Friday, July 27, 2012

Perampokan Fadilat Saf Pertama

SAYA tiba awal di masjid untuk bersolat Jumaat. Kerana tiba awal, saya memilih untuk berada di saf paling hadapan, di hadapan pentazkirah yang baru memulakan tazkirahnya. Itulah pun tujuannya saya tiba awal. Saya bersolat sunat dua rakaat untuk menghormati masjid. Selepas salam, saya bersalaman dengan “jiran” kiri dan kemudian di kanan saya. “Jiran” di kanan saya memberitahu saya, “Minta maaf, sebenarnya bahagian yang ada sejadah kuning ini dikhususkan untuk AJK masjid”. Dia menawarkan saya duduk bersempit di sebelah jemaah yang duduk di sebelahnya. Saya memilih untuk berundur di saf kedua di belakang saya yang memang masih kosong

(“Jiran” di kanan saya itu ialah orang yang sama dengan orang yang pernah menegur seorang jemaah tua yang hendak duduk berhampiran dengan imam semasa suatu upacara rasmi yang dihadiri oleh MB. Saya duduk di saf kedua pada waktu itu. Orang tua itu merungut-rungut apabila dilarang oleh “jiran” saya tadi daripada duduk di tempat itu. Saya bersimpati terhadap orang tua itu yang terpaksa berlalu agak jauh dari situ. Mujur orang tua itu tidak memilih untuk keluar terus dari masjid!)

Selepas azan dikumandangkan, seorang jemaah dengan memakai kemeja-T bertulis angka 2 di belakangnya duduk di salah satu sejadah yang “dikhususkan” untuk AJK (seperti kata “bekas jiran” saya tadi). “Bekas jiran” saya tadi hendak bangun, agaknya dia hendak menyatakan hal yang sama kepada jemaah itu, tetapi dia tidak jadi berbuat begitu kerana barangkali ditegah oleh AJK lain. Kesemua yang berlaku kepada diri saya dan yang saya lihat sendiri itu menjengkelkan hati saya. AJK masjid diberi keistimewaan untuk duduk di hadapan sekali gus menyekat jemaah yang bukan AJK untuk beroleh fadilat saf hadapan. Saya tidak pasti sama ada hal ini ada diamalkan pada zaman Rasulullah SAW dahulu.

Semasa saya diarahkan beralih, ada beberapa perkara yang terlintas dalam kepala saya. Saya hendak berkata kepadanya, “Tak mengapalah, apabila AJK awak sampai nanti, saya akan mengajaknya mencabut undi dengan saya”. Saya ingin berkata begitu kerana saya ingat benar akan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud: “Seandainya manusia mengetahui keutamaan yang ada dalam azan dan saf pertama, kemudian untuk mendapatkan itu mereka harus mengundi, nescaya mereka akan mengundi untuk mendapatkannya”. Malah ada perkara yang lebih jahat yang hendak saya lakukan. Saya ingin menarik sejadah yang saya duduki sekali gus menghilangkan penanda tempat yang saya duduki itu sebagai tempat yang dikhususkan untuk AJK masjid! Kerana saya masih rasional dan tidak ingin mengaibkan sesiapa, saya memilih untuk diam. (Malangnya peristiwa yang dialami dan dilihat sendiri itu kemudiannya telah mengganggu fikiran saya pula.)

Sebenarnya, peruntukan yang sedemikian sangat memalukan. AJK masjid dijamin beroleh fadilat saf hadapan walaupun datang lebih lewat daripada jemaah lain. Lebih memalukan, untuk beroleh fadilat itu, mereka “mewakilkan”nya kepada sejadah berwarna kuning. Saya berpendirian bahawa AJK harus datang awal supaya dapat duduk di saf hadapan lalu kemudiannya menjadi suri teladan kepada jemaah lain. Datang lewat dan beroleh keistimewaan untuk duduk di saf hadapan menjadi contoh tidak baik kepada jemaah. Saya boleh bersetuju kalau tiga atau empat ruang di saf hadapan dikosongkan untuk dikhususkan kepada muazin dan imam-imam (walaupun di masjid yang sama, hal ini tidak berlaku sebelum ini kerana saya pernah melihat Imam 2 masjid itu duduk di saf kedua kerana beliau tiba lewat), tetapi menguntukkan ruang untuk AJK saya fikir hal itu mengarut!

Perbuatan itu suatu diskriminasi yang tidak masuk akal dan membelakangkan sunah Rasulullah SAW.

Wednesday, July 18, 2012

Peribahasa Warisan Bangsa VI: Perihal “Menyembelih Orang dengan Kapas” dalam Peribahasa

SAYA yakin sangat bahawa banyak pengguna bahasa yang jarang-jarang menemukan atau mengungkapkan peribahasa “sembelih ayam dengan pisau, sembelih orang dengan kapas”. Peribahasa ini dapat ditemukan dalam kedua-dua “kitab” peribahasa yang menjadi pegangan dan rujukan kita, iaitu Kamus Dewan Edisi Keempat (KDE4, entri sembelih, hlm. 1436) dan Kamus Istimewa Peribahasa Melayu Edisi Kedua (KIPM2, no. 3357, hlm. 182). Maksud yang didukung oleh peribahasa ini ialah “manusia harus diperlakukan dengan lemah lembut”.

Saya sama sekali tidak menolak hakikat bahawa ungkapan/peribahasa yang berbau nasihat itu amat menarik. Walau bagaimanapun, apabila saya mencermati ungkapan yang membentuk peribahasa itu, saya merasakan ada kejanggalan pada ungkapan itu. Tidak ada perkataan lain yang menimbulkan keanehan di hati saya melainkan perkataan kapas di hujung ungkapan itulah. Menjadikan kapas sebagai alat penyembelihan terasa tidak kena, serta terasa tidak berkait dengan alat yang digunakan sebelumnya – pisau – yang dijadikan sebagai alat untuk menyembelih haiwan.

Saya mungkin bersetuju dengan kesesuaian kapas sebagai lambang perlakuan lemah lembut (walaupun saya merasakan warna putih kapas lebih sesuai sebagai lambang kesucian, kejujuran, dan keluhuran hati manusia). Walau bagaimanapun, dalam konteks ungkapan itu, saya berpendapat bahawa penjodohan pisau dengan kapas tidak serasi dan tidak harmoni. Yang tidak mengharmonikannya bukan leluhur kita, tetapi kita yang terkemudian ini. Saya berpendapat bahawa telah berlaku kesilapan semasa mendokumentasikan ungkapan itu.

Pada hemat saya, kata yang tepat untuk dijodohkan dengan pisau dalam ungkapan itu ialah kapar/kaparan! Kapar/Kaparan yang dimaksudkan itu bukanlah “sampah sarap yang dihanyutkan oleh air”. Sebaliknya, kapar/kaparan yang dimaksudkan di sini ialah “bahagian belakang sesuatu benda (parang, pisau, dll) yang tidak tajam”. Bahagian itu, jika dijadikan sebagai alat untuk menyembelih haiwan atau manusia, tidak akan melukakan, kecuali jika bahagian itu diasah (berbulan-bulan juga, rasanya) bagi memastikannya tajam seperti matanya juga.

Apabila peribahasa itu diungkapkan sebagai “sembelih ayam dengan pisau, sembelih orang dengan kapar/kaparan”, barulah terasa keharmoniannya dan barulah wujud pertentangan daripada segi ungkapan yang mendahuluinya dengan ungkapan yang mengikutinya – haiwan dengan manusia dan pisau dengan kapar/kaparan. Barulah kita dapat mengesani kebijaksanaan leluhur kita dalam membuat perbandingan. Tidak mungkin leluhur kita tidak tahu bahawa kapas itu (termasuk buahnya) langsung tidak sesuai dijadikan sebagai alat untuk memotong!

Terdapat suatu perumpamaan yang menggunakan perkataan kapar/kaparan ini. Perlakuan menggunakan kapar/kaparan yang digambarkan oleh perumpamaan itu memperlihatkan unsur kelembutan dan kasih sayang. Perumpamaan yang dimaksudkan itu ialah “seperti kerbau menanduk anak, dengan kapar/kaparan tanduk, bukan dengan hujungnya”. Maksud perumpamaan ini ialah “kemarahan bapa terhadap anaknya tidaklah sampai membahayakan. Peribahasa ini dapat ditemukan dalam KIPM2, no 3530 (hlm 191) dan KDE4, entri kapar II (hlm 674) dan entri kerbau (hlm 755).

Wallahualam. 

Thursday, July 12, 2012

Almarhumah Mak Ungku Azah Aziz: Sedikit tentang Dirinya

Sekelumit Kenangan
Nama Almarhumah Azah Aziz, Bonda Budayawan, memang telah lama saya kenal. Hingga demikian, apabila muncul satu demi satu orang yang senama dengannya, tidak ada lain, ingatan ini akan terus menyinggah pada diri Almarhumah Bonda Budayawan. Ada dua orang selebriti yang saya ketahui bahawa nama penuhnya seakan-akan nama Almarhumah. Walau bagaimanapun, yang paling saya kenal ialah Nor Azah Aziz, rakan setugas di Penerbit Fajar Bakti dahulu (kemudian menjadi Editor “ternama” di UP&D), yang apabila kali pertama diperkenalkan oleh pembantu Pengurus Penerbitan, saya terus menyebut perkataan “Kebetulan”. Apabila saya disoal oleh Nor Azah “Kebetulan apa?”, saya terus diam kerana sebenarnya ingatan saya memang pada diri Almarhumah Bonda Budayawan itu.

Saya adalah salah seorang staf di PFB yang sempat membaca pruf naskhah hasil kerja beliau – satu siri buku kanak-kanak peringkat awal, antaranya Adik Comel, Keluarga Kita, Kenangan Budi, dll. Buku itu masing-masing berketebalan sekitar 20 halaman. Seingat saya, pada waktu itu, ada rasa bangga dalam diri saya dan mungkin juga pada diri editor yang menangani karya karya-beliau itu serta rakan-rakan seunit dengan editor itu kerana dapat menerbitkan karya Almarhumah. (Almarhumah, kalau saya tidak salah, dirujuk sebagai Kak Azah sahaja oleh editor tersebut dan yang lain-lainnya.)
                                         
Sepintas Lalu tentang Almarhumah Bonda Budayawan
Almarhumah Bonda Budayawan, Dr. Sharifah Azah binti Syed Mohammed Omar al-Sagoff (selanjutnya disebut Mak Ungku), dilahirkan di Singapura pada 21 Ogos 1928 (5 Rabiulawal 1347 H) daripada keluarga bangsawan. Almarhumah berdarah campuran Melayu-Turki-Arab. Darah Melayunya berpangkal daripada datuknya, Dato’ Jaafar bin Mohamad (Bugis) yang merupakan MB Johor yang pertama. Darah Turkinya pula berpangkal daripada neneknya, Roqayah Hanim binti Abdullah (isteri Dato’ Jaafar) manakala darah Arabnya berpangkal daripada bapanya, Syed Mohammed bin Syed Omar al-Sagoff.

Ibu kepada Almarhumah Mak Ungku bernama Azizah binti Dato’ Jaafar, iaitu adik-beradik kandung Dato’ Onn bin Jaafar (pengasas UMNO, MB Johor ketujuh, dan bapa PM ketiga, Tun Hussein Onn). Malahan, ibunya itu juga merupakan adik-beradik seibu dengan Mejar Ungku Abdul Hamid bin Ungku Dato’ Abdul Majid (bapa Profesor Diraja Tun Dr. Ungku Abdul Aziz). Hal ini bermaksud bahawa, Almarhumah Mak Ungku sebenarnya bersepupu dengan suaminya, Profesor Diraja Tun Ungku Dr. Abdul Aziz. Malah Almarhumah Mak Ungku juga bersepupu dengan Almarhum Profesor Datuk Dr. Syed Hussein al-Attas (mantan Naib Canselor UM) dan Tan Sri Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas (Cendekiawan Islam, ahli falsafah, pengasas ISTAC, dan Tokoh Melayu Terbilang 2011).

[Untuk memahami hubungan itu, elok kiranya dibuat sedikit penjelasan. Nenda Almarhumah Mak Ungku – Roqayah Hanim binti Abdullah – berkahwin sebanyak tiga kali. Suaminya yang pertama ialah Ungku Abdul Majid ibni Seri Paduka Dato’ Temenggong Sri Maharaja Tun Ibrahim. Perkahwinan itu melahirkan beberapa orang putera dan puteri, antaranya termasuklah Mejar Ungku Abdul Hamid (bapa Profesor Diraja Tun Dr. Ungku Abdul Aziz). Suaminya yang kedua ialah Syed Abdullah bin Syed Muhsin al-Attas. Daripada perkahwinan itu, lahirlah Syed Ali al-Attas (bapa Almarhum Profesor Datuk Dr. Syed Hussein al-Attas dan Tan Sri Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas). Suaminya yang ketiga ialah Dato’ Jaafar bin Mohamad. Daripada perkahwinan yang ketiga ini, lahirlah Aishah, Kamariah, Dato’ Onn (pengasas UMNO, MB Johor ketujuh, dan bapa PM ketiga, Tun Hussein Onn), Azizah (ibu Almarhumah Mak Ungku), Mohammad, Ahmad, dan Yahya.]

Almarhumah Mak Ungku mendapat pendidikan hingga peringkat menengah sahaja (Sekolah Menengah Convent Johor Bahru). Pelajaran menengahnya terbantut apabila Jepun menduduki Tanah Melayu dan apabila Almarhumah hendak menyambung pelajarannya semula, Almarhumah telah dilamar sebagai isteri oleh Profesor Diraja Tun Dr. Ungku Abdul Aziz. Maka pada tahun 1946, berkahwinlah Almarhumah Mak Ungku yang pada ketika itu baru hendak menjejaki usia 18 tahun.

Lebih kurang setahun selepas perkahwinan itu, iaitu pada 26 Ogos 1947, Almarhumah Mak Ungku beroleh satu-satunya zuriatnya – seorang puteri – yang diberi nama Ungku Zeti Akhtar (Tan Sri Datuk). Puterinya itu kini menjadi peneraju (Gabenor) Bank Negara Malaysia, malah telah diiktiraf sebagai salah seorang Ketua Bank Pusat Terbaik Dunia pada tahun 2009. Daripada puterinya itu, Almarhumah Mak Ungku beroleh dua orang cucu lelaki – Alif Ayman dan Aziz Ayman dan beberapa orang cicit.

Almarhumah Mak Ungku pernah berkhidmat dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Johor Bahru selama dua tahun (1949-1951 dan kemudiannya berkhidmat dalam kerja-kerja kesetiausahaan di Jabatan Sosial, Universiti Malaya, Singapura dan selanjutnya menjadi setiausaha kepada Pendeta Za‘ba di Jabatan Pengajian Melayu di universiti yang sama. (Di sini, Almarhumah semakin terdedah pada sastera Melayu.)

Almarhumah selanjutnya telah menjadi setiausaha kepada Ketua Pengarang NST, Leslie Hoffman yang kemudiannya telah memperkenalkannya kepada dunia kewartawanan. Akhirnya, Almarhumah terlibat secara langsung dalam dunia kewartawanan dan telah memahatkan namanya sebagai wartawan selama lebih 20 tahun, iaitu 16 tahun (1957-1973) di Berita Harian dan 5 tahun (1973-1978) di Utusan Melayu/Utusan Malaysia.

Keterlibatannya dalam dunia kewartawanan telah menimbulkan suatu kesedaran kepada dirinya lalu atas inisiatifnya, Almarhumah Mak Ungku telah mengasaskan Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA) dan menjadi presidennya yang pertama (1971-1978) dan terus menjadi penasihat PERTAMA kemudiannya. Almarhumah juga salah seorang pengasas Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (PERTIWI) untuk membela nasib wanita dan kanak-kanak.

Almarhumah Mak Ungku memang wajar diangkat dan diiktiraf sebagai budayawan Melayu kerana Almarhumah memang memenuhi kriteria itu. Dirinya sendiri (walaupun berdarah campuran Arab-Turki-Melayu) amat dekat dengan ciri-ciri budaya Melayu – lembut tutur bicara, murah dengan senyuman, dan sentiasa anggun berbaju kurung. Lebih daripada itu, Almarhumah Mak Ungku memperlihatkan dedikasi dan kecintaan yang tinggi bagi melestarikan pelbagai bentuk budaya warisan Melayu (daripada pantun hinggalah kepada busana Melayu).

Almarhumah Mak Ungku sangat dalam pengetahuannya dan sangat teliti dalam hal busana tradisional Melayu. Sebagai buktinya, selain mengetahui semua potongan pakaian tradisional dan jenis-jenis kainnya, Almarhumah juga sangat arif akan cara-cara untuk mengenakan apa-apa pakaian tradisional serta sangat tahu akan apa-apa aksesori yang perlu dipadankan dengan sesuatu jenis pakaian tradisional. Oleh sebab itulah Almarhumah sering dijadikan sebagai sumber rujuk oleh orang yang terlibat dalam bidang itu. (Dalam dan arifnya pengetahuan Almarhumah dapat kita kesan dalam bukunya Rupa dan Gaya: Busana Melayu.)

Pelibatan Almarhumah dalam bidang itu telah mendorong pihak-pihak tertentu (agensi kerajaan, khususnya) melantiknya sebagai ahli lembaga pengarah mereka, antaranya termasuklah Ahli Lembaga FINAS, Ahli Majlis Penasihat Kebudayaan Kebangsaan (telah dibubarkan), Ahli Lembaga Penasihat Karyaneka (telah dibubarkan), Ahli Lembaga Pembangunan Kraftangan Malaysia, ahli Tribunal Hak Cipta, dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Tun Abdul Razak.

Ketokohannya dalam bidang kebudayaan dan kewartawanan telah diberi pengiktirafan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kerana pada tahun 2008, universiti itu telah menganugerahinya Ijazah Kehormat Doktor Kesenian dan Doktor Pendidikan. Selain itu, Almarhumah pernah diangkat sebagai Tokoh Wanita Johor, Wanita Cemerlang Avon Tan Sri Fatimah, serta Anugerah Jarum Berlian.

Dalam lapangan penulisan, banyak buku yang telah dihasilkannya. Selain Rupa dan Gaya Busana Melayu, Almarhumah Mak Ungku telah menghasilkan pelbagai buku bacaan/pantun kanak-kanak seperti Adik Comel, Adik Sayang, Ibu, Keluarga Kita, O! Bangau dan Burung Kenek Kenek, Kenangan Budi, Pantun-pantun Melayu, Taman Seni, Dendang dan Dondang Kanak-kanak serta Songket: Satu Warisan Malaysia, Selayang Kenangan, dll.

Insan yang menyerahkan sebahagian jiwa raganya terhadap budaya negara ini – Sharifah Azah Mohammad Alsagoff – telah pergi. Zaharah Nawawi mengangkat Almarhumah Mak Ungku sebagai Kartika di Langit Seni. Benar, jasa dan sumbangan Almarhumah itu ibarat Kartika, tetap bersinar menghiasi dada langit lalu menjadi sumber inspirasi kepada anak-anak bangsa yang ditinggalkan oleh Almarhumah. Akan ke manakah koleksi busananya itu?

Monday, July 9, 2012

Al-Fatihah: Bonda Budayawan, Azah Aziz, Kembali ke Rahmatullah

Dr. Sharifah Azah Mohammad Alsagoff, atau lebih dikenali dengan nama Azah Aziz, isteri Profesor Diraja Ungku Aziz dan bonda kepada Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, meninggal dunia hari ini pada usia 84 tahun (21 Ogos 1928-9 Julai 2012). Beliau meninggal dunia pada jam 10:00 pagi kerana sakit tua dan angin ahmar.

Almarhumah diiktiraf sebagai tokoh Budayawan Melayu lantaran minat, dedikasi, dan komitmennya yang mendalam terhadap pengumpulan busana dan tekstil serta perhiasan dan kraftangan tradisional Melayu. Biografi beliau pernah ditulis/diselenggarakan oleh Zaharah Nawawi dengan judul Azah Aziz: Kartika di Langit Seni. Buku itu diterbitkan oleh DBP.

Kepada Profesor Diraja Ungku Aziz dan Tan Sri Zeti serta seluruh ahli keluarga, takziah kami ucapkan. Kami akan sama-sama berdoa agar roh Almarhumah kekasih Prof dan Tan Sri beroleh ketenangan di alam baqa dan seterusnya dihimpunkan di Padang Mahsyar serta ditempatkan di dalam Jannah bersama-sama dengan para solehah. Amin....

Sunday, July 8, 2012

San Miguel Corporation, MAS, dan Minyak PETRON

TINDAKAN MAS menggunakan minyak keluaran PETRON untuk pesawat Airbus A380 mereka dibicarakan dengan meluas oleh para blogger. Pemimpin pembangkang pun mempertikaikan hal ini kerana MAS, yang merupakan hak milik negara, telah mengesampingkan satu lagi syarikat hak milik negara, PETRONAS sebagai pembekal minyak untuk pesawat Airbus A380 itu.

Soal pihak yang memutuskan hal ini tidak menarik untuk dibicarakan kerana hak milik negara diuruskan oleh kerajaan yang memerintah Persekutuan. Kebetulan, pihak yang memerintah Persekutuan ialah BN. Jadi, kita pun, mahu tidak mahu, haruslah berasa pelik dan ajaib tentang rasional BN mengesampingkan PETRONAS sebagai pembekal dan sebaliknya mendahulukan PETRON.

Sebenarnya, hal tentang PETRON ini sudah saya bicarakan dalam Blog saya pada 21 Ogos 2011 yang lalu. Para pembaca boleh mengikutinya semula pada alamat ini: http://www.blogger.com/blogger.g?blogID=8918763771705042465#editor/target=post;postID=7748354885209868705

Yang tidak saya sentuh dalam siaran itu ialah adanya rakyat Malaysia yang menjadi pengarah dalam San Miguel Corporation/SMC (syarikat arak yang membeli Exxon-Mobil Malaysia itu). Tetapi, dalam siaran itu saya ada melahirkan kehairanan saya tentang rasional penolakan pihak ExxonMobil International Inc terhadap tawaran lumayan LTAT untuk memiliki Exxon-Mobil Malaysia.

Sekarang, kita dapat membayangkan (“bersangka buruk”?) tentang sebab-musabab pihak ExxonMobil International Inc menolak tawaran LTAT itu. Hal ini samalah dengan dapatnya kita “bersangka yang bukan-bukan” tentang sebab-musabab MAS memilih PETRON sebagai pembekal minyak untuk pesawat Airbus A380 milik mereka untuk tempoh enam bulan.

Berapa jutakah hasil keuntungan yang bakal diperoleh oleh SMC (syarikat peneraju/induk PETRON) daripada perjanjian pembekalan untuk tempoh enam bulan itu? Berapa banyak wangkah yang akan mengalir ke Filipina yang sepatutnya mengalir di dalam negara sahaja jika MAS memilih PETRONAS sebagai pembekal minyak untuk pesawat Airbus A380 MAS?

Adakah kakitangan MAS akan mendapat saham neraka kerana bekerja dalam syarikat yang bersubahat/bekerjasama dengan syarikat yang berasaskan arak? Kita sendiri bagaimana? Masih mahu bersubahat dengan mereka dengan cara berurusan dengan stesen minyak PETRON? Saya akan berpegang pada panduan pengharaman babi – berurusan pada waktu darurat!

Thursday, July 5, 2012

Tak Ada Cerita Baharu yang Hendak Dikongsikan

TIDAK ada cerita baharu yang hendak saya kongsikan dengan tuan-tuan dan puan-puan. Menurut suatu sumber, Tom Cruise yang dikatakan bahawa aktor yang menerima upah lakonan tertinggi di Hollywood, sedang dalam proses perceraian. Perceraian itu difailkan oleh isterinya, Katie Holmes. Perceraian itu dikatakan bahawa berpunca daripada “ketaasuban” dan keyakinan Cruise terhadap fahaman Sainstologinya. Perceraian artis Hollywood? Ini bukan cerita baharu!

Azlan Mohd. Lazim, bapa si “mangsa” liwat yang bernama Saiful Bukhari, oleh sebab tempoh petisyen rayuan hanya tinggal kira-kira 10 hari, merayu kepada pihak Peguam Negara supaya segera mengemukakan petisyen rayuan supaya anaknya beroleh keadilan. Rayuan itu dilakukannya selepas pada Selasa lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan alasan penuh penghakiman kes liwat anaknya dengan DS Anwar Ibrahim. Ini bukan cerita baharu. Ini cerita yang akan dibaharui.

Harga petrol RON97 turun 20 sen lagi mulai hari ini. Penurunan berlaku kerana harga purata petrol itu pada bulan Jun lepas relatifnya rendah. Oleh sebab harganya relatif rendah pada bulan lalu hingga membolehkan penurunan sebanyak 20 sen itu, maka sekarang orang boleh mengisi petrol RON97 pada harga RM2.60 seliter. Harga RON95, mungkin kerana kandungannya bukanlah petrol sepenuhnya, tidak terlibat dalam penurunan itu. Ini bukan cerita baharu. Ini cerita strategi baharu.

Petron Malaysia (Petron) telah menjadi pembekal bahan api (minyak) kepada kapal terbang (Airbus A380) milik Malaysian Airline System Bhd. (MAS) untuk tempoh enam bulan (Petron telah “menyedekahkan” minyak percuma untuk penerbangan sulung pesawat itu (MH2) dari KL ke London 1 Julai lalu). Petron asalnya Esso dan Mobil (Exxon-Mobil). Esso dan Mobil sekarang kepunyaan Petron Oil and Gas International (Filipina). Petron ada anak Tun M di dalamnya. Ini bukan cerita baharu!

Sekutu UMNO yang bernama MCA sekali lagi hilang akal apabila orang sesekutunya berkata hendak laksanakan hudud di Johor. Siap ancam (sudah acap kali) hendak angkat kaki dari BN lagi (sepatutnya Cina-Cina tu ancam hendak keluar dari Malaysia, untuk duduk di negara yang tidak ada Islam, barulah betul!) Mereka tahu, kalau ada hudud, Melayu-Islam takut ke pusat pelacuran, takut ke pusat hiburan, takut ke Magnum dan TOTO sedang Cinalah tauke pusat-pusat itu. Ini bukan cerita baharu!

Tuan-tuan ... puan-puan. Hasrat untuk melaksanakan hudud oleh orang UMNO di Johor itu strategi PRU. Kerana orang Cina disahkan bahawa tidak akan/sedikit yang akan menyokong BN, strategi harus dibuat. Hudud yang menjadi taboo kepada orang Cina dijadikan strategi. Angkat isu ini, kemudian suruh MCA cepat-cepat menentang hal ini. Mana-mana Cina yang mudah diperdayakan terus mengubah persepsi terhadap MCA lalu kemudiannya menyokong MCA dalam PRU akan datang sekali gus menguntungkan BN. Ini bukan cerita baharu!

Apakah cerita baharu, yang kalau berlaku, landskap dan hala tuju politik Malaysia akan berubah ke arah yang benar-benar baik sehingga menakutkan orang? Perceraian Tom Cruise cerita hiburan bersiri, cerita Saiful Bahari macam fitnah bersiri, cerita RON-RON turun harga cerita macam nak pancing undi, cerita Petron cerita kroni, cerita hudud UMNO cerita strategi. Semua cerita basi, tetapi terpaksa juga kita dengar dan kita ikuti, supaya tidak ketinggalan teksi.

Tuesday, July 3, 2012

Sebiji Bola, Dua Buah Negara, dan Kesesakan yang Mereda

SEMALAM hari Isnin yang tidak sama dengan hari-hari Isnin bekerja sebelumnya. Selalunya, hari-hari Isnin bekerja sebelumnya (tidak termasuk hari Isnin yang dalam tempoh cuti persekolahan), keadaan di jalan raya sangatlah sesak dengan kenderaan. Kalau saya keluar dari rumah pada jam 6:45 pagi, misalnya, kesesakan itu telah saya nikmati bermula dari Sungai Ramal lagi. Kemudian, kesesakan itu akan sekali lagi saya nikmati sebelum atau selepas Plaza Tol Sungai Besi (menghala ke KL). Kemudian, saya sekali lagi akan mengecap nikmat kesesakan itu betul-betul selepas Plaza Tol Salak Selatan (Lebuh Raya Maju/MEX). Untuk ke PJ, kesesakan yang bermula di hadapan RTM hingga ke Pintu Gerbang Darul Ehsan memang wajib dinikmati saban hari.

Tetapi, seperti yang saya katakan tadi, semalam tidak sama dengan hari-hari Isnin bekerja sebelumnya kerana jalan pada hari Isnin semalam agak lengang. Laluan di Sungai Ramal menghala ke Putrajaya agak lengang walaupun saya keluar dari rumah pada jam 6:55 pagi (biasanya, pada hari Isnin saya akan keluar sekitar jam 6:35 pagi). Kesesakan kecil selepas Plaza Tol Sungai Besi masih boleh saya terima. Kesesakan di MEX juga masih tidak menekan perasaan. Cuma laluan untuk ke Jalan Imbi dan seterusnya ke Jalan Sultan Ismail sedikit sesak. Itu pun masih membahagiakan hati dan perasaan saya. Laluan di hadapan RTM pun kurang sesak dan saya dengan hati yang lapang dan “gumbira” memandu kenderaan saya di lorong yang paling-paling kanan.

Di pejabat, rakan-rakan memerihalkan perkara yang sama – “Jalan lengang kan hari ini!” kata seorang kawan saya. “Pelik saya,” kata seorang kawan yang lain. Saya mengeyakannya. Seorang kawan yang lain menjawab, “Penangan final EURO 2012!” Wah, baru saya perasan akan hal ini (walaupun saya sempat menonton perlawanan itu sekitar minit ke-50 hingga minit 60, sebelum kemudiannya kembali terlelap)! Ya, tentu keadaan yang kurang sesak pada hari itu ada kaitannya dengan EURO 2012 itu. Saya benar-benar ingin bersetuju dengannya sebelum tiba-tiba hati dan perasaan saya dibaluti sedikit rasa musykil – tak kanlah begitu banyak orang yang bercuti hingga dapat mengurangkan kesesakan di jalan raya semata-mata kerana sebiji bola dan dua buah negara, kata hati saya.

Tetapi, apabila mengingat perihal ustaz (saudara saya) yang ikut juga berjaga malam bersempena dengan EURO 2012 ini; dan apabila mengingat cerita beliau tentang Pengetua di sekolahnya yang ikut juga berjaga malam kerana sebiji bola itu (walaupun selepas pasukan kesayangannya, England, tumpas); dan apabila mengingat cerita tentang kebijaksanaan seorang ayah yang apabila selesai menonton EURO 2012 bersama-sama dengan anak-anaknya akan segera membawa anak-anaknya ke masjid bagi mengelakkan mereka tertidur hingga terluput solat Subuh, kemusykilan yang berkembang dalam fikiran saya segera berangkat dari dalam hati saya. Telahan rakan saya itu tidak mungkin silap, kata hati saya. Kegilaan terhadap bola sepak memungkinkan segala-galanya.

Wah, sebiji bola begitu kuat kuasa magnetnya, malah kelihatan lebih kuat daripada kuasa magnet itu sendiri! Magnet hanya melekat apabila kutub utara dan kutub selatan bertembung. Sebaliknya, sebiji bola, tanpa mengira kutub, malah tanpa memerlukan kutub pun, dapat melekatkan orang di hadapan TV selama hampir dua jam. Sebiji bola yang tak berkutub itu dapat membuatkan peminatnya berjaga separuh malam dan kemudiannya mengambil cuti tahunan dan mungkin juga mengambil cuti sakit! Doktor pun faham.

Minat saya terhadap bola sepak belum berlalu secara total, tetapi kekuatan saya untuk menjegilkan atau menyengkang mata sejak dinihari hingga awal subuh sudah lesu dan layu. Saya masih boleh bertahan jika permainan bermula sekitar jam 10:00 malam dan usai sekitar jam 12:00 dinihari. Tetapi kalau bermula jam 2:45 pagi (malah kalau bermula jam 12:00 dinihari pun), saya tidak mungkin berupaya untuk menonton perlawanan bola sepak yang hanya mendatangkan sedikit keseronokan kepada saya tetapi kemudiannya mendera mata dan badan saya. Lagipun, pada fikiran saya, apalah gunanya saya mendera diri saya untuk keseronokan yang sedikit itu sedangkan si pemain mengutip keseronokan yang berlipat ganda kerana gaji mereka jutaan ringgit seminggu!

Tentang EURO 2012 itu, Sepanyol ialah pasukan bola sepak yang berada pada ranking nombor satu dunia. Pasukan itu awal-awal lagi telah diletakkan sebagai favourite untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya pada tahun 2008 (pasukan itu, dua tahun kemudian, memenangi Piala Dunia 2010 pula). Pasukan itu mempunyai bintang daripada kelab-kelab ternama di dunia yang bukan setakat “berkuasa” dalam liga di negara mereka sahaja, tetapi juga berkuasa di tahap paling tinggi – Liga Juara-juara Eropah! Malah, selepas tamat EURO 2012 ini, daripada 23 pemain yang dinamakan untuk menganggotai skuad pilihan Eropah 2012 oleh pihak UEFA, 10 orang daripada mereka ialah pemain Sepanyol – Casillas, Piqué, Ramos, Jordi Alba, Xavi, Iniesta, Busquets, Xabi Alonso, Fábregas, dan David Silva.

Yang sepuluh orang ini jugalah, bersama-sama dengan sebiji bola, yang telah membantu mengurangkan kesesakan jalan raya semalam di laluan saya. Terima kasih.


CATATAN
1   Apa-apa pun yang kita lakukan, asal tidak keterlaluan, bukanlah perbuatan yang bodoh. Perbuatan yang bodoh ialah mempercayai sotong, beruang, dan gajah dalam menentukan sang juara. Kalau mereka dipercayai, tidak perlulah mana-mana pasukan bersaing, sebaliknya eloklah pihak UEFA terus menobatkan pasukan pilihan si sotong, si beruang, dan si gajah sebagai juara. Berhentilah menjadi bodoh!
2   Sepanyol menjadi juara selepas mengalahkan Itali dengan jaringan 4-0. Gol-gol Sepanyol dijaringkan oleh David Silva, Jordi Alba, Fernando Torres, dan Juan Mata. Dua gol terakhir pasukan Sepanyol dijaringkan selepas Itali bermain dengan sepuluh orang pemain.
3   Kerana menjaringkan tiga gol, Fernando Torres beroleh “Kasut Emas” walaupun ada pemain lain yang menjaringkan tiga gol – Mario Gomez (Jerman), Alan Dzagoev (Rusia), Mario Mandzukic (Croatia), Mario Balotelli (Itali), dan Christiano Ronaldo (Portugal). Torres dipilih kerana turut mencipta peluang kepada pemain sepasukannya yang lain untuk menjaringkan gol. Gol yang dijaringkan oleh Juan Mata dalam perlawanan akhir itu merupakan umpanan Torres.
4   Andres Iniesta dipilih sebagai “Pemain Terbaik Kejohanan”. Pada kejohanan Piala Dunia 2010, beliau juga menjadi Pemain Terbaik Piala Dunia. Pada kehohanan EURO 2008, pemain Sepanyol juga yang menjadi Pemain Terbaik Kejohanan. Pemain itu ialah Xavi Hernandes.
5   Sepanyol menjadi pasukan yang pertama dalam sejarah kejohanan EURO yang dapat mempertahankan kejuaraan EURO (menjadi juara secara berturut-turut), iaitu pada tahun 2008 dan sekarang 2012.

Monday, July 2, 2012

Peribahasa Warisan Bangsa V: Perihal “emas perak” dan “dilelehkan” dalam Peribahasa

PERNAHKAH para pembaca yang dihormati menemukan peribahasa “peti yang berisi emas perak tidak dilelehkan orang”? Jika anda tidak pernah menemukannya atau mengungkapkannya, peribahasa yang bermaksud “pengetahuan tidak mudah dihamburkan di mana-mana saja” ini dapat anda temukan dalam KDE4 (entri emas, hlm. 386) dan KIPM2 (no.3043, hlm. 166).

Kiasan yang dibentuk oleh leluhur kita ini sangat menarik. Walau bagaimanapun, jika ungkapan tersebut (seperti yang termuat dalam KDE4 dan KIPM2 itu) diteliti dengan cermat, kita akan menemukan ketidakmunasabahan dalam ungkapan itu. Ungkapan yang demikian itu, pada hemat saya, bukan dituturkan oleh leluhur kita yang arif dan bijaksana serta serba teliti itu.

Dalam KIPM2, perkataan dilelehkan itu diertikan oleh penyusunnya sebagai “dibocorkan”. Saya berasa sukar untuk menerima kehadiran perkataan dilelehkan (“dibocorkan”) dalam peribahasa ini kerana benda yang dapat dilelehkan ialah benda-benda yang cair. Persoalannya, mungkinkah cairan emas dan perak diletakkan di dalam peti dan terus-menerus berada dalam keadaan cair pula?

Pada hemat saya, telah berlaku kesilapan di pihak penyusun pada peringkat awal dahulu. Saya berpendapat bahawa perkataan yang betul untuk ungkapan itu ialah dilelerkan yang bermaksud “dicuaikan”, “dibiarkan”, atau “diabaikan” untuk membentuk ungkapan “peti yang berisi emas perak tidak dilelerkan orang” sekali gus mendukung maksud “ilmu pengetahuan tidak disia-siakan orang”.

Dengan ungkapan yang demikian, barulah terserlah kebijaksanaan leluhur kita menyusun dan mengatur kata-kata bagi membentuk peribahasa. Gambaran yang terbentuk pada ungkapan itu juga barulah logik dan benar, iaitu emas dan perak yang tersimpan di dalam peti tidak dicuaikan orang, sebaliknya senantiasa diawasi dan disimpan di tempat yang selamat dan terjaga.

Barangkali, semasa proses pengumpulan peribahasa itu dahulu, telah berlaku silap pendengaran dan pemahaman dalam hal dilelerkan itu. Berkemungkinan kumpulan penyusun tidak sedar akan kewujudan perkataan leler dan kebetulan pula perkataan leler itu mirip benar bunyinya dengan perkataan leleh, lalu mereka menerima perkataan leleh dalam ungkapan itu.

Kerana itu, benar sangatlah kata-kata yang diungkapkan oleh SN Datuk Abdullah Hussain dalam bahagian “Prakata” Kamus Istimewa Peribahasa Melayu Edisi Kedua yang disusunnya itu, iaitu: “Usaha ini (pengumpulan dan penulisan peribahasa dalam KIPM2 itu – penulis Blog SigapSiaga) belum lagi sempurna, masih banyak cacat celanya”. Oleh itu, kita wajar membantu beliau.

CATATAN
Saya mula kenal akan perkataan leler ini setelah menikahi isteri saya. Keluarga isteri saya (NS) biasa mengungkapkan ayat “Kau ni ... leler/seleler botola!” (“Engkau ni, cuai betullah!”) kepada adik ipar lelaki saya yang sering lupa akan tempat dia meletakkan sesuatu. Saya menyangka perkataan itu diujarkan sebagai lele (tanpa “r” atau “l”), tetapi apabila merujuk kepada kamus, saya temukan perkataan leler.)