Kita terima sahajalah kaji selidik yang dilakukan oleh ILHAM Centre — bahawa PAS sekali lagi akan ditendang oleh UMNO-BN di Tenang, tetapi bukanlah dengan majoriti seperti yang dijangkakan oleh UMNO-BN. UMNO-BN mengunjurkan mereka akan menang dengan majoriti sekitar 5 000 undi. ILHAM menyelidik dan hasil penyelidikan mereka pula melahirkan angka-angka ini — UMNO-BN akan dipangkah oleh 73.1% orang Melayu, 48.6% orang Cina, 50% orang India, dan 75% kaum lain. ILHAM Centre mendapati bahawa PAS bakal ditewaskan UMNO-BN dengan majoriti sekitar 3 000 undi sahaja.
Tidak pelik kalau PAS kalah di Tenang (Johor). Maksudnya, tidak pelik kalau UMNO-BN menang di situ (sama keadaannya dengan kemenangan DSAI di Permatang Pauh atau DSMN di Pekan). Cuma kita hendak tahu, adakah orang-orang UMNO yang berjawatan dalam parti di Bahagian Labis terlibat dalam kaji selidik itu? Atau kalau mereka terlibat dalam kaji selidik itu (disoal selidik), adakah orang-orang UMNO yang berjawatan di Bahagian Labis itu jujur dalam memberikan maklum balas? Kita perlu berasa pelik tentang hal ini kerana khabarnya Azhar bukan orang berjawatan dalam parti di Bahagian Labis. Kerana Azhar yang terpilih sebaliknya yang berjawatan dalam parti tersisih, tidakkah nanti ada yang memprotes? Kalau jumlahnya banyak, bagaimana?
Wajah Cikgu Normala Sudirman seperti ada aura yang menjurus kepada kemenangan. UMNO-BN tidak takutkah? Wajah Azhar seperti ditimbuni masalah. Apa hal?
Baik ILHAM, baik Tuan Puan dan Sdr/i, serta saya sendiri — kaji selidik atau telahan dan perasaan (seperti saya yang merasakan bahawa Cikgu Normala akan menang) belum tentu benar. Yang benar ialah harga sawit naik, harga getah naik. Harga gula naik, harga ayam naik. Harga roti canai naik, harga kopi dan teh naik. Harga RON97 dan harga gas akan segera naik kalau harganya di pasaran dunia naik, tetapi kalau harga pasaran dunia turun, harganya tetap “terapung-apung” pada harga yang dinaikkan itu.
Tentulah tidak turun tetapi mungkin kemenangan itu akan menjadi petunjuk kepada turunnya kuasa sang pemerintah kalau PRU dilangsungkan tahun ini!
No comments:
Post a Comment