana masyarakat India di Malaysia telah menepis amalan kasta sehingga ada antara mereka yang diangkat sebagai pemimpin. Contoh yang sama itu jugalah yang diketengahkan oleh SN Datuk Abdullah Hussain dalam novel “Interlok”nya. Datuk Abdullah, yang tidak disedari oleh segelintir masyarakat India, rupa-rupanya secara sedar telah mengangkat darjat masyarakat India di Malaysia jauh lebih tinggi daripada yang berada di negara asal mereka, sama seperti masyarakat India yang melonjakkan Mendiang Tan Sri MG Pandithan dalam MIC dan IMP.

Saya mula terfikir, sebenarnya yang menentang penceritaan tentang “kasta” dan “Paria” dalam novel itu adakah benar-benar golongan “Paria” atau golongan yang membenci idea ketidakwujudan kasta di Malaysia seperti yang digambarkan Datuk Abdullah? Maksud saya, adakah penentangan itu didukungi oleh golongan yang empat dalam kasta yang dimaksudkan oleh Datuk Abdullah – Brahmin (pendeta), Ksyatria (pemerintah dan pahlawan), Vaishya (peniaga), dan Sudra (buruh) itu – kerana mereka sebenarnya ingin amalan kasta itu diteruskan. Mereka tidak mahu pendedahan itu akan menyebabkan keseluruhan golongan Paria di Malaysia yang sebenarnya (jika ada) menyuarakan penentangan mereka kepada golongan yang empat itu. Kalau demikianlah halnya, alangkah malangnya nasib golongan Paria yang menyokong penentang itu!

(Sebagai tambahan, dalam masyarakat pengamal kasta (merujuk kepada bangsa India), semua puak yang tidak terlingkung dalam empat golongan yang dinyatakan itu ialah “Paria”. Lantas, orang Melayu, Cina, Benggali, Inggeris, Amerika, dan lain-lain duduk di strata mana dalam kasta itu? Rasa-rasanya, amalan tidak bertamadun yang menyamai ciri-ciri jahiliah itu meletakkan Melayu, Cina, Benggali, Inggeris, Amerika, dan lain-lain sebagai Paria juga!)

Jadi, mengapakah mesti mereka sahaja yang marah? Kita juga harus marah!!! Dan kita jangan marah akan Interlok tetapi kita harus berasa marah akan pencipta kasta dan pengamalnya. Wahai masyarakat India, mari kita alihkan tumpuan!

Sunday, January 9, 2011

Sedikit Lagi tentang “Interlok”

Kekeliruan yang berlaku tentang novel Interlok sebenarnya adalah kerana mereka tidak faham akan bahasa Melayu dan mereka tidak faham akan sastera dengan baik. Kalau tuan-tuan rajin mengembara ke alam maya dan membaca komen-komen mereka atau mana-mana entri yang berkait dengan Interlok, akan tuan-tuan temukan pelbagai salah faham dan salah pengertian golongan yang beria-ia menentang pemilihan novel itu sebagai teks KOMSAS.

Ada yang dengan bodoh-sinis menafikan keberadaan sastera Melayu. Sastera Melayu tidak ada apa-apa dan tidak ke mana-mana, katanya, kerana perkataan sastera itu bukan kata bahasa Melayu tetapi kata daripada bahasa Sanskrit. Kata subjek pula daripada kata bahasa Inggeris. Itulah alasan bodoh-sinis mereka untuk merendahkan martabat kesusasteraan Melayu hanya semata-mata kerana Interlok. Malah, judul Interlok itu direndahkan mereka kerana dipinjam daripada bahasa Inggeris.

Salah seorang yang tidak faham akan kandungan novel itu dengan baik ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah. Beliau yang memahukan kerajaan mengharamkan Interlok terus dan berpandangan bahawa novel itu memang wajar dibakar berkata bahawa “terdapat tulisan dalam karya tersebut menyatakan kaum India di negara ini semuanya berasal daripada kasta Paria dan ia sesuatu yang amat sensitif”.

Salah faham atau lebih tepatnya tidak faham akan cerita itu berlaku walaupun beliau mengaku bahawa beliau telah dua kali membaca Interlok. Kalau kita menjadikan beliau (yang saya rasa berkeupayaan untuk berbahasa Melayu dan memahaminya dengan baik) sebagai wakil kepada orang India Malaysia yang marah akan novel itu, kita dengan mudah menilai tahap kefahaman mereka tentang cerita itu walaupun membacanya dua kali.

Hal ini telah saya contohkan dalam entri saya pada 30 Disember 2010:

Di dalam kapal ini dia tidak susah. Sebahagian besar daripada penumpang dek yang bersama-samanya itu dapat bercakap dalam satu bahasa sahaja, bahasa Tamil. Mereka yang dari arah ke utara sedikit bercakap bahasa Malayalam atau Telugu, tetapi hampir semuanya tahu bahasa Tamil. Malayalam dan Telugu pun berasal dari satu rumpun bahasa Dravidia. Satu perkara besar yang membuatkan mereka senang bergaul adalah kerana mereka tergolong dalam satu kasta Paria. Mereka tidak perlu takut akan mengotori sesiapa kalau bersentuhan. Mereka juga bebas bergaul. Tempat di dalam kapal itu tidak teratur. Mereka berasak-asak seperti kambing.


(Interlok Edisi Murid, hlm 211)

Jelas bahawa petikan itu tidak mengatakan semua orang India di negara ini berasal daripada kasta Paria. Yang dikatakan penulis ialah penumpang kapal itu, dan beliau menggunakan frasa sebahagian besar. Ada juga antara mereka yang mempertikaikan (dengan dipengaruhi oleh sentimen perkauman?) penggunaan simile berasak-asak seperti kambing pada ayat terakhir petikan itu. Mereka marah kerana kononnya mereka disamakan seperti kambing walhal yang disamakan seperti kambing oleh pengarang bukanlah orang India itu tetapi keadaan/suasana sesak di dalam kapal itu.

Demikianlah tahap kefahaman mereka!

Novel ini adalah antara beberapa buah novel (Sandera, Merpati Putih Terbang Lagi, Pulanglah Perantau, Meniti Buih, dan Badan Bertuah) yang terhasil daripada buah fikiran Almarhum Perdana Menteri Kedua, Tun Haji Abdul Razak bin Datuk Hussein, ayahanda Perdana Menteri sekarang, Dato’ Sri Mohd. Najib bersempena dengan usia kemerdekaan Malaysia yang kesepuluh. Tidakkah Dato’ Sri berasa perlu untuk memperkatakan sesuatu tentang buah fikiran almarhum? Apatah lagi sudah sampai tahap bakar-membakar dan menghina penulisnya.

Tidak Juga Turun-turun

Sudah 3-4 hari harga petroleum menjunam, bukan satu dua sen tetapi beratus-ratun sen, namun harga RON97 di Malaysia yang serba boleh ini tidak juga turun-turun walaupun satu sen. Pengapungan harga apa kalau macam ini? Terapung-apung betul kejujuran pemimpin dalam kerajaan kita ini!

Friday, January 7, 2011

Harga RON97 Turun!

“Ye ... ye..., ye ... ye...!” Demikianlah jeritan yang biasa kita dengar daripada mulut kanak-kanak bagi menggambarkan keseronokan mereka apabila mendapat angin-angin bahawa mereka akan beroleh sesuatu. Keriangan seumpama itu turut dizahirkan apabila mereka menyambut kepulangan/kehadiran ahli keluarga mereka seperti ibu, bapa, datuk, nenek, abang, kakak, dan lain-lain. Jika demikian halnya, mereka akan berlaung dengan ucapan, “Ye ... ye..., ayah balik!” atau “Ye ... ye..., atuk datang!” dan lain-lain.

Saya pun hendak bersorak demikian. Saya sedang sangat gembira sekarang kerana harga petroleum di pasaran dunia merudum sedolar lebih. Harganya sekarang lebih rendah daripada waktu harga petrol dinaikkan RM0.10 pada 05 Januari yang baru lalu. Sekarang harganya cuma AS$88.28 sahaja setong. Jadi, saya “yakin sangat” malah saya “ingin sangat” untuk bersorak, “Ye ... ye, harga petrol akan turun ... ye ... ye!”

Bolehkah mereka itu diharapkan? Mereka itu sangat bergantung pada Tongkat Ali – naik cepat, turun lambat!

Tuesday, January 4, 2011

Kematangan Malaysia Mendepani Indonesia

“Perang” Indonesia-Malaysia memang sedia diketahui bahawa bukan bertaraf dingin lagi. Hingga tahap ini, rasa saya “perang” itu sudah melampaui takat “suhu bilik” yang lama-kelamaan mungkin akan bertukar “suam” dan “panas” pula. Ada pihak yang mendakwa bahawa “perang” itu sengaja dicetuskan oleh pihak yang berkepentingan bagi menjarakkan hubungan abang-adik Indonesia-Malaysia.

Hakikat bahawa “perang” itu “sengaja dicetuskan oleh pihak yang berkepentingan” tidak boleh dikesampingkan begitu sahaja. Hal-hal yang bersangkutan dengan hubungan Indonesia-Malaysia, di Indonesia, sering diforumkan lewat media cetak dan media elektronik mereka. Maksudnya ialah, media menjadi pencetus “permusuhan” itu. Siapakah orang kuat di belakang media-media itu?

Memang sedia diketahui bahawa media merupakan medium paling ampuh untuk merosakkan apa-apa sahaja – yang baik dapat dipersepsikan sebagai buruk oleh penonton-pendengar-pembaca dan begitulah sebaliknya. Di Indonesia, media menjadi medium yang sangat baik dan berkesan sebagai perosak hubungan baik antara rakyat kedua-dua buah negara.

Sejak isu Ambalat, pelbagai hal digembar-gemburkan oleh media mereka bagi memanaskan hubungan. Isu seremeh lagu Rasa Sayang, tarian Pendet, batik, dan wayang kulit dibicarakan sepanas-panasnya sehingga Gunung Merapi ikut marah. Tidak cukup dengan itu, perkara-perkara lain seperti rendang dan tempe dibahaskan juga – adakah milik Malaysia atau milik Indonesia? (Mereka jahil tentang hakikat bahawa dalam masyarakat serantau, kebersamaan budaya merupakan suatu kebiasaan. )

Antara yang terbaharu, ada sekumpulan persatuan (BENDERA) yang telah menghina Jalur Gemilang selain menajisi Kedutaan Malaysia dan Jalur Gemilang sendiri. Semuanya kerana Malaysia kononnya telah merendahkan maruah Indonesia dengan melakukan penangkapan ke atas tiga orang pegawai Penguat Kuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia di perairan Bintan pada 13 Ogos 2010.

Yang lebih baharu, mereka melampiaskan pelbagai kecaman dan penghinaan terhadap pasukan bola sepak negara selepas tewas final pusingan pertama di Bukit Jalil. Tuduhan bahawa pasukan Malaysia menggunakan dukun, laser, dan sebagainya dicanang-canangkan semahu-mahunya tanpa malu. Walhal, jika terbukti bahawa Malaysia menggunakan dukun dan ternyata dukun Malaysia sangat “power”, Malaysia sudah pun bergelar sebagai juara Asia atau mungkin juga juara Dunia!

Sama ada rakyat mereka di Sumatera berpendirian sama dengan yang di Pulau Jawa tidaklah diketahui.

Kini, ada kalangan mereka yang sedang berusaha untuk melakukan sesuatu, iaitu “membetulkan” hakikat bahawa Melayu Afrika Selatan bukan Melayu Malaysia seperti yang diketahui dunia tetapi Melayu Indonesia. Melayu Afrika Selatan itu asalnya merupakan hamba bangsa Indonesia yang dibawa oleh Belanda ke Afrika Selatan, dakwa mereka. Golongan inilah yang melahirkan keturunan mereka di sana, dakwa mereka lagi. Dalam erti kata yang lain, mereka tidak akan membiarkan Malaysia “mendakwa sesuatu bukan milik mereka sebagai hak mereka”.

Berita yang “dibocorkan” oleh Wikileak (entahkan betul entahkan fitnah) bahawa ada seorang Menteri (mantan atau masih?) di Malaysia yang merogol pembantu rumahnya beberapa tahun dulu, mungkin akan mencetuskan “kemarahan” baharu pula. Celaan dan cacian baharu pasti akan (atau sudah pun) muncul. Saya belum sanggup untuk melayarinya.

Namun, kita masih selamba – masih membiarkan bangsa Indonesia merajai tapak niaga di pasar malam; masih membiarkan mereka membuka petempatan haram; masih sambalewa menghapuskan mereka yang ilegal.

Semua hal ini berlaku begitu – selamba, sambalewa, dan toleran – kerana kita sangat matang. Kita sedar bahawa kita saling memerlukan. Kita juga sedar bahawa sebarang permusuhan antara kita tidak akan menjadikan kita lebih kuat tetapi akan menjadikan kita lebih bangsat!