Tuesday, January 4, 2011

Kematangan Malaysia Mendepani Indonesia

“Perang” Indonesia-Malaysia memang sedia diketahui bahawa bukan bertaraf dingin lagi. Hingga tahap ini, rasa saya “perang” itu sudah melampaui takat “suhu bilik” yang lama-kelamaan mungkin akan bertukar “suam” dan “panas” pula. Ada pihak yang mendakwa bahawa “perang” itu sengaja dicetuskan oleh pihak yang berkepentingan bagi menjarakkan hubungan abang-adik Indonesia-Malaysia.

Hakikat bahawa “perang” itu “sengaja dicetuskan oleh pihak yang berkepentingan” tidak boleh dikesampingkan begitu sahaja. Hal-hal yang bersangkutan dengan hubungan Indonesia-Malaysia, di Indonesia, sering diforumkan lewat media cetak dan media elektronik mereka. Maksudnya ialah, media menjadi pencetus “permusuhan” itu. Siapakah orang kuat di belakang media-media itu?

Memang sedia diketahui bahawa media merupakan medium paling ampuh untuk merosakkan apa-apa sahaja – yang baik dapat dipersepsikan sebagai buruk oleh penonton-pendengar-pembaca dan begitulah sebaliknya. Di Indonesia, media menjadi medium yang sangat baik dan berkesan sebagai perosak hubungan baik antara rakyat kedua-dua buah negara.

Sejak isu Ambalat, pelbagai hal digembar-gemburkan oleh media mereka bagi memanaskan hubungan. Isu seremeh lagu Rasa Sayang, tarian Pendet, batik, dan wayang kulit dibicarakan sepanas-panasnya sehingga Gunung Merapi ikut marah. Tidak cukup dengan itu, perkara-perkara lain seperti rendang dan tempe dibahaskan juga – adakah milik Malaysia atau milik Indonesia? (Mereka jahil tentang hakikat bahawa dalam masyarakat serantau, kebersamaan budaya merupakan suatu kebiasaan. )

Antara yang terbaharu, ada sekumpulan persatuan (BENDERA) yang telah menghina Jalur Gemilang selain menajisi Kedutaan Malaysia dan Jalur Gemilang sendiri. Semuanya kerana Malaysia kononnya telah merendahkan maruah Indonesia dengan melakukan penangkapan ke atas tiga orang pegawai Penguat Kuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia di perairan Bintan pada 13 Ogos 2010.

Yang lebih baharu, mereka melampiaskan pelbagai kecaman dan penghinaan terhadap pasukan bola sepak negara selepas tewas final pusingan pertama di Bukit Jalil. Tuduhan bahawa pasukan Malaysia menggunakan dukun, laser, dan sebagainya dicanang-canangkan semahu-mahunya tanpa malu. Walhal, jika terbukti bahawa Malaysia menggunakan dukun dan ternyata dukun Malaysia sangat “power”, Malaysia sudah pun bergelar sebagai juara Asia atau mungkin juga juara Dunia!

Sama ada rakyat mereka di Sumatera berpendirian sama dengan yang di Pulau Jawa tidaklah diketahui.

Kini, ada kalangan mereka yang sedang berusaha untuk melakukan sesuatu, iaitu “membetulkan” hakikat bahawa Melayu Afrika Selatan bukan Melayu Malaysia seperti yang diketahui dunia tetapi Melayu Indonesia. Melayu Afrika Selatan itu asalnya merupakan hamba bangsa Indonesia yang dibawa oleh Belanda ke Afrika Selatan, dakwa mereka. Golongan inilah yang melahirkan keturunan mereka di sana, dakwa mereka lagi. Dalam erti kata yang lain, mereka tidak akan membiarkan Malaysia “mendakwa sesuatu bukan milik mereka sebagai hak mereka”.

Berita yang “dibocorkan” oleh Wikileak (entahkan betul entahkan fitnah) bahawa ada seorang Menteri (mantan atau masih?) di Malaysia yang merogol pembantu rumahnya beberapa tahun dulu, mungkin akan mencetuskan “kemarahan” baharu pula. Celaan dan cacian baharu pasti akan (atau sudah pun) muncul. Saya belum sanggup untuk melayarinya.

Namun, kita masih selamba – masih membiarkan bangsa Indonesia merajai tapak niaga di pasar malam; masih membiarkan mereka membuka petempatan haram; masih sambalewa menghapuskan mereka yang ilegal.

Semua hal ini berlaku begitu – selamba, sambalewa, dan toleran – kerana kita sangat matang. Kita sedar bahawa kita saling memerlukan. Kita juga sedar bahawa sebarang permusuhan antara kita tidak akan menjadikan kita lebih kuat tetapi akan menjadikan kita lebih bangsat!

2 comments:

  1. Salam, tuan.
    Keadaan ini membuktikan bahawa kita lebih banyak dan lebih bijak menggunakan akal fikiran... :)

    ReplyDelete
  2. Salam, Cikgu
    Demikianlah hakikatnya dan kita harus bersyukur.

    Yang wujud dalam hati mereka adalah lebih kepada iri, hasad, dengki.

    ReplyDelete