Wednesday, January 19, 2011

“Merah Silu” dalam KOMSAS

[Entri ini khusus ditulis untuk perhatian guru-guru dan pelajar-pelajar di Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 serta para editor dan penulis.]

Naskhah untuk KOMSAS pada semua peringkat sudah diganti dengan naskhah yang baharu. Seperti yang diketahui, untuk Tingkatan 4, antologi Anak Laut telah diganti dengan antologi Harga Remaja. Untuk Tingkatan 5 pula, antologi Kerusi telah diambil alih oleh antologi Dirgahayu Bahasaku.

Dalam antologi Harga Remaja (Tingkatan 4), terdapat sebuah karya daripada genre prosa klasik yang berjudul “Merah Silu”. Cerita “Merah Silu” itu dipetik daripada Hikayat Raja-raja Pasai. Saya tidak pernah habis membaca hikayat itu walaupun pernah memilikinya (sekarang tidak dapat dikesan duduknya naskhah itu). Jadi, hal tentang Puteri Betong hanya saya dengar daripada mulut kawan dan guru semasa di Tingkatan 6 dahulu — bahawa “Puteri Betong hilang/ghaib apabila rambutnya yang keemasan di tengah-tengah kepalanya itu dicabut oleh suaminya, Merah Gajah”.

Begitu juga halnya apabila saya menerima skrip ulasan tentang karya itu daripada para pengarang yang saya pilih untuk dimuatkan dalam buku-buku kerja dan buku-buku ulang kaji Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 baru-baru ini. Dalam bahagian sinopsis, mereka mengatakan bahawa “Puteri Betonghilang/ghaib setelah rambut keemasannya itu dicabut”.

Oleh sebab saya tidak pernah membaca Hikayat Raja-raja Pasai hingga habis, maka sebahagian cerita daripada hikayat itu yang terkandung dalam antologi Harga Remaja itu saya hayati dengan cermat. Maka, saya beroleh maklumat baharu tentang Puteri Betong — bahawa beliau sebenarnya bukanlah ghaib tetapi beliau sebenarnya MATI/MENINGGAL DUNIA.

Saya pun mengubah fakta itu dalam sinopsis yang ditulis oleh pengarang yang dilantik itu. Maka, dalam buku yang saya tangani yang diterbitkan oleh syarikat tempat saya bertugas, tercatat fakta dalam bahagian Sinopsis bahawa Puteri Betong mati kerana Merah Gajah telah mencabut rambut keemasannya itu.

Walau bagaimanapun, saya agak terkejut apabila mendapati bahawa kebanyakan buku yang diterbitkan oleh penerbit lain (yang saya jadikan sebagai bandingan kemudiannya) tetap menyatakan bahawa “Puteri Betonghilang/ghaib”. Saya seperti bersendirian. Saya rujuk kepada cerita itu semula dalam antologi itu dan saya dapati bahawa Puteri Betong memang bukan ghaib/hilang/lesap, sebaliknya ia mati/meninggal dunia.

Saya membuat kesimpulan bahawa hal itu berlaku demikian kerana mereka (pengarang dan editor) hanya merujuk kepada perenggan yang berikut:

Beberapa kali diminta oleh Merah Gajah untuk mencabut rambut itu, tetapi tidak dibenarkan oleh isterinya. Pada suatu hari, semasa isterinya sedang tidur, Merah Gajah mencabut rambut isterinya yang berwarna keemasan itu. Baginda menyangka tiada apa-apa yang akan berlaku. Apabila rambut itu tercabut, keluarlah darah dari liang rambut. Sebaik sahaja darahnya berhenti maka Puteri Betong pun hilanglah.
(Antologi Harga Remaja, hlm 51)

Kata “hilanglah” dalam perenggan itu, saya yakin, telah difahami oleh pengarang dan editor sebagai “ghaib” atau “lesap”. Walhal pada hakikatnya ialah, kata “hilang” itu merupakan suatu unsur eufemisme (ungkapan yang lembut bagi menggantikan ungkapan yang lebih kasar) dalam bahasa Melayu. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat sendiri, kata “hilang” diberi enam maksud. Maksudnya yang keenam ialah “mati, mangkat, meninggal”.

Ada kalangan pengarang dan editor yang beralasan bahawa dalam pengajaran KOMSAS, pelajar hanya perlu diajar tentang maksud tersurat daripada sesuatu ayat atau perkataan (dalam erti kata lain, maksud tersurat kata “hilang” hanya “ghaib” semata-mata). Hal itu memang betul, tetapi dalam konteks cerita ini, keseluruhan jalan cerita perlu difahami. Dalam hal ini, perenggan kedua di halaman 52 telah menjelaskan bahawa Puteri Betong memang MATI/MENINGGAL DUNIA bukannya GHAIB/LESAP:

Setelah Merah Gajah mati, segera orang memberitahu ayahanda Merah Gajah, Raja Ahmad. Kata mereka, “Wah tuanku paduka, anakanda Merah Gajah itu telah mati dibunuh oleh mentuanya sebab ia membantunkan rambut sehelai yang di tengah-tengah kepala Puteri Betong! Pada fikiran anakanda Merah Gajah perbuatannya itu tiada akan mati Puteri Betong kerana mencabut rambut yang berwarna keemasan itu.”
(Antologi Harga Remaja, hlm 52)

Kalau dialihbentukkan ungkapan klasik itu ke dalam bahasa Melayu moden, pengikut Merah Gajah itu berkata begini:

“Wahai paduka tuanku! Merah Gajah telah mati sebagai akibat dibunuh oleh (bapa) mentuanya kerana beliau telah mencabut sehelai rambut yang terdapat di tengah-tengah kepala Puteri Betong! Merah Gajah tidak menyangka bahawa Puteri Betong akan mati apabila rambutnya yang berwarna keemasan itu dicabut.”

Saya melayari Internet untuk memastikan pendirian saya betul dan saya menemukan nota rujukan KOMSAS (yang disediakan oleh pihak BPK/Bahagian Perkembangan Kurikulum) dalam http://lamanbahasa.files.wordpress.com/2010/03/nota-rujukan-prosa-tradisional-merah-silu.pdf dan http://bm.cemerlangbm.com/index.php?option=com_content&view=article&id=214:prosa-tradisional-merah-silu-tg4&catid=45:notaspm&Itemid=57.

Nota itu ditulis begini:

Kisah bermula apabila Merah Gajah yang berkahwin dengan Puteri Betong telah dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Merah Silu dan Merah Hasum. Pada awalnya Merah Gajah tidak mengetahui isterinya mempunyai sehelai rambut berwarna keemasan di tengah kepala sehingga beliau terpandang isterinya menyikat rambut. Merah Gajah mahu mencabut rambut tersebut tetapi dihalang oleh isterinya. Sewaktu Puteri Betong tidur, Merah Gajah telah mencabut rambut tersebut menyebabkan keluar darah dari liang-liang rambut sehingga menyebabkan kematiannya.

Hal ini bukanlah isu negara yang memerlukan perhatian yang bukan sedikit daripada kita, tetapi untuk membuktikan bahawa kita (guru, pengarang, dan editor) faham akan jalan ceritanya, kita mestilah membetulkan kesalahan itu. Kelak, kalau bahagian inilah yang dipetik untuk dijadikan sebagai soalan dalam peperiksaan SPM (misalnya disoal “Apakah yang terjadi kepada Puteri Betong apabila rambutnya dicabut oleh Merah Gajah” atau “Apakah punca kemarahan Raja Muhammad sehingga menyebabkan baginda membunuh Merah Gajah”, tidaklah pelajar menjawab “Puteri Betong telah ghaib” atau “Kemarahan itu timbul kerana Merah Gajah telah mencabut rambut keemasan Puteri Betong yang telah menyebabkan puteri itu ghaib”.

Semua orang — guru, penulis, dan editor — bertanggungjawab untuk membetulkannya demi pelajar!

6 comments:

  1. Salam, Tuan Zulkifli.

    Tahniah dan terima kasih kerana telah menganalisis teks ini dengan baik sekali. Sebagai bekas pelajar yang pernah mengkhusus dalam bidang Kesusasteraan Melayu satu ketika dahulu, saya menganggap analisis ini mudah. Namun selepas membaca catatan tuan, baru saya berasa jelas dan faham. Tanpa asas dalam bidang analisis sastera dan ditambah dengan ketiadaan minat bagi memahaminya, teks ini boleh disalah faham sebegitu sekali. Maka tidak mustahil novel Interlok menjadi mangsa keadaan. Apa pun, catatan tuan kali ini menyebabkan saya teringin membaca cerita itu... Hehehe

    ReplyDelete
  2. Salam, Cikgu,
    Saya terkilan kerana banyak pengarang (yang kebanyakannya guru) dan editor yang tidak mendalami teks itu sebaik-baiknya sehingga kemudiannya menghasilkan kupasan yang salah.

    Saya juga akan mencari di manakah diamnya naskhah Hikayat Raja-raja Pasai saya.

    Interlok? Saya terus berharap agar naskhah itu terus kekal dipelajari.

    ReplyDelete
  3. Salam, walaupun saya tidak membuat ulasan karya berkenaan, tapi saya bersetuju dengan pandangan Tuan.

    ReplyDelete
  4. Saya telah mempermudah Hikayat Raja-raja Pasai itu dalam bentuk yang ringkas untuk bacaan kanak-kanak dan remaja terbitan Cerdik Publications dan Majlis Buku Kebangsaan, KPM. Kebetulan bahagian tersebut saya yang buat.

    ReplyDelete
  5. Salam, Cikgu Ghazali,
    Terima kasih, Cikgu. Saya berharap agar Cikgu dapat memperjelas hal ini kepada rakan-rakan guru dan pelajar-pelajar.

    ReplyDelete